09 December 2010

Siapa Yang Sakit Tenat Sebenarnya?

Tahukah anda selain Malaysia, Iran juga menganjurkan musabaqah membaca al Quran?

Eh sekejap betul ke? Takkanlah!

Bukankah Iran ini bermazhab syiah dan sesat. Bukankah mereka membaca al-Quran yang berbeza dari kita sunni? Betul. Itu betul, jika anda mendengar sesetengah ustaz kita merapu dan merepek tanpa hujah dan dalil.

Sewaktu saya menunaikan haji dua tahun lepas, ustaz yang membimbing rombongan kami mengarang cerita pendek dan mengatakan 'Orang syiah ada al-Quran sendiri dan kalau orang syiah curi kasut kita, mereka dijanjikan pahala menyamai pahala haji, maka berhati-hatilah. Jangan duduk sebelah orang Iran di Masjidil Haram nanti mereka mencuri.' Dan teman-teman sebilik dengan saya itu tidak berkelip mata, melongo bongok lantas percaya. Saya menahan tawa dalam hati, 'Sakit tenat mereka ini.'

Saya menjawab, 'Sia-sialah ustaz naik haji saban tahun. Bukankah Allah berjanji akan memelihara keutuhan al-Quran sampai hari kiamat kelak. Ini bermakna ustaz tidak mempercayai janji Allah sendiri.'

Wah, muncungnya muka setiap seorang selepas kata-kata itu.

Kembali kepada hal musabaqah, jangan tidak tahu, Malaysia turut menghantar peserta ke majlis tilawah di Iran tahun ini. Peserta tilawah Al-Quran kita, Encik (untuk Islami sedikit: al Akh) Anuar bin Hasin berjaya ke peringkat akhir sekaligus memperoleh tempat keempat dalam 27th International Competitions of The Holy Quran 10-14 julai lalu. Agaknya al Akh Anuar membaca al-Quran versi yang mana?

Selain Malaysia, ada 60 buah negara lagi dari seluruh dunia termasuk negara-negara Eropah yang mengambil bahagian. Tahun ini johan bagi kategori tilawah disandang oleh Republik Islam Iran, naib johan dimenangi oleh Republik Tanzania, tempat ketiga dimenangi oleh Republik Indonesia, tempat keempat disandang oleh kita, Malaysia dan diikuti tempat kelima oleh Kuwait.

Majlis ini dianjurkan secara tahunan oleh Pertubuhan Wakaf dan Kebajikan (Organization of Waqf and Welfare), Republik Islam Iran. Malaysia turut menghantar wakil peserta bagi kategori hafazan iaitu Encik (al Akh) Yusouf bin Musa. Bukan itu sahaja Dato' Haji Zulkifle bin Haji Ali pula kita hantar sebagai hakim jemputan untuk menilai bahagian suara di majlis yang sama.

Nah, bukankah saya sudah mengatakan; berhentilah menuduh orang sesat. Kaji dulu sebelum ditertawakan. Jangan mendengar khabar daripada orang yang memanjangkan penipuan dan fitnah. Jangan sesat dalam kesesatan. Kerana ada pihak dalam kalangan kita yang betul-betul sesat (orang Naning kata sesat barat: sosek baghek) tetapi dipandang benar.

Jika begitulah, siapakah di antara kita yang sakit tenat sebenarnya?

* Beza musabaqah Iran dengan Malaysia, mereka tiada kategori qariah.

14 comments:

lara_nur said...

cantik header baru.cantik lagi kata-kata Hamka yang menghiasi.

ya,tak perlu bermazhab syiah untuk mencintai Husain.

tapi silap orang kita,bila mencintai Husein dicop syiah malah sesat.

apakah sesat pula Hamka itu?

Qib said...

