30 April 2010

Jumpa Di Shah Alam Ya!

KEHANGATAN Malam Puisi Riong Shah Alam, Selangor: Wasilah Cinta Pencipta dan Manusia yang akan berlangsung di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam, pada 30 April ini, jam 8 malam, semakin dirasai dan pasti memberi kepuasan kerana ia menggabungkan persembahan Sasterawan Negara (SN), penyair muda dan artis terkenal tanah air.

Penyanyi yang mencipta nama dengan The Fan Club ketika berada di New Zealand, Aishah mahu berkongsi puisi nukilan Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka D(BP), Salmiah Ismail kerana baginya karya penulis wanita itu mampu menyentak rasa dan sesuai dengan tema acara Malam Puisi Riong kali ini.

“Selain puisi Salmiah, khalayak pada Malam Puisi Riong - Shah Alam, Selangor akan turut mendapat ‘bonus’ kerana saya juga akan berkongsi dengan khalayak sebuah lagu baru dari album koleksi zikir dan doa, Anak, hasil ciptaan Dakmie dari Nasyeed.com yang menggunakan lirik garapan saya,” katanya ketika dihubungi Sastera.

Malam Puisi Riong Shah Alam, Selangor anjuran bersama Unit Sastera, Berita Harian dan Majlis Bandaraya Shah Alam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Komuniti Akar adalah destinasi kelima dalam siri jerayawara program terbabit tahun ini.

Tirai Malam Puisi Riong tahun ini dibuka di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, pada 3 Februari lalu sebelum singgah ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, (17 Mac); Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai (27 Mac) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh (7 April).

Bintang realiti One In A Million (OIAM) musim ketiga, Muhammad Ridzuan Sharifuddin pula ketika dihubungi berkata, penganjuran Malam Puisi Riong bertepatan dengan konsep mendekatkan masyarakat dengan akar umbi warisan dan budaya melalui deklamasi puisi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Rizu yakin bahawa Malam Puisi Riong perlu dipergiatkan lagi kerana melaluinya kegiatan sastera dan kesenian tempatan dapat didedahkan kepada masyarakat umum selain boleh menjadi lapangan kepada penggiat sastera dan seni tanah air untuk ‘berkomunikasi’ dalam genre puisi dengan khalayak.

“Malam Puisi Riong mampu menjadi landasan bagi peminat sastera dan seni tanah air mendekati pengkarya dan artis yang beraksi di pentas acara malam itu. Saya selesa dengan acara sedemikian kerana sudah terdedah dengan berbalas pantun, gurindam dan syair sejak zaman persekolahan lagi.

“Saay bercadang mendeklamasikan puisi, Kamarul Zaman, pada malam itu nanti kerana saya sudah terbiasa dengannya sejak kecil lagi selain akan menyampaikan lagu popular nyanyian M Nasir, Kepada-Mu Kekasih untuk dikongsi dengan khalayak Malam Puisi Riong,” katanya.

Acara itu akan turut diserikan dengan persembahan Penerima Anugerah Penulisan Sea 2005, Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi dan turut menampilkan pengarang muda, Faisal Tehrani malah, ia akan turut dimeriahkan dengan tayangan filem pendek, persembahan gerak tari, pameran lukisan dan jualan buku kreatif sebagai pengisian acara.

Selain penyair veteran dan artis tersohor, penyair muda yang akan turut beraksi dalam jerayawara kali ini ialah Fynn Jamal, Mohd Zulfahmee Ismail, Ashraf Ishak, Mohd Suffian, Mohd Hatta Mohd Yatim, Fareha, Fazleena Hishamuddin dan Norr Azah.

Malam Puisi Riong kali ini akan turut dimeriahkan dengan persembahan bintang Akademi Fantasia 7, Rini; SN Datuk (Dr) A Samad Said, SN Datuk Dr Anwar Ridhwan; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Mat Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.

Orang ramai khususnya peminat sastera di Selangor dipelawa datang beramai-ramai menyaksikan Malam Puisi Riong dan masuk adalah percuma dan mereka yang hadir akan turut berpeluang meninjau pameran fotografi serta jualan buku kreatif oleh KarnaDya Solutions Sdn Bhd.

* Foto sekadar hiasan, sebagai satu motivasi pembakar semangat buat saya malam ini.

Sumber Berita Harian 28 April 2010.

Cerpen Mikro: Merajuk

Kak Kiah ketua pengasuh di kota NoWhere. Di kota ini hanya ada sebuah pusat asuhan kanak-kanak. Macam tadikalah kiranya juga. Minggu lepas, seorang pengasuh di bawah kendalian Kak Kiah, nama dia Kak Melah; telah membelasah seorang bayi berusia 15 bulan sampai mati. Kepada emak bayi tersebut yang menangis dan melalak teresak-esak, Kak Kiah memberitahu yang anaknya itu jahat dan suka main tembak-tembak dengan pistol pasar malam.

"Budak-budak lain, termasuk saya tak boleh nak lena." Kak Kiah beritahu lagi yang bayinya itu payah tidur, ia suka merayap dan mengelak diri bila disuruh berhenti seketika dari bermain 'ultraman-ultraman'.

"Kami suruh berhenti kejap bermain sebab nak suapkan cikodok. Tapi budak tu tak nak berhenti. Memang budak jahat. Dia buat tangan silang macam ultraman kemudian dia ketuk hidung Kak Melah. Jadi Kak Melah nak pertahankan diri, dia pun katuk baby tu sampai mati. Nak buat macam mana, tak tahulah pulak dia nak mati."

Bila makin ramai orang marah Kak Kiah dan pengasuh-pengasuhnya yang garang itu, segera dengan muka cembeng dan menuntut simpati Kak Kiah memberitahu, "Kak Kiah tak nak jaga lagilah budak-budak ni. Carilah pusat asuhan lain kalau ada. Kak Kiah dan lain-lain tak nak jaga. Biar budak-budak ni mampus atau kena culik dek orang jahat. Hah sekarang nak suruh Kak Kiah jaga ke tak? Cakap? Cakap? Nak suruh jaga ke tak? Bukan main pandai je kritik Kak Kiah. Tak tahu ke Kak Kiah penat ni. Budak-budak ni jahat tak ingat tau."

Ibu bapa yang tadi bising-bising memang tiada pilihan lain di kota NoWhere. Mereka tersentak lalu terdiam. Dan Kak Kiah, Kak Melah termasuk lain-lain pun terus berkhidmat dengan penuh dedikasi di tadika tersebut.

Baca Puisi di Laman Budaya Shah Alam


MBSA bersama Berita Harian dengan sokongan Stanco Kebudayaan dan penglibatan komiti Akar membawakan Malam Puisi Riong - Shah Alam, Selangor dengan mengangkat tema (wasilah cinta pencipta & manusia) pada 30 April (Jumaat) bertempat di Laman Budaya Shah Alam pada jam 8.00 mlm.

Jom berpuisi di Shah Alam malam ini!

29 April 2010

Cerpen Mikro: Sisters of Liberalism Kecam Gerabak Merah Jambu Komuter


Badan Bukan Kerajaan, SOL atau Sisters of Liberalism secara rasmi membuat bantahan kepada Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter ekoran wujudnya koc ‘Wanita Saja Sepanjang Masa’. Koc dengan warna merah jambu bagi memberi jaminan keselamatan dan keselesaan kepada orang perempuan itu diperkenalkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang semalam. Ia juga akan mulai diluaskan ke laluan lain mulai Mei ini (lihat di sini).

Jurucakap SOL, Wan Gayah Ibrahim mengkritik perlaksanaan tersebut sebagai 'menghina, merendahkan kemampuan, dan menyebabkan wanita tersisih dalam satu gerabak pendek serta kecil berwarna suram iaitu merah jambu.'

"Kami menuntut kesamarataan. Wanita mesti berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki. Lagipun, koc yang disediakan oleh KTMB membuatkan sesetengah wanita yang ingin bergaul bebas dengan lelaki seperti teman lelaki mereka berasa tidak selesa. Wanita mesti diberi peluang untuk berkawan-kawan. Koc ini juga menyebabkan lelaki yang cenderung keperempuanan atau perempuan yang cenderung kelakian berasa dianaktirikan, diketepikan dan didiskriminasikan. Ini tidak sihat untuk Malaysia. Dalam negara yang mengamalkan 1Malaysia kita patutnya mengamalkan '1Koc Untuk Semua." Kata Wan Gayah Ibrahim yang pernah menjadi imam sembahyang Jumaat di beberapa surau di Bangsar dan Bukit Bintang satu masa dahulu.

Apabila ditanya mengenai sambutan positif penumpang wanita terhadap koc tersebut, Wan Gayah Ibrahim cuma menjawab dengan nada skeptikal, "Mereka yang menggunakan koc tersebut kolot. Apa salahnya duduk dan berdiri bersesak-sesak dengan lelaki? Ini adalah alaf baharu. Perlaksanaan koc wanita ini kerana terikut-ikut dengan negara Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Iran. Jangan gunakan alasan gender untuk mengenepikan wanita."

Kolumnis terkenal sebuah akhbar tabloid, Datuk Paduka Ir. Kholidah Samad yang turut dihubungi bagaimanapun sedikit berbeza pandangan dengan Wan Gayah Ibrahim, "Kalau koc itu dilaksanakan supaya wanita tidak kena raba dek lelaki maka saya sokong. Punggung saya sendiri pernah kena pegang sekali dulu di Shah Alam. Saya tak suka orang pegang punggung saya. Tapi kalau koc itu dilaksanakan kerana alasan hukum iaitu lelaki dan perempuan tidak harus bercampur maka saya tidak setuju dan membantah dengan tegasnya. Setiap amalan mestilah dengan niat kata hadis nabi. Jadi saya nak tanyalah niat KTMB di sini? Hukum tidak boleh bercampur baur tu semua ciptaan ulama dan tidak sesuai lagi dengan iklim politik negara kita pasca PRU ke 12." Demikian ujar penyokong kuat SOL tersebut.

