04 March 2010

The Road: Barat Yang Terus 'Berat'

CITARASA ratu rancangan temu bual Amerika Syarikat, Oprah Winfrey memang kelasan. Oprah selaku personaliti televisyen tersohor, dan paling berpengaruh di dunia memiliki prasarana untuk melariskan buku, filem sambil mensensasikan sesuatu isu atau skandal supaya ia menjadi lebih panas. Malah skandal itu akan terkesan dramatik. Menerusi kelab buku kendaliannya, pada 28 Mac 2007, novel The Road karya Cormac Mc Carthy disenaraikan sebagai pilihan Oprah Winfrey. Novel yang tidak dikenal orang itu serta merta menjadi perhatian elitis sastera benua tersebut. Pengkritik dan sarjana sastera berlumbaan menekuni karya Mc Carthy ini. Dan letupan sastera yang tiba-tiba membolehkan The Road meraih anugerah sastera tertinggi di Amerika iaitu Pulitzer Prize, tidak sampai sebulan kemudiannya iaitu pada 16 April 2007. The Road menjadi fenomena dan diberi anugerah berganda. Ia turut diberi anugerah James Tait Black Memorial Prize dan merupakan finalis National Book Critic Circle Award untuk tahun 2006. Oprah menggandakan demam The Road dengan mengundang pengarang tersebut ke rancangannya - The Oprah Winfrey Show pada 5 Jun 2007. Dalam rancangan temubual bersama Oprah tersebut, McCarthy menjelaskan The Road terilham di tengah perjalanannya ke El Paso, Texas pada tahun 2003 bersama anaknya. Ia membayangkan sebuah dunia ‘sesudah kehancuran’ menanti kiamat.

Tidak lama setelah panas demamnya kebah, The Road pun diadaptasi ke filem. Sebagai produk filem, The Road, arahan John Hillcoat telah ditulis semula oleh Joe Penhall. The Road beroleh bintang-bintang ternama, antara lain Viggo Mortensen, Robert Duvall, Charlize Theron dan Guy Pearce. Filem 111 minit ini kelihatannya menjadi kegemaran juri-juri pesta filem kecil. Khususnya untuk kekuatan lakonan Viggo Mortensen sebagai ayah yang sedang nazak tetapi sedaya upaya menjaga anaknya dalam satu kelana yang jenuh. Ia turut mendapat pencalonan untuk anugerah filem Bafta yang berlangsung minggu lalu bagi kategori sinematografi.

Apakah yang menggemparkan tentang The Road sebagai buku dan filem?

Yang menggemparkan barangkali ialah kehampaan nilai Barat yang benar-benar hampa rohani. Setelah alaf baru menjangkau sedekad, cahaya untuk mengimani kewujudan dan kebenaran Tuhan memang telah dipersampahkan. The Road, menyemarakkan kembali siri falsafah dan kepercayaan Barat dalam rangka pasca moden yang menyesakkan. Novel dan filem ini mengisahkan seorang ayah dan anak yang hidup di benua Amerika, sesudah satu bencana yang telah memusnahkan seluruh dunia. Tiada lagi tamadun dan peradaban. Jumlah manusia boleh dihitung. Kebanyakan manusia adalah nomad. Untuk hidup, terdapat kumpulan manusia yang makan daging manusia sendiri. Bencana (yang tidak disebutkan) itu jelasnya telah mengakibatkan populasi umat manusia dan haiwan (hampir) pupus. Kebanyakan manusia yang masih hidup memilih untuk membunuh diri kerana tiada lagi jalan untuk melangsungkan kehidupan. Malah pilihan membunuh diri adalah yang terbaik berbanding menjadi habuan makanan kumpulan manusia kanibal. Setelah isterinya membunuh diri, sang suami membawa anak lelaki mereka yang masih kecil bergerak ke selatan. Harapannya ialah selatan akan menjanjikan cuaca yang lebih selesa, populasi umat manusia yang lebih bertamadun dan sumber makanan kerana lebih dekat dengan laut. Menerusi peta yang koyak rabak, mereka berjalan terus ke Selatan tanpa jihat yang jelas.

