31 October 2009

Sikap Sosial Dalam Persuratan

Merujuk kepada persoalan sikap sosial di atas, persuratan hari ini wajar menjadi medan menawarkan pelbagai kaedah penyelesaian untuk masalah ummah. Menerusi karya persuratan pengarang muslim tidak sahaja menghantarkan pesan dakwah atau menunjukkan kebolehan kreativiti tetapi harus juga memugar segala kerencaman umat Islam supra mazhab yang boleh diadaptasi dan dimanipulasi kepelbagaiannya sebagai satu bentuk formula dan kekuatan baharu dalam menyelesaikan masalah ummah1. Sastera Islam yang hanya menawarkan persoalan cinta, dan menjejerkan masalah tanpa mengungkapkan formula penyelesaian adalah karya sastera Islam atau persuratan yang kurang manfaatnya untuk mendepani penjajahan budaya.

Berhubung rapat dengan hujah di atas adalah adanya kajian yang menunjukkan karya-karya puncak (produk hasil Sasterawan Negara) dalam sastera Malaysia tertumpu kepada aspek membikin-cerita. Ungku Maimunah Mohd Tahir (2009: 50-51) dalam kajiannya mencatatkan:

...penilaian Anugerah Sastera Negara menumpukan perhatian kepada cerita, isian cerita dan cara cerita dibina atau dibangunkan, yang semuanya diperikan sebagai wajar dalam penilaian sesebuah karya kreatif, khususnya yang berbentuk cereka. Seterusnya, tumpuan kepada cerita ini sekali gus memperlihatkan kesenangan dengan beberapa ciri utama pemikiran realisme, seperti yang pernah dikejapkan dengan utuhnya pada gandingan warisan Barat abad ke-19 itu.

...tidak dinafikan ada rujukan kepada ilmu, falsafah dan amanat tetapi rata-rata rujukan tersebut lebih bersifat kenyataan-kenyataan umum, yang tidak pula membincangkan ilmu atau falsafah yang diperkatakan itu. Begitu juga, sering yang dimaksudkan dengan falsafah atau amanat itu ialah isu, permasalahan atau persoalan yang digarap oleh novel atau cerpen yang diperkatakan itu.


Dalam hal ini, sekiranya karya-karya tokoh sastera negara dijadikan contoh pedoman, pengisian sastera yang diinginkan untuk menjadi benteng penjajahan budaya belum terjelma secara benar. Ini kerana jelas, unsur cerita yang mendominasi karya sastera tanahair adalah warisan Barat itu sendiri (penjajah). Sementara pengisian berbentuk falsafah dan pemikiran yang dapat menjadi pemangkin penyelesaian masalah ummah (sikap sosial) tidak kelihatan dalam bentuk yang signifikan.

Seperti yang telah ditegaskan sebelum ini, ICT dan segala macam produk yang berkaitan adalah bahagian peradaban Barat yang dapat dimanfaatkan oleh kita umat Islam untuk tujuan dakwah. Dalam hal ini persuratan atau sastera Islam yang mengandungi sikap sosial, formula atau solusi penyelesaian supra mazhab mestilah menjadi pengisian sekian macam produk ICT yang sedia ada (dan yang bakal bertunas) supaya ia tidak dimuatkan dengan isian budaya Barat yang tidak dapat menjadi penawar buat kita.

Dalam hal ini kekuatan ICT yang dapat menjadi bala bencana (kerana muatan penjajahan budaya) iaitu ‘sumber terbuka2’ dapat menjadi keuntungan sekiranya bijak dimanipulasi. Namun, adalah mendukacitakan ICT sebagai ’sumber terbuka’ kurang menjadi medan untuk berinteraksi, berdialog dan merumuskan ’sikap sosial’. Sebaliknya ’sumber terbuka’ ini digunakan oleh para dhaei untuk memasakkan kebenaran sendiri secara angkuh sambil menelangkup dan menggunjing pendakwah lain yang berbeza pendekatan. Kemunculan ICT sebagai ’sumber terbuka’ telah dijadikan medan vonnis in absentia yang dapat menyalakan perseteruan antara ummah. Kurangnya rasa tanggungjawab daripada tokoh-tokoh agama dalam mengurusi pengikut masing-masing mengakibatkan ICT yang dapat menjadi pusat kekuatan dan manfaat dakwah tercebur kepada pusat fitnah dan dakyah.

Petikan kertas kerja Zaman ICT: Sastera Sebagai Wahana Dakwah oleh Faisal Tehrani yang dikemukakan di Seminar Memperkasa Peranan Tekno-Dha’ei: Cabaran Dalam Pembangunan dan Penggunaan ICT anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia atau IKIM pada 27-28 Oktober 2009 lalu. Kertas ini dapat diakses di suaramalaysia.net.

30 October 2009

Pandangan Guru Saya "Ustaz Mud"

Masa belajar di Akademi Islam Universiti Malaya dalam bidang syariah dulu tidak ramai pensyarah saya yang mengalu-alukan penglibatan saya dalam bidang sastera dan seni teater. Akan tetapi seorang ustaz yang berpandangan jauh; banyak mendorong. Saya masih ingat kata-katanya yang amat berbekas, 'Jangan keluar nak jadi ustaz sahaja. Keluar jadi 'orang lain' juga dan bawa disiplin agama ini bersama dalam bidang baharu'. Alhamdulillah itu yang saya lakukan, meski banyak cabarannya termasuk dituduh bermacam-macam. Antara ujian lain ialah diperlakukan dengan begitu buruk oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Tak apalah. Sahabat seperjuangan, Salina Ibrahim, editor pengurusan di Karangkraf tentu bersetuju dengan kata-kata ustaz ini kerana beliau juga antara yang berani menyahut cabaran Ustaz Mud. Baca pandangan ustaz saya ini:

* SEORANG pembaca menulis e-mel kepada saya bertanya sama ada mazhab Wahabi betul atau salah, dan sama ada ia boleh diamalkan atau sebaliknya. Saya menjawab, mazhab itu sebahagian daripada mazhab-mazhab dalam Islam, malah ia lanjutan kepada mazhab Hambali.

Bagaimanapun di Malaysia ia tidak diperlukan kerana kita sudah ada mazhab Syafie yang terbukti sesuai dengan cara hidup kita sejak zaman berzaman lagi.

Persoalan tentang mazhab ini merupakan persoalan semasa. Ia tiba-tiba lahir setelah sekian lama masyarakat kita tidak berhadapan dengannya.

Dalam persoalan seperti ini tentu sekali ada pro dan kontranya. Kerana ia tidak bersifat hitam putih, tetapi sebaliknya kelabu. Maksudnya, persoalan yang boleh menerima hujah dan alasan sama ada untuk mengatakan ya atau tidak.

Sebenarnya perbezaan pendapat tentang mazhab sudah lama berlaku dalam masyarakat kita. Bagaimanapun ia lebih bersifat sementara dan akan hilang begitu sahaja selepas beberapa ketika.

Dalam tahun 50-an pernah berbangkit perbezaan pendapat antara kaum Tua dan Kaum Muda. Sengit sekali perbezaan tersebut sampai membawa tuduh menuduh dan kadang kala berkelahi. Namun akhirnya ia hilang begitu sahaja setelah semua pihak merasa puas berbalah.

Pada tahun 80-an, timbul pula persoalan tentang mazhab Syiah. Ia dicetuskan oleh kejayaan revolusi Iran di bawah pimpinan Ayatollah Khomeini.

Persoalan ini menjadi lebih hangat apabila melibatkan soal kafir mengkafir dan sebagainya. Malah ada yang masuk tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kerana terlalu celupar sehingga mengancam keselamatan negara.

Bagaimanapun perbalahan ini semakin reda dengan berlalunya masa dan timbul isu-isu lain yang lebih menarik untuk diperbalahkan.

Apa pun ceritanya, perbalahan tentang mazhab sebenarnya sebahagian daripada fenomena dalam budaya berbalah dalam masyarakat kita.

Tidak salah kalau dikatakan, masyarakat kita suka berbalah. Kalau tidak kerana mazhab, kerana politik. Kalau tidak kerana politik, kerana permainan.


Dulu sewaktu saya kecil, di Kelantan ramai orang berbalah kerana permainan kertok, permainan rebana, wau dan sebagainya. Perbalahan itu kemudiannya terhenti dengan begitu sahaja bila timbul isu-isu lain, termasuk politik antara Pas dan UMNO.

Apabila berlaku kerajaan campuran dan kemudiannya penubuhan Barisan Nasional (BN) yang diusahakan bersama oleh Perikatan dan PAS, perbalahan UMNO-PAS pun hapus dengan serta merta.

Apabila PAS ditendang keluar daripada BN, perbalahan antara dua parti Melayu Islam itu pun marak kembali. Malah begitu hangat sekali seolah-olah mereka tidak pernah berkawan.


Maksudnya, persoalan yang ada di hadapan kita ialah bukan soal Wahabi atau Salafi atau Syiah atau Ahli Sunnah Wal-Jama'ah. Apa yang sebenarnya ialah soal budaya suka berbalah sesama sendiri.

Maksudnya, sesama Melayu dan Islam. Dalam sejarah kejatuhan kerajaan Melaka ada dicatatkan, salah satu sebab kota gagah itu jatuh ke tangan Portugis ialah kerana adanya perbalahan dalaman di kalangan orang Melaka sendiri. Mereka asyik berbalah sehingga pertahanan negara terabai.

*Petikan sebahagian daripada tulisan Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid yang disiarkan oleh majalah Al Islam keluaran November 2009.

28 October 2009

Satira Ketupat Cinta II: Sira Pisang Boleh Berdiri

Tun Muznah Rais pun turunlah dari rumahnya untuk pergi mendapatkan Cik Puan Ani Petra yang melolong-lolong di laman.

“Ada apa mek? Salam tiada, angin tiada tiba-tiba geger mengamuk bertempik di laman sehingga di dengar khayalak ramai. Tiada malukah? Bergegar rumah kita mendengar suara tuan. Habis pecah segala pinggan mangkuk kita yang mahal-mahal.”

Menyirap darah Cik Puan Ani. “Nak pecah, pecah gi lah.” Maka Cik Puan Ani pun keluar dari tandu lalu dengan muka pongah lagi bengis terus menumbuk Tun Muznah Rais di muka sambil mengatakan, “Mu jahat, mu jahat!”

Entahlah tuan-tuan, entah apa-apa perangai mereka ini tiadalah lagi khabar. Bosan tuan-tuan bosan lagi kita. Bak kata orang Inggeris, all of them full of bullshit lah tuan-tuan.

Berita Tun Muznah Rais ditumbuk itu tibalah ke telinga Tun Perpatih Tulus yang gagap. Segeralah ia memanggil persidangan agung luar biasa untuk menghakimi hal yang sedemikian rumit. Sungguh soilek perkara, rumit ia memerlukan mesyuarat khas jua.

Adapun Cik Puan Ani Petra yang menumbuk Tun Muznah Rais itu tuan-tuan tiadalah ia dapat dibiarkan begitu sahaja. Dato Temenggung pun menghantar beberapa hulubalang atau katwal untuk menangkap Cik Puan Ani Petra. Kala ditangkap itulah Cik Puan Ani meronta-ronta lalu ia menggigit salah seorang katwal Benggali di lengan dan bahu sehingga berdarah bertanda lagi berbekas lengan berbulunya. Tiadalah Cik Puan Ani tahu di negeri Melaka hukuman menggigit polis itu boleh sahaja menyebabkan dibuang ke laut dan hilang gelaran ‘Cik Puan’ meskipun ia itu kaki bodek yang pandai membikin kuih lopes sekalipun.

