29 November 2010

Qalb[u] Al-´Asad, Danab al-Jady & al-Zuban al-Samāliyyah

Kalau saudara pembaca pernah menatap novel saya 1511H Kombat, di bahagian Prolog saya ada mencatatkan bahawa ketika Rasulullah saw lahir, segala bintang bergemerlapan mengerlip di langit sana. Fenomena bintang sedemikian di langit menurut pengkaji ilmu bintang berlaku empat belas kali sahaja. Ia tidak akan berlaku lagi. Saya tidak dapat menjelaskan secara saintifik mengapa. Dan tentu, sebagai manusia agung, selaku kekasih Allah swt, seisi langit dan bumi menyahutnya (lihat 1511H Kombat halaman xi dan xii).

Bintang manakah yang mengerlip di langit saat anda dilahirkan?

Ketika saya dilahirkan, bintang yang bercahaya di langit tinggi ialah Qalb[u] Al-´Asad. Sejenis bintang tunggal yang tersendiri. Sunyi. Dalam banyak peradaban ia dikaitkan dengan raja-raja. Regulus kata astronomer. Entah mengapa ia juga dihubungkan dengan singa. Dan menurut 'mitos' ilmu zodiak ia menentukan sikap dan perangai saya.

Ketika isteri saya dilahirkan, bintang yang bercahaya di langit tinggi ialah Danab al-Jady. Sejenis bintang agam yang sangat terang. Tumpuan. Dalam banyak peradaban ia dikaitkan dengan pengorbanan. Delta Capricorni kata astronomer. Entah mengapa ia juga dihubungkan dengan kambing. Dan menurut 'mitos' ilmu zodiak ia menentukan sikap dan perangainya.

Ketika anak kami dilahirkan, bintang yang bercahaya di langit tinggi ialah al-Zuban al-šamāliyyah. Segugus bintang biru-hijau yang bertebaran dan memberi kedamaian. Ia bintang yang berputar seratus kali lebih laju dari matahari. Dalam banyak peradaban ia dikaitkan dengan kehebatan, 'berkuku'. Beta Librae kata astronomer. Entah mengapa ia juga dihubungkan dengan timbangan. Dan menurut 'mitos' ilmu zodiak ia menentukan sikap dan perangainya.

Dalam tradisi Cina, saya jatuh di bawah simbol harimau kayu. Saya dikatakan 'giving individual'. Dalam tradisi Cina, isteri saya jatuh di bawah simbol khinzir air. Dia dikatakan 'trustworthy almost to a fault'. Dalam tradisi Cina, anak kami jatuh di bawah simbol harimau besi. Dia dikatakan 'center of attention'.

Tarikh lahir saya bersamaan dengan ramai pengembara dari pelbagai pelusuk dunia. Mungkin kerana itu saya berkelana dari satu pemikiran ke satu pemikiran, mengkaji dengan penuh pesona dan ingin memberi kepada yang menghargai, 'as giving individual'. Tarikh lahir isteri saya, aneh sekali, bersamaan dengan ramai seniman dari pelbagai pelusuk dunia. Mungkin kerana itu dia lebih diam, menyimpan, misterius, sentiasa dapat disandarkan sesuatu, 'trustworthy almost to a fault'. Kadang, kalau saya menatapnya, saya teringat sebaris dialog dari filem Titanic, 'a woman's heart is a deep ocean of secrets'.

Tarikh lahir anak kami, bersamaan dengan ramai ahli falsafah dari pelbagai pelusuk dunia. Salah seorang ahli falsafah yang saya maksudkan adalah Ali bin Musa Al-Reza, Perdana Menteri Khalifah Ma’moun zaman Abbasiyyah. Beliaulah yang mengungkapkan kata-kata: “Dunia ini adalah penjara buat orang mukmin dan syurga buat orang kafir.”

Saya tertanya-tanya bagaimana rupanya langit tatkala al-Zuban al-šamāliyyah mengerlip. Seorang sahabat akrab mencari dan mengemel wajah langit ketika itu. Persis manakah bintang al-Zuban al-šamāliyyah? Itulah, di atas sana bintang kami. al-Zuban al-šamāliyyah kami. Duhai, sungguh indah bintang di langit itu. Serasa cahayanya memberi ketenangan dan membuatkan kami terpusat hanya kepadanya. Moga ia menjadi bintang yang memanfaatkan, 'center of attention' seperti mana filsuf Ali bin Musa tersebut. Lantas kami menamakannya bersempena sebutir bintang megah yang mengerlip menyinari seluruh semesta sehingga diratukan menjadi penghulu di syurga.

25 comments:

Lala said...

Tahniah DrFT dah menimang cahaya mata. :)

princeduyong said...

semoga dia terus bersinar dengan sinaran yang dapat menyinari sekeliling....bersinar dan memberi sinar...peliharalah agar sinar itu tiada malap ataupun padam....

Haris Hauzah said...

Soalan ini mahu saya tanyakan semalam. Ada kedengaran beritaa dari kawan-kawan PTS yang kata isteri saudara sedang mahu melahirkan.

Soalannya lelaki atau perempuan ? Saya teka perempuan... hehe

ArenaMalaya said...

Salam Dr. FT, benar sudah mendapat cahaya mata baru? Tahniah.

Khabar dari saya, nampaknya masih lagi yang ingin melabel Dr sebagai oppsss....SINI

Pena Jiwa said...

kita semua adalah "bintang"...

IdaMandarin said...

Tahniah Dr. faisal :)

Farieza said...

Alhamdulillah. Tahniah saudara Faisal. Pasti comel anak kamu!

