20 January 2010

Western Ala Bangla: The Last Thakur

Sebuah filem dari Bangladesh yang menggamamkan!

The Last Thakur tampil mengejutkan. Anwar Rahman (dikenal sebagai Tuan Pengerusi) adalah seorang ahli politik Muslim yang korup. Namakan apa sahaja; tipu helah, zina, rogol, dan penyalahgunaan kuasa menjadi permainannya. Pada masa tertentu ia membuli Waris, anak kecil yang menjadi pembancuh teh di gerai. Apabila ia berasa sedikit bersalah dan mahu bermuhasabah, ia akan bertanya ‘Apakah aku ini jahat?’ Dan Waris akan mengatakan, ‘Tuan Pengerusi sungguh baik’. Kemudian ia akan melemparkan beberapa thaka buat anak yang mengampu itu. Di tengah-tengah kegilaannya, ada seorang lelaki Hindu, Thakur yang kerjanya merampas tanah sawah dan paya dengan membeli pajakan penduduk yang mnelarat, semata-mata kerana obses untuk membina sebuah kuil.

Pada satu pagi yang bening, seorang lelaki asing yang tidak dikenal sesiapa, muncul dengan senapang. Ia mencari perogol dan pembunuh Monwara – ibunya.

Filem The Last Thakur mempunyai ciri sebuah filem dengan genre western yang lengkap. Apakah genre filem western? Genre ini berasal dari Amerika, ia terkenal ketika era 1930an ke 50an dan merupakan sebuah eulogi untuk hari-hari liar Amerika (di sebelah Barat benua Amerika) di mana padang pasir, undang-undang rimba, perebutan kuasa dan pentadbiran wilayah menjadi elemen utama. Latar masa filem western lazimnya sekitar 1865 sehingga 1900 diikuti oleh tema perang saudara, isu perhambaan, perjalanan trans-Mississippi dengan lanskap romantik, sambil menggabungkan unsur-unsur pedalaman yang penuh mendebarkan. Terdapat penjahat, samseng atau bandit serta syerif yang bertekad menghapuskan perompak.

Untuk set dalaman, genre western selalu menampilkan bar yang akan menjadi pusat pergaduhan antara koboi, salon, penjara atau lokap, kawasan penternakan, rumah-rumah ranch dengan sisipan beberapa orang asli Amerika.

Watak-watak dalam filem western pula biasanya adalah syerif, pelacur, pembalas dendam dan dua tiga bandit di mana tiada undang-undang terpakai dan mereka boleh bermaharajalela sesuka hati. Plot filem-filem western adalah mudah, biasanya ia mengenai usaha untuk mendaulatkan undang-undang di mana naratifnya adalah pantas. Konfliknya adalah baik lawan jahat, pendatang baharu lawan orang natif, atau kemanusiaan melawan alam semulajadi. Untuk mencapai semua itu elemen tipikal yang lain ialah pergaduhan, letupan, rompakan, tembak-menembak di mana kematian beramai-ramai ke atas karektor utama adalah sesuatu yang munasabah. Untuk menjadikan ia dramatik, sang hero, selalunya ’koboi baik’ akan berdepan dengan segala mara bahaya seorang diri, ditambah oleh skil bermain senjata, menunggang kuda dan melontar tali.

Hampir semua yang disebut di atas, iaitu apa yang terkandung dalam filem western, turut ditampung oleh filem The Last Thakur ini. Ini menjadikan The Last Thakur tersendiri, sebuah filem western ala Bangla. Kala, orang asing yang hanya diperkenalkan namanya di pertengahan naratif (lakonan Tanveer Hassan) adalah seorang lelaki yang hidupnya didedikasikan untuk membalas dendam. Siapakah pembunuh dan perogol ibunya? Thakur si gila Hindu (lakonan Tariq Anam Khan) yang sibuk membina kuilnya, atau Anwar (lakonan Ahmad Rubel), si politikus licik yang tidak pernah puas?