Oleh kerana kuat gigitan Cik Puan Ani tiadalah berani sesiapa pun menangkapnya. Maka masuklah Cik Puan Ani ke dalam rumah, langsung ia ke dapur dengan perasaan berkobar-kobar tidak ingat. Ia ingin membawa sejenis makanan semasa berlaku persidangan luar biasa itu kelak. Maka cepat-cepatlah ia menyiat membuang kulit empat belas biji pisang, didapatkan air kapur secukupnya, dibuat pula air gula dan dipetik beberapa helai daun pandan. Adalah Cik Puan Ani itu asalnya dari negeri Kelantan di sebuah tempat bernama Kedai Mulong. Tempat bernama Kedai Mulong itu tidak jauh setanak nasi kerabu dari tempat bernama Tunjung yang tidak jauh pula dari tempat bernama Bunut Payung. Tempat bernama Bunut Payung itu tidak jauh sececah budu dari tempat bernama Kota Bharu di mana ia tidak jauh sekeropok lekor dari Pulau Melaka. Kesimpulannya oleh latar-latar tempat itu tuan-tuan memang ia pandai membuat sira pisang.

Dapatkan episod terhangat satira Ketupat Cinta II di mana sira pisang boleh berdiri di Harakah edisi Jumaat ini.

27 October 2009

Tazkirah Pendek: Bangau Oh Bangau Mengapa Engkau Kurus?

Kelantan menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes HIV baharu tahun lepas dengan 749 kes. Perkara ini didedahkan oleh salah seorang exco kerajaan negeri YB Wan Ubaidah Omar.

Hal ini didedahkan ketika menjawab soalan ADUN Pulau Chondong, YB Zulkifli Mamat.

Menurut YB Wan Ubaidah lagi peningkatan ini membimbangkan kerana kes-kes baharu ini membabitkan remaja dari usia 20-29 tahun iaitu sebanyak 25 peratus, sementara mereka yang berusia dalam lingkungan 30 ke 39 tahun pula membentuk 42 peratus dari kes-kes baharu tersebut.

Ustazah Wan Ubaidah seterusnya mendedahkan sesuatu yang lebih menggamamkan iaitu peningkatan jangkitan HIV itu adalah dari 'sexual transmissions' yakni dari 19 peratus pada tahun 2003 kepada 27 peratus dalam tahun 2008. Sedangkan jangkitan dari pemindahan jarum penagih dadah yang menyumbang kepada 70 peratus kes yang ada pada tahun 2003 merosot kepada 23 peratus.

(Lihat
sini)

Cara berfikir tipikal: Rasa elok kita salahkan UMNO (macam biasa) dalam hal ini. Mungkin cyber troopers mereka punya kerja. PAS sebagai kerajaan di negeri Kelantan sama sekali tidak boleh disalahkan kerana ia dapat membawa ahli dan penyokongnya ke syurga. Selain itu kita juga boleh salahkan remaja-remaja yang menghidap HIV ini kerana mereka tidak kuat iman di sebuah negeri yang Membangun Bersama Islam. Mungkin juga kerana secara geografinya Kelantan dekat dengan Thailand maka menyebabkan kita semua terkulai pasrah. Mungkin ini semua fakta yang tidak benar, dalam usrah dan kuliah tafsir kita diajarkan; 'Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” [Al Hujuraat:6]. Tapi, fakta ini didedahkan oleh YB Wan Ubaidah sendiri. Mungkin juga kerana pimpinan di sana sibuk bergocoh sesama sendiri maka bala pun turun sebagai peringatan; tapi emmm, tak mungkin sama sekali...ini negeri di bawah kepimpinan ulamakan? Jadi, kita kembalilah kepada 'teori asal' - ini semua salah UMNO dan cyber troopers nya.

25 October 2009

Nak Pecah, Pecah Gi Lah

Tulisan Ustaz Nasrudin Tantawi ini elok benar dijadikan jawapan kepada manusia yang perasan dan angkuh. Nak Pecah Pecah Gi Lah. Kalau pecah mu dapat apa?

Atas nama Allah swt kita bersyahadah, kitab suci al Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita, maka saya menyeru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini. Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada agen - agen musuh untuk menyelinap masuk merosakkan jamaah dari dalam.

Marilah kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat ukhuwwah fillah yang utuh lagi intim. Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak. Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya. Ianya tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam.

Baca penuh
di sini.

23 October 2009

Takkanlah Kerana Sayangkan 'Orang Itu' Sanggup Halau 'Anak Sendiri'?


Sudah tiba masanya PAS (Majlis Syura) secara serius menggantikan Mursyidul Am PAS yang kian hari kian nanar dan semakin tua. Kewibawaan beliau juga semakin pudar. Kebijaksanaan mencerna masalah sudah semakin terhakis. Beliau hanya mendengar 'acuman' satu pihak seakan-akan PAS hanya ada satu jalur. Beliau gagal menjadi bapa yang adil untuk semua anak-anaknya. Orang yang tidak patut dibela contohnya beria-ia dipertahankan (usaha menyingkirkan beliau pernah saya tulis di blog ini: lihat sini). Sebagai 'orang PAS' apabila Presiden yang dipilih secara demokratik mahu disingkirkan semata-mata kerana ingin mempertahankan parasit dari luar maka saya rasa itu sudah melampau.

Merujuk perlembagaan PAS, Fasal 7: Hukum, Kekuasaan dan 'Majlis Syura Ulama' pada bahagian 4 kurungan (d) adalah ditegaskan mesyuarat majlis syura ulama berhak melantik Mursyidul Am dan Timbalannya dalam kalangan ahli majlis tersebut. Jawatan Mursyidul Am ada had masanya iaitu 3 tahun (ulangan: 3 tahun); dengan syarat ia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura Ulama dan boleh pula diperbaharui setelah tamat tempoh (sekarang rasanya ada keperluan untuk tidak memperbaharui kedudukan beliau di situ). Dari segi lama memerintah beliau sudah hampir menyamai lamanya rekod Mahathir, Isa Samad dan mungkin juga mendiang Deng Xiao Ping. Kalau alasannya untuk terus memerintah kerana dapat buat pahala, maka tidakkah itu semacam menutup peluang orang lain untuk buat pahala juga?

Kecenderungan Mursyidul Am sekarang mencurahkan kasih sayang tidak berbelah bahagi kepada kumpulan moderat-liberal dalam parti Islam tersebut memualkan. Bukan sahaja beliau galak menyokong tokoh-tokoh berpalit mungkar, beliau ikut turun padang melancarkan buku aktivis Islam Liberal yang menurut sesetengah ahli PAS begitu menjolok mata. Usah bicara lagi tentang taghut dan kejahatan zionis.

Cerita-cerita tentang ketidakberdayaan beliau untuk mengawal tokoh tertentu di Kelantan semakin riuh kedengaran. Insya-Allah senjata akan makan tuan. Silakan panggil muktamar khas. Bincangkan dengan terbuka. Presiden boleh menjelaskan secara terang-terang mengapa beliau kian ragu dengan 'orang itu'. Banyak yang boleh dijejerkan. Pujian 'orang itu' buat Salman Rushdie (pencaci Nabi Muhammad saw) sebagai profound sudah memadai untuk menggetarkan serta meremukredamkan hati kita yang benar-benar ikhlas dengan Rasulullah saw.

Saya ingin bertanya, adakah keperluan menyingkir Haji Abdul Hadi Awang? Apakah manfaat yang akan didapati? Apakah mudarat yang mungkin kita tempuhi? Adakah hasrat beliau memanggil muktamar khas itu kerana mendengar 'hasutan' parasit luar? Tidakkah boleh dia bertenang dari melenting melatah menulis dalam blog sehingga ditertawakan oleh musuh?

Jika dengan memanggil muktamar khas tersebut, Presiden akan tersingkir, di mana pengaruh 'orang itu' dan segala macam kebatilannya akan terus dipertahankan, maka silalah lakukan. Itu akan mempercepatkan kehancuran sebuah gerakan Islam.

Maka hati siapakah yang akan puas dan menang dengan kepunahan tersebut?

Peribahasa Gigit

Gigit jari - Bermaksud; tidak dapat yang diharapkan. Contoh ayat: Seorang penyair veteran menggigit jari sebaik sahaja Dato Dr Anwar Ridhwan diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke 10.

Gigit lidah - Bermaksud; tidak hiraukan kecaman orang. Contoh ayat: Meskipun mendapat kecaman mufti wahabi, penulis muda tersebut hanya menggigit lidah dan terus mengarang pelbagai karya mengenengahkan pemikirannya.

Gigit Polis - Bermaksud; Ahli Parlimen Batu. Contoh ayat: Seorang penggigit boleh berdepan dengan hukuman penjara enam bulan, oleh itu janganlah kita menjadi seperti penggigit polis tersebut.

21 October 2009

Satira Ketupat Cinta II: Kuih Lopis Kaki Bodek

Tun Perpatih Tulus yang sedang bercengkerama dengan beberapa gadis muda Sasak gesit bangun dari katilnya.

Janganlah tuan-tuan hairan yang kamar kerja Dato Bendahara itu ada peraduan. Kerana ada seorang ahli siasah di zaman tuan-tuan pun begitulah kerjanya. Sungguh nalla ia.

Tun Perpatih Tulus segera menyahut, ”Cik...Cik Pu...Pu...Puan Rosdah.”

”Sudah. Jangan gagap-gagap lagi. Apa gerangan hak kita tidak terbela?”

”Hak?” Tun Perpatih Tulus teleng kepalanya. Sejak bila pula gundik seperti Rosdah berhak-berhak begini?

Rosdah menanggalkan kerudung, menebar rambut mengerbangnya yang berpundak tinggi sambil memandang Tun Perpatih Tulus penuh sakit. ”Kita mendengar khabar adalah Cik Puan Ani Kuih Lopis akan dibawa belayar ke negeri China.”

Ketawa Tun Perpatih Tulus ketawa. Geli hati pula rasanya.

”Mengapa Dato Bendahara tiada memberi peluang kepada kita? Bukankah kita juga cantik.” Rosdah serasa ingin menangis. ”Cantik kita tersendiri apa...”

Tawa Tun Perpatih Tulus merosot, ”Cik Puan Ros...Ros...Rosdah. Janganlah tuan berasa bimb...bim...bimbang. Adalah perihal siapa dibawa, si...si...siapa diting...ditinggalkan belumlah lagi diputuskan.”

”Belum muktamad?” Rosdah serasa berbunga kembang di hati. Serasa ada cahaya di hujung lorong gelap. Tetapi dada lebar tetap berdebar kerana jantung di dalamnya berkocak-kocak.

Tun Perpatih Tulus ketawa kembali. Terbahak-bahak ia bagaikan jin dirasuk iblis.

Rosdah tidak sabar lagi, ”Apa maksud Dato Bendahara?”

”Adalah kita sudah menga...menga...mengatur supaya Cik Puan Rosdah tetap dapat ber...ber...berangkat ke negeri Chin...Chin...China.” Tun Perpatih Tulus tersenyum jahat.

”Bagaimana?” Rosdah kehairanan. ”Kalau mahu kita memasak lagi kita tiada sanggup. Apalah perihal raja Melaka ini suka sangat makan, makan, makan dan makan...cerita ini asyik makan sahaja.”

Tun Perpatih Tulus ketawa lagi. ”Kita sudah menca...menca...mencadangkan kepada Raja Melaka supaya hanya gundik-gundik yang men...men...menang pengundian sahaja dibawa ke China.”

”Undi?” Rosdah terkesima.