Bintang berkelip yang dianugerahkan Ilahi, pasti tersimpan seribu satu rahsia tersirat yang mengandung ma'na.

szack12 said...

Tahniah saudara Faisal,

Semoga kelahiran ini akan menggembirakan Zahra A.S dikemudian hari

Salawat

Faisal Tehrani said...

ArenaMalaya
Ada bermacam-macam cara nak menumpang populariti orang lain. Juga ada banyak cara nak meninggikan hitz blog. Kumpulan manusia seperti ini datang dan pergi.
Wassalam

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi said...

Assalamualaikum Tuan Dr. Haji Faisal,

Para sahabat diibaratkan bintang di langit oleh Rasulullah.

Para ilmuan, cendekiawan dan ulama jua adalah bak bintang di langit dalam Islam.

Yang menerima percikan cahaya daripada sang mentari dan rembulan (Rasulullah).

Semoga kita, insya-Allah menerima pula faedah daripada para bintang yang berjuntaian di hamparan langit malam tersebut.

Seterusnya jua menjadi sebutir bintang kepada ummah selepas kita.

Nota: Ana mohon maaf tidak hadir ke kelas pada sabtu lepas, ada isu peribadi di saat-saat akhir. ;)

Insya-Allah penulisan dalam proses. Sudah siap beberapa bab, akan segera dihantar bagi dinilai. Harap maklum.

Allahumma sallia'ala Muhammad waali Muhammad.

Zahiruddin Zabidi

syibarumiz. said...

DrFt ada cadangan dari mana nak dapatkan maklumat tentang bintang2 ni?

MKriza said...

Tahniah dr faisal. Saya teruja ingin tahu namanya. Pasti unik.

Saleha Idris said...

Salam

Tahniah di atas kelahiran puterinya....

Moga indah dalam mentadbir diri dan masyarakat.

Mungkin isteri anda lebih diam tidak berbicara kerana kelebihan yang ada pada anda, jadi dia hanya perlu untuk melihat, berfikir dan menilai tanpa bersuara...

Tuhan mencipta Adam dan Hawa itu semua sesuai pada tempat dan perilaku...

Menarik tentang bintang2 itu, boleh saya dapatkan maklumat tentang bintang kelahiran saya?

Bunnybaby said...

Alhamdulillah. Tahniah :-)

airaniez wirdani said...

Tahniah Dr. FT, atas kelahiran *buah hati*...Rindu untuk membaca kembali karya 1511H Kombat itu!

Shah said...

Mabruk Dr Faizal.Moga menjadi anak yang baik yang menyejukkan mata.

Nazihah Amir said...

Salam..Encik Faisal Tehrani!

buat la satu post pasal pramugara/pramugari iran. ;P

azila said...

saya tdk suka org kaitkan tarikh kelahiran dgn sifat2.. kerana bg sya sifat2 ini terbentuk semasa mengandung , didikan & persekitaran selepas dilahirkn.
tarikh lahir saya sama ngan sir alex ferguson(nak juga) tp saya sgt anti dgn MU..hehe

nmz said...

tahniah Dr. Faisal Tehrani atas kelahiran cahayamata.

baru tahu lagi nama lain bagi mitos ilmu zodiak singa ni, qalbu al-'asad.
*sama tarikh lahir dengan DR. FT. sy 7 Ogos 1990 :D

Faisal Tehrani said...

Tuan2
Ramai yang bertanyakan saya tentang ilmu bintang dan hubungannya dengan zodiak ini. Saya sendiri tidak dapat menjawab tepat. Ini kerana bidang dan disiplin ini adalah milik isteri saya. Beliau adalah seorang astronomer. Jadi banyak beliau yang mengajarkan saya.

nmz
Belum tentu sama, kerana pergerakan bintang bertukar setiap masa. Penilaian tepat haruslah mengikut jam yakni pukul berapa (bukan sahaja hari, bulan atau tahun) kelahiran. Kalau begitu ramailah orang berkongsi bintang dengan Nabi Muhammad saw. Ini tentu tidak lojik. Jadi, belum tentu bintang saudara sama dengan saya.
Wallahualam.

ladyfloppy said...

Salam.

Catatan Haji ini benar2 'write to express' not to impress, satu konsep yang pernah saya pelajari dulu.

Terserlah betapa terujanya tuan haji menyambut cahayamata pertama, betapa kasihnya tuan haji kepada isteri dan betapa cintanya tuan haji kepada Nabi Muhammad SAW. Semuanya secara ringkas, tidak berlebih-lebih.

Tahniah kepada Tuan Haji dan isteri.

Semoga cahayamata yang diamanahkan oleh Allah SWT ini membesar menjadi insan yang hebat, kombinasi 'a giving dan trustworthy individual' yang akhirnya akan benar-benar menjadi 'center of attention' masyarakat. Insya Allah.

- Cik Pepod

syahrir said...

Tahniah Dr.FT.

Bin Basra said...

Tahniah.... moga dimurahkan rezeki...

Faizah Roslaini said...

Subhanallah. Saya terasa sungguh 'perasaan' membaca entri ini, mungkin kerana saya sudah punya cahaya mata.

Indahnya perasaan dapat anak ni serasa macam mendapat cinta baru. Heh heh heh. *owh jiwang sudah..lariii*

*Baik, sekarang serius* Tahniah. Semoga anaknya sentiasa sihat dan ibunya cepat sembuh.

Selamat datang ke 'Kelab Tidak Cukup Tidur'.

a.m.e.e.n.a.l.i.f.f said...

mcm mne nk cek apa bintang sy pulak ye?