22 September 2010

Adakah Genre 'Filem Islam'?

Oleh ABD. AZIZ ITAR

FILEM merupakan suatu medium yang mempunyai pelbagai genre seperti drama, romantik, komedi, aksi dan seram yang bertujuan memberi pilihan kepada para penonton.

Bukan setakat hiburan, filem adakalanya turut memainkan peranan sebagai alat propaganda politik dan bersifat keislaman dalam usaha untuk menyebarkan dakwah agama ini.


Filem berunsur Islam boleh diselitkan sebagai satu lagi genre dan ia semakin mendapat perhatian para pembikin filem dan penonton walau di mana-mana juga sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, ramai yang masih keliru mahupun berselisih pendapat berhubung definisi filem Islam.

Dalam konteks bidang perfileman di negara ini, para peminat telah disajikan dengan beberapa filem yang dikatakan boleh dikategorikan sebagai Islam sejak era tahun 1950-an lagi.

Sebagai contohnya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah mengarah dan membintangi filem Semerah Padi pada 1956 yang memaparkan elemen-elemen ajaran Islam di dalamnya.

Adegan filem itu antara lain memaparkan adanya elemen ajaran Islam yang mengenakan hukuman sula terhadap pasangan yang sudah berkahwin tetapi melakukan perzinaan.

Perkara itu membuktikan bahawa sejak dunia perfileman Melayu mula bertapak di Singapura pada awal tahun 1940-an sudah ada pengaruh Islam di dalamnya.

Namun ramai yang terus memperkatakan kesyumulan ajaran Islam yang cuba diterapkan dalam filem genre ini kerana ia dikatakan belum 100 peratus menepati kriterianya.

Bagi pensyarah Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Dr. Faisal Tehrani sehingga kini dia belum bertemu dengan filem Islam yang dimaksudkan itu.

"Bagi saya, setakat ini belum ada satu filem pun di Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai sebuah filem Islam daripada segi naratifnya. Kalau dokumentari berunsur Islam memang banyak.

"Ini kerana Islam itu berkait rapat dengan ilmu dan menjurus kepada kebaikan yang sejati. Bolehkah filem itu dikatakan sebuah filem Islam kalau masih ada unsur mungkar di dalamnya?

"Misalnya, pelakon wanita tidak menutup aurat ataupun lelaki dan wanita bukan muhrim berpegang tangan?" Soalnya kepada Mega dalam satu perbualan baru-baru ini.

Hujah yang dilontarkan oleh Dr. Faisal ada benarnya. Andai diperhatikan, industri sinema Malaysia sejak kebelakangan ini lebih cenderung menerbitkan filem-filem yang bertentangan dengan budaya masyarakat negara ini.

Karyawan filem Melayu dilihat semakin terbuka dalam berkarya dan masing-masing seperti mahu menjadi jaguh dalam gelanggang filem.

Kerana keterbukaan itu jugalah maka kita menyaksikan filem-filem seperti ... Dalam Botol, Dua Alam, Chukang dan beberapa lagi filem lain diterbitkan.

Kebimbangan sebilangan besar daripada masyarakat Malaysia ialah sampai bilakah kita harus membenarkan karya-karya sebegini diterbitkan?

Dan berapa banyak jugakah filem yang bertemakan Islam yang dihasilkan oleh karyawan filem hari ini yang boleh kita senaraikan?

Barangkali, dalam tempoh sedekad lalu, kita mungkin hanya teringatkan filem Syukur 21 (2001).

Raihan yang berlakon sebagai teraju utama filem itu menggunakan elemen percintaan dan teknologi telekomunikasi bagi mengembangkan naratif tentang perkembangan Islam di dalamnya.

Perkembangan itu dilihat bukan setakat mempopularkan mesej Islam dalam filem tetapi ia juga didasari sentimen kebangkitan irama nasyid dalam persada muzik tempatan pada 1997.

Senario itu dapat dilihat apabila Raihan yang ketika itu muncul dengan album sulung, Puji-Pujian mencatat jualan 750,000 unit sebagai album tempatan paling laris di negara ini.

Apa pun perkembangan itu juga dilihat sebagai salah satu usaha berbentuk eksperimen untuk memperkembangkan lagi populariti irama nasyid bersama pengaruh Islam di sebaliknya.

Biarpun kurang mendapat sambutan ramai tetapi ia merupakan salah satu usaha MIG Production yang menerbitkan filem itu menjadikan Islam sebagai subjek penting penceritaannya.

Sepatutnya usaha tidak terhenti setakat itu, sebaliknya para pembikin filem tanah air harus terus menggali lebih banyak formula bagi menghasilkan filem-filem berunsur Islam.

