31 March 2010

Dato Dr Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Ke 10 Tentang 'Ingin Jadi Nasrallah'


Dalam tahun-tahun yang suram bagi genre puisi, termasuk khabarnya Dewan Bahasa dan Pustaka tidak akan menerbitkan lagi kumpulan puisi penyair muda, penerbit AmeenBooks tampaknya memiliki keberanian yang disertai dengan pendekatan menarik untuk menerbitkan kumpualn puisi Ingin Jadi Nasrallah karya Faisal Tehrani.

Penerbit Al-Ameen menerbitkan kumpulan puisi ini bukan dengan sosok fizikal buku puisi yang biasanya nipis, berekabentuk kuno, dan tidak menarik. Dengan buku berukuran 10” x 10”, halaman-halamannya menyerap puisi-puisi Faisal yang kadang lembut kadang sinis kadang marah mencakar. Buku ini juga dihiasi foto-foto artistik kenangan penyairnya yang kebanyakannya di luar negara, yang merakam detik bermakna tanpa dapat diulang lagi.

Puisi-puisi dalam buku ini bukan sekadar merimakan sifat peribadi. Banyak puisinya mengajak kesedaran kita untuk merenung isu kemanusiaan – baik isu yang sedang menggelegak di Palestin, atau isu yang meninggalkan parut Berlin dan Bosnia Hezergovina. Tentang Palestin antara lain beliau melakarkan:

Rumah-rumah sudah tiada

tiang ataupun tangga

kami takkan dapat kembali

walau dalam mimpi.

Tentang puisi yang menjadi judul kumpulan ini, Faisal antara lain menurunkan baris-baris berikut:

Apa rahsiamu Nasrallah?

apa yang kaupupuk

pada tentera Hizbullah?

Tauhidmu sekamus dengan tauhidku

selawatmu tak juga asing dari selawatku

jadi bagaimana kau menjadi si pemberani itu?

Ingin Jadi Nasrallah merupakan kumpulan puisi pertama Faisal Tehrani. Ia sebuah penerbitan yang menyerlahkan bakatnya sebagai penyair juga. Sebahagian besar puisinya mengandungi pemikiran mendalam yang diperkukuh dengan imejan, metafora serta diksi yang berkesan.

* Sedutan ucapan Dato Dr Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara Ke 10 di majlis pelancaran enam buah buku Ameen Serve sempena PBAKL 2010 pada 27 Mac 2010 yang lalu.

30 March 2010

Dua Tiga Sejarah Yang Tercatit di Pesta Buku Antarabangsa KL Baru Ini


1. Datuk Seri Najib Tun Razak muncul sebagai Perdana Menteri pertama mengunjungi PBAKL selepas 29 tahun penganjurannya. Beliau juga muncul sebagai Perdana Menteri pertama yang terlibat dalam majlis bacaan buku di negara ini. Nampak sangatlah Perdana Menteri kita sebelum ini 'kurang memesrai buku' berbanding rakyat jelata. Insya-Allah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011, Datuk Seri akan hadir bersama Datin Seri. (Foto Utusan Malaysia, klik sini)


2. Dewan Bahasa dan Pustaka dikhabarkan tidak akan menerbitkan lagi kumpulan puisi penyair muda. Macam-macam alasan yang diberikan. (Jika benar) Di tengah-tengah sikap yang cabul dan tidak bertanggungjawab tersebut kumpulan puisi saya yang pertama, Ingin Jadi Nasrallah dilancarkan oleh Sasterawan Negara Ke 10 pada 27 Mac 2010 lalu. Dan siapa kata penggemar sastera tidak mahu membeli buku puisi? Ingin Jadi Nasrallah terjual dengan laris di PBAKL 2010.


3. Kami saling bertukar buku. Ummah perlu mendapat manfaat dari pesan-pesan penyelesaian menerusi formula yang rencam. Umat juga perlu dibenarkan memilih untuk membeli di "gedung pasaraya idea" yang mereka suka. Dan kita, tentu, tidak boleh marah mereka yang enggan membeli di kedai kita.

* Foto dari blog Minda Tajdid

29 March 2010

Terima Kasih, Jumpa Lagi Tahun Hadapan


Tokoh korporat turut membelek Ingin Jadi Nasrallah.


Si cilik bersama ibunya dari Putrajaya.


Mencatat sesuatu.


Sempat 'ditahan' di 'jalanan'.


Siapa kata buku puisi tidak boleh dijual?


Yang ini penggemar berat satira Ketupat Cinta.



Tiba-tiba ada ramai pengunjung Pesta Buku mengelilingi saya.


Teman saya, sinaganaga yang banyak mereka bentuk kulit hadapan buku-buku saya. Sekarang sinaganaga diburu oleh pengarang lain pula, semata-mata untuk mendapatkan khidmat dan kepakaran beliau.


Sasterawan Negara ke 10, Dato Dr Anwar Ridhwan memperkenalkan Ingin Jadi Nasrallah.


Pelancaran Ingin Jadi Nasrallah pada 27 Mac 2010 di ruang legar PWTC.


Adik-adik MPR turut muncul di Pesta Buku 2010.


Baju t Ingin Jadi Nasrallah, ada pelbagai saiz maka jangan risau.


Setelah Wawancara Sofa Putih ITNM pada 24 Mac 2010. Soalan jangkaan yang timbul; 'Adakah saudara syiah?' seraya keratan Malaysiakini dengan wajah mantan mufti Perlis muncul di skrin belakang.


Teman-teman dari Jerman turut hadir.


Ada yang mendapatkan The Prau With The Silent Soul, terjemahan Bedar Sukma Bisu.


Pelajar doktorat UKM dan Kak Ros (Upin dan Ipin) turut mengambil kesempatan beramah mesra.


Saudara Roslan Shariff, bakal muncul dengan kumpulan puisinya tidak lama lagi.


Blogger Faizah, mengambil cuti untuk 'shopping' buku.


Pengarang muda Khairun Nasriah lincah selalu.

Juru gambar rasmi Faisal Tehrani adalah Encik Amir Hamzah, pemilik 'Seni Reka & Fotografi Sejuta Wajah', beliau boleh dihubungi di +60162023804 atau di laman web: http://sejutawajah.fotopages.com/ Foto2 ini adalah milik beliau.

27 March 2010

Ucapan Faisal Tehrani di Pelancaran Novel 'Bahlut' dan Kumpulan Puisi 'Ingin Jadi Nasrallah'

Assalammualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera. Solawat buat Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya seperti yang kita ungkapkan dalam solat kita.