Ingin Jadi Ahmadinejad



Selepas pulang dari Malaysia beberapa tahun lalu, melihat pembangunan pesat Malaysia, Dr Ahmadinejad berikrar untuk terus membangunkan Republik Islam Iran. Dalam satu pertemuan dengan beberapa rakyat kecil yang dianjurkan sebuah NGO, seorang wanita tua memberitahu; "Selepas tuan pulang dari Malaysia saya bersumpah untuk terus bersama tuan. Saya membayar sedekah setiap bulan atas nama tuan. Tuan tidak keseorangan kerana saya mendoakan tuan sentiasa."

Wanita ini membuatkan Ahmadinejad menangis kerana terharu. Dalam ucapannya wanita tua itu menunjukkan kecintaan yang luar biasa sekali buat pemimpinnya.

Belum. Menurut saya, belum ada kecintaan seperti ini untuk seorang pemimpin di sini. Kerana belum ada kecintaan yang tulen, tulus, luhur dan murni daripada seorang rakyat untuk sebenar-benar pemimpin. Yang ada ialah kecintaan berasaskan materi. Waima ia seorang ulama sekalipun.

28 April 2010

1Malaysia? Fikirkan Kembali

Tahukah anda, 72.1% remaja Cina merasakan bahasa Melayu tidak penting; diikuti oleh Kadazan 40%, India 37%, lain-lain kaum 31%, Iban 28.8% dan Melayu 23.9%. Ini adalah kajian persepsi remaja terhadap bahasa Melayu oleh Profesor Dr Nor Hashimah Jalaluddin dari Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik UKM dengan kertas beliau berjudul Sosiokognitif dan Penguasaan Pragmatik Bahasa Melayu Remaja Malaysia: Kupasan Ilmiah.

Anehkah? Tidak aneh. Di sini tidak aneh. Orang yang tidak berjuang memansuhkan PPSMI boleh mengaku dia turut berjuang. Aktivis yang tidak mengasuh keluarganya dengan bahasa Melayu boleh sahaja mengakui dia adalah pejuang paling hadapan untuk bahasa Melayu. Orang selalu terlupa, bahasa adalah alat serta tampungan budaya dan pemikiran seseorang itu*.

Apa bahaya fakta di atas untuk generasi akan datang? Baca berita di bawah; krisis politik yang menimpa sebuah negara kecil, kita boleh mengalaminya dalam tempoh 30 tahun lagi:

BRUSSELS (sumber Berita Harian 28 April 2010):

Kerajaan Belgium tumbang semalam di tengah perpecahan antara kelompok bertutur bahasa Belanda dan puak bercakap bahasa Perancis, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai masa depan negara itu sebagai sebuah negara bersatu menjelang pilihan raya.

Dua bulan selepas mengambil alih jawatan pengerusi Kesatuan Eropah (EU), istana mengumumkan Raja Albert II menerima tawaran Perdana Menteri, Yves Leterme untuk meletak jawatan selepas rundingan antara kumpulan bertutur bahasa Flemish (bahasa Belanda-Belgium) dan kumpulan yang bertutur bahasa Walloonia (bahasa Perancis dengan dialek berbeza) menemui jalan buntu.

“Raja menerima peletakan jawatan kerajaan,” kata satu kenyataan ringkas, selepas kegagalan usaha Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Didier Reynders untuk menyelesaikan masalah dalam kerajaan pakatan yang lemah itu.

Reynders yang menghabiskan tiga hari menaja rundingan bagi pihak Raja, memberitahu stesen televisyen negara bahawa kemungkinan mengadakan pilihan raya akan mewujudkan bahaya besar terhadap masa depan negara itu.

“Saya bimbang dengan pilihan ini kerana ia akan menjerumuskan negara ke kancah krisis yang amat serius,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pilihan raya segera di negara itu.

Leterme, 49, yang pernah dua kali meletak jawatan sebelum ini akan mengakhiri jawatannya pada Khamis, tetapi Raja enggan membuat sebarang ulasan dalam usaha terdesak untuk meminta kedua-dua puak kembali berbincang selepas pemimpin puak Flemish yang berpendirian keras meninggalkan meja rundingan.

Kenyataan pihak istana menyatakan Raja hanya meminta kerajaan mengendalikan masalah yang belum diselesaikan, memberi isyarat kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan di tiga wilayah iaitu Flanders, Wallonia dan Burssels yang menempatkan ibu pejabat Kesatuan Eropah.

“Adalah mustahil untuk mencapai persetujuan antara puak bertelagah dalam masalah bahasa untuk membentuk pakatan, ketika keadaan tidak stabil semakin ketara,” kata satu kenyataan dari pejabat Leterme.

Reynders berkata Leterme mengakui bahawa masalah ‘hilang keyakinan’ antara puak yang berbeza bahasa menyebabkan rundingan hampir mustahil dilakukan.

“Satu-satunya pilihan yang ada ialah kesediaan Raja untuk mencari perunding yang boleh berkompromi bagi mengatasi perpecahan undi di parlimen,” katanya. – AFP

* Adakah kita memusuhi bahasa lain untuk dipelajari, tentunya tidak!

27 April 2010

Satira Ketupat Cinta II: Putu Mayam Sudah Dibacakan Doa

“Tun Halimah itu adik beradik kita juga.” Balas Cik Puan Rosdah cepat. “Ampun tuanku. Sembah patik harap diampun. Kita dulu pernah minum. Tetapi itu cerita lama. Adapun kita ini sudah bertaubat tuanku. Adapun Cik Puan Ani ini calon pintu belakang. Harus ia ditolak dan jangan dipertimbangkan menjadi permaisuri Satu Melaka.”

Cik Puan Ani hampir menangis lalu berteriak, “Ini semua fitnah. Dia itu tidak menggunakan nama Allah kalau berzikir. Dia guna nama Pornthip. Orang yang sokong penggunaan nama Pornthip dalam sembahyang adalah tidak beriman!”

Cik Puan Rosdah tanpa berlengah menyahut, "Jangan sampai kita adukan tuduhan tuan kepada Tun Yem Kuala Berai lalu kita saman tuan. Kita dulu pun sebelum tiba di Melaka dan masih pingitan di Teluk Kemang kena macam-macam. Dulu, ada orang kata kita ini sudah bersuamikan pedagang Cina di Temasik. Itulah siasah. Banyak helah. Orang yang dengar itu, patutlah buat penilaian sendiri."

“Fitnah. Fitnah. Pembaharuan. Pembaharuan. Cepat takbir! Takbir cepat!” Dang Azidah cuba menyemarakkan suara para abdi dan anak kapal dengan harapan mereka akan turut serta. Namun anak-anak kapal dan para hamba hanya berdiam diri sambil berpeluk tubuh. Salah seorang daripada mereka membuat isyarat kepada Dang Azidah atau Kolonel Minah yang mereka ini sekadar peneroka di Satu Melaka, tiada mahu memandai-mandai.

Baginda Parameswara yang masih bersemayam di atas takhta kelihatan bodoh sahaja. Dalam suasana tidak menentu itu Tun Musnah segera mencubit paha suaminya, Dato Bendahara. Tun Perpatih Tulus pun terlatah bangun lalu bersuara tanpa gagap seperti biasa, “Adalah tuanku telah bertitah kepada kita kelmarin adapun sebelum tiba di negeri China hendaklah kita menabalkan seorang permaisuri. Dan baginda telah berkenan menabalkan Cik Puan Rosdah atau Tun Kuala sebagai permaisuri Satu Melaka yang baharu.”

Maka bergegak gempitalah bahtera diraja dan seisi rombongan tatkala anak kapal berteriak, “Daulat Tuanku. Daulat Tun Kuala.”

Bergegarlah suara itu menerpa ke telinga Tengku Kumut, Tun Yem Kuala Berai, Mufti Malun dan Tun Lepat. Masing-masing ada di kamar sendiri. Tun Lepat pun bertanya kepada Busu Jongos perihal bising-bising di atas geladak kapal utama. Maka Busu Jongos pun menjelaskan, “Adalah baginda tuanku menabalkan Tun Kuala sebagai permaisuri.”

Serta-mertalah Tun Lepat berasa keanehan. Ia pun membuat keputusan untuk masuk ke dapur. Cepat-cepat ia menyediakan tepung beras, air panas dan garam secukupnya. Ayahanda Tun Lepat juga menyediakan santan dari sebiji kelapa, menyiapkan setengah kerek gula Melaka, sedikit tepung beras ia sangaikan, daun pandan, garam secubit dan dua biji telur dipukul dahulu. Sambil itu Tun Lepat berselawat dan menyebut-nyebut nama Zahra. Adalah menyebut nama puteri Rasulullah itu dapat saja mengebah sihir dan buatan orang.

Satira Ketupat Cinta musim kedua disirikan di Harakah setiap Jumaat.

26 April 2010

Baca Puisi Lagi


Malam Puisi Riong - Shah Alam, Selangor dengan mengangkat tema (wasilah cinta pencipta & manusia) pada 30 April (Jumaat) bertempat di Laman Budaya Shah Alam pada jam 8.00 mlm.

Malam puisi tersebut akan membariskan Sasterawan Negara iaitu Y.Bhg Dato A.Samad Said dan Y.Bhg Dato Dr Anuar Rethwan. Antara aktivis seni yang lain ialah Pak Agi, Faisal Tehrani, Ahmad Shukri Abdullah, Fynn Jamal, Mohd Zulfahmee, Ashraf Ishak, Mohd Suffian, Mohd Hatta Mohd Yatim, Siti Fariha, Fazleena Hishamudin dan Noor Azah.

Bacaan puisi dan lagu juga akan didendangkan oleh penyanyi Aishah, Rizu Bintang Realiti (OIAM) dan Rini (AF7). Orang ramai juga berpeluang mendengar bacaan puisi oleh Y.B Puan Rodziah Ismail dan juga Y.Bhg Dato Mzalan Mat Nor (Datuk Bandar Shah Alam).

Selain itu persembahan gerak tari, persembahan muzik oleh Serambi dan tayangan filem pendek bertajuk "Sujud" akan menjadi bingkisan menarik pada malam tersebut.

25 April 2010

Cerpen Mikro: Kim Jong-il Utus Kawat Tahniah


Sumber APF - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il menghantar perutusan tahniah kepada media massa negara ini kerana memberi 'inspirasi kepada rakyat Korea Utara dari segi keterbukaan dan akses berita.'