Untuk menjawab pertanyaan itu, The Last Thakur mengheret penonton menyusuri lanskap pedalaman Bangladesh dengan paya yang penuh jut. Ia juga mendera audien untuk melihat kemiskinan sebuah wilayah yang tidak diketahui di mana (namanya Doulathpour), dengan menjadikan sebuah gerai sebagai pusat sengketa. Terdapat kemunculan wanita-wanita di keliling Anwar yang sudah jemu dengan hidup. Konflik dibina dengan perlahan (berbanding tuntutan genre filem western) dalam masa satu hari, dan disokong oleh latar suara Waris, anak kecil yang selalu dibuli oleh Anwar tetapi masih memujanya. Malah Waris bukan sahaja memuja buta, ketika Anwar memilih untuk membunuh bagi menutup kejahatan politiknya, Waris yang berusia sepuluh tahun itu tetap menganggap Anwar ‘budiman’. Satu-satunya insan yang celik akan segala kejahatan dan kekejaman Anwar mahupun Thakur ialah Mustafa, seorang pengemis buta.

Sinematografi The Last Thakur sungguh luar biasa. Ia berjaya merakam dan mengenengahkan sisi ‘indah’ Bangladesh. Ia juga membuatkan khalayak tertanya-tanya latar belakang setiap watak. Meski perwatakan mereka ’kasar’ tetapi tutur kata mereka puitis sehingga membuatkan kita terkesan dengan bahasa Bengali. Setiap seorang wataknya ditampil penuh misteri. Malah sehingga ke akhir penonton selama 80 minit, kita akan dibiarkan berteka-teki.

Beberapa adegan pusat The Last Thakur terjelma di akhir filem. Adegan pembunuhan demi pembunuhan yang penuh ganas digunakan sebagai satu sentakan setelah penderaan tempo filem yang lambat. Watak-watak orang kampung dengan pakaian ala Bangla dengan pelikat kusam dan kopiah putih comot sambil mengacukan muncung senapang memberikan ’warna kontras’ tambahan buat penonton.

The Last Thakur (2009) diarahkan oleh generasi muda pembikin filem Bangladesh yang bercita-cita tinggi. Filem arahan Sadiq Ahmed ini telah pun meraih perhatian ramai di Pesta Filem London. Sebagai graduan Westminster Kingsway College tidaklah menghairankan aspek sinematografi diberikan perhatian yang lebih oleh beliau. Kesempatan untuk mengisi ruang naratif filemnya dengan ’agama’ agak terabaikan. Hanya ada beberapa dialog di akhir yang merujuk kepada Allah sebagai sumber kekuasaan. Ia menjadikan sisi spiritual untuk filem Sadiq sebagai tempelan. Pun kematangan Sadiq sedang dinantikan, kebijaksanaan dan kreativiti beliau misalnya dengan memadukan genre western dengan lingkungan Bangladesh adalah kelainan yang akan menyebabkan pengekor industri filem ternanti-nanti karya beliau yang berikutnya.

Sorotan filem ini tersiar di ruangan Sinema Spiritual akhbar Siasah edisi 17-23 Januari 2010. Dilarang menerbit kembali.

2 comments:

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi said...

Assalamualaikum Tuan Haji Faisal.

Pertamanya tahniah saya ucapkan di atas penganugerahan malam sudah, sungguh dengan izin Allah Tuan sememangnya layak untuk menerimanya.

Nak cakap tidak kena, tidak cakap pun tidak kena.

Sebenarnya cerpen yang tersiar bersama dengan artikel Tuan ini adalah tulisan saya, makanya suka saya dapatkan sebarang komen Tuan mengenai cerpen yang tidak seberapa itu.

Ikhlasnya, saya sendiri apabila membaca cerpen itu berasa sangat tidak puas hati dengan mutunya, mungkin Tuan ada sedikit tunjuk ajar kepada saya, wa-Allahua'lam.

Zahiruddin Zabidi

amir said...

bro..mane mau dpt ini dvd...skrg cari dvd pun more to korea,japan, france...us born movie..no good anymore.. tq