Saudara hadirin yang saya hormati, saya ingin memetik dua perenggan dari tulisan Saudara SM Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang disiarkan oleh akhbar Harakah 19-21 Mac 2010 baru-baru ini: “Orang Asli yang merupakan komuniti paling terpinggir di negara ini, terus mengalami kehilangan tanah mereka melalui penempatan semula, pembalakan, perlombongan, pembinaan empangan, pembangunan padang golf, skim peladangan, pengumpulan semula dan asimilasi ke dalam masyarakat arus perdana. Hak Orang Asli ke atas tanah warisan tidak diiktraf oleh negeri; oleh itu mereka semakin kehilangan tanah dan mengalami kemusnahan asas kewujudan mereka. Dasar kerajaan ialah mengumpul dan menempatkannya semula mereka untuk menanam tanaman kontan dan makanan. Tekanan terhadap tanah dan kekurangan bantuan daripada kerajaan negeri serta sokongan telah membawa kepada meningkatkan kesukaran hidup mereka. Hari ini kira-kira 80 peratus daripada Orang Asli hidup di bawah garis kemiskinan rasmi.”

Apa yang dinukilkan oleh saudara SM Mohamed Idris itu bukanlah sesuatu yang baharu. Bukan suku kaum Semai sahaja ditimpa kesengsaraan di atas. Ketika menulis novel Bahlut (yang akan dilancarkan ini), saya membaca satu laporan Narifumi Maeda Tachimoto bertajuk The Orang Hulu, (Center For Orang Asli Concerns, 2001) yang menulis mengenai persepsi orang Hulu terhadap orang Melayu: “Differences in the way of life and habitation, as well as economic exploitation, make the Orang Asli sakai, dependents or retainers, of the Malay. So the Orang Asli are still called Orang Sakai by Malays, though officially the neutral term Orang Asli has been used since World War II. Previously, the attitude developed that the sakai are neither Malay nor Muslim. Thus it has become convenient for the Malay to exploit them, treating the inhabitants of the interior as non-Malays.” Tulisan Tachimoto ini bagaikan menyuruh-nyuruh saya untuk mengarang novel Bahlut kerana saya tidak mahu lagi orang Melayu dituduh tidak melakukan apa-apa pun buat Orang Asli. Sudah masanya tanggapan mengejek ini diakhiri dengan kerja amal berupa pembelaan.

Hari ini, pada waktu ini, Sasterawan Negara Ke 10 yang saya hormati, Dato Dr Anwar Ridhwan telah diundang untuk melancarkan novel Bahlut dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah.

Novel saya ke 19 ini berjudul Bahlut dan ia tuan-tuan merupakan satu ‘pembelaan kecil’ saya buat masyarakat Orang Asli supaya perjuangan, penderitaan kesusahan, dan pahit getir mereka didengari oleh masyarakat terbanyak. Saya berharap dengan upaya kecil ini saya telah menjalankan satu bahagian dari misi keagamaan para nabi dan kumpulan wali yang hidup mereka memperjuangkan nasib orang mustadhafin, kumpulan marhaen, golongan murbawan, para abdi dan manusia terpinggir seperti Orang Asli ini.

Untuk tujuan itu, saya menampilkan protagonis bernama Bahlut dalam novel terbaru saya, yang nama dan semangatnya diambil dari mitos atau legenda perwira kaum Semai bernama Bahlut. Dalam mitos tersebut, Bahlut berjaya mengusir hantu jembalang yang mengganggu kaumnya. Hari ini, hantu jembalang tersebut terlalu banyak. Kapitalis pembalak, politikus korup, pemimpin bohong, dan ketidakpedulian kita adalah sejenis hantu jembalang yang mesti, mereka Orang Asli, atasi. Bahlut, adalah penyataan kecil saya sebagai seorang seniman untuk membawa masalah yang rumit dan begitu lapuk ini ke mata orang awam.

Dalam Bahlut, terdapat watak-watak wanita yang kuat seperti Kabut dan Embun. Watak-watak ini saya terjemahkan dari kerimasan dan kelemasan wanita kaum Semai terhadap perubahan dan pembangunan di sekeliling mereka. Pembangunan yang dipantakkan itu malangnya tidak membawa kebaikan tetapi menjadi nahas buat mereka. Saya berterima kasih kepada laporan Colin Nicholas, Tijah Yok Chopil dan Tiah Sabak menerusi rekod yang sungguh impresif berjudul Orang Asli Women and the Forest, terbitan Center For Orang Asli Concerns, 2003. Laporan ini menjelaskan betapa cara hidup Orang Asli telah dinodai dengan rakus sekali ekoran pembalakan, skim pertanian dan peladangan yang saya kira amat berat sebelah. Maka tidak hairanlah Tijah Yok Chopil yang hari ini merupakan penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Perak memimpin beribu Orang Asli ke Putrajaya pada 17 Mac lalu untuk menyerahkan memorandum supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli diwartakan sebagai Rizab Orang Asli. Selain itu Orang Asli turut menuntut pindaan Akta Orang Asli (Akta 134).

Insya-Allah, Bahlut akan terus ‘menempik’ dan saya berharap ketegasan watak Bahlut dalam novel ini akan menjadi tenaga yang positif buat masyarakat Orang Asli dan kita sendiri, yang saya kira, prihatin tentang isu yang melibatkan mereka. Memang dalam novel ini, Bahlut diberi perhatian khas oleh Perdana Menteri dan isterinya. Saya kira seorang atlet yang dapat membawa pulang pingat atau trofi All England (seperti yang dilakukan oleh Datuk Lee Chong Wei) akan segera menarik minat pemuka besar negara; maka tidak salah saya mengkhayalkan dalam novel ini, Bahlut, mengancam untuk menguburkan konsep 1Malaysia dengan tekad untuk membuang pingat ke dalam sungai, seperti mana dilakukan oleh peninju lagenda bertaraf dunia, Muhammad Ali satu masa dahulu. Mungkin, khayal saya untuk Bahlut itu terlalu mengkagetkan. Akan tetapi saya berharap dengan memuatkan plot tersebut, ada orang yang berkuasa akan lebih menyedari bahawa mereka tidak melakukan apa pun untuk menolong kumpulan manusia kecil yang sudah lama tertindas ini. Ketahuilah, Allah, Rasul-Nya dan para wali suci akan bertanya kelak kepada kalian di akhirat. Ini kerana kumpulan yang kecil dan marginal inilah yang akan menjadi dominan dan penguasa di mahkamah keadilan Allah kelak.

Bahlut boleh dibaca sebagai sebuah novel politik tentunya (jadi, jangan cari formula sukan di dalamnya). Lye Tuck Po yang menulis Changing Pathways, terbitan Stategic Information Research Development, 2005 mengenai kedudukan suku kaum Batek yang kian pupus lantaran ketagihan pembalakan dan pembangunan menulis bahawa; “When Batek individuals travel outside the forest, sometimes to give cultural performances for the tourist trade, they do not come back fueled with ideas of how the outside world is waiting to embrace their political participation. Rather, their impressions are cultural and ethnological. ” Adalah menjadi tugas kita untuk membuka kecelikan politik buat mereka. Adalah menjadi peranan kita untuk membawa masalah mereka sebagai isu politik yang sentral. Insya-Allah saya yang menulis Bahlut, dan tuan-tuan yang membeli dan membaca Bahlut telah membuat satu penyataan dan keazaman politik untuk ikut serta membetulkan keadaan yang menimpa Orang Asli di era 1Malaysia, era di mana tiada kumpulan serasa ditinggalkan, era yang telah diwar-warkan dengan begitu hebohnya.