"Pemerhatian saya sepanjang minggu lepas membuktikan media massa negara anda menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi. Saya telah meminta menteri propaganda Korea Utara belajar cara media massa negara anda berperanan." Ujar Kim Jong-il yang jarang muncul di khalayak ramai.

"Kami merancang untuk menganjurkan polisi Korea Nan Satu di mana rakyat diutamakan dan pencapaian dilipat gandakan."

Pemimpin Korea Utara yang dianggap misterius itu pernah mengakui meminati nasi lemak dan teh tarik. Beliau dilaporkan menyatakan hasrat untuk mengunjungi negara ini. Selain makanan tersebut beliau juga dilaporkan menggemari durian, putu mayam dan kuih bulan.

"Kita mempunyai terlalu banyak persamaan, selain gaya rambut karan (mengerbang)."

Cerpen Mikro: Rose Chan Dakwa Dahului Kiraan

Rose Chan, calon bebas yang merupakan Presiden Parti Isteri Garang (P.I.G) yang belum didaftarkan mendakwa partinya yang menggunakan lambang 'nasi lemak tetek gergasi' sedang mendahului kiraan undi pada pilihanraya kecil Hulu Selangor P94. Rose Chan yang ditemui di pusat pengundian Kalumpang dalam keadaan bertongkat pagi ini menjelaskan partinya adalah parti yang tidak bermasalah.

"Demi Allah kami tak rasuah. Kami tak minum todi. Kami tak main lumba kuda. Kami cuma garang, tetapi kegarangan kami bertempat. Itu pun kami tak berapa garang lagi dah. Kami dah bertaubat dan meminta maaf kepada suami. Tuduhan dan fitnah, serangan peribadi yang mengatakan Kak Rose suka tampar suami adalah tidak berasas. Foto-foto yang beredar di internet telah diubahsuai." Kata Rose Chan seraya menunjukkan dua pucuk surat daripada suami tercinta yang menjelaskan dirinya tidak membuli suami.

"Mungkin orang nampak macam garang, tapi sebenarnya Kak Rose sayang. Kak Rose akan pastikan suami tidak susah hati. Jadi hal yang tetek bengek, Kak Rose lah yang tangani."

Apabila disoal bagaimana Rose Chan meyakini partinya akan menang berbanding parti-parti yang lebih dominan, beliau menjawab, "Allah mentakdirkan perkara ini berlaku." Balas Rose Chan selamba. "Ini juga petunjuk kami bukan boneka kepada Yahudi. Tuduhan yang mengatakan Kak Rose sebagai Yahudi dan bersikap Queen Control adalah dilakukan oleh orang munafik dan pembohong yang terdesak. Kami adalah kaum wanita yang berani. Sekiranya berlaku peperangan, kami boleh berada di barisan hadapan untuk mengebom musuh seperti Yahudi. Kami juga penyayang. Buktinya, kami sering memperjuangkan isu kanak-kanak lembam. Kami juga mementingkan estetika, buktinya kami sering melawa dan berbelanja di pusat beli-belah."

Dalam ceramah kempen penutupnya malam kelmarin, Rose Chan, satu-satunya calon bebas untuk pilihanraya kecil ini mengatakan bahawa, "Haram Kak Rose berdamping dengan Yahudi. Kak Rose anti Yahudi. Kak Rose tidak buat kerja itu semua," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh kira-kira 13 orang hadirin.

Kajian Zentrum Future Studies menunjukkan Rose Chan mendapat sokongan daripada kaum ibu tunggal di felda-felda sekitar Hulu Selangor. Rose Chan yang lebih mesra dipanggil dengan Kak Rose juga disokong kuat oleh kaum wanita India di estet-estet. Sepanjang kempen pilihanraya kecil P94 sepanjang minggu ini Rose Chan menggunakan pendekatan berhemah iaitu membaca puisi 'Satu Gggggeeerrrrgasi', bercakap dengan lemah lembut dan santun, mencium tangan orang yang lebih tua, berceramah di kuil dan tokong (Rose Chan dilarang dari berkempen di masjid), termasuk menawarkan 'nasi lemak tetek' untuk pengundi-pengundi Hulu Selangor.

"Kak Rose optimis menang. Bukan kaum wanita saja yang akan mengundi Kak Rose, kaum lelaki juga nampak suka sangat dengan 'nasi lemak tetek' Kak Rose. Mereka mengaku akan mengundi kak Rose. Masyarakat Boyan juga telah berikar akan memenangkan Kak Rose."

Rose Chan bagaimanapun tidak mengundi dalam pilihanraya kecil ini kerana mendaftar di tempat lain.

24 April 2010

Adakah Abu Thalib Seorang Mukmin?

Petikan Utusan Malaysia 21 April 2010.

TIADA niat untuk mempolemikkan status agama bapa saudara Nabi Muhamad SAW, Abu Talib bin Abdul Mutallib yang dikatakan meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman kepada Allah.

Tetapi ada pihak yang masih bertanyakan mengenai 'kelainan' kisah-kisah sebenar di sebalik kematian Abu Talib itu.

Ini memerlukan untuk kita melanjutkan kisah itu dari tulisan al Mubarakfuri dalam bukunya Sirah Nabawiyyah mengenai peristiwa sejurus bapa saudara baginda itu meninggal dunia.

Rasulullah SAW mungkin begitu kesal dengan kematian bapa saudaranya itu. Namun yang baginda kesalkan adalah apabila sehingga di saat kematian bapa saudaranya itu pun, Abu Jahal masih tidak berputus asa menghalang penyebaran Islam.

Walau bagaimanapun baginda menerima ketentuan yang seperti ini dan lalu berkata: "Akanku pohonkan keampunan (dari Allah) untuk mu wahai bapa saudaraku selagi aku tidak dilarang berbuat demikian".

Lalu Allah turunkan ayat surah at-Taubah, ayat 113 bagi menjawab persoalan mengenai kematian Abu Talib itu.

Firman Allah yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang Musyrik itu adalah ahli neraka.

Begitu juga firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56)

Kata al Mubarakfuri, kita tidak perlu menghuraikan tentang perlindungan dan pengawalan yang selama ini diberikan oleh Abu Talib (kepada Rasulullah).

"Dia adalah kubu yang teguh memelihara dan dakwah Islamiah daripada serangan-serangan orang yang takbur dan bodoh.

"Sayangnya dia tetap berpegang kepada agama nenek moyangnya. Justeru dia tidak mendapat kejayaan yang sebenar," katanya.

Dalam hadis-hadis riwayat Al Abbas bin Abdul Mutalib, bahawa dia pernah bertanya kepada anak saudaranya, baginda Rasulullah mengenai kematian Abu Talib itu.

"Apakah engkau tidak dapat menolong bapa saudaramu sedangkan dia melindungi kamu dan marah demi keranamu," tanya Al-Abbas.

Lalu baginda menjawab: "Abu Talib berada dalam tempat yang paling cetek di neraka (hukuman paling ringan). Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di lapisan terbawah dari neraka".

Sementara seperti yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudriy, bahawa Al Abbas pernah mendengar baginda bersabda (mengenai nasib Abu Talib): "Boleh jadi ada gunanya syafaatku kepadanya pada hari kiamat kelak, di mana dia akan diletakkan dalam tempat yang cetek dari neraka sehingga sampai ke buku lalinya".

Sementara dalam bukunya, Fiqh Al-Harakah - Dari Sirah Nabawiyyah (Dewan Pustaka Fajar, 1992) Abdul Hadi Awang pula menulis bahawa menurut pendapat mazhab syiah dan beberapa orang di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Abu Talib telah menganut Islam berdasarkan beberapa riwayat yang membuktikan bahawa bapa saudara Nabi itu bukanlah meninggal dunia dalam keadaan musyrik.

Bahawa Al Abbas (r.a) telah mendengar Abu Talib pernah berkata: "Sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa agama yang dibawa oleh Muhammad adalah agama yang paling baik (min khaira adyani) di kalangan agama-agama yang dianut oleh makhluk ini".

Mereka mempertahankan bahawa Abu Talib telah menerima Islam dengan mengemukakan beberapa alasan yang lain:

1) Abu Talib mengambil sikap mempertahankan Islam, mempertahankan Rasulullah dan mempertahankan mereka yang menganut Islam di samping keluarnya ucapan dari mulutnya yang menunjukkan betapa kasihnya kepada nabi dan para sahabatnya.

2) Abu Talib menyanjung tinggi segala tuntutan Nabi kepadanya. Tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa beliau pernah memuja (menyembah) berhala.

3) Diriwayatkan dari Al Abbas bahawa Abu Talib pernah mengucapkan dua kalimah syahadah. Namun para ulama hadis menolak riwayat ini hanya kerana Al Abbas pada masa itu belum lagi memeluk Islam.

Namun bagi mereka yang dapat menerima riwayat dari Al Abbas ini, cuba mempertahankannya dengan bertanya: "Adakah berani kita mengatakan Al Abbas, iaitu salah seorang lagi bapa saudara kesayangan dan dikasihi Nabi itu adalah seorang yang pembohong?"

Hadi Awang kemudiannya menukilkan pendapat Al Syaikh Muhammad Abu Zahrah (r.a) yang menegaskan: "Bahawa aku berpendapat Abu Talib bukanlah seorang Musyrik. Ini kerana mereka yang musyrik itu menyembah berhala. Sedangkan amalan Abu Talib dan termasuk juga kata-kata dan pendiriannya menunjukkan bahawa beliau berpendapat menyembah berhala itu suatu kebatilan. Oleh itu aku lebih cenderung beristighfar untuknya".

ADA sesetengah pendapat lain mengatakan bahawa Abu Talib adalah seorang Muslim apabila jenazahnya disempurnakan cara Islam.

Dikatakan setelah kering air mata baginda ekoran kesedihan atas kematian bapa saudaranya itu, dengan suara pilu lalu baginda menyuruh anak Abu Talib, iaitu Saidina Ali untuk menguruskan jenazah.

"Mandikanlah, kafanilah dan kuburkanlah! Semoga Allah mengampuni dan merahmatinya," kata baginda.

Dalam hal ini jika Rasulullah menyuruh Ali agar memandikan ayahnya bermakna hanya jenazah mereka yang Muslim sahaja layak diuruskan dengan cara itu.

