31 December 2009

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan: Asyura Adalah Untuk Perkabungan


Ne Kadar Guzel Tayyip!
Ashura Day ceremonies held in Istanbul

The Karbala incident was commemorated, where Prophet Muhammad’s grandson Imam Hussain and 72 others were killed.

Prime Minister Recep Tayyip Erdoğan issued a message on the occasion of Ashura Day and said 10th of Muharram requires a true respect and reverence for any man with a conscious which succeeds in preserving sense of right and justice.

Touching upon the incident of Karbala, Erdoğan said that the drama of Prophet Muhammad’s grandson Imam Hussain and the 72 innocent souls with him in Karbala is our common grief and common sadness.

The Turkish Premier expressed his condolences on Imam Hussain and martyrs of Karbala.

Meanwhile, commemoration ceremonies were held in Halkalı district of Istanbul on Saturday in the 1,370th anniversary under the title “Universal Ashura Mourning Ritual”.

Thousands of Jaferies joined the mourning ritual.

Main Opposition leader Deniz Baykal also attended the ceremonies and gave messages of unity and solidarity.

TRT/world

30 December 2009

Kata-Kata Hikmah 2009 Paling Meruntun Sukma Untuk Dijadikan Iktibar Sepanjang Tahun 2010

10. "Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia."

Malaysiakini, 15 Disember 2009 (sini).

9. "Waktu saya lantik menantu saya, saya tidak tahu barang tidak boleh."

Malaysiakini, 16 Disember 2009 (sini).

8. "Nak pecah, pecah gi lah, apa boleh buat".

Bernama 23 Oktober 2009 (sini).

7. "Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Quraisy Malaysia."

Malaysiakini, 13 November 2009 (sini).

6. "Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka, mereka yang melakukan perbuatan (menghisap rokok) itu dianggap lebih hina dari lembu."

Bernama, 27 Mac 2009 (sini).

5. "Amalan membaca Al-Quran secara berterusan sepanjang bulan Ramadan ini amat digalakkan kerana tiada bacaan lain yang mampu memberi ketenangan dan kedamaian dalam sanubari manusia. Oleh itu, bertadarus ini hendaklah dibudayakan dalam kehidupan seharian walaupun bulan Ramadan telah berakhir."

Bernama, 6 September 2009 (sini)

4. "Saya tidak mengulas gosip. Saya tidak mengulas pembohongan. Itu yang saya cakap tadi, kita mesti fokuskan pada isu yang lebih besar. Jika anda mahu berjaya, anda kena fokuskan pada isu yang lebih besar."

Malaysiakini, 22 Disember 2009 (sini).

3.. "Selagi tidak bagi, kita doa sampai pecah perut orang itu."

Malaysiakini, 4 Disember 2009 (sini).

2. "Tahun depan ada orang tak nak taja ambo gi Mekah. Siapa nak taja ambo ambik. Tak taja pun ambo gi."

Malaysiakini, 16 November 2009 (sini).

1. "Celaka semua sekali ini, blog celaka, blog celaka...saya kata sekali lagi celaka blog macam ini."

Utusan Malaysia, 30 Disember 2009 (
sini).

Satira Ketupat Cinta II: Gedang Mekuah Tengku Kumut

Fragmen Minggu Lalu, Bab 'Setalam Bubur Asyura Mufti Malun':

ALKISAH sebaik sahaja baginda Parameswara berangkat naik ke lancar baginda bersama-sama isteri baharu baginda yang bernama Noorkumuthakaseeh atau turut dikenali orang dalam kitab sejarah sebagai Tengku Kumut, Mufti Malun yang tidak turun bersama rombongan baginda Parameswara untuk berdakwah kepada penari-penari di atas kapal pun berasa sakit hati yang teramat sangat. Ini kerana ia mendapat perkhabaran akan NoorKaseeh atau Tengku Kumut itu memeluk Islam bukan ia yang mengajarkan syahadahnya. Terperanjat ia; seraya memegang kedua belah tangan lantas meletakkanya di dada apabila ia mendengar Tun Lepat, seorang gerau yang tiada tahu agama pula diminta mengajarkan dua kalimah syahadah buat Tengku Kumut.


Dalam hati Mufti Malun mengatakan, ‘Cis, ia itu cuma gerau yang tiada belajar ilmu hadis seperti kita. Bedebah sungguh, adalah kita ini pandai kerana belajar ilmu hadis. Tiada lagi hadis yang tiada pernah kita baca. Ia itu hal masak-memasak tahulah ia.’ Mufti Malun berasa sesal kerana tiada berpeluang mengajarkan tentang tauhid uluhiah dan rububiah. Lebih ia marah kerana tiada ia berkesempatan mengajar tentang Islam ala gurunya iaitu Ibnu Taimiyyah.

Arakian pelayaran Parameswara ke Cina itu menempuh malam-malam syahdu sayu Muharram. Adapun malam pertama pelayaran Tengku Kumut ke benua Cina itu, Tun Lepat yang masih muda belia pun tidurlah di ranjangnya lalu ia bermimpi. Sebuah mimpi yang teramat bermakna jua. Maka dalam mimpi yang panjang itu muncullah mamak saudaranya, Dato Musa al Kadzim seraya menangis sehingga basah sekian helai janggut dan jambangnya yang memutih kelabu itu.

“Apa gerangan duhai mamak menangis sehingga sedemikian rupa?”

Fragmen Minggu Ini, Bab 'Gedang Mekuah Tengku Kumut':

Kapten Minah yang terlopong dan tiada faham akan apa buah butir bicara Mufti Malun hanya mengangguk sahaja. Dalam kepala Kapten Minah, ia berharap Cik Puan Ani tidak dituduh gila sekali lagi, dan dapat ia mengekalkan jawatannya sebagai penasihat iktisad negeri kerana jika jadi hubungan dagang antara Melaka dan China kelak ia berharap Cik Puan Ani dapat menghanguskan wang negeri sebanyak seratus kupang. Jika Cik Puan Rosdah dan Tun Muznah berbuat bising, ia mahu membongkar pula perbuatan khianat kedua-duanya mengsonglapkan akan dua ratus tujuh puluh wang kupang dan timah sejak lima bulan yang lalu. Akan ia dedahkan segala kepincangan puak satu lagi. Jika Tun Muznah bising lagi maka ia akan membuka pula aib Dato Temenggung Boyak iaitu sepupu Tun Muznah yang mencuri dua sauh kapal perang Melaka. Dua buah sauh itu dijual secara haram di pasaran gelap kepada angkatan perang Majapahit. Maka memikirkan kepentingan diri itulah Kapten Minah membuat perakuan untuk bersekutu dengan Mufti Malun dengan menjadikannya sebagai pemimpin rohani.

Akan Tengku Kumut itu pula, ia mengecap cinta yang luar biasa saat bernikah dengan baginda Parameswara. Tiada ia keluar bilik. Hanya ia bersuka-suka dan bersenang-senang sahaja dengan raja satu Melaka. Kerjanya mencubit, menggeletek dan berlesu-lesu sahaja dengan raja Melaka yang sudah berusia itu. Baginda Parameswara itu amat mengasihi akan Tengku Kumut kerana ia teringat akan dua isterinya yang mula-mula iaitu Permaisuri Kamarul Ajaib dan Cik Lo Ganish.


* Ketupat Cinta disirikan di Harakah setiap Jumaat.

29 December 2009

Geng Revolusi Pembudayaan Selawat Akan Tampil di Rumah Pena Menjelang Tahun Baharu 2010

Mohd Iswan Isa adalah komposer yang mencipta lagu-lagu dalam pementasan teater Kopitiam Ghadir. Kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat akan muncul di Rumah Pena untuk majlis Baca Puisi 'Genta Puisi Aswara-Pena' sempena menutup tahun masehi 2009 dan meraikan tahun masehi yang baharu 2010.

Jika kebetulan saudara penggemar puisi dan memang tiada kerja di malam tahun baharu maka saya ingin mengundang saudara untuk menghadiri majlis baca puisi malam ini, yang akan turut dihiasi oleh SN Dato Dr Anwar Ridwan, personaliti TV3 saudara Fedtri Yahya dan ramai lagilah dalam senarai.

Insya-Allah mereka yakni RPS akan turut menjual single mereka di situ.

* Foto RPS dan Dato Dr Anwar Ridhwan dari blog Revolusi Pembudayaan Selawat.

Manikam Kalbu Terima Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia Kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik 2008






Pada 22 Disember lalu, Manikam Kalbu bernasib baik kerana menerima Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia bagi Kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik 2008. Majlis diadakan di Seri Pacific dan hadiah diberi oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia. Mak Ungku, Puan Azah Aziz (isteri Profesor Ungku Aziz) menerima beberapa anugerah berganda untuk karya kajian beliau mengenai busana Melayu berjudul Rupa dan Gaya: Busana Melayu. Kebetulan Manikam Kalbu juga tentang busana Melayu.

* Saya tidak bawa kamera pada majlis tersebut, foto-foto ini diberi oleh saudara Syafiq Zulakifli (klik blog beliau di sini), salah seorang editor di PTS.

28 December 2009

Mawkeb-ul Abaa: Perjalanan Duka Zainab al Kubra dari Karbala ke Damsyik

FILEM Mawkeb-ul Abaa atau dalam bahasa Inggerisnya The Caravan of Pride, adalah sebuah filem dengan naratif Islami, yang menyorot peristiwa pembunuhan Saidina Husin serta perjalanan duka keluarga Rasulullah saw ke Damsyik, Syria.

Filem ini sungguh luar biasa sinematografinya, berbekas dari segi lakonan dan paling penting ia berusaha mengangkat secara tepat apa yang berlaku ke atas keluarga Nabi Muhammad saw setelah 72 orang pengikut Saidina Husin diseligi, dibantai dan disembelih di Karbala.

Justeru, plot Mawkeb-ul Abaa menghimpunkan sorotan pandangan sejarah dari sejarawan terkemuka dunia sunni mahupun syiah bagi menghidupkan peristiwa malang yang menimpa umat Islam. Ini memberi keistimewaan pertama buat filem ini yang akan menjawab beberapa tohmahan kumpulan salafi seperti, siapakah pengkhianat sebenar di Kufah, mengapakah golongan syiah mengenangi dan meratapi kesyahidan Saidina Husin selain membongkar kejelekan dan kezaliman bani Umayyah. Filem ini juga menunjukkan awal permulaan revolusi menuntut tajdid ke atas agama dengan kekuatan watak dan perwatakan Zainab al Kubra, anak perempuan Saidina Ali dan Sayyidah Fatimah Zahra yang kurang dikenal orang hari ini.