Bahlut adalah simbol manusia yang melawan. Simbol manusia seperti Hussein, seperti ibunya Fatimah Zahra, seperti bapanya Saidina Ali yang harus menentang kemunafikan, seperti kekandanya Hasan yang dimuslihati, seperti nendanya, baginda junjungan Nabi Muhammad SAW yang kerjanya adalah membangunkan umat dan mempertahankan kumpulan kecil, marginal, tersudut, mustadhafin, miskin, dan letih ini. Saya telah menulis beberapa buah buku cerita, ada yang padat falsafah dan ada yang terbumbung oleh jauhnya kreativiti. Ini adalah sebuah novel remaja yang lain sekali. Bahlut, adalah sebuah novel yang saya banggakan kerana ia, Insya-Allah adalah tangan kecil saya untuk membesarkan misi kenabian.

Pada petang ini juga, selain Bahlut – kumpulan puisi saya yang sulung iaitu Ingin Jadi Nasrallah bakal dilancarkan. Selain puisi, pembaca dapat merasa-rasa detak nubari saya menerusi foto-foto yang saya rakami sepanjang pengembaraan saya sebagai seorang seniman. Menerusi tema yang sama dengan Bahlut iaitu pembelaan kaum marginal, saya berharap Ingin Jadi Nasrallah akan menggumpal menjadi satu teriak bertenaga generasi akan datang untuk melawan setiap kekejaman tanpa silu dan segan. Saya tidak mahu memanjangkan ucapan ini lagi. Saya kira lebih molek saya tutup kata-kata saya dengan mendeklamasikan salah sebuah puisi yang termuat dalam Ingin Jadi Nasrallah. Puisi ini terdapat dalam buku sajak yang saya dedikasikan untuk setiap pembaca saya yang berani.

Sekian, Terima Kasih. Semoga tuan-tuan diberkati Allah dan Rasul-Nya setiap detik yang bermakna dalam kehidupan.


Solawat dan Takbir!

26 March 2010

Pandangan Faisal Tehrani Tentang Industri Buku di Bernama

KUALA LUMPUR, March 18 (Bernama) -- Writers are unhappy over the demand by distributors who wanted up to 65 per cent in commission.

They said the matter was tantamount to killing the book industry and an oppression towards writers and small publishers.

The commission was previously at 40 per cent and was increased to 50 per cent last year and as high as 65 per cent this year.

Dr Lim Swee Tin, a writer with 40 years experience, said the high commission for distributors can only mean bad things for writers.

"This will push up book prices," he told Bernama when asked to comment on problems facing the book industry.

The prices of books are normally set at three times more than their cost.

The country's book industry is still lagging compared to those in the neighbouring countries which have a wider genre and represented by a wider variety of titles.

The local book industry is still seen to be progressing on a narrow path with the inclination to publish popular books based on the readers' demand.

The influx of foreign books compounded the situation further.

Prolific writer Faisal Tehrani, 36, likens the current situation in the country to the "kitsch" culture in Germany which refers to the proliferation of sub-standard reading materials that contributed little to the cultural development of the people.

He agreed that the high percentage of commission demanded by distributors and bookshops was not helpful to small publishers and writers, especially full time writers.

Faisal claimed that some bookshops gave priority to imported books over the local ones due to factors like profits.

He likens the market domination of publishers, distributors and book shops as perpetrating a vicious cycle which oppresses writers and stalls the growth of the local book industry.

The year 2008 saw 16,000 books being published but the amount is far from being able to balance out the country's 27 million population despite the country having a clear National Book Policy.

Compared to 20 years ago, parents are now more forthcoming in giving money to their children to buy reading materials but many would find it difficult to get the books they want due to market manipulation.

"It's not that the book is not there. The book is there but not sold. This causes disappointment among the readers," he said, pointing out that many writers resorted to selling their books on the Internet or book festivals like the 10-day Kuala Lumpur International Book Fair starting tomorrow at Putra World Trade Centre.

To overcome the shortage of local books, writers should publish and distribute their own books to ensure their works can reach the masses at a minimum price.

The problem is, not all writers have the means to do so.

Several years back, the same problem was faced by National Laureate Datuk A. Samad Said whose manuscripts were collecting dusts due to problems in getting them published. To overcome the problem, he decided to publish them on his own.

Lim called on the government to intervene by coming out with a mechanism to determine the commission rate and to bring home the point that distributors too have got a crucial role to play in spurring the book industry and not just to rake in profits.

Faisal said if the film industry can be protected under the compulsory screening scheme, it was now time for the book industry to have a "compulsory selling" scheme by placing 40 per cent local books in shops.

"Just like the film industry, the book industry should also be safeguarded," Faisal said.

-- Sumber asal di BERNAMA

25 March 2010

Ingin Jadi Nasrallah dan Bahlut di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PWTC, 27 Mac, Jam 3-4 Petang



Sedikit sedutan Wawancara Sofa Putih ITNM pada 24 Mac pukul 12-1 tengahari lalu. Wawancara dikendalikan oleh saudara Syed Munawar. Dapatkan The Prau With The Silent Soul di gerai ITNM.

"Nama eng Bahlut…Bahlut takkan mengalah begitu sahaja."

Nama eng Bahlut – atau Nama saya Bahlut.

Kisah Bahlut bukanlah kisah roman cinta anak remaja orang asli suku Semai semata-mata. Agak-agaknya wujudkah anak remaja yang tidak pernah jatuh cinta? Bukan, ini bukan kisah cinta Bahlut dengan Kabut yang jauh lebih berumur dan sudah pun bertunang. Ini kisah Bahlut yang sedang mencari dirinya sendiri. Pencarian yang meredah pembauran dan pertembungan budaya – dunia kota dengan dunia suku Semai.

‘Perenheg’

-- Pecut!

Begitulah kita dibuai oleh Bahlut dengan kisahnya menjadi atlet trek yang disanjung oleh dunia kota. Juga sebagai lambang pahlawan suku Semai yang berjuang untuk menyelamatkan kampung halaman.



Puisi Faisal bukan bentuk semata tetapi lebih bersandarkan makna. Membaca puisi dalam kumpulan ini seakan dibawa belayar dalam satu bahtera menyusuri lautan wacana yang penuh advencer dalam penitian usia penulisnya. Sebuah karya yang jarang-jarang ada, kumpulan puisi Faisal Tehrani - Ingin Jadi Nasrallah.

** Mereka yang ingin membuat tempahan khas - Kumpulan puisi, Ingin Jadi Nasrallah, baju t Ingin Jadi Nasrallah dan single Revolusi Pembudayaan Selawat dengan harga RM60 (Pos laju: RM80). Sila emelkan tempahan saudara dengan nama, nombor telefon bimbit, dan alamat lengkap kepada chefhisyam@gmail.com. Tulis pada subjek emel: PAKEJ IJN.

* Kerana fitrah dan nasib genre puisi, maka Ingin Jadi Nasrallah diterbitkan dalam jumlah yang terhad.