”Kerana terlalu ramai ca...ca...calon gundik hendak dibawa, kita menca...menca...mencadangkan kepada baginda supaya diun...diun...diundi siapa yang dapat diang...diang...diangkut bersama.”

Makin terpinga Rosdah kebodoh-bodohan. ”Hendaklah calon yang ada semua diundi? Issyyy Dato Bendahara, kalau demikian caranya maka tidak dapatlah kita ke sana.” Rosdah tidak dapat menerima saranan itu, dalam bahasa Inggeris, what kind of madness is this?

”Menga...menga...mengapa?”

Rosdah bertakung air mata, ia menggentel hujung selendang dan menghadap jendela. ”Kita ini sudahlah gemuk, ada gear box kata orang di zaman akan datang. Berjalan pun terbuai-buai perut kita. Adalah kita ini orang baharu. Kahwin pun serasa bagai tidak dihendak. Siapa yang bakal mengundi kita kalau begitu. Pembesar, inang dan rakyat tentu akan memilih Cik Puan Ani yang cantik bagai bintang benua Keling. Lagipun khabarnya ia itu sering membodek raja dengan kuih lopis air gula, serta menabur beras secara percuma kepada rakyat jelata.”

Tun Perpatih Tulus ketawa ingkak. ”Adapun kita sudah menga...menga...mengatur supaya pembe...pembe...pembesar di jajahan seluruh Melaka juga dapat mengundi. Yang menge...menge...mengenal Cik Puan Ani hanya orang Melaka. Orang di Tel...Tel...Teluk Kemang misalnya mengenal tuan hamba. Maka kita cadangkan supa...supa...supaya mereka mengundi juga dari kejau...kejau...kejauhan. Undi utusan atau undi pos menurut kiranya.”

Rosdah tidak berkelip.

* Baca penuh di Harakah Jumaat.

20 October 2009

Hikayat Hang Tuah di Frankfurt dan Lain-Lain Cerita

Artikel ini telah tersiar di suaramalaysia.net (lihat sini), hak penerbitan dipegang oleh portal ini, oleh kerana itu adalah baik sekiranya saudara yang ingin memetik kembali entri ini, supaya hanya memaut sahaja portal tersebut ke blog saudara berbanding menyalin dan memadan entri ini di blog.


SAYA kurang pasti siapa yang pernah mengatakan ‘keagungan sesuatu bangsa timbul daripada para pengarangnya’, mungkin Ralph Waldo Emerson, atau Samuel Johnson. Tetapi saya percaya kepada kata-kata bistari tersebut. Memang untuk menggali budaya dan peradaban satu-satu bangsa, seseorang perlu mengangkut keluar khazanah bangsa sasarannya, membaca dan menekuni buku-bukunya, mengekor dengan penuh minat dan memahami setiap pesan yang dihantar. Tidak hairan Voltaire berpandangan bahawa setiap tamadun dibentuk oleh paling tidak ‘sebuah buku’. Islam ditunjangi oleh al-Quran, peradaban Cina ditandai oleh Analects, Hindu tampil dengan Veda, sementara Parsi mungkin diacu oleh Shahnameh. Saya kira bangsa Melayu diwarnakan oleh Hikayat Hang Tuah, dan Sejarah Melayu.

Minggu ini Hikayat Hang Tuah merayakan ‘kewujudan dan kehidupannya’ di Frankfurt sempena Frankfurt Book Fair, sebuah pesta buku antarabangsa yang sangat terkenal. Tahniah dan sekalung penghargaan buat ITNM atau Institut Terjemahan Negara di bawah pimpinan Encik Mohd Khir Ngadiron selaku penerbit semula buku ini.

Secara peribadi saya kurang menggemari Hikayat Hang Tuah, mungkin kerana ia mengisahkan perihal seorang kaki bodek yang sungguh menjengkelkan. Namun, kaki bodek seumpama Hang Tuah memang citra Melayu. Ia boleh terjelma berkali-kali dalam sejarah kita. Ia boleh menjelma dalam PKR, pada diri seorang ‘pesuruh kanan’, boleh menjelma dalam diri seorang ulama muda parti PAS, dan tentu, secara klasik ia muncul setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (yang baru berakhir). Justeru, Hikayat Hang Tuah menjadi signifikan untuk ditatap kerana ia memahamkan kita watak-watak bangsa Melayu berinteraksi dengan watak-watak bukan Melayu seperti yang ditunjukkan ketika era emas Kesultanan Melayu Melaka.

Sebagai seorang pengarang saya mencita-citakan sebuah karya yang akan hidup beribu tahun, meski saya sendiri sudah menjadi tanah nanti.

Ia bukanlah mudah.

Kerana itulah setiap orang yang mahu memulai usaha menjadi pengarang, atau perasan dirinya pengarang sehingga tidak boleh dikritik ditegur harus menyedari bahawa kerja menulis sebuah buku itu sebenarnya paling tidak ada enam kesempurnaan yang mesti dicapai. Meskipun buku yang dikarang itu hanyalah ‘sebuah novel’.

Kesempurnaan pertama ialah pemikiran asli. Kita harus menyediakan pemikiran, idea, solusi baharu untuk ummah, atau masyarakat yang kita uliti. Kerana itulah buku-buku contohnya, Malek Ben Nabi, Dr Ali Syariati, Murtadha Mutahhari, Syed Qutb, Syed Hossein Nasr, Thabatabaei dan banyak lagi akan menjadi sumur ilmu yang tidak kering. Saya kira ini sangat susah untuk dicapai.

Kesempurnaan kedua adalah tema atau subjek yang disentuh amatlah luas dengan mengupas pelbagai persoalan yang penting khusus yang menimpa masyarakatnya. Gejala murtad, fenomena Islam Liberal, hak asasi minoriti, kegilaan dan kefanatikan politik serta penyelewengan dalam kepimpinan adalah isu atau subjek yang mesti ditangani. Masalah yang berkait dengan batang tubuh masyarakat hendaklah dikuasai dan ditangani dalam karya yang diusahakan.

Kesempurnaan ketiga, sesebuah buku yang ingin menempa kedudukan seperti Hikayat Hang Tuah hendaklah relevan untuk masyarakat setiap zaman. Ia harus membicarakan hal-hal universal yang dapat dihubungkan oleh bangsa-bangsa berbeza di setiap zaman yang berlainan. Hal ini saya kira misalnya tercapai oleh karya-karya Dr Ali Syariati dan Murtadha Mutahhari sebagai contoh.

Kesempurnaan keempat ialah apabila buku tersebut tiba ke tangan sarjana yang betul, di mana ia dikupas, ditelaah dan dihujahkan sebagai satu kanun baharu yang boleh menjadi penawar atau ubat kepada masyarakat. Samada ia menjadi teladan atau sempadan, karya tersebut akan tetap ditubi dari pelbagai penjuru, menerusi pelbagai pendekatan sehinggalah banyak penemuan baharu ditemui. Kerana itu dalam Seminar Sehari Ranjau Sepanjang Jalan di Universiti Sains Malaysia pada 14 Oktober lalu, di sebalik puji-puja sejumlah sarjana terhadap karya guru saya, Shahnon Ahmad, ramai yang agak terkejut apabila saya mengatakan Shahnon gagal melunasi hal-hal paling basis dalam akidah kita terutama persoalan qadar dan qadha sehingga jika dibaca terdapat percik ajaran Jabariyyah di sana sini dalam novel klasik tersebut. Ramai yang agak gugup dan tidak berpuas hati tetapi sekiranya kita mahu menobatkan sesebuah karya itu sebagai ‘buku sempurna’ maka ia harus melalui proses pro dan kontra yang sihat.

Kesempurnaan kelima, sesebuah buku atau novel yang ingin diusahakan hendaklah sebuah buku yang tidak habis ditekuni dengan sekali baca sahaja. Berapa kali pun dibaca ia akan mendatangkan sesuatu, mendalamkan pengetahuan dan kefahaman serta mencerahkan kita pembaca, seakan-akan cahaya dalam fakulti benak yang mungkin pada bucu tertentu terdapat kegelapan diterangi lampu. Karya inexhaustible seperti inilah yang paling sukar digarap. Ia harus mempunyai banyak lapis-lapis makna dan tidak hanya menujah satu amanat. Saya kira karya seperti ini sangat sukar dikarang. Saya sendiri rasa amat tidak berupaya setiap kali memikirkan untuk menulis karya sesempurna ini.

Kesempurnaan terakhir ialah sebuah ‘buku sempurna’ ialah sebuah buku yang pengaruhnya bertahan dalam diri kita sehingga mengubah peribadi, cara pandang dan lantas kita menemui ‘perkara-perkara yang baharu’.

Inilah jenis-jenis kesempurnaan yang harus dan hendaklah dicapai oleh sesebuah buku (dalam hal ini juga pengarang). Justeru, dapat dikatakan sangat sedikit buku yang mencapai kesempurnaan sedemikian di pasaran (kedai-kedai buku).

Sebelum saya melelapkan mata, saya ingin sekali menulis buku dengan semua cita sempurna di atas, malah barangkali ada penambahan satu lagi kesempurnaan metafizik; yang saya kira merupakan kesempurnaan teragung. Sebuah buku yang sempurna dengan kriteria yang akan menyebabkan langit memberi pengiktirafan meski makhluk di bumi kurang peduli. Adakah buku sedemikian?

Kerana itulah, menulis buku dan menjadi seorang pengarang tidak pernah merupakan sebuah kerja yang mudah. Apatah lagi apabila terasa penulis itu ‘memaksakan’ pembaca dan masyarakat supaya ‘menerimanya’ sebagai pengarang yang sempurna. Dalam proses itu iblis pun memperdayakan sehingga paling besar sekali keikhlasannya mengarang tergadai lantaran mengejar nama. Kerana itulah pengarang yang sempurna tidak dapat tercipta dengan anugerah sempurna. Ia hanya terjelma dengan buku yang sempurna. Buku yang dipandang langit. Buku yang meninggalkan tanda.

Fanatik

Saya tertarik dengan pandangan Tun Dr Mahathir (bukan mengenai gear box) bahawa umat Islam mestilah menghindarkan sikap fanatik terhadap mazhab dan pemimpin agama. Kefanatikan terhadap mazhab dan kumpulan tertentu katanya, mengakibatkan persengketaan sesama Islam, sehingga berlaku bunuh membunuh. Beliau membawa contoh apa yang menimpa pengikut ahlus sunnah wal Jamaah dan syiah di Timur Tengah (khusus Iraq).

Tun Mahathir turut mengambil kesempatan 'membantai' sikap penyokong PAS yang percaya kepada dakwaan pemimpin mereka bahawa mengundi PAS dapat masuk syurga.

"Tetapi (oleh kerana) ketua dia kata, mesti ikut. Ini masalahnya, setia pada pemimpin sampai kita tidak soal dia, betul atau tidak. Sebab itu kita lihat, ada (ajaran) Ayah Pin, Ashaari Muhammad dan Rasul Melayu. Bila ada seorang kata (sesuatu), jangan tanya, terima saja. Jadi banyak yang jadi fanatik."

Dalam hal ini saya kira saya bersetuju dengan Tun Mahathir. Memang saya meluat dengan sesetengah ahli PAS yang percaya Nik Aziz maksum. Sama seperti saya jengkel apabila ada orang percaya ustaz hadis tertentu sahaja yang betul. Atau menyampah saya dengan orang yang mengkultuskan serta menabiyusufkan seorang politikus penyanjung Salman Rushdie.

Tetapi Tun ku sayang, kefanatikan dan kesetiaan membabi buta ini juga terpancar bagai cahaya terang dalam Persidangan Agung UMNO baru-baru ini. Ketua kata 1Malaysia, maka 1Malaysialah. Sebelumnya ketua kata hadhari maka hadharilah.