Mawkeb-ul Abaa juga menonjolkan watak Imam Ali Zainal Abidin, piut Rasulullah saw. Untuk menghidupkan watak, setiap dialog yang dituturkan oleh watak ini digubah berdasarkan riwayat hidup baginda. Maka tidak menghairankan, filem ini dipenuhi dengan ayat al-Quran, hadis Nabi Muhammad saw dan memahamkan kita bagaimana ayat al-Quran dan hadis baginda Rasulullah saw telah dimanipulasi oleh penguasa bani Umayyah untuk tujuan politik pada waktu itu. Kesannya, umat Islam hari ini menerima agama yang dititahkan dari istana serta sama sekali berlainan dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.

Mawkeb-ul Abaa dibuka dengan tampang Saidina Husin (tanpa wajah) dan tangan baginda memegang pedangnya yang tersohor sedang bersiap untuk berangkat dari tanah suci Madinah menuju ke Kufah. Syot berpindah ke arah wajah Ummul Mukminin Ummu Salamah yang sedang berasa tidak sedap hati. Dan ia segera beralih kepada perlakuan Yazid bin Muawiyah, pembunuh dan penjahat umat ini. Kemudian, sepuluh minit pertama filem menunjukkan sisi paling gelap dan malapetaka di Karbala. Adegan menyayat hati Zainab al Kubra, adindanya Saidina Husin menangis sambil mendepangkan tangan ke langit dan berkata ”Ya Allah, terimalah ini pengorbanan kami” sungguh mengharukan dan berjaya memberi kesan yang dramatik.

Gambaran karektor Yazid bin Muawiyah amat tepat. Sebagai penjahat yang memusuhi agama ia telah dilakonkan dengan baik sekali sehingga berjaya membangkitkan rasa benci kepada musuh Allah dan Rasul ini. Tidak hairan sekali perwatakan Yazid dalam filem ini dipaparkan sebagai peminum arak dan suka bermain dengan kera dan anjing. Malahan ulama terkenal Nusantara, Hamka dalam prakata buku terjemahan karya alHamid al Husaini berjudul Al Husain bin Ali menulis:

‘Husain pun berangkat dengan kaum keluarganya terdekat, menuntut haknya, berpuluh orang, tidak sampai seratus. Setelah Yazid menerima berita itu dikirimnya tentera tidak kurang dari 4 ribu orang di bawah pimpinan Abdullah bin Ziyyad. Maka terjadilah peperangan hebat di padang Karbala di antara dua kekuatan tidak seimbang, di antara puluhan termasuk anak-anak dan perempuan pengiring setia Husain dengan 4 ribu tentera Yazid dari Damsyik, yang bagaimana pun gagah perkasa perlawanan Husain, perlawanan yang hancur, dan yang kacau, beliau sendiri mati terbunuh, kepalanya, dipotong dan dibawa oleh Abdullah bin Ziyyad menghadap Yazid bin Muawiyah.’

Penabalan Yazid bin Muawiyah adalah titik celaka politik buat umat Islam kerana sejak itulah umat dipaksakan dengan sistem monarki (raja-raja) yang menyalahi ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. Hal ini misalnya diakui oleh tokoh gerakan Islam Pakistan, Maulana Abu ‘Ala al Maududi dalam bukunya Khilafah wal Mulk, beliau menulis:

‘Demikian itulah awal peralihan yang amat penting itu, kemudian menjadi makin kukuh dan makin dalam akar-akarnya setelah penunjukan Yazid sebagai putera mahkota, sedemikian rupa sehingga tidak pernah sistem khilafah ini tergoncang di suatu saat sekeras itu, sejak masa itu sampai dengan dihapuskannya sistem khalifah sama sekali oleh Mustafa Kamal Attaturk dalam abad sekarang ini. Maka sejak itu (yakni sejak berkuasanya Muawiyah) tercetuslah cara yang permanen untuk pembaitan secara paksaan serta tumbuhnya dinasti-dinasti tirani. Dan semenjak itu sampai hari ini tidak pernah, dalam garis perjalanan hidup kaum muslimin muncul satu kesempatan pun untuk kembali ke sistem khilafah yang terpilih.’

Sesungguhnya menonton filem Mawkeb-ul Abaa ini adalah ibarat menghidupkan kembali kedukaan sesudah 10 Muharram di mana sebaik sahaja Saidina Husin dan sahabatnya disembelih, para wanita dan ahli keluarganya (ahli keluarga Rasulullah saw) digiring bagaikan tahanan dan hamba untuk dibawa ke Kufah, kemudian ke Damsyik. Perjalanan duka itu diiringi oleh kepala Saidina Husin dan sahabatnya yang tertancap di hujung tombak.

Menonton filem ini juga dapat memahamkan mengapa segelintir orang percaya Yazid kononnya tidak bersalah. Kerana setelah Yazid yang jahat itu terkesima gagal menjawab bicara Zainab yang fasih di istananya pengaruh politiknya kian merosot, bahkan umat Islam tertentu digegarkan oleh kezaliman umat Islam lain yang berani membunuh keluarga Rasulullah saw demi membalas dendam kesumat bani Umayyah sejak perang Badar. Menyedari kuasa politiknya mungkin terjejas, untuk itu Yazid berpura-pura melakukan kebaikan buat ahlul bait Nabi Muhammad sedangkan semuanya sudah terlambat. Inilah puncanya mengapa sesetengah agamawan dan sejarawan hari ini percaya Yazid kononnya tidak mengetahui pembunuhan Imam Husin. Tontonilah filem ini, untuk mengetahui bagaimana umat Islam telah terjerumus dalam feudalisme seperti yang diamalkan oleh raja-raja Rom dan Parsi. Ia dapat menerangkan pemikiran anda bagaimana ada ulama yang bekerja untuk mengangkat kepentingan istana seperti yang bersepahan hari ini.

Banyak filem telah dihasilkan mengenai peristiwa Karbala, pembunuhan yang mengerikan dan menyayatkan hati tersebut sungguh menggegarkan isi langit dan bumi, akan tetapi sedikit sekali filem yang menyorot apa yang berlaku setelah kejadian itu. Mawkeb-ul Abaa berusaha untuk mengangkat bahagian paling memilukan, iaitu kepedihan dan kesedihan mendalam umat Islam apabila ahlul bait dibunuh.

Klik sini untuk menonton The Caravan of Pride (Mawkeb-ul Abaa):

25 December 2009

Tangisan Karbala (Zaynab al Kubra) Adalah Senjata Politik Yang Paling Ampuh!

1. Mengapa mereka menangis? Setiap kali Muharram mereka menangis. Saya juga dahulu seperti anda. Saya juga pernah berasa jengkel. Tetapi semakin saya matang, membaca dan berkembang sebagai sarjana dan ahli akademik; saya menjadi hati-hati, tidak membuat tanggapan melulu, tanpa berusaha memahami dahulu kenyataannya. Saya malah memilih menjejakkan kaki ke dunia mereka, berdialog dan mendengar; lalu memilih satu jalan yang amat kontroversial. Memilih untuk mendekatkan apa yang tidak begitu jauh tetapi hakikatnya jauh kerana ada tanggapan yang tidak matang.

2. Profesor Dr Stephen Sideroff, ilmuan psikiatri dari University of California Los Angeles, menyebutkan yang: 'Menangis adalah respon emosional terhadap perasaan tertentu, biasanya kerana sedih dan terluka. Tetapi, orang juga menangis kerana berada dalam situasi atau peristiwa tertentu'.

3. Ilmuan yang lain, Dr Jodi DeLuca, serang ahli neuropsikologi dari Florida menjelaskan bahawa tangisan adalah lebih dari itu. Tangisan juga adalah mekanisme pertahanan. Menurut beliau, tangisan adalah satu tanda, satu gejala untuk menyampaikan suatu hal. Tangisan kadang kerana kecewa, juga gembira, atau untuk mendapat perhatian orang lain. Anda tentu pernah mengalami semua jenis tangisan di atas. Mungkin anak anda yang menangis meragam untuk membuat anda memahaminya. Mungkin tunang, isteri, atau kekasih anda yang menangis demi menuntut anda lebih mengasihi.

4. Dr Lauren Bylsma, seorang ahli akademik yang mengkaji dan meneliti tangisan mengatakan; tangisan juga punya tujuan sosial. Mana tidaknya, tangisan dapat menggerakkan massa. Tangisan Tun Dr Mahathir hampir setiap kali perhimpunan agung UMNO dahulu, pernah membuatkan kawan-kawannya terlompat-lompat. Ingat tangisan Mursyidul AM PAS di ambang pilihanraya lalu. Tangisan sambil berdoa itu menyebabkan PAS menang besar. Itu salah satu puncanya, ya, begitulah khabarnya. Tangisan dapat menggerakkan dukungan dari orang lain. Jadi, bukanlah aneh tangisan dapat menjadi satu senjata.

5. Tentu anda dalam hati akan mengkritik saya, arghhhh Faisal Tehrani merujuk sumber kapir. Nanti! Biar saya merujuk sumber dari dalam diri anda. Ibnu Qayyim, kenal bukan? Beliau adalah salah seorang pakar psikologi Islami yang sangat terkenal. Kalau tidak silap saya, beliau lahir pada tahun 1292 Masehi di kota Damsyik, Syria. Menurut Ibnu Qayyim, ada sepuluh jenis tangisan. Antaranya, tangisan yang disebabkan oleh penderitaan.

6. Tentu anda tidak dapat menyalahkan adik Saidina Husin, iaitu Zaynab yang menangis saat abangnya dibunuh dengan cara begitu kejam. Tambahan pula peristiwa itu menurut banyak riwayat telah diberitakan terlebih dahulu. Tidakkah itu satu penderitaan. Kalau anda membaca hasil karangan atThabari, anda akan tergamam sendiri. Zaynab, cucunda perempuan Rasulullah saw diperlakukan sebagai tahanan dengan cara yang amat nista sekali.

7. Saya masih ingat saya menangis teresak-esak menonton Buletin Utama TV3 saat pembaca berita meminta penonton membacakan al Fatihah buat adik Nurin Jazlin yang dibunuh dengan cara begitu kejam. Saya ingat, pembunuhan tersebut amat menyentuh hati siapa pun. Manusia yang keras hati pun akan luluh memikirkannya.

Dan, mengapa menyalahkan semua pencinta cucu Rasulullah saw, Saidina Husin, jika mereka ingin menangis? Tidakkah meluluhkan hati memikirkan penghulu syurga dibantai sedemikian rupa? Jika kita ingin masuk syurga tidakkah kita wajar menangisi kesyahidannya yang amat tragis itu?

