Apabila warkah kurang ajar itu tiba di tangan baginda tuanku, Parameswara pun naik darah lalu murka. Serasa ia ingin menyaman Mufti Malun tetapi mengenangkan ia itu sendiri adalah raja yang sah dan belum gering, serta masih segar bugar untuk bertitah, ia pun memanggil Mufti Malun dan Tun Lepat masuk menghadap.
“Beta benci hasad dengki dan perangai cemburu atau iri hati. Kalau gundik-gundik beta yang buat perangai tiadalah beta murka benar kerana sudah laku perempuan begitu. Beta akan larang kedua-dua kamu mengajar agama, senang cerita.”
Tun Lepat mengangkat sembah setia. Mufti Malun pula dengan penuh berani menjawab, “Patik cabar sebarang titah tuanku yang melarang patik mengajar agama. Apa cerita patik ini mufti tetapi dihalang berceramah agama? Sedang patik diberi tauliah di Majapahit untuk mengajar agama.”
Baginda segera merah padam muka lalu menitahkan, “Cett, sekiranya sesiapa gagal menjawab soalan-soalan teka teki agama, beta akan memaksa ia makan sambal kerang. Kemudian beta akan mengenakan hukuman rotan atau sebat di punggung. Sementara orang yang dapat menjawab soalan beta akan diberi tauliah mengajar agama selain beta sendiri akan turun mencemar duli belajar daripadanya.”
Tun Lepat menelan air liur mendengar hukuman kejam tersebut. Adapun tuan-tuan pada waktu Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala sambal kerang adalah sejenis makanan yang sangat nista tarafnya. Ini adalah kerana kerang itu sejenis haiwan laut yang kotor, jelek dan kerjanya menghisap dan memamah yang najis-najis di lautan. Ia dikenal orang sebagai pencuci laut kerana sifatnya yang menyedut apa sahaja. Mufti Malun sendiri berasa bimbang dengan hukuman itu. Meskipun sebenarnya Mufti Malun sering juga mencuri-curi makan sambal kerang tanpa pengetahuan pengikutnya tetapi hukuman makan sambal kerang yang dikenakan oleh tuanku kepada sesiapa yang tumpas kelak amatlah penuh dengan penghinaan.
* Dapatkan Harakah edisi Jumaat untuk menatap penuh satira politik penuh sensasi ini.



2 comments:
seb bek tak gemar mkn sambal kerang..huhu :-p
Surat Al Kahfi mempunyai rahsia ttg bangsa Melayu. http://1asalama.blogspot.com
Post a Comment