17 May 2010

Sebuah Antologi Berisi Revolusi

ANTOLOGI sulung seorang penyair biasanya membayangkan kemungkinannya sebagai seniwan, juga dirinya sebagai warga yang bertanggungjawab. Melalui antologi awalnya ini memang kita dapat menghidu sama ada Faisal Tehrani sudah sampai atau dia masih jauh. Walaupun yang terhimpun karya-karyanya yang pertama, tapi selalunya ia adalah himpunan karya yang biasanya terkuat, malah yang meyakin. Itulah imbasan pertama saya ketika menghayati antologi puisi bergambar “Ingin Jadi Nasrallah”. Benar di sini berlaku persandingan antara kata dan gambar, tapi gambar-gambar iringan itu lebih menghantar fakta latar yang kuat bercerita. Antologi ini membuka—membayangkan kemungkinan dan kehadiran sebuah suara pengalaman dan hajat baru seorang seniwan.

Sebelum ini, puisi Faisal Tehrani menitis lahirnya. Kerana bertitis, maka seperti tidak membasah. Rupa-rupanya, Faisal telah pun bersajak selama lebih sedekad (dari 1992—2008) dan kini sempat menghimpunkan 34 buah puisi tersebut. Daripada puisi-puisi itu terbukti bahawa dia bukanlah seorang penulis yang setempat. Dirinya pengembara yang sungguhan dan konstan, maka puisi-puisinya juga turut memapar dan mengheret pengalaman sepanjang pengembaraannya yang sungguhan dan konstan itu. Cuma, pengembaraan itu bukan suka-sukaan. Sebelum bertolak pun, saya kira, Faisal Tehrani sudah pun mempunyai khayalan tertentunya, dan hajat khasnya.

Sedar atau alpa, ternyata, beliau bergerak dengan peta tersedia—ingin mengetahui segala dan ingin turut mendarma juga. Antologi “Ingin Menjadi Nasrallah” berjaya mengisi hasrat tersebut.

Ada dua laras penciptaannya. Satu, puisi-puisinya lebih menitis daripada membanjir—bayangan bahawa mencipta puisi tidaklah mudah baginya; malah bayangan bahawa puisi hanya wajar lahir jika ia memang “mendesak” dari dalam.

Puisinya yang menitis itu sempat mengumumkan sesuatu daripada bathinnya. Dan biasanya ilham berkesannya langsung daripada pengalaman—kembaranya yang “penuh” krisis.

Dan gugus puisinya itu boleh mengejek—maksudnya, boleh nakal dan “songsang”, tapi mesti—sentiasa mesti—real, walaupun terkadang dipetik peristiwa atau kesan sejarah yang menyentuhnya.

Puisi menitis yang terilham daripada pengembaraannya itu semakin sehari semakin memperjelas sikapnya sebagai seorang seniwan. Dia berada di Tembok Berlin, wajah atau kesan pemisahan bangsa pada satu gelora sejarah yang mengancam sesama sebangsa. Berlakunya di Eropah dalam sebuah zaman yang buas dan berlakunya oleh kekalutan—atau penjernihan gempa ideologi yang sangat lama. Peristiwa yang cepat menjadi kiasan dan “kebijaksanaan” sejarah itu berulangan dalam titisan puisi Faisal Tehrani yang lain, terkadang dikhayalkannya dengan yakin dan lebih panjang seperti di dalam puisi “Mengintai Di Celah Jendela”. Tapi, terkadang mungkin oleh ketergesaan—atau tidak mustahil memang sangat pekat peristiwa yang dialami—maka puisi itu sangat ringkas hingga lahir ke semangat haiku. Puisi “Baitullah” contohnya: Terlalu banyak lampu di langit/ terlalu luas lantai dipijak,/ tapi kita hanya memiliki sebuah rumah/ Baitullah.

Banyak puisi Faisal Tehrani yang sesingkat itu yang menyenak ke semangat haiku. Contoh lain yang wajar disebut puisi ialah “Doa Bonda Dari Barzakh”, “Nasib Pengembara” dan “Bercinta”.

Melalui pengalaman peribadi saya setiap puisi berkesan selalunya meriakkan getaran—sesuatu yang kita rasakan secara sponton, ketika membaca sesebuah puisi berulangkali. Jika puisi itu ada getarannya, kita akan mudah terjemput untuk melawatinya semula. Dan, biasanya juga, puisi yang sama akan menghantar semula getaran kenikmatan dan kebijaksanaan yang sama. Kita sentiasa ingin ulang membacanya. Saya merasakan getaran sedemikian pada puisi-puisi “Terus Doa”, “Untuk Basti” dan “Doa 2”.