8. Saya akan bergerak dari tokoh sanjungan anda, Ibnu Qayyim dengan mengingatkan bahawa yang membuatkan kita menangis bukanlah diri kita sendiri tidak pasal-pasal. Yang membuatkan kita menangis ialah Allah, pencipta kita: "...dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (An Najm: 43)

Kalau mereka yakni penyanjung Saidina Husin ingin menangis, mengapa menyalahkan mereka? Itu terdorong berlaku kerana rasa kasih mereka, rasa derita mereka, rasa yang bergumulan lalu merembes menjadi tangisan yang diciptakan Allah.

9. Nah, tangisan menurut jalur kesufian pula ada banyak macam. Ada tangisan kerana malu, ibarat tangisan Nabi Adam a.s. Tangisan kerana mengenang kesalahan, umpama tangisan Nabi Daud a.s. Tangisan kerana takut dan bimbang, umpama tangisan Nabi Yahya a.s. Tangisan kerana kehilangan sesuatu, umpama tangisan Nabi Yaakub a.s. Terdapat juga tangisan umpama tangisan Nabi Syuaib a.s iaitu tangisan rindu dan cinta. Pernah dengar tangisan Nabi Syuaib a.s? Baginda menangis sehingga matanya buta, kemudian dikembalikan kepadanya pandangan mata, lalu dia menangis lagi sehingga buta lagi matanya dan begitulah sehingga sampai tiga kali. Maka Allah mewahyukan kepadanya: 'Hai Syuaib! Sesungguhnya tangisanmu itu jika takutkan api neraka, maka Aku telah amankan api neraka, maka Aku telah amankanmu dari api neraka dan jika kerana mengharapkan syurga, maka Aku telah pastikanmu menjadi ahli Syurga!'

Nabi Allah Syuaib menjawab: Tidak, wahai Tuhanku! Tapi kerana sangat rindu untuk memandang wajahMu! Allah Taala lalu mewahyukannya lagi: 'Hai Syuaib! Pantaslah bagi siapa yang inginkan Aku, wajib menangis kerana rindukan Aku. Sebenarnya penyakit ini tidak ada penawarnya sama sekali kecuali bertemu dengan Aku.'

Saya difahamkan oleh mereka, saat Muharram mereka menangis bukan sahaja kerana derita dan amat sedih oleh kejadian jahat ke atas Saidina Husin dan keluarganya, tetapi mereka juga menangis kerana rindu ingin berjumpa.

Apakah ubat tangisan seperti ini melainkan balasan kerinduan mereka itu kelak akan ditunaikan oleh penghulu syurga itu sendiri! Wah bahagialah jika begitu. Hari ini, saya ingin jadi seperti mereka. Saya menangis kerana rindu ingin berjumpa penghulu syurga - Saidina Husin cucunda Nabi Muhammad yang kita cinta.

10. Tahukah anda Zaynab al Kubra dan pengikut ahlul bait sering dizalimi sepanjang pemerintahan Umaiyah, Abbasiyyah dan sehingga hari ini. Lihat sahaja pengeboman yang disasarkan kepada makam Imam Hasan Askari di Samarra beberapa tahun lalu. Tontonilah filem The Kite Runner, bagaimana kaum Hazara (orang syiah di Afghanistan ditindas sewenang-wenangnya).

Untuk itu, masyarakat syiah yang lemah dan tidak punya kuasa telah menerjemahkan tangisan mereka menjadi senjata. Seperti kanak-kanak yang lemah, tangisan itu membuatkan kita akhirnya hiba dan berjaya menarik perhatian sang ibu.

11. Selepas Saidina Husin syahid dibunuh tentera Yazid, baginda bonda Zaynab dibawa ke Damsyik bersama kaum keluarganya ke istana Yazid di Syria. Sejarah mencatatkan, sepanjang perjalanan jauh dari Karbala ke Damsyik yang penuh azab derita itu, wanita Bani Hasyim menangis tidak hentinya. Ia menghenyak perasaan penduduk Kufah yang mengkhianati janji mereka sebelumnya. Muncullah golongan at-Tawwabun yang akhirnya menuntut bela atas kesyahidan Saidina Husin, dipimpin oleh sahabat Rasulullah saw bernama Sulaiman bin Sarad. Ia menggetar hati paderi kristian di Aleppo, ia malah menjadi punca kembalinya umat Islam kepada kasih dan cinta Rasulullah saw selepas terbuai oleh kemewahan empayar Islam yang kian melebar. Ia mendorong tangisan menjadi senjata orang tertindas untuk berdepan dengan kuasa tirani.

12. Lama saya cuba memahami mengapa pengikut syiah menangisi kesyahidan Saidina Husin yang mereka cintai. Tangisan derita, tangisan rindu, tangisan yang merupakan tujuan sosial. Tangisan yang merupakan tujuan politik. Saya berhenti menyalahkan mereka kerana menangis setelah saya membaca sebuah buku karangan pemimpin ulung mereka iaitu al marhum Imam Khomeini. Buku itu judulnya The Ashura Uprising merupakan koleksi ucapan dan ceramah agama almarhum sekitar asyura. Dan dalam salah satu petikan, Imam Khomeini mengatakan: 'Jangan sangka yang kami menangis dan meratap untuk penghulu syuhada (Saidina Husin). Tidak, baginda tidak memerlukan tangisan kami. Isunya bukan tangisan sama sekali. Ia adalah sesuatu yang bersifat politik untuk Imam (Saidina Husin) kerana dengan tangisan ini dapat menggerakkan ummah dan menyatukan umat Islam lalu memperkasakan mereka untuk berdepan dengan kezaliman tanpa perlu rasa lemah lagi' (halaman 60).

Hari ini saya tidak lagi menuduh mereka melulu.

Hari ini saya memilih untuk memberitahu dunia, 'Jika saya dituduh seisi dunia sebagai sesat kerana menangisi kesyahidan penghulu syurga, Saidina Husin, iya, tidak mengapa, tohmahilah saya sesat. Saya akur. Bukan saudara yang dapat menolong saya di akhirat nanti. Yang akan memberi syafaat kepada saya ialah Nabi Muhammad saw dan tentu, kekasih hati baginda iaitu Saidina Husin, ibunya Saidatina Fatimah dan ayahnya Saidina Ali.

Mengapa anda tidak menangis? Sungguh keras hati anda? Seperti syaitan yang memiih untuk angkuh dan ego.

Menangislah untuk Husin! Ayuh menangislah!

24 December 2009

Mengapa Membunuh Cucunda Nabi Muhammad SAW?

Dalam sastera Melayu, tidak ramai yang mahu, atau "tergamak", menulis buku tentang peristiwa di medan Karbala. Menulis hal yang sangat tragis ini padahal adalah satu dedikasi penting buat Nabi Muhammad saw. Ini kerana yang terbunuh di medan berdarah itu adalah sekian cucu cicit dan kerabatnya.

Saya tidak dapat memikirkan pewajaran yang lain, bahawa tentu sahaja menulis untuk merakam kejadian keji dan jelek ke atas keturunan Rasullulah saw, terhadap penghulu pemuda di syurga itu; pasti, saya yakin pasti - akan membolehkan pertimbangan syafaat Nabi Muhammad saw buat sang penulisnya. Bahkan mereka yang mengkaji dan memanjangkan tragedi berdarah ini, saya yakini akan beroleh manfaat di akhirat kelak. Masakan Saidina Ali dan Saidatina Fatimah tidak memandang mereka yang membela peristiwa genosid dan cleansing terhadap ahlul bait Nabi ini?

Saya ingin memetik dua karya yang pernah saya baca, dan masih saya uliti setiap kali Muharam tiba, akan saya baca dan tatapi, bahkan ratapi isinya kulit ke kulit.

Peristiwa di Padang Karbala adalah buku cerita kanak-kanak tulisan Wan Yusof Hassan, bekas pegawai penyelidik dan editor Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini adalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di zaman belum munculnya ustaz-ustaz wahabi yang kembali dari Jordan dan Saudi. Saya masih ingat buku ini dibelikan oleh ayah saya, tuan Haji Musa bin Yahya sebagai upah kerana mendapat tempat ke sepuluh dalam kelas darjah dua pada tahun 1982. Saya membacanya dengan air mata bergenang dan bertanya 'Mengapa ada orang Islam berani dan sanggup membunuh cucu Nabi Muhammad saw setelah kewafatan baginda?'


"Saudaraku semua, jangan biarkan Baginda Husin minum air sungai itu. Halanglah dia. Kiranya dia dapat meminum air itu tiada siapa lagi yang dapat menentangnya."

Apabila didengar oleh askarnya dengan segera dipanahnya baginda. Baginda Husin yang dahaga dan letih itu tidak sempat mengelaknya. Anak panah itu akhirnya mengenai leher baginda. Segera dicabut oleh baginda anak panah itu dan dibuangkannya ke dalam sungai Furat.

Baginda memekup lukanya dengan tangan kiri sambil terus mengamuk. Tentera Baginda Yazid datang dengan ramainya mengerumuni baginda. Setengah daripada aksar itu takut untuk menentang baginda. Manakala setengahnya pula malu hingga mereka berpaling - tidak sanggup menatap wajah cucu Rasulullah. Ketika itu muncullah Simirlain menyeru rakan-rakannya agar segera memancung Baginda Husin. Akan tetapi semuanya merasai suatu macam ketakutan untuk menentang baginda.

"Bunuhlah baginda, kerana aku ada bersama-sama kamu. Apa yang telah kamu lakukan hanya memusuhinya saja. Kenapakah kamu tidak sanggup untuk membunuhnya?" kata Simirlain.

"Kamu pun apa kurangnya dari kami? Kita berjuang adalah untuk mencari kekayaan. Mencari pangkat dan darjat!" jawab mereka.

"Kamu semuanya tidak begitu percaya akan kebolehanku. Nanti aku tunjukkan padamu bahawa segala kata-kataku ini akan kukotakan."

Simirlain pun segera mendapatkan Baginda Husin. Apabila dilihat oleh Baginda, teringatlah Baginda akan sabda Rasulullah bahawa orang yang akan membunuhnya keadaan mukanya hitam dan teteknya seperti tetek anjing.

Dengan tidak bertangguh lagi Simirlain pun menikam Baginda Husin pada dadanya dan lehernya terus dipenggal. Syahidlah Baginda Husin pada 10 Muharam iaitu hari Jumaat.

