31 August 2009

Naik Minyak

Tadi saya berhenti mengisi petrol di stesen minyak. Atendan pam memberitahu kemungkinan Ron 95 akan naik dari RM1.75 ke RM1.80 tengah malam ini. "Mungkin juga tak naik tapi F1 memang naik dari RM1,80 mungkin ke RM 2.00 atau RM2.20."

Setakat ini memang tidak ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya. Sekiranya benar, akan ada orang naik minyak untuk mengambil kesempatan (di tengah-tengah gelanggang akan dibuka lagi minggu ini untuk mengadilinya) bagi mengalih perhatian.

Andai ini menjadi kenyataan - Hai siapalah penasihat orang atas ini!

* Kemaskini 11.07 pm: KUALA LUMPUR 31 Ogos — Tiada perubahan dalam harga petrol utama negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau hari ini melancarkan petrol RON95 bagi menggantikan RON97 sebagai produk petrol utama yang akan dijual mulai esok di stesen minyak di seluruh negara dengan harga RM1.80 seliter iaitu sama dengan harga RON97 sebelum ini.

RON97 pula dinaiktaraf sebagai minyak premium dengan harga RM2.05 seliter, manakala RON92 dihentikan pengeluarannya, kata Ismail Sabri.

“Petrol RON92 akan dikeluarkan daripada pasaran memandangkan penggunaannya adalah begitu kecil iaitu sekitar lima peratus daripada jumlah keseluruhan penjualan petrol di negara ini.

“Sehubungan itu, kerajaan telah mengambil langkah memperkenalkan RON95 bagi memastikan pengguna mendapat faedah langsung daripada produk petroleum yang lebih berkualiti pada harga yang disubsidi,” katanya semasa berucap melancarkan RON95 di seluruh negara di sini hari ini. - Bernama

28 August 2009

"Aku Pun Boleh Tolong Sebatkan...": Musalmah Lebar

Memang susah nampak batang hidung Mak Cik Musalmah Lebar di bulan puasa. Maklumlah orang berniaga, tentu rezeki murah di bulan Ramadhan. Pagi Kak Sal memasak, petang Kak Sal berniaga di bazar Ramadhan, malam pula Kak Sal menguli tepung membakar kuih atau biskut raya. Pendek kata 24 jam tidak cukup rasanya dalam sehari. Semalam saya sempat membeli lauk-pauk dari gerai Mak Cik Musalmah Lebar. Saya berdiri di belakangnya berbual sambil melihat dia tidak menang tangan melayan pelanggan. Kemudian Mak Cik Musalmah Lebar berkata, "Kau cakap dengan kawan-kawan peguam syarie dan hakim mahkamah syariah tu, kalau betul tak ada tukang sebat - mari sini, aku pun boleh tolong sebatkan. Aku biasa buat kerja menyebat-nyebat ni." (klik sini)

Kemudian Mak Cik Musalmah Lebar membayar wang baki saya dan bertanya, "Zal, dah berapa hari puasa ni...kenapa kau tak datang bazar Ramadhan dan ke gerai akak?"

Apakah yang paling menjengkelkan anda di bazar Ramadhan? Anda berhak mengundi di jalur kanan, pada kotak 'Mari Mengundi'. Undi hanya sekali, lebih sekali itu bermakna anda pengundi hantu!

* Foto juadah berbuka yang dijual oleh Mak Cik Musalmah Lebar. Bukan...bukan 'siput babi'.

27 August 2009

Personal Effects

BAGAIMANA jika ahli keluarga kita meninggal dunia secara mendadak? Kematian ahli keluarga itu pula bukanlah sesuatu yang natural sebaliknya dibunuh secara kejam. Bagaimanakah kita mendepaninya? Bagaimanakah kita merawat kepedihan dan trauma yang menimpa? Inilah pokok filem Personal Effects, sebuah filem kecil arahan David Hollander berdasarkan adaptasi sebuah cerpen karangan novelis terkemuka Amerika Syarikat, Rick Moody.

Sebagai sebuah filem dari kilang Hollywood, tentunya makna dan wacana diabaikan, sebaliknya tumpuan dan fokus diberikan kepada cerita. Menerusi sudut pandang pertama seorang watak yang bisu pekak; cerita mendekatkan kita dengan sekumpulan manusia yang sedang melalui proses terapi, dengan memberi fokus empat insan yang berusaha menerima hakikat pemergian ahli keluarga dengan cara tersendiri. Seorang ibu berusaha meredam rasa dan melupakan tragedi yang terjadi. Seorang adik kembar yang tidak mahu melupakan apa yang berlaku dan menuntut keadilan. Seorang isteri sunyi yang bergelut dengan kehampaan dan memaksa diri bekerja untuk memadam kelukaan yang melekat pada diri, dan seorang anak cacat yang berdendam dengan pembunuh ayahnya sambil melatih diri untuk menggunakan pistol bagi tujuan mendapatkan kebenaran.

