Nik tenem; ya tiga malam. Embun masih ingat dengan jelas kejadian itu. Kemunculan mereka dari belukar hutan menyebabkan satu kemalangan ngeri berlaku. Dia tahu penumpang dalam jip yang ditimpa kemalangan tersebut tidak bersalah.
Seolah-olah mereka juga sedang melarikan diri dari ‘hantu’ yang sama. Kerana itulah dalam ribut, dia masih ingat Kartika berlari ke arah sebuah penempatan orang asli sambil memberitahu, “Ada kereta masuk gaung! Tolong….”
Dan setelah orang kampung Susu kecoh ingin menolong, Kartika menarik tangan Embun yang masih dalam keadaan ketakutan dan kebingungan.
“Kita harus ghaib Bu. Kita sembunyi. Kita sembunyi dalam hutan ini tiga malam.
Kemudian kita putuskan bagaimana akan ke Kuala Lumpur.” Kartika bersungguh.
Semuanya berjalan dengan pantas.
Embun meneliti wajah gadis Jawa yang memberinya semangat itu. Gadis itu berbadan kecil, tetapi azamnya waja. Rambut Kartika agak keriting, matanya galak, sementara hidungnya agak kemek. Tubuh mereka diratah nyamuk sepanjang malam. Embun masih ingat, malam pertama sungguh panjang dan penuh penderitaan.
Mereka masuk jauh ke dalam hutan.“Doalah Bu,supaya kita tidak mati dibaham harimau atau beruang.”
Embun menangis. Entah mengapa wajah harimau yang bengis menerjah dalam ingatannya. Kemudian ada perca-perca ingatan lain melawat kotak kenangannya.
“Hissyyy, ibu jangan bising.” Kartika menekup mulut Embun. “Kita bersabar di sini.”
Entah berapa kali mereka terserempak ular menjalar di ranting pokok. Juga kedengaran serigala mengongoi. Kartika dalam ketakutan setiap detik. Tetapi Embun serasa biasa.
Seakan-akan hutan itu adalah alamnya.
Mereka menahan kelaparan dan dahaga sepanjang malam. Tatkala hari siang, mereka tertidur dalam semak penuh duri. Tetapi telinga Kartika cekap dan cermat, ada sahaja bunyi yang asing akan mengejutkannya dengan cepat.Bukan tiada saat cemas. Sekali Kartika membuka mata, meniarap, menyelinap dan merangkak di celah akar pohon dan semak yang merimbun. Tampang beberapa pembalak dengan senjata melintas. Nyata, pembalak-pembalak itu mencari mereka. Kartika mendekati Embun yang lena di celah sebuah busut. Lekas dia mengejutkan Embun, seraya berbisik.
“Jangan cakap sepatah pun. Kita gerak perlahan-lahan.”
* Novel Bahlut sudah pun berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010.



3 comments:
Salam anakanda
mama baru balik dr Klia...lepas tu sambung baca Bahlut...baru habis.Ceritanya memang menarik , ada suspen ,mcm2 ada...Tak sabar nak habiskan novel ni...
Mcm pertemuan tadi tghhari?
Esok certa ya?
Assalamualaikum..
Saya peminat setia novel Faisal..
terutamanya siri detektif indigo ,Advencer si peniup ney & KOMBAT 1511H..Saya ternanti-nati kesinambungan kisah KOMBAT 1511H...aDAkah akan ada sambungan novel tersebut?
sekian =)
nmpk menarik..insyaAllah akan dptkn novel Bahlut ni.
=D
Post a Comment