12 March 2010

"Bahlut": Novel Faisal Tehrani Yang Ke 19

IBU saya memiliki sebidang tanah di Bukit Payung, tidak jauh dari kampung kami; kampung Perling, Simpang Ampat, Melaka. Kampung ini kini hanya tinggal nama kerana telah disodok dengan rakusnya oleh pembangunan. Semasa kecil, pernah sekali agaknya saya dibawa abah meninjau-ninjau tanah yang masih diduduki oleh Orang Asli itu. Ikut serta ialah arwah Tok Bachik. Tanah tersebut jika tidak silap saya adalah milik moyang kami, Tok Shamsuddin Leong, seorang Tionghua yang setelah memeluk Islam begitu komited orangnya dalam membangunkan Kampung Perling. Saya tidak sempat menemui beliau, tetapi isterinya, moyang perempuan kami iaitu arwah Puan Hawa memang berpeluang saya mesrai. Arwah Puan memang banyak menampung cerita, sayang tika itu saya belum jelas cita-cita. Jika tidak tentu saya akan mencatit atau merakam dalam benak ini setiap buah butir bicaranya, kebetulan beliau panjang umur menjangkaui seratus tahun. Dan yang mendebarkan, Kampung Orang Asli di Bukit Payung itu mengandungi cerita tersendiri dalam keluarga kami. Ada macam-macam kisah yang berbaur antara magis, real dan fakta sejarah. Saya tidak tahu mana satu lagi yang benar. Hari ini tanah sebidang itu sudah jadi kawasan pembalakan dan Orang Asli yang mendiaminya sudah terusir entah ke mana. Masih ada sisa Orang Asli yang kelihatan ‘terperangkap’.

Bermula dari situlah wajah-wajah Orang Asli yang saya lihat sejak dari kecil, meski sekali, begitu kukuh berbekas dalam kepala. Lebih dua dekad kemudian apabila saya mengulang semula melihat-lihat sebidang tanah tersebut, banyak yang telah berubah. Dan wajah-wajah Orang Asli itu, walau kini berpakaian lengkap, sudah semakin letih. Wajah seorang remaja yang lesu itulah yang menjelma dalam benak saya apabila dipelawa menulis novel bersiri di majalah Tunas Cipta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sayang, Bahlut terhenti seketika kerana majalah tersebut oleh kacaunya pentadbiran Dewan Bahasa dan Pustaka telah ‘direhatkan’ sementara sebelum ‘dihidupkan’ kembali.

Menerusi Bahlut saya sempat menghantar pembaca ke sebuah dunia yang luar biasa. Hasrat untuk menekuni dunia Orang Asli, membuatkan saya menelaah kisah suka duka suku kaum Semai. Ini membolehkan saya mengemukakan dunia Bahlut anak Tiji.

Bahlut luar biasa sekali nama itu. Saya mengutip seberapa dapat bahasa suku kaum ini dan menyuguhkan pembaca sebuah dunia baharu yang unik. Dunia yang kurang diketahui.

Ia memang mencabar tetapi menyegarkan.

Bahlut adalah sebuah nama dari mitos kaum Semai. Mitos sejauh kaki Gunung Paku Panggang. Mitos tersebut menyatakan terdapat seorang penjahat dalam kalangan suku kaum Semai yang bernama Yek. Penjahat ini dikatakan memiliki kuasa ajaib iaitu kuasa untuk menjadikan apa sahaja, batu. Pada satu hari Yek telah membelah muka seekor naga yang ditemuinya di kaki gunung lalu menyumpahnya juga menjadi batu.

Oleh kerana menyedari kuasa sakti tersebut Yek telah menggunakan kemahiran atau kelebihan itu sewenang-wenang. Apabila bertemu gajah misalnya, disumpah pula gajah tersebut menjadi batu, apabila bertemu monyet pun dibuat begitu juga. Yek menjadi gila menyumpah apa sahaja kepada batu. Mujur ada seorang penyelamat bernama Bahlut. Penyelamat itu menebang banyak pokok buluh, dan batang-batang pokok. Buluh itu ditebang dengan pucuknya sekali dan ada yang dikerat dua. Pokok-pokok buluh itu disambung-sambung antara hujung sampai jadi tujuh kaki. Bahlut mengikat buluh berpucuk itu ke badannya. Yek terserempak dengan Bahlut dan menjadi takut kerana menyangkakan Bahlut lebih besar berbanding dirinya, lalu ia melarikan diri jauh. Tidak berani mengacau masyarakat orang asli lagi.

Saat untuk memulai mengarang novel ini saya sempat berteman dengan atlet negara Saudara Zaiful Zainal, kemudian teater dan naskah Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun membuka ruang pula untuk saya mengenali dan bersahabat dengan Saudara Mohd Robbani Hassan. Kedua-duanya atlet yang ternama. Merekalah yang menjadi bumbu pengetahuan saya tentang dunia trek dan olahraga, sesuatu yang kurang saya mesrai. Saya acap kali berulang ke Bukit Jalil dan menggauli dunia mereka dari jauh.