Bertanya memang penting. Kita tidak boleh mengikut sahaja. Pernahkah kita misalnya, bertanya, 'betulkah apa yang aku ikut selama ini? betulkah aku solat tunduk bangkit selama ini? betulkah mazhab yang aku taati selama ini sedangkan ia sendiri muncul di Baghdad ratus tahun setelah kewafatan Nabi Muhammad saw?

Tun, fanatik memang punca kejumudan. Ada seorang teman saya di USM yang saya minta buka fikiran membaca dan meneroka 'wilayah baharu' seraya saya memberi kuncinya - Kasyful Ghaibiyyah, dia jawab dengan mengatakan 'aku tak berani.'

Itulah juga satu cabang fanatik. Berada di zon selesa. Sedang zon selesa itu tidak pernah ditanyakan betul atau tidak.

Fanatik kepada pemimpin yang tidak patut, memang ultra tidak patut.

Jadi, ulasan saya untuk kenyataan Tun di atas, 'engkorang' sama sahaja, sama-sama bull shit lah Tun.

19 October 2009

Kami Tersinggung Dengan Tun Dr Mahathir

Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini (klik sini), bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyatakan beliau berasa amat tidak gembira dengan keadaan rakyat Malaysia yang disifatkan sebagai gem'o'k. Kata beliau lagi, penambahan ketara kumpulan penduduk yang terlebih gemuk atau obesiti agak merunsingkan.

“Pada masa ini, orang yang obes amat ramai, malah semasa mereka berjalan, gear box (merujuk kepada perut) mereka turut bergerak dan dibuai dengan kuat. Ini tidak elok kerana jantung mereka terpaksa bekerja lebih kuat untuk menampung keadaan itu.” katanya lagi.

Tun Dr Mahatir berucap sedemikian ketika merasmikan kempen Walk-a-Mile (WAM) sempena Hari Jantung Sedunia 2009 di sini hari ini.

Ekoran dari itu, Ketua Skuad Cinta (sebuah pergerakan wanita yang ingin menyebarkan cinta di negara ini) Puan Hajah Rosnah Mat Sor menyatakan mereka tersinggung dengan kenyataan Tun Dr Mahathir tersebut.

"Gear box siapakah yang beliau maksudkan?" Marah Puan Hajah Rosnah Mat Sor dalam satu sidang media di Hotel Permata yang turut dihadiri barisan tertinggi pergerakan tersebut.

"Seingat saya sebelum persidangan agung skuad cinta baru-baru ini kami telah pun melakukan liposuction. Jadi saya sangat pasti saya tidak begitu gem'o'k. Bahkan saya telah memastikan wajah saya kelihatan berseri dengan meruncingkan dagu dan menakik pipi. Saya sangat tidak puas hati. Kenyataan beliau ada unsur-unsur subversif. Ia boleh menyebabkan huru-hara dan ketidakamanan kerana orang gem'o'k akan sakit hati lalu tercetus pergolakan dalaman. Ia boleh menyebabkan isu keselamatan dalam negeri pula. Malah, ini bakal mengakibatkan slogan 1Malaysia kita yang menuntut pimpinan negara berlaku adil kepada mereka yang kurus mahupun gem'o'k seperti saya diketawakan oleh orang ramai. Saya menuntut Tun memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia khususnya ahli parti beliau yang mempunyai gear box." Begitulah kenyataan Puan Hajah Rosnah yang dibaca dengan agak kuat ketika sidang media tersebut.

Seorang exco skuad cinta, Puan Masnah Muis turut menyokong kenyataan rasa tidak puas hati Puan Hajah Rosnah sambil turut menyelar dakwaan Tun Dr Mahathir tersebut, "Tak baiklah perli-perli macam ni. Ketua kami bukan gem'o'k sangat pun. Sedang eloklah tu."

Sidang media tersebut diakhiri dengan persembahan duet Puan Masnah Muis dan Puan Hajah Rosnah dengan menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan oleh Christina Aguilerra, 'I Am Beautiful'. Turut mengiringi persembahan tersebut ialah kumpulan koir Kuala Pilah.

18 October 2009

Mahukah Hidup Lama Seperti Tun Mahathir? Mahukah Jadi Suami Yang Baik Seperti Tun Mahathir? Mahukah Bersenam Seperti Tun Mahathir?

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN, RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH dan AMIRAH AMALY SHAFAAT
(Dipetik dari Mingguan Malaysia 18 Oktober 09)


Apa hobi Tun pada masa lapang?

Dr. Mahathir: Sebenarnya saya tidak banyak masa lapang masa kini kerana kerap menulis. Saya mempunyai banyak rencana untuk blog saya, untuk memoir saya dan ada juga tulisan berkenaan dengan tajuk-tajuk tertentu yang belum lagi saya keluarkan. Kalau ada masa, saya cuma tonton televisyen sahaja. Hobi sebenar, tak ada lagi.

Tun nampak muda daripada usia sebenar, apa rahsia Tun kelihatan cergas dan bertenaga?

Dr. Mahathir: Saya memang aktif daripada dulu pun. Saya percaya kalau kita aktif terutama setelah kita bersara dan tidak ada lagi tugas-tugas tertentu, itu sendiri mempunyai kesan baik kepada kesihatan dan kecergasan kita. Jadi kerana kita cergas, maka kita akan merasa lebih sihat dan kerana kita sihat, maka kita lebih cergas. Jadi, orang yang bersara patut mempunyai hobi atau apa-apa minat tertentu yang akan menghabiskan masa siang dan malam mereka.

Bagaimana Tun memastikan keadaan kesihatan sentiasa stabil?

Dr. Mahathir: Saya jaga kesihatan saya. Memanglah kadang-kadang dapat juga penyakit seperti dahulu saya dapat penyakit jantung dan itu telah dirawat dan dibedah. Dan sekarang ini saya sudah pulih daripada sakit itu dan lega daripada kesan pembedahan.

Saya selalu mengambil berat tentang keadaan kesihatan saya iaitu kalau ada apa-apa yang saya rasa kurang baik, maka saya bertanya kepada doktor saya dan saya biasanya mengikuti arahan-arahannya dan ubat-ubat yang perlu saya makan. Selain itu, saya bersenam, saya berjalan dan saya juga guna treadmill kalau tak dapat berjalan kerana hujan atau lain-lain perkara.

Apa makanan kegemaran Tun? Adakah Tun menitikberatkan aspek pemakanan?

Dr. Mahathir: Makanan saya makanan biasa iaitu nasi dengan kari. Walaupun kadang-kadang saya pilih masakan barat atau Jepun tetapi kegemaran saya, saya fikir semua orang tahu, daripada lauk-lauk yang saya makan yang paling saya suka adalah daging bakar cicah air asam dan sayur keladi. Ini adalah kegemaran saya.

Tetapi saya tak makan terlalu banyak. Selalunya sederhana. Saya makan hampir semua, tak ada yang saya pantang sebenarnya. Dan setiap kali saya timbang berat untuk menentukan saya tidak terlalu berat.

Apakah aktiviti senaman kegemaran Tun?

Dr. Mahathir: Saya buat sikit-sikit sahaja iaitu saya angkat dumbel pagi-pagi dan saya buat senaman tarik nafas dan selain itu, saya juga guna treadmill dan berjalan.

Pada usia ini, sudah tentu Tun gemar bercuti dan melancong bersama keluarga? Apakah aktiviti riadah atau destinasi percutian Tun?

Dr. Mahathir: Saya jarang bercuti sebenarnya tapi setahun sekali saya ambil cutilah. Dalam 10 hari atau dua minggu. Tapi masa cuti pun kalau ada kerja yang boleh buat, saya buat juga. Dan saya selalu ke luar negara kerana ada urusan di sana, memberi ucapan-ucapan setelah dijemput oleh banyak kumpulan-kumpulan. Semasa bercuti, seboleh-bolehnya saya ingin supaya keluarga saya ikut bersama. Saya biasanya bercuti di laut

Mediterranean. Saya suka naik bot di Laut Mediterranean dan pergi ke bandar-bandar kecil di tepi-tepi laut seperti di Turki dan Greece dan kadang-kadang juga di Perancis.

Apa rahsia kebahagiaan rumah tangga Tun dan Tun Dr. Siti Hasmah yang telah bersama selama 53 tahun?

Dr. Mahathir: Dalam soal kebahagiaan rumah tangga, saya berpendapat bahawa apabila kita berkahwin, kita mesti bersikap bertanggungjawab. Kalau ada perpisahan, ia menyakitkan orang lain termasuk anak saya. Dan saya tak nak mereka menjadi tidak senang kerana kelakuan saya. Sebab itu saya lebih suka walaupun kita memanglah ada masalah, mungkin salah faham antara suami isteri, tapi akhirnya kita atasi dan kita balik berdamai. Dan saya tak minat untuk menyakitkan hati sesiapa termasuk isteri saya dengan mengadakan kegiatan-kegiatan yang kurang baik.

Sejak bila Tun perlu memakai cermin mata?

Dr. Mahathir: Saya mula pakai sejak umur 14 tahun lagi. Tapi rabun mata saya tidak kuat. Kalau saya buat ujian mata, saya boleh baca semua.

Saya bernasib baik kerana tiada katarak. Ada sedikit tetapi tidak mengganggu.

Apa pendapat Tun tentang kesedaran masyarakat sekarang tentang penjagaan kesihatan seperti virus H1N1?

Dr. Mahathir: Ini bergantung pada diri sendiri. Kita tidak boleh berharap Jabatan Kesihatan selamatkan kita, menolong kita daripada dapat jangkitan. Penyakit ini berpunca daripada jangkitan. Kalau kita tidak dekat orang yang ada jangkitan, kita tidak dapat kerana asasnya ada jangkitan. Kita perlu elak daripada berjumpa dengan orang ramai. Kita di sini seolah-olah tidak mengambil berat tentang pemakaian mask (topeng muka) walaupun sudah diarahkan. Ramadan yang lalu, saya pergi pasar Ramadan, saya pakai topeng tetapi pelanggan-pelanggan dan penjual-penjual tidak memakainya.

Kita tidak mengambil berat pasal ini. Misalnya, hidung berair, ini kena berubat dengan cepat.

Apakah nasihat Tun kepada masyarakat dalam menjaga kesihatan seperti penjagaan jantung?

Dr. Mahathir: Saya berpendapat masyarakat mesti mengambil tahu tentang kesihatan diri sendiri. Yang itu mereka mesti jaga daripada awal supaya tidak menjadi terlalu gemuk kerana makan keterlaluan dan mereka jaga supaya mereka cergas, jaga tubuh badan mereka terutamanya menjaga gigi dan lain-lain bahagian dalam badan kita.

Seboleh-bolehnya tidak makan barangan yang boleh mendatangkan penyakit kepada kita terutama kolestrol dan lain-lain kita makan secara sedikit, tak terlalu banyak.

Apa yang dilarang, kita cuba elak. Jadi dengan cara kita selalu mengambil berat tentang kedudukan tubuh badan kita, saya fikir ini memberi alamat untuk mengelak lebih awal sesuatu yang tidak dikehendaki terutama berkenaan berat badan. Dan kita punya profail, kalau kita tengok sesetengah orang perut mereka buncit kerana mereka tak jaga makan. Ini yang menyebabkan kemudiannya mereka tak nampak sihat. Walaupun mungkin mereka kuat dan sihat tetapi dengan profail yang tak begitu menarik, mereka akan tidak nampak sihat. Dan sebenarnya bila nampak tak sihat akhirnya betul-betul akan menjadi tak sihat.

