28 May 2010

Samarra

Pada awal Februari 2006 satu pertumpahan darah yang amat dahsyat meletus antara penganut mazhab sunni dan syiah di Iraq. Ia berlanjutan selama beberapa bulan. Meskipun penganut mazhab syiah adalah majoriti di Iraq tetapi mereka hidup dalam keadaan melarat sejak era Saddam Hussein. Punca pertumpahan darah yang disebutkan di atas adalah pengeboman masjid-masjid sunni, yang dikatakan, kononnya dilakukan oleh penganut mazhab syiah. Ekoran dari itu penganut mazhab syiah diserang balas dan dibunuh dalam kekacauan mazhab yang kelihatan tiada hentinya. Setiap hari pasar sesak di kawasan penduduk syiah dibom. Sasarannya tidak mengenal usia, gender mahupun status. Kerajaan Iraq yang masih lemah kelihatan tidak berdaya melakukan apa-apa pun.

Kemuncaknya adalah pada 22 Februari 2006, pada pukul 6:55 pagi, makam Imam Hasan Askari dan Imam Hadi Naqi telah dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kubah emas yang melitupi masjid tersebut telah hancur sama sekali. Ia merupakan titik hitam buat penganut syiah kerana kedua-duanya adalah 'imam' bagi mereka.


Ayatullah Ali Khamenei, Ayatullah Sistani dan Sayyid Hassan Nasrallah (Hezbullah) telah meminta penganut mazhab syiah bertenang dan tidak melakukan pembalasan meskipun kemarahan dan emosi mereka begitu meluap. Ucapan mereka telah meredakan kemarahan penganut syiah seluruh dunia.

Penganut sunni yang majoritinya menginap di Samarra turut keluar membantah pengeboman keji tersebut (lihat sini) Foto di atas menunjukkan penganut sunni membantah penganiayaan terhadap makam Imam Askari di Samarra.

Pada 2 Ogos 2007, Haitham al-Badri, pemimpin al Qaeda di wilayah Salahuddin terbunuh dalam satu serangan oleh tentera Amerika Syarikat. Kerajaan Iraq percaya Badri adalah perancang sebenar pengeboman makam Imam Hasan Askari dan pengeboman masjid-masjid sunni sebelumnya. Empat lelaki berasal dari Arab saudi dan seorang lelaki warga Tunisia turut terbunuh. Mereka juga adalah antara pengganas yang merencanakan pengeboman makam Imam Askari di Samarra. Niat jahat pengganas al-Qaeda adalah supaya kedua-dua mazhab ini berperang antara satu sama lain.

Pada 5 Februari 2008, Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki mengisytiharkan bahawa masjid juga makam Imam Hasan Askari serta Imam Hadi Naqi yang dimusnahkan bakal dibina semula.

Pada awal tahun 2009 kerja-kerja pemulihan dimulai. Ia bergerak perlahan. Kosnya ditanggung oleh penziarah yang datang.









Setahun kemudian, makam Imam Hasan Askari dan Masjid Samarra dibuka kembali untuk orang awam. Moga ia terus kukuh sebagai simbol perpaduan ummah.

27 May 2010

Satira Ketupat Cinta II: Keraian Rojak Katih

Cik Puan Rosdah pun bertitah lagi dengan lebih yakin. Khalayak yang tadi bersuara kecoh dan riuh kembali senyap, “Kanda Rosjah tak mati. Kalau kuburnya dibongkar sekarang mayat Kanda Rosjah tak ada. Kanda Rosjah sekarang ada di Gua Ashabul Kahfi. Dia akan bangun berjuang demi Satu Melaka bila daulah Melaka akan menjadi sebuah kerajaan besar nanti. Tunggulah arahan-arahan Kanda Rosjah yang akan disampaikan kepada umum dari masa ke masa. Rosjah... dikatakan tak menghembuskan nafas terakhir. Dia masih hidup. Janganlah berasa ragu. Sebelum Rosjah meninggal dunia, ia ada mengatakan kepada beta, ‘kamu nak suruh orang gemuk banyak lemak tembam ini bangun buat apa? Kenapa tidak fikir yang akan bangun nanti bukan yang ini?’ Kanda Rosjah sudah bebas di alam ini... Kanda Rosjah boleh pergi dan boleh balik. Janji Allah kepada orang-orang roh, mereka bebas di alam roh tanpa diganggu kerana selama ini tubuh gemuk mereka mengganggu kelincahannya. Jadi, sekarang saksikan keajaibannya. Oleh kerana itu beta menitahkan supaya diadakan satu keraian yang akan dinamai keraian ‘Kalahkan Nafsu, Rosjah Pulang’. Beta akan menitahkan supaya gerau muda kita mencipta sejenis masakan dari kaki lembu kerana kaki lembu itu adalah kegemaran Kanda Rosjah ketika di alam roh waktu ini. Beta juga mahu makanan itu dimasukkan isi ikan kerana sementara kita di laut ini, kita semua perlu mendapatkan khasiat dari laut. Beta juga menitahkan supaya dalam masakan itu ada manis-manisnya memandangkan beta dan kanda beta iaitu Rosjah Yang Agung memang menggemari segala yang manis-manisan.”