24 March 2010

Fragmen 'Bahlut' - Sebuah Novel Tentang Orang Asli di Malaysia

Nik tenem; ya tiga malam. Embun masih ingat dengan jelas kejadian itu.

Kemunculan mereka dari belukar hutan menyebabkan satu kemalangan ngeri berlaku. Dia tahu penumpang dalam jip yang ditimpa kemalangan tersebut tidak bersalah.

Seolah-olah mereka juga sedang melarikan diri dari ‘hantu’ yang sama. Kerana itulah dalam ribut, dia masih ingat Kartika berlari ke arah sebuah penempatan orang asli sambil memberitahu, “Ada kereta masuk gaung! Tolong….”

Dan setelah orang kampung Susu kecoh ingin menolong, Kartika menarik tangan Embun yang masih dalam keadaan ketakutan dan kebingungan.

“Kita harus ghaib Bu. Kita sembunyi. Kita sembunyi dalam hutan ini tiga malam.

Kemudian kita putuskan bagaimana akan ke Kuala Lumpur.” Kartika bersungguh.

Semuanya berjalan dengan pantas.

Embun meneliti wajah gadis Jawa yang memberinya semangat itu. Gadis itu berbadan kecil, tetapi azamnya waja. Rambut Kartika agak keriting, matanya galak, sementara hidungnya agak kemek. Tubuh mereka diratah nyamuk sepanjang malam. Embun masih ingat, malam pertama sungguh panjang dan penuh penderitaan.

Mereka masuk jauh ke dalam hutan.

“Doalah Bu,supaya kita tidak mati dibaham harimau atau beruang.”

Embun menangis. Entah mengapa wajah harimau yang bengis menerjah dalam ingatannya. Kemudian ada perca-perca ingatan lain melawat kotak kenangannya.

“Hissyyy, ibu jangan bising.” Kartika menekup mulut Embun. “Kita bersabar di sini.”

Entah berapa kali mereka terserempak ular menjalar di ranting pokok. Juga kedengaran serigala mengongoi. Kartika dalam ketakutan setiap detik. Tetapi Embun serasa biasa.

Seakan-akan hutan itu adalah alamnya.

Mereka menahan kelaparan dan dahaga sepanjang malam. Tatkala hari siang, mereka tertidur dalam semak penuh duri. Tetapi telinga Kartika cekap dan cermat, ada sahaja bunyi yang asing akan mengejutkannya dengan cepat.

Bukan tiada saat cemas. Sekali Kartika membuka mata, meniarap, menyelinap dan merangkak di celah akar pohon dan semak yang merimbun. Tampang beberapa pembalak dengan senjata melintas. Nyata, pembalak-pembalak itu mencari mereka. Kartika mendekati Embun yang lena di celah sebuah busut. Lekas dia mengejutkan Embun, seraya berbisik.

“Jangan cakap sepatah pun. Kita gerak perlahan-lahan.”

* Novel Bahlut sudah pun berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010.

23 March 2010

Wawancara Sofa Putih Faisal Tehrani-ITNM di Pesta Buku Antarabangsa KL

Pada 24 Mac 2010, pukul 12-1 tengahari (cuba-cubalah mohon keluar makan tengahari awal daripada bos) wawancara Sofa Putih ITNM akan berlangsung sekali lagi. Wawancara Sofa Putih ini adalah siri sesi bual bicara bersama tokoh terkemuka berkenaan dunia penerbitan, isu perbukuan dan budaya keilmuan. Ia dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar. Di antara tokoh yang sudah tersenarai ialah Datuk A. Samad Said, Kartunis LAT, Datin Fatini Yaacob, Dato' Saifuddin Abdullah, dan Anwar Ridhwan Sasterwan Negara ke-10. Saya akan muncul di sofa putih ITNM pada tarikh dan waktu yang disebutkan di atas.

Tuan-tuan boleh tampil ke hadapan di gerai ITNM, dan ajukan apa sahaja soalan ketika sesi wawancara ini. Ketika sesi yang mengemukakan Datuk A. Samad Said, beliau telah dicurahi soalan-soalan tentang PPSMI dan bermacam lagi.

Selain itu khalayak juga boleh mendapatkan novel terjemahan Bedar Sukma Bisu yang berjudul The Prau With The Silent Soul terjemahan Datuk Zawiyah Baba (terbitan ITNM).

Pengarang dan blogger buku ternama, saudara Fadz ada mengulas The Prau With The Silent Soul di blog beliau:

"Seperti saya, selepas selesai membaca novel ini, saya menganggap novel ini merupakan sebuah novel yang menggunakan ciri-ciri realisme magis Melayu yang pertama kali berjaya direalisasikan oleh seorang penulis Melayu (maaf, bukan Hujan Pagi). Sememangnya novel ini diulit dengan kemistikan dan mitologi Melayu dan Islam yang sehaluan pekembangan kemodenan dan pembangunan masyarakat setempat. Hal ini perlu dalam mengupas rahsia plot di dalam novel yang kompleks ini yang terikat kepada persoalan warisan dan akar umbi jati diri Melayu, lalu disulam dengan hal-hal "semasa" iaitu perniagaan, pendidikan, teknologi, psikologi dan pencambahan manusia Melayu dengan budaya asing yang mendepani mereka.

Sememangnya "isi" novel ini tidak boleh dibuat main-main, tetapi syukur saya titipkan, perjalanan saya menyelusuri separuh daripada novel ini adalah satu pengalaman santai-santai seakan naik di atas sebuah perahu yang sedang melintas samudera. Ini adalah kerana pemilihan Faisal untuk memperkenalkan watak-watak utamanya dengan perlahan, teliti serta melafazkan isi sukma tersendiri dengan konflik kekeluargaan masing-masing, baik dari sejarah (Penjajahan Jepun) atau politik keluarga.

Saya tercuit akan hal Faisal memilih bedar, atau "prahu" sebagai "alat kominikasi" antara watak dan pembaca dalam novel ini. Perahu ini bolehlah diambil simbolisme "perahu" dalam syair Hamzah Fansuri yang berkait dengan tasawuf. Faisal sekarang menebarkan hal-hal yang berkenaan dengan kejiwaan Melayu dan apa yang membuat jiwa Melayu itu bergelora, tangkas dan bisu. Ini dipercantikkan lagi dengan elemen Ben Qortubi yang "sama-sama" menyelami "peradaban" dan "jiwa" orang Melayu dengan mengenali dan seterusnya membangunkan dinasti pembikinan bedar Melayu (yang boleh kita lihat, Faisal merujuk pertukangan kapal di Pulau Duyung, Terengganu). Segala hal-hal "sejarah" yang Faisal gerakkan dalam cerita ini sebenarnya membuka lampiran kedatangan dan perkembangan Islam dan ketamadunan Melayu itu sendiri di tanah semenanjung "emas". Faisal juga menampilkan bagaimana "Melaka tidak dibina dalam satu hari" serta bagaimana ketamadunan yang dicapai oleh orang Melayu itu datang sejujur-jujurnya daripada jiwa yang berpegang kepada kebenaran Quran dan Sunnah, dan hal-hal ini yang disampaikan, direalisasikan ke dalam bentuk ukiran, pertukangan dan pelbagai lagi "kepakaran" orang Melayu waktu itu."