Pada hal, Islam tidak membolehkan orang Islam memandikan (jenazah) orang kafir mahupun menguruskan jenazah orang kafir secara Islam.

Lalu sebagai seorang yang begitu mempunyai makna dan pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan Nabi Muhammad, apakah hakikat sebenar mengenai status agama Abu Talib ini?

Namun yang jelas, pemergian Abu Talib sangat meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada diri Rasulullah.

Sehingga dalam nada yang sebak baginda berkata: "Orang-orang Quraisy tidak pernah meninggalkan sesuatu yang tidak disukai sedikitpun kepadaku sehinggalah Abu Talib meninggal (dunia)."

Yang jelas, Abu Talib tidak sekadar tokoh besar yang sangat dihormati dan dimuliakan oleh lawan dan kawan terutama di kalangan para pembesar Mekah.

Namun beliau merupakan tokoh yang tidak sekadar memberi perlindungan kepada seorang Rasul mahupun sekadar bapa saudara yang membesarkan anak saudaranya tetapi yang jelas tanpanya, Islam itu sendiri sukar untuk disebarkan.

Tiga hari kemudian iaitu selepas kematian bapa saudara kesayangan, baginda bagaikan jatuh bertimpa-timpa. Kali ini isteri kesayangan baginda, Saidatina Siti Khadijah pula menurut jejak Abu Talib.

Siti Khadijah meninggal dunia di saat baginda sedang mencari kekuatan baru selepas kematian Abu Talib.

Khadijah wafat pada tanggal 10 atau 11 Ramadan tahun ke 10 kenabian dan dimakamkan di Pemakaman Ma'la di sebuah kawasan bernama Hujun.

Rasulullah tidak melakukan solat jenazah terhadap jenazah isterinya itu kerana pada saat itu perintah untuk solat jenazah belum disyariatkan.

Namun baginda sendiri turun ke dalam makam untuk menguruskan persemadian terakhir Khadijah. Baginda juga menimbunkan tanah pada makam Khadijah.

Pada tahun 950 H, sebuah bangunan berkubah didirikan di atas makam Khadijah yang kemudiannya dibaik pulih semula pada tahun 1298H.

Namun pada hari ini, semua itu tiada lagi. Kubah dan bangunan itu telah dirobohkan.

Sumber
di sini.

22 April 2010

23 April: Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia

Tahukah anda yang hari ini adalah Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia?

Walaupun saya tidak berkenan dengan sikap beliau dalam hal PPSMI, tetapi saya tetap ingin memuji Tun Dr Mahathir ketika melancarkan buku karangan Dr Asri Zainal Abidin. Walaupun beliau tidak menyukai dan bersetuju sepenuhnya apa yang ditulis oleh mantan mufti Perlis itu, akan tetapi Tun tetap bersifat terbuka.

Dalam ucapannya, Tun Dr Mahathir mengatakan begini:

"Kalau tidak dapat terima (perbezaan tafsiran), kita kembali kepada al-Quran seperti kata pepatah Melayu, kalau sesat (di hujung) jalan, kembali ke pangkal jalan," katanya. Seperti (perbezaan) Sunni dan Syiah yang begitu mendalam sehingga bermusuhan dan anggap pengikut imam yang lain sebagai bukan Islam. Di negara lain juga terdapat pengikut agama Islam yang mempunyai fahaman yang berbeza-beza," katanya.

Dr Mahathir menambah, Nabi Muhammad SAW membawa Islam yang satu dan pada zaman baginda tidak pernah timbul soal Sunni atau Syiah.

"Tidak semua pandangannya saya setuju tetapi sebahagian rencana beliau perlu dibaca oleh umat Islam dan bukan Islam," kata Tun Dr Mahathir lagi.

Usul Tun Dr Mahathir supaya kembali kepada al-Quran itu harus kita sokong penuh. Menurut Rasulullah saw, al-Quran dan ahlul bait tidak pernah terpisah selamanya. ‘Nashr bin Abdurrahman al-Kufi menceritakan kepada kami, Zaid bin al Hasan – iaitu al Anmathi – menceritakan kepada kami, daripada Ja’far bin Muhammad, daripada ayah Ja’far iaitu Muhammad, daripada Jabir bin Abdullah, ia berkata: Aku pernah melihat Rasulullah saw melaksanakan ibadah haji pada hari Arafah, saat itu beliau sedang berkhutbah di atas untanya; al Qashwa. Aku mendengar beliau bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah meninggalkan (sesuatu) untuk kalian, sepanjang kalian berpegang teguh kepada sesuatu itu nescaya kalian tidak akan pernah tersesat, iaitu kitab Allah dan itrati keluargaku.’ Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, hadis nombor 3786, bab sifat-sifat utama keluarga Nabi saw.

Inilah punca perpecahan umat Islam, iaitu memandai-mandai sendiri lalu mengabaikan pesan dan amanat Nabi Muhammad saw iaitu tidak meninggalkan ahlul bait sebagai penafsir al-Quran yang tepat.

Marilah kita bersikap terbuka dan berlapang dada, membaca buku dan mengkaji pandangan orang lain terlebih dahulu sebelum menghukum.

(Sumber Utusan Malaysia 22 April 2010)

Cerpen Mikro: 'I Like...'

Cikgu Bibi Marina baru pulang dari cuti berbulan madu. Dia bertugas di sebuah Sekolah Tamil, di sebuah estet tidak jauh dari Kampung Keliang Kalumpang. Sebelum ini memang Bibi Marina kurang bersemangat kerana dihantar bertugas di pedalaman, tetapi sejak mendapat suntikan, Bibi Marina sudah berbeza. Suntikan itu bukan calang-calang suntikan. Kata-kata suaminya pada malam pertama begitu mengujakan dan dia tersuntik; "Gagasan 1Malaysia lebih popular daripada jenama seperti Milo, Kentucky Fried Chicken (KFC)... tak boleh lawan lencana dan logo 1Malaysia sebab ada orang suka makan ayam, ada yang tak suka tapi 1Malaysia semua orang suka."

Kerana itulah Bibi Marina pulang dari bercuti dengan begitu bertenaga. Rasa kena suntik di muka dan seluruh badan. Sekolah Tamil pun Sekolah Tamil lah. Murid-murid di sini adalah anak-anak Malaysia. Kitakan 1Malaysia. Dan 1Malaysia kan semua orang pun suka. Manalah ada orang yang tak sukakan 1Malaysia. Pandai betul suaminya. Argh, sebab itulah berkahwin dengan lelaki tua dan matang sangat menggeramkan.

Pagi itu, Bibi Marina melangkah ke dalam kelas 1D dengan mekap tipis jenama Simply Siti (yang diberi oleh pihak sebelah sebagai hantaran). Sejak bercuti ini murid-muridnya teramat merindui Bibi Marina. Apabila Bibi Marina menjejakkan kaki saja melepasi bendul pintu kelas, berebut-rebutlah anak-anak estet, murid-murid India itu meluru lalu menciumi tangannya. Balanathan, ketua kelas paling beria menggomol tangannya. Bibi Marina tersenyum sahaja, lihat keindahan 1Malaysia, budak-budak India pun tahu adat resam, budaya dan budi bahasa masyarakat Melayu. Rasa berbunga di hatinya tiba-tiba. Nyaris tak menitis air mata sebak.

Bibi Marina pun mulai mengajar. Bahasa Inggeris seperti selalu. "Hari ini kita belajar 'tenses'." Katanya sambil menulis di papan hitam 'I Like KFC'.

Ketika menulis itu Bibi Marina tersengih-sengih sendiri. Dia terkenang kepada suaminya, anjuran mengajar 'tenses' dengan kalimat 'like' itu adalah antara senda gurau awal suaminya ketika berbulan madu. Bibi Marina sempat mencubit manja suaminya. Dan suami, aduh membalas lebih suka, 'Uuuhh I Like'.

"Ikut semua." Bibi Marina membaca, dan murid-murid pun menurut: "I Like KFC."

Kemudian Bibi Marina menulis pula, 'I Like Milo', dan murid-murid menjeritkan beramai-ramai: "I Like Milo."

Bibi Marina berfikir sejenak, lalu menulis pula, 'I Like Shahrukh Khan', nah bergempita kelas di Sekolah Tamil itu meneriakkan: "I Like Shahrukh Khan."

Buat seketika Bibi Marina berfikir, untuk membuat contoh ayat. Dia tersipu-sipu sendiri mengenangkan tenses 'I Like' itu. Lama dia mengelamun dan menggigit-gigit bibir sendiri. Kemudian tidak semena-mena, Bibi Marina membuat ayat dan menuliskan: 'I Like 1Malaysia.'

Dia memandang murid-muridnya dan menyuruh mereka membaca beramai-ramai.

Akan tetapi, murid-murid India itu diam sahaja. Mata mereka terkebil-kebil memandang semula Bibi Marina dengan wajah jernih juga polos.

"Bacalah. 'Read dear. Together-gether' let's read." Ujar Cikgu Bibi Marina kehairanan.

Salah seorang menggeleng. Bibi Marina bertanya, agak kaget, "What's your name?"

"My name is Khan."

"Okay boy, Khan, read this: I Like 1Malaysia. Shuu...read, and make your estate proud.."

Khan menggeleng. Cikgu Bibi Marina semacam panik. Budak-budak ini tak fahamkah?

"Kenapa tak nak baca. You dont like English uhh?"

Khan menjawab, "Cikgu, kami suka KFC dan Milo sebab itu barang boleh makan minum jugak. Tapi 1Malaysia itu ayoyo tarak boleh makan jugak."

Cikgu Bibi Marina mendadak naik darah, dengan bibir terketar dan kentut yang tertahan dia hanya mampu membalas dan hampir bertempik, "Cettt, pooorahhh!"

21 April 2010

Cerpen Mikro: Adakah Saya Sedang Minum Dalam Gambar Ini?

Wartawan: Tuan, saya berharap anda tak keberatan menjawab soalan...

FT: Ana mesti pergi, Ana mesti pergi.

Wartawan: Kumpulan Pro Minum Teh dan Anti Kopi (POTAK) menyerang anda dan mendakwa anda seorang kaki minum. Mereka juga dakwa anda syiah dan minum kopi. Mereka kata minum kopi adalah bid'ah.

