26 February 2010

Wahabi Dijemput Baca

Petikan Utusan Malaysia 26 Februari 2010.

MAULID berasal dari perkataan Arab yang bermakna melahirkan terutamanya merujuk kepada kelahiran bayi.

Namun dalam konteks hari ini ia dirujuk khusus kepada hari keputeraan Nabi Muhammad iaitu pada 12 Rabiulawal setiap tahun.

Sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang meraikannya secara besar-besaran.

Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain.

Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 H atas perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.

Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma'moon Al-Bataa'ni memegang kuasa kerajaan.

Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi dihentikan.

Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka secara tertutup.

Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa'd Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen 'Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.

Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.

Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam khemah yang telah didirikan.

Antara ulama yang menyokong Maulidur Rasul terutamanya Imam Jalaluddin Sayuti dan Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradawi.

Imam Jalaluddin Sayuti:

Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia".

Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: "Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.

"Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.

"Sa'd bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah kepada kanak-kanak sama seperti mana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu mengenai al-Quran.

"Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah, maka tidak perlulah merayakan seperti mana dirayakan Maulid Rasul kini.

"Bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya.

"Dengan itu, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.

"Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bidaah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam".

Antara dalil bagi yang membolehkan Maulid ini:


1) Allah berfirman yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran) mereka itulah yang beruntung. (al-A'raf: 157)

Keterangan: Tujuan maulud adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.

2) Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. (Ibrahim: 5)

Keterangan: Al-Baihaqi di dalam Syakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda menafsirkan 'hari-hari Allah' adalah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma'ani menjelaskan lagi dengan katanya "kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar".

3) Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?" Jawab mereka: "Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan".

Maka Nabi berkata: "Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu". (riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain.

- Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.

25 February 2010

Satira Ketupat Cinta II: Pulut Fadhilat di Bulan Maulud

“Dua-dua tiada kita suka. Ani jongang gila itu mahupun Kumut punggung lebar perasan taharin itu. Dua-duanya kalau boleh ingin kita humbankan ke laut. Dua-duanya maksiat. Dan jarang berdoa seperti kita.” Demikian kata Cik Puan Rosdah. Ia pun tahu cara untuk menyelamatkan diri dari segala kemelut yang bertambah selirat itu hanyalah dengan memberikan ketenteraman kepada baginda tuanku. Tentulah Parameswara tiada mahu stress seperti kata orang di zaman tuan-tuan kelak. “Muznah temanku, apa perayaan tidak lama lagi yang mungkin baginda tuanku sambut?”

“Setahu kita tiada.” Terkebil-kebil Muznah Muis membetulkan selendang ungu terungnya yang jatuh melorot.

“Masakan tiada?” Balas Cik Puan Rosdah seraya menyuruh inang memanggilkan Tun Lepat yang dikenal sebagai Pujangga pada waktu itu.

Tun Lepat pun bergegaslah datang meninggalkan Tun Yem yang tiada puas hati kerana tidak dapat menyoal Tengku Kumut.

“Kita ingin meminta tuan gerau memasak-masak.” Perintah Cik Puan Rosdah sambil membetulkan kemban kain batik berwarna merah jambu.

“Memasak-masak tanda apa?” Soal Tun Lepat kehairanan. Di saat Tengku Kumut ditimpa bencana, apakah keraian yang munasabah untuk memasak-masak.

Cik Puan Rosdah pura-pura tahu dan sengaja mengacah Tun Lepat. “Tuan tahu, kita pun tahu. Apa gerangan tuan olok-olok tiada tahu. Issy, tiada baik tuan ini…”

Maka Tun Lepat pun kembalilah ke dapur dengan wajah berseri dan tersenyum-senyum sendiri. Sungguhlah ayahanda Tun Lepat itu orangnya polos dan naïf pada waktu tersebut. Ia pun masih rumaja dan baru sangat bermimpi baligh. Tun Lepat menyangka Cik Puan Rosdah ingin menyambut perayaan maulud. Sebelum ini ingin Tun Lepat membawakan perihal hari kelahiran Rasulullah penghulu segala rasul dan kekasih Allah itu kepada baginda Parameswara.

Dapatkan satira Ketupat Cinta musim kedua edisi Maulidurasul minggu ini. Setiap Jumaat di Harakah!

24 February 2010

Bahasa Melayu Atau Bahasa Malaysia?

Oleh Nazmi Yaakub

PENGGUNAAN istilah bahasa Melayu lebih tepat berbanding bahasa Malaysia berdasarkan bukti sejarah, pandangan akademik dan hakikat ilmu, sekali gus menjadikan usul Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) Ke-15, pada bulan lalu, wajar diambil perhatian oleh kerajaan.