Gloria lakonan Kathy Bates yang luar biasa cemerlang merupakan ibu yang berkabung dengan cara menjual semua milik anak perempuannya kepada awam. Anak kembarnya yang lain Andrew lakonan cemerlang Ashton Kuchter meninggalkan karier sedang meningkat sebagai seorang atlet (gusti) untuk menghadiri sisi perbicaraan pembunuhan kakaknya dan hari demi hari fakta-fakta kes bertampuk menjadikannya manusia baran terpendam. Apabila Gloria dan Andrew menjalani sesi terapi, mereka bertemu dengan Linda seorang janda lakonan Michelle Pfeiffer (lakonan beliau sungguh mengesankan) yang keletihan ekoran kematian tiba-tiba suami dibunuh sahabat karibnya sendiri dan dalam masa yang sama perlu memberi tumpuan buat anak cacatnya iaitu Clay lakonan berbekas Spencer Hudson.

Filem ini adalah sebuah contoh kecil kehampaan dunia dan masyarakat Barat kehilangan rohani dan bimbingan spiritual. Malah sepanjang perkabungan dan penderitaan, empat karektor tidak beralih kepada dunia spiritual untuk menghiburkan hati. Personal Effects tidak memberi ruang buat pengisian keagamaan (dalam hal ini Kristian) dan watak-wataknya bergerak dengan memikirkan sebab dan akibat adalah milik mereka sendiri. Di tangan Clay, saat Andrew yang sudah mulai mempunyai hubungan persahabatan dengannya kecewa kerana suspek pembunuhan kakaknya dilepaskan mahkamah, Clay memilih untuk menolongkan Andrew dengan cubaan membunuh suspek tersebut. Menonton Personal Effects memahamkan kita secara tidak langsung mengapa Islam menjadi agama yang berkembang pesat di Barat termasuk Amerika Syarikat. Hiburan untuk masyarakat yang hampa rohani adalah menekan lagi kehampaan mereka sehingga ia meledak tanpa disangka. Maka kita tidak hairan saban musim kita akan mendengar adanya remaja atau manusia turun ke tempat awam dan menembak mengamuk tanpa sebab. Dunia jahiliah Barat yang hampa spiritual ini sedang runtuh dan perlu segera diisi dan ditolongi. Tamadun Barat yang menuju kehancuran ini tidak wajar dijadikan contoh tentunya, maka monoteisme, yakni tauhid yang mendasari kehidupan muslim wajar diturunkan dalam medium filem seperti Personal Effects untuk menjadi balikan dan jawapan.

Ramai yang akan mengatakan ‘bukan senang menghasilkan filem’; kontrasnya Personal Effects yang dibikin pada 2009 adalah merupakan sebuah filem ‘direct to video’ yang dihasilkan untuk mengutip dana sebuah NGO, Iowa Flood Relief. Ia memang dihasilkan sebagai sebuah filem untuk jualan DVD. Filem direct-to-video bermakna filem tersebut dihasilkan untuk tontonan di rumah terlebih dahulu sebelum berjaya menempatkan diri di pawagam. Ini bermakna filem memang dihasilkan sebagai video, atau DVD, atau Blu-ray. Ia juga didefinisikan sebagai filem yang dijangka tidak akan mendapat sambutan publik. Jenis filem seperti ini selalunya menjadi pilihan karyawan filem independen atau syarikat perfileman yang kecil.

Benar direct-to-video pernah dikaitkan dengan stigma pembikinan filem yang kemampuan teknikalnya rendah atau kualiti artistik yang tidak menepati kehendak pawagam. Namun hari ini direct-to-video telah menerima reputasi berbeza di mana ada karyawan filem yang sengaja menghasilkan filem dalam bentuk begini untuk sasaran penonton yang berbeza. Malah direct-to-video dibikin untuk menampung tema filem yang selalunya kontroversial.

Kejayaan Personal Effects yang asalnya dibikin sebagai direct-to-video tetapi kemudian menerima perhatian pengkritik filem dan dijual kepada pengedar filem besar, lalu ditayangkan diseluruh dunia mungkin perlu diberi perhatian oleh pelajar sekolah filem di negara kita. Bezanya harus ada. Jika mereka mengisi naratif filem dengan kehampaan spiritual, kita perlu mengisi dengan jatidiri kita, sebagai penawar kepada keruntuhan peradaban mereka, iaitu pengisian tauhid yang mana antara tunjangya ialah qada dan qadar.

Dengan cara itu dunia Barat akan belajar dari kita.

Artikel ini telah tersiar di Siasah edisi 9-15 Ogos 09. Dilarang menerbit kembali.

