29 January 2010

Selawat Ke Atas Rasulullah Perintah Wajib

Sumber Utusan Malaysia bertarikh 29 Januari 2010.

SOALAN

Kenapa kita ucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW sahaja, sedangkan Nabi-nabi dan Rasulul-rasul yang lain kita hanya ucapkan selamat sejahtera?

Jawapan

Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).

Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain.

Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.

1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.

2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW. Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lian.

Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).

3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.

3- Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.

4- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.

5- Fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.

28 January 2010

Keretapi


Tren CRH2 milik China.


Tren THSR milik Taiwan.


Tren KTX milik Korea.


Tren Shinkansen milik Jepun.


Tren AVE milik Sepanyol.


Tren EuroStar milik United Kingdom.


Tren TGV milik Perancis.


Tren Metro Milik Dubai.


Tren siapa-siapa pun adalah tuan punya di India.


Dan tren aku punya di Pakistan.

27 January 2010

Satira Ketupat Cinta II: Kuih Genggang Bukti Cinta

Long Jongos menyembunyikan rasa bosannya dengan leteran Tun Lepat, “Itu juga hamba lakukan, tetapi hamba juga ingin mencuba-cuba memegang senduk dan mangkuk.” Long Jongos kian berdalih. Ia menahan sabar.

Tun Lepat memikir sejenak, kemudian ia menggeleng. Ia bimbang membawa orang tidak tentu ke dapurnya.

“Jika tuan gerau membawa kita ke dapur dan mengajarkan kita sejenis dua kuih berwarna merah jambu, akan kita ceritakan kisah Mufti Malun yang terbaharu.” Long Jongos memancing.

Tun Lepat menghela nafas, mendengar nama Mufti Malun ia kemudian mengangguk. Tiada salahnya jika ia mengajak Long Jongos ke dapur seraya membincang-bincangkan perihal Mufti Malun yang kini mencipta-cipta hadis pula. “Baiklah.”

Maka oleh perkenan dan tunjuk ajar Tun Lepat, Long Jongos pun mendapatkan santan, tepung beras, tepung gandum, tepung ubi, gula dan pewarna merah jambu dari bunga raya. Tun Lepat menganjurkan Long Jongos mencampurkan semua tepung, ia pun memasukkan gula dan garam lalu mengacau hingga rata. Kemudian dimasukkan santan dan dikacau perlahan-lahan oleh Long Jongos sebelum ditapis. Setelah itu bahan diasing kepada dua loyang dan satu bahagian dicurah dengan pewarna merah jambu. Tun Lepat membantu Long Jongos mengukus lapis pertama kuih dan dimasukkan ke dalam loyang baharu selapis demi selapis sehingga merah jambu itu bertindih rapat dengan warna putih.

* Satira Ketupat Cinta disirikan di Harakah setiap Jumaat. Jika bosan membaca berita politik, jamah-jamahlah Ketupat Cinta yang menggigit.

Lee Kuan Yew Mengaku Dasar Dwi-Bahasanya Salah

SEMASA dalam perjalanan pulang dari Su-Chou-Shanghai ke Kuala Lumpur awal bulan ini, saya terbaca satu ulasan oleh kolumnis akhbar The Star mengenai perkara di atas. Apabila disemak dalam Internet, saya mendapati bahawa kenyataan Lee Kuan Yew, Menteri Mentor Singapura itu telah disiarkan pada 17 November 2009 melalui Channel NewAsia dilaporkan oleh Hoe Yeen Nie.

Mantan Perdana Menteri Singapura itu membuat pengakuan secara terbuka bahawa dasar dwi-bahasa yang telah beliau perkenalkan serta laksanakan hampir 40 tahun lalu adalah salah. Kesalahannya kerana diperkenalkan di tahap awal pendidikan. Ini disahkan oleh anaknya sendiri, seorang pakar dalam bidang neurologi.

Singapura masih mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa rasminya adalah Bahasa Inggeris. Untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, Bahasa Inggeris digunakan dari sekolah rendah hingga ke universiti. Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin diajar sebagai satu mata pelajaran sahaja.