Pengerusi Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rahim Aman, berkata penggunaan istilah bahasa Malaysia lebih berbentuk politik dan tidak merujuk kepada ilmu bahasa, sedangkan istilah yang tepat ialah bahasa Melayu dengan mengambil kira sejarah, akademik dan hakikat ilmu.

“Kerajaan mungkin melihat integrasi nasional sehingga mengharapkan semua etnik di negara ini menerimanya sebagai bahasa nasional. Bagaimanapun, ia tidak benar jika kita melihat berdasarkan konsep akademik kerana sejarah kita lebih kepada penggunaan istilah bahasa Melayu dan sudah pun diterima oleh semua etnik di negara ini,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Dr Rahim berkata, penggunaan istilah bahasa Melayu sudah wujud sebelum Kesultanan Melayu Melaka diasaskan seperti yang digunakan oleh Kerajaan Melayu Funan, manakala pembukaan Melaka memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa terbabit.

“Kerajaan Johor-Riau selepas jatuhnya Melaka, juga berkembang sebagai pusat pentadbiran, ilmu, ekonomi dan persuratan Melayu sehingga bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa penyatu kepada etnik yang ada.

“Kalau kita lihat bahasa Inggeris pun sebenarnya berasal daripada dialek yang asalnya berkembang di wilayah England yang masih kecil ketika itu, tetapi diangkat menjadi bahasa kebangsaan mereka selaras dengan perkembangan kota London sebagai pusat ekonomi dan kecemerlangan tamadun,” katanya.

Apatah lagi istilah bahasa Melayu, masih digunakan dalam konteks akademik sehingga pusat dan program pengajian masih mengekalkan bahasa Melayu kerana universiti dibina atas asas akademik, berdasarkan sejarah bahasa Melayu yang lama itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran perubahan itu kerana bahasa Melayu sudah pun kukuh dan berupaya menjadi bahasa penyatu sehingga generasi terdahulu sejak ratusan tahun dulu dapat menerimanya.

“Kita jangan berasa takut pada perkataan Melayu kerana sifat takut itu sendiri sebenarnya menggalakkan perkauman, sebaliknya penggunaan Melayu, boleh mencairkan perkauman kerana semua etnik di negara ini menerimanya.

“Bahasa Cina dan bahasa Tamil masih ada tetapi mengapa kita korbankan bahasa Melayu sedangkan saya yakin orang Cina sendiri menerima istilah itu kerana tidak ada demonstrasi atau bantahan daripada etnik lagi,” katanya.

Mengenai istilah bangsa Melayu, Dr Rahim mengambil pendekatan untuk menerima penggunaannya kerana bangsa merujuk kepada bangsa yang membina sesebuah negara, manakala etnik atau kaum pula digunakan untuk Melayu, Cina, India serta etnik di Sabah dan Sarawak.

“Semua etnik itu menjadi warga negara, iaitu bangsa Malaysia seperti bangsa Amerika yang diwakili pelbagai etnik, sekali gus penggunaan bangsa Malaysia wajar dikekalkan untuk menimbulkan kebanggaan kerana tanah ini menjadi tempat kita hidup, membina kehidupan dan mati,” katanya.

Pandangan Dr Rahim senada dengan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Adi Yasran Abdul Aziz, dalam soal penggunaan bahasa Melayu, tetapi berbeza dalam konteks penggunaan bangsa Melayu.

“Istilah bahasa Melayu sudah digunakan pada Batu Bersurat Terengganu pada 1303 Masihi dan terus digunakan sehingga 1970 tanpa ada sebarang isu berbangkit sehingga ketika mencapai kemerdekaan, bangsa lain tidak membantah apabila ia dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” jelasnya.

Justeru, ada keperluan untuk menilai kembali perubahan istilah kepada bahasa Malaysia kerana ia berkaitan dengan jati diri orang Melayu sedangkan bahasa dan bangsa adalah fitrah kejadian, lalu perubahan mesti dibuat ke arah kebaikan dan sekiranya tiada manfaat besar kepada orang Melayu, perubahan tidak perlu.

“Bahasa Melayu sudah diterima berabad-abad lama. Bahasa dan bangsa ialah fitrah kejadian. Apabila seseorang dibesarkan dalam keluarga Melayu yang menggunakan bahasa ibundanya, individu berkenaan akan turut berbahasa Melayu, iaitu peringkat pemerolehan bahasa,” katanya.

Beliau meminta pihak yang mahu mencipta istilah, terlebih dulu merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertanggungjawab dalam perkara terbabit kerana ia perlu mematuhi prosedur tertentu sebelum istilah berkenaan diterima pakai.

“Berbincang dulu dengan ahli bahasa sebelum menukarkannya. Sekiranya ada kepentingan politik dan perpaduan, ahli bahasa terbuka dalam menilai. Apatah lagi dari segi undang-undang, ia tidak tercatat sebagai bahasa kebangsaan ialah bahasa Malaysia. Sebaliknya Perkara 152 menegaskan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” tegasnya.