Tentu, dalam sastera Melayu klasik, Hikayat Muhammad Hanafiyyah adalah karya ulung yang membicarakan kepahitan yang luar biasa dalam sejarah umat Islam. Pengungkapan peristiwa Karbala yang sungguh berdarah dan menyayat hati manusia dan setiap makhluk Tuhan ini menunjukkan masyarakat Melayu kita tidaklah asing dari bahagian mengenang kejahatan terhadap ahlul bait. Menurut L.F Brakel, Hikayat Muhammad Hanafiyyah yang memuatkan pembunuhan ngeri dan sadis cucunda Rasulullah saw adalah 'sebuah teks yang popular dan terkenal' (tentu, kenyataan Brakel ini sebelum munculnya gejala gerakan salafi yang sering merujuk secara intelektual kepada Ibnu Taimiyyah yang amat memusuhi Saidina Ali dan ahlul bait Rasulullah saw). Edisi Hikayat Muhammad Hanafiyyah yang paling tua tersimpan di Indonesia ialah edisi 1771 masehi. Sementara edisi asalnya yang dipercayai pada tahun 1604 masih tersimpan di Universiti Cambridge. Untuk mereka yang berminat membaca hikayat ini, adalah amat sukar untuk menemui versi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1988 ini. Mungkin (sekadar satu tanggapan), simptom 'menyahcinta' ahlul bait sudah kian mengukuh, sehingga mengatasi kewarasan dan keterbukaan wilayah akademik serta intelektualisme.

Saya masih ingat buku ini dibeli pada tahun 1990 di sebuah kedai buku di Kelang ketika saya menuntut di Kolej Islam Kelang. Saya membacanya dengan air mata bergenang dan bertanya 'Mengapa ada orang Islam berani dan sampai hati membunuh cucu Nabi Muhammad setelah kewafatan baginda?'

Saya hanya akan menurunkan beberapa perenggan dari Hikayat Muhammad Hanafiyyah (selain hikayat ini, Hikayat Perang Sabil turut dimanfaatkan) yang pernah dibaca oleh para pejuang Aceh untuk menjadi pembakar semangat mendepani soldadu penjajah Belanda.



"Wah kasihan kami! Wah kesakitan kami! Wah sesal kami! Wah Muhammad kami! Wah Ali kami! Wah Fatimah kami! Wah Hasan kami! Wah Husain kami! Wah Kasim kami! Wah Ali Akbar kami!" Maka isi rumah rasul Allah tiadalah menyadar diri. Pada ketika amir Husain syahid itu arasy Allah dan kursi gementar, bulan dan matahari pun redup, tujuh hari tujuh malam lamanya segala alampun kelam kabut, karena amir Husain terbunuhlah, peninggalan nabi Allah dan lihat-lihatan daripada rasul Allah: seorang cucunya, amir Hasan, dibunuhnya dengan racun, seorang lagi cucunya dibunuh segala kafir itu dengan senjata: kepalanya diperceraykan orang. Demikianlah halnya disembelih orang alim, supaya kita ketahui: hidup dalam dunia tiadakan kekal! Hay segala mereka itu yang Islam, sementaranya kita hidup dalam dunia, hendaklah ingat akan mati dan sedekala dengan air mata, karena isi rumah rasul Allah lagi dengan dukacitanya, supaya beroleh syafaat rasul Allah lagi dengan dukacitanya, supaya beroleh syafaat rasul Allah sallaLlahualayhi wa sallam! Ya Ilah l-alamin wa ya Xair an-nasirin! Bir-rahmatiKa ya Arham ar ahimin amin!

....

"Ya Fatimah Zahra, raja segala perempuan dunia akhirat! Hambalah memenggal tangan amir Husain! Halalkan dosa hambamu!" Maka ujar Fatimah: "Tiada aku menghalalkan dosamu! Bahwa Allah taalapun tiada mengampuni dosamu! Bahwa Allah taalapun tiada mengampuni dosamu! Karena bukan kerja kaukerjakan kepada isi rumah rasul Allah, sepertinya kaunista anakku! Tiada aku mau menengarkan katamu: tiada ada kasihanmu melihat anakku!" Maka Rasul Allah berbangkit menampar muka hamba (maka iramlah sebelah mukanya, barang siapa mlihat, mukanya iram sebelah, ialah yang memenggal tangan amir Husain anak Fatimah az Zahra, buah hati Ali Murtada, cucu Muhammad Mustafa s). Maka Fatimah berkata: "Hay celaka! Apa dikit dosa anakku amir Husain kepadamu, maka engkau menanggal tangannya? Berapa-berapa kalilah engkau daripada tangan anakku beroleh anugerah, dan karunianya akan dikau tiada kali, maka ngapa kaubalaskan akan tiap pekerjaan demikian ini? Tiada sekali engkau takut akan Allah taala dan tiada engkau takut akan Rasul Allah s dan tiada engkau takut akan segala sidang nabi sekalian dan tiada ada engkau malu akan segala malaikat dan tiada engkau malu akan daku dan tiada engkau takut akan kena la'nat Allah!"

Dua 'karya besar' ini mencetuskan soalan 'mengapa ada orang Islam berani dan betah membunuh cucu Nabi Muhammad saw setelah kewafatan baginda?'

Alhamdulillah soalan tersebut bergumul dalam benak dan dada saya membuatkan saya mengkaji dan menulis pula naskah mengenang Karbala nukilan saya sendiri pada tahun 2007.

Saya hanya mengharapkan Rasulullah saw menolong saya dan keluarga di akhirat nanti kerana waras sekali, menulis mengenang kesyahidan Saidina Husin kesayangan nabi pasti dipandang baginda. Insya-Allah. Saya hanya mahu menghidupkan kembali seorang manusia suci yang memang akan terus hidup abadi.

Ada manusia mengkritik saya kerana merujuk buku Taha Husain dalam entri sebelum ini. Mereka sangka Taha Husain menulis Fitnatul Kubra tanpa merujuk buku-buku sejarah klasik. Untuk mengangkat agenda mereka, segala sumber yang bersalahan dengan pegangan akan ditolak meski ia objektif. Jika mereka menolak Taha Husain, mungkin mereka tidak dapat menolak Maududi (atau kerana jahil mungkin mereka tidak mengenal siapa Maududi). Untuk budak-budak rumaja yang terbirit-birit membontot sekerat dua ulama salafi bermasalah yang mempertahankan penjenayah perang Karbala, eloklah diturunkan di sini petikan dari buku karangan tokoh gerakan Islam Pakistan, Maulana Abu Ala-Al Maududi yang saya baca dalam usrah sejak dari zaman di Kolej Islam Kelang lagi:

"Dan ketika ia terluka dan kemudian jatuh, mereka menyembelihnya dan merompak apa saja yang ada di atas jasadnya, mengoyak-ngoyak baju yang menutup tubuhnya, kemudian menggilasnya dengan kuda-kuda dan menginjak-injaknya dengan kaki-kaki mereka. Setelah itu mereka beralih ke khemahnya, merompak isinya, mencabik-cabik pakaian para wanita, memenggal kepala-kepala setiap orang yang telah gugur di Karbala dan membawa semuanya ke Kufah. Ibnu Ziyad tidak cukup menjadikan itu semua sebagai barang tontonan di hadapan orang banyak tetapi ia naik ke atas mimbar Masjid Jami' dan berkata: "Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menampakkan kebenaran dan ahlinya, memenangkan Amirul Mukminin Yazid dan kelompoknya serta membunuh si pendusta putera si pendusta, Husein bin Ali dan pengikut-pengikutnya"
.....
Memang ada beberapa perbezaan dalam riwayat-riwayat yang menyebut menyebutkan tentang tindakan Yazid dan ucapan-ucapannya di Istana Damsyik, tetapi sekiranya kita meninggalkan semua riwayat ini dan mempercayai satu riwayat saja yang menyatakan bahawa Yazid telah menangis ketika menyaksikan penggalan kepada Husein dan kawan-kawannya lalu ia berkata: "Sesungguhnya aku sudah puas dengan ketaatan kalian tanpa membunuh Husein. Terkutuklah cucu Sumayyah. Demi Allah, sekiranya aku yang berhadapan dengannya, nescaya aku akan mengampuninya."

Dan bahawa ia juga berkata: "Demi Allah, wahai Husein, sekiranya aku berada di hadapanmu, niscaya aku tidak akan membunuhmu." Sekiranya riwayat itu kita percaya maka masih ada pertanyaan yang ingin kita tanyakan, hukuman apakah yang telah dilakukan oleh Yazid ke atas diri gabenornya yang durjana itu atas perbuatannya melakukan kezaliman yang besar ini?

Berkata Ibnu Katsir bahawa Yazid tidak pernah menghukum Ibnu Ziyad, tidak memecatnya, bahkan tidak pernah mengirim sepucuk surat kecaman pun kepadanya."

[Lihat S.Abul Ala Maududi; Khilafah dan Kerajaan, jika cetakan Dewan Pustaka Fajar rujuk halaman 233-234]

Mempertahankan penjenayah perang Karbala adalah seperti mempertahankan George Bush, atau Ariel Sharon.

Saya ingin menutup entri tentang peristiwa sayu ini dengan soalan yang sama bergumul dalam jiwa saya sejak masih anak-anak dan remaja, ia masih bergema dalam kepala saya sehingga saat ini:

Mengapa ada orang Islam berani dan datang hati membunuh cucu Nabi Muhammad saw setelah kewafatan baginda? Dan mereka masih tidak segan silu mahukan syafaat baginda Rasul di hari masyhar kelak. Lebih menjengkelkan, mengapa ada agamawan sanggup berhempas pulas menutup sejarah dan mempertahankan pembunuh-pembunuh Saidina Husein dan keluarganya di medan Karbala? Tidakkah mereka tahu malu mengucapkan selawat buat Rasulullah saw dan keluarganya ketika dalam solat?

23 December 2009

Pembunuh Saidina Husin

Ada orang mengatakan pembunuh Saidina Husin adalah orang syiah yakni penghuni kota Kufah. Kerana itu sampai hari ini syiah meratap menangisi kekesalan perbuatan mereka. Entah dari mana sumber pandangan bodoh ini. Penghuni kota Kufah pada waktu Saidina Husin dibunuh itu adalah pembelot dan pengkhianat. Orang yang asalnya berjanji tetapi tidak mempertahankan Saidina Husin (dalam hal ini membela cucunda Rasulullah saw yang mencintainya sahaja akan beroleh cinta Allah) tentu tidak dapat dianggap kaum muslimin melainkan kaum munafikin. Kesal kemudian sudah tidak berguna. Yang jelas, selepas penyembelihan Saidina Husin, pendokong sebenar ahlul bait muncul di merata-rata tempat.

Jika malas mengkaji dan tidak mengerti lebih baik diam. Kerana tentu anda tidak mahu mati dan menerima siksaan dalam kubur di mana ular masuk ke dalam mata dan hidung anda. Seperti mana yang dialami oleh Ubaidillah bin Ziyad.