15 October 2009

Gempa Bumi di Malaysia

Indonesia mungkin ada Malaysia yang baik dan budiman untuk menolong setiap kali gempa bumi. Tetapi kita, Malaysia, belum tentu ada sesiapa untuk membantu. Kita harus beringat bahawa dalam tempoh hampir dua tahun, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah. 37 daripadanya berlaku di sekitar garis sesar (garisan gempa bumi) Bentong di Pahang. Tiga lagi gempa bumi berlaku di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang). Demikianlah laporan yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Rosaidi Che Abas. Mungkin kejadian gempa ini akan menjadi bertambah kuat sekiranya ada lagi perbicaraan tertangguh, atau sekiranya ada pembunuh yang masih berkeliaran. Bencana tidak sahaja ujian, ia boleh jadi bala. Justeru kerana belum tentu kita akan ditolongi oleh jiran-jiran maka maklumat yang diberitakan dalam laman Pusat Maklumat Rakyat milik Jabatan Penerangan Malaysia ini eloklah diulit dan dibaca.

Apa Harus Anda Lakukan Semasa Berlaku Gempa Bumi?

Sekiranya Anda Di Dalam Bangunan

1. Duduk di dalam bangunan
2. Ambil perlindungan di bawah meja, meja tulis atau bangku yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut.
3. Bergerak ke arah laluan sebelah dalam (ambang pintu atau bingkai berstruktur atau sebelah dalam bangunan iaitu pusat paling kuat dan kurang kemungkinan untuk runtuh. Ia juga akan mengurangkan impak daripada objek yang jatuh) di mana mungkin.
4. Pilih lokasi yang boleh memberikan udara untuk bernafas dalam keadaan di mana bangunan runtuh di sekeliling anda.
5. Jauhkan diri anda daripada tingkap, rak buku, kabinet, cermin berat, pasu bunga tergantung dan lain-lain objek berat yang boleh menggelungsur dan jatuh.
6. Gerakan berbentuk gelombang boleh meremukkan cermin. Berhati-hati dengan kepingan simen yang jatuh.
7. Peluk sesuatu (kot, selimut, buku, akhbar, kotak kadbod dan lain-lain) untuk menutup kepala dan muka daripada bahan yang jatuh dan serpihan kaca.
8. Jangan gunakan lilin, mancis atau lain-lain punca api di sebabkan ada kemungkinan kebocoran gas.

Apa itu 'Duck Cover Hold'?

1. Berlindung di bawah meja atau perabot berat yang seumpamanya. Jauhkan diri daripada tingkap.
2. Jangan tergesa-gesa keluar memandangkan tangga mungkin rosak dan sesak dengan penghuni lain dan keadaan yang masih bergoncang.

Sekiranya Anda Di Dalam Bangunan Yang Tinggi

1. Berlindung menggunakan duck, cover and hold, dan kemudian tinggalkan bangunan sekiranya pemindahan diperlukan.
2. Jangan gunakan lif
3. Patuhi prosedur pengungsian bangunan.
4. Sekiranya Anda Di Laluan Pejalan Dekat Bangunan
5. Berjalan masuk ke arah muka pintu atau rapat ke struktur bangunan untuk melindungi diri anda daripada batu-bata, kaca, kepingan simen dan barangan lain yang jatuh.

Sekiranya Anda di dalam Kereta yang Bergerak

1. Berhentikan kereta secepat mungkin apabila telah pasti selamat di kawasan yang sesuai.
2. Walaubagaimanapun, jangan berhenti di bawah jambatan atau lintasan atas atau rentangan kabel atau di mana bangunan boleh runtuh ke atas anda
3. Tinggal di dalam kereta hingga gegaran berhenti. Kereta adalah penyerap kejutan yang amat baik.
4. Bila anda terus memandu selepas gegaran, berwaspada terhadap bahaya yang terhasil daripada gempa bumi seperti objek yang sedang atau telah jatuh, wayar lektrik yang terendam atau laluan jalan rosak atau berlubang-lubang.

Apa Anda Harus Lakukan Selepas gempa Bumi?

1. Periksa kecederaan. Bila gegaran berhenti kerosakan mungkin berlaku dan mungkin ada yang cedera.
2. Beri bantuan kecemasan bila perlu. Walau bagaimana pun, jangan cuba gerakkan orang yang cedera parah kecuali mereka di dalam bahaya berterusan.
3. Periksa kebakaran dan bahaya api. Padamkan api dengan segera jika anda mampu.
4. Jika anda terbau gas, buka tingkap dan tutup injap utama. Jangan nyalakan mancis atau gunakan api. Gunakan lampu suluh.
5. Tutup bekalan elektrik jika kebetulan ada kerosakan pada sistem pendawaian.
6. Tutup paip utama jika kebocoran telah berlaku.
7. Jangan sentuh pendawaian lektrik yang terendam dalam air atau objek-objek yang bersentuhan dengannya.
8. Periksa almari dan kawasan rak penstoran tetapi buka pintu-pintu dengan cermat dan waspada terhadap objek-objek yang jatuh.
9. Cuci dengan segera tumpahan ubat-ubatan dan lain-lain bahan yang berpotensi membahayakan.
10. Jangan makan atau minum sembarangan daripada bekas-bekas yang berdekatan dengan kaca yang telah remuk.
11. Jangan guna telefon kecuali untuk memanggil bantuan untuk melaporkan kecemasan (perubatan, kebakaran atau jenayah).
12. Keluar dari bangunan yang telah rosak teruk. Gegaran susulan boleh merobohkannya.
13. Hidupkan radio berkuasa bateri anda untuk laporan kerosakan dan informasi.
14. Jangan sebarkan khabar-khabar angin.
15. Bekerjasama dengan agensi-agensi penyelamat.
16. Untuk sementara, jangan masuk ke kawasan yang mengalami kerosakan kecuali bantuan anda diperlukan.
17. Kosongkan lorong-lorong untuk laluan kenderaan-kenderaan kecemasan.
18. Cuba bawa bertenang dan membantu kanak-kanak yang mungkin mengalami trauma akibat gempa bumi.

(lihat
sini untuk sumber asal.)

14 October 2009

Satira Ketupat Cinta (Musim Kedua): Gulai Daging Buat Rasuah

Janganlah tuan-tuan hairan apa gerangan Melaka pada waktu itu sudah pandai bermain rasuah kerana rasuah ini sudah ada sejak zaman Rom dan Parsi, jadi apa ganjil jika ia ada di negeri Melaka. Malah tidak Melayu jika tidak rasuah. Tidak hilang rasuah di Melaka.

Untuk itu Rosdah yang bakal mengahwini baginda Parameswara pun merencana ia untuk merasuah rakyat seisi Melaka makan-makan. Moga-moga rakyat akan terpesona dengan sajian sedap-sedap lalu memuji-muji kebaikan Rosdah lalu terlupa asal usul ia itu perempuan bangsat yang menggunakan kuasa menggoda untuk menjadi isteri pembesar.

Maka Rosdah pun memanggil Mail Rebung setelah ia berangkat pulang dari Bagan Pinang. Memanglah di Bagan Pinang ia itu diterima rakyat; kerana mana tidaknya, selain helah dan fitnah mengatakan ia itu dipukul sembilan keling, ia juga sempat menabur wang perak sebanyak-banyak di kota segala hulubalang darat tersebut.

Mail Rebung yang mendapat tahu Parameswara bakal beristeri baharu pun terkinja tergedik masuk menghadap di istana tumpangan Rosdah tidak jauh dari Sungai Putat.

“Apa gerangan tuanku memanggil patik?” Soal Mail Rebung.

Tersipu-sipu Rosdah malu. Segan dalam hati kerana belum lagi ia rasmi sebagai permaisuri tetapi sudah Mail Rebung memanggilnya gelar yang indah itu, berbunga hati Rosdah kembang setaman. Serasa ia ingin bingkas menari sehati berdansa dan menyanyi lagu asli tetapi kerana ia bimbang terlupa lirik dan suaranya tidak sedap seperti Siti Chairani maka ia pun tidak jadi berperangai sedemikian. Tetapi dalam hati ia menyemat juga, satu hari nanti ia teringin menyanyi-nyanyi di istana bersama adik beradik Jongos yang terkenal itu.

“Alaaaaa…usahlah bertuanku dengan kita. Belum lagi gelar itu lekat.” Balas Rosdah pura-pura marhaen dan merendah diri.

“Issy, memang tuanku berhak menggunakan gelar tersebut maka apa hendak dimalukan?” Mail Rebung menyucuk.

Tersenyum Rosdah kemalu-maluan, mengerokot tangannya kesukaan, sempat ia memegang pundak rambutnya yang mengerbang. “Kalau begitu kata tuan hamba maka tiada dapat kita menegahnya. Panggillah kita Paduka Tuanku Rosdah Garith Marya.”

Mail Rebung terdiam, merungut dalam hati, panjang sungguh nama gelar Permaisuri Melaka yang baharu ini. “Panggil pendek sahaja tidak bolehkah?”

“Rosdah?”

Mail Rebung menggeleng, “Cussss, Melaka pernah mempunyai seorang permaisuri jahat bernama Rosjah. Usahlah memakai nama yang dekat-dekat dengan namanya itu. Kita namakan tuanku Tun Kuala di Shamsinar?”

Tercengang Rosdah memikir hebat sungguh nama yang diberi, ”Bolehlah kalau begitu. Panggil kita Shamsinar ya? Serasa nama itu bergetah, serasa ia sungguh azizah.

Dapatkan novel bersiri ini di Harakah keluaran Jumaat setiap minggu.

12 October 2009

Tahukah Anda Oktober Ini Bulan Bahasa?

Sumber asal di suaramalaysia.net, klik sini.


OKTOBER ini diisytiharkan oleh kerajaan Malaysia sebagai bulan bahasa kebangsaan. Tahukah saudara Oktober ini bulan bahasa? Jawabnya, sebahagian besar dari kita - tidak tahu.

Mengapa? Saya akan beritahu mengapa, tetapi sebelum itu marilah kita memahami dahulu apa gerangannya bulan bahasa itu.

Ekoran keputusan kerajaan untuk menobatkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, maka semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan pun diarah untuk melaksanakan manca program bahasa sepanjang bulan ini. Arahan itu datangnya daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi arahan ini bukan main-main sifatnya.

Apa yang moleknya pada bulan bahasa? Moleknya terletak pada usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai satu bahasa atau 1bahasa untuk mencapai perpaduan serta bahasa komunikasi.

Oleh kerana itu menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dirancakkan lagi sepanjang bulan ini (Oktober) supaya penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat akan melata.

Sejajar dengan menumbuhkan minat menggunakan bahasa kebangsaan itu, maka kerajaan juga akan mulai memperkenalkan Anugerah Tokoh Ilmuwan Negara iaitu sebagai satu pengiktirafan kepada ilmuwan negara yang memberikan komitmen dalam usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa budaya tinggi. Maka bolehlah orang GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka dan persatuan-persatuan penulis melobi mulai sekarang. Kalau mengidam anugerah tetapi tidak melobi tentu tidak menjadi. Saya bukan perli tetapi ini memanglah realiti, malah saya sudah dapat mengagak dari sekarang siapa yang akan menyandang anugerah tersebut buat kali pertama (kalau dia masih hidup dan panjang umur sampai tahun depan). Tetapi biarlah tekaan tersebut saya simpan dalam hati sahaja dulu.

Yang paling muluk tentang bulan bahasa ini ialah keyakinan Tan Sri Muhyiddin terhadap keupayaan Bahasa Malaysia/Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Paling kecil, beliau telah memansuhkan PPSMI (walaupun sebenarnya lambat lagi nak menjadi gara-gara ‘soft landing’) kerana keyakinan kepada sistem pendidikan mestilah berteraskan bahasa kebangsaan.

