21 April 2010

Satira Ketupat Cinta II: Pesta Jeranan

Tun Lepat mencipta jeranan itu untuk dimakan ketika pesta gurindam dan syair. Adalah bahannya telur rebus, tempe; elok jika dilumur kunyit dan garam kemudian digoreng, kacang panjang, kangkung dan tauge dicelur semuanya serta sengkuang dihiris-hiris. Untuk kuahnya, ayahanda Lepat sediakan minyak masak, kacang tanah yang siap dibuang kulitnya, cili dan bawang merah siap dikisar, belacan, air asam jawa, garam secukup rasa dan sedikit gula merah. Juga dicarikan batang serai, halia dan lengkuas. Menurut Tun Lepat, kacang tanah itu digoreng sehingga kuning, diangkat lalu ditus. Kacang itu juga dikisar kasar sebelum diletak tepi. Adalah cili kisar ditumis bersama bawang merah dan belacan sehingga wangi. Barulah dimasukkan pati serai, halia, lengkuas langsung dikacau sebati sebelum diangkat. Bahan yang ditumis itu dicampur bersama air asam jawa dan kacang kisar. Hendaklah tuan-tuan mengacau rata-rata dan dibubuh sedikit air jika terlalu likat. Setelah itu minyak masak dipanas kembali dan ditumis semula sehingga sebati. Untuk secukup rasa maka diletak garam dan gula merah. Jeranan itu molek lazat dihidang bersama kuahnya.

Adapun Tun Musnah Muis, sahabat akrab Cik Puan Rosdah masih tiada yakin dengan majlis baca puisi itu dapat melembutkan hati baginda tuanku. Ia pun menyarankan kepada Tun Kuala supaya membuat sesuatu yang jauh lebih bermakna.

“Baca gurindam begini tiada maknakah?” Soal Cik Puan Rosdah tiada berpuas hati setelah berpenat lelah.

“Bukan begitu maksud kita. Cuma pada hemat kita, apa yang Cik Puan lakukan ini tiada nampak pentingnya di sisi tuanku.”

Cik Puan Rosdah hampir naik angin tetapi cepat-cepat Tun Musnah membetulkan keadaan, “Apa kata Tun Kuala berbuat baik dengan anak-anak kecil dan jika baginda tuanku berasa hairan, Tun Kuala segera menyatakan, ‘Kanda, mereka inilah permata negeri Melaka’, hah bagaimana?”

Ketika itu barulah Cik Puan Rosdah tersenyum ria. “Bijak tuan hamba ini. Dasar tuan ini perempuan Sumatera. Pandai mengena. Hidup pagi dan petang untuk memerangkap laki sahaja.”

Kedua-duanya pun bertepuk tampar lalu tertawa girang.

Baca penuh satira Ketupat Cinta Musim Kedua di Harakah edisi Jumaat.

4 comments:

HEMY said...

baca entri2 saudara sambil cuba blajar utk gunakan bahasa melayu dlm entri dengan lebih baik

gembala suara said...

salam..
bang...
saya nak tanya....
dalam penulisan sastera ni,
bagaimana abang mendapat idea yang saya lihat tidak putus-putus?
adakah ianya daripada pengalaman abang sendiri?/
dan gaya penulisan yang bagaimana lebih sesuai untuk penulis baru??

Al Ghazali Sulaiman said...

Ini makanan orang Jawa bukan? Kalau yang ini mbah saya tak panggil jeranan, kami panggil pecal.

Jeranan ini istilah Tuan ambil daripada daerah mana ya?

djambu puadovich said...

jeranan dengan pecal tu sama ke?