Tersangatlah gempar kapal ekoran ucapan Cik Puan Rosdah yang mengejutkan itu. Ada seorang hamba terlanjur bertanya dalam keadaan tercengang, “Bukankah Tun Kuala ini adik beradik dengan Tun Halimah, dan bukan dengan Paduka Rosjah yang jahat itu.”

Cik Puan Rosdah saat mendengar kata-kata cabul hamba tersebut, ia pun mencemar duli turun dari takhta lalu segera ia menarik keris Hor Liao yang tersisip di pinggang Tun Perpatih Tulus. Gesit ia cabut keris itu dari sarungnya lalu tanpa berlengah dan banyak tanya ia pun menghunus lalu meradak perut hamba tersebut dengan keris tajam milik Tun Perpatih Tulus. Terburailah isi perut hamba yang bersalah di mata Rosdah itu. Semua yang ada di situ terdiam belaka. Hamba bermulut kesat itu tersungkur.

Dapatkan Harakah edisi Jumaat segera.

26 May 2010

Cerpen Mikro: Perbualan Ikan Sapu2 & Ikan Pari

Ada beberapa spesis ikan di akuarium hidupan air di KLCC. Kathy Oom percaya dia mempunyai satu kelebihan yang ajaib. Dia boleh mendengar suara-suara ghaib. Kelebihan itu diwarisi daripada suaminya, seorang pemimpin pertubuhan dakwah. Apabila ia berjalan bersama pengikutnya dalam akuarium besar tersebut, ia terdengar perbualan antara ikan sapu-sapu dan ikan pari.

Ikan pari gemuk hitam berenang dalam kaca akuarium sambil berkata, "Eh ikan sapu-sapu, kenapa kau nak kacau-kacau bapak aku. Duduk diam-diam dan berenang sambil makan lumut sudahlah. Lumut bos kau tak cukup ke nak disapu? Sibuk nak mengacau koloni aku? Apa yang kau cuba lakukan ialah satu pembunuhan tahu tak? Pembunuhan?!"

Ikan sapu-sapu buat bodoh saja. Dia sedang asyik menyonyot lumut dan kotoran. Dalam hati ia mengomel-omel, 'Apalah si malaun cakap pasal bunuh-bunuh ni'.

"Hei ikan bodoh. Jawablah!" Herdik ikan pari hitam gemuk lagi.

Ikan sapu-sapu pun naik darah lalu bersuara, "I menafikan sekeras-kerasnya tuduhan you pari. Dasar gemuk dan hitam. You ingat you tak makan lumut? You pun kotor jugak tahu tak? Sebab itu ada kalangan manusia tak makan ikan pari sebab you pengotor. Tuduhan you tadi adalah sesuatu yang biadap."

Kathy Oom yang pucat lesi mendengar perbualan aneh antara ikan-ikan itu segera kelam kabut keluar dari akuarium KLCC. Beberapa pengikutnya mengekor dari belakang tergesa-gesa. Salah seorang yang berasa hairan melihat tingkah laku Kathy Oom pun memberanikan diri bertanya, "Salam Satu Malaysia. Kenapa Bonda Agung?"

"Sssssyyyy. I can hear voices."

Pengikut itu mendadak terperanjat, terbelalak mata, lalu lesi pucat menggetus dalam hati, 'Hebat Bonda Agung, she can see dead people, she can hear voices. Uhhh. Inilah wali Allah. Takjub. Takjub.'

...ikan pari dan ikan sapu-sapu pun terus bergaduh dalam akuarium yang hanyir baunya itu.

Macam biasa.

1991, 19 Tahun Kemudian







1991. 1991 adalah generasi bohemian** terakhir. 1991, Kolej Islam Sultan Alam Shah, dan 19 tahun kemudian. Ada yang Yang Berhomat, pendakwah tersohor, pengarah penjara, taukeh kedai emas, kapten askar, PTD, doktor pakar, macam-macam kategori kerja lagi. Tidak semua yang hadir, kalau datang setiap seorang tentu lebih banyak cerita.

* Foto diambil dari FB Zally, boleh ya!
** unconventional in appearance, behaviour, etc.

25 May 2010

O Askar


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini menamatkan latihan sebagai askar Wataniah selepas menjalani latihan ketenteraan selama sebulan di sekitar Negeri Sembilan dan Johor.

Menurut Khairy, penyertaannya dalam pasukan simpanan tentera darat itu semata-mata untuk berkhidmat kepada negara dan bukan disebabkan dorongan politik.

Bercakap kepada pemberita selepas lulus sebagai askar Wataniah dalam majlis perbarisan Tamat Kursus Asas Perajurit Muda Siri 1/2010 Rejimen 508 Askar Wataniah, Khairy berkata beliau mempelajari banyak perkara semasa dalam latihan itu dan berharap dapat menarik golongan muda tanpa mengira fahaman politik untuk menyertai askar Wataniah.

