NAMPAKNYA bukan sahaja Interlok ditimpa kontroversi oleh sepatah dua perkataan yang tidak dapat menggambarkan keseluruhan idea novel tersebut; penerbit dua buah novel remaja yang sangat terkenal di peringkat dunia, “The Adventures of Huckleberry Finn” dan “Tom Sawyer” akan menggantikan setiap patah perkataan Negro (Nigger) dengan perkataan yang baharu, iaitu “hamba” semata-mata untuk menjauhi salah tanggap.Pengarang kedua-dua buah novel tersebut adalah Samuel Langhorne Clemens (30 November 1835 – 21 April 1910). Beliau lebih dikenali sebagai Mark Twain. Pada usianya empat tahun, Twain telah berpindah ke bandar Missouri, sebuah kota pelabuhan di pesisiran sungai Mississippi. Kota inilah yang akan bangkit dalam imaginasi Twain sebagai St. Petersburg dalam The Adventures of Tom Sawyer dan Adventures of Huckleberry Finn. Missouri ketika itu adalah sebuah kota perhambaan dan ia memberi basis yang sangat kuat buat Twain dalam menggarap persoalan perhambaan kulit hitam kelak. Ernest Hemingway, pengarang terkenal Amerika pernah mengatakan, ‘Semua karya sastera besar Amerika sebenarnya berasal dari satu hulu, sebuah buku berjudul ‘Adventures of Huckleberry Finn’.
Oleh kerana itu tindakan penerbit edisi pelajar buku-buku karya Mark Twain menggantikan kata Negro dengan kata Hamba ternyata menimbulkan bantahan luar biasa dalam kalangan sarjana sastera. Tom Quirk, seorang Profesor Sastera Inggeris di University of Missouri menegaskan ‘perubahan’ yang dilakukan itu adalah sesuatu yang ‘terburu-buru’.
“Kehebohan ini sungguh mengelirukan. Sarjana yang mengkaji karya-karya Mark Twain termasuk dari etnik African-American turut merasakan penggantian perkataan tersebut sesuatu yang teruk, ia adalah saranan yang tidak dapat diterima dan meruntuhkan seluruh kekuatan karya klasik tersebut.”
Saranan merubah perkataan Negro kepada Hamba timbul ekoran cadangan Alan Gribben, seorang lagi Profesor Sastera Inggeris di Auburn University, Montgomery. Gribben yang menyiapkan prakata buku-buku tersebut untuk penerbit NewSouth Books di Alabama menyatakan terdapat 219 perkataan Negro dalam “Huck Finn” dan 4 kali perkataan yang sama dalam “Tom Sawyer.”
“Adalah sangat memalukan perkataan ini akan menyebabkan pembaca berasa jengkel lantas mengenepikan novel tersebut,” ujar Gribben.
Akan tetapi Profesor Quirk membantah idea Gribben dan menghujahkan, mereka yang menyetujui cadangan untuk menggugurkan kata Negro ternyata “kesasar dan keliru.” Menurut Quirk, Mark Twain menulis perkataan Negro bukan untuk tujuan menghina. Kata itu timbul untuk menjelaskan keadaan dan realiti pada era perhambaan dan penindasan terhadap bangsa kulit hitam di Amerika Syarikat. Malah perkataan Negro digarap pengarang dengan penuh skil sehingga menimbulkan kesan kepada pembaca bahawa kata Negro adalah bertujuan untuk menjelmakan kesan satirikal. “Kita tahu, Twain menggunakan perkataan itu berkali-kali memang untuk menunjukkan kejengkelannya.”
Kedua-dua buah novel remaja yang tersohor tersebut dijangkakan menemui pelajar sekolah Februari ini.
Quirk turut menegaskan, “Kita mesti mengetahui apakah pelajar kita telah bersedia untuk memahami konteks novel tersebut ditulis. Ada buku yang kita tidak beri kepada kanak-kanak untuk dibaca kerana mereka belum dapat memahami konteks. Apabila mereka sudah mencapai satu takah kematangan sehingga dapat mencerna isu-isu yang sofistikated maka mereka dengan sendiri akan membaca buku tersebut lantas memahami ironi dan satira. Dan itulah tujuan kita membaca karya sastera!”