Filem Melayu berunsur Islam ditonton oleh majoriti penonton berbangsa Melayu. Selain itu, ia juga menyediakan pasaran yang luas di luar negara terutamanya di negara-negara Islam.

Paparan tentang elemen Islam bukan sahaja diterima oleh penganut agama itu, malah sudah banyak filem dari negara-negara Islam yang diterima dalam festival-festival di Barat.

The Color of Paradise (2000) filem Iran arahan Majid Majidi antara filem yang mendapat banyak pencalonan dan memenangi anugerah di festival filem Barat termasuklah di Cannes, Perancis.

Ia menjadi bukti bahawa filem Islam bukan sahaja sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat, tetapi ia juga menyediakan pasaran yang luas termasuklah di festival seperti itu.

Sumber asal di sini.
********

KESEDARAN dan usaha bagi menitip elemen-elemen tentang ajaran Islam sudah lama ada dalam filem-filem Melayu sejak era tahun 1940-an sehinggalah kini.

Biarpun bukan 100 peratus berstatus filem Islam, tetapi unsur-unsur pengajaran yang ada di dalamnya selaras dengan ajaran Islam serta mudah pula dititip oleh para penonton.

Bukan setakat negara ini, malah negara-negara lain seperti Iran, Indonesia dan negara-negara Timur Tengah juga telah lama mempunyai kesedaran ke arah itu.

Namun, kesedaran sahaja belum memadai jika tiada usaha berterusan dan serius bagi memartabatkan elemen-elemen Islam yang lebih tulin di sebalik sesebuah filem.

Pengarah dan pengkritik filem tempatan, Mansor Puteh berpendapat, sudah sampai masanya negara-negara Islam yang aktif menerbitkan filem bersatu mempopularkan genre sedemikian.

Katanya, suatu badan filem khas yang boleh menggabungkan kerjasama antara negara-negara Islam harus diwujudkan agar pemasaran filem Islam mudah dijalankan.

"Sudah sampai masanya kita (negara-negara Islam) bersatu mewujudkan sebuah badan khas yang boleh digunakan untuk kepentingan industri filem masing-masing pada masa depan.

"Contohnya dengan bekerjasama menerbitkan filem Islam, menayangkan di negara masing-masing dan mengedarkannya sehinggalah di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Sarjana Perfileman dari Universiti Columbia, New York, Amerika Syarikat ini mencetuskan ideanya pada forum Minggu Filem Roh Ramadan Aswara 2010 di Aswara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Forum anjuran Aswara itu bertujuan menampilkan hasil kerja para pelajar perfileman terutamanya filem-filem yang berunsurkan keislaman sempena tibanya bulan Ramadan baru-baru ini.

Saranan Mansor itu ada benarnya kerana melalui kerjasama itu ia bukan sahaja mencetuskan lebih banyak persefahaman dan modal tetapi juga mutu dalam penerbitan sesebuah filem.

Ini kerana, sejak kebelakangan ini ramai pembikin filem yang tidak mendapat bimbingan dan berkarya mengikut kefahaman sendiri sehingga ia tidak memberi manfaat kepada para penonton.

Adalah mendukacitakan apabila ada filem-filem Melayu yang mempopularkan budaya Barat yang bebas dan liar sehingga secara tidak langsung menjayakan lagi agenda musuh-musuh Islam.

Ia juga seolah-olah memudahkan lagi dakyah dan propaganda Barat dalam usaha mereka mempromosikan budaya, sekali gus menguasai ekonomi melalui bidang perfileman di negara ini.

"Saya juga mencadangkan agar diadakan suatu rangkaian pawagam halal yang boleh menyokong usaha ini. Apalah guna ada filem Islam tetapi tidak ada tempat yang sesuai untuk ditayangkan?

"Perkara seperti itu boleh difikirkan kerana ia ada kaitannya dengan jenama halal yang banyak diaplikasikan dalam pelbagai produk seperti makanan dan minuman," katanya.

Galakan atas penerbitan filem-filem Islam sepatutnya sudah lama dijalankan memandangkan kebanyakan penonton filem-filem Melayu adalah beragama Islam.

Sayangnya, ramai pembikin filem yang tidak menggunakan kesempatan itu, sebaliknya tanpa disedari ghairah menampilkan adegan-adegan yang bertentangan dengan Islam.

"Ada filem yang nampak seperti Islam sedangkan hakikatnya anti Islam. Misalnya, mempopularkan budaya lumba haram di filem yang secara tidak langsung bertentangan dengan Islam," ujarnya.

Sumber asal di sini.