Mengenai istilah bangsa Malaysia, Dr Adi Yasran menganggap istilah itu sebagai idaman yang belum berlaku, sebaliknya penggunaan masyarakat Malaysia lebih tepat berdasarkan realiti rakyat di negara ini yang berada di bawah pentadbiran dan pemerintahan Malaysia.

Berita Harian 23 Februari 2010 (klik sini).

22 February 2010

‘Siri Wacana Industri Kreatif’ Fakulti Penulisan ASWARA: Posisi Lukisan dan Grafik Dalam Cereka dan Kesannya Terhadap Industri Kreatif

25 Februari 2010, 10.30 pagi - 1.00 tengahari
Dewan Orkestra ASWARA



(i) Saudara Azalan Bin Hussain
- Pereka Bentuk Bahagian Kreatif dan Multimedia Dawama Sdn Bhd. Saudara Azalan Hussain telah melakukan reka bentuk untuk ratusan judul buku pelbagai bidang termasuk sastera. Beliau juga merupakan penulis dan pelukis cereka kanak-kanak (buku bergambar untuk kanak-kanak) yang berpengalaman.


(ii) Saudara Norazmi Bin Mokhtar
- Pelukis dan Penulis Novel Grafik ‘Mambo Di Kuale', 'Kasih dan Awang: Hikayat Cinta Purbakala', 'Siri Mambo Hilang’ (terbitan Ameen Serve). Beliau adalah pelopor genre novel grafik tanahair. Selain itu Saudara Norazmi juga merupakan seorang pelukis yang sedang meningkat naik.

* Khalayak luar ASWARA dikenakan yuran masuk sebanyak hanya RM 25.00. Berbaloi berbanding ilmu yang akan diperolehi kelak. Tokoh yang diundang menyediakan makalah yang bermutu.

FT di Fokus SPM Februari 2010



Dapatkan majalah Fokus SPM Februari 2010 untuk mengetahui tentang perkembangan terkini Faisal Tehrani.

20 February 2010

Kisah Anak-anak Nilam Negeri Perak

IPOH 12 Feb. - T. Frieda Violet, 12, yang sangat meminati penulisan sasterawan negara, Datuk Dr. Anwar Ridwan terpilih sebagai Tokoh Nilam Negeri Perak 2010 di sini, hari ini.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Kota, Taiping itu merupakan johan bagi kategori sekolah rendah dan kategori sekolah rendah bandar.

''Saya sudah membaca sebanyak 740 buah buku dari tahun satu hingga tahun enam yang kebanyakan penulisannya dalam bahasa Melayu," katanya ketika ditemui selepas program Khemah Membaca dan Pemilihan Tokoh Nilam Negeri Perak 2010 di sini.

Menurut anak kepada pasangan doktor dan guru itu, minat membacanya mula timbul selepas kagum dengan kebolehan abangnya, Nehemiah, 20, yang mampu membaca buku setebal 700 muka surat dalam masa sehari.

Kemenangan dalam dua kategori itu membolehkan Frieda Violet membawa pulang wang tunai RM900 bersama sijil dan buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sementara itu, Tokoh Nilam Negeri Perak 2010 Kategori Sekolah Menengah, Nuraimi Nadirah Rohim @Rahim, 17, telah membaca sebanyak 680 buku sejak tingkatan dua hingga tingkatan lima.

''Kebanyakan buku yang saya baca adalah karya-karya sastera dan yang paling saya minati ialah novel yang ditulis oleh Faisal Tehrani.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping itu berkata, minat membacanya dipupuk sejak kecil lagi dan ia banyak didorong oleh kedua ibu bapanya.

''Saya mula membaca sejak berumur empat tahun tetapi sejak bayi lagi, ibu bapa saya sering membacakan buku cerita kepada saya dan mereka juga menghadiahkan buku pada setiap hari jadi saya,'' kata anak kepada pasangan guru itu.

Anugerah Tokoh Nilam Negeri Perak pada tahun ini juga menyaksikan buat pertama kalinya seorang pelajar Orang Asli, Rehan Asod, 12, menerima anugerah bagi kategori sekolah rendah pedalaman.

Pelajar SK Pos Loi, Lasah itu, menewaskan dua lagi calon Orang Asli iaitu Robiah Tentok dari SK Jernang, Sungkai dan Abok Sarida Rahmat dari SK Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun, Gerik.

Rehan sudah membaca sebanyak 300 buku sejak tahun empat hingga enam dan buku paling diminatinya ialah Tekun Usaha Tangga Kejayaan.

Utusan Malaysia 13 Februari 2010, klik sini.