Turut hadir menyaksikan Khairy dan seramai 87 orang dalam skuadnya berbaris ialah mentuanya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Jeanne Abdullah.

Khairy berkata walaupun sebelum ini beliau ditawarkan untuk mendapat pangkat Mejar Kehormat (tanpa proses latihan) tetapi berpendapat sebagai orang muda dan mempunyai sedikit stamina, beliau mahu menyertai Wataniah dan turut menjalani latihan tentera.

- Bernama

Merakyat? Tipulah!

Ketika saya menunaikan haji dalam tahun 2008/2009 saya diberitahu oleh beberapa pelajar kita di Ummul Qura yang ada pemimpin kita dari Malaysia, 'hajinya macam tak haji'. Yang seorang lain mencelah memberitahu, 'umrahnya macam tak umrah'. Saya malas menghuraikan apa yang 'hajinya macam tak haji'. Banyak sisinya 'haji macam tak haji' itu. Status pemimpin tidak menjadikan ia berbeza ketika melaksanakan haji atau umrah. Kain putih tak berjahit itulah lambang kesamaan.


Masya-Allah Ahmadinejad, mengapa masih ramai yang tidak nampak?

24 May 2010

Cerpen Mikro: SMS 2

SMS 1: I want to make a deal with you. Can we have an understanding or not? The understanding is quite simple. I help you, you help me. Or else people will condemn me.

SMS 2: How to help you?

SMS 1: Give us second set maaaa. Okay what? You take first and third set.

SMS 2: Not okay lah. You always afraid one. Amah Indonesia you afraid. Apek seberang Tambak you afraid. Tiny country you afraid. You give everything from L to M. Like this cannot.

SMS 1: Dont be troublesome lah. Tell me properly, why not okay?

SMS 2: You dont cheat ahhhh. How can i deal with you. You already dead what?

SMS 1: You still didnt get it ah? No. I am Ummuya. How can Ummuya dies. She is still alive. Have you watch Avatar?"

SMS 2: Not yet. Y?

SMS 1: Haiyaaa. You go and watch. Many billions already watch. Michelle Obama also watch. You understand later. Ummuya she is like Avatar. Blue. Real beauty. Sometimes angry. Big hair one. Sometimes can fight like mafia. She plays badminton too. Very good maaaa. Not like you."

SMS 2: Wait...wait. Ummuya mana satu ni? Yang mati boleh hidup balik tu ke? Atau yang tembun tu? Siap boleh main badminton ni?

SMS 1: Eh why you sms in Malay? Kata nak belajar bahasa Inggeris?

Anugerah Penulisan Sea 2010

SENARAI pencalonan Anugerah Penulisan Sea 2010 dikuasai penyair veteran hampir 100 peratus apabila hanya satu nama penyair muda diterima Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga tarikh tutupnya pada 16 Mac lalu.

Calon daripada penyair muda kali ini hanya diwakili Zainal Palit atau lebih dikenali sebagai Zaen Kasturi, meskipun sepanjang dekad pertama alaf baru ini, nama pengarang generasi yang muncul sekitar 1980-an dan 1990-an yang selalu disebut-sebut ialah Rahimidin Zahari; Ramli Selamat (Marsli NO); Shamsudin Othman; Abdul Hadi Yusof dan Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani).

Zaen Kasturi dijangka menerima saingan sengit daripada Siti Zaleha Hashim yang memenangi Kategori Kumpulan Puisi, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) Ke-18, awal Januari lalu.

Sumber memberitahu Sastera, selain pencalonan Siti Zaleha, sekretariat turut menerima pencalonan seperti Mohd Ghozali Abdul Rashid (Malim Ghozali Pk), Dr Talib Samat, A Rahim Abdullah, Rejab Ismail (Rejab FI) dan Mahaya Mohd Yassin.

“Apabila tempoh pencalonan dibuka kepada institusi, persatuan penulis dan individu, pencalonan akan diterima daripada pihak berkaitan tanpa perlu sekretariat membuat tapisan kepada senarai berkenaan.

“Terpulang kepada institusi, persatuan penulis atau individu untuk membuat pencalonan, tetapi dalam tempoh lebih sebulan, tidak banyak persatuan penulis yang menghantar pencalonan masing-masing,” kata sumber itu.

Nama Zaen Kasturi pernah melepasi peringkat akhir pemilihan Anugerah Penulisan Sea 2007, tetapi terpaksa akur kepada keputusan apabila Jawatankuasa Penilai Anugerah Penulisan Sea 2007 yang memilih Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Prof Rahman Shaari.

Pemilihan Prof Rahman diputuskan Panel Jawatankuasa Pemilih Anugerah Penulisan Sea 2007 yang dipengerusikan Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan dianggotai penerima anugerah terdahulu dan ahli akademik.

Sumber itu memberitahu, nama Zaen Kasturi dijangka tidak sukar untuk sampai ke pusingan akhir berdasarkan kekuatan karyanya, tetapi sekiranya kriteria pengkaryaan tiga tahun mutakhir diberi, maka Siti Zaleha memberi saingan sengit kepada penyair dari Melaka terbabit.