15 comments:

ateh bie said...

sokong entry ni...
kenapa pengarah filem di malaysia x mampu nak hasilkan at least cth filem Islam di nusantara spt KCB 1,2 garapan dr novel Kang Abik..

pembaca buku said...

Membaca entri ini, teringat saya kepada kata-kata seorang anak kecil tentang lakonan Tiz Zaqyah dan Remy Ishak dalam drama Nur Kasih:

"Bukankah mereka itu bukan muhrim walaupun berlakon sebagai suami isteri, kenapa boleh berpeluk pula?

Dalam filem Mim Mesle Madar, orang yang berlakon sebagai suami isteri itu tidak bersentuh tangan pun walaupun ketika 'isterinya' sakit dalam cerita itu; barulah betul-betul Islam!"

Saya terkedu mendengar kata-katanya itu, hanya memandang matanya yang bundar...

ashabul_yamin said...

a'ah betul2..
ayat2 cinta hancus.. sbb buka aurat, tp cte KCB menjaga.. tahniah2..

meema said...

hmm..hukuman zina bg pasangan yg sudah berkahwin sula atau rejam smpi mati ye?

eman said...

mungkinkah malaysia leh wat audition dalam mencari para muslim n muslimah yg semegnya berpegang kepada ajaran al-quran n as-sunnah.. dgn cara ni setidak2 nya malaysia mampu ade artis yg leh dijadikan sbg role model islam.. spt filem indonesia bila cinta bertasbih... filem tu memg menjaga aurat n hubungn antara lelaki n pompuan.... wallahualam..

oriotoiro said...

Salam, Tn.Hj.Dr.FT & the gang

Filem Islam itu jika mahu didefinisikan secara hakiki, ternyata bukanlah kerja kita selaku non-maksumin untuk menentukan hebat atau bobroknya.

Apa yang mampu dizahirkan oleh ummah atau wakil ummah mungkin hanya respon atau maklumbalas terhadap sesebuah karya bergantung kepada nilai kualiti etika atau estetika yang terpapar secara tersurat dan tersirat padanya.

Selaku manusia non-maksumin, secara estetika dan etikanya kita punya selera yang bermacam ragam dan loghat.

Ada yang mahu menyaksikan filem Islam itu berbaur Arab, Parsi atau Afrika, ada pula yang mahu melihat filem Islam dibikin dalam citarasa yang berbeza daripada nilai klise sedia ada.

Tetapi kemahuan-kemahuan untuk melihat magnum-opus sebuah filem Islam kebanggaan cuma mampu bercambah bak cendawan selepas hujan di hati-hati yang subur dihujani rahmat keImanan dan Islam. Namun, cendawan itu andai tidak dipetik dan dimanfaatkan sebaiknya sudah pasti akan menjadi racun lalu memakan dirinya sendiri.

Cadangan dan seruan saya selaku insan non-maksumin lagi marhaen, silakan Tn.Hj.Dr.FT bangunkan sebuah pasukan produksi unggul untuk menerajui pembikinan mahakarya filem-filem Islam di masa akan datang.

Filem-filem perasan Islam eloklah kita tinggalkan berlapuk jangan diberi perhatian atau diforumkan lagi di masa akan datang. Kita mahu lihat bagaimana contohnya filem yang benar-benar mampu mewakili Islam seadanya.

Saya berkeyakinan penuh (selaku insan non-maksumin lagi marhaen) Tn.Hj.Dr.FT dan pasukan laskar budaya pimpinan tuan mampu melakukannya, insya-Allah.

Jika bukan kini, bila? Jika bukan kalian, siapa? Jika bukan di sini, di mana?

ahmad din said...

Benar, barangkali apabila sesebuah karya itu hendak difilemkan.

Penerbit atau pengarahnya perlu memilih pelakon yang benar-benar menjalani kehidupan seharian mereka berlandaskan rukun dan hukum dan bukan hanya memilih pelakon berdasarkan populariti.

Kebiasaannya pelakon di Malaysia ini hanya popular disebabkan kes-kes mahkamah dan juga salah laku sosial yang mencontohi barat.

*saya bukan orang filem. :)

nottingham said...

saya telah lama kemukakan ini pada segelintir penerbit filem dan drama. tapi diketawakan. malah, apa yang mereka jawab, kami masuk industri ini inginkan keuntungan. kalau ambil perempuan yang tak cantik, mana nak dapat duit. saya terkedu. saya banyak juga mengeluarkan paper berbentuk akademik demi untuk kesedaran tapi masih menjadi satu perkara biasa dan cuma di pandang rendah oleh penggiat seni seperti filem dan drama. kini, saya masih berusaha lagi untuk kesedaran ini. muga satu hari nanti, kita semua sedar.

