16 March 2010

Fragmen Novel 'Bahlut'

* Nasib orang asal Malaysia, klik sini.

Bahlut melihat ke luar jendela, gelap, mungkin ada awan-awan berat yang dilanggar muncung pesawat. Masih terlalu jauh rentas benua yang bakal ditempuhi. Bahlut risau. Untuk pertama kali dia rasa kehilangan kerana dia ingin berdoa supaya Tuhan menyelamatkan Cikgu Zaiful dan Kabut, dia ingin berdoa supaya Cikgu Zalman aman dalam perjalanannya ke barzakh tetapi Bahlut tidak punya agama, dan dia tidak tahu kepada siapa harus ditujukan doanya.


Dalam sukmanya, Bahlut bersuara resik, “Tuhan jika Engkau Satu dan Ada maka aku berdoa supaya Engkau selamatkan Abang Zaiful dan selamatkan Kabut. Demi Nyenang he nanek, pulihkan mereka supaya mereka dapat menceritakan apa yang berlaku.”

Kemudian Bahlut terlelap.

Panjang.

Lena.

Dalam tidurnya, bapanya yang dirindui muncul, kemudian dia melihat ada lembaga menyerupai Batin Endau. Mereka kelihatan bertengkar di tebing sungai.

“Namaku bukan Tiji lagi, Batin pun tahu. Nama eng Ali.”

Batin Endau ketawa. “Eng pun ada nama Melayu, Omar nama eng, tetapi kalau sardin dan barang runcit datang eng jadi Omar. Kalau Paderi Besar datang eng boleh jadi William. Kenapa hek mahu melawan pembalak itu Tiji, jangan jadi bodoh. Kita boleh sama-sama nikmati ini semua. Kita lawan pun tak guna. Orang besar pun sokong mereka. Orang besar yang hantar mereka membalak di tempat kita. Jadi, nak lawan macam mana?”

Tiji berkerut.

Bahlut juga berkerut. Igaunya menjadi makin buruk.

“Sungai kita sudah mengalami pemendapan akibat kegiatan pembalakan tidak terkawal itu Batin. Kenapa Batin bersekongkol dengan mereka?” Suara Tiji tinggi nggaleh.

Batin Endau menderam bagai babi hutan.

“Sungai inilah tempat kita menjalankan kegiatan harian. Kita menangkap ikan, membasuh, memburu…semua ini makin terancam. Longgokan kayu balak serta pohon, dan dahan pokok mati yang dibuang ke dalam sungai sengaja tidak dibersihkan di tebing sungai berdekatan khemah pembalakan. Eng tak faham, hek punya hubungan rapat dengan mereka…mengapa hek diamkan saja hal ini. Hek makan suap?”

Batin Endau mendengus. Bahlut mengeluh dalam lelapnya.

Tiji makin mengasak, “Hek tak nampakkah, pembalakan berhampiran cerun bukit dah mengakibatkan tanah teruk terhakis sampai mendap ke dalam sungai. Batin, lama kelamaan sungai kita yang dalamnya berpuluh meter itu akan menjadi cetek.”

Batin menguis tanah.

“Sungai tohor menyusahkan pergerakan bot kita ke kawasan pedalaman lain. Kita sudah susah memburu haiwan liar, menangkap ikan, hasil yas kita makin susut…dan membasuh pakaian yang banyak bergantung kepada sungai.”

Toma Tiji, hek membesar-besar perkara. Hek banyak cakap Tiji. Sejak hek masuk Islam hek banyak cakap. Hek nak jadi pembela ya?” Suara Batin Endau kasar.

Tiji tangkas memotong, “Memang Islam mengajar hek jadi pembela. Kalau hek sekadar belajar tapi hek tak amalkan apa gunanya?” Tiji menjawab deras. Semacam perli mengingatkan kegemaran Batin Endau merubah-ubah agama untuk kepentingan diri dan perut.

Batin Endau menahan marah.

Pada 27 Mac 2010 ini, jemputlah hadir ke pelancaran novel Bahlut (Pukul 3-4 petang). Semua acara di PWTC dan terbuka untuk umum.

** Foto atas sekadar hiasan, dari sumber malaysiakini

3 comments:

srikandibi0L0gi said...
This comment has been removed by the author.
zahra said...

Salam.

Tentang hak minoriti:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya)itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” - an-Nisa':58

Wassalam.

Melorian said...

waa... best2