Ada beberapa kesan negatif hasil dasar dwi-bahasa Kuan Yew yang diakui oleh beliau sendiri. Pertama, pelajar-pelajar keturunan Cina tidak lagi berminat dan bersungguh-sungguh belajar Bahasa Mandarin.

Begitu juga kanak-kanak keturunan Melayu, minat mereka untuk belajar Bahasa Melayu semakin kurang dan menurun. Semuanya ghairah untuk belajar Bahasa Inggeris kerana nilai ekonominya. Apatah lagi, Singapura berada di tengah kesibukan dunia perdagangan antarabangsa.

Maka kedua-dua kumpulan generasi muda ini, keturunan Melayu dan Cina sedang dilanda penyakit rendah diri (inferiority complex).

Tidak kurang parahnya adalah kesan terhadap identiti jati diri negara bangsa dan rakyat Singapura itu sendiri. Walaupun mereka rata-ratanya fasih berbahasa Inggeris, tidak mungkin mereka diterima sebagai orang Inggeris.

Majoriti penduduk Singapura adalah keturunan Cina dan bahasa pertama mereka sepatutnya Mandarin. Bagi orang Melayu pula, bahasa ibunda mereka adalah Bahasa Melayu.

Bagi keturunan Cina, mempelajari Bahasa Mandarin adalah sukar dan membosankan. Adalah lebih mudah menumpukan perhatian untuk belajar dan menguasai satu bahasa sahaja, iaitu Bahasa Inggeris.

Tetapi Bahasa Inggeris tidak mampu menjadi jiwa dan unsur jati diri kepada keturunan Cina mahupun orang Melayu di Singapura.

Kita patut berterima kasih dan rasa beruntung kerana tidak membuat kesilapan seperti yang dilakukan oleh Kuan Yew. Hendak berundur ke belakang, Singapura telah terlanjur jauh ke hadapan.

Bagi Malaysia, pemansuhan PPSMI baru-baru ini serta pengenalan dasar penggantinya MBMMBI patut dialu-alukan dan diberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Ia selaras dengan kebanyakan negara di Eropah (Perancis, Itali, Greece, Turki, Jerman, Belanda, Norway, Sweden, Finland, England dan lain-lain) dan Timur Jauh (China, Korea Selatan, Jepun) yang sudah maju dengan mengutamakan bahasa nasional masing-masing untuk tujuan pendidikan, jati diri serta kemajuan negara.

Sumber Utusan Malaysia 27 Januari 2010, tulisan DR. WAN HASHIM WAN TEH.

25 January 2010

Catan di Tembok Palestina







1ummah 1Palestina

Anugerah Sasterawan Negeri Melaka di Utusan Malaysia

MELAKA 24 Jan. - Seorang pesara guru, Mokhtar Yasin, 73, diumum sebagai penerima pertama Anugerah Sasterawan Negeri Melaka bagi 2009 yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini malam semalam.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob menyampaikan anugerah tersebut kepada tokoh sastera dan bahasa itu pada majlis yang diadakan dengan penuh gilang-gemilang.

Hadir sama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakob Md. Amin; Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Datuk Mohd. Said Yusof dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman.

Pemilihan tersebut membolehkan anak kelahiran Sungai Rambai itu menerima cek bernilai RM7,000, trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah Tokoh Penulis Muda pula dimenangi oleh novelis terkenal, Mohd. Faizal Musa, 36, atau nama penanya Faizal Tehrani dan anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu menjadi milik Joseph Selvam, 70.

Kejayaan itu membolehkan Mohd. Faizal menerima cek bernilai RM3,000 dan Selvam pula mendapat RM2,000 di samping trofi serta sijil penghargaan.

Dua pelajar sekolah, Ilya Ireeza Noor Zehan, 17, dan Muhammad Hasif Mohd. Jelani pula menerima Hadiah Galakan Penulis Remaja. Masing-masing menerima cek RM1,000, trofi dan sijil penghargaan.

Mokhtar yang dilahirkan di Sungai Rambai pada 29 Mac 1937 yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jepun pada 1943 sehingga menyambung pengajiannya ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MITC) Tanjung Malim dari tahun 1953 hingga 1956.