Maka, keistimewaan novel ini ialah memadukan dunia hutan dan dunia trek. Bayangkan, seorang anak suku Semai menjadi atlet kebanggaan negara. Sengaja saya sulamkan dunia sukan Bahlut dengan dunia rencam hutan. Dan, bayangan Kampung Orang Asli di Bukit Payung menujah ingatan saya. Sisi politik yang menggigit novel remaja ini ialah apabila saya tampilkan perjuangan peribadi Bahlut untuk menyelamatkan maruah suku kaumnya apabila sebuah syarikat pembalakan menodai dan meratah secara rakus hutan dara sekitar kampung asalnya. Gaya hidup masayarakat kaum Semai telah banyak diperkosa sehingga sumber makanan menjadi sukar. Malah syarikat pembalakan haram yang melakukan aktiviti di kampung asal Bahlut telah meracun sumber air penduduk.

Saya kembali kepada raungan novel saya yang pertama diterbitkan iaitu Perempuan Politikus Melayu. Kisah orang yang tertindas. Para wali, imam dan nabi – mereka adalah pejuang untuk golongan yang tertindas dan dizalimi ini. Misi Islam ialah misi untuk menyelamatkan insan kecil yang tersisih. Maka bagaimana saya dapat membiarkan suara mustadhafin terpinggir jika saya selesa sebagai seorang seniman? Kali ini saya tampilkan Bahlut, kisah orang tertindas yang bangkit merubah nasib kaumnya.

Saya ingin berterima kasih kepada para editor majalah Tunas Cipta, Bonda Ani, Kak Ena, dan adinda saya Nurhilyati Musa yang menolong saya membuat kajian tentang masyarakat Orang Asli. Juga teman-teman atlet yang rajin memberi maklumat yang saya hargai.

Saudara, di tangan saudara adalah sebuah novel tentang Satu Malaysia. Lama sebelum slogan politik itu bergema, saya telah mencipta semangat itu di sini, di ruang Bahlut ini. Iaitu sepanjang Bahlut disirikan di majalah Tunas Cipta pertengahan tahun 2000an sehingga tahun 2008. Dalam Satu Malaysia, gagasan itu menekankan jangan ada sesiapa yang berasa tertinggal. Benarkah kita tidak akan meninggalkan kaum minoriti? Sedangkan minoriti ada banyak bentuk, iaitu kaum, agama, malahan jalur mazhab. Tragedi dan musibah menimpa Bahlut menguatkan dirinya. Menjadi penawar dan pesan amanat untuk bangsa. Kalau ada karya sastera yang ingin diangkat tentang bagaimana membela nasib orang kecil, Bahlut di tangan saudara adalah Insya-Allah, yang agak bermakna.

Selamat mengulit Bahlut. Dunia hutan dan trek yang banyak warna.

* Bahlut, adalah novel Faisal Tehrani yang ke-19. Novel ini merupakan terbitan Ameen Serve (2010), boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

8 comments:

nusaybah said...

Salam.

Dengan penjelasan ini, ini bermakna Bahlut ini benar-benar 'wujud'.

Kalau begitu, dapatlah saya menjawab pertanyaan seorang remaja, yang menyambung pertanyaan itu dengan menyatakan, "...bukankah faisal tehrani ini biasanya menulis atas suatu kisah yang benar?"

Tahniah, atas penerbitan Bahlut.

Wassalam.

Zaid Akhtar said...

Seekor "Beruk" dan seorang "Bahlut".
:-)
Saya pasti akan ke gerai Ameen untuk mendapatkannya nanti.
Tahniah, bung.

Al Ghazali Sulaiman said...

Ohh!

Kalau tak silap saya, novel bersiri ini dulu namanya "Nama Eng Bahlut" bukan? Kisah benar rupanya.

Bahlut mengingatkan saya tentang kaum Penan. Juga nasib kaum minoriti di mana-mana sahaja.

Masih ada lagikah sinar untuk mereka?

Dan kalau pingat emas milik Bahlut yang dipulangkan lebih tinggi nilainya daripada sebuah rupa budaya bangsa, mana pula leaknya harga diri kita?

lydecker86 said...

wah! akhirnya, penantian berakhir. Saya mengikuti kisah Nama Eng Bahlut dalam Tunas Cipta.

Pasti dapatkannya..

hanya_berfikir said...

salam..apa pendapat tuan ye tentang solat sunat memohon hujan yang dilakukan oleh kerajaan negeri kelantan yang diimankan oleh tuan guru nik aziz sehingga secara tiba2 hujan turun dengan lebatnya..

adakah ianya secara kebetulan,ataupun memang dah nk hujan time tu atau macam mana bagi pendapat tuan.bagi saya itu kekuasaan Allah memakburkan doa terhadap hamba2 yang dikehendakinya.saya harap tuan sudi tulis tentangnya di n3 tuan..

SYAFIQ ZULAKIFLI said...

Abang Faisal,

Tahniah di atas kelahiran novel yang sudah berimbun itu.

Jumpa di booth PTS nanti. Insya-Allah saya ada setiap hari di sana.

Gray said...

ah kalau tak silap karya ini pernah disiarkan secara bersiri dalam majalah Tunas Cipta.
tak sabar ingin mendapatkan novel FT yang terbaru ini..

Ilmi Ahmad said...

alhamdulillah.. akhirnya penantian untuk membaca penulisan kreatif abg FT sejak saasatul ibaad berakhir. dengar cerita buku 'ingin jadi nasrallah' akan terbit.

huhu... kalaulah pesta buku antarabangsa ada dibuat di negeri johor.. jadual yg agak ketat agak mengekang perjalanan jauh.

apapun, tahniah buat bro FT & terima kasih untuk 'ole-ole' kali ini. moga2 usaha FT ini dpt memberi manfaat yg besar kepada umat dan mendapat redha & rahmat Allah insya-Allah. (",)