FT: Siapa? Siapa buat cerita? Takkan Ustaz Perubahan buat cerita lagi. Dia dah kata dia geng dengan ana masa jumpa di Pesta Buku baru-baru ni. Ana mesti pergi...Huh? Apa yang perlu diserang?

Wartawan: Boleh komen mengenainya?

FT: Apa yang perlu diserang?

Wartawan: Mereka menggunakan foto yang kontroversial. Foto tuan di Las Vegas.

FT: Vegas? Tempat apa tu? Foto kontroversial apa itu? Ana bukan kaki lumba kuda.

Wartawan: ...menunjukkan seorang lelaki sedang minum...

FT: Adakah ana sedang minum dalam gambar itu? Adakah ana sedang minum dalam gambar itu? Adakah ana sedang minum dalam gambar itu? Adakah ana sedang minum dalam gambar itu? Anda sudah melihat gambar itu?

Wartawan: Ya, saya sudah melihat gambar itu.

FT: Adakah ana sedang minum dalam gambar itu? Adakah ana sedang minum dalam gambar itu?

Wartawan: Saya tidak pasti sama ada orang itu adalah anda. Sekejap, 'ana' itu siapa? Anda kah?

FT: Ana tidak minum.

Wartawan: Saya tidak kenal 'Ana'. 'Ana' mungkin tidak minum. Tapi ada cawan kopi depan anda? Err anda dan 'Ana' itu serupakah?

FT: Saya mesti pergi. Ada cawan je. Tapi ana tak minum. Ana ada tengok cawan tu, pegang telinga cawan tu. Tapi adakah ana minum dalam gambar itu? Tak ada kan? Tak adakan? Ana tidak minum.
.

Iran dan Malaysia

Petikan dari entri di blog mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad:

"Sebenarnya kempen terhadap program nuklear Iran oleh Amerika Syarikat bertujuan menindas Iran sahaja. Kita tidak harus menyertai kempen ini kerana ia akan merosakkan kepentingan kita. Dagangan kita yang termasuk jualan kereta, konsesi minyak, bekalan minyak, projek perumahan dan lain-lain menguntungkan kita. Kalau kita bermusuh dengan Iran semua ini akan hilang. Amerika Syarikat tidak akan ganti kerugian kita. Lagi pun imej kita dalam dunia, terutama dunia Islam akan tercemar."

Baca lanjut di sini.

Satira Ketupat Cinta II: Pesta Jeranan

Tun Lepat mencipta jeranan itu untuk dimakan ketika pesta gurindam dan syair. Adalah bahannya telur rebus, tempe; elok jika dilumur kunyit dan garam kemudian digoreng, kacang panjang, kangkung dan tauge dicelur semuanya serta sengkuang dihiris-hiris. Untuk kuahnya, ayahanda Lepat sediakan minyak masak, kacang tanah yang siap dibuang kulitnya, cili dan bawang merah siap dikisar, belacan, air asam jawa, garam secukup rasa dan sedikit gula merah. Juga dicarikan batang serai, halia dan lengkuas. Menurut Tun Lepat, kacang tanah itu digoreng sehingga kuning, diangkat lalu ditus. Kacang itu juga dikisar kasar sebelum diletak tepi. Adalah cili kisar ditumis bersama bawang merah dan belacan sehingga wangi. Barulah dimasukkan pati serai, halia, lengkuas langsung dikacau sebati sebelum diangkat. Bahan yang ditumis itu dicampur bersama air asam jawa dan kacang kisar. Hendaklah tuan-tuan mengacau rata-rata dan dibubuh sedikit air jika terlalu likat. Setelah itu minyak masak dipanas kembali dan ditumis semula sehingga sebati. Untuk secukup rasa maka diletak garam dan gula merah. Jeranan itu molek lazat dihidang bersama kuahnya.

Adapun Tun Musnah Muis, sahabat akrab Cik Puan Rosdah masih tiada yakin dengan majlis baca puisi itu dapat melembutkan hati baginda tuanku. Ia pun menyarankan kepada Tun Kuala supaya membuat sesuatu yang jauh lebih bermakna.

“Baca gurindam begini tiada maknakah?” Soal Cik Puan Rosdah tiada berpuas hati setelah berpenat lelah.

“Bukan begitu maksud kita. Cuma pada hemat kita, apa yang Cik Puan lakukan ini tiada nampak pentingnya di sisi tuanku.”

Cik Puan Rosdah hampir naik angin tetapi cepat-cepat Tun Musnah membetulkan keadaan, “Apa kata Tun Kuala berbuat baik dengan anak-anak kecil dan jika baginda tuanku berasa hairan, Tun Kuala segera menyatakan, ‘Kanda, mereka inilah permata negeri Melaka’, hah bagaimana?”

Ketika itu barulah Cik Puan Rosdah tersenyum ria. “Bijak tuan hamba ini. Dasar tuan ini perempuan Sumatera. Pandai mengena. Hidup pagi dan petang untuk memerangkap laki sahaja.”

Kedua-duanya pun bertepuk tampar lalu tertawa girang.

Baca penuh satira Ketupat Cinta Musim Kedua di Harakah edisi Jumaat.

20 April 2010

Cerpen Mikro: Main Undi2

Di suatu taman permainan, pada satu hari yang tidak begitu terik panasnya, tidak jauh dari sebuah taman perumahan berdekatan bandar Kuala Kubu Baru; tiga orang kanak-kanak sedang bermain.

Mereka sedang bermain undi-undi. Siapa yang layak menjadi ketua taman permainan.


Seorang kanak-kanak perempuan, Zahra, bertudung dan sungguh comel sedang memerhatikan dengan tekun akan dua orang teman sepermainannya. Kanak-kanak lelaki bernama Maniam dan Jahid sedang bertengkar tentang sesuatu.

"Kita main undi-undi dan aku harus menang. Kita kan Satu Malaysia, kali ini aku mesti menang." Tegas Maniam dengan mata terjegil. "Aku yang mesti menang. Aku memang budak sini. Kau baru pindah je."

"Aku lagi layak menang. Aku pun Melayu, jadi aku mesti menang." Balas Jahid acuh tak acuh.

Maniam mulai marah-marah, "Kau tak boleh menang. Bapak aku kata, bapak kau suka minum todi. Melayu mana boleh minum todi."

Jahid yang mulai marah diacum segera menjawab, "Bapak aku kata, bapak kau gemar minum samsu. Dia beli di Kuala Kubu Baru."

Maniam semakin hangat hati, "Bapak aku kata, bapak kau Yahudi."

Jahid cuba mencerna perkataan 'yahudi'. Agak-agaknya apa itu 'yahudi'? Dia tidak mahu melepaskan peluang untuk ikut sama menyakitkan hati, "Bapak kau pun Yahudi juga."

Kedua-duanya kemudian memandang Zahra.

"Kau diam je. Cepat, kau nak undi siapa?" Soal Maniam mengharap perhatian Zahra.

Jahid lekas mencelah, "Dia Melayu, tentu dia nak undi aku. Kalau kau undi aku, kau boleh main jongkang-jongkit bila-bila kau mahu."

Zahra dengan sopan memberi jawapan, "Bapak aku kata. Dua-dua tidak boleh percaya. Dua-dua pun Yahudi. Seorang terhegeh-hegeh nak jilat bontot Hillary. Seorang lagi sibuk nak jilat bontot Obama."

Maniam terkesima, "Err...ehh siapa Hillary? Siapa Obama? Dia budak tadika mana?"

Jahid terangguk-angguk di sisi Maniam, juga tidak mengerti.

Zahra buat muka tak kuasa. Dia beredar meninggalkan taman permainan tersebut.

* Jilat bontot adalah sejenis simpulan bahasa Melayu.

18 April 2010

Cerpen Mikro: Kaki Botol

Tok Haji tak berapa kenal dia. Tok Haji ada dengar macam-macam. Tapi Tok Haji buat tak endah. Bukan apa, Tok Haji sudah hampir pekak. Mesyuarat masjid pun Tok Haji jarang datang. Jauh. Dah tua-tua begini, lenguhlah nak berjalan jauh. Tapi bila orang lantik Tok Haji jadi pengerusi masjid untuk lima tahun lagi, Tok Haji yang mula-mula macam segan nak terima, angguk-angguk juga setuju. Bolehlah Tok Haji makan laksa Janda Peah sekali-sekala lepas baca Yassin. Laksa janda sedap.

Orang kanan Tok Haji bisik kepada Tok Haji, calon penghulu kampung mereka itu bukannya kaki botol seperti yang orang lain dakwa. Tidak ada bukti mana boleh main percaya. Bahkan, kalau ada bukti sekali pun orang boleh minta tangguh dari kena bicara. Orang kanan Tok Haji bisik kepada Tok Haji, "Ini semua fitnah sebab ada orang nak jawatan Penghulu itu untuk dirinya sendiri. Kalau Tok Haji tak percaya, kita panggil dia untuk mengaku atau menafikan dakwaan itu sendiri."

Dia pun dipanggil dan depan Tok Haji dia pun mengaku kaki botol.

Tok Haji berkerut. Terkejut.

"Dah kerja saya kutip botol yang dibuang orang. Memanglah saya kaki botol. Kaki botol kicap, Tok Haji." Dia ketawa.

Tok Haji pun ikut ketawa. Malah lebih besar daripada dia tawanya. Mengekek-ngekek tawa Tok Haji.

Tok Haji yang pekak-pekak dan nyanyuk sikit-sikit itu pun cepat puas hati lalu mengeluarkan fatwa: 'Tak salah sokong kaki botol asalkan dia masih Islam. Itu urusan dia dengan Allah.'

Kemudian Tok Haji berlepas untuk menunaikan umrah. Tok Haji berjanji kepada semua, termasuk kepada dia - si kaki botol - yang Tok Haji akan berdoa depan Multazam, malah berdoa dalam tawaf supaya dia dapat jadi penghulu. Dan berdoa supaya Tok Haji akan dapat hidup, sekurang-kurangnya; lima tahun lagi.

Lama lima tahun tu. Banyak laksa Janda Peah dia boleh jamah.