.... (kalau mahu membaca sehingga selesai ulasan beliau di Kubu Buku, klik di sini.)

Jadi, ketemu kelak di sofa putih!

* Jangan lupa dapatkan Bahlut dan Ingin Jadi Nasrallah di gerai Ameen Serve.

22 March 2010

Dapatkan Baju T 'Ingin Jadi Nasrallah' & 'Manikam Kalbu'



Boleh didapatkan pada 27 Mac 2010, sempena pelancaran Ingin Jadi Nasrallah dan novel Bahlut di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PWTC, (jam 3-4 petang).

Anda dijemput hadir.

20 March 2010

Dah Ada, Bahlut & IJN Dah Ada!




Panduan ke gerai Ameen Serve:

Di PBAKL 2010, Ameen Serve membuka dua gerai. Di TR 3 (Tun Razak3) gerai bernombor D44-47. Ini adalah di bangunan PWTC itu sendiri (gerai tidak jauh dari gerai ITNM). Terdapat juga gerai di TR2 (Tun Razak2) di gerai bernombor B36-37. Ini adalah di bangunan seberang sungai (gerai tidak jauh dari gerai Creative Enterprise dan PTS).

18 March 2010

Rahsia Di Sebalik 'Ingin Jadi Nasrallah'

Akhirnya setelah lebih tiga tahun merancang dan mengerjakannya, Ingin Jadi Nasrallah menjelma di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Meskipun tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan, dan tidak semua kesempurnaan dapat dicapai; memadailah disebutkan di sini bahawa Ingin Jadi Nasrallah adalah ole-ole manis saya untuk pembaca saya yang setia. Turun naik saya selama dua dekad dalam bidang penulisan bagaikan roller coaster. Turun naik yang telah didokongi dengan padu dan kuat oleh sekian khalayak Faisal Tehrani yang ikut sama 'berani mati'.

Tidak semua orang tahu saya bermula dengan genre puisi. Tidak semua orang tahu puisi saya yang pertama tersiar di akhbar Harakah saat saya masih menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah lagi. Saat saya 'tersedar' puisi itu terbit, rakan saya - Haniff Ahamat - berada di sisi dan kami berdiri dalam bas dari Kelang menuju ke Kuala Lumpur, untuk bergabung dengan mantan mufti Perlis menemui Ustaz Yaacob Hussin. Puisi itu, sebagai satu linangan sejarah yang akan terus mengalir, ada saya muatkan sekali dalam Ingin Jadi Nasrallah.

Terdapat puisi yang dicatatkan mengapung ketika saya di rantau orang. Resah - diam yang bergulir - harapan - rindu - asyik - cinta - misteri - khayal - doa dan pergulatan pemikiran yang saya tempuhi sebagai pengarang selama dua dekad ini berasakkan lalu terpadu, langsung terakam menjadi satu dokumen yang berbentuk puisi. Insya-Allah Ingin jadi Nasrallah berbaloi kerana ia juga satu himpunan album yang mengisi dan menilai rona kehidupan saya selama dua dekad itu.

Ingin Jadi Nasrallah
amat bermakna buat saya. Ada kawan telah menjadi musuh. Ada nama yang telah dipadamkan. Ada musuh tersangka sebenarnya rakan. Ada teman baharu datang mendamaikan. Ada magis yang telah memberi kekuatan.

Terima kasih buat Ameen Serve yang meski teragak-agak tetapi akhirnya nekad menerbitkan buku puisi, genre berhantu yang paling ditakuti penerbit. Asalnya kumpulan puisi ini mahu diterbitkan sempena hari lahir saya yang ke 35, mungkin adalah hikmahnya ia terlajak beberapa tahun. Terima kasih buat Sinaganaga yang bertungkus lumus menyiapkan Ingin Jadi Nasrallah, memang dia regu kerja saya yang serasi. Terima kasih buat Saudara Azam Supardi dan Kekanda Azizah Supardi yang 'mencantikkan' Ingin Jadi Nasrallah. Terima kasih buat semua yang menyumbang khazanah tidak bernilai ini. Ketika saya diam, kala saya dalam perjalanan dan saat saya sedang dalam pencarian kebenaran. Saya tidak pernah alah dengan kritikan. Saya tidak akan beredar kerana cercaan.

Ingin Jadi Nasrallah saya dedikasikan untuk kalian, untuk semua pembaca setia Faisal Tehrani. Kerana semua kita adalah pejuang dan pemberani.

Jadi puisi aku ini akan bercerita tentang juang,

Apa rahsiamu Nasrallah?

Apa yang kau pupuk

Pada tentera Hezbullah?

Tauhidmu sekamus dengan tauhidku

Selawatmu tak juga asing dari selawatku

Jadi bagaimana kau menjadi si pemberani itu?


(Jemput hadir di pelancaran Ingin Jadi Nasrallah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PWTC, 27 Mac, jam 3-4 petang)

16 March 2010

Fragmen Novel 'Bahlut'

* Nasib orang asal Malaysia, klik sini.

Bahlut melihat ke luar jendela, gelap, mungkin ada awan-awan berat yang dilanggar muncung pesawat. Masih terlalu jauh rentas benua yang bakal ditempuhi. Bahlut risau. Untuk pertama kali dia rasa kehilangan kerana dia ingin berdoa supaya Tuhan menyelamatkan Cikgu Zaiful dan Kabut, dia ingin berdoa supaya Cikgu Zalman aman dalam perjalanannya ke barzakh tetapi Bahlut tidak punya agama, dan dia tidak tahu kepada siapa harus ditujukan doanya.


Dalam sukmanya, Bahlut bersuara resik, “Tuhan jika Engkau Satu dan Ada maka aku berdoa supaya Engkau selamatkan Abang Zaiful dan selamatkan Kabut. Demi Nyenang he nanek, pulihkan mereka supaya mereka dapat menceritakan apa yang berlaku.”

Kemudian Bahlut terlelap.

Panjang.

Lena.

Dalam tidurnya, bapanya yang dirindui muncul, kemudian dia melihat ada lembaga menyerupai Batin Endau. Mereka kelihatan bertengkar di tebing sungai.

“Namaku bukan Tiji lagi, Batin pun tahu. Nama eng Ali.”

Batin Endau ketawa. “Eng pun ada nama Melayu, Omar nama eng, tetapi kalau sardin dan barang runcit datang eng jadi Omar. Kalau Paderi Besar datang eng boleh jadi William. Kenapa hek mahu melawan pembalak itu Tiji, jangan jadi bodoh. Kita boleh sama-sama nikmati ini semua. Kita lawan pun tak guna. Orang besar pun sokong mereka. Orang besar yang hantar mereka membalak di tempat kita. Jadi, nak lawan macam mana?”

Tiji berkerut.