Beliau yang terkenal dengan sajak berjudul Sepasang Lembu Tua mula menulis sejak negara belum mencapai kemerdekaan dan tidak putus-putus menulis serta berkarya sehingga kini.

''Saya pernah memenangi beberapa anugerah sebelum ini tetapi anugerah yang saya terima kali ini amat bermakna kerana inilah buat pertama kali kerajaan negeri mengiktiraf sumbangan anak jati negeri ini," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Karya Mokhtar sering disiarkan dalam Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Mastika, Dewan Bahasa, Berita Minggu, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan sebagainya.

Katanya, langkah kerajaan negeri mewujudkan anugerah tersebut akan menyemarakkan penulis muda di negeri ini untuk terus berkecimpung dalam menghasilkan karya bermutu tinggi.

''Bagi saya, anugerah ini wajar diadakan setiap tahun bagi menghargai mereka yang bergiat aktif dalam penulisan karya sastera dan bahasa," katanya.

Mohd. Faizal turut melahirkan rasa gembira dengan usaha kerajaan negeri mewujudkan anugerah tersebut.

''Saya juga banyak menerima anugerah sejak mula terlibat secara aktif dalam bidang ini tetapi anugerah yang saya terima malam ini cukup bermakna kerana inilah pertama kali anak jati negeri Melaka diiktiraf," katanya.

Sumber Utusan Malaysia 25 Januari 2010.

24 January 2010

Terima Kasih GPTD UNISEL dan UjanaIlmu

11 Januari 2010, Maninjau - Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel melalui XPDC HAMKA telah menyampaikan beberapa naskhah sastera Melayu kepada Pondok Pesantren Prof Dr Hamka (PPPDH) untuk ditempatkan di dalam pustaka. Ini bertujuan untuk mengembangkan lagi sastera melayu diperingkat serantau dengan bermula di Indonesia. Antara karya yang diserahkan buat bacaan pelajar-pelajar pondok adalah karya Faisal Tehrani antaranya Saasatul Ibaad, Nama Beta Sultan Alauddin, Karbala, Bila Tuhan Berbicara, Surat-surat Perempuan Johor, Detektif Indigo, Advencer Si Peniup Ney, Detektif Indigo Kembali, 1511 H (Kombat), 1515, Manikam Kalbu, Bedar Sukma Bisu, Kekasih Sam Po Bo, Ketupat Cinta. Karya ini telah ditaja oleh pihak Ujana Ilmu kedai buku online. Selain itu karya penulisan Prof Dr Rahim Selamat, pensyarah dari Fakulti Pendidikan & Pengajian Bahasa, UNISEL juga diserahkan kepada pondok agar menjadi rujukan dalam proses pembangunan mengikut acuan Sekolah Bestari di Malaysia. Pada masa yang sama Majlis Penutupan Rasmi telah dirasmikan oleh Pimpinan PPPDH, Drs Zainul Ariffin. Acara tamat dengan bacaan Resolusi & Ikrar oleh wakil pelajar, Adik Emon.

22 January 2010

Anugerah Sastera Negeri Melaka Malam Ini

Pada 22 Januari 2010 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka; malam ini, Alhamdulillah saya akan menerima Anugerah Sastera Melaka, iaitu 'Anugerah Sasterawan Muda Negeri Melaka 2009' daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Melaka. Ini adalah pertama kali saya menerima penghargaan dari 'tempat sendiri'.

Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 adalah anjuran kerajaan negeri Melaka diselenggarakan oleh Institut Kajian Sejarah & Patriotisme Malaysia (IKSEP)dengan kerjasama Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Persatuan Penulis Melaka (PENAMA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) & Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Warisan Negara Negeri Melaka.