16 April 2010

Kecchhoootttt


The announcement of the suspension by Petronas came after Najib held talks with US President Barack Obama, who called for the world to move "boldly and quickly" on new Iran sanctions on the sidelines of a 47-nation nuclear security summit this week.

"It is a decision made by Petronas. They did consult with the government but they took the decision to suspend the sales," predominantly-Muslim Malaysia's leader Najib told reporters in Washington as he wound up a four-day visit.

He did not say when Petronas stopped supplying gasoline to Iran but some reports said it was done in the middle of March.

Petronas is among a small group of non-Chinese oil companies supplying gasoline to the Islamic republic, which is the world's fifth-largest crude oil exporter.

"We really want Iran to comply with the UN decison of the Security Council and we maintain our position that Iran has the right to develop nuclear energy for peaceful purposes," Najib said.

"But they must earn the trust of the international community and the only way they can earn the trust is to be fully transparent in whatever they do and allow full verification by the IAEA and there are some serious doubt as to whether this has been carried out or has been complied with by Iran," he said.

(Baca lanjut di sini)

15 April 2010

Cerpen Mikro: Lupa


Mungkin nenek biadab. Mungkin nenek jahil agama. Mungkin nenek tidak bersangka baik. Mungkin nenek mabuk.

Tapi lepas atuk terjun laut beberapa bulan lepas, atuk memang macam tidak siuman sikit-sikit.

Ramai orang tak tahu, atuk pandai tasawuf dan akhlak. Atuk alim dalam bidang agama. Atuk bersangka baik (ya lah, orang mukmin mana lah yang kena sengat dua kali?). Atuk bukan kaki togok.

Bila atuk kena ketuk, nenek yang sebelum ini tak cakap apa, cuma menggumam: "Cepatlah sangat you alls ini terlupa. You alls ini bangang ke apa?"

* Foto sekadar hiasan.

Engkau Nak Capai Apa?

Wah, sebuah kompleks hotel gergasi yang sedang dalam pembinaan di Mekah bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia dan di atasnya akan dibina sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London. Kompleks tujuh menara hotel yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt itu akan mengandungi 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidilharam. Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang kira-kira 11 meter daripada ketinggian menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang mencecah 828 meter. Menara Jam Diraja Mekah akan dibina daripada struktur konkrit setinggi 662 meter dan puncak menara logam setinggi 155 meter yang dilitupi dengan simbol bulan sabit. Malah struktur konkrit Menara Jam Diraja Mekah itu adalah lebih tinggi daripada bangunan kedua tertinggi di dunia pada masa kini iaitu Taipei 101 di Taiwan, yang setinggi 508 meter. Jam buatan Jerman itu, digambarkan sebagai 'yang terbesar di dunia', mempunyai muka selebar 45 meter dan setinggi 43 meter di keempat-empat sisi menara, katanya. Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang. (Sumber berita Utusan Malaysia 15 April 2010).

Siapakah yang akan menginap di hotel mewah ini?

Siapakah yang akan mendapat manfaat dari pembinaan hotel mewah ini?

Siapakah yang punya angkara?

Siapakah yang akan naik haji dan memandang bangunan ini dengan pesona?

Siapakah kelak yang akan datang merobohkan 'bangunan haram' di tanah suci ini?

Engkau nak capai apa?

Korang nak capai apa?

Kasihan korang.

13 April 2010

Satira Ketupat Cinta II: Rahsia Botok-Botok

Cik Puan Rosdah pun mengenakan kebaya yang bertatah permata dan berlian. Untuk makluman tuan-tuan, itulah kebaya paling mahal dalam dunia. Dalam hati Cik Puan Rosdah berbunga ria. Ia pun mengulang-ulang dalam hati bagaikan satu zikir, ‘sayangi Melaka, yakini Rosdah’. Sambil dayang-dayang menolong ia memakaikan sepatu yang ditempah khas daripada Tun Bijik Choo, ia pun memupur mukanya dengan bedak sejuk cap Simpul Siti. Ia juga melumur bibirnya dengan pewarna bibir yang merah. Juga cap Simpul Siti. Nah, itulah rahsia kecantikan Cik Puan Rosdah selama ini. Kegebuan dan kemontokan Cik Puan Rosdah sehingga lengannya itu besar ala-ala sepemeluk batang kelapa ialah kerana kegilaannya santap sejenis lauk dinamai botok-botok.

Adapun tuan-tuan, botok-botok ini tiadalah dicipta Tun Lepat. Ia dicipta oleh Gerau Mail Rebung lama dahulu. Ia juga menjadi kesukaan mendiang Rosjah. Bahan-bahan untuk membuat botok-botok ini tiadalah susah. Siapkan minyak masak, ikan tenggiri yang telah dibersihkan, cili kisar, air asam jawa, garam, gula halus, daun tenggek burung, daun kari, daun kaduk, pucuk betik, daun pisang dan dicari bawang merah, bawang putih dan halia yang akan dikisar kasar. Kemudian hendaklah dicarikan jintan manis, jintan putih, biji ketumbar, buah keras yang disangrai dan dikisar. Hendaklah digoreng ikan itu separuh masak, diangkat lalu diketepikan. Kemudian ditumis bahan yang dikisar kasar sehingga naik baunya yang wangi. Lantas dimasukkan cili kisar, dikacau sehingga garing. Tanpa lengah masukkan pula rempah yang dikisar lalu dikacau sebati. Tiada menunggu lama, dituangkan air asam jawa bersama garam dan gula secukup rasa. Setelah itu dimasukkan semua ulam yang siap dihiris dan kacaulah sehingga layu. Jangan pula lupa tuan-tuan melayur daun pisang, dan letakkan bahan yang dimasak tadi. Ikan tenggiri beberapa ekor itu diletakkan diatasnya dan lapiskan dengan ulam-ulaman tersebut. Paling akhir dibungkus daun pisang itu kemas-kemas sebelum dikukus. Cik Puan Rosdah suka menjamah botok-botok begitu sahaja. Tetapi jika tuan-tuan ingin makan dengan nasi pun tiada salahnya.

Satira Ketupat Cinta Musim Kedua disirikan di akhbar Harakah edisi Jumaat.

10 April 2010

'Ingin Jadi Nasrallah' di Malam Baca Puisi Riong






Mulanya saya ingin membaca 'Datang, Aku Datang'. Tetapi saya merasa-rasa, audien sudah dipanjat bosan dan pura-pura menggelegak dengan puisi-puisi yang dibacakan. Lantas saya fikir, 'Ingin Jadi Nasrallah' boleh menggempakan.

Maka saya merenung ke arah khalayak, lalu meneriakkan: "Ingin Jadi Nasrallah!"

* Foto oleh juru gambar rasmi Faisal Tehrani, saudara Amir Hamzah Abdul Kahar. Koleksi foto ini adalah milik agensi Sejuta Wajah. Dilarang mengambil tanpa keizinan. Untuk mendapatkan khidmat beliau, hubungi Seni Reka & Fotografi Sejuta Wajah. Telefon: +60162023804. Laman Web: http://sejutawajah.fotopages.com/

08 April 2010

Satira Ketupat Cinta II: Yang Kalah Makan Sambal Kerang

Mufti Malun juga menyatakan rasa tidak puas hati kerana pada hematnya Tengku Kumut dilihat tidak mengamalkan agama Islam yang sebenar berbanding Cik Puan Rosdah. Meskipun Cik Puan Rosdah itu kadang mengenakan tudung kadang tidak; tetapi kerana ia mewakili Pakatan Kakak-Kakak Dalam Islam yang mendokonginya selaku mufti yang terbuka dan tidak kolot, maka ia pun menyanjung juga Cik Puan Rosdah. Ia juga menuliskan perihal ia mengesyaki Tengku Kumut mempunyai kaitan dengan kematian Long Jongos. Ia berharap Tun Yem Kuala Berai berhenti menyiasat dan mendakwa segera Tengku Kumut. Ia juga sangsi dengan Tengku Kumut yang dirasai terlalu dimanjakan oleh baginda Parameswara.

Apabila warkah kurang ajar itu tiba di tangan baginda tuanku, Parameswara pun naik darah lalu murka. Serasa ia ingin menyaman Mufti Malun tetapi mengenangkan ia itu sendiri adalah raja yang sah dan belum gering, serta masih segar bugar untuk bertitah, ia pun memanggil Mufti Malun dan Tun Lepat masuk menghadap.

“Beta benci hasad dengki dan perangai cemburu atau iri hati. Kalau gundik-gundik beta yang buat perangai tiadalah beta murka benar kerana sudah laku perempuan begitu. Beta akan larang kedua-dua kamu mengajar agama, senang cerita.”

Tun Lepat mengangkat sembah setia. Mufti Malun pula dengan penuh berani menjawab, “Patik cabar sebarang titah tuanku yang melarang patik mengajar agama. Apa cerita patik ini mufti tetapi dihalang berceramah agama? Sedang patik diberi tauliah di Majapahit untuk mengajar agama.”

Baginda segera merah padam muka lalu menitahkan, “Cett, sekiranya sesiapa gagal menjawab soalan-soalan teka teki agama, beta akan memaksa ia makan sambal kerang. Kemudian beta akan mengenakan hukuman rotan atau sebat di punggung. Sementara orang yang dapat menjawab soalan beta akan diberi tauliah mengajar agama selain beta sendiri akan turun mencemar duli belajar daripadanya.”

Tun Lepat menelan air liur mendengar hukuman kejam tersebut. Adapun tuan-tuan pada waktu Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala sambal kerang adalah sejenis makanan yang sangat nista tarafnya. Ini adalah kerana kerang itu sejenis haiwan laut yang kotor, jelek dan kerjanya menghisap dan memamah yang najis-najis di lautan. Ia dikenal orang sebagai pencuci laut kerana sifatnya yang menyedut apa sahaja. Mufti Malun sendiri berasa bimbang dengan hukuman itu. Meskipun sebenarnya Mufti Malun sering juga mencuri-curi makan sambal kerang tanpa pengetahuan pengikutnya tetapi hukuman makan sambal kerang yang dikenakan oleh tuanku kepada sesiapa yang tumpas kelak amatlah penuh dengan penghinaan.


* Dapatkan Harakah edisi Jumaat untuk menatap penuh satira politik penuh sensasi ini.

