27 March 2010

Ucapan Faisal Tehrani di Pelancaran Novel 'Bahlut' dan Kumpulan Puisi 'Ingin Jadi Nasrallah'

Assalammualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera. Solawat buat Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya seperti yang kita ungkapkan dalam solat kita.

Saudara hadirin yang saya hormati, saya ingin memetik dua perenggan dari tulisan Saudara SM Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang disiarkan oleh akhbar Harakah 19-21 Mac 2010 baru-baru ini: “Orang Asli yang merupakan komuniti paling terpinggir di negara ini, terus mengalami kehilangan tanah mereka melalui penempatan semula, pembalakan, perlombongan, pembinaan empangan, pembangunan padang golf, skim peladangan, pengumpulan semula dan asimilasi ke dalam masyarakat arus perdana. Hak Orang Asli ke atas tanah warisan tidak diiktraf oleh negeri; oleh itu mereka semakin kehilangan tanah dan mengalami kemusnahan asas kewujudan mereka. Dasar kerajaan ialah mengumpul dan menempatkannya semula mereka untuk menanam tanaman kontan dan makanan. Tekanan terhadap tanah dan kekurangan bantuan daripada kerajaan negeri serta sokongan telah membawa kepada meningkatkan kesukaran hidup mereka. Hari ini kira-kira 80 peratus daripada Orang Asli hidup di bawah garis kemiskinan rasmi.”

Apa yang dinukilkan oleh saudara SM Mohamed Idris itu bukanlah sesuatu yang baharu. Bukan suku kaum Semai sahaja ditimpa kesengsaraan di atas. Ketika menulis novel Bahlut (yang akan dilancarkan ini), saya membaca satu laporan Narifumi Maeda Tachimoto bertajuk The Orang Hulu, (Center For Orang Asli Concerns, 2001) yang menulis mengenai persepsi orang Hulu terhadap orang Melayu: “Differences in the way of life and habitation, as well as economic exploitation, make the Orang Asli sakai, dependents or retainers, of the Malay. So the Orang Asli are still called Orang Sakai by Malays, though officially the neutral term Orang Asli has been used since World War II. Previously, the attitude developed that the sakai are neither Malay nor Muslim. Thus it has become convenient for the Malay to exploit them, treating the inhabitants of the interior as non-Malays.” Tulisan Tachimoto ini bagaikan menyuruh-nyuruh saya untuk mengarang novel Bahlut kerana saya tidak mahu lagi orang Melayu dituduh tidak melakukan apa-apa pun buat Orang Asli. Sudah masanya tanggapan mengejek ini diakhiri dengan kerja amal berupa pembelaan.

Hari ini, pada waktu ini, Sasterawan Negara Ke 10 yang saya hormati, Dato Dr Anwar Ridhwan telah diundang untuk melancarkan novel Bahlut dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah.

Novel saya ke 19 ini berjudul Bahlut dan ia tuan-tuan merupakan satu ‘pembelaan kecil’ saya buat masyarakat Orang Asli supaya perjuangan, penderitaan kesusahan, dan pahit getir mereka didengari oleh masyarakat terbanyak. Saya berharap dengan upaya kecil ini saya telah menjalankan satu bahagian dari misi keagamaan para nabi dan kumpulan wali yang hidup mereka memperjuangkan nasib orang mustadhafin, kumpulan marhaen, golongan murbawan, para abdi dan manusia terpinggir seperti Orang Asli ini.

Untuk tujuan itu, saya menampilkan protagonis bernama Bahlut dalam novel terbaru saya, yang nama dan semangatnya diambil dari mitos atau legenda perwira kaum Semai bernama Bahlut. Dalam mitos tersebut, Bahlut berjaya mengusir hantu jembalang yang mengganggu kaumnya. Hari ini, hantu jembalang tersebut terlalu banyak. Kapitalis pembalak, politikus korup, pemimpin bohong, dan ketidakpedulian kita adalah sejenis hantu jembalang yang mesti, mereka Orang Asli, atasi. Bahlut, adalah penyataan kecil saya sebagai seorang seniman untuk membawa masalah yang rumit dan begitu lapuk ini ke mata orang awam.

Dalam Bahlut, terdapat watak-watak wanita yang kuat seperti Kabut dan Embun. Watak-watak ini saya terjemahkan dari kerimasan dan kelemasan wanita kaum Semai terhadap perubahan dan pembangunan di sekeliling mereka. Pembangunan yang dipantakkan itu malangnya tidak membawa kebaikan tetapi menjadi nahas buat mereka. Saya berterima kasih kepada laporan Colin Nicholas, Tijah Yok Chopil dan Tiah Sabak menerusi rekod yang sungguh impresif berjudul Orang Asli Women and the Forest, terbitan Center For Orang Asli Concerns, 2003. Laporan ini menjelaskan betapa cara hidup Orang Asli telah dinodai dengan rakus sekali ekoran pembalakan, skim pertanian dan peladangan yang saya kira amat berat sebelah. Maka tidak hairanlah Tijah Yok Chopil yang hari ini merupakan penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Perak memimpin beribu Orang Asli ke Putrajaya pada 17 Mac lalu untuk menyerahkan memorandum supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli diwartakan sebagai Rizab Orang Asli. Selain itu Orang Asli turut menuntut pindaan Akta Orang Asli (Akta 134).