Sepanjang perjalanan ke selatan yang ditampilkan ialah lanskap penderitaan. Langit hitam bukat dan kelam. Salju dan hujan ais turun sepanjang masa, gempa bumi yang menakutkan, suasana yang menyeramkan, bandar yang ditinggalkan dan lebuhraya panjang yang lengang. Keluarbiasaan sinematografi di tangan Javier Aguirresarobe menjadikan pemandangan yang dirakam untuk The Road sungguh mengesankan. Dalam perjalanan itu juga watak ayah dan anak bertemu dengan lelaki buta, dan lelaki pencuri. Dalam tamadun apa pun watak lelaki buta akan digambarkan sebagai sang arif yang berfalsafah tentang kejadian dan kewujudan manusia. Ia bercakap tentang kehampaan nilai spiritual. Tentang ketiadaan Tuhan. Tentang kepasrahan kepada dunia yang penuh frustrasi. Lelaki pencuri pula menunjukkan sisi manusia yang menjadi binatang dan mementingkan diri sendiri. Malah sang ayah sendiri apabila berjaya menangkap kembali pencuri barangan makanan dan kasut mereka, dengan segera akan mengacukan pistol supaya sang pencuri pula diaibkan dan ditinggalkan dalam dingin yang membeku untuk mati. Apabila sang anak membentak melakukan protes bahawa ayahnya bakal membunuh sang pencuri. Sang ayah menjawab, ‘yang penting untuk terus hidup ialah kita sahaja.’

The Road adalah sebuah novel dan filem falsafah Barat yang berat. Ia melangsungkan kembali (menghidupkan semula) kepercayaan eksistensialisme sesudah ideologi tersebut terkubur bersamanya Jean Paul Sarte dan Albert Camus. Ini dengan sendiri menjadikan satu tanda bahawa dalam menuju kiamat seperti yang ditampilkan The Road, peradaban Barat terus meraba-raba. Terdapat perbincangan moral yang tidak jelas hala tujunya. Kesan yang diberikan ialah absurdisme manusia dalam membuat pilihan. Bahawa manusia kehilangan imam untuk dijadikan pedoman. Manusia hilang keyakinan bahawa akan ada penyelamat. Yang penting ialah masa kini bukan masa hadapan yang tidak diketahui penghujungnya. Masa lampau pula tidak begitu berguna dan hanya mendatangkan kepiluan apabila dikenang kembali. Sang anak diberi sisi penuh harapan. Seakan wakil masa datang. Ia percaya kepada orang asing. Sedang sang ayah sedaya upaya mempertahankan anaknya supaya hanya mempercayai diri sendiri. Bahawa di dalam dunia ini hanya ada mereka berdua. Tentu, ada manusia baik yang digambarkan sebagai ‘manusia dengan api untuk memanaskan’. Akan tetapi mereka tidak tahu siapakah orangnya. Sang ayah hanya bertahan dengan anaknya sambil menjadikan pistol sebagai alat untuk mempertahankan diri.

Demikian pertarungan hidup manusia untuk terus hidup dengan harapan yang palsu ini dijadikan inti perbincangan naratif The Road. Untuk audien yang lasak dan biasa menonton aksi bergasak, The Road adalah sebuah kerja seni yang tentu memualkan.

The Road boleh dibaca, atau ditonton kerana adaptasinya tidak begitu jauh. Hanya watak ibu lakonan Charlize Theron diberi peranan lebih signifikan berbanding dalam novel. Sebagai sebuah filem dari kilang Hollywood, ia menggunakan ramuan mazhab filem Eropah yang naratifnya garis panjang statik tanpa hujung. Benarlah, jika kita masih menjadikan Barat sebagai kiblat – Barat telah dan akan terus sesat tanpa panduan. Seniman Islam beruntung kerana ada banyak sumber kehidupan. Tidak perlu berjalan jauh dan lelah ke selatan untuk mencarinya. Pilihan yang ada ialah pada Rasulullah saw, yang mana kewujudannya melampaui zaman, dan ahli keluarganya yang disebut sebagai titik rujukan dalam selawat setiap kali panggilan spiritual; iaitu solat diserukan.

Tidak boleh ulang siar. Baca di sini sahaja. Artikel ini telah terbit di Siasah edisi 28 Februari-6 Mac 2010.

2 comments:

lennysasha said...

Ingin membaca 100 macam Road

Nur Ilham said...

Saya suka!. Ingin menonton dan membaca The Road. :)