Bahlut juga berkerut. Igaunya menjadi makin buruk.

“Sungai kita sudah mengalami pemendapan akibat kegiatan pembalakan tidak terkawal itu Batin. Kenapa Batin bersekongkol dengan mereka?” Suara Tiji tinggi nggaleh.

Batin Endau menderam bagai babi hutan.

“Sungai inilah tempat kita menjalankan kegiatan harian. Kita menangkap ikan, membasuh, memburu…semua ini makin terancam. Longgokan kayu balak serta pohon, dan dahan pokok mati yang dibuang ke dalam sungai sengaja tidak dibersihkan di tebing sungai berdekatan khemah pembalakan. Eng tak faham, hek punya hubungan rapat dengan mereka…mengapa hek diamkan saja hal ini. Hek makan suap?”

Batin Endau mendengus. Bahlut mengeluh dalam lelapnya.

Tiji makin mengasak, “Hek tak nampakkah, pembalakan berhampiran cerun bukit dah mengakibatkan tanah teruk terhakis sampai mendap ke dalam sungai. Batin, lama kelamaan sungai kita yang dalamnya berpuluh meter itu akan menjadi cetek.”

Batin menguis tanah.

“Sungai tohor menyusahkan pergerakan bot kita ke kawasan pedalaman lain. Kita sudah susah memburu haiwan liar, menangkap ikan, hasil yas kita makin susut…dan membasuh pakaian yang banyak bergantung kepada sungai.”

Toma Tiji, hek membesar-besar perkara. Hek banyak cakap Tiji. Sejak hek masuk Islam hek banyak cakap. Hek nak jadi pembela ya?” Suara Batin Endau kasar.

Tiji tangkas memotong, “Memang Islam mengajar hek jadi pembela. Kalau hek sekadar belajar tapi hek tak amalkan apa gunanya?” Tiji menjawab deras. Semacam perli mengingatkan kegemaran Batin Endau merubah-ubah agama untuk kepentingan diri dan perut.

Batin Endau menahan marah.

Pada 27 Mac 2010 ini, jemputlah hadir ke pelancaran novel Bahlut (Pukul 3-4 petang). Semua acara di PWTC dan terbuka untuk umum.

** Foto atas sekadar hiasan, dari sumber malaysiakini

15 March 2010

Undangan Ke Pelancaran 'Ingin Jadi Nasrallah'


Merupakan antologi puisi pertama Faisal Tehrani. Ia menghimpunkan sejumlah 35 buah puisi Faisal Tehrani sejak pembabitannya dalam bidang penulisan. Kumpulan puisi ini menjadi bertambah menarik dan unik dengan nilai tambah sejumlah foto peribadi Faisal Tehrani khususnya ketika kembara beliau. Faisal pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan 1999 untuk puisi beliau Sesudah Hujan Dahlia yang disifatkan oleh panel penilai sebagai 'menampilkan kekuatan dari segi estetik dan bersifat imaginatif, selain berjaya menimbulkan kesan tragis terhadap peperangan'.

Pelancaran Ingin Jadi Nasrallah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PWTC, 27 Mac pukul 3-4 petang. Jemput hadir. Dibuka Buat Umum.

12 March 2010

"Bahlut": Novel Faisal Tehrani Yang Ke 19

IBU saya memiliki sebidang tanah di Bukit Payung, tidak jauh dari kampung kami; kampung Perling, Simpang Ampat, Melaka. Kampung ini kini hanya tinggal nama kerana telah disodok dengan rakusnya oleh pembangunan. Semasa kecil, pernah sekali agaknya saya dibawa abah meninjau-ninjau tanah yang masih diduduki oleh Orang Asli itu. Ikut serta ialah arwah Tok Bachik. Tanah tersebut jika tidak silap saya adalah milik moyang kami, Tok Shamsuddin Leong, seorang Tionghua yang setelah memeluk Islam begitu komited orangnya dalam membangunkan Kampung Perling. Saya tidak sempat menemui beliau, tetapi isterinya, moyang perempuan kami iaitu arwah Puan Hawa memang berpeluang saya mesrai. Arwah Puan memang banyak menampung cerita, sayang tika itu saya belum jelas cita-cita. Jika tidak tentu saya akan mencatit atau merakam dalam benak ini setiap buah butir bicaranya, kebetulan beliau panjang umur menjangkaui seratus tahun. Dan yang mendebarkan, Kampung Orang Asli di Bukit Payung itu mengandungi cerita tersendiri dalam keluarga kami. Ada macam-macam kisah yang berbaur antara magis, real dan fakta sejarah. Saya tidak tahu mana satu lagi yang benar. Hari ini tanah sebidang itu sudah jadi kawasan pembalakan dan Orang Asli yang mendiaminya sudah terusir entah ke mana. Masih ada sisa Orang Asli yang kelihatan ‘terperangkap’.

Bermula dari situlah wajah-wajah Orang Asli yang saya lihat sejak dari kecil, meski sekali, begitu kukuh berbekas dalam kepala. Lebih dua dekad kemudian apabila saya mengulang semula melihat-lihat sebidang tanah tersebut, banyak yang telah berubah. Dan wajah-wajah Orang Asli itu, walau kini berpakaian lengkap, sudah semakin letih. Wajah seorang remaja yang lesu itulah yang menjelma dalam benak saya apabila dipelawa menulis novel bersiri di majalah Tunas Cipta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sayang, Bahlut terhenti seketika kerana majalah tersebut oleh kacaunya pentadbiran Dewan Bahasa dan Pustaka telah ‘direhatkan’ sementara sebelum ‘dihidupkan’ kembali.

Menerusi Bahlut saya sempat menghantar pembaca ke sebuah dunia yang luar biasa. Hasrat untuk menekuni dunia Orang Asli, membuatkan saya menelaah kisah suka duka suku kaum Semai. Ini membolehkan saya mengemukakan dunia Bahlut anak Tiji.

Bahlut luar biasa sekali nama itu. Saya mengutip seberapa dapat bahasa suku kaum ini dan menyuguhkan pembaca sebuah dunia baharu yang unik. Dunia yang kurang diketahui.

Ia memang mencabar tetapi menyegarkan.

Bahlut adalah sebuah nama dari mitos kaum Semai. Mitos sejauh kaki Gunung Paku Panggang. Mitos tersebut menyatakan terdapat seorang penjahat dalam kalangan suku kaum Semai yang bernama Yek. Penjahat ini dikatakan memiliki kuasa ajaib iaitu kuasa untuk menjadikan apa sahaja, batu. Pada satu hari Yek telah membelah muka seekor naga yang ditemuinya di kaki gunung lalu menyumpahnya juga menjadi batu.