“Ini kerana Siti Zaleha yang juga Pegawai Perancang Bahasa DBP memenangi HSPM Ke-18 lewat kumpulan puisinya, Kristal Di Laut Bulan, berbanding Zaen Kasturi yang lebih berbekalkan kekuatan pada puisi eceran dalam tempoh tiga tahun mutakhir, manakala kumpulan puisinya, Iga pula diterbitkan pada 2005.

“Meskipun panel penilai berhak untuk membawa calon daripada luar senarai pencalonan, mereka dijangka tidak akan berbuat demikian bagi mengelakkan tuduhan bersifat berat sebelah atau cenderung kepada calon pilihan mereka,” katanya.

Sastera diberitahu, Jawatankuasa Pemilih Anugerah Penulisan Sea 2010 masih lagi dianggotai panel sama pada tahun lalu, iaitu Prof Dr Solehah Ishak, Prof Dr A Wahab Ali, Prof Dr Azizah Hamzah, Prof Madya Dr Hashim Ismail dan Prof Madya Lim Swee Tin, dijangka bermesyuarat kali pertama pada akhir bulan ini.

Senario ketiadaan calon penyair muda menimbulkan kehairanan kerana persatuan penulis mula dikuasai pengarang dari generasi yang mencipta nama sekitar 1980-an ke atas termasuk Pena dan Persatuan Penulis Selangor (PPS).

Apatah lagi penyair muda ada kumpulan puisi masing-masing dalam tempoh tiga tahun mutakhir ini seperti Rahimidin dengan kumpulan puisi bahasa Melayu dan Russia, Istana Pasir atau Zamok-Izpeska, Aksara dan Perjalanan Salik; Marsli NO (Kepada Angin Juga dan Di Negeri Mabok); Shamsudin (Taman Percakapan dan Taman Nurani) dan Faisal Tehrani (Ingin Jadi Nasrallah).

Pada tahun ini, pencalonan Anugerah Penulisan Sea 2010 dibuka untuk genre puisi dan syarat terpenting ditetapkan Sekretariat Anugerah Penulisan Sea 2010 ialah warganegara yang berkarya dalam bahasa Melayu dan masih hidup di samping berkarya secara berterusan dalam genre puisi.

Penilaian pula ditumpukan kepada kekerapan karya dalam tempoh tertentu tanpa mengorbankan aspek mutu, estetika dan pemikiran besar serta penggunaan teknik mahupun gaya penulisan, selain melihat edisi yang diterbitkan dalam tempoh tiga tahun daripada tahun pemilihan.

Pencalonan Anugerah Penulisan Sea 2010 yang ditutup pada 16 Mac lalu, mensyaratkan pencalon mengemukakan satu nama dengan hujah bertulis berdasarkan penilaian terhadap karya sastera calon, sumbangan fikiran calon berkaitan dunia sastera dan kegiatan calon dalam menyumbang ke arah pembinaan serta pengembangan sastera kebangsaan.

Pencalonan dari setiap negara pula dikemukakan pada 31 Julai depan kepada Jawatankuasa Penganjur Anugerah Penulisan Sea di Bangkok, manakala majlis penyampaian diadakan di Hotel The Oriental, Bangkok, pada Oktober ini.

Sumber Berita Harian 17 Mei 2010.

20 May 2010

Satira Ketupat Cinta II: Solok Lada Tating Lawi

Tiada diendahkan bantahan Cik Puan Ani Petra itu maka kejohanan tating lawi dan pertaruhan judinya pun dimainkan orang. Arakian menanglah Hang Min Dan pertandingan sengit tersebut mengatasi Hang Wei. Sukacitalah ia, maka segera ia memecat bajunya lalu menampakkan aurat tubuhnya yang sasa. Perutnya pun berketak-ketak. Otot terjojol di sana sini. Geram dan berahilah Cik Puan Rosdah akan Hang Min Dan lalu ia pun memanggil anak muda berketurunan Cina Yunan itu, segera dipaut dan dipeluknya bersungguh-sungguh, lalu kepala Hang Min Dan itu dilekap di celah ketiaknya. Sedikit lagi ia lemas jika tiada dilepaskan

Setelah itu pemain-pemain kejohanan tating lawi pun dipelawa makan-makan. Adapun jamuan yang istimewa ialah solok lada. Adalah solok lada itu sejenis makanan yang dicipta khas oleh Tun Musnah. Hendak menyiapkannya tiadalah susah mana. Jika ada cili merah atau hijau, ikan kembung yang sudah siap direbus, bawang merah dan putih beberapa ulas, lada hitam beberapa biji, sebiji telur dikacau, kelapa parut, garam dan gula secukupnya maka siap siagalah. Ia mengambil isi ikan yang telah direbus lalu ditumbuk lumat-lumat. Ia tumbuk juga bawang dan lada hitam bersama. Ia tumbuk lagi kelapa parut sampai separuh lumat. Ia campur gaulkan segala bahan itu dengan gula dan garam dan telur. Setelah itu ia sumbatkan inti ke dalam cili merah yang merona warnanya atau ke dalam cili hijau yang menyala cahayanya setelah dibelah dan dibuang biji. Solok lada itu dikukus sehingga ia masak. Sedap sungguh tiada terkira. Akan tetapi kerana yang memasaknya ialah Tun Musnah, maka rasanya punah musnahlah jua.