19 February 2010

Novel Bersiri Ketupat Cinta II: Talam Banjar Lembik dan Pisau Cukur


Tun Yem pun bersuara dari luar kamar, “Hamil atau tidak, tiada kita mengira. Kita ada mendengar khabar angin yang tuan itu bermukah dengan Long Jongos. Kita mendengar perlakuan maksiat tuan itu dibuat di atas lantai. Maka kita ingin menyiasat lantai kamar tuan.”

Maka tahulah Tengku Kumut akan Tun Yem itu nekad untuk masuk bertanyakan dirinya hal-hal berkenaan Long Jongos. Oleh kerana ia berasa takut kerana salah, Tengku Kumut pun menyuruh Mak Inang yang berasal dari Johor berbuat apa-apa kuih yang enak dan dapat dimasak dalam masa kurang sejam. Tengku Kumut memberikan pisau cukur kepada Mak Inang. Pisau cukur itu digenggam oleh Mak Inang di telapak tangannya hingga berdarah ia menitik-nitik.

Tahulah Mak Inang apa ertinya, dengan sebak-sebak di dada Mak Inang bernama Mak Cik Gaga itu pun mencari di dapur Tun Lepat biji sagu. Ia lalu mendidih pula akan air gula. Biji sagu itu ia rendam selama suku jam. Ia juga menyediakan tepung beras, tepung gandum, kapur yang dibancuh ia dengan sedikit garam dan air. Mak Cik Gaga juga memerah daun pandan. Ia terus menggeledah dapur Tun Lepat untuk mencari gula merah. Ia langsung mengadun tepung beras, tepung gandum, kapur dan air daun pandan tadi hancur-hancur lalu diketepikan. Ia adun pula dan bancuhkan sungguh-sungguh tepung beras, tepung gandum, air kapur dan gula merah sehingga sebati dan hancur lumat. Ia ketepikan lagi. Kini ada dua bahagian untuk dibuat dua lapis pada sebiji kuih. Mak Cik Gaga kemudian menyediakan kuali, menuangkan biji sagu yang berendam dengan air dan juga air gula. Lalu ia mengacau sehingga pekat. Ketika itulah ia memasukkan pisau cukur yang diberi oleh Tengku Kumut. Tidak lama kemudian ia mengukus adunan tiap satu sehingga masak selama suku jam. Sesudah masak, ia menyapu bancuhan sagu atas lapisan yang telah dikukus tadi. Lalu mengukus pula lagi kira-kira sepuluh minit. Setelah itu ia memasak pula lapis kedua, dituang bancuhan yang berserta gula merah itu lalu dikukus pula selama dua puluh minit. Ia sejukkan seketika. Maka jadilah talam banjar berintikan sagu dan pisau cukur itu untuk dipersembahkan buat santapanTengku Kumut.

Sementara Tengku Kumut itu mengelak-elak, Tun Yem pun menemui Cik Puan Ani Petra. Ia pun bertanya soalan, “Apakah tuan tahu akan perkara Long Jongos itu?”

Cik Puan Ani Petra ketika itu sedang ia menyanggul rambutnya. Ia berbuat sombong dan acuh tidak acuh menjawab pertanyaan Tun Yem. “Ambo tak layan cerita-cerita maksiat. Tok sir weh. Kerja ambo sembahyang doa, sembahyang doa, sembahyang doa dan melayan baginda tuanku.”

Tun Yem yang sedia naik darah dengan perangai Tengku Kumut pun melepaskan barannya kepada Cik Puan Ani.

“Wehhh, hendak jawab ke tidak soalan kita? Adapun kita ini banyak kerja. Selain menyiasat hal kematian mendadak Long Jongos ini, kita juga hendak menyiasat perihal kapal kecil dalam rombongan pelayaran ini yang ada dua nakhoda berebutkan satu kemudi.” Tun Yem bertempik.

Cik Puan Ani yang terkejut dengan kata-kata Tun Yem itu segera menyampuk, “Dua nakhoda satu kemudi? Siapakah nakhoda yang diperkenankan tuanku dan siapakah nakhoda lain yang berkhayal ingin memegang kemudi itu?”

Dapatkan Harakah edisi Jumaat yang memuatkan siri satira Ketupat Cinta Musim Kedua. Pedas menggigit!

18 February 2010

16 February 2010

Bulan Maulud MEMANG LEBIH BESAR Dari Bulan Ramadhan!

Sekiranya laporan ini benar, maka saya terpanggil untuk membetulkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mana 'bulan Maulud tidak mempunyai sebarang fadilat dan kelebihan berbanding bulan Ramadan'.