Saya ingin memetik bahagian dari buku 'Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam' karya Taha Husain yang terjemahannya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990. Buku ini saya baca pada tahun pertama saya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Petikan ini adalah dari bab-bab hujung buku beliau yang dinamakan bab 'Gugurnya Hussein bin Ali K.W':

Dalam dialog tersebut Hussein menawarkan salah satu daripada tiga pilihan kepada Umar bin Saad: pertama, membiarkan Hussein dan rombongan pulang kembali ke Hijaz, kedua, memberangkatkan Husein dan rombongan ke Syam untuk bertemu langsung dengan Yazid dan menunggu apa yang akan terjadi antara dua orang itu, ketiga, membiarkan mereka berangkat ke salah satu garis pertahanan untuk bergabung dengan pasukan muslimin yang sedang menghadapi musuh dari luar, dengan syarat: ia dan semua anggota rombongan berhak menerima hadiah sesuai dengan kewajiban mereka dalam peperangan.

Pada dasarnya Umar bin Saad setuju memilih salah satu di antara tiga pilihan itu, namun ia menjawab, "Akan saya rundingkan dengan Ubaidillah Bin Ziyad." Umar bin Saad kemudian mengirimkan laporan tertulis kepada Ubaidillah tentang tawaran Hussein, tetapi Ubaidillah tidak mahu selain Husein harus tunduk kepada kekuasaannya. Hal itu ditegaskan dalam surat jawapannya kepada Umar yang dibawa oleh Syamir bin Dzil Jausyan. Kepada Syamir, 'Ubaidillah bin Ziyad memerintahkan: 'Bacakanlah surat ini kepada Umar dan lihatlah apa yang akan diperbuat olehnya. Kalau ia bergerak memerangi Hussein, engkau harus turut berperang dan bantulah dia hingga selesai. Jika ia tidak turut berperang dan bantulah dia hingga selesai. Jika ia tidak mahu berperang atau keberatan, pancunglah kepalanya dan gantikan kedudukannya sebagai komandan pasukan.' Setelah Umar bin Saad mengetahui isi surat Ubaidillah kepada pembawa surat itu, ia siap bergerak untuk melancarkan serangan terhadap Husein bersama-sama rombongan.

Sebelum itu ia meminta kepada Husein bersama-sama rombongan. Sebelum itu ia meminta kepada Husein supaya bersedia tunduk kepada kekuasaan Ubaidillah bin Ziyad, tetapi Husein dengan tegas menolak 'Daripada menerima itu, lebih baik mati.'

Umar dan pasukannya mulai bergerak menyerang Husein dan rombongannya yang terdiri dari tujuh puluh orang, tidak lebih. Lebih dari setengah hari pertempuran berlangsung. Dalam pertempuran itu Husein mengalami cubaan maha berat bersama saudara-saudaranya dan anggota-anggota keluarganya mati terbunuh termasuk beberapa orang anaknya sendiri, anak-anak abangnya dan saudara-saudara misannya. Husein sendiri orang yang gugur paling akhir setelah beberapa saat menerima pahit getirnya cubaan yang paling berat.

Ketika itu sekelompok orang dari pasukan Umar bin Saad marah terhadap sikap Ubaidillah yang menolak tiga pilihan yang ditawarkan Husein kepadanya. Mereka meninggalkan barisan dan bergabung dengan Husein, turut bertempur di pihaknya hingga semuanya gugur. Dengan terjadinya peperangan itu seluruh kaum muslimin menyaksikan ada sebuah pasukan atau segolongan kaum muslimim di bawah pimpinan seorang Quraisy, anak seorang tokoh terkemuka kaum Muhajirin (yakni: Umar bin Saad bin Abi Waqqash) membantai putera-putera Fatimah binti Muhammad Rasulullah, mencincang putera-putera Ali bin Abi Thalib k.w, memancung kepala dua orang anak Jaafar bin Abi Thalib, pahlawan syahid perang Mu'tah yang oleh Nabi saw sendiri diberi gelar at-Thayyar ertinya Yang Suka Terbang. Semua kaum muslimin tahu benar, bahawa Umar adalah anak Saad bin Abi Waqqash salah seorang sahabat Nabi saw yang terkemuka, orang yang dalam sejarah kaum muslimin merupakan orang pertama melepas anak panah terhadap musuh Islam, salah satu di antara sepuluh orang sahabat yang dijanjikan oleh Nabi Saw masuk syurga, panglima pasukan muslimin dalam peperangan melawan Parsi, dan seorang yang sama sekali tidak melibatkan diri dalam pertikaian di antara sesama kaum muslimin, baik langsung ataupun tidak langsung. Segenap kaum muslimin menyaksikan tindakan anak Saad bin Abi Waqqash yang bernama Umar itu membantai hampir semua anggota keluarga Rasulullah saw demikian ganas dan buas. Setelah semua terbunuh, kepala mereka dipancung dan batang tubuhnya dilucuti pakaiannya, termasuk Husein, yang setelah dipenggal kepalanya dan dilucuti pakaiannya ditinggalkan begitu saja tergeletak di bawah langit. Tidak hanya sampai di situ saja, bahkan pasukan muslimin atau golongan yang dipimpin oleh Umar bin Saad bin Abi Waqqash itu memperlakukan mayat para anggota ahlul bait Rasulullah itu dengan perlakuan yang sama sekali tidak patut dilakukan oleh kaum muslimin, lebih-lebih terhadap sesama kaum muslimin sendiri. Mereka menggiring sejumlah wanita muslimat anggota-anggota ahlul bait sebagai hamba hasil rampasan perang, termasuk Zainab binti Ali bin Abi Thalib k.w cucu puteri Rasulullah. Semua digiring ke hadapan Ubaidillah bin Ziyad...

(halaman 695-697)

Dan tahukah anda apa yang berlaku kepada Ubaidillah bin Ziyad? Pembunuh cucu nabi Muhammad saw ini kemudiannya? Hadis yang dipetik dari Sunan Tirmidzi ini bernombor 3780 untuk kita renungi bersama:

Washil bin Abdul A'la menceritakan kepada kami, Abu Mu'awiyah menceritakan kepada kami, dari A'masy, dari Umarah bin Umair, ia berkata: Ketika kepala Ubaidillah bin Ziad dan sahabat-sahabatnya didatangkan, maka kepala-kepala itu disusun di halaman masjid. Aku kemudian sampai kepada orang-orang - untuk melihat kepala-kepala tersebut - sementara itu mereka berkata, 'Telah datang, Telah datang'. Ternyata seekor ular telah datang dan memasuki kepala-kepala itu, hingga masuk ke lubang hidung Ubaidillah bin Ziad. Ia kemudian berhenti sejenak, lalu keluar dan pergi, hingga menghilang. Orang-orang kemudian berkata, 'Telah datang, Telah datang.' Ular itu kemudian melakukan perbuatan seperti tadi sebanyak dua atau tiga kali.

Sanadnya sahih. Hadis ini adalah hadis hasan sahih.


Siapa berani membela pembunuh cucu Nabi setelah membaca hadis ini?

Marilah kita berlindung dari syaitan yang direjam, termasuk agamawan yang tubuhnya bersalut ilmu tetapi isi di dalamnya adalah setan. Hari ini mungkin anda mempersendakan kematian cucu Rasulullah saw dengan membela pembunuh-pembunuhnya, hari esok anda pasti akan menerima balasan kemurkaan Rasulullah saw, kemurkaan Saidatina Fatimah Zahra berhujung dengan kemurkaan Allah swt. Oleh itu jangan berkata apa-apa jika tidak tahu, kalaupun tidak mahu mengkaji dan membaca sehingga jadi tahu.

22 December 2009

Mengenang Tragedi Karbala

Ada orang bertanya saya, mengapa harus membuka-buka dan membesar-besarkan perihal Saidina Husin cucunda Rasulullah saw dibunuh Yazid dan tenteranya. Yang sudah-sudahlah kata mereka.

Alangkah jahil manusia itu. Saya menjawab:

1. Yang sudah-sudah itu sejarah dan sejarah wajib kita pelajari dan kita bongkar untuk membolehkan kita meletakkan diri kita dalam kebenaran. Bukankah kita berdoa dan membaca al-Fatihah dalam solat meminta jalan yang lurus? Maka jalan yang lurus itu harus kita kenali. Jalan lurus itu boleh sahaja disimpang siurkan oleh kaum munafik yang boleh kita kenal jika kita rajin melakukan analisis.

Apa yang ada dalam al-Quran antaranya ialah sejarah; sejarah para nabi, sejarah umat terdahulu. Jika ia adalah yang sudah-sudah dan tidak harus dibangkitkan lagi, maka mengapa al-Quran menyatakan semua hal yang sudah-sudah itu?

Allah berfirman supaya kita mengambil pengajaran dan merenung sejarah: “Bacakanlah kepada mereka kisah orang-orang yang Kami berikan ayat-ayat Kami lalu mereka menjauhkan diri dari ayat-ayat tersebut lalu Syaitan mengekorinya dan jadikan dia orang-orang yang sesat. Kalau Kami kehendaki, Kami akan mengangkat (kedudukan)nya dengan ayat-ayat tersebut tetapi dia telah cenderung ke (perhiasan dan godaan) dunia dan mengikut hawa nafsunya. Dia adalah umpama anjing yang sekiranya kamu memikulnya ia menjelirkan lidahnya atau sekiranya kamu membiarkannya ia menjelirkan lidahnya (juga). Demikianlah perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami. Ceritakanlah kepada mereka kisah-kisah supaya mereka berfikir” (Al-A’raaf:175-176).

Nah, tidakkah saudara mahu berfikir seperti yang dituntut oleh Allah? Mengapa saudara ingin menutup peristiwa pembunuhan cucunda Nabi Muhammad saw? Kita wajib memikirkan ia dan berpihak dalam hal pembunuhan tersebut.

2. Peristiwa pembunuhan cucu Nabi Muhammad wajib direnung kembali. Kerana jika saudara inginkan syafaat Nabi Muhammad di akhirat kelak, tiada jalan yang munasabah melainkan menerusi cinta kepada keluarganya (dalam konteks ini cucu baginda Saidina Husin).

Saya ingin memetik hadis ini, perihal Nabi Muhammad saw yang mencintai cucunya.

Sufyan bin Waki' dan 'Abd bin Humaid menceritakan kepada kami, keduanya berkata: Khalid bin Mukhlad menceritakan kepada kami, Musa bin Ya'qub az Zam'i menceritakan kepada kami, dari Abdullah bin Abu Bakar bin Zaid bin al Muhajir, Muslim bin Abu Sahl an-Nabbal mengkhabarkan kepadaku, Hasan bin Usamah bin Zaid mengkhabarkan kepadaku, ia berkata: Aku mengetuk - pintu rumah - Nabi SAW untuk sejumlah keperluan, kemudian beliau keluar dalam keadaan menutupi sesuatu. Aku tidak tahu apakah sesuatu itu? Ketika aku selesai dari keperluanku, aku berkata, "Apakah sesuatu yang engkau tutup itu?" Beliau kemudian membukanya. Ternyata Hasan dan Husin berada di atas kedua pangkal pahanya. Beliau bersabda, "Kedua anak ini adalah anakku dan anak dari puteriku. Ya Allah, sesungguhnya aku mencintai keduanya, maka cintailah keduanya dan cintailah orang yang mencintai keduanya.