Insya-Allah, Bahlut akan terus ‘menempik’ dan saya berharap ketegasan watak Bahlut dalam novel ini akan menjadi tenaga yang positif buat masyarakat Orang Asli dan kita sendiri, yang saya kira, prihatin tentang isu yang melibatkan mereka. Memang dalam novel ini, Bahlut diberi perhatian khas oleh Perdana Menteri dan isterinya. Saya kira seorang atlet yang dapat membawa pulang pingat atau trofi All England (seperti yang dilakukan oleh Datuk Lee Chong Wei) akan segera menarik minat pemuka besar negara; maka tidak salah saya mengkhayalkan dalam novel ini, Bahlut, mengancam untuk menguburkan konsep 1Malaysia dengan tekad untuk membuang pingat ke dalam sungai, seperti mana dilakukan oleh peninju lagenda bertaraf dunia, Muhammad Ali satu masa dahulu. Mungkin, khayal saya untuk Bahlut itu terlalu mengkagetkan. Akan tetapi saya berharap dengan memuatkan plot tersebut, ada orang yang berkuasa akan lebih menyedari bahawa mereka tidak melakukan apa pun untuk menolong kumpulan manusia kecil yang sudah lama tertindas ini. Ketahuilah, Allah, Rasul-Nya dan para wali suci akan bertanya kelak kepada kalian di akhirat. Ini kerana kumpulan yang kecil dan marginal inilah yang akan menjadi dominan dan penguasa di mahkamah keadilan Allah kelak.

Bahlut boleh dibaca sebagai sebuah novel politik tentunya (jadi, jangan cari formula sukan di dalamnya). Lye Tuck Po yang menulis Changing Pathways, terbitan Stategic Information Research Development, 2005 mengenai kedudukan suku kaum Batek yang kian pupus lantaran ketagihan pembalakan dan pembangunan menulis bahawa; “When Batek individuals travel outside the forest, sometimes to give cultural performances for the tourist trade, they do not come back fueled with ideas of how the outside world is waiting to embrace their political participation. Rather, their impressions are cultural and ethnological. ” Adalah menjadi tugas kita untuk membuka kecelikan politik buat mereka. Adalah menjadi peranan kita untuk membawa masalah mereka sebagai isu politik yang sentral. Insya-Allah saya yang menulis Bahlut, dan tuan-tuan yang membeli dan membaca Bahlut telah membuat satu penyataan dan keazaman politik untuk ikut serta membetulkan keadaan yang menimpa Orang Asli di era 1Malaysia, era di mana tiada kumpulan serasa ditinggalkan, era yang telah diwar-warkan dengan begitu hebohnya.

Bahlut adalah simbol manusia yang melawan. Simbol manusia seperti Hussein, seperti ibunya Fatimah Zahra, seperti bapanya Saidina Ali yang harus menentang kemunafikan, seperti kekandanya Hasan yang dimuslihati, seperti nendanya, baginda junjungan Nabi Muhammad SAW yang kerjanya adalah membangunkan umat dan mempertahankan kumpulan kecil, marginal, tersudut, mustadhafin, miskin, dan letih ini. Saya telah menulis beberapa buah buku cerita, ada yang padat falsafah dan ada yang terbumbung oleh jauhnya kreativiti. Ini adalah sebuah novel remaja yang lain sekali. Bahlut, adalah sebuah novel yang saya banggakan kerana ia, Insya-Allah adalah tangan kecil saya untuk membesarkan misi kenabian.

Pada petang ini juga, selain Bahlut – kumpulan puisi saya yang sulung iaitu Ingin Jadi Nasrallah bakal dilancarkan. Selain puisi, pembaca dapat merasa-rasa detak nubari saya menerusi foto-foto yang saya rakami sepanjang pengembaraan saya sebagai seorang seniman. Menerusi tema yang sama dengan Bahlut iaitu pembelaan kaum marginal, saya berharap Ingin Jadi Nasrallah akan menggumpal menjadi satu teriak bertenaga generasi akan datang untuk melawan setiap kekejaman tanpa silu dan segan. Saya tidak mahu memanjangkan ucapan ini lagi. Saya kira lebih molek saya tutup kata-kata saya dengan mendeklamasikan salah sebuah puisi yang termuat dalam Ingin Jadi Nasrallah. Puisi ini terdapat dalam buku sajak yang saya dedikasikan untuk setiap pembaca saya yang berani.

Sekian, Terima Kasih. Semoga tuan-tuan diberkati Allah dan Rasul-Nya setiap detik yang bermakna dalam kehidupan.


Solawat dan Takbir!

4 comments:

zulcantik said...

Alhamdulillah, dpt juga jumpa dgn Saudar FT...terima kasih Saudara kn sudi tanda tgn kenang-kenangan tadi. Ada rezeki kita jumpa lg, mana tahu di UKM ke, hehe, terima kasih sekali lagi sekali.
(Hati sangat berbunga dapat jum pe Saudara FT dan RAM. Oppss!! saya Zul, yg pakai bj putih bunga2 merah)
Smg ALlah terus memberi Saudara ilham untuk terus berkarya.

lydecker86 said...

Tamat pembacaan! Hebat sekali Bahlut.Kagum dengan penulisan saudara, kerana tulisan saudara seolah-olah anda hidup didalam suasana begitu. Amat perinci!

Membaca Bahlut, semangat kian berkobar untuk membantu masyarakat Orang Asli.

Tahniah buat saudara

EROSphilia said...

saya tak dapat! :(

mohd farid abdul malik said...

salam
pengkarya seperti saudara la yang saya nanti2kan.
saya juga pernah bercita2 untuk menulis mengikut konsep keagamaan kerana itulah realiti kehidupan kita.
yang diperjuangkan oleh rasullullah s.a.w dan ahlul baitnya yg suci.

semoga saudara mendapat semangat jihad saidina ali untuk meneruskan ilham yg dikurniakan Allah s.w.t.

Insya Allah.