Oleh kerana menyedari kuasa sakti tersebut Yek telah menggunakan kemahiran atau kelebihan itu sewenang-wenang. Apabila bertemu gajah misalnya, disumpah pula gajah tersebut menjadi batu, apabila bertemu monyet pun dibuat begitu juga. Yek menjadi gila menyumpah apa sahaja kepada batu. Mujur ada seorang penyelamat bernama Bahlut. Penyelamat itu menebang banyak pokok buluh, dan batang-batang pokok. Buluh itu ditebang dengan pucuknya sekali dan ada yang dikerat dua. Pokok-pokok buluh itu disambung-sambung antara hujung sampai jadi tujuh kaki. Bahlut mengikat buluh berpucuk itu ke badannya. Yek terserempak dengan Bahlut dan menjadi takut kerana menyangkakan Bahlut lebih besar berbanding dirinya, lalu ia melarikan diri jauh. Tidak berani mengacau masyarakat orang asli lagi.

Saat untuk memulai mengarang novel ini saya sempat berteman dengan atlet negara Saudara Zaiful Zainal, kemudian teater dan naskah Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun membuka ruang pula untuk saya mengenali dan bersahabat dengan Saudara Mohd Robbani Hassan. Kedua-duanya atlet yang ternama. Merekalah yang menjadi bumbu pengetahuan saya tentang dunia trek dan olahraga, sesuatu yang kurang saya mesrai. Saya acap kali berulang ke Bukit Jalil dan menggauli dunia mereka dari jauh.

Maka, keistimewaan novel ini ialah memadukan dunia hutan dan dunia trek. Bayangkan, seorang anak suku Semai menjadi atlet kebanggaan negara. Sengaja saya sulamkan dunia sukan Bahlut dengan dunia rencam hutan. Dan, bayangan Kampung Orang Asli di Bukit Payung menujah ingatan saya. Sisi politik yang menggigit novel remaja ini ialah apabila saya tampilkan perjuangan peribadi Bahlut untuk menyelamatkan maruah suku kaumnya apabila sebuah syarikat pembalakan menodai dan meratah secara rakus hutan dara sekitar kampung asalnya. Gaya hidup masayarakat kaum Semai telah banyak diperkosa sehingga sumber makanan menjadi sukar. Malah syarikat pembalakan haram yang melakukan aktiviti di kampung asal Bahlut telah meracun sumber air penduduk.

Saya kembali kepada raungan novel saya yang pertama diterbitkan iaitu Perempuan Politikus Melayu. Kisah orang yang tertindas. Para wali, imam dan nabi – mereka adalah pejuang untuk golongan yang tertindas dan dizalimi ini. Misi Islam ialah misi untuk menyelamatkan insan kecil yang tersisih. Maka bagaimana saya dapat membiarkan suara mustadhafin terpinggir jika saya selesa sebagai seorang seniman? Kali ini saya tampilkan Bahlut, kisah orang tertindas yang bangkit merubah nasib kaumnya.

Saya ingin berterima kasih kepada para editor majalah Tunas Cipta, Bonda Ani, Kak Ena, dan adinda saya Nurhilyati Musa yang menolong saya membuat kajian tentang masyarakat Orang Asli. Juga teman-teman atlet yang rajin memberi maklumat yang saya hargai.

Saudara, di tangan saudara adalah sebuah novel tentang Satu Malaysia. Lama sebelum slogan politik itu bergema, saya telah mencipta semangat itu di sini, di ruang Bahlut ini. Iaitu sepanjang Bahlut disirikan di majalah Tunas Cipta pertengahan tahun 2000an sehingga tahun 2008. Dalam Satu Malaysia, gagasan itu menekankan jangan ada sesiapa yang berasa tertinggal. Benarkah kita tidak akan meninggalkan kaum minoriti? Sedangkan minoriti ada banyak bentuk, iaitu kaum, agama, malahan jalur mazhab. Tragedi dan musibah menimpa Bahlut menguatkan dirinya. Menjadi penawar dan pesan amanat untuk bangsa. Kalau ada karya sastera yang ingin diangkat tentang bagaimana membela nasib orang kecil, Bahlut di tangan saudara adalah Insya-Allah, yang agak bermakna.

Selamat mengulit Bahlut. Dunia hutan dan trek yang banyak warna.

* Bahlut, adalah novel Faisal Tehrani yang ke-19. Novel ini merupakan terbitan Ameen Serve (2010), boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

11 March 2010

Filem Kita Buruk

Oleh Ku Seman Ku Hussain (Utusan Malaysia 7 Mac 2010)

Negara ini sudah mengangkat 10 sasterawan ke tahap tertinggi sebagai Sasterawan Negara. Mereka ternyata telah menghasilkan karya-karya sastera sama ada puisi, cerpen atau novel yang membawa pemikiran besar bangsanya.

Di mana karya-karya besar mereka tersimpan? Siapa pula yang memanfaatkan pemikiran-pemikiran tentang bangsa dalam karya-karya itu dalam kehidupan pada zaman yang serba moden ini? Kita boleh berbangga memiliki Sasterawan Negara Usman Awang misalnya yang banyak meniupkan kritikan sosial menerusi puisi-puisinya, begitu juga Sasterawan Negara A. Samad Said yang menghasilkan beberapa novel termasuk Hujan Pagi.

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengungkapkan kemanusiaan dan kemiskinan zaman kanak-kanak dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Begitu juga Sasterawan Negara ke-10 Anwar Ridhuan yang menghasilkan Naratif Oghonsoto. Semua ini karya-karya sastera yang besar dengan pemikiran hebat. Ini belum lagi sasterawan-sasterawan lain yang banyak menyumbangkan pemikiran dalam kesusasteraan.

Kehebatan kesusasteraan kita seharusnya menjadi alat untuk mengubah pemikiran kecil rakyat kepada pemikiran yang besar dan hebat. Sastera perlu dihidupkan oleh semua orang pada semua zaman dan semua keadaan. Bangsa-bangsa yang dianggap hebat dan besar di dunia bukanlah semata-mata kerana penguasaan teknologi. Mereka hebat kerana akar tradisi dan kesusasteraan sentiasa hidup dalam kehidupan seharian.

Kehebatan karya-karya sastera kelihatan tidak seimbang dengan rendah dan kecilnya pemikiran dalam arena perfileman tempatan. Dengan sekian banyak filem-filem buruk yang berlegar di pawagam ketika ini, adakah mereka tidak memanfaatkan pemikiran dalam kesusasteraan atau sememangnya sastera dan filem tidak boleh diselarikan? Maaf cakap, filem-filem kita secara umumnya sangat buruk.

Maksud buruk di sini kalau dibandingkan dengan sebahagian besar karya-karya yang dihasilkan dalam arena sastera. Terlalu jauh kalau hendak dibandingkan dengan karya Sasterawan Negara, tetapi karya penulis biasa pun tidak mampu ditanding oleh filem tempatan. Seharusnya kesusasteraan yang hebat menyumbang kepada karya filem yang juga hebat. Ini disebabkan pembikin filem tidak akan mengaku sebagai pembikin filem kalau tidak mengkhatami sekian banyak karya sastera bangsanya, sebelum melangkah sastera antarabangsa.