Khabarnya, Datuk Nik Abdul Aziz mengeluarkan satu kenyataan berbau wahabi yang amat "bahaya" iaitu: “Boleh jadi, orang negeri lain sambut Maulud besar-besaran. Bulan Maulud sendiri tidak ada sebarang fadilat tidak sebagaimana bulan Ramadan. Bulan Ramadan memang ada fadilat dan kelebihannya. Bulan Maulud tidak ada apa.” Demikian menurut laporan (di
sini)

Datuk Nik Aziz dilaporkan menambah: "Kita jangan sekali-kali terpengaruh dengan keadaan semasa. Kadang-kadang benda yang berlaku semasa ini tidak serupa dengan kehendak agama. Tetapi dengan sebab benda itu berlaku semasa bercanggah dengan agama, kadang-kadang menjadi masalah. Contohnya, Maulud Nabi." (Baca: Maulid ini konon bid'ah).

Saya amat terkejut dengan kenyataan ini jika ia benar. Saya akan memberikan sebab lojik mengapa bulan Maulud amat besar berbanding bulan Ramadhan.

i. Sila baca ayat 107 surah al-Anbiya: Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam. Oleh kerana itu (rahmat) baginda adalah bukan untuk orang tertentu sahaja, bukan untuk sahabat sahaja tetapi untuk setiap manusia dan makhluk (apa sahaja). Bahkan untuk seluruh alam semesta, gunung ganang, dan sekian petala bumi dan langit. Melangkaui zaman dan batas sempadan. Untuk manusia dengan apa jua warna kulit dan agama. Ia merentasi setiap entiti yang tidak terfikirkan dek akal.

ii. Lailatul Qadr pada bulan Ramadhan adalah malam turunnya malaikat, dan pemberian pengampunan yang besar tetapi tuan-tuan, kelahiran Rasulullah saw, kekasih Allah adalah jauh lebih besar daripada peristiwa tersebut. Kehadiran Nabi Muhammad jauh lebih penting daripada kejadian turunnya para malaikat. Bulan maulid adalah bulan anugerah Allah yang mempersembahkan Rasulullah untuk seluruh alam. Syafaat baginda mengatasi keampunan seribu lebih bulan. Ia valid dan relevan melebihi batas waktu.

iii. Bulan Ramadhan adalah bulan turunnya al-Quran, pewahyuan al-Quran amat bermakna buat umat Islam tetapi maulid adalah bermakna untuk seluruh alam semesta.

Memang beramal ibadat di bulan Ramadhan berlipat ganda pahalanya, tetapi mencintai Rasulullah saw (walau sekecil-kecil cara) terpandang di sisi Allah kerana baginda adalah kekasih-Nya. Kalau ada orang menyangka boleh meraih cinta Allah tanpa cinta Rasul maka ini pandangan batil.

Ajarlah agama yang sebenar kepada orang bukan Islam yang ramai dalam DAP.

Betul, UMNO mungkin tidak mengamalkan Islam sebenarnya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Tetapi PAS juga belum tentu (di mana jaminannya? siapa dapat jamin) mengamalkan Islam seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Islam yang diturunkan kepada Rasulullah saw telah pun berubah dan menyimpang sehingga cucunda baginda, Saidina Husin melancarkan gerakan reformasi/revolusi berdarah yang menumpahkan darah ahlul bait Rasulullah saw. Tragedi di Karbala tersebut telah membuka mata ramai umat Islam pada waktu itu. Inilah misi sebenar Saidina Husin. Tuan-tuan ingat mengapa Saidina Husin yang mulia serah kepala di Karbala sampai terputus dari badan?

Kalaupun UMNO benar tidak mengamalkan Islam yang dipandu oleh Nabi Muhammad saw, tetapi paling rendah dan paling tidak, perarakan berserta selawat yang ada; setidak-tidaknya menunjukkan satu ekspresi kecintaan buat baginda Rasul, kekasih Allah. Jika eskpresi yang paling kecil dan rendah (tetek bengek dan remeh temeh) ini pun diperkecilkan dan dinafikan maka di manakah letaknya keimanan kita kepada Rasulullah saw? Biarlah orang yang ingin berarak menunjukkan kasihnya kepada Nabi Muhammad saw berarak dan berselawat. Siapa tahu selawat dan peluh ketiak ketika berarak itulah yang akan menjadi saksi di hadapan Nabi Muhammad, berbanding kononnya kerja harakah Islam puluhan tahun yang kini bersulam riak perasan dan takbur angkuh di hujungnya. Lebih buruk, kerja hempas pulas harakah Islam itu sudah dibayangi oleh muslihat politik yang kotor dan menjijikkan. Digelumangi oleh tingkah laku politikus yang memualkan.

Di akhirat nanti kita akan bangkit dengan kekasih kita. Jika kita cinta Rasulullah saw, maka kita Insya-Allah bangkit bersama baginda. Belum tentu tukang sapu sampah yang bermodal selawat terbuang di sisi baginda berbanding seorang khalifah atau menteri besar yang mendabik dada menjalankan Islam.