There's nothing more to say. Haaa, mana ustaz ustaz kita yang "bijak" sangat tu ;]

Solawat

behlul said...

assalamualaikum..

subhannallah.. saya sendiri baru tahu hal ini .. sungguh menghidupkan ruh islam dalam jiwa mereka..

untuk kita mengatakan mereka sesat.. kita perlu lihat, apakah mereka ini berpegang pada apa? dan mengapa mereka antara yang dikatakan sesat ini setip tahun mengerjakan haji..? bukankah orang yang bukan islam dan sesat tidak boleh menjejaki tanah haram..?

mengapa perkara ini tidak diperhatikan..?

cikeh kawaii said...

assalamualaikum,
ini perkara baru bagi saya yg baru saja nak menimba ilmu...terima kasih...

ISAC said...

Salam,

Memang ramai dikalangan kita yang bersangka buruk dengan Syiah...

Guru kawan berpesan jika jumpa Syiah, tanya syahadah mereka.

Jika mereka menerima Allah dan rasullullah s.a.w. tiada masalah untuk menerima mereka...

Sayangnya apabila kita berpegangan sebegini, kita pula yang dicap Syiah... :)

pembaca buku said...

Haha...saya ternampak ada orang yang menangis hentak-hentak kaki kerana termalu terpedaya dengan fitnah dan tohmah pihak yang sana itu...isy, isy, isy...kesian...

Saya sendiri pernah diterjah oleh seseorang dengan kenyataan: syiah ada al-quran sendiri yang jauh lebih tebal daripada yang kita punya. Katanya, jauh-jauhkan diri daripada mereka dan buku-buku mereka, nanti terikut.

Tertegun jugalah saya dibuatnya. Tapi saya ini jenis yang cari sampai sudah pada setiap persoalan. Tak pulak saya jumpa mushaf lain yang dikatakannya itu.

Orang jenis bercakap macam ini, suka dengar saja, tak mencari benar tidaknya; kemudian sambung cerita tambah garam, asam, gula, biar sedap. Tak puas lagi, sebar rata-rata fitnah dan tohmah itu. Macamlah dia lebih tahu. Padahal, bunyi saja lebih, dalamnya kosong.

Perangai tak matang langsung. Orang, kalau berilmu kalau berfikiran, cari benar tidaknya, buat perbandingan, fahami perbezaan, terima terbuka apa yang silap dengan kita, dan betul pada mereka.

Kemudian kalau masih tak boleh nak bersetuju, berbahas elok-elok dengan matang dan tenang. Di hujungnya, harus ada tolak ansur menerima perbezaan dan persamaan antara sesama saudara. Ingat-ingatlah, ada orang lain mengintai hendak menangguk di air keruh.

Tup tup hari ini, saya baru tahu ada tilawah antarabangsa di Iran lagi. Malaysia sertai juga. Kalaulah orang-orang syiah ini sesat, kalau ke nerakalah orang-orang syiah ini, adakah kerajaan Malaysia menghantar qarinya bertanding dengan orang-orang ini? Masuk akal ke?

Alahai, faisal, tak pasal-pasal saya berleter petang-petang begini. Penatlah rasanya. Cukuplah.

hellmy said...

Alaaa...yg cakap sesat tu cuma Maza dgn pengikut2 dia saja. Apa kita nak takut dgn dia?

sutera kasih said...

ohh!!.. dr dulu saya meminati Faisal Tehrani(FT). Namun rasa tu pernah tergugah ketika mana saya yg cetek ilmu ni percaya sebulatnya bhwa FT seorg Syiah. Saya keliru menjadi buntu. tak kan saya tlh salah meminati? lantas sya bertny kwn2 yg arif, ustaz2 yg faqih. lalu temuilah saya kebenaran. hnya org yg tamak mahu dirinya seorg sje di syurga dan diangkt Allah, mengatakan org lain sesat. sehingga apa yg org itu lakukan psti akn dikaitkan dgn kesesatan. Org spti ini tak diperlukan dalam membina sof2 yg kukuh untuk menentang musuh. mereka hnya akan membuat lompong besar dlm sof.... saya tetap bersama FT selagi mana FT masih di atas landasan tauhid ini... WaAllahu A'lam

Dr Faisal Tehrani said...

sutera kasih
terima kasih. pembaca seperti anda yang membuatkan saya bersemangat kembali.

Azi81 said...