Asal Usul Kuih Siput

Maka bergegaslah Mufti Malun gila jawatan tersebut masuk menghadap di istana, lalu segeralah ia menjelaskan kepada Parameswara dan RaJim. “Tuanku, adapun siput babi itu dalam bahasa Arab disebut halazun, adalah ia diperselisihkan ulama tentang hukumnya. Adapun Imam Malik dan para fuqaha Malikiyyah mengatakan mereka bahawa halazun barriy atau siput babi itu halal dimakan berdasarkan kitab Al-Mudawwanah. Kalau Ku Bam itu dari mazhab Maliki dan ingin ia goreng atau sateykan siput babi itu pada hemat patik tidak apa-apa. Manakala sebahagian ulama berpendapat ia haram dimakan. ِAntaranya Ibn Hazm dalam Muhalla. Adalah tuanku masalah ini adalah masalah ijtihadiyyah. Adapun yang mengharuskannya berpegang kepada asal hukum makanan adalah halal sehingga ada nas yang mengharamkannya. Adapun yang mengharamkan siput babi itu berpendapat ia bukan haiwan yang disembelih, kerana tiada leher. Maka jika ia mati, ia adalah bangkai.”

Parameswara tiada ia hilang rasa ragu dan bertitah baginda. “Apa gerangan kamu ini mufti memberi dua hukum pada satu benda? Makanya boleh atau tidak boleh dimakan? Jika ia halal dapat pahala makannya, jika ia haram dapat dosa makannya. Ini agama apa kamu ini Mufti belum tentu halal haramnya? Beta mahu kebenaran. Kebenaran itu tunggal, bukan dua atau tiga.”

Tersentak Mufti Malun akan kata-kata Parameswara itu, barulah ia ingin mengampu baginda tuanku dengan fatwa-fatwa muluk demi senang melayar bahtera pembaharuan agama tetapi tiada ia menyangka Parameswara berfikir dengan menggunakan akal seperti tiada selalunya.

Adapun perihal di dengar oleh Tun Lepat atau Pujangga saat tukang hebah memukul gong dan canang bahawa Parameswara mencari orang pandai agama tentang halal haram makan siput babi maka segeralah ia menawar diri untuk dibawa masuk menghadap tuanku Sri Maha Paduka Biku Parameswara Renjana atau Sultan Iskandar Syah.

Maka buat pertama kali setelah tiba di Melaka Tun Lepat pun dapat ia masuk kembali ke istana. Adapun tuan-tuan, Tun Lepat itu berbeza dengan Tun Lepat dahulu. Sudah ia baligh maka sudah ia bermisai berjanggut meski halus pandak. Justeru, tiada Parameswara mengenal Tun Lepat itu anak saudara Dato Musa al Kadzim yang mati dibunuh kejam. Bertitahlah Parameswara, “Wahai anak muda. Apa gerangan yang membuatkan kamu percaya kamu lebih tahu daripada Mufti Malun?”

Tun Lepat pun bersuara, “Ampun tuanku beribu ampun. Sembah patik harap diampun. Adapun siput babi sejenis siput daratan. Ia itu menurut ilmuan binatang di masa akan datang adalah sejenis haiwan moluska dari kelas gastropoda yakni ia berjalan dengan perut. Menurut ilmuan itu lagi siput babi menggunakan paru paru untuk bernafas. Siput ini tuanku adalah haiwan hemafrodit atau haiwan khunsa di mana ia mempunyai kedua dua kelamin jantan dan betina. Tiada kita terfikir tuanku tergamak mahu makan binatang pondan. Adalah tuanku siput babi ini haiwan jenis nokturna atau haiwan malam. Tuanku, adapun siput babi seringkali dianggap sebagai perosak. Pada hemat patik ia haram dimakan. Ada banyak jenis lagi makanan mengapa harus yang aneh begini dijamah?”

Novel Ketupat Cinta Musim Kedua disirikan di Harakah setiap Jumaat.

25 August 2009

Kopitiam Ghadir: Wawancara Dengan KLPOS


Sumber asal KLPOS.COM (klik sini)

Kopitiam Ghadir dikatakan kontroversial sehingga tidak dapat dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 8-11 Ogos lalu dan terpaksa ditunda dan dibawa ke Institut Terjemahan Negara pada 13-16 Ogos 2009 lalu?

Untuk pengekor setia saya, idea ‘supra mazhab’ seperti yang saya ungkapkan dalam Mingguan Malaysia 23 Ogos lalu sudah terbiasa. Jadi tak ada yang kontroversi. Saya menegaskan kita mesti meminjam solusi atau formula dari tradisi Islam yang lain, kita gubah dan sesuaikan lalu kita canai dengan baik untuk menjadi ubat atau penawar kepada masalah yang sedia ada. Tidak kira formula solusi itu dari sunni, syiah, kejawen ataupun tarekat asalkan ia Islam. Ini tidak, karya sastera Islam balik-balik cinta muslim-muslimah. Balik-balik ungkapan Islami di sana sini. Tidak ada hasil. Tidak ada sikap sosial. Tidak ada wacana untuk menyelesaikan masalah ummah. Baca pun kita naik geli-geleman. Tidak mencabar pemikiran.

Apa yang membuatkan Dewan Bahasa dan Pustaka menyusahkan pementasan Kopitiam Ghadir jika begitu?