HBAB khair said...

filem di msia, dasarnya nampak islamik isinya tidak menepati ciri2 islamiknya.

pembikin filem yg mahu ketengahkan unsur islamik seharusnya mendapat penyeliaan terbaik dari orang yg benar2 faham ilmu agama.

apabila dibuat semberono, sisi-sisi kelemahan dlm membawa mesej islam tak kesampaian pun.

Qib said...

Kebanyakan filem dan drama di Malaysia, tak kiralah apa sekalipun genrenya pasti ada unsur cinta dan adegan negatif. Genre aksi, seram, romantis, komedi, etc, semua sama saja. Semua genre tersebut boleh digunapakai dalam perfileman tetapi harus ada unsur Islam serta batasnya.

I'm totally agree with this confusion.

Kadang-kadang bosan juga dengan idea-idea para pembikin filem Malaysia. Because it goes around in circle. Balik-balik cerita style ni, pastu style macam tu balik.

We must make a move and change the whole idea. Sebagai contoh, ceritalah tentang kehidupan pelajar di universiti yang sibuk belajar, cara dia selesai masalah belajar, buat projek. Tapi yang kita lihat semua pasti ada unsur cinta lelaki perempuan yang bukan muhrim. Try to create something without love and all of the romance scenes!

HBAB khair said...

***apabila dibuat semberono, sisi-sisi kelemahannya nampak ketara & mesej islam tak kesampaian pun.

1jja1912 said...

Assalamualaikum..

** Saya buta filem.. tetapi selepas tgok cerita unsur islami yang kebanyakkannya dari indonesia.. Kebutaan ini sedikit kurang dan menjadi Rabun2 filem.. Apapun, saya menyukai plot cerita -Kun fayakun, Perempuan berkalung Sorban, setakat ini..

***Untuk Tanah Melayu dan Alam Melayu, saya menantikan kehadiran filem yang memang didasari dengan plot islami, tidak membosankan, dan adalah perlu pengarah filem itu mampu membuat penontonnya ter'impak' dengan mesejnya.

**Sehingga kini saya masih terfikir apakah yang membuatkan sesebuah karya itu diangkat filem islami, adakah memadai dengan barisan pelakonnya mengenakan pakaian Islami, tapi masih dilakonkan oleh watak yang bukan muhrim? mempamerkan sesuatu yang tidak patut dipamerkan..adakah bidang lakonan itu sendiri dibenarkan dalam islam??-Saya cuma mahu berkongsi persoalan tersebut, sebab saya Buta filem.. =D

Wassalam

Mohd Hafizi Bin Tajuddin said...

1.Kalau bleh tmbh di sini, xslh difilemkan kisah cinta. al-quran sendiri memaparkan kisah cinta Nabi Yusuf dan Zulaikha dengan plot penceritaan yang penuh tragis dan rinci.namun agak keterlaluan jika ingin membandingkan hasil karya insan dengan mahakarya kalam TUHAN!cinta yg dipugar dlm filem harus tegar berbumbukan cinta Allah, bukan sekadar judul dan promosi shj y hebat.

2.panggung halal yg dicdgkan ada benarnya.kita (mahasiswa Islam) yg berminat menonton buah fikir penggiat tanah air jadi buntu bila wayang jadi sarang maksiat lelaki wanita.bagaimana nak tarik remaja mencintai filem Islam kalau kaedah xsebanding fikrah.matlamat takkan meghalalkan cara.

3.xperlu ssh, novel islam kan berlambak dan novelis islam pasti sgt kepingin menanti karyanya utk difilemkan.mslhnya, adakah novel2 kita benar2 islam & penulis2 kita benar2 bermatlamtkan islam...sama2 fikirkan, insya-Allah.

Roy de Araujo said...

Saya fikir, luahan hati seorang penulis muda ini wajar juga diambil ingatan.

http://alghazalisulaiman.blogspot.com/2010/09/kelahiran-filem-yang-beragama.html

Perlu diingat bahawa filem hanyalah selekoh dalam menuju satu jalan - hikmah.

Dan kalau asyik terkongkong dalam lingkaran pemikiran bahawa filem Islamik itu kisarannya cuma cinta lelaki dan wanita, lebih elok kita membaca Syurut al Nahdah bagi memahami bagaimana ancaman budaya Barat (baca:kafir) terhadap akar budaya tradisi kita (baca:Islam).

mfrstudio said...

Pasti akan lahir nanti BLOK INDUSTRI HIBURAN ISLAMI

Hibur yang islami itu apa? Bukan seronok nafsu kita, atau fantasi kita, tapi seronok akal kita tercerna minda, seronok iman kita bangkit cinta Allah, seronok semangat kita jihad membara.