Jika tuan-tuan lebih cinta Mursyidul AM PKR maka tuan-tuan akan bangun bersama dengannya. Jika tuan-tuan lebih cinta khalifah Lim Guan Eng, maka bersama dialah tuan-tuan akan bangkit kelak. Jika tuan-tuan lebih cintakan Perdana Menteri, boleh bangkit di akhirat nanti dengan dia. Saya tak nak bangkit dengan semua di atas.

Tanya dengan pendosa mana sekalipun dia akan jawab hendak bangkit dengan Nabi di akhirat kelak. Itu tandanya bulan Maulud amat besar.

Saya, yakni kita nak bangkit dengan siapa?

Kita ingin bangkit bersama Rasulullah saw dan ahlul baitnya yang suci, iaitu Saidina Ali, anakandanya Saidatina Fatimah Zahra (penghulu wanita di syurga), Saidina Hasan dan Husin (penghulu pemuda di syurga). Rujuk bunting yang diarak anak-anak dalam foto di atas. Belajar meluahkan perasaan cinta kepada Nabi Muhammad, dengan cara paling kecil dahulu pun tidak mengapa.

* Mempertahankan cinta buat Rasul jauh lebih besar. Tidak, saya bukan juak UMNO. Saya juga tidak rela sebuah jemaah Islam punah ranah kerana strategi politik yang mencemarkan. Saya mencintai Islam yang sebenar-benarnya ditunjukkan oleh Rasulullah saw, dan dipeliharai oleh ahlul bait baginda serta sejumlah sahabat yang berada di jalan lurus.

15 February 2010

Avatar

MEMANG sehingga sekarang, getar Avatar masih terus berlangsung. Avatar telah pun menjadi juara kutipan tiket dengan jumlah keuntungan mencapai 1.858 billion dollar dan ia akan terus meningkat. Minggu-minggu mendatang Avatar akan berdepan pula perlawanan klasik iaitu pertembungan untuk meraih anugerah filem terbaik di Anugerah Oscar, satu acara tahunan Hollywood yang dinanti pengekor dan penggemar industri filem. Setelah membolot anugerah filem terbaik dan pengarah terbaik untuk Golden Globe, Avatar masih dilihat berpeluang muncul sebagai filem terbaik meski ramalan yang ada kini menunjukkan Avatar belum tentu dinobatkan sebagai filem terbaik.

Terlalu banyak tulisan telah dinukilkan mengenai kejayaan efek khas Avatar yang mengkagumkan. Perkembangan teknologi penkomputeran, digabung dengan keluarbiasaan industri kreatif sambil pula kemantapan garapan 3D yang menggamamkan; semua ini membolehkan getar dan debar seputar Avatar berkekalan buat beberapa lama. Saya kurang berminat, atau harus mengakui kurang celik akan aspek-aspek yang disebut di atas. Pada saya filem mestilah sebuah naratif, dan naratif haruslah benar-benar bermakna dan kuat sebagai sebuah kerja seni yang bercerita (dan dalam masa yang sama berwacana).

Apakah Avatar benar-benar cemerlang dari sudut itu?

Ya dan tidak.

Tidak, kerana James Cameron selaku pengarah filem ini sebetulnya boleh mencipta filem yang lebih cemerlang lagi. Bayangkan Avatar dipecahkan kepada trilogi. Kearifan Cameron dalam mencipta bumbu sains fiksyen yang aneh-aneh akan menjadi lebih pekat dan memegunkan khalayak tentunya. Malah, muatan Avatar terlalu tergesa-gesa di sana sini sehingga sekiranya ia dibahagi-bahagi kepada beberapa segmen, ia akan lebih jitu dan tidak terasa terlalu sendat. Kelompongan dan kelonggaran ini menyebabkan mereka yang menjangkakan sesuatu yang lebih hebat pasti berasa hampa.

Bayangkan sisi awal Jake Sully sebagai seorang marin lumpuh diperkenalkan dengan lebih rinci, ia dikukuhkan bersama sisi lain ketamakan Parker Selfridge serta bersulam kegilaan dan kebuasan Kolonel Quaritch. Itu dilakukan, sambil disisipkan pengenalan kepada alam Pandora. Bahagian kedua Avatar boleh sahaja menghuraikan sisi Sigourney Weaver sebagai saintis Dr Grace Augustine yang mendedikasikan seluruh kariernya untuk mengkaji dunia Pandora, sambil mengembangkan watak-watak ‘manusia tradisional’ seperti Neytiri, Tsu’tey, Eytukan, dan lain-lain lagi. Bahagian akhir Avatar boleh misalnya menunjukkan kemuncak yang dinantikan; iaitu pertembungan nilai yang dibawa oleh manusia dari bumi, dengan cita-cita untuk memberi pendidikan buat makhluk asing yang menetap di Pandora. Pendidikan yang dimaksudkan tentulah bukan peradaban melainkan kebinatangan dan kebuasan peribadi.

