04 June 2010

Satira Ketupat Cinta II: Satar di Hadapan Pintu

”Andainya ada or..or...orang menuntut Tun Ku...Ku...Kuali eh Kuala turun tak...tak...takhta, kita akan memec...memec...memecat orang itu.” Tambahnya lagi.

Apakala Tun Lepat mengingatkan Tun Perpatih Tulus apa yang ia lakukan itu adalah satu rasuah dan berdosa di sisi agama, Dato Bendahara Gagap segera menafikan dan mengatakan perbuatan itu berasaskan niat dan niat jika betul maka betullah semua.

”Ni...ni...niat baginda Tun Kuala ada...ada...adalah untuk melah...melah...melahirkan rakyat cer...cer...cerdik ulul albab. Apa sal...sal...salahnya pulak kan?”

Pada kala itu Tun Lepat belumlah lagi menggunakan gelaran Tun, malah Tun Lepat masih dikenal orang sebagai gerau bernama Pujangga sahaja. Tun Perpatih Tulus malah mengatakan ia menawarkan uang dua juta pitis perak kepadanya. Adapun sebaik sahaja Cik Puan Ani Petra mendengar hal pamitan Cik Puan Rosdah tersebut ia pun mengutus Dang Azidah atau Kolonel Minah untuk menawarkan pula uang lima juta pitis emas kepadanya. Kolonel Minah mengatakan, ”Sayugia kita mendengar ada pamitan dari seberang sana. Apa kiranya tuan memandang pamitan sebelah sini.”

Teramat bencilah Tun Lepat akan pamit-pamitan itu. Semuanya bermuara dosa jua. Tiada ia mahu menggadai maruah menerima sekian-sekian harta dan kedudukan itu. Berikan sahaja semua itu kepada Mufti Malun kerana ia gila nama dan kemasyhuran. Sedang Tun Lepat merisau-risaukan hal negeri itu terlelaplah sekejap ia. Dalam lena muncullah seorang lelaki berjanggut pandak dan berwajah penuh seri, di pinggangnya tersisip zulfiqar. Ia pun berbicara kepada Tun Lepat dengan butir katanya itu keluar satu demi satu. Bagaikan sebuah khutbah yang mengasyikkan:

“Ke jihat manakah kita akan pergi? Dan bagaimanakan kamu dapat tertipu? Sedangkan panji-panji kebenaran telah ditegakkan; bukti-bukti pun telah jelas. Mercu suar telah dinyalakan. Maka bagaimana kamu dapat diselewengkan? Bahkan bagaimana kamu disesatkan, sedangkan kerabat-kerabat Nabi-mu berada di tengah-tengah kamu? Mereka itulah tonggak kebenaran; panji-panji agama; lidah-lidah yang selalu berkata benar! Tempatkanlah mereka itu sebaik kamu menempatkan al-Quran. Datangilah mereka dengan penuh perhatian, sebagaimana unta-unta yang haus mendatangi mata air pelepas dahaga. Wahai manusia, peganglah erat-erat apa yang disabdakan oleh Nabimu, penutup para Nabi; mereka yang mati di antara kami, sesungguhnya ia tiada mati, mereka yang telah hancur luluh tulang belulangnya di antara kami, sesunguhnya ia tiada hancur! Maka janganlah kamu ucapkan apa yang tiada kau mengerti, sebab kebenaran yang sejati adalah justeru yang kamu tiada memiliki alasan apapun untuk menyalahkannya, iaitu aku! Bukankah aku dalam segala perbuatanku, telah berpegang teguh pada peninggalan Rasulullah yang terpenting iaitu al-Quran dan meniti jalan peninggalan beliau lainnya iaitu keluarga beliau. Dan kutegakkan panji keimanan di antaramu.”

Dalam lena Tun Lepat terhidu bau makanan. Adapun makanan itu ialah kisaran kelapa muda, bawang merah, bawang putih, cili merah, cili padi, isi kelapa muda, daun kesum, garam, dan gula yang disatukan. Kisaran itu bersekali dengan isi ikan. Adunan makanan itu dimasuk cantik-cantik ke dalam kelongsong daun pisang berbentuk segi tiga. Terdapat lidi menyemat hujung kelongsong tersebut.

* Dapatkan Harakah edisi Jumaat segera!

2 comments:

Kinkeido said...

Encik Faisal, ini ole-ole yang Julia bawa dari Sandakan

1. http://www.freeimagehosting.net/image.php?b41f61a421.jpg

2. http://www.freeimagehosting.net/image.php?518d39e7e8.jpg

Faiz Jamaluddin said...

assalamualaikum

tumpang tanya

saya yakin tuan menggambarkan sayidina ali dlm mimpi tun lepat tu..

jadi, adakah ucapan/khutbah yg tuan tulis ni sememangnya diucapkan oleh beliau a.s?

terima kasih