Saya tak tahu. Itu mesti tanya DBP. Pada 24 Julai 2009 mereka telah bersetuju memberi tempat pementasan di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Surat izin ditandatangani oleh Ketua Bahagian Pengembangan Sastera. Ekoran dari itu pada 27 Julai, produksi Kopitiam Ghadir telah mendapat permit polis dan DBKL. Kemudian saya berlepas ke Singapura untuk acara Read Singapore. Bila saya pulang ke pejabat pada 4 Ogos, dapat surat menerusi faks bertarikh 30 Julai 2009 yang mengatakan saya perlu meminta kebenaran pihak berwajib agama. Surat ini ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Sastera. Padahal saya bertemu dengan beliau dan Ketua Pengarah DBP di Kementerian Pelajaran sewaktu mesyuarat Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris pada 3 Ogos. Saya tidak ada masalah untuk meminta pandangan JAKIM. Saya tahu undang-undang dan prosedur. Tapi saya juga kerja kerajaan dan saya tahu cara orang bekerja. Jika saya merujuk Bahagian Penyelidikan JAKIM, tentu akan memakan masa sedangkan tarikh pementasan sudah dekat dan sudah ramai yang membuat tempahan untuk datang menonton. Ada waktu kurang seminggu untuk mendapat penilaian JAKIM. Waktu itu saya belum marah kerana saya tahu ramai orang di DBP dari zaman Jurasik serta ketinggalan zaman, dan tidak faham idea-idea supra mazhab saya yang kompleks. Tetapi saya jadi marah apabila mendapat tahu adanya pementasan di Stor DBP pada 11-16 Ogos yang ada kisahnya berlegar sekitar anak haram dan gay. Saya mendapat tahu naskah anak haram dan gay ini tidak diwajibkan merujuk JAKIM. Berbanding drama Kopitiam Ghadir yang secara inteleknya membawakan wacana hadis, saya kira drama anak haram dan gay lebih patut dinilai dan disiasat JAKIM. Saya anggap DBP sengaja sabotaj. Waktu itu saya marah. Dan saya marah sebagai seorang Muslim, sebagai seorang dhaei, sebagai seorang penerima Anugerah Seni Negara 2006 yang diperlakukan macam sampah sarap. Nak beritahu saya pun tak berani, arahkan seorang dua pegawai hantar sms kepada saya. Ini keutamaan pencapaian yang diinginkan oleh sebuah agensi kerajaankah?

Bagaimana Kopitiam Ghadir boleh dipindahkan ke ITNM?

Saya mengemel naskah Kopitiam Ghadir kepada pihak ITNM dan bertemu sendiri dengan Pengarah Urusannya. Dan mereka faham drama ini sebuah drama wacana. Sebuah pendapat. Kalau tak setuju maka ia wajar dibalas dengan pendapat juga, dengan wacana juga, bukan dengan menghalang pementasan. Jadi saya berterima kasih dengan ITNM yang celik minda dan siuman dalam penilaian. Saya juga berterima kasih dengan IKIM.fm yang tolong mempromosikan kerja dakwah kami ini. Ada dee-jaynya datang menonton. IKIM ini maksudnya Institut Kefahaman Islam. Mujur ada agensi kerajaan yang masih waras dan guna akal untuk menimbang sesuatu.



Kopitiam Ghadir mengisahkan apa?

Punca perpecahan umat Islam ialah soal kepimpinan selepas Rasulullah saw. Kita menerima Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pengganti Nabi Muhammad. Tetapi ada umat Islam mengatakan Rasulullah telah melantik Saidina Ali sebagai pemimpin selepasnya di Ghadir Khum. Ada yang mengatakan peristiwa Ghadir Khum itu sebagai hadis dhaeif. Tidak kurang juga yang mengatakan ia sahih. Dalam Musnad Imam Ahmad, yang sahih dan dhaeif itu dua-dua sekali ada. Dalam Kopitiam Ghadir, watak-watak ini membacakan hadis yang dhaeif dan sahih tersebut. Saya selaku pengarang tidak menghukum sesiapa pun. Saya mengatakan dalam naskah tersebut: “Ada yang pilih hadis sahih sebagai hujah, ada yang pilih hadis dhaeif, tema hadis tetap sama iaitu Rasulullah saw pilih Saidina Ali sebagai pemimpin. Jadi buat apa nak gaduh-gaduh. Kita umat Islam kena bersatu. Kalau nak pegang pada dhaeif silakan, nak pegang pada sahih silakan. Yang penting hari ini kena bersatu, musuh banyak nak ganyang kita.”

Hanya ada seorang pegawai DBP yang datang menonton. Dia pulang dan sms saya kata dia puas dengan hiburan berintelek. Lain yang datang menonton Kopitiam Ghadir antaranya Saudara Mohd Ezzam Mohd Nor ahli politik terkenal, penggiat teater Zakaria Ariffin dan Dr Zainal Latiff, juga Helmy Samad pemilik Wira Bukit. Saya tak nampak pun mereka balik dalam keadaan sesat dan rosak akidah. Tak ada pulak mereka isytihar nak jadi atheis lepas tonton pementasan kami. Kopitiam Ghadir mengajak orang membudayakan selawat. Lagu pun tentang selawat. Tak ada sepicing pun tentang anak haram dan gay. Tengok pun dapat pahala. Kalau bantu lagi dapat pahala. Atie AF datang menonton hantar sms kepada saya dan menutup sms dengan kalimat - selawat. Itu tak baguskah?