Novel-novel saya banyak berlatarkan negeri Melaka khusus ketika era Kesultanan Melayu Melaka. Tentu yang paling berbekas dalam hati saya ialah novel 1515. Ini adalah permulaan kepada penerimaan karya-karya saya dalam kalangan masyarakat. Pengkaji sastera terkenal tanahair, saudara Mohamad Saleeh Rahamad menulis dalam Dewan Sastera Januari 2010 tentang 1515:

"Cerita dalam novel 1515 lebih dewasa dan bukan untuk pembaca remaja, dan tekniknya lebih kompleks. Juga menyimpang daripada kelaziman novel remaja di Malaysia. Akibatnya, novel itu diterima secara berbelah bahagi dalam kalangan pengkaji sastera, kerana muatannya tidak lagi berselingkuh dengan persoalan lazim dalam sastera remaja tetapi menerokai ranah sejarah yang ideologi. Teknik penceritaannya dibantu oleh sarana sastera yang kompleks. Maka atas keistimewaan itu, novel 1515 ditanggapi oleh sesetengah pengkaji mahupun pembaca awam sebagai satu penyelewengan daripada konsep sastera remaja.

Tanggapan sebegitu, besar implikasinya jika lahir daripada panel hadiah sastera. Apabila karya sebegitu dianggap tidak memenuhi konsep sastera remaja, peluangnya untuk diangkat sebagai karya terbaik sastera remaja sudah lenyap sama sekali sebelum aspek penilaian lain dianalisis. Lazimnya, pemenang bagi hadiah sastera merupakan tanda aras bagi mutu karya yang terbaik. Jika karya itu berjaya melepasi penilaian panel hakim maka kompleksiti teknik dan subjek tidak lagi menjadi penghalang kepada usaha penerokaan bentuk baharu sastera remaja.

Berada di persimpangan begitu, novel 1515 turut menerima perhatian daripada sarjana yang tidak menggunakan premis sastera lagi. Karya itu dinilai, dianalisis dan ditanggapi secara dewasa atas faktor muatan ideanya. Dengan penerimaan yang objektif sedemikian, kedudukannya sudah terpecah kepada dua posisi: i. sastera remaja atas faktor watak utamanya, Nyemah Mulya, seorang gadis remaja; dan ii. sastera dewasa lantaran muatan ideanya yang sarat dengan ideologi serta dibangunkan oleh teknik yang kompleks. Hal ini menjadikan karya tersebut terlepas daripada kepungan genre yang sama (rigid) dan dikotomi. Genrenya menjadi kabur, antara sastera remaja dengan sastera dewasa.

Oleh sebab keberanian Faisal menghidupkan kreativiti, maka kemunculan 1515 dapat dianggap sebagai pelopor genre sastera remaja berwajah baharu. Genre ini menampilkan ciri kebaharuan dari segi isi cerita, pemikiran, idea, dan teknik. Isi ceritanya sudah melepasi batasan subjek kekeluargaan alam remaja yang sempit. Dari segi pemikiran atau ideanya menjangkau hubungan politik, kuasa, dan ideologi, manakala tekniknya pula dirumitkan dalam pelbagai strategi naratif. Subjek ceritanya ditampilkan secara mendalam dan kemudian dikaitkan dengan nilai ilmu, hubungan vertikal, dan nilai budaya yang ideologi."

Demikian tulis saudara Mohamad Saleeh Rahamad.

Sehubungan itu, di kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih buat kerajaan Negeri Melaka atas penghargaan yang sungguh mengujakan ini. Moga ia menjadi pendorong buat saya melahirkan lebih banyak karya sejarah; khususnya karya yang menempatkan posisi penting Melaka satu masa dahulu, baik dalam aspek pembangunan ummah atau bangsa Melayu-Islam secara amnya. Hasrat saya untuk menulis sebuah karya panjang yang menyorot sejarah Melaka kini kembali berbara.

Tentu, yang terutama, kesyukuran dipanjatkan buat Allah Yang Maha Berkuasa kerana dengan rahmat-Nya, keberkatan daripada Rasulullah saw dan syafaat ahlul baitnya - maka diri yang disalah ertikan ini terlihat dek orang. Untuk itu saya menguntaikan solawat buat kekasih Allah, junjungan besar Nabi Muhammad dan kaum keluarganya yang terpelihara, serta sahabat mereka yang terpilih: solawat.