Tentu sahaja ada motifnya Rasulullah saw meminta kita mencintai cucunya.

Dari doa Rasulullah saw pada hadis itu jelas sekali mencintai Saidina Hasan dan Saidina Husin akan membuatkan kita pula beroleh cinta daripada Allah swt. Dan memburu cinta Allah adalah wajib. Melainkan saudara mahu memburu cinta selain Allah!

Sayugia diingatkan, cinta ini bukanlah cinta seorang datuk kepada cucunya. Nabi Muhammad adalah seorang utusan Allah. Setiap kata-katanya, tindak-tanduknya adalah daripada Allah swt. "Dan tidaklah yang diucapkannya (Nabi Muhammad) itu menurut hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan." (An Najm: 3-4)

Maka, mengapa ada yang mahu menghalang pengucapan dan ekspresi cinta kepada Nabi Muhammad saw dan cucunya?

Tidakkah itu perbuatan jahat namanya? Tidakkah itu menyerupai perbuatan pembunuh-pembunuh Saidina Husin? Yakni cuba menafikan kebesaran, kemuliaan dan hak mereka.

Duhai bayangkan pula mereka yang membunuh Saidina Husin? Apakah mereka akan mendapat cinta Allah? Apakah mungkin ada dalam kalangan kita kerana jahil dan hanya mendengar cerita seorang dua ustaz beragenda, kita secara tidak sedar telah menjadi pengikut dan pembenar musuh Saidina Husin?

Ya Allah jauhilah kita dari penjahat-penjahat agama, khususnya mereka yang menyangka-nyangka tahu padahal mereka tidak tahu secara benar. Allah berfirman menerusi Surah Al-Hajj Ayat 3-4: Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan; yang telah ditetapkan kepada syaitan itu bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.

3. Adakah saudara boleh bermimpi untuk masuk syurga tanpa mencintai Saidina Husin? Bukankah baginda Husin penghulu di syurga?

Baca hadis ini:

Mahmud bin Ghailan menceritakan kepada kami, Abu Daud al Hafari menceritakan kepada kami dari Sufyan dari Yazid bin Abu Ziyad, dari Ibnu Abi Nu'am, dari Abu Sa'id al Khudri radiallahuanhu, ia berkata: Rasulullah saw bersabda, "Hasan dan Husin adalah pemimpin pemuda penghuni syurga."

Soalnya adakah orang tua di syurga?

Jika saudara cinta apa buktinya? Kematiannya yang tragis dan ngeri itu pun saudara tidak tahu dengan terperinci dan benar, bagaimana saudara boleh mengaku mencintainya dan ada hati untuk menjadi penghuni syurga? Bukankah jika kita tidak mengenal maka kita tidak mencinta. Soalnya jika anda kenal, kenalkah anda sungguh-sungguh mengapa Saidina Husin sampai syahid dibunuh dan falsafah di sebalik pengorbanan besar baginda itu.

4. Bagaimana cara kita mengenang kesyahidan Saidina Husin?

Dalam Sahih Tirmidzi hadis bernombor 3860:

Abu Said al-Asyajj menceritakan kepada kami, Abu Khalid al-Ahmar memberitahukan kepada kami, Razin memberitahukan kepada kami, dia berkata Salam menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku masuk menghadap Ummu Salamah sedangkan dia tengah menangis lalu aku berkata: Apa yang membuat kamu menangis? Dia berkata: Aku bermimpi melihat Rasulullah saw, sedangkan di atas kepala dan janggut beliau terdapat debu. Lalu aku bertanya: Apa yang terjadi pada engkau Wahai Rasulullah. Beliau bersabda: “Aku baru saja menyaksikan pembunuhan Al-Husin.”

Hadis ini dan yang semakna juga terdapat dalam Mustadrak Al-Hakim, jilid 4 halaman 19 dan Tahdzib At-Tahdzib, jilid 2 halaman 356, hadis ke 615. Juga dalam Dzakhair Al-Uqba, halaman 148.

Bolehkah menangis? Mengapa pula tidak boleh? Isteri Rasullullah saw, Ummu Salamah sendiri menangis mengenangkan pembunuhan Saidina Husin, mengapa tidak kita? Nabi tidak pula melarang isterinya. Bahkan Nabi Muhammad menjelma di hadapan Ummu Salamah dalam keadaan kesedihan sehingga berlumuran debu!

Nabi Yaakub a.s menangisi kehilangan Nabi Yusuf sampai matanya buta, Allah pun tidak melarang. Mengapa anda ingin menghalang saya mengenang pemenggalan dan pembunuhan cucu Nabi Muhammad saw dengan kesedihan?

5. Kalau kita benar-benar mencintai Rasulullah. Kita pun meraikan kelahiran baginda (maulidurrasul), kita raikan israk mikraj, kita raikan setiap kegembiraan baginda Nabi Muhammad saw.

Mengapa ketika kesedihan dan kedukaan Nabi Muhammad kita mahu melupakannya dan tidak mahu menangisinya seperti yang Rasulullah saw lakukan? Bolehkah saudara mencintai Rasulullah dan hanya bersama dengannya ketika senang dan meninggalkan baginda nabi ketika baginda bersedih? Tidakkah itu aneh? Dan adalah jelas, Nabi Muhammad saw dalam keadaan duka oleh kesyahidan cucunya yang dianiaya sedemikian rupa.

Mengapa saudara tidak mahu mengikut Nabi Muhammad? Mengapa saudara mahu mengikut ustaz saudara yang belum tentu dapat menjamin saudara ke syurga? Tidakkah itu perbuatan bodoh dengan menjadi seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang membuta tuli mengikut dan membuntut tanpa tahu kebenaran. Firman Allah dalam Surah At-Taubah Ayat 31, 'Mereka menjadikan Pendita-Pendita dan Ketua Agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah'.

Soalnya, dapatkah ustaz saudara yang belum tentu tahu sungguh itu menjamin saudara akan cinta Husin, cinta Nabi Muhammad dan kemudian cinta Allah?

Memang, ada bermacam-macam cara dan alasan diberikan untuk menutup kebenaran ahlul bait (dalam konteks ini Saidina Husin) tetapi saudara akan gagal. Firman Allah dalam Surah At-Taubah Ayat 32: Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, sedangkan Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka.

Berharaplah kepada Rasulullah, 'Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang berharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (Al Ahzab ayat 21).

Salam ke atasmu wahai baginda Husin penghulu syurga. Salam ke atasmu. Semoga Allah mencintai kami kerana mencintaimu. Dan laknat Allah untuk musuh-musuh Saidina Husin dan Rasulullah saw (serta orang yang mempertahankan mereka) laknat yang kekal abadi seperti mana dilaknat ke atas Abu Lahab.

21 December 2009

Cinta Hamka Kepada Saidina Husin

Ketika menuntut di Kolej Islam Kelang dahulu, saya ditugaskan untuk membeli beberapa buah buku yang baik untuk dimuatkan dalam surau. Saya menemui buku di atas dan membacanya dengan penuh rasa syahdu. Sungguh Yazid dan sekutunya telah membunuh Saidina Husin cucunda Rasulullah saw!

Hari ini, generasi Y yang ketinggalan dalam banyak perkara keilmuan (kurang membaca, mengkaji, menganalisis dan menggunakan akal) sering benar ditipu dan dibodohkan oleh fakta-fakta yang bersalahan oleh ustaz-ustaz yang memiliki agenda tertentu.

Pada prakata buku ini, Al Husain Bin Ali disisipkan kata-kata pengarang dan ulama tersohor Nusantara, Hamka namanya. Saya ingin menurunkan beberapa perenggan dari pendahuluan yang beliau tuliskan itu sebagai bukti (supaya saya tidak dituduh mencipta-cipta) kecintaan Hamka buat Saidina Husin sehingga beliau menziarahi baginda sebanyak dua kali di Karbala.

Tulis Hamka:

Seketika saya datang ke Irak yang mula-mula (Oktober 1950), dalam perjalanan ke Najaf (pusara Sayidina 'Ali) dan ke Karbala (pusara Sayyidina Husain), Muzawwir bertanya saya datang dari mana. Saya jawab dari Indonesia. Dia tanya mazhab, saya jawab Syafi'i. Lalu penunjuk jalan itu berkata: 'Mazhab Syafi'i adalah Mazhab yang paling dekat kepada syiah, dan paling cinta kepada Husain!

Maaf! - jawab saya - Saya tidak bermazhab syiah, tetapi saya mencintai Husain!

Sesudah ziarah tahun 1950 itu saya telah ziarah lagi pada tahun 1968. Jalan sudah lebih teratur. Najaf dan Karbala telah mudah dihubungi dari Baghdad, demikian juga ke negeri Samarra! Di sanalah ghaib Imam yang ke-12, dan di sana pula ditunggu (Muntazhar), karena dia akan datang kembali ke dunia ini membawa keadilan dan kebenaran. Demikian kepercayaan orang syiah.

Dari semua ziarah itu bertambahlah teguh rasa cinta saya kepada kedua cucu Rasulullah saw, Hasan dan Husain, di samping bertambah teguh keyakinan saya dalam Mazhab Sunni. Sebab cinta lain dan pendirian agama lain pula.

Ketika orang bertanya kepada saya berpihak ke mana saya dalam hal pertentangan yang terjadi di zaman dahulu itu, saya pun menurut saja akan pendirian ulama dahulu-dahulu, sebagai Imam Abu Hanifah, Hasan al Bishri dan Umar Bin Abdul Aziz.

Di antara mereka berkata:

Itulah darah-darah yang telah tertumpah, yang Allah telah membersihkan tanganku dari pada percikannya; maka tidaklah aku suka darah itu melumuri lidahku.

al-Haqir - Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (31 Mei 1978).

Saya ingin menutup entri ini dengan menegaskan: Takut apa mencintai ahlul bait dan menggali kebenaran mereka? Takut apa melaknat musuh mereka yang menumpahkan darah ahlul bait tercinta pada Muharram yang penuh pengorbanan ini, sungguh kita tidak dapat mencintai kekasih (Saidina Husin dan ahlul bait) dan dalam masa yang sama mencintai pengkhianat mereka (Bani Umaiyyah). Kita hanya boleh memilih untuk mencintai sepihak!