Siapa pelakon Kopitiam Ghadir?

Budak-budak band indie. Tapi mereka baik-baik belaka. Tak ada antara mereka penyokong anak haram, gay atau atheis. Amir Abdul Kahar pernah menjadi pemain gitar dengan beberapa band. Charles Faizal pula pernah menubuhkan band Faces dan merupakan pengasas Seekers. Ahmad Xodd adalah penyanyi yang pernah dicalonkan untuk AIM 2004 bagi kategori Album Inggeris Terbaik. Hilmi pula pernah menyanyi dengan band The Section. Jadi pelakon Kopitiam Ghadir adalah anak-anak indie yang tercerahkan, yang bukan melalak menyanyi lagu punk tapi tak reti baca kitab hadis. Saya himpunkan mereka, lunasi mereka dan bawa mereka kepada lagu-lagu ketuhanan. Nak harap orang lain buat payah, sebab masing-masing menghukum. Pada saya hukum datang kemudian, ajak minat pada agama dulu yang utama. Bila dah minat pada agama sendiri tahu nak jaga hukum.

Mereka ini menubuhkan Band Revolusi Pembudayaan Selawat?

Revolusi Pembudayaan Selawat atau RPS bukan band, bukan kumpulan nasyid. Kami adalah NGO, sebuah gerakan, iaitu gerakan untuk memasjidkan seni dan membudayakan selawat. Itu pun ada orang kata kami buat main dengan agama. Gila. Itu hasrat kami, nak masjidkan seni. Jadi siapa-siapa boleh menyertai RPS dan datang membantu.

Lagu-lagu dalam Kopitiam Ghadir sangat merdu adakah kemungkinan untuk RPS merakam album?

Lagu-lagu dalam Kopitiam Ghadir dicipta oleh Mohd Iswan Isa, pelajar akhir UITM Shah Alam. Lirik oleh abangnya sendiri Mohd Iswazi. Memang saya nak mereka rakam lagu-lagu dalam Kopitiam Ghadir supaya masyarakat boleh dengar. Tetapi proses merakam album tidak mudah dan perlukan dana besar. Kami memang nak buat cepat sebab takut lagu-lagu diciplak oleh komposer mapan yang mahu ambil jalan mudah.

Apakah ada kemungkinan Kopitiam Ghadir dipentaskan sekali lagi?

Ada. Mungkin bulan disember. Tetapi bergantung kepada dana. Ramai orang panggil nak bawa kami ke sana ke mari tetapi mana duit? Beri kami duit. Kalau teater tentang anak haram dan gay boleh diberi duit, sila beri duit kepada teater yang memuja keagungan dan keutamaan Rasulullah saw, dan Saidina Hamzah.

Saudara Faisal tidak bimbang digam Dewan Bahasa dan Pustaka?

Nak buat macam mana? Saya timun. Mereka durian. Nak gam atau tidak bukan kuasa saya. Kerja dakwah mesti diteruskan. Saya katakan kepada kawan-kawan di DBP, jawab dengan Tuhan nanti macam mana teater anak haram boleh dibenar dipentaskan di sana tapi teater puja Rasulullah menerusi selawat dipayahkan. Belum lagi dikira teater pikul kavadi dalam bulan Rejab. Siapkan jawapan mulai sekarang.

Apa tindakan saudara seterusnya?

Saya bukan lagi anak Minggu Penulis Remaja yang DBP kenal sewaktu saya berusia 16 tahun. Jangan terperangkap dengan masa. Saya penerima Anugerah Seni Negara 2006. Mungkin ada orang tak pandang gelar ini. Tapi gelar ini saya dapat daripada Yang Dipertuan Agung. Saya akan tulis surat kepada pihak atasan. Dalam keadaan 1Malaysia di mana suara minoriti didengar, dalam keadaan rakyat biasa pun didahulukan maka takkanlah pihak atasan akan abaikan aduan seorang penerima anugerah seni negara.

* Revolusi Pembudayaan Selawat akan muncul di Selamat Pagi Malaysia pada 29 Ogos 2009 (sabtu) ini. Pastikan anda menonton pelakon-pelakon Kopitiam Ghadir ini nanti.

Rancangan Mari Menulis Karya Nan Indah di Radio IKIM.fm

Mulai hari ini, dari jam 6.15 sehingga 6.30 petang, setiap selasa saya akan muncul di stesen radio Ikim.fm untuk mengendalikan rancangan "Mari Menulis" bersama teman deejay, Nik Hasnah (foto).

Berikut adalah jadual perbincangan dalam program tersebut.

25 Ogos 2009 - Tradisi naratif di alam Melayu.
1 September 2009 - Peribadi pengarang.
8 September 2009 - Bagaimana mendapatkan idea.

