20 May 2010

Satira Ketupat Cinta II: Solok Lada Tating Lawi

Tiada diendahkan bantahan Cik Puan Ani Petra itu maka kejohanan tating lawi dan pertaruhan judinya pun dimainkan orang. Arakian menanglah Hang Min Dan pertandingan sengit tersebut mengatasi Hang Wei. Sukacitalah ia, maka segera ia memecat bajunya lalu menampakkan aurat tubuhnya yang sasa. Perutnya pun berketak-ketak. Otot terjojol di sana sini. Geram dan berahilah Cik Puan Rosdah akan Hang Min Dan lalu ia pun memanggil anak muda berketurunan Cina Yunan itu, segera dipaut dan dipeluknya bersungguh-sungguh, lalu kepala Hang Min Dan itu dilekap di celah ketiaknya. Sedikit lagi ia lemas jika tiada dilepaskan

Setelah itu pemain-pemain kejohanan tating lawi pun dipelawa makan-makan. Adapun jamuan yang istimewa ialah solok lada. Adalah solok lada itu sejenis makanan yang dicipta khas oleh Tun Musnah. Hendak menyiapkannya tiadalah susah mana. Jika ada cili merah atau hijau, ikan kembung yang sudah siap direbus, bawang merah dan putih beberapa ulas, lada hitam beberapa biji, sebiji telur dikacau, kelapa parut, garam dan gula secukupnya maka siap siagalah. Ia mengambil isi ikan yang telah direbus lalu ditumbuk lumat-lumat. Ia tumbuk juga bawang dan lada hitam bersama. Ia tumbuk lagi kelapa parut sampai separuh lumat. Ia campur gaulkan segala bahan itu dengan gula dan garam dan telur. Setelah itu ia sumbatkan inti ke dalam cili merah yang merona warnanya atau ke dalam cili hijau yang menyala cahayanya setelah dibelah dan dibuang biji. Solok lada itu dikukus sehingga ia masak. Sedap sungguh tiada terkira. Akan tetapi kerana yang memasaknya ialah Tun Musnah, maka rasanya punah musnahlah jua.

Saat Cik Puan Rosdah sedang menjamu meraikan pemain-pemain tating lawi dengan penuh meriah dan riang ria, Cik Puan Ani pula berasa sebak dan sibu jua. Tiada senang hatinya memikirkan permainan siasah dan helah jahat Cik Puan Rosdah.

Baca penuh di Harakah edisi Jumaat.

4 comments:

Farieza said...

Sungguh berbisa tiap-tiap bait kata.
Memang tepat mengenai individu tersebut.
hahaha.."Kiasan Bisa'...

pbsl said...

you have a nice site. you can download lots of ebooks from here


http://feboook.blogspot.com

Salsabila said...

sedapnya solok lada.. =D
tp xnk yg Tun Musnah buat.. =P

rasdan ibnu sabrie said...

memang makan dalam la.. hehe.. tp hari tu ada tgk gambar cik puan rosdah tgk peluk hang wei..bkn hang min..