Dan apakala Faisal menghirup sejarah pula, dia menjadi sangat berkesan—tidak sekedar pengalaman inti puisi yang dihantarnya, malah kemungkinan bayangan citra batin yang tersembunyi di dalam puisi-puisinya itu. Contoh terkuatnya bagi saya, barangkali, ialah puisi “Mengintai Di Celah Jendela” dan “”Mengenang Pembukaan Konstantinopel”.

Kelahiran dua buah puisi sejarah ini membayangkan kemampuan dan kehadiran Faisal Tehrani sebagai penyair, walaupun hanya dengan baru sebuah antologi ini.

Di dalamnya Faisal dapat juga meresahkan kita melalui seekor lalat yang membingiti mimbar masjid.

Dari sisi teknis dalam sepanjang-panjang (atau sependek-pendek) 34 buah puisinya, Faisal Tehrani terbukti selesa, malah santai, satu kelebihan bakat alaminya. Rangkap-rangkapnya tidak terlalu bergantung kepada irama atau rima. Tidak juga ada akrobat kalimat atau kekata; tidak ada manipulasi bunyi yang mengada-ngada.

Yang selalu kedengaran ialah suara jernih di malam hening—jelas dan langsung. Saya kira, memang itulah kekuatan utama Faisal Tehrani sebagai penulis (kini penyair) walaupun dengan himpunan puisinya yang sejemput itu dia sempat hadir menegap di situ.

Dengan suara sederhana, berani bersikap, subur berakar, malah garang—Faisal Tehrani mula hadir berkesan dalam dunia puisi mutakhir. Penyair tulen biasanya menghantar isyarat dan ibarat sebelum sesebuah negara mudarat. Ada pesanan sedemikian dalam antologi “Ingin Menjadi Nasrallah” ini. Setiap puisi diyakinkan perlu menghidu masalah tanah air—juga resah negara luar—baik dipetik dari dalam, mahupun terpetik dari luar. Melalui langgam suara dan idioma bersahaja dengan tema bergelora, maka penyair ini telah sempat menghantarkan dan menjeritkan “Sepucuk Surat Berisi Revolusi”.—A. SAMAD SAID.

* Kertas SN A. Samad Said membicarakan Ingin Jadi Nasrallah di Diskusi Tiga Penyair, 11 Mei 2010, ASWARA. Di larang menerbit kembali (namun dibenar untuk dipautkan di sini).

7 comments:

azizah said...

Salam.

Saya kira saya bersetuju dengan Pak Samad, juga dengan tajuk kertas beliau itu.

Sewaktu membaca lebih daripada 100 puisi Faisal untuk saringan antologi Ingin Jadi Nasrallah ini, saya terkesan hampir semuanya ada cetusan nada juang, marah dan geram akan peristiwa yang berlaku di sekitar, meskipun catatan itu hanya sebuah belasungkawa atau pemerhatian tokoh dan tempat, atau sebuah doa dan harapan.

Dan anehnya saya masih mengesan nada ini sewaktu saya membaca beberapa puisi kepada kekasih yang amat romantis yang ada dalam fail saringan itu.

Lalu saya terfikir, Faisal ini ialah 'one angry young man', yang akan tetap terus melawan segala apa yang di hadapannya demi Haq dan hak, walau apapun yang akan terjadi.

Jadi, Faisal, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam 'perlawanan' itu.

Wassalam.

JahRera said...

salam FT,

Di mimbar masjid
ayah lalat menarik
anak berlumur.

Selamat.

Putra said...

Salam.

Saya merupakan seorang remaja yang baru hendak berjinak-jinak dengan karya Faisal Tehrani. Benar, penulisan saudara penuh kelainan dan keanehan daripada penulis-penulis lain.

Cumanya saya agak terkilan apabila buku-buku karangan saudara sukar didapati di kedai-kedai buku di sekitar perak.

Dan adakah Ingin Jadi Nasrallah itu edisi terhad? saya berusaha mendapatkannya, namun tidak ketemu lagi.

Hanya seorang peminat sastera.

a.h.f.i.e. said...

Putra, I selalu beli buku-buku FT online, go to this web, maybe you'll find what you're looking for

http://www.ujanailmu.com.my/default.cfm

R.Hareez said...

Sdra. Putra,
Cuba semak di sini
http://revolusi-pembudayaan-selawat.blogspot.com/2010/04/promosi-pakej-istimewa-ingin-jadi.html

Dhiya 'Izzah said...

Salam

komen tiada kena mengena dengan aritikel...

sekadar mahu mengucapkan:

Selamat Hari Guru!

Saya tidak pernah berada dalam mana2 kelas tuan secara formal. Tetapi saya banyak beroleh ilmu dan pelajaran dari karya karya tuan. Justeru, tuan juga adalah seorang guru kepada saya!

Terima kasih... Semoga tuan dan keluarga sentiasa dirahmati Allah SWT...

Juma Karamah said...

wow!terus teruja nak beli! pasti kerana 'luahan' Pak Samad ini:)