Guru-guru subjek sastera yang bakal menggunakan dua buah novel tersebut sebagai teks sastera di sekolah kelihatan bersetuju dengan Quirk. Rata-rata berpandangan sesuatu perkataan yang telah menempa pengalaman sendiri dalam sejarah haruslah dikekalkan untuk menggambarkan sejarah era tersebut. Pembaca zaman ini tentunya memahami ia adalah satu perkataan nista yang sudah tidak digunakan lagi sekarang. Hari ini, misalnya, perkataan Nazi tidak dibuang dari kamus atau novel Jerman yang dikarang ketika era Perang Dunia Kedua. Ia mengajar pembaca tentang nilai sejarah.
Cadangan penerbit untuk merubah perkataan Negro kepada Hamba menunjukkan kedua-dua teks itu gagal dibaca dan difahami secara keseluruhannya. ‘Huck Finn’ sebagai misalan adalah sebuah novel kembara. Di awal novel tersebut, kata Negro dipaparkan demi menunjukkan realiti perhambaan di Amerika Syarikat satu masa dahulu. Walaubagaimanapun di hujung teks, watak Huck menerima Jim (yang dirujuk sebagai Negro) sebagai sahabat karib dan seorang manusia yang telah banyak berkorban. Penumpuan dan fokus kepada aspek semantik sambil mengabaikan keseluruhan teks tentu sahaja menerbitkan kekeliruan.
Kedua-dua karya Mark Twain tersebut telah menempa sejarah yang panjang. Ia telah dibaca selama 126 tahun khususnya ”The Adventures of Huckleberry Finn”. Ada pengkritik sastera yang berpandangan memberi terlalu banyak kuasa sensor kepada penerbit dan penyunting akan menjurus kepada hilangnya sejarah. Kebanyakan sarjana bersetuju Mark Twain menulis kedua-dua buah novel tersebut ketika Amerika mengalami angin perkauman yang kencang. Malah Mark Twain diketahui sebagai pejuang hak asasi manusia yang membela nasib minoriti kulit hitam dan orang Cina yang dianiaya di Amerika ketika itu.
Hari ini, tentunya Amerika Syarikat telah pun memiliki seorang Presiden berkulit hitam maka perkataan Negro tersebut sepatutnya menjadi satu imej lampau yang telah berjaya dipadam oleh realiti semasa. Perkataan Negro dan novel-novel Twain tersebut boleh menjadi satu himbauan sejarah yang bermakna dan renungan mendalam buat masyarakat tentang apa yang telah Amerika Syarikat sebagai sebuah negara lalui.
Sesungguhnya karya sastera tidak boleh dibaca secara terpisah-pisah dan perlu dihadapi dengan pengetahuan disiplin lain. Bahkan sebuah karya sastera yang kompleks perlu didekati dengan turut memahami latar belakang pengarang.
Dewan Sastera Februari 2011.
* Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.



4 comments:
kadangkala kita terpaksa tunduk pada kehendak orang lain yang tidak pula tunduk pada kehendak kita..
artikel menarik
Huck Finn dan Tow Sawyer adalah bacaan saya semasa di sekolah dulu. Artikel ini mengembalikan nostalgia zaman lampau saya.
Bila kita sebut Negro, ia lebih dalam dari hanya maksud hamba abdi. Saya teringat cerita Kunta Kinte yang pernah selalu diikuti satu masa dulu (walau dah lupa tenang ceritanya). Pastinya mengubah perkataan 'tersebut' dalam sebuah hasil Satera mengubah rasa penghayatan dan seolah mewujudkan satu penafian fakta.
Namun adatnya dan fitrah sesetengah manusia ialah cuba melenyapkan sejarah yang dirasai tidak disukai dan tidak mahu lekat pada kehidupan mereka untuk masa kini.
Post a Comment