Ketika merasmikan bulan bahasa, Tan Sri Muhyiddin di Kuching, beliau bermadah yang, "Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset."

Sebenarnya, ramai tidak tahu bulan ini bulan bahasa kebangsaan. Justeru usaha kerajaan tadi bolehlah dianggap kurang berkesan. Malah meleset.

Begini, hari ini sudah 8 Oktober, saya meragui yang bulan ini akan dipenuhi dengan aktiviti kebahasaan di agensi kerajaan mahupun di pelbagai kementerian. Birokrasilah katakan. Macamlah ada perancangan dalam badan kerajaan yang dapat dibuat ‘sekelip mata’. Di peringkat swasta, jangan harap langsunglah.

Ragu saya itu semakin berasas kerana selama ini saya perhatikan tidak ramai menteri yang menyambut usaha dan upaya Timbalan Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ini. Kalau bertutur mereka lebih selesa berbahasa Inggeris, termasuklah ‘yang satu itu’ (fahamkan siapa!). Rasa semacam Tan Sri Muhyiddin bekerja seorang diri dalam menyemarakkan bahasa Melayu. Saya mahu rasanya menawar diri menolong beliau, tetapi iyalah…siapa saya! Nak mementaskan teater di Dewan Bahasa dan Pustaka dinafikan, jadi serba tak kena. Dan saya tiada kuasa lobi, justeru memang tak terpandang dek Timbalan Perdana Menteri.

Jadi memanglah Tan Sri Muhyiddin bekerja seorang-seorang diri. Kalau Tan Sri membaca kolum ini (atau pembantu khas, setiausaha sulit, setiausaha politiknya ada menatap bait-bait artikel ini – dengan tulus hati – saya nak tolong Tan Sri.)

Jadi saya kira yang berbahasa hanyalah bulan. Orang belum tentu berbahasa.

Mengapa orang tidak peduli bulan ini bulan bahasa?

Sebabnya mudah:

Semalam, saya sempat merewang di Sungei Wang untuk membelanjakan wang yang ada dalam poket. Saya terserempak dengan seorang peniaga menjual barang mainan, berbangsa Cina (macamlah ada bangsa lain di Sungei Wang) yang boleh bertutur dalam bahasa Arab meskipun berkarat dan tidaklah selaju air ibarat fasihnya dee-jay IKIM.FM, Mona Jasman. Cukup dan memadailah bahasa Arab beliau itu untuk meraih minat seorang pelancong Arab yang bertubuh besar dan berjanggut panjang untuk membelikan anaknya helikopter dengan alat kawalannya sekali.

Setelah urus-niaga berjalan, saya pun bertanya kepada peniaga Cina tersebut bagaimana beliau boleh berbahasa Arab? Siapa yang mengajar? Susahkah mempelajarinya?

Beliau mendedahkan, ya, bukanlah rahsia, kerana wang semuanya jadi. Oleh kerana bahasa Arab sudah menjadi semacam bahasa yang penting untuk Cina itu berniaga maka dia harus boleh bercakap sepatah dua. Dan Cina itu memberitahu saya, ‘yang dia tak pandai berbahasa Melayu’ kerana sekolah tidak tinggi.

Saya pernah ke Beijing, di sebuah pusat membeli belah peniaga Cina tersebut boleh berbahasa Melayu, membilang angka dalam bahasa kebangsaan dengan baik sedangkan beliau bukan Cina Malaysia, bukan ahli parlimen (katakanlah DAP), beliau hanyalah peniaga langsir. Tetapi kerana ramainya pengunjung Melayu, mak cik-pak cik yang ditaja oleh Ketua Bahagian untuk jalan-jalan membeli belah di Beijing, mereka yakni peniaga Cina tersebut dengan sendiri berinisiatif untuk berbahasa Melayu.

Contoh klasik ialah peniaga Arab, Afghan dan Bangladesh di kota suci Mekah dan Madinah yang fasih berbahasa Melayu. Sebab apa? Sebab bahasa Melayu adalah bahasa jual beli dengan jemaah kita yang terkenal kaki joli.

Bahasa Melayu kalau hendak jadi bahasa kebangsaan yang gagah dan bermartabat, haruslah diberikan sisi komersialismenya. Jadikan ia bahasa perniagaan, bahasa jual-beli seperti mana di zaman Kesultanan Melayu Melaka lama dahulu.

Dengan itu nanti, bukan sahaja bulan bahasa akan menjadi laku; kedudukan aktiviti kebahasaan dan persuratan tak payah dibulankan, dengan sendiri akan rancak bersemarak. Orang akan mencari sendiri karya sastera kita, orang akan meluru membaca khazanah tradisi kita dalam bahasa Melayu. Dan dengan sendirinya bahasa kita akan dipandang bermaruah di mata dunia, di mata 1Dunia. Tidaklah kalau ke Paris untuk menjual nama negara kita kepada UNESCO akan bertutur dalam bahasa penjajah iaitu Inggeris (sedangkan orang Perancis haram hendak berbahasa Inggeris dan tetaplah pongpangpongpang berbahasa Perancis).

Soalnya, adakah komitmen politik sejauh itu?

Tan Sri Muhyiddinlah seorang diri.

Jadi, saya ragu. Bulan sahajalah yang berbahasa.

Manusianya, belum lagilah nampaknya.

11 October 2009

Faisal Tehrani: Menyampaikan Dakwah Menerusi Tiga Buah Novel Remajanya


(Sumber asal di sini)

KREATIVITI Minda Melayu-Jawa dalam Khazanah Bahasa, Sastera dan Budaya suntingan Noriah Mohamed, Hendrokumoro dan Paina Partana membawa pembaca memahami corak pemikiran dua kelompok terbabit yang terpapar lewat kreativiti penulisan warisan mereka.

Buku setebal 329 halaman terbitan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memuatkan 16 bab yang membongkarkan beberapa sisi menarik kedua-dua kelompok terbabit seperti sikap dan pola pemikiran masyarakat Jawa dalam Sastera.

Kreativiti Faisal Tehrani dalam menyampaikan dakwah menerusi tiga buah novel remajanya, Kisah Pak Kaduk dan Tragedi dan Kreativiti dalam novel Melayu yang disorot Dr Misran Rokimin turut menjadi satu daripada bab dalam koleksi tulisan dalam buku ini.

Melalui manuskrip Pak Kaduk: Makna, terlerai makna yang terungkap di sebalik nama dan alur kisah watak lurus bendul dalam sastera rakyat Nusantara yang sering memberi makna tertentu lewat karya yang dipersembahkan agar khalayak tidak berasa tersinggung.

Kisah Pak Kaduk jelas menunjukkan bahawa pengkarya Melayu sering membawa cerita dengan niat dan tujuan mendidik bangsanya secara tidak langsung, lalu penulis makalah menganggap sesebuah cerita lama perlu dicernakan dengan lensa orang lain bagi meneliti makna tersirat.

Selain kajian kisah Pak Kaduk, makalah kreativiti Faisal Tehrani: Menyampaikan Dakwah Menerusi Tiga Buah Novel Remajanya turut menarik perhatian dengan penelitian Dr Misran terhadap novelis yang mengangkat martabat kesusasteraan remaja.

Dalam makalahnya itu, Dr Misran mengupas kebijaksanaan Faisal melalui penelitian terhadap tiga novelnya, 1511H (Kombat), Advencer Si Peniup Ney dan Manikam Kalbu yang berjaya membawa mesej dakwah apabila berjaya mengajak golongan remaja kembali ke jalan yang diredai Allah SWT dengan karya berlatar sejarah tetapi dicerekakan.

Pemilihan Faisal sebagai subjek utama dalam makalah ini sudah tentu mendorong pembaca untuk berusaha memahami dengan lebih mendalam latar belakang dan perbincangan yang memperlihatkan daya kreativiti pengarang generasi baru yang begitu sensitif dengan isu semasa.

Menariknya, hasil penyelidikan Dr Misran terhadap tiga buah novel itu terutama Manikam Kalbu yang mengutarakan tema berbusana mengikut tuntutan Islam, bukan saja memberi peluang kepada pembaca mengenali Faisal dengan lebih dekat, bahkan mendorong penulis tidak sabar menghabiskan karya Manikam Kalbu yang baru saja memenuhi rak buku.

Halaman 259 yang mengangkat makalah Peranan Perempuan Jawa di Masa Revolusi: Kajian Terhadap 'Trilogi' Pramoedya Ananta Toer iaitu Panggil Aku Kartini Saja, Gadis Pantai dan Larasati; bukan sekadar menampilkan peristiwa sejarah semata-mata.

Murtini selaku penyelidik ketiga-tiga karya pilihannya itu, mendapati konsep pemikiran Jawa daripada ketiga-tiga tokoh perempuan karya Pram iaitu Kartini, Gadis Pantai dan Larasati, bergerak daripada percubaan pengarang malar zaman Nusantara itu bagi merombak mitos mengenai wanita Jawa yang selama ini dibelenggu oleh kepompong insan lemah.

Secara keseluruhan, buku ini berjaya tampil jempul dalam memenuhi sisi yang ingin ditampilkan lewat Kreativiti Minda Melayu - Jawa dalam Khazanah Bahasa, Sastera dan Budaya selain dicadangkan sebagai rujukan terbaik bagi mendalami pemikiran masyarakat Melayu dan Jawa terutamanya kepada pelajar serta kalangan ahli akademik.

INFO: Kreativiti Minda Melayu - Jawa dalam Khazanah Bahasa, Sastera dan Budaya

* Editor: Noriah Mohamed, Paina Partana dan Henndrokumoro
* Tebal: 329 halaman
* Penerbit: Atma, UKM
* Harga: Tidak dinyatakan
* Bintang: ****

Berita Harian 9 Oktober 09.

09 October 2009

Sastera di Sekolah

Oleh Faisal Tehrani

BIDANG kesusasteraan semakin merosot penerimaan dan penghayatannya di sekolah-sekolah hari ini. Adalah dipercayai kurang dari seribu buah sekolah sahaja lagi yang masih menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu di seluruh negara. Mengapakah sambutan terhadap sastera dikatakan melemah dalam kalangan remaja? Terdapat pelbagai jawapan yang subjektif untuk diketengahkan, namun begitu adalah lebih baik kita hanya menyorot kepada satu atau dua sahaja kemungkinan yang ada.

Sastera kita sebenarnya harus menjadi ‘persuratan’. Terdapat perbezaan yang genting antara sastera yang didasari oleh imaginasi khayal dengan persuratan yang bertunjangkan logik dan ilmu. Hari ini subjek sastera yang didalami oleh remaja di sekolah sangat teknikal dan struktural. Mereka belajar sastera sebagai satu subjek yang disarati maklumat tentang plot, watak dan perwatakan, latar dan sudut pandangan. Pengabaian falsafah dan cita sempurna yang ada dalam karya persuratan semakin dikesampingkan. Cita sempurna ialah keinginan untuk mencapai masyarakat sempurna yang berjaya.

Cita sempurna ini harus ada dalam karya sastera yang baik. Justeru, sebuah karya sastera yang baik ialah karya sastera yang mengandungi ilmu, falsafah dan penyelesaian untuk masyarakat. Tugas menyediakan sikap sosial, dan formula peleraian masalah tersebut jatuh pada pundak pengarang. Oleh kerana itu remaja atau orang dewasa yang mahu menggeluti sastera harus menyedari bidang penulisan dan kesusasteraan adalah disiplin yang memestikan peribadi pengarang itu dinomborsatukan.