20 December 2009

Mengenal Penjenayah Perang

Abdullah bin Handhalah adalah seorang sahabat Nabi saw; setelah syahidnya cucunda Nabi, Saidina Husein di Karbala, beliau mengumpulkan orang ramai di halaman Masjid Nabi di Madinah dan berkata mengenai Yazid: "Hai manusia kami datang kepada kalian keraena seseorang yang meninggalkan solat dan mempunyai kegemaran minum minuman keras....dan gemar bermain dengan kera dan anjing. Maka apabila bai'ah kepadanya tidak dicabut, saya takut kita semua akan dihujani batu [oleh Allah] dari langit."

Hasan al-Basri ketika menyimpulkan perbuatan-perbuatan buruk Muawiyah mengatakan: "Pertama, ia telah merampas kerusi khalifah tanpa permesyuaratan. Kedua, dia berani menentukan anaknya [Yazid], pemabuk yang bergelumang dengan khamar, mengenakan pakaian sutera dan menabuh gendang itu sebagai khalifah umat Islam setelah kematiannya. Ketiga, menasabkan Ziyad bin Sumayyah kepada Abu Sufian [ayahnya] sedangkan Rasulullah saw telah bersabda: 'Seorang anak dinasabkan kepada ayahnya yang sah, dan tiada hak bagi penzina'. Keempat, dia telah membunuh Hujr bin Adi dan sahabat-sahabatnya. [al-Isti'ab, Jilid 1, halaman 135; al-Tabari, Jilid 4, halaman 208]

Abdullah, putera kepada Imam Ahmad bin Hanbal, pada suatu hari bertanya kepada ayahnya tentang hukum melaknat Yazid. Ia menjawab:" Bagaimana aku tidak melaknat orang yang dilaknat oleh Allah?" Kemudian Imam Hanbal membaca ayat dari Surah Muhammad ayat 22-23, yang bermaksud: "Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan, mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan dituliskan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya mata mereka." Kemudian dia berkata: "Kerosakan dan pemutus hubungan kekeluargaan yang bagaimanakah lebih besar daripada yang telah dilakukan oleh Yazid?" [Al-Bidayah, Jilid 8, halaman 223]

Penjenayah perang dan sekutunya telah membunuh permata hati Rasulullah saw.

Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan dalam Sahih Al-Tirmidzi daripada Ya'la bin Murrah menegaskan kecintaan kepada Saidina Husin akan mendapat cinta daripada Allah SWT:

"Husin daripadaku dan aku pula daripada Husin, Allah mencintai sesiapa yang mencintai al-Husin.”

17 December 2009

Revolusi Pembudayaan Selawat di MHI TV3, 18 Disember

Anggota Revolusi Pembudayaan Selawat yang pernah berlakon dalam pementasan teater Kopitiam Ghadir akan muncul di rancangan Malaysia Hari Ini (TV3) 18 Disember 2009 sekitar pukul 8-9 pagi Insya-Allah.

Mereka dalam rangka mempromosikan single berjudul Keutamaan Selawat. Semoga usaha murni mereka membudayakan selawat dalam hidup kita akan mendapat perhatian Allah, Rasulullah saw dan sekalian wali nan suci.

Tidak ada yang paling munasabah untuk kita lakukan pada pagi 1 Muharam melainkan menjiwai, menghayati dan membudayakan selawat.

Lawati blog RPS di sini (klik)

16 December 2009

Tun Dr Mahathir Lebih Terpuji...

Pemimpin rohani pakatan mengatakan Datuk Seri Najib sebagai pemimpin berani dan terpuji kerana melawat wilayah bergolak Narathiwat (klik sini). Secara logik tidak ada apa yang berani dan terpuji pada seorang pemimpin jika ia terhegeh-hegeh mengampu negara pengganas pembuli dan penjenayah seperti Amerika Syarikat. Malaysia adalah sebuah negara anggota dalam pergerakan NAM, iaitu negara-negara berkecuali. Lemah-lemah Pak Lah pun dia tidak terhegeh-hegeh. Dakwaan terhegeh-hegeh mengampu ini tidak keterlaluan memandangkan Tun Dr Mahathir pun telah menyelar dasar luar terhegeh-hegeh kita sekarang ini. Mengenang kembali sejarah, Tun Dr Mahathir berani bertindak terhadap setiap pengampu Amerika Syarikat, meskipun orang itu berada dalam kerajaan pimpinannya. Hari ini, ada parti memperjuangkan Islam bersekongkol dengan pengampu utama Amerika Syarikat. Meskipun saya menolak dasar PPSMI yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir tetapi ketegasannya terhadap kuasa Barat yang menindas tetap dipuji.

Tun Dr Mahathir mengatakan dalam blognya (sumber asal klik
sini):

1. Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berjanji akan tukar (change) dasar-dasar Amerika Syarikat.

2. Tetapi jauh daripada menukar Obama sudah tambah tentera Amerika di Iraq dan Afghanistan. Kem tahanan Guantanamo pun masih diteruskan.

3. Tetapi kita sudah tukar. Dahulu kita pertahan negara-negara yang ditindas Amerika Syarikat. Sekarang kita sokong Amerika Syarikat menindas Iran.

4. Kononnya kerana Iran hendak membuat senjata nuklear. Kononnya dunia akan diancam oleh Iran dengan perang nuklear. Setakat kita tahu yang mengancam ialah Amerika Syarikat dan Israel. Dan Iran menjadi sasaran mereka.

5. Amerika Syarikat mempunyai 10,000 nuclear warhead. Israel mempunyai beratus senjata nuklear.

6. Yang sudah guna senjata nuklear ialah Amerika Syarikat dan Israel bukan sahaja di Hiroshima tetapi di perang Teluk dan di Gaza. Mereka guna "depleted uranium" daripada bahan nuklear. Kita relakan. Secara rasmi kita tidak protes.

7. India punyai senjata nuklear. Begitu juga Pakistan.

8. Kenapa Iran tidak boleh? Gilakah Iran hendak lancar perang nuklear dengan dua biji bom nuklear? Amerika Syarikat, Rusia dan Israel sudah tentu akan balas serangan Iran dengan 25,000 bom dan roket nuklear yang dimiliki mereka. Iran akan hancur dan hilang daripada muka bumi ini.

9. Jika India, Pakistan, China, Peranchis, Britain, Amerika Syarikat dan Israel boleh memiliki senjata nuklear kenapa Iran tidak boleh?

10. Sekatan sanction sudahpun dikenakan keatas Iran. Kita tidak membantah. Tetapi kita tidak pernah sokong sanction.

11. Tetapi sekarang duta kita dipanggil balik untuk disoal kenapa tidak sokong Amerika (klik
sini).

12. Dasar-dasar lama memang patut dihapuskan. Tetapi inikah dasar baru kita?

Oleh kerana itu, yang berani dan sebenarnya terpuji (dalam hal ini) ialah Tun Dr Mahathir. Jadi pemimpin (rohani atau tidak rohani) kena jawab banyak soalan dalam kubur nanti. Salah satu soalan pasti akan ditanyakan tentang setan besar ini kelak.

Pemimpin "Rohani"

Demi meraikan pluralisme pakatan maka seorang pemimpin rohani tidaklah memadai. Maka ditampilkan calon-calon lain yang juga berkelayakan menurut piawai kesamarataan.



Doakan kita sekali wehhh!

Satira Ketupat Cinta (Musim Kedua): Asal Usul Bubur Lambuk

“Cett, bodoh tiada ingat Bendahara ini. Sudahlah gagap, suka bermain siasah dan tiada minat membangun negeri…bodoh pula ia. Beta sudah jatuh cinta dengan Puteri Kemboja.” Balas baginda Parameswara hampir-hampir murka.

Gesitlah Tun Perpatih Tulus pun menghantar utusan kepada Maharaja Hun Jen untuk merisik. Alasan perkahwinan itulah tentunya demi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua buah negara. Tidak berapa lama kemudian pulanglah Tun Perpatih Tulus lalu ia pun mengadu, “Adalah bagin…bagin…baginda Maharaja H…H…Hun Jen meletak syar…syar…syarat tuanku. Jika in….in…ingin jadi menan…menan…menantu hendaklah tuanku mema…mema…memasak sendiri bub…bub…bubur yang segala isi hancur lambuk tuanku. Ini kerana Maha…Maha…Maharaja Hun Jen itu tiada gigi ja…ja…jadi ia mahu makan bubur yang sed…sed…sedap tetapi isinya gembur lambuk sup…sup…supaya tiada perlu ia mengun…mengun…mengunyah dan senang ia menelan.”

Parameswara pun menitahkan Tun Lepat masuk, maka baginda pun bersuara, “Ajarkan kita mencipta sejenis bubur yang isinya hancur lambuk.”

Oleh memenuhi permintaan Parameswara, Tun Lepat pun mengajarkan baginda cara memasak bubur yang isinya hendaklah lambuk itu. Maka bergegaslah ia mencarikan beras, santan, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, jintan manis, lada hitam, daun kesum, serai, minyak masak dan beberapa ekor ikan kembung yang dibakar dan diambil isinya. Aduhai sedapnya tuan-tuan. Baginda Parameswara pun berpeluh-peluhlah ia turun ke dapur mencemar duli untuk mencuci bersih beras, memasaknya sehingga menjadi bubur. Kemudian ia memanas sedikit minyak, menumis bahan, memasukkan santan, serai, isi ikan dan daun kesum. Baginda pun berhempas pulas menggaul semua itu dengan buburnya sehingga ia sebati. Ditabur garam dan serbuk lada hitam, juga daun bawang dan bawang goreng. Bubur yang terkenal kemudian hari dengan namanya bubur lambuk itu pun segera dibawa masuk menghadap Maharaja Hun Jen. Maka baginda raja Kemboja itu mencecap sedikit dan oleh kerana ia lazat tiada terkata, baginda pun menggigil-gigil memakan bubur itu sehingga habis. Lalu ia pun bertitah, “Kahwinkanlah anak beta dengan raja Melaka itu.”

Satira dengan latar belakang ilmu gastronomi ini disirikan di Harakah setiap Jumaat.

15 December 2009

Buletin Pagi: PM Boleh Berbahasa Mandarin?

1. Belum terlambat rasanya kita menyahut seruan Perdana Menteri 1Malaysia kita yang mahu rakyat khususnya bangsa Melayu menguasai bahasa Mandarin. Insya-Allah kita belum terlambat (kalau mahu memang boleh sahaja, hendak seribu daya) meskipun PM sudah awal-awal lagi mengalah mengakui beliau sudah pun terlambat untuk mempelajarinya. Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib: “Mungkin sudah lewat bagi saya untuk mempelajari bahasa Mandarin, tapi saya berharap untuk melihat lebih ramai kaum Melayu mempelajari bahasa ini di masa hadapan" (lihat sini).