Saat Cik Puan Rosdah sedang menjamu meraikan pemain-pemain tating lawi dengan penuh meriah dan riang ria, Cik Puan Ani pula berasa sebak dan sibu jua. Tiada senang hatinya memikirkan permainan siasah dan helah jahat Cik Puan Rosdah.

Baca penuh di Harakah edisi Jumaat.

Cerpen Mikro: Kesat

Apek Lim menanti Nyonya Kok keluar dari tandas. Khalid, penjaga tandas yang gagap itu mendengar perbualan mereka.

"Lu ada basuh kah?" Apek Lim bertanya.

Nyonya Kok menggeleng.

"Haiya, tak basuh?" Apek Lim masih menuntut jawapan.

Nyonya Kok mulai merah padam.

"Lu bilas?" Apek Lim kian mendesak.

Nyonya Kok terpaksa berterus-terang di situ juga, "Gua kesat dengan tisu."

"Haiya kenapa tak basuh?"

"Nanti lusa gua mandi, gua basuh sekali maaaa." Nyonya Kok mengeraskan suara sambil membundarkan mata yang sepet.

"Tadi tak basuh?"

Nyonya Kok menggeleng.

"Kenapa tak basuh?"

"Gua mahu simpan bukti."

Apek Lim terkesima, "Bukti?"

"Bukti gua berak hari ini. Lu pun suka kan?" Nyonya Kok bersahaja, lalu berjalan mengengkang meninggalkan Apek Lim.

"Hor liao." Getus Apek Lim kegirangan sambil mengekor dari belakang.

Khalid hanya memerhatikan mereka beredar. Dalam hati dia menyumpah-nyumpah. Dia benci mendengar hal-hal kesat begitu. Tapi apa nak buat (apo nak dikato).

Dia hanya seorang penjaga tandas.

19 May 2010

Bayi Tergemuk Di Dunia?
















Lahir dengan berat tiga kilogram. Namun bayi dari Tehran, Iran ini ketika berusia 7 bulan sudah seberat 20 kilogram. Bayi ini minum susu ibunya setiap jam. Namanya Redza.

18 May 2010

Cerpen Mikro: SMS 1

SMS 1: "Mas Maman lo udah dengar Bapak Presiden SBY (Susilo Bambang Yudhoyono) ketemu dengan bapak Najib kelmarin?"

SMS 2: "Udah Rossa sayang. Gue udah dengar. Gue sayang banget ama lu. Lu pembantu rumah seksi hehehe."

SMS 1: "Kita nanti dapat simpan paspor, libur sehari seminggu. Wah aku butuh kamu Maman."

SMS 2: "Aku lagi butuh kamu Rossa. Ya ada paspor ama dengan kita senang kalau kita mau lari deh. Kita bisa ke Kota Raya, Chow Kit Road, bisa ke Central Market, bisa juga ke Wangsa Walk lantas karaoke. Kita juga bisa em em em."

SMS 1: "Apa itu em em em?"

SMS 2: "Kok pura-pura ngak tau!"

SMS 1: "Kalau hamil gimana dong?"

SMS 2: "Ya buang aja tepi masjid."

SMS 1: "Rossa sayang mas Maman."

SMS 2: "Canda. Sayang mesti beri dong. Lu ini ayat-ayat cinta terus-terusan."

SMS 1: "Ayo siap. Gue datang sekarang!"

SMS 2: "Lho pastikan juga rantai ibu Siti simpannya di mana. Kita curi kita samun. Nanti ada gunanya untuk kita."

SMS 1: "Nama gue Rossa. Atas nama cinta aku sanggup apa saja."

17 May 2010

Sebuah Antologi Berisi Revolusi

ANTOLOGI sulung seorang penyair biasanya membayangkan kemungkinannya sebagai seniwan, juga dirinya sebagai warga yang bertanggungjawab. Melalui antologi awalnya ini memang kita dapat menghidu sama ada Faisal Tehrani sudah sampai atau dia masih jauh. Walaupun yang terhimpun karya-karyanya yang pertama, tapi selalunya ia adalah himpunan karya yang biasanya terkuat, malah yang meyakin. Itulah imbasan pertama saya ketika menghayati antologi puisi bergambar “Ingin Jadi Nasrallah”. Benar di sini berlaku persandingan antara kata dan gambar, tapi gambar-gambar iringan itu lebih menghantar fakta latar yang kuat bercerita. Antologi ini membuka—membayangkan kemungkinan dan kehadiran sebuah suara pengalaman dan hajat baru seorang seniwan.