23 August 2009

Ke Mana Arah 'Sastera Islam' Kita?

SAYA berpendapat kita memerlukan sebuah persuratan yang menyediakan solusi untuk setiap masalah ummah dengan jalan supra mazhab. Saya perhatikan mutakhir ini karya sastera Islam kita telah menjadi kaku beku di dalam zon selesa. Pengarang hanya memuatkan beberapa pandangan ulama, ayat Quran atau hadis dan ungkapan-ungkapan keIslaman untuk menjadikan karyanya sastera Islam. Ini lebih-lebih lagi dapat dilihat menerusi karya generasi baharu yang cenderung bersifat ’pop-keIslaman’. Hanya terdapat seorang dua pengarang muda yang ’bekerja keras sedikit’, dengan memuatkan wacana ilmu supaya karya sastera Islam tersebut mempunyai nilai tambah.

Kehambaran muatan cereka Islam inilah yang menjejaskan perkembangan sastera Islam kita selama ini. Sekiranya mereka yang mengaku terlibat dalam sastera Islam benar-benar serius ingin menjadikan sastera Islam sebagai penyelesaian masalah ummah, mereka bukan sahaja perlu menulis tentang masalah umat Islam, tetapi turut menggunakan formula Islam untuk memberi jalan keluar kepada masalah tersebut.

Perkara ini pernah disinggung satu masa dahulu oleh filsuf Algeria terkenal, Malek Ben Nabi, yang mengatakan setelah mengenal pasti masalah, umat Islam mesti menyediakan satu sikap sosial (solusi), dan bukan sekadar mengeluh dan mengulang membicarakan tentang masalah tersebut tanpa henti. Justeru, untuk kepentingan ummah secara menyeluruh; maka Islam dan umat yang dimaksudkan dalam kerangka sastera Islam tidak harus terhad kepada kelompok tertentu sahaja. Ini bererti kita tidak harus menulis untuk memberi penawar kepada umat Islam di Malaysia semata-mata. Kita perlu menulis untuk umat Islam secara global. Ini amat kena dengan seruan ’glokal’ yang pernah dilontarkan oleh Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak. Maka apabila karya sastera Islam tersebut diterjemahkan ke bahasa dunia ia dapat ’diperagakan’ secara sejagat. Rentetan dari itu, pengarang sastera Islam kita harus berani menjambatani pelbagai formula Islam dalam lingkungan agama kita yang sememangnya memiliki kekayaan dan kerencaman tradisi keIslaman.

Sayyid Hossein Nasr dalam Ideals and realities of Islam (1967) menekankan Islam adalah sebuah agama yang pluralistik dengan kepelbagaian tradisi. Beliau menyatakan, ‘Islam displayed homogeneity, and sectarianism facilitated the participation of a large community with different traditions in Islam’.

Dengan menggaul pelbagai tradisi Islam dari setiap penjuru dunia, ummah dapat saling meminjam kekuatan dan kelebihan satu sama lain. Ini bersesuaian dengan seruan Taha Jabir Fayyad al-Alwani dalam The Ethics of Disagreement in Islam (1997). Beliau menyebut, ‘If differences of opinion operate in a healthy framework they could enrich the Muslim mind and stimulate intellectual development’.

Di sinilah pula datangnya peranan disiplin sastera bandingan yang dapat memugar persamaan dan perbezaan sastera Islam dari pelbagai rantau umat Islam. Sarjana sastera bandingan kita sudah perlu melangkah membandingkan wacana dan produk sastera Islam dari wilayah lain. Perbandingan yang bersungguh-sungguh akan membolehkan kita umat Islam membentuk satu jati diri persuratan yang bermodelkan kepimpinan Islam yang benar dengan pendekatan ‘supra mazhab’. Ini malah dapat melebarkan lagi usaha taqrib (atau penyatuan) antara pelbagai aliran pemikiran dalam Islam dengan menjadikan kesatuan ummah sebagai titik pertemuan.

Gesaan melakukan kajian bandingan antara sastera Islam bukanlah sesuatu yang baharu. Ia pernah dianjur oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam esei beliau ‘Kesusasteraan Bandingan dan Situasi Malaysia: Beberapa Pengamatan Awal Dalam Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin (1994). Beliau menyatakan khazanah sastera berunsur Islam mempunyai satu kesatuan iaitu Islam untuk dibandingkan. Sarjana ini malah meramalkan dapatan yang ‘menarik’ sekiranya kajian dalam bentuk bandingan dilakukan. Sastera Melayu Islam misalnya dapat meminjam kekuatan sastera Islam rantau Indo Pakistan yang kuat tradisi sufismenya. Kita di Nusantara juga dapat menekuni dan meminjam apa yang baik dari sastera Islam Parsi dengan kekuatan falsafah pada tradisi sastera Islam syiahnya. Belum ada pula perbandingan yang bermakna untuk meminjam tradisi sastera Islam dari Afrika yang kukuh dengan pengaruh tarekat Sanusiyyah dan jihad yang panjang menentang kolonialisme Perancis dan Itali. Dengan membandingkan wacana dan pemikiran (yang terbenam dalam karya sastera Islam pelbagai tradisi) satu kesatuan ummah juga dapat digerakkan. Hal ini misalnya turut ditekankan oleh Ahmad Kazemi Moussavi dalam Facing One Qiblah (2005) yang menyatakan, ‘The contemporary context of Islamic unity has brought to the foreground the necessity for a better understanding of all branches of Islamic thought’.