Ya, Avatar mencipta keajaiban naratif dengan menggunakan kerangka lama. Bermodalkan mazhab filem Hollywood yang tidak lari dari plot konvensional iaitu pengenalan, konflik dan peleraian; Cameron mengisi Avatar dengan persembahan yang memihak dan menyikapi kutub pemikiran tradisional. Avatar menyogokkan satu aspek yang agak jarang dijuarai Hollywood iaitu berpihak kepada tradisionalis. Dalam filem ini, makhluk asing pagan berwarna ungu-biru dengan wajah dan bahasa pelik, dengan kepercayaan tahyul yang penuh magis (buat manusia Amerika Syarikat) perlu berdepan dengan kemodenan, kebiadaban nilai Barat dan teknologi yang ditunjangi nafsu rendah.

Jika sebelum ini manusia Barat digambarkan wira sementara makhluk asing adalah ‘haiwan’ buas yang hodoh-buruk, Cameron mengubah kutub ini kepada Barat selaku pengganas yang berlapik kepura-puraan tewas tumpas di tangan suku kaum Na’vi yang menentang dengan seluruh kekuatan jiwa. Gambaran perang itu tentulah klasik, dan Na’vi menang bukan kerana kekuatan teknologi atau kepintaran strategi melainkan kerana kekuatan spiritual, campur tangan kerohanian dan kuasa ghaib ‘keimanan’.

Untuk itu, Cameron wajar dipuji, kerana dalam era pencerobohan asing di Pandora, termasuk pembinaan beberapa buah sekolah untuk mengajarkan bahasa Inggeris, puak Na’vi memilih untuk tidak mengorbankan kepercayaan lama dan tradisi sebaliknya beberapa watak seperti Dr Grace dan Jake Sully sendiri ikut menyerah dan menyertai kutub tradisionalis sambil menjadi benteng mempertahankan idea-idea lama.

Tidak mustahil penonton dunia ketiga tentu sahaja dapat menghubungkan dialog Parker Selfridge yang mendabik dada mengatakan Manusia/Barat (Amerika) telah memberikan segala-galanya termasuk pembangunan, pendidikan dan jalanraya tetapi kaum Na’vi yang bodoh masih memilih untuk berada dalam dunia mereka. Tidakkah ini modal pemerintah di seluruh dunia untuk terus berkuasa apabila berdepan dengan marhaen dan murbawan? Hujah inilah misalnya yang digunakan untuk menolak masuk lebih banyak jentolak menyodok hutan tropika kaum Penan di Sarawak!

Maka keinginan Cameron untuk memihak golongan yang tertindas dan menghantar pulang sang penindas adalah perlu diberi lima lebih bintang.

Satu sisi lain yang menarik dalam Avatar ialah penggunaan rawi yang biasanya digunakan dalam genre dokumentari atau rencana (berita). Cerita rawi berperanan memperjelaskan latar cerita dalam bentuk voice over. Rawi dinilai dari sisi ideologikalnya berfungsi sebagai tukang lipur yang berniat mempengaruhi. Kerana itu cerita yang bergantung kepada perawi selalunya bertujuan politikal dan selalunya menghasut khayalak. Tidak hairan kita dapat melihat perubahan pendirian Jake Sully dari seorang marin pendokong establishment kepada penentang kuasa yang dikanunkan dengan keperwiraan ala-ala hikayat lama dari dunia oriental. Benar, citarasa Cameron tidak lari dari formula lapuk Hollywood iaitu ‘sebab dan akibat didorong oleh cinta’, tetapi cinta itu telah menjadikan Jake Sully satu produk teknologi yang ‘menyamar’ sebagai orang asli Pandora kini menyertai perjuangan kaum Na’vi untuk mengusir keluar manusia.

Avatar adalah sebuah teks yang akan menjadi tumpuan lanjut pengkaji filem dan seni tentunya. Meski ia kemunduran emosi berbanding Titanic yang turut diarahkan oleh James Cameron, dan juga kekurangan kekuatan lakonan, tetapi sebagai sebuah hasil seni-teknologi yang menggemparkan ia boleh dibaca dan disorot lagi dan lagi dari sisi budaya, politik, agama dan pelbagai lagi. Meskipun nanti tewas di Anugerah Oscar, Avatar akan terus mendapat perhatian. Baik sebagai batu loncatan untuk filem era hadapan atau sebagai sebuah kerja seni dengan nilai ideologi dan wacana yang tajam.