Sebelum ini, puisi Faisal Tehrani menitis lahirnya. Kerana bertitis, maka seperti tidak membasah. Rupa-rupanya, Faisal telah pun bersajak selama lebih sedekad (dari 1992—2008) dan kini sempat menghimpunkan 34 buah puisi tersebut. Daripada puisi-puisi itu terbukti bahawa dia bukanlah seorang penulis yang setempat. Dirinya pengembara yang sungguhan dan konstan, maka puisi-puisinya juga turut memapar dan mengheret pengalaman sepanjang pengembaraannya yang sungguhan dan konstan itu. Cuma, pengembaraan itu bukan suka-sukaan. Sebelum bertolak pun, saya kira, Faisal Tehrani sudah pun mempunyai khayalan tertentunya, dan hajat khasnya.

Sedar atau alpa, ternyata, beliau bergerak dengan peta tersedia—ingin mengetahui segala dan ingin turut mendarma juga. Antologi “Ingin Menjadi Nasrallah” berjaya mengisi hasrat tersebut.

Ada dua laras penciptaannya. Satu, puisi-puisinya lebih menitis daripada membanjir—bayangan bahawa mencipta puisi tidaklah mudah baginya; malah bayangan bahawa puisi hanya wajar lahir jika ia memang “mendesak” dari dalam.

Puisinya yang menitis itu sempat mengumumkan sesuatu daripada bathinnya. Dan biasanya ilham berkesannya langsung daripada pengalaman—kembaranya yang “penuh” krisis.

Dan gugus puisinya itu boleh mengejek—maksudnya, boleh nakal dan “songsang”, tapi mesti—sentiasa mesti—real, walaupun terkadang dipetik peristiwa atau kesan sejarah yang menyentuhnya.

Puisi menitis yang terilham daripada pengembaraannya itu semakin sehari semakin memperjelas sikapnya sebagai seorang seniwan. Dia berada di Tembok Berlin, wajah atau kesan pemisahan bangsa pada satu gelora sejarah yang mengancam sesama sebangsa. Berlakunya di Eropah dalam sebuah zaman yang buas dan berlakunya oleh kekalutan—atau penjernihan gempa ideologi yang sangat lama. Peristiwa yang cepat menjadi kiasan dan “kebijaksanaan” sejarah itu berulangan dalam titisan puisi Faisal Tehrani yang lain, terkadang dikhayalkannya dengan yakin dan lebih panjang seperti di dalam puisi “Mengintai Di Celah Jendela”. Tapi, terkadang mungkin oleh ketergesaan—atau tidak mustahil memang sangat pekat peristiwa yang dialami—maka puisi itu sangat ringkas hingga lahir ke semangat haiku. Puisi “Baitullah” contohnya: Terlalu banyak lampu di langit/ terlalu luas lantai dipijak,/ tapi kita hanya memiliki sebuah rumah/ Baitullah.

Banyak puisi Faisal Tehrani yang sesingkat itu yang menyenak ke semangat haiku. Contoh lain yang wajar disebut puisi ialah “Doa Bonda Dari Barzakh”, “Nasib Pengembara” dan “Bercinta”.

Melalui pengalaman peribadi saya setiap puisi berkesan selalunya meriakkan getaran—sesuatu yang kita rasakan secara sponton, ketika membaca sesebuah puisi berulangkali. Jika puisi itu ada getarannya, kita akan mudah terjemput untuk melawatinya semula. Dan, biasanya juga, puisi yang sama akan menghantar semula getaran kenikmatan dan kebijaksanaan yang sama. Kita sentiasa ingin ulang membacanya. Saya merasakan getaran sedemikian pada puisi-puisi “Terus Doa”, “Untuk Basti” dan “Doa 2”.

Dan apakala Faisal menghirup sejarah pula, dia menjadi sangat berkesan—tidak sekedar pengalaman inti puisi yang dihantarnya, malah kemungkinan bayangan citra batin yang tersembunyi di dalam puisi-puisinya itu. Contoh terkuatnya bagi saya, barangkali, ialah puisi “Mengintai Di Celah Jendela” dan “”Mengenang Pembukaan Konstantinopel”.

Kelahiran dua buah puisi sejarah ini membayangkan kemampuan dan kehadiran Faisal Tehrani sebagai penyair, walaupun hanya dengan baru sebuah antologi ini.

Di dalamnya Faisal dapat juga meresahkan kita melalui seekor lalat yang membingiti mimbar masjid.

Dari sisi teknis dalam sepanjang-panjang (atau sependek-pendek) 34 buah puisinya, Faisal Tehrani terbukti selesa, malah santai, satu kelebihan bakat alaminya. Rangkap-rangkapnya tidak terlalu bergantung kepada irama atau rima. Tidak juga ada akrobat kalimat atau kekata; tidak ada manipulasi bunyi yang mengada-ngada.

Yang selalu kedengaran ialah suara jernih di malam hening—jelas dan langsung. Saya kira, memang itulah kekuatan utama Faisal Tehrani sebagai penulis (kini penyair) walaupun dengan himpunan puisinya yang sejemput itu dia sempat hadir menegap di situ.