Menurut seorang ulama ahlus sunnah wal jamaah yang terkenal, Dr. Abdul al-Majid al-Najjar dalam buku yang diterjemahkan dengan judul Kebebasan Berpendapat dan Penyatuan Pemikiran Ummat (1997): ‘Kesatuan dan keharmonian model perpaduan untuk meraikan kepelbagaian ummah ialah dengan menggunakan akal (intelektual) berasaskan tauhid yang mutlak demi akidah Islam’.

Penggunaan formula supra mazhab dalam karya sastera Islam (juga dalam disiplin sastera bandingan) kita dengan itu dapat menjadi satu dakwah bil hal atau gerakan mengajak kebajikan berdasarkan ayat 10 surah al-Hujurat:

‘Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.’ Berdasarkan ayat al-Quran ini, kita malah dapat mengacukan sebuah model persaudaraan dalam sastera sastera Islam, dengan menggunakan paduan dua kaedah usul fikah iaitu sadd al-dhara’ei (menutup pintu bahaya) dan al-akhdhu bi al-Ahwat (mengambil yang lebih berhati-hati). Paduan dua kaedah ini akan membolehkan kita membataskan peminjaman tradisi sastera dan naratif (contohnya dari Barat) yang sama sekali tidak berkenaan dengan kita.

Persuratan atau sastera Islam yang kita perlu hari ini ialah persuratan yang mendokong formula penyelesaian masalah ummah dengan menggunakan kepelbagaian sumber Islam ini. Bahkan ini akan menjadikan karya sastera Islam kita tidak sahaja beku tetapi segar dan matang sambil benar-benar berperanan sebagai ‘membantu penyelesaian pelbagai kerancuan masalah ummah’. Kita tidak dapat membiarkan lagi karya sastera Islam yang penuh dengan episod cinta ala-ala muslim-muslimah yang memualkan diperagakan sebagai produk sastera Islam kita. Sudah tiba masanya kita menonjolkan kekuatan kita sebagai pemimpin dalam menawarkan pelbagai kaedah penyelesaian untuk masalah ummah. Ini kerana umat Melayu-Islam adalah umat yang telah menunjukkan toleransi, kreativiti dan kebijaksanaan dalam pelbagai disiplin. Usahlah kita membunuh ‘potensi’ yang sedia ada ini. Sebaliknya kerencaman umat Islam harus digali, ditekuni, dipugar dan diadaptasi kembali menjadi satu kekuatan baharu.

Ini saya tanggapi sejajar dengan dua pandangan sarjana terkemuka kita. Pandangan dua tokoh berikut telah saya tekankan dalam prakata novel saya Tuhan Manusia. Yang pertama saya petik dari makalah al-marhum ustaz Yusoff Zaki Yacob ‘Masalah Pengasingan Sasterawan Melayu dari Intelektualisme Islam’ yang beliau kemukakan pada tahun 1973 dalam ’Simposium Sastera dan Agama’. Seterusnya esei Tumbuh Tiada Berbuah tulisan al-marhum Profesor Dr Syed Hussein alAttas untuk Hari Sastera 1978 di Kuala Trengganu.

Ustaz Yusoff Zaki menulis: ‘Kini, di saat kita mengkehendaki satu bentuk pemikiran Islam yang dinamis, sesuai untuk menjiwai pembangunan kita, maka undang-undang yang cuba menahan perkembangan pemikiran Islam dalam tembok-tembok mazhab yang sempit itu perlu dihapuskan. Masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab, kerana persoalan-persoalan yang timbul di zaman moden ini tidak mampu diatasi dengan pemikiran mazhab Syafie sahaja’. Perhatikan ketegasan dan seruan beliau sekali lagi, ’masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab.’ Pandangan Allahyarham Yusoff Zaki yang banyak mencorakkan sastera Islam tanahair sejak tahun 70 an sejajar dengan pandangan al-marhum Profesor Dr Syed Hussein alAttas.

Profesor Syed Hussein menyebut: ‘Bagi para penulis dan penyair kita di Malaysia dan Asia Tenggara seluruhnya, apakah ertinya soal pembukaan kembali pintu ijtihad ini? Ertinya mereka harus menghidupkan semangat bebas berfikir, bebas dari belenggu feudalisme; dari belenggu faham-faham yang sudah usang; dari belenggu faham taklid yang negatif. Mereka mesti menghidupkan semangat ini hingga ada nanti yang terpengaruh dan tampil ke muka, di kalangan generasi yang akan datang, bagi mendirikan sistem-sistem pemikiran yang dapat menggerakkan jiwa masyarakat ke arah kemajuan dan keadilan. Sebagai penulis-penulis Islam mereka mesti mengetahui dasar-dasar agama Islam; mesti mengetahui tentang ilmu-ilmu zaman sekarang; mesti mengetahui tema-tema yang penting dan yang belum cukup diperhatikan; mesti pandai mengolah unsur-unsur Islam, ilmu pengetahuan, tema, jalan cerita dan keadaan sekeliling, dalam satu hidangan yang akan berhasil meninggikan darjat kesedaran, pemikiran dan perjuangan ke arah yang murni’.