Hari ini remaja kurang memahami keperluan dan peranan sastera dalam hidup mereka kerana selain sastera dilihat tiada nilai komersial, sastera juga telah menjadi sebuah subjek yang penuh dengan nilai-nilai khayal dan cerita sia-sia berbanding tugas sebenarnya iaitu menyediakan jalan keluar buat remaja itu sendiri. Cita sempurna dalam karya seperti unsur keilmuan yang mendebatkan sesuatu wacana misalnya tidak lagi mendapat tempat. Sebaliknya cita bencana yang disuguhkan dalam karya. Maka kita melihat sejumlah novel pop yang diuliti remaja membawa mesej kecelakaan dan nestapa sosial yang didramatikkan dengan cerita penuh kebejatan moral dan kehancuran etika. Kisah tentang anak haram, atau kesongsangan gender lebih terpandang berbanding kisah tentang peribadi-peribadi agung seperti Nabi Muhammad saw.

Remaja perlu difahamkan bahawa sastera adalah sumber ilmu (oleh kerana itu karya sastera yang tepu ilmu harus dicadangkan untuk jadi teks di sekolah) dan lebih baik jika ilmu itu adalah inter-disiplin. Ini bermakna remaja boleh sahaja dihidangkan dengan sebuah novel fiksyen sains mengenai penggunaan nuklear sebagai tenaga. Ini akan menjadikan remaja peminat sains dan teknologi tidak berasa asing lagi dengan sastera kerana minat mereka yang mendalam tersebut diraikan dengan baik. Atau boleh saja novel tentang budaya; misalkan seni busana Melayu yang tinggi falsafahnya diaduni dengan ilmu atau maklumat tentang proses mencipta baju atau benang (yakni proses kimiawi), ini sekaligus akan mendorong remaja tergugah imaginasi dan kreativiti mereka. Akan tetapi hari ini teks sastera yang dibekalkan kepada pelajar sudah menjauh dari realiti semasa mereka. Kesenggangan atau kekurangan inilah yang menjadi satu punca utama mengapa remaja merasakan sastera kurang bernilai di mata mereka, dan tampak tidak berguna atau mempunyai fungsi praktis dalam kehidupan.

Remaja juga semakin menjauhkan diri dari sastera kerana cara pengajaran subjek tersebut yang dikatakan membosankan dan lebih berbentuk hafalan tentang pengajaran sesebuah karya. Aspek penghayatan, pencerapan dan pencernaan karya sastera tidak lagi dititikberatkan sehingga menjadikan subjek sastera yang sepatutnya mempunyai maruah yang tinggi direndahkan. Oleh kerana itu kehilangan minat terhadap sastera dalam kalangan remaja tidak semata-mata dapat dituding kepada remaja itu sendiri. Pindahnya minat remaja kepada perkara-perkara yang lebih dekat dengan mereka menunjukkan sastera amat jauh dari mereka. Remaja yang meminati sastera misalnya lebih cenderung memilih bahan bacaan bahasa Inggeris kerana bacaan tersebut kononnya lebih menampung ragam estetika dan citarasa, serta trend semasa.

Untuk mengembalikan minat sastera kepada remaja bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan komitmen tinggi dari semua pihak. Misalnya, usaha menyuburkan kelab-kelab buku dan budaya membaca bahan tinggi masih lagi janggal di sekolah. Adalah penting kita menegakkan lingkungan kecintaan kepada seni dan budaya tinggi terlebih dahulu yang berpaksikan keilmuan dan keterbukaan mencerap multi pemikiran pada remaja. Dengan cara ini remaja akan sendirinya menyukai ilmu dan karya persuratan yang menampung ilmu akan menjadi kegemaran mereka. Minat terhadap karya sastera (persuratan) dengan sendiri akan tertakhta kemas.

Selain itu dalam banyak keadaan remaja perlu difahamkan bahawa sastera bukan sahaja sumber ilmu inter-disiplin tetapi merupakan warisan dan khazanah bangsa yang akan menjadi dokumentasi penting zaman. Sastera tradisional kita misalnya pernah menjadi benteng dan sekolah pemikiran yang berguna untuk mengekang remaja dari perkara yang tidak bermoral. Kita selalu menemui pantun-pantun nasihat, gurindam dan syair yang didaktis. Tujuan sastera tradisional tidak semata-mata berhibur tetapi adalah untuk mengajar dan menasihat. Pemugaran kembali sastera tradisional di mana ‘tujuan’ pantun dicipta dan peribahasa dihasilkan mesti digagahkan kembali. Pengetahuan guru yang mengajar pula mesti dapat mencapai maksud pengajaran sastera tradisional itu.

Hanya dengan cara mengembalikan kandungan sastera kepada ilmu sahaja jalan yang ada untuk memartabatkan kembali sastera dan sekaligus menarik perhatian remaja semula terhadap karya persuratan. Tanpa keberdayaan tersebut, usaha mendekatkan remaja dengan sastera adalah sia-sia. Ini kerana sastera akan kekal dilihat sebagai khayalan, dan permainan bahasa orang yang nanar.

Dewan Siswa, Oktober 2009.

Herta Muller dan Orang Islam

STOCKHOLM 8 Okt. - Seorang penulis Jerman yang dilahirkan di Romania, Herta Mueller, memenangi Hadiah Nobel 2009 dalam bidang kesusasteraan hari ini sempena menghargai hasil kerjanya terhadap penghasilan puisi dan keterbukaan prosa.

Penulis berusia 56 tahun itu, yang berhijrah ke Jerman daripada Romania pada tahun 1987, telah membuat penampilan sulungnya pada tahun 1982 dengan koleksi cerita pendek berjudul `Niederungen’, yang mana telah ditapis oleh kerajaan Romania.

Pada tahun 1984, satu versi tidak ditapis telah diterbitkan di Jerman dan hasil kerjanya yang menggambarkan kehidupan sebuah perkampungan kecil di Romania yang mana rata-rata penduduknya berkomunikasi dalam bahasa Jerman telah menambat hati para pembaca.

Karya itu kemudiannya telah diikuti oleh `Oppresive Tango’ di Romania.

Disebabkan kritikan lantangnya terhadap kerajaan Romania termasuk rahsia polis yang dipegangnya, beliau dan suaminya telah meninggalkan negara tersebut.

Hadiah itu merangkumi wang tunai sebanyak 10 juta kronor (RM5.4 juta) dan akan disampaikan pada satu majlis yang akan diadakan di ibu negara Sweden pada 10 Disember ini. - AP

(Apa pengajarannya? Untuk mencipta 'kanun moden'; gender bukan alasan. Menciptalah karya dengan subjek politik, sejarah dan agama. Jika tidak, anda akan dilupakan dalam lipatan sejarah.)


NEW JERSEY 8 Okt. – Penduduk Islam di dunia kini berjumlah 1.57 bilion, nisbah satu kepada empat orang penduduk dunia, menurut satu laporan komprehensif, semalam.

Laporan oleh Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam itu menyediakan satu angka tepat yang sebelum ini jumlahnya hanya dianggarkan.

Projek yang mengambil masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan kenyataan-kenyataan yang mungkin mengejutkan.

Sebagai contoh, Jerman mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon; China mempunyai lebih ramai penduduk Islam daripada Syria dan Rusia pula mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya.

“Andaian yang menyatakan bahawa Islam adalah Arab dan Arab adalah Islam, ternyata tidak benar dengan adanya laporan ini,” kata Amaney Jamal, penolong profesor politik di Universiti Princeton yang mengkaji semula salinan awal laporan itu.

Pegawai-pegawai Pew menganggap laporan tersebut adalah yang paling lengkap dalam kategorinya dan meletakkan agama Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia selepas Kristian, yang dianggarkan mempunyai antara 2.1 bilion hingga 2.2 bilion penganut.

Laporan itu turut mendapatkan pecahan antara pengikut mazhab Sunni dengan Syiah tetapi kesulitan timbul kerana tidak banyak negara membuat pecahan seumpamanya, kata penyelidik kanan projek, Brian Grim.

Maka, bilangan pengikut Syiah tidak dianggap khusus dengan laporan menganggarkan Syiah mewakili antara 10 dan 13 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia, yang sejajar atau sedikit rendah berbanding kajian-kajian lain.

Sebanyak 80 peratus pengikut Syiah tinggal di empat negara iaitu Iran, Pakistan, India dan Iraq.

Laporan turut mendedahkan bahawa meskipun nadi Islam terletak di Asia Barat, bilangan terbesar umat Islam adalah di Asia iaitu meliputi lebih 60 peratus.

Asia Barat dan Afrika Utara hanya mewakili kira-kira 20 peratus umat Islam, 15 peratus di Afrika Sub-Saharan, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.

Seramai 317 juta penduduk Islam atau satu per lima daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam pula tinggal di negara yang penduduknya bukan majoriti Islam.

Sebanyak 10 negara telah disenarai mempunyai penduduk dua per tiga beragama Islam iaitu Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Iran, Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Nigeria. – AP

(Catatan: Banyak seperti buih di lautan, tetapi tidak dapat berperanan. Kerana meninggalkan al-Quran, ahlul bait dan sahabat-sahabat yang benar.)

07 October 2009

Perasuah

Ini saya petik dari laman JAKIM (lihat sini).

Antara punca berlakunya rasuah ialah :

a) Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

b) Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

c) Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

d) Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

e) Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

Ada Hati


Begitulah menjadi-jadinya pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kita dibaling batu kala menghantar bantuan bencana di Padang, Sumatera Barat (lihat sini atau lihat sini).Dalam keadaan ditimpa batu dan gunung sekalipun hati mereka tetap cekal untuk membaling batu kepada kita.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi insiden baling batu itu mungkin kerana ada yang terpengaruh dengan laporan media Indonesia mengenai isu seputar Manohara Odelia Pinot, isu perairan Ambalat, dan tarian Pendet Bali.

''Saya percaya, perbuatan melontar batu itu bukan dasar kerajaan Indonesia mahupun Gabenor Sumatera," kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbarnya di Persidangan Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Asia Pasifik (DTSC).

Memang ia bukan dasar pemerintah Indonesia, tetapi emosi yang meluap apa puncanya? Jangan-jangan ada yang menuduh kita menghantar gempa ke sana!

Tak tahu nak cakap, khabarnya beberapa pesawat pengangkut C-130 TUDM dibaling batu oleh masyarakat tempatan di Padang ketika mendarat di salah sebuah lapangan terbang di Sumatera Barat sewaktu menurunkan bantuan makanan, perubatan dan anggota-anggota penyelamat. Bahkan bukan sekali, kerana Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Rodzali Daud memberitahu, perbuatan tidak bertamadun itu berlarutan beberapa hari sehingga semalam. Mujurlah peristiwa itu tidak mengancam keselamatan anggota-anggota keselamatan negara.

''Misi kita jelas untuk memberi bantuan, tiada agenda lain. Namun, kalau kita beri madu, tapi dibalas racun, kita ucapkan terima kasih,'' Tambah Ahmad Zahid.

Mengapakah dalam hidup apabila kita memberi madu ada yang membalas dengan racun, atau saat kita menghulur ubat ada yang melempar batu?

Datuk Ahmad Zahid jangan pandang enteng perkara ini kerana baru semalam Datuk Seri Najib Tun Razak 'menjual' gagasan 1Malaysia kepada dunia dengan pakej baharu - 1Rantau 1Dunia - yang beliau percaya merupakan satu formula paling jitu untuk mengekal dan menjamin keamanan sejagat pada masa ini dan akan datang. 1Rantau 1Dunia itu dilemparkan macam batu juga ketika beliau berucap di Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-35 di Paris. Bukan apa, kita bimbang kalau orang di UNESCO itu mengatakan yang macam mana nak jual 1Malaysia kalau 1Penan kena rogol pun tak dapat pembelaan, atau macam mana nak jual 1Rantau 1Dunia kalau kita hulur ubat tetapi orang tetap tidak percaya menyangkakan ia tuba.