Berapa orang pengarah filem terutama yang membuat filem popular membaca karya Sasterawan Negara? Kalau mereka mengutip pemikiran besar dalam karya-karya sastera yang hebat, mereka tentu tidak tergamak menghasilkan filem-filem yang seburuk kita saksikan di pawagam. Kesusasteraan itu dalamnya sarat dengan pemikiran bangsa. Maka kalau kita menjauhkan diri dengan kesusasteraan, kita juga menjauhkan diri dengan jendela yang membawa kita mengenali bangsa sendiri. Akibat tidak kenal bangsa, jadilah seperti sekarang.

Mungkin ada kalangan pembikin filem kita yang belum tahu bahawa Stanley Kubrick mencipta imej-imej visual luar biasa dalam filem 2001-Space Oddysey kerana dia menyelami karya-karya fiksyen Arthur C. Clarke. Begitu juga dengan kelahiran filem fiksyen sains Star Wars oleh George Lucas. Karya-karya sains fiksyen Lucas banyak dipengaruhi oleh karya-karya sastera bercorak fiksyen sains yang dibacanya. Star Wars dan beberapa filem selepas itu memang dianggap filem berteknologi tinggi. Tetapi apalah maknanya teknologi kalau tidak dimanfaatkan secara betul. Sasteralah yang menjadikan Lucas begitu imaginatif, suatu yang semacam tidak berlaku kepada pembikin-pembikin filem kita.

Malah karya-karya fiksyen sains seperti yang dihasilkan oleh penulis seperti William Gibson banyak membentuk filem-filem fiksyen sains yang hebat. Teknologi tidak akan membawa filem kita ke mana-mana kalau daya imaginatif tidak berakar umbi daripada teras pemikiran bangsa. Teknologi boleh dibeli tetapi pemikiran sesuatu bangsa hanya ada dalam karya-karya sastera. Kalau ada pembikin filem menjaja teknologi tetapi tidak kenal sastera Melayu, pemikiran Melayu, karya filemnya hanya besar bagai belon. Kosong.

Pembikin filem kita sewajarnya jangan bodoh sombong menolak sastera atau tidak mendampingi sastera. Mereka perlu melihat bagaimana imaginasi novelis J.R.R. Tolkiens dalam novel klasik Lord of the Rings. Pengarah filem Lord of The Ring, Peter Jackson menjadikan novel itu sebagai inspirasi kemudian menzahirkan imaginasi kepada visual menerusi teknologi imej penjanaan komputer (CGI).

Negara-negara yang terkenal dengan kemajuan teknologi seperti Jepun, Korea, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah lainnya, di sebalik kemajuan mereka adalah memanfaatkan karya-karya seni dan sastera. Negara-negara ini kalau kita telusuri lebih jauh sebenarnya mempunyai akan tradisi dan kesusasteraan yang cukup kuat. Maka tidak hairanlah kalau pengkritik teori Marxist tersohor, Christopher Claudwell percaya seni dan sastera mempunyai pengaruh yang kuat terhadap ekonomi sekalipun bukan produk ekonomi.

Suatu yang nyata sekarang adalah dunia perfileman kita gagal mengangkat kekuatan imaginasi dan kreativiti karya sastera tempatan. Ini kerana kita mempunyai karya-karya sastera yang hebat tetapi pada masa yang sama kita juga menjadi pengeluar filem-filem "Melayu" yang buruk dan tidak menggambarkan pemikiran bangsanya.

Adakah semua ini berlaku menunjukkan kegiatan kesusasteraan tidak cukup digerakkan untuk sampai kepada pembikin- pembikin filem? Mereka tidak perlu mengadaptasi karya sastera tetapi berfikiran hebat macam sasterawan. Kalau ada inisiatif untuk mengadaptasi memang suatu yang sangat bagus seperti yang dilakukan oleh U-Wei Haji Saari menerusi filem Jogho dari novel Juara karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Kini U-Wei dalam pembikinan filem Hanyut adaptasi novel Almayer's Folly karya Joseph Conrad.

Lihatlah, ketika pembikin filem kita sibuk dengan filem-filem tentang mat rempit, pembikin-pembikin filem di Indonesia tidak terputus dengan ikatan pemikiran dalam kesusasteraan. Filem Ada Apa Dengan Cinta misalnya membawa kembali generasi baru mendekati sastera dan mengenali sasterawan besar Chairil Anwar. Pembikin filem Indonesia juga mengadaptasi novel Laskar Pelangi. Pembikin filem kita tidak habis-habis dengan "idealisme sempit" mat rempit mereka. Sepatutnya mereka perlu merasa malu sebelum dimalukan.

* Pembikin filem manakah yang berani membawa Ketupat Cinta ke layar perak?

Satira Ketupat Cinta II: Keledek Kacau Pulih Semangat

Tun Lepat pun mencarilah dalam gudang menyimpan makanan akan keledek, sebiji kelapa, santan, garam, telur, gula merah, gula melaka dan gula putih serta sedikit minyak masak. Ia pun mengerjakan keledek itu dan direbusnya. Ia lecekkan halus-halus. Ia kemudian satukan ubi keledek dengan santan, segala gula, telur dan mengacau sebati semuanya selama suku jam. Tun Lepat tuangkan minyak dan kacau lagi dengan api kecil. Setelah agak-agak campuran tidak melekat ia pun menuangkan adunan ke dalam acuan berbentuk sotong dan kerang. Setelah itu ia keluarkan dari acuan dan dihias-hiaskan sedikit supaya tampak betul-betul seperti sotong dan kerang. Hidangan itu pun dibawalah ke kamar Cik Puan Ani dan dipersembahkan dengan penuh takzim.

Ketika Tun Lepat masuk ke dalam kamar Cik Puan Ani itu, ia secara sengaja terdengar kata-kata Kolonel Minah kepada Cik Puan Ani, ”Ia itu memang begitu. Tak sangka. Kita pun mula-mula tidak percaya. Tetapi sekarang kita tambah percaya. Kita ibaratkan ia itu seperti meminang anak dara orang dengan watak lebai, alih-alih ia bertukar menjadi pencuri. Mengalahkan gerau Mail Rebung pula ia.”

Tun Lepat mengambil kesempatan untuk bertutur, jarang ia berkata-kata di dalam kapal. Teringin ia mengetahui apa gerangan perbualan kedua-duanya. ”Apakah khabarnya Cik Puan Ani sekarang?”

”Alhamdulillah kita semakin elok. Sedih hati kita wahai Pujangga. Ribut tidak, hujan pun tidak dalam pelayaran. Tiba-tiba bah melanda sampai naik ke geladak. Syak kita teramat kuat adanya orang berkepentingan menolak kita ke laut.” Kata Cik Puan Ani sambil ia menyuap keledek ke mulut.

Dang Azidah atau Kolonel Minah pun menyampuk, ”Ini bukannya udang di sebalik batu tetapi buaya.”

”Mujur tuanku terjun ke dalam air menyelamatkan kita. Memanglah ia itu wira di hati kita semua. Argh tuanku, sungguh hebat di usia seperti itu masih mampu terjun dan berenang di dalam air yang ganas. Kita terharu.”

Satira Ketupat Cinta tersiar di Harakah setiap Jumaat.