Dengan suara sederhana, berani bersikap, subur berakar, malah garang—Faisal Tehrani mula hadir berkesan dalam dunia puisi mutakhir. Penyair tulen biasanya menghantar isyarat dan ibarat sebelum sesebuah negara mudarat. Ada pesanan sedemikian dalam antologi “Ingin Menjadi Nasrallah” ini. Setiap puisi diyakinkan perlu menghidu masalah tanah air—juga resah negara luar—baik dipetik dari dalam, mahupun terpetik dari luar. Melalui langgam suara dan idioma bersahaja dengan tema bergelora, maka penyair ini telah sempat menghantarkan dan menjeritkan “Sepucuk Surat Berisi Revolusi”.—A. SAMAD SAID.

* Kertas SN A. Samad Said membicarakan Ingin Jadi Nasrallah di Diskusi Tiga Penyair, 11 Mei 2010, ASWARA. Di larang menerbit kembali (namun dibenar untuk dipautkan di sini).

16 May 2010

Jalan-Jalan Cari Kek


Hujung minggu, setelah membentang makalah 'Ayo Jadi Askar Budaya' saya kira sedap sekali menjamah kek lapis Sarawak bikinan penyanyi 'Asmara Ini'. Bersama Hajjah Deja Moss di Hadeeja Cafe, No 1G Jalan Ukay Perdana.

* Foto oleh Amir Hamzah, dilarang menerbit kembali. Hubungi * Foto dirakam oleh Saudara Amir Hamzah Abdul Kahar, fotografer rasmi Faisal Tehrani. Seni Reka & Fotografi Sejuta Wajah. Telefon: +60162023804. Laman Web: http://sejutawajah.fotopages.com/

** Kek lapis Kak Deja, hubungi hadeeja@mossgroup.com.my

15 May 2010

Mati

Ini video lama, rakaman 30 Mei 2006. Perginya Ahmad Ahmadinejad, bapa kepada Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad. Saya naikkan di sini untuk kita semua mengingati mati. Perdana Menteri, isterinya, saudara, saya...semua kita.

Akan pergi.

Syiah, Eksistensialisme dan Pasca Moden


Sofa Putih ITNM, PBAKL 2010

14 May 2010

Cerpen Mikro: Cawan Thomas (2)

Seperti anda, Kak Anne dan Kak CT menonton pertandingan Cawan Thomas di televisyen. Sungguh mendebarkan.

Kak Anne merungut, "Tak ada semangat mereka ni. Kita berputih mata lagilah Cik Ti. Benci aku tengokkan Lin Dan tu, dah menang siap tanggal-tanggalkan baju."

Kak CT mengesat air matanya yang berjujuhan.

"Dia tak datangkan? Yang rambut mengerbang bermata sepet tu, tak datangkan?" Kak Anne inginkan kepastian. "Kau kan boleh nampak makhluk halus. Ada ke hantu tu datang?"

Kak CT menggeleng, dalam sedu yang belum habis dia bersuara, "Kali ini sebab lain."

Kak Anne menggetap bibir.

Kak CT terketar bersuara. "Mereka tak dapat berkat macam biasa. Dia tak datang. Kalau dia datang, biasakan dia peluk. Ala 'mama-mama' yang beri motivasi. Tapi kali ini, dia...dia tak datang. Big Mama tak datang...sebab itulah kita kalah. Kau tak nampak ke, mereka mahukan mama mereka."

Kak Anne tarik muka meluat, "Heh meluat betul aku minah ni. Orang tanya betul-betul ni!"

Cawan Thomas Volume 1, klik sini.

Michelle Yeoh Sahajalah Yang Membaca

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Selebriti antarabangsa Datuk Michelle Yeoh ada misi baru untuk anda semua di tanah air.

Jelitawan kelahiran Ipoh, Perak (dengan nama Yeoh Choo Kheng) ini yang terkenal dalam pelbagai watak lakonan dalam filem aksi di Hong Kong dan Hollywood ingin mempromosi tabiat membaca terutama di kalangan umum -- seiringan dengan perlantikan beliau sebagai ikon baru untuk program "Mari Membaca 1Malaysia".

Seorang yang percaya bahawa pengetahuan mampu memperkayakan minda, Yeoh berkata, membaca ialah satu tabiat yang boleh dipupuk dan ia hendaklah ditanam sedari usia muda lagi.

"Abang saya mempunyai empat anak dan membaca adalah satu daripada amalan yang saya amat tekankan ke atas mereka, sejak mereka kanak-kanak lagi," katanya.

Beliau berkata membaca adalah pelengkap dalam kehidupan setiap manusia di samping menjadi satu keperluan untuk membina sebuah negara membangun.

ULAT BUKU

Membaca telah menjadi kegemaran sejak sekian lama bagi bekas ratu cantik ini, yang kini menjadi pelakon aksi kung-fu.

"Saya biasa membaca dalam bilik air semasa remaja, walaupun sekarang tidak lagi melakukan tabiat itu," jelas beliau.