07 April 2010

Faisal Tehrani Baca Puisi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Malam Puisi Riong Berita Harian akan dianjurkan sekali lagi malam ini bertempat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan tajuk 'Menelusuri Inovasi Warisan Budaya'. Majlis baca puisi ini akan berlangsung di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Alor Gajah, bermula 8.30 malam. Adalah difahamkan Datuk (Dr) A Samad Said; Abd Ghaffar Ibrahim (Agi); Zaen Kasturi, dan Ramli Sarip, akan turut hadir memeriahkan majlis ini kelak.

Marilah bersama kami di majlis ini!

05 April 2010

The Blind Side: Sisi Lain Motivasi Ajaib

SEJAK kebelakangan ini terdapatnya kebangkitan dalam jumlah filem-filem berkait inspirasional dan berunsur motivasi dari kilang Hollywood. Khususnya jika ia memberi semangat buat kalangan minoriti seperti mereka yang tertinggal dari segi jantina, pilihan seksual, warna kulit, agama dan kumpulan insan kurang upaya. Ambil sahaja fenomena Slumdog Millionaire (kisah anak-anak kumuh yang bangkit membuktikan kegeniusan mereka) lebih setahun lepas. Kini The Blind Side ialah bahagian dari himpunan yang telah disebutkan di atas. Ia telah pun meraih perhatian massa menerusi lakonan Sandra Bullock, pemeran watak utama filem ini. Bullock juga meraih anugerah oscar baru-baru ini.

Apakah yang mengispirasikan kita, jika kita memilih untuk menonton The Blind Side arahan John Lee Hancock ini?

Banyak.

The Blind Side adalah sebuah filem yang disesuaikan dari sebuah buku berjudul The Blind Side: Evolution of a Game oleh Michael Lewis (terbit tahun 2006). Ia menyorot suka duka alam remaja Michael Oher (lakonan memberangsangkan Quinton Aaron), pemain bola sepak Amerika bagi pasukan Baltimore Ravens. Tentu, hidup ‘Big Mike’ tunggang langgang. Ibunya seorang pelacur tua dan penagih dadah yang berpenyakit. Dia tidak mengenal siapa bapanya. Michael hidup di kawasan setinggan yang melarat. Big Mike, nama panggilan yang dibencinya itu, bukan sahaja miskin, tidak berpelajaran bahkan memiliki berat 344 paun. Ia ‘dibuang’ oleh beberapa saudara yang tidak mahu bertanggungjawab memeliharanya lagi dan muncul di Sekolah Briarcrest Christian untuk mengisi impian seorang jurulatih menjulang nama baik sekolah itu dalam bidang sukan.

Pada mulanya, setiap pelajar di sekolah tersebut gerun dengan tubuhnya yang agam bagak dan fikirannya yang kelihatan kosong. Guru-guru sudah berputus asa dengannya. Ada yang menganggapnya bodoh. Tetapi jelas sekali Big Mike seorang pendengar dan pencerap yang setia. Sayang, Big Mike hanya ada sehelai t-shirt dan seluar katuk yang sudah tentu tidak dapat bertahan sepanjang musim dingin.

Nasib Big Mike segera berubah apabila ia melepasi kereta yang dipandu oleh pasangan suami isteri Sean (lakonan bintang ternama muzik country) dan Leigh Anne Tuohy (lakonan Sandra Bullock). Leigh Anne, seorang kristian yang budiman (juga bergaya) tidak sampai hati membiarkan Big Mike, rakan satu sekolah kedua-dua anaknya kesejukan. Dia mempelawa Big Mike pulang. SJ, anak kecilnya yang mula-mula berani berkawan dengan Big Mike keriangan kerana kini memiliki seorang kawan dan abang.

Memang secara logiknya, sukar ditemui lagi insan setulus Leigh Anne yang membela orang dagang’ tanpa latar belakang seperti Micheal Oher. Suaminya adalah hartawan di Tennessee. Tetapi, bukankah Tuhan selalu bekerja dalam rahsia? Malah kata Sean, harta tidak ada gunanya jika tidak berbudi kepada manusia yang memerlukan. Leigh Anne kemudian mulai menyayangi Big Mike yang sudah berusia 18tahun seperti anak sendiri. Sejak Big Mike membawa hidangan Thanksgivingnya ke meja makan utama, ia merasakan sesuatu yang berbeza tentang Big Mike. Suaminya juga, meski pada mulanya agak teragak-agak, menerima sepenuhnya Big Mike. Dan itu bukan tidak dibayar dengan harga yang mahal. Sanak saudara yang rasis disembur kembali (keluarga Tuohy adalah pendokong demokrat yang utuh), anak-anaknya perlahan-lahan menganggap Big Mike sebagai ‘abang besar’ mereka. Ingat, Big Mike adalah remaja kulit hitam tanpa latar belakang, sedangkan keluarga Tuohy adalah keluarga kelas menengah yang serba ada.

Big Mike bukan sahaja gigih dalam perlawanan bola sepak Amerika yang menjadi kegilaan seluruh keluarga barunya. Ia juga terpaksa belajar untuk memenuhi kredit yang munasabah bagi melanjutkan pelajaran ke universiti lalu menerima biasiswa sukan. Sebagai anak yang hampir tidak tahu menulis (dan hanya mampu mendengar) ia belajar dari sifar untuk membolehkannya lulus peperiksaan dengan cemerlang. Kekuatannya sebagai manusia iaitu skor 98 peratus untuk rasa melindungi digerakkan sepenuhnya sebagai enjin motivasi yang memungkinkan ia berjaya.

Filem ini tidak terbawa-bawa dengan sisi buruk dan hitam Big Mike. Fokusnya adalah kepada tenaga Leigh Anne Tuohy yang tidak pernah lelah memastikan Big Mike berjaya. Malah untuk gangster yang mengancam anaknya, ia dengan berani menemui mereka di kawasan setingganan Memphis lalu mengancam kembali, “Jika kalian ancam anakku, maka kalian mengancamku.” Samseng kulit hitam yang ganas itu semuanya tergamam melihat seorang wanita kulit putih yang elegan memanggil Big Mike sebagai ‘anakku’.

Naratif The Blind Side agak istimewa berbanding filem-filem Hollywood yang lain. Tanpa klimaks yang tajam, tetapi dengan kekuatan lakonan Sandra Bullock dan Tim McGraw, The Blind Side cemerlang dalam menumbuhkan inspirasi yang mengharukan. Jika Hollywood terus menghasilkan filem seperti ini, tentu banyak manfaatnya. Filem ini mengajar penonton erti dorongan dan motivasi dalam institusi kekeluargaan di samping keajaiban semangat kesukanan.

Pengarah filem ini, John Lee Hancock memang tidak asing lagi dengan genre filem sukan penuh motivasi. Filem awal beliau The Rookie telah menyediakan basis yang yang kuat buat The Blind Side.

Menonton The Blind Side ketika ramai ibu-ibu muda muslim membuang anaknya di tempat pembuangan sampah dan kaki lima surau memberi satu rasa yang luar biasa. Ia memaksa kita sebagai orang Islam memeriksa semula akhlak dan hubungan kita dengan Tuhan. Dalam masyarakat serba moden dan canggih serta kehilangan pedoman keagamaan di Barat, keluarga Tuohy berpegang kepada nilai-nilai kristian yang baik dan tanpa prasangka. Michael Oher dijemput masuk (meski pada mulanya mereka sendiri tidak pasti latar belakang Big Mike) dalam keluarga. Bukan itu sahaja Big Mike dimanjakan bagai anak sendiri. Tentu, kita bertanya – apakah nilai-nilai yang penuh insani ini sudah diamalkan kita sendiri sebagai muslim atau tidak?

Filem ini adalah kisah benar penuh emosi. Ia menambah keajaiban yang diperlukan untuk sebuah karya filem yang penuh motivasi. Segala dorongan Leigh Anne Tuohy itu berbaloi. Hari ini Michael Oher adalah antara pemain bola sepak Amerika yang diminati dan antara yang berjaya di gelanggangnya.

Ketika Bullock menerima anugerah oscar baru-baru ini untuk watak Leigh Anne, dalam ucapan kemenangannya beliau mengatakan: ‘Seorang ibu adalah seorang ibu tak kira dari mana juga anak itu menjelma, dan kita bertanggungjawab serta harus bertugas sebagai ibu tanpa prasangka.’

Sahlah, ada sisi lain yang membutakan naluri seorang ibu untuk memastikan anaknya selalu berjaya.

* Artikel Sinema Spiritual ini telah tersiar di Siasah edisi 21-27 Mac 2010. Dilarang mencetak kembali.

03 April 2010

KISAS

KETIKA ditemui pada Khamis lalu, raut wajahnya masih bersisa kepenatan. Ini kerana semalamnya merupakan hari terakhir beliau menjalani Program Latihan Khidmat Negara.

Namun, Fatin Syahirah Mohamad Nawi 17, merupakan remaja yang paling gembira dan begitu bersyukur ke hadrat Ilahi.

Manakan tidak apabila anak keempat dari 10 adik beradik ini tergolong antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009. Beliau beroleh keputusan yang sangat cemerlang iaitu pangkat A+ untuk kesemua 11 mata pelajaran yang diambil.

"Walau sebijak mana pun seseorang pelajar itu, tetapi dia masih memerlukan bimbingan dan sokongan pihak sekolah bagi mencipta kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan," ujar Fatin Syahirah.

Beliau yang sebenarnya masih terkejut dan menganggap keputusan yang dicapai sebagai satu keajaiban.

Katanya, selain fokus atau tumpuan sepenuhnya dalam kelas, menjaga hubungan baik dengan guru adalah amat penting bagi mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu.

"Saya sedih dengan keadaan semasa di mana ramai pelajar yang tidak menghormati guru seperti dilaporkan media kerana ia satu perbuatan yang begitu biadap dan derhaka.

"Saya lekas meminta maaf kepada guru sekiranya menyedari ada terkasar bahasa atau tersilap kata, kerana dalam hayat seseorang itu, guru merupakan ibu bapa kedua kita, maka wajib kita menghormati dan mentaati mereka," katanya.

Begitu sekali beliau menghormati guru yang masing-masing merupakan warga bertuah Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) yang genap 55 tahun penubuhannya pada 8 April tahun ini.