Avatar adalah sebuah filem tradisional dengan balutan plastik kemodenan. Satu gabung-jalin yang pada mulanya membingungkan, tetapi kini disambut sebagai satu yang bergaya.

Benar, Avatar adalah wakil kerja terbaik James Cameron hari ini. Jika dinilai dari sisi kutub pemikiran yang ditawarkan, James Cameron telah muncul sebagai juara dunia ketiga. Dan, jangan lupa, James Cameron juga berasal dari kilang yang sama – Hollywood.

Artikel ini telah tersiar di Siasah edisi 14-20 Februari 2010 di bawah kolum Sinema Spiritual. Tidak dibenarkan menerbit kembali.

13 February 2010

恭喜發財

Harimau Kayu mohon lalu. Dahan duniawi buat berlindung dan melindungi. Ia berdikari, berani, yakin, dinamik, gigih, bertenaga, cerdas, sanggup berkorban, setia, mudah disayangi, baik hati, idealistik, serba boleh. Tetapi ia juga ada angin, cuai, suka mengikut gerak hati, terlalu yakin dengan pendapat diri, degil, geram, dan ingkar.

10 February 2010

Mula Dah, Cina Dah Mula Balik Kampung!





















Selamat Tahun Baharu Cina.
Tahun harimau ini akan ada kebatilan terdedah dan,
kebenaran terserlah. Di sisi Allah tiada dapat tertangguh.

Satira Ketupat Cinta II: Bersuap-suapan Epok-Epok

Tun Yem mencatat lagi semuanya dalam buku siasatan. Kemudian ia pun berangkat menuju ke kamar Tun Kuala atau Cik Puan Rosdah, Tun Yem memberi salam dan bertanya, “Benarkah menurut maklumat rahsia yang kita perolehi, yang Tun Kuala ada bertanya kepada Long Jongos pagi sebelum ia mati, berbunyi begini: Apakah boleh kita ‘ba’ tuan pada hari ini? Apakah gerangannya huraian kepada pangkal huruf ‘ba’ itu jika tiada beban memaklumkan kepada kita?”

Cik Puan Rosdah pun tersenyum simpul, “Tidak tepat apa yang Tun Yem dengarkan itu. Adalah Long Jongos itu selain ia kerjanya menyanyi, kerja ia juga menghiburkan kami sekian isteri dan gundik tuanku. 'Ba' itu pangkal huruf untuk kalimat ‘bersuap’ atau ‘bersantap’. Yakni, Long Jongos itu dengan kita bagai ibu dan anak sering kita bersuap-suap setelah ia habis menyanyi.”

Tun Yem berkerut. “Tidakkah itu perbuatan cabul dan malu diketahui orang?”

Cik Puan Rosdah segera ia naik angin, “Cis, sungguh kotor fikiran tuan. Adapun kita ber’ba’ dengan Long Jongos itu bukan ertinya kita melakukan perbuatan haram. Sekadar bersuap-suap salahkah? Telah kita tanyakan kepada Mufti Malun hukumnya, ia menjawab harussss. Maka itulah kita berani mengerjakannya. Lagipun kalau berdosa sekalipun, bukankah kita boleh bertaubat?”

“Apakah yang tuan suapkan?” Soal Tun Yem masih menyimpan rasa jengkel.

“Epok-epok?” Seru Cik Puan Rosdah sedikit marah.

Macam biasa, jangan bertangguh lagi dan baca penuh di Harakah, setiap Jumaat.

08 February 2010

Teka Kata Laluan


Jim adalah seorang ranjer di taman safari Lanseria, Afrika Selatan. Dia tidak berdisiplin dan selalu datang lewat ke tempat kerja.


Tetapi Jim selalu terkecuali dari dibuang kerja oleh majikannya. Anda boleh lihat sendiri kemampuan Jim menjinakkan haiwan buas dan liar.



Binatang sebegini buas pun tunduk pasrah kepadanya.


Ia malah berani mencium serigala.


Meraba badan dan menggeletek singa.


Meskipun sebenarnya Jim tiada kelulusan dan seorang drop out di sebuah universiti di Afrika Selatan.


Namun keistimewaan Jim bukan pada kelulusan akademik, tetapi kebolehan luar biasanya.


Aksi manja dengan harimau hitam.


Bergurau dan bergumul.


Mendakap erat tanda cinta.


Saat belaian.


Erti kerinduan.


Asmara kemabukan.


Gigitan cinta.


Can I muah-muah with You Today, tanya Jim kepada haiwan buas di gurun.



Masa untuk membersihkan diri.


Intim dengan haiwan buas di gurun. Menakjubkan! Apakah rahsia Jim?


Satu kata kunci yang tidak dikongsinya dengan ranjer dan pekerja taman safari lain.


Password: Cuba teka apa kata laluannya?