Malahan, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa kehidupan aktres berkenaan, yang terkenal dengan lakonan dalam filem seperti James Bond: "Tomorrow Never Dies", "Crouching Tiger, Hidden Dragon", bergelumang dengan buku, di mana beliau meluangkan setiap masa lapangnya dengan bahan bacaan yang sentiasa ada di sisi.

Purata beliau membaca antara 10 dan 15 buku sebulan tidak kira fiksyen, perniagaan, komunikasi, sains, treler, kerohanian dan alam sekitar.

"Saya banyak membaca, jika awak datang ke bilik tidur saya, terdapat di sebelahnya satu rak buku.

"Saya membaca tak kira apa jua, terutama yang berkaitan dengan kerja. Tapi saya juga suka fiksyen, hasil karya Sidney Seldon dan Michael Crichton.

Beliau menjelas lagi, apabila menaiki kapal terbang, akan terdapat sekurang-kurang dua atau tiga buku dibawa bersama dan kalau tiada beliau akan "menjadi amat gelisah".

PILIHAN TEPAT

Awal tahun ini, Yeoh secara rasmi dilantik sebagai ikon untuk Program Membaca IMalaysia Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri berkenaan Senator Heng Senator Heng Seai Kie.

Heng berkata kementerian berkenaan berharap dengan populariti dan status Yeoh sebagai aktres antarabangsa, dapat mempengaruhi dan memupuk tabiat membaca di kalangan orang ramai di negara ini.

Beliau juga yakin Yeoh boleh menjadi duta bagi memperkenalkan kerja-kerja kesusasteraan di peringkat antarabangsa.

"Justeru, saya kira pemilihan beliau (Yeoh) sebagai ikon kempen Membaca 1Malaysia adalah satu pemilihan yang tepat dan wajar," tambah Heng.

KOMITMEN PERIBADI

Pada pelancaran program berkenaan, Yeoh mencadangkan agar "Michelle Yeoh's Reading Corner" (Sudut Membaca Michelle Yeoh) diwujudkan di Perpustakaan Negara, di mana beliau juga bersedia menyumbang sebahagian daripada koleksi buku beliau untuk dikongsi bersama dengan pembaca ulat buku di sini.

Aktres berkenaan juga biasa aktif dalam projek-projek amal di Hong Kong di mana beliau mengumpulkan buku dan peralatan tulis untuk didermakan kepada kanak-kanak miskin di tanah besar China.

Selain itu, beliau merancang untuk mengadakan sesi membaca dengan pembaca lain dan berharap dengan berbuat demikian beliau akan dapat menjalinkan hubungan mesra dengan pembaca tempatan.

Beliau juga menggalakkan penyertaan dari sektor swasta dalam program peringkat kebangsaan ini.

"Adalah penting untuk mengingatkan kepada kanak-kanak bahawa sama ada anda seorang pekerja bank, pemberita atau sebarang profesion, membaca adalah amat penting dalam kehidupan anda," tambah beliau.

MISI KEBANGSAAN

Meskipun sibuk dengan jadual harian, aktres ini tetap berusaha untuk meluangkan lebih masa di tanah air untuk program berkenaan.

"Malaysia ialah kampung halaman saya dan saya selalu balik ke sini yang kadang-kadang secara senyap-senyap. Dengan projek ini dalam tangan, saya selalu luangkan lebih sehari atau dua hari di sini untuk program berkenaan.

"Saya rasa secara ini ia akan membawa saya pulang ke Malaysia dengan satu misi," katanya.

Selain bertindak sebagai ikon untuk program tersebut, Yeoh juga ialah Duta Keselamatan Jalan Raya Global untuk Persekutuan Automobil Antarabangsa (IAF).

Beliau juga kini aktif dalam pemuliharaan hutan dan binatang di rantau ini.

"Saya beranggapan wujud satu sinergi baik antara ketiga-tiga projek yang saya turut terlibat.

"Jadi saya fikir saya boleh galas kesemuanya," katanya.

MEMBACA LUASKAN MINDA

Yeoh berkata, selain daripada suka-suka, bahan bacaan beliau banyak yang berhubung dengan tugasnya.

"Sebagai produser dan aktres, saya banyak membaca untuk melakukan kajian mengenai watak yang saya akan lakonkan.

"Contohnya, apabila penggambaran Memoirs of a Geisha, saya banyak membaca mengenai budaya di Jepun dan geisha," katanya.

Sekarang ini beliau sedang membaca mengenai pemuliharaan dan negara-negara di rantau sini bagi mendapat kefahaman yang lebih mengenai masalah kegiatan penebangan pokok hutan di samping aktiviti pemuliharaan yang telah dilaksanakan.

Jika ada lagi masa terluang beliau akan menyelak buku-buku mengenai kerohanian.

"Saya seronok membaca buku mengenai agama orang lain atau agama saya sendiri kerana saya berpendapat bahawa ia adalah satu-satunya cara anda boleh memiliki fikiran yang luas dan memahami mengenai kepercayaan dan agama orang lain," katanya.

-- BERNAMA