03 March 2010

Citra Saidina Husin Dalam Karya Klasik Melayu

DALAM tradisi penceritaan sastera klasik Turki, Parsi dan Indo-Pakistan keberadaan Saidina Hasan dan Saidina Husin tidaklah sederhana. Citra Saidina Husin misalnya melampaui kedudukan yang kukuh dalam tradisi masyarakat Turki seperti yang ditunjukkan oleh puisi-puisi mistikal karya Yunus Emre. Syair tradisional Turki khususnya yang berkait dengan kumpulan tarekat Bekhtashi sering dirujuk dan disebut bersekali dengan mazhab syiah. Gejala yang sama turut dikesani dalam sastera klasik Indo-Pakistan seperti yang terjelma dalam naratif elegi atau ‘martsiya’ karya Muhammad Muhsin yang berasal dari Sind. Malah kewujudan Saidina Husin dalam tradisi sastera Indo-Pakistan terus mengakar menerusi peranan penyair dan ahli falsafah Sunni, Muhammad Iqbal yang menonjolkan kecintaan luar biasa beliau dalam karya-karyanya.

Adalah penting ditekankan di sini, seperti yang tercermin dalam karya-karya Muhammad Iqbal, citra Saidina Husin dalam karya sastera tidaklah muncul dalam karya-karya pengarang bermazhab syiah sahaja. Malahan Saidina Husin a.s muncul dalam karya-karya penulis bermazhab ahlus sunnah wal jamaah khususnya jika penekunan subjek ini dilakukan dalam genre elegi atau martsiya berbahasa Arab dan Parsi. Hakikat ini misalnya terpapar jelas dalam kasidah karangan Imam Syafie (salah seorang tokoh fikah mazhab ahlus sunnah wal jamaah). Lynda G. Clarke sebagai contoh menyatakan yang citra Saidina Husin tidak sahaja merujuk kepada karya-karya pendokong syiah semata-mata. Kutipan ini akan mewajarkan hujahan sebelumnya:

Martsiyah di bawah ini, karya Imam Syafi’i setelah menegaskan kesedihan peribadi, serta citra sang syahid, kemudian menyatakan kecintaan si penyair kepada ahlul bait Nabi secara keseluruhan. Kata Imam Syafi’i:

Hatiku mengeluh, kerana hati manusia sedang merana;

Kantuk tak lagi datang, susah tidur membuatku pusing.

Wahai, siapa yang akan menyampaikan pesanku kepada Husain,

(Meskipun hati dan fikiran sebahagian orang mungkin tidak setuju)

Yang dibantai, meski tak berdosa,

Bajunya seakan-akan dicelup basah dengan warna merah.

Kini hatta pedang pun meratap, dan tombak menjerit,

Dan kuda yang kelmarin meringkik, kini meratap.

Bumi bergempa kerana keluarga Muhammad;

Demi mereka, gunung-ganang yang kukuh nescaya akan meleleh.

Benda-benda langit rontok, bintang-bintang gementar,

Wahai cadur-cadur dirobek, demikian juga hati!

Orang yang berselawat untuk dia yang diutus dari kalangan Bani Hasyim,

Dia juga memerangi anak-anaknya. Duhai alangkah anehnya!

Jika aku dianggap berdosa kerana cinta kepada keluarga Muhammad:

Maka aku tidak akan bertaubat dari dosaku itu.

Kasidah Imam Syafi’i juga patut dicatat dalam hal bahawa, tentu saja, ia adalah produk sunni. Kenyataan bahawa beliau juga mengarang elegi-elegi lain semacam itu telah dibuktikan, dan tampaknya banyak tokoh mazhab Syafi’i (dan juga Hanafi) di masa yang awal ini juga melakukan hal yang sama. Akan tetapi, bahkan kesaksian orang seperti Imam Syafi’i akan cintanya kepada Keluarga Nabi di masa yang berbahaya itu membuatnya dituduh sebagai ‘orang yang tidak ortodoks (non Sunni).

Dalam kajian beliau, G. Clarke turut memetik bait-bait puisi karangan Sana’i menerusi Hadiqat al Haqiqah yang juga merupakan seorang penyair aliran sunni. Esei G. Clarke tersebut menunjukkan citra Saidina Husin yang sangat signifikan dalam tradisi sastera klasik Arab dan Parsi. Oleh kerana Schimmel juga menekankan betapa citra Saidina Husin mendapat tempat yang penting dalam tradisi sastera klasik Turki, dan Indo-Pakistan maka tidak keterlaluan jika dinyatakan di sini Saidina Husin a.s dan peristiwa pembunuhan baginda yang kejam itu muncul di semua rantau umat Islam, baik ia tradisi Turki, Indo-Pakistan, Parsi mahupun Arab. Citra Saidina Husin ini juga mendapat tempat di hati penyair-penyair sunni dan sufi. Ini menunjukkan citra Saidina Husin a.s meliputi dan mengatasi mazhab dan batas geografi menjadikan ia satu citra supra mazhab yang menjadikan Saidina Husin sebagai milik semua umat Islam dan tidak terbatas kepada pendokong mahzab syiah semata-mata.

Namun begitu timbul pertanyaan sejauh manakah citra Saidina Husin ini mendapat tempat yang juga penting dan tidak kalah di Nusantara berbanding dengan penganut muslim di rantau yang lain. Esei ini akan cuba memberi kupasan awal dan menyatakan beberapa pandangan preliminari mengenai kedudukan dan keutamaan Saidina Husin dalam karya klasik Melayu.

Makalah lengkap dibentangkan di program Sentuhan Intelektual Membaca Karya-Karya Agung Melayu anjuran Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi MARA (Kampus Puncak Perdana) pada 3 Mac 2010 pukul 10 pagi ini.

2 comments:

zahra said...

Salam.

"...akan ada kebatilan terdedah dan, kebenaran terserlah."

Saya sedang membaca perjalanan ini. Semoga berjaya.

Wassalam.

sara said...

pada fahaman saya citra itu maksudnya gambaran.

adakah citra yang dimaksudkan di atas juga mewakili maksud gambaran?
gambaran itu apakah skopnya luas ataupun terbatas?
apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan citra?

maaf, mohon dijelaskan jika tiada keberatan.