2. Bahasa Mandarin bakal menjadi bahasa penting di dunia memandangkan China semakin menjadi gergasi ekonomi sejagat. Ia bukan sahaja penting di peringkat global tetapi juga di Sungei Wang, Bukit Bintang. Iklan mencari pelayan di kedai-kedai sekitar kawasan itu menuntut 'mereka yang boleh berbahasa mandarin sahaja' untuk diterima bekerja. Jika anda tidak tahu berbahasa Mandarin maka anda tidak cukup 1Malaysia. Tidak apa tidak reti sepatah haram pun bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, tetapi kalau dapat bertutur dalam bahasa Mandarin maka anda akan diterima bekerja. Iklan-iklan seumpama itu menurut saya adalah iklan paling rasis menurut akal fikiran manusia. Bayangkan jika iklan jawatan kosong di sebuah kementerian berbunyi begini: 'Melayu sahaja' (baca: boleh mohon kalau reti bahasa Melayu sahaja).

3. Perdana Menteri memang terlambat untuk belajar bahasa Mandarin. YB Nizar Jamaluddin yang dirujuk oleh seorang menteri sebagai 'putus wayar' boleh berbahasa Mandarin dengan fasih. Samada dia kena tipu hidup-hidup (baca: dibonekakan) atau tidak dengan Cina meskipun boleh berbahasa Mandarin, itu saya tidak tahu dan boleh dianalisis lagi.

4. Tidak cukup itu, calon Pas dalam pilihanraya umum lepas bagi parlimen Parit, Dr Najihatussalehah Binti Ahmad (ya: perempuan) boleh berbahasa Mandarin dengan fasih. Itu pun rata-rata pengundi Melayu menolak beliau. Kalau seruan Datuk Seri Najib itu dilaungkan sebelum pilihanraya lalu, mungkin beliau (nama manjanya Dr Najiha) sudah mewakili rakyat di Parit ke Parlimen (lihat sini). Saya juga mendengar khabar angin yang pemimpin PAS kebanyakannya boleh berbahasa Arab. Saya kira ini juga satu kelebihan memandangkan bukan sahaja bahasa Mandarin akan diperlukan pada masa hadapan tetapi juga bahasa Arab. Petronas misalnya tentu memerlukan lebih ramai pekerja yang boleh berbahasa Arab memandangkan mereka mendapat kontrak cari gali dan menguruskan minyak mentah di Iraq baru-baru ini.

5. Sekiranya PM boleh berbahasa Mandarin mungkin krisis dalam MCA boleh diselesaikan dengan lebih mudah.

6. Belajar bahasa bukan ibunda memang susah tetapi mesti digalakkan dan diperkasakan. Tetapi keutamaan hendaklah diberikan kepada bahasa kebangsaan yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.

7. Kita tidak mahu negara kita menjadi caca marba dengan anak Tionghua tidak tahu berbahasa kebangsaan, dan untuk bercakap dengannya anak Melayu mesti berbahasa bukan kebangsaan iaitu bahasa Mandarin. Jika itu berlaku maka 1Malaysia yang diidam-idamkan akan menjadi fantasi khayalan.

8. Limau mandarin memang banyak khasiatnya. Ia kaya kandungan vitamin dan mineral; vitamin A,B,C termasuk Kalsium, Sodium, Pottassium, magnesium, Tembaga, Sulfur dan Klorin.

* Foto Dr Najiha sumbangan johorean8974.

Sinema Spiritual: Tentang Tembok

MENGAPA kita harus menonton sebuah dokumentari tentang tembok?

Sebuah dokumentari yang menyorot konflik Palestina, Mur atau Wall (2004); atau dalam bahasa kita ‘Tembok’ memberi kita dua sisi pertelagahan. Filem-doku arahan Simone Bitton ini mendekati tembok yang memisahkan bahagian-bahagian Palestina dengan negara haram Israel. Bitton merakam kehidupan sehari-harian warga Palestina dan Israel di sebalik tembok dan pandangan mereka tentang tembok yang memisahkan dua bahagian.

Dokumentari ini bermula dengan memperlihatkan tembok di bahagian Israel dengan suara beberapa kanak-kanak sedang ditemubual. Kumpulan kanak-kanak yang lurus itu ternyata telah diajar mengenai ‘kejahatan’ bangsa Arab-Muslim sehingga setiap patah kata-kata mereka tersemat kebencian dan rasisme. Salah seorang anak kecil yang hanya kedengaran suaranya sahaja berkata, ‘Tembok itu dibina supaya bangsa Arab tidak dapat datang membunuh kita.’

Lanskap Palestina yang indah tercacat oleh pembinaan tembok. Bitton berusaha menunjukkan lanskap indah Palestina yang terhalang oleh lingkaran tembok apabila satu demi satu konkrit menutup pemandangan. Tembok 60 meter lebar setinggi 8 meter dapat dikesani sepanjang Tebing Barat. Tembok sepanjang 703 kilometer itu bakal siap sepenuhnya tahun hadapan. Arkitek sebenar tembok celaka ini ialah Perdana Menteri negara samseng Israel bernama Yitzhak Rabin dengan slogan ‘keluarkan Gaza dari Tel Aviv’. Kontroversi tembok ini berkembang apabila Israel masuk mengambil tanah rakyat Palestina untuk membina tembok tersebut. Malah tembok itu juga dibina sepanjang ‘garisan hijau’ kawasan yang sepatutnya dikosongkan untuk kedua belah pihak.

Pada tahun 2004 pembinaan tembok ini dikecam oleh Mahkamah Antarabangsa yang menyebutkan ia sebagai ‘bertentangan dengan undang-undang antarabangsa’. ICJ atau Mahkamah Antarabangsa menggunakan kata ‘wall’ atau tembok untuk merujuk pemidang yang sedang dibina oleh Israel. Tidak menghairankan Israel memilih kata Geder HaHafrada atau pagar keselamatan. Rakyat Palestina menamakannya jidar al-fasl al ‘unsuri’ tembok perkauman demi mengingatkan masyarakat antarabangsa kepada dasar apartheid yang pernah diamalkan di Afrika Selatan. Kewujudan tembok ini menyukarkan rakyat Palestina untuk bergerak. Kadang mereka terpaksa berjalan selama 45 minit untuk melintasi bahagian tembok yang berpintu. Ia menafikan hak perjalanan. Tembok juga menyusahkan kemudahan perubatan di mana terlalu banyak kes ibu bersalin meninggal dunia sementara pesakit genting gagal mendapat rawatan kerana perjalanan sedekat 10 minit menjadi 110 minit. Dan paling penting, ia merupakan lambang perampasan tanah apabila 9.5 peratus tanah Tebing Barat milik Palestina terkorban menjadi bahagian Israel oleh pembinaan tembok.

Dalam Wall, dikemukakan seorang lelaki yahudi mempertahankan tembok yang ada dengan alasan anak-anaknya perlukan keselamatan. Seorang yang lain mendakwa ia hanya satu pembaziran kerana pengeboman berani mati masih berlaku. Seorang yang lain dengan waras mengatakan kepungan menerusi tembok ini hanya akan tambah melemaskan warga Palestina lalu mereka pasti bertindak untuk meleraikan kekusutan fikiran dengan membunuh lebih ramai Yahudi. Pada segmen tertentu tembok di bahagian negara haram Israel dianggap sebagai satu identiti, keselamatan, pertahanan dan keamanan.

Seperti yang telah diungkapkan sebelumnya, di bahagian Palestina, tembok itu dianggap penindasan, pemenjaraan dan kezaliman. Tetapi kita juga dihadapkan dengan fakta yang mengejutkan, batu-batu tembok yang diangkut untuk membina mur ini membolehkan dua tiga kerat pemilik kilang batu menjadi kaya, lantas memberi peluang pekerjaan kepada warga Palestina yang menganggur. Salah seorang buruh pembina tembok yang bernama Ahmad misalnya hanya mahu diwawancara seketika dan memberitahu beliau mendapat upah bayaran yang lumayan.

Wall cuba mengkaburi ‘sisi kebencian’ dua bangsa dua agama yang ditonjolkan pada kenyataan kanak-kanak di awal dokumentari ini. Dari situ ia membawa penonton kepada kehidupan harian kedua-dua bangsa di bawah muncung senapang. Menerusi penggunaan tiga bahasa, iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris pembikin filem ini mendekati orang-orang biasa yang kadang tertekan dan enggan menjawab soalan, kadang mereka meluahkan rasa kecewa dan acap kali pula mereka melarikan diri dan meminta supaya wajah tidak dirakam. Hasilnya sebuah dokumentari disulam suara tanpa muka. Pada penghujung dokumentari ini turut ditunjukkan satu persidangan video dengan seorang birokrat Palestina di Gaza yang kini turut terkepung oleh pagar besi.

Adegan terbaik dokumentari ini mungkin apabila Bitton merakam sekumpulan rakyat Palestina yang dalam keadaan terdesak menyabung nyawa memanjat tembok untuk ke bahagian lain. Dan sambil mereka memanjat itulah helikopter Israel berlegar mengitari ruang angkasa bersedia untuk menembak sekiranya perlu. Pada satu bahagian seorang lelaki menghulurkan bayinya di sebalik tembok yang berkawat besi sedang isterinya terpaksa memanjat menyingsing jubah sedang jilbabnya tersangkut oleh cerucuk besi yang tajam. Salah satu tembok itu tercatat kata-kata ‘fuck USA’.

Simone Bitton pembikin dokumentari ini ialah kacukan Arab-Yahudi. Beliau sendiri menyebut dalam dokumentari ini betapa beliau sendiri berada dalam dilema oleh dua tembok dalam dirinya sendiri. Bitton memulakan karier filemnya membikin doku pendek Solange Giraud nee Tache pada tahun 1981. Wall memenangi anugerah khas juri di Pesta Filem Sundance pada tahun 2005. Pun Wall selama 96 minit membosankan pada ketika-ketika tertentu. Di sebalik jatidiri Bitton yang bertembok itu ia cuba berlaku adil kononnya dengan menunjukkan penderitaan dan kerumitan dua bangsa akibat tembok konkrit gila ciptaan Israel. Dengan memaparkan kesengsaraan Yahudi dan bangsa Arab beliau cuba menyatakan apa yang terjadi adalah sama rata dan tidak menyumbang manfaat kepada mana-mana pihak. Sedangkan kita cuba dilupakan hakikat bahawa Israel itu sendiri sebuah negara haram yang sedang merampas dan merompak hak bangsa Palestina baik ia beragama Islam mahupun Kristian.

Artikel filem ini tersiar di Siasah edisi 13-19 Disember 2009. Hak penerbitan adalah milik akhbar tersebut. Dilarang menerbit dan memetik artikel ini semula. Harap maklum.