Sudah tiba masanya kita bergerak dari pertikaian apakah karya sastera harus memuatkan ilmu yang benar atau tidak, di sebalik cerita yang berhemah atau tidak. Kita harus bergerak dari perbincangan apakah kriteria untuk menilai Islam atau tidaknya sesuatu karya. Generasi baharu pengarang sastera Islam mesti mencabar diri masing-masing untuk membuka ketempurungan minda menerokai wilayah sastera Islam yang sebenarnya luas. Persuratan Islam yang kini lembab perlu disegarkan kembali dengan peranan asasnya iaitu hendak ’melangsaikan masalah ummah dengan menyarankan solusi dari pelbagai tradisi Islam’. Ini perlu supaya sastera Islam kita terus bergerak menuju walayat yang sebenar iaitu – tauhid. Dan inilah cabaran sastera Islam dekad-dekad mendatang.

Dilarang mengambil artikel ini. Siaran Mingguan Malaysia 23 Ogos 09

21 August 2009

Secicip Kopitiam Ghadir

Kami di kota kecil ini tak biasa terima orang luar. Kota kami kecil saja. Penghuninya tak ramai.

Ustaz, kalau emosi menguasai kita. Dan kita tidak menggunakan akal pemberian Allah kita akan menjadi seperti iblis yang takbur tidak mahu menghormati Nabi Adam alaihissalam bila diperintahkan Allah berbuat demikian. Kerana itulah iblis menjadi kafir.

Kota apa macam ni? Terpencil. Kecil. Penghuninya tidak ramai. Saya nak keluar. Tunjukkan jalan keluar.

Kalau pun kami tinggal di kota kecil yang terpencil, dan tidak diiktiraf itu tak bermakna kami ni pelik, atau bukan manusia. Kami pun ada hak juga. Kami tak boleh ditindas dan dinafikan hak-hak sewenang-wenangnya.


Gerakan Revolusi Pembudayaan Selawat berhasrat untuk mementaskan sekali lagi Kopitiam Ghadir. Ini kerana masih ramai yang belum berkesempatan menonton teater ini. Revolusi Pembudayaan Selawat juga merancang untuk merakam album lagu-lagu Kopitiam Ghadir. Sehubungan dengan itu kami memerlukan dana untuk bergerak. Kepada mereka yang berminat untuk "memasjidkan seni, membudayakan selawat" kami mengalu-alukan 'penglibatan saudara' untuk menjayakan projek wacana-hiburan Islam ini. Semoga amal saudara-saudara akan terpandang di sisi Allah dan Rasul-Nya. Usaha dan upaya mengangkat kebenaran Islam menerusi wacana-hiburan begini sangat penting untuk menumpaskan hiburan-batil yang diberi tempat oleh pihak tertentu.
Sila hubungi saudara Luqman Hisyam untuk sebarang pertanyaan lanjut. * Foto oleh AmeenServe, terima kasih Muhaimin!

20 August 2009

Berbicara Tentang Kopitiam Ghadir

oleh Amalina Ismail

Saya tidak tahu apa itu Puitika Aristotle yang dibeberkan FT dalam blog beliau tentang teater Kopitiam Ghadir yang dipentaskan baru-baru ini. Namun, Kopitiam Ghadir adalah 'sesuatu' walaupun tanpa perkaitan itu.

Saya terlalu sibuk minggu ini, namun saya sempatkan juga mencuri waktu untuk hadir menonton karya pentas FT ini. Setelah tidak berkesempatan tahun lalu untuk menonton teater Dua Jam sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun.

Sederhana dan bermakna. Itulah pandangan saya untuk teater yang rata-rata memberi tema tentang kemuliaan Ahlul Bait. Jujurnya teater yang saya tonton di UPM lebih detail teknikalnya. Namun, ia masih sebuah karya yang hebat dalam memberi makna bagi sebuah karya seni Islami yang bisa menarik masyarakat masa kini. Sungguh, hadis-hadis yang dibaca para pelakon masih terngiang-ngiang di telinga.

Saya kira teknik ‘didaktik’ atau mengajar yang cuba diserapkan FT berjaya melalui teater ini. Melalui alunan nasyid yang segar dan humor yang sinis sering menepis kebosanan untuk pergi. Dan dalam sinis dan sarat ilmu, FT masih mampu menggugah hati dan jiwa penonton bila kisah Saidina Hamzah diangkat sama. Seperti dalam novelnya, FT