21 January 2010

FT di Radio 24 Petang Ini

Insya-Allah, Saudara Faisal Tehrani akan muncul di rancangan Kerusi Panas stesen Radio 24 pada petang ini, 21 Januari 2010 mulai 6.30 sehingga 7.00 petang. Frekuensi untuk Radio 24 di Lembah Kelang ialah - 93.9 fm. Juga boleh mendengar melalui internet di laman: www.radio24.com.my

Belasungkawa: Dr Anuar Nor Arai (1943 - 2010)

"Nak ke mana cepat-cepat begini?" Soal Dr Anuar Nor Arai kepada saya.

"Nak kejar punch card." Jawab saya polos.

Dia ketawa. "Orang seni tak payah kejar punch card." Dia membuat isyarat mata meminta saya memperlahankan langkah.

Kemudian saya berhenti menapak. "Aku tak sempat tengok Kopitiam Ghadir kau. Filem pendek kau tu dah siap?"

"Masih sunting lagi." Balas saya.

"Cepatkan siap. Nanti aku nak tengok."

Kemudian saya pula bertanya, "Dadameah Albab sudah terbit?"

"Sudah. Tapi aku sendiri tak pernah nampak buku tu di kedai."

"Sayang." Keluh saya. Dia mengatakan, "Malang."

Saya pun berlalu. Dan Dr Anuar pun menghilang. Itulah dialog-dialog terakhir saya dengan Allahyarham beberapa minggu lalu.

Saya pernah mengkritik pementasan Ronggeng Rokiah karya beliau dengan begitu keras apabila ia dipentaskan di Istana Budaya pada 22 hingga 31 Mei 2003 (di sini). Dia marah kepada saya. Akan tetapi masa memadam kemarahan. Apabila saya menerima Hadiah Jubli Emas DBP 2006 untuk novel Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu, orang pertama yang mengucapkan tahniah adalah Dr Anuar Nor Arai. Sejak itu kami 'berkawan' kembali.

Dalam bidang drama pentas, naskah Tok Selampit karya Anuar Nor Arai, antara naskah drama yang sering dikaji selain drama Vakum dan Si Pemacak yang sering pula dijadikan drama untuk latihan oleh pelajar-pelajar. Maka nama Anuar Nor Arai bukanlah terlalu asing dalam genre drama pentas. Pun beliau lebih dikenal dalam bidang akademik. Dr Anuar adalah anak Malaysia pertama yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perfileman dari Universiti California Los Angeles, Amerika Syarikat dan bertugas lebih 20 tahun sebagai pensyarah bidang perfileman di Universiti Malaya (UM). Filem pertama dan terakhirnya, Johnny Bikin Filem yang diterbitkan UM pada 1995 tidak pernah ditayangkan. Selain itu, beliau pernah bertugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan jawatan terakhir yang disandangnya ialah Timbalan Rektor Aswara.

al-Fatihah.

* Foto dari blog Patrick Lim.
** Dadameah Albab diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Berhajat Untuk Makan-Makan


Pernah makan sajian Arab?


Lazatnya luar biasa.


Kenyang menikmatinya.


Kadang berbazir.


Sajian makanan Arab ini mudah di dapati di Ampang atau Bukit Bintang.


Mewah. Mewah. Mewah.


Makan-makan di negara Teluk.


Makan-makan di Mesir.


Makan-makan di Turki.


Makan-makan di Jepun.


Makan-makan di India.


Makan-makan di Itali.


Makan-makan di Amerika Syarikat.


Makan-makan di Mexico.


Makan-makan di China.


Makan-makan di Poland.


Makan-makan di Ecuador.


Makan-makan di England.


Makan-makan di Guatemala.


Makan-makan di Perancis.


Jenayah Kemanusiaan di Gaza, Palestina. Betapa susahnya mendapatkan makanan.









Terowong untuk mendapatkan makanan ini pun ditutup oleh Mesir atas titah perintah Amerika Syarikat dan Israel. Masihkah kita mahu berpecah atas nama mazhab?

1Ummah.

Sokong 1ummah.