Dr. Faisal, terima kasih, tidak putus menyampai ilmu dan menyuarakan kebenaran. Banyak yang saya ketahui, buat saya berfikir dan mengkaji pada setiap entri yg Dr buat. Seharusnya pandangan yang skeptikal perlu ditolak bila kita katakan syiah=sesat.

abu mohsein said...

Salam,

Saya terbaca sebuah Hadis mengenai Ahl Bait. Antaranya menyebut "Perbandingan Ahl Bait adalah seumpama Bahtera nabi Noh, sesiapa yang menaikinya berjaya dan sesiapa yang siapa yang menolak lemas"

Di sini saya ingin mengupas sedikit berkaitan dengan tamsilan dan perbandingan ini.

Terdapat dua golongan besar sahaja yang wujud dalam masyarakat Islam seluruhnya. Satu mereka yang berada dalam Bahtera tersebut dan keduanya golongan yang menolak atau tidak menaiki sebagai penumpang dalam Bahtera itu.

Adapun golongan yang menyertai yang lain dalam Bahtera ternyata janji Allah bahawa mereka semuanya selamat. Tidak disebut mereka itu mesti Parsi, Melayu, Cina, India, Sakai, Iban dan seumpamanya. Itulah Sirat al Mustaqim yang akan membawa kepada Sirat Al Mustaqim di akhirat nanti. Sebab itu Siratal Mustaqim Sirata, sirata fi al dunya wa sirata fi al akhirah.

Jalan yang lurus itu adalah Bahtera Nabi Noh dan selainnya itu adalah ditolak. Sesiapa yang inginkan melintasi sirat al mustaqim di akhirat maka ia perlu berada di atas sirat al mustaqim di dunia (ahl bait). Barulah ada penghubung kepada jalan yang lurus di akhirat nanti.

Selain itu dua golongan itu juga....disebut jika berada bersama Bahtera Noh maka sudah pasti berjaya. Namun mereka yang menolak dan tidak menaikan Bahtera tersebut adalah mereka yang LEMAS.

Lemas dalam berfikir, Lemas dalam membuat keputusan, Lemas dalam membuat perbandingan, Lemas aqalnya, Lemas hatinya.

Berada dalam keadaan lemas bukan hanya lemas dalam lautan.....berair...namun Lemas dalam kategori metafizik amatlah berbahaya memandangkan mereka kelam kabut, aqal bertelagak menggelegak dengan kepanasan kebatilan dan kebencian. Inilah golongan yang LEMAS. Maka pelampung fikiran perlu diberikan, pelampung hati perlu dihidupkan agar mereka terapung semula dan dapat melihat kebenaran lantaran berusaha berenang dengan seberapa segera ke arah Bahtera Noh.

Masih belum terlambat bagi mereka yang Lemas, mintalah bantuan dan pertolongan daripada mereka yang mempunyai pelampung pemikiran, hati dan perasaan supaya manusia itu membentuk manusia sebenar kerana kecintaan kepada Ahl Bait adalah arahan dan suruhan mutlaq Allah dan Rasulnya.

Apungilah diri kita dengan kembali menghidupkan aqal dan hati.

Siapa yang menyintai Husein dia mencintai Rasul dan siapa yang memusuhi Hussein dia memusuhi Rasul.

Kata ALi..."Membaca dengan bertadabbur dan beribadah dengan berfikir"

Dari Tabula Rasa

Muhammad Sidiq said...

Salam , hehehe.
Sebenarnya ramai yang dididik untuk benci syiah , saya pernah tanya kawan-kawan , what you thinnk about "syiah" ? Kebanyakan cakap mereka sesat. (Biasa la manusia kaya dengan kelemahan).

Management Consultant said...

Bahtera Nuh http://1.bp.blogspot.com/_mnkMwzZTkKA/Sb9Csrw51oI/AAAAAAAAAEQ/3oKZPsOnFfY/S240/Bahtera+Nuh+as.jpg

Adilla Harun said...

Saya semakin faham persoalan ini. Masakan kita disuruh menutup setiap doa dengan salawat Nabi, andaikata mencintai anak Nabi itu dikatakan syiah dan sesat. Terimakasih Dr FT kerana membuka minda kami.