Peranan yang boleh kita lihat pada KISAS adalah sangat luhur dan unggul di negara ini dalam menerajui legasi pendidikan Islam. Kini, sebahagian besar bekas pelajar KISAS menjadi pemimpin-pemimpin utama negara dalam pelbagai bidang.

Sama ada dalam kerajaan mahupun swasta, bekas pelajar mereka benar-benar mengukir nama di persada negara dan antarabangsa. Kesemua mereka mencorakkan negara dan mereka jugalah yang begitu banyak memberikan sumbangan terhadap bangsa dan agama.

Ini termasuklah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman yang dikira antara pelopor sebagai pelajar kolej (ketika itu dikenali sebagai Kolej Islam Malaya), iaitu dari tahun 1959 hingga 1962.

Ulama terkenal, Datuk Dr. Harun Din al-Hafiz, bekas duta negara ke Mesir yang juga mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Pengerusi FELDA yang pernah menganggotai Kabinet, Tan Sri Dr. Yusuf Noor sehinggalah, Dr Bukhari Lubis (UPSI), Zahazan Mohamad, Idris Ahmad (PAS). Dr. Lo'lo' Mohd. Ghazali (PAS), Datuk Rosol Wahid (UMNO), Datuk Shahaniza Shamsuddin (UMNO), mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar, penggiat seni, Allahyarham Zubir Ali dan Faisal Tehrani (sastera dan teater).

Sehinggakan gambaran yang diberikan jika kita melontarkan batu tanpa mengira tempat di negara ini, batu itu pastinya mengenai bekas pelajar KISAS yang jika kita dapati masing-masing tidak sahaja memegang jawatan penting dalam pengurusan Islam negara malah dalam bidang kehakiman, perundangan, ekonomi, doktor perubatan, pensyarah sehinggalah kepada usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya.

Begitu sekali KISAS yang telah melahirkan beribu-ribu bekas pelajar 'menakluk' negara ini.

Lahirnya KISAS ini adalah dari sejarahnya yang tersendiri.

Penubuhannya mendapat restu seluruh warga Islam tidak sahaja dari Malaysia, malah disambut gembira oleh penduduk Islam Singapura dan Brunei.

Lebih-lebih lagi Kolej Islam Malaya dirasmikan penubuhannya dalam suatu istiadat diraja, istiadat yang dimulakan selepas solat Jumaat di tapak Istana Jemaah, Kampung Jawa oleh Sultan Hishamudin Alam Shah Alhaj, iaitu Sultan Selangor yang ke VI.

Almarhum merupakan Sultan yang menjadi kesayangan rakyat atas keprihatinan tinggi baginda dalam soal pendidikan dan dakwah Islam di negara ini.

Keprihatinan tinggi itu apabila kolej ini pada asalnya merupakan sebuah istana yang kemudian diwakafkan berserta tanah yang seluas 5.78 hektar oleh baginda.

Lantas itu KISAS juga dikenali sebagai Bumi Wakafan ekoran kemuliaan baginda untuk mewakafkan istana dan tanah itu yang diharapkan oleh baginda pada masa itu dapat melahirkan para ulama yang bertakwa. Seterusnya menerangi masyarakat negara ini dengan roh-roh islam serta dapat menghapuskan segala bentuk kekufuran dan jahiliah yang ada.

Pelajar awalnya terdiri seramai 43 orang yang datang dari seluruh pelosok Tanah Melayu, Singapura dan Brunei dengan tenaga pengajarnya ketika itu terdiri tokoh-tokoh pengajar akademik terkemuka tempatan dan dari luar negara terutamanya dari Universiti al Azhar, Mesir.

Pengambilan pelajarnya terus ditingkatkan setiap tahun khususnya dengan memberikan tawaran kepada bekas-bekas pelajar terutamanya dari Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dari seluruh negara untuk menyambung tingkatan empat dan lima di kolej.

Pada tahun 1967, kolej ini diambil alih oleh Kementerian Pelajaran dan dijadikan sekolah bantuan penuh kerajaan yang dikenali sebagai Kolej Islam Kelang (KIK).

Diikuti pada tahun 1972, KIK mencapai taraf Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dengan diberi pelbagai kemudahan dan kelengkapan sekolah dan asrama para pelajar.

Pada tahun 1989 KIK kemudiannya bertukar nama kepada Kolej Sultan Alam Shah (Kisas) oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Ini bagi mengenang dan menghargai sumbangan besar ayahanda baginda dalam penubuhan kolej itu.

Kisas terus mengukir kejayaan apabila kelulusan para pelajarnya dalam SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sering dinobatkan menjadikan Kisas antara Sekolah 10 Terbaik Negara.

Sehinggalah baru-baru ini Kisas antara 20 sekolah yang terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) cohort yang pertama.

Baca penuh di sini.

02 April 2010

Faisal Tehrani di Malam Puisi Riong 7 April Ini

Sumber Berita Harian, 1 April 2010 (klik sini).

MALAM Puisi Riong Berita Harian Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM): Menelusuri Inovasi Warisan Budaya di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Alor Gajah, pada 7 April ini, jam 8.30 malam akan menyaksikan gandingan mantap penyair dan penyanyi tanah air.

Pengarang generasi muda, Faisal Tehrani, ketika dihubungi berkata, beliau memilih untuk berkongsi puisi nukilannya khusus untuk penyair Turki, Maulana Rumi berjudul Aku Datang, Aku Datang yang diangkat dari Kumpulan Puisi Ingin Jadi Nasrallah.

“Saya gembira dan berbesar hati dapat bekerjasama dengan beberapa nama besar seperti Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said dan Zaen Kasturi dalam usaha memartabatkan puisi kepada masyarakat khususnya golongan muda. Pendedahan program seperti ini boleh merancakkan kembali genre terbabit yang sering kali didakwa tiada penggemar,” katanya.

“Saya gembira dan berbesar hati dapat bekerjasama dengan beberapa nama besar seperti Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said dan Zaen Kasturi dalam usaha memartabatkan puisi kepada masyarakat khususnya golongan muda. Pendedahan program seperti ini boleh merancakkan kembali genre terbabit yang sering kali didakwa tiada penggemar,” katanya.

Beliau percaya kehadiran nama besar dalam bidang sastera dan kesenian dalam program seumpama itu dapat mengembalikan kegemilangan karya sastera, meskipun ada beberapa perkembangan negatif yang menunjukkan usaha untuk memartabatkan puisi semakin berkurangan.

“Program ini diharap menjadi pemangkin yang dapat mendidik masyarakat ke landasan benar melalui mesej yang disampaikan dalam setiap puisi pilihan penyair yang menjayakan program ini baik di kalangan generasi muda mahupun veteran,” jelasnya.

Penyanyi, Farahwahida Razali yang akan turut beraksi pada Malam Puisi Riong anjuran bersama Berita Harian dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berasa bangga dipilih menjayakan program yang menghimpunkan beberapa besar sastera tanah air.

“Saya percaya kerjasama sedemikian dapat mengeratkan hubungan antara orang sastera dan orang seni secara tidak langsung. Saya berharap program seperti ini diperbanyakkan pada masa akan datang bagi mendedahkan generasi muda dengan genre puisi, sekali gus memupuk minat kepada penghasilan puisi yang boleh dilagukan,” katanya yang bercadang melagukan Ayat Ayat Cinta yang dipopularkan penyanyi Indonesia, Rossa.

Malam Puisi Riong di UTeM adalah yang keempat dalam siri jerayawara di seluruh Malaysia tahun ini dan mendapat kerjasama Hotel Seri Malaysia Melaka, Persatuan Penulis Melaka (Penama), Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Antara tokoh besar yang akan turut menjayakan malam terbabit ialah Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said; budayawan negara, Tan Sri Aziz Tapa: penerima Anugerah Penulisan Sea 2005, Abd Ghaffar Ibrahim (Agi); Zaen Kasturi, Ras Adiba Radzi, legenda rock, Ramli Sarp, Sabri Yunus dan Cicik

01 April 2010

Dato Dr Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Ke 10 Tentang 'Bahlut'


Tidak banyak novel Malaysia yang mengketengahkan kehidupan serta watak yang dianggap marginal dalam masyarakat kita. Jumlahnya hanya segelintir, termasuk yang ditulis oleh Akira (Mahat anak China), penulis keturunan Orang Asli – iaitu keturunan yang dalam anggapan beberapa pihak merupakan kelompok pinggiran dalam kehidupan kita di Malaysia.

Novel eponim Bahlut mengketengahkan watak luar biasa ini – pemuda Orang Asli suku Semai. Sukan moden dan kepantasannya di trek, melonjakkan kejayaannya sebagai atlit ternama di peringkat nasional. Bahlut malah ikut serta dalam pertandingan peringkat antarabangsa di Turki. Tetapi pemuda ini tahu diri dan realiti diri, perasaan, serta nasib suku kaumnya dalam zaman yang diracuni ekses pembangunan yang tidak terkawal.

Sebagai seorang remaja yang kehilangan ayah dan kematian ibu yang konon dibaham harimau, hidup Bahlut mempunyai dunia mikro cintanya kepada Kabut; juga dunia makro yang menuntut keprihatinannya terhadap isu pembalakan yang serakah, serta pengambilan tanah adat, juga isu kebersamaan yang menyentuh masa depan Orang Asli seluruhnya. Novel ini lama ditulis sebelum peristiwa demonstrasi Orang Asli secara besar-besaran di Putrajaya beberapa minggu yang lalu.

Pedagogi Islami Faisal Tehrani, seperti karya-karyanya yang lain, turut terpancar dalam novel ini. Bahlut tertarik kepada Islam bukan semata-mata kerana latar belakang pergaulannya yang agak lama dengan penganut Islam, tetapi kerana orang Islam (melalui watak Pak Idi dan Cikgu Zaiful) sentiasa menunjukkan akhlak yang dikagumi.

Ini sebuah lagi novel yang memikat daripada seorang pengarang Malaysia kontemporari yang prolifik dan berbakat besar.

* Sedutan ucapan Dato Dr Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Ke 10 di majlis pelancaran enam buah buku Ameen Serve sempena PBAKL 2010 pada 27 Mac 2010 yang lalu.