Tak ke kes naye tu?

* Lepas ini di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu selain mengucapkan halo, hello, kita akan mendengar ucapan salam satu dunia. Persis sajak Salam Benua karya Usman Awang tahun 1970 dahulu. Salam, tanpa visa, pasport, golf, warna, kemanusiaan rakyat - seluruh benua. Saya percaya jika Tan Sri Muhyiddin yang berucap di Paris, tentu beliau akan membaca puisi Usman Awang tersebut dalam ucapan, kerana beliau sukakan bahasa, sastera dan seni; tidak seperti bosnya.

06 October 2009

Satira Ketupat Cinta (Musim Kedua): Kuih Ros Untuk Tuanku

Tuan-tuan adalah Rosdah pun menunggu ketibaan Parameswara. Tetapi tepat setelah ia suci bersih beberapa hari kemudian masih tiada juga baginda bertandang ke rumahnya. Maka merungutlah Rosdah dalam hati, ‘Cis datang bulan pergi bulan masih tiada Parameswara ini berkunjung datang. Apa gerangan Parameswara lebih percayakan bulan.’

Maka ia pun menyiasat di manakah aturcara Parameswara, kalau-kalau ia ada berbuat istana terbuka lagi seperti sebelumnya. Rosdah pun mendapatkan maklumat daripada Tun Perpatih Tulus. Bendahara yang memang sengal dan tidak semenggah itu segera sahaja menjadi sekutu Rosdah. Ia pun menyampaikan maklumat rahsia.

“Adapun bagin…bagin…baginda itu raz…raz…razak orangnya, ia itu hamba yang suka memberi rezeki kepada rakyat murbawan. Adalah esok ia akan berangkat menemui sekian ramai rakyat di Bagan Pinang maka mahukah tuan kita up…up..upahkan sembilan orang keling memukul tuan…”

“Memukul hamba?” Terperanjat Rosdah. Ia memegang dadanya yang lebar.

“Puk…puk…pukul manja saja. Sebaik sahaja tuan hamba menjerit, pura-puralah yang tuan itu lo…lo…loya dan pening lantaran dipukul. Maka ketika itu kita akan mas…mas…masuk jarum mengatakan Rosdah itu dianiaya. Baginda yang razak tidak suka menganiayai orang. Ia akan kita do…do..dorongkan menziarahi tuan hamba. Kemudian akan kita ingatkan janjinya ingin mengah…mengah..mengahwini tuan hamba.” Kata Tun Perpatih Tulus menyusun rencana dan helah.

“Molek sangat perancangan dan pekerti Dato Bendahara.” Rosdah menjawab girang, kata-kata ‘baginda yang razak tiada menganiayai orang’ disemat dalam benak kemas-kemas.

Alkisah tibalah hari Parameswara berangkat untuk bertemu rakyat di Teluk Kemang. Baginda bercadang mahu mengisyitharkan Teluk Kemang itu sebagai kota segala hulubalang darat. Maka disiapkan segala tandu dan keraian untuk menyambut baginda. Rakyat pun mendirikan bangsal panas di sepanjang laluan baginda kelak demi melihat raja yang sakhawat. Sebaik dipukul rebana dan kompang tahulah sekalian orang acara sudah bermula, dan sebaik ternampakkan sembilan ratus sembilan puluh sembilan kundangan baru baligh dua minggu tahulah sekian rakyat akan ketibaan baginda tuanku. Berpusu-pusulah rakyat pijak memijak tolak menolak gesa menggesa ingin berada di hadapan laluan untuk merenung wajah baginda yang berkilat bak belakang kuali dodol. Pada setiap penjuru nanti baginda tuanku hanya akan berhenti setala. Jika berada terlalu belakang nescaya tidak kelihatan muka Parameswara yang sungguh manis bagaikan madu jeruh.

Kala Parameswara berhenti sejenak di bucu sebuah jalan berturap itulah tiba-tiba terdengar suara perempuan menjerit kuat, jeritan itu bukan sahaja kuat tetapi nyaring serta terputus-putus. Gemparlah sekian orang dan lama-kelamaan jeritan itu menjadi pekikan yang menggegarkan. Seakan-akan perempuan itu berada dalam soilek. Maka Parameswara yang amat menyayangi rakyat itu segeralah bertanyakan kepada Tun Perpatih Tulus apakah gerangan sungguh kecoh di bawah tersebut.

“Apa perkara berkecoh-kecoh. Jika ia rakyat yang tiada disiplin maka eloklah disiplinkan ia, jika ia rakyat yang tertindas maka eloklah ditolongkan ia.” Titah Parameswara sedemikian mulus tulus.

“Ampun tuanku beribu ampun. Sembah patik harap diampun. It…it..itulah jeritan Rosdah kerana ia dipuk…dipuk…dipukul sembilan lelaki hitam. Sungguh kasih…kasih..kasihan ia kerana dipukul sehing…sehing…sehingga loya dan pen…pen..pening. Adalah sesetengah orang kala datang bulan itu gan…gan..ganas sekali tuanku.”

Parameswara kehairanan.

“Sudahlah kekandanya Tun Halim…Halim…Halimah meninggal dunia, ia pula berdepan dengan ben…ben..bencana kerana ada jan…jan…janji tidak dikota. Hai, kalaulah Rosdah ini kepalanya weng sudah tentu ia menjadi gil…gil…gila.”

Parameswara berasa seakan dirinya disindir. Maka baginda pun memandang Dato Bendahara, “Dey, apa maksud bendahara gagap?”

* Dapatkan Ketupat Cinta setiap Jumaat di Harakah!

Tumbuk Ke Tepuk?

Oleh kerana tidak ada kemahiran menggunakan bahasa dan kamus, sesetengah dari kita selalu menerapkan diksi yang salah dalam perbualan. Yang paling terbiasa, adalah kesalahan yang selalu ditegur oleh Profesor Abdullah Hassan iaitu 'kat' - saya tinggal kat Ampang - sedangkan yang sebenarnya ialah - saya tinggal di Ampang - saya sendiri kadang-kadang tersasul tetapi berusaha membetulkannya jika teringat.

Banyak lagi kekeliruan dalam memilih kata. Antaranya memilih kata tumbuk atau tepuk. Contoh ayat ialah: 'Saya ditumbuk lebih sembilan orang tetapi tidak bengkak, cuma loya dan pening sahaja.'

Sedangkan ayat yang sepatutnya adalah: 'Saya ditepuk oleh seorang pemuda ramah tetapi saya melolong mengongoi kerana terasa-rasa seperti saya ditumbuk, hingga mengakibatkan loya dan pening.'

Alahai tumbuk dan tepuk berbeza (lihat
sini). Jangan salah menggunakan 'kata'. Takut nanti bukan orang percaya, tetapi orang naik meluat.

* Teka aksi foto, itu tumbuk ke atau tepuk?

05 October 2009

Selalu Bawa Sial?

Salah pilih pemimpin memang membawa sial dan bencana kepada negara. Sesetengah pemimpin bukan sahaja perlu dikalungkan dengan selipar, atau dihadiahkan penyapu; malah ada yang perlu dibalingkan dengan kasut seperti Bush. Kini, di Indonesia ada yang menyalahkan kepala negara mereka. SBY, Susilo Bambang Yudhoyono. Betul atau tidak, sukarlah untuk kita melunasinya. Bencana seperti gempa bumi, tsunami, ribut taufan juga adalah makhluk dan semuanya di bawah wilayah Tuhan, Rasulullah dan ulil amri minkum. Jangan kita di sini tenang sangat, 'badai' boleh melanda juga. Berpalinglah kepada Tuhan, Rasulullah dan "ulil amri" (pemimpin) yang benar.

Petikan Utusan Malaysia:

JAKARTA 4 Okt. - Sesetengah rakyat Indonesia yang berpegang pada tahayul percaya negara ini akan terus dilanda malapetaka selagi Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (gambar) masih berkuasa.

Mereka mendakwa gempa bumi terbaru yang melanda Sumatera adalah disebabkan oleh Presiden yang membawa 'kecelakaan', bukan kerana plat tektonik yang beralih.

Susilo yang lebih dikenali dengan singkatan namanya, SBY sudah lama dibelenggu desas-desus bahawa beliau membawa nasib malang.

Beberapa malapetaka sejak kemenangan Susilo dalam pilihan raya Presiden pada 2004, termasuk tsunami Lautan Hindi yang membunuh 220,000 orang di seluruh Asia, menimbulkan sindiran tajam bahawa SBY bermaksud 'Selalu Bencana Ya'.

Bencana terbaru yang dipercayai meragut lebih 1,100 nyawa, manakala 4,000 lagi masih terperangkap di bawah runtuhan di Sumatera Barat, dilihat oleh sesetengah rakyat sebagai satu lagi bukti bahawa Susilo membawa bencana ke negara ini.

"Disebabkan tarikh lahirnya, SBY akan sentiasa menarik bencana ke negara ini, berdasarkan Primbon (takwim mistik Jawa).

"Lihat nombor-nombor dalam tarikh lahirnya, 9 September, 1949, itu menandakan sial. Lagi lama beliau memegang kuasa, lagi banyak bencana besar akan berlaku," dakwa Permadi, seorang ahli politik veteran daripada parti pembangkang, Gerindra.

Jika Susilo terus menjadi Presiden, malapetaka jauh lebih dahsyat akan melanda Jakarta dan sebagai seorang yang berjiwa besar, SBY patut berundur, kata Permadi yang juga seorang pawang.

Tidak semua orang mempercayai teori itu, malah ramai juga yang menganggap tarikh lahir Susilo sebagai sesuatu yang bertuah dan patut dicemburui.

Kritikan sedemikian sudah dibangkitkan begitu lama sehinggakan Susilo sendiri mengingatkan ketua-ketua kerajaan tempatan di Sumatera Barat dua tahun lalu bahawa mereka patut menyalahkan keadaan geologi kawasan itu, bukan diri beliau.

"Magma tidak bergerak kerana SBY menjadi Presiden. Adalah jahat untuk mengaitkannya dengan kedudukan saya sebagai Presiden," kata Susilo pada waktu itu.

Dalam pada itu akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Post mengaitkan gempa bumi di Sumatera dengan sikap boros ahli politik, dalam lidah pengarang bertajuk 'Tuhan Marah'.

"Sama ada anda mempercayai penjelasan agama atau sekular, gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang membunuh lebih 1,100 orang itu berlaku menjelang majlis yang menelan belanja berbilion-bilion rupiah bagi meraikan anggota baru Dewan Perwakilan Rakyat dan Majlis Perwakilan Wilayah di Jakarta," menurut akhbar itu. - AFP

Sumber
di sini.

04 October 2009

Belasah

Ceritanya adalah seorang manusia mengaku dia telah dipukul oleh sembilan penyokong parti PAS. Mengapa sembilan orang? Pengaruh sembilan 'budak hitam' agaknya. Khabarnya kena pukul sampai loya dan pening.

Betul atau tidak, saya pun tidak tahu. Tetapi kita yang sudah meluat dengan iklim politik tanahair makinlah meluat. Jika perangai UMNO tidak berubah, buruk-buruk pembangkang sekali pun orang akan pilih juga (lihat
sini). Ingatan buat semua parti, sudah-sudahlah mengamalkan politik membodohkan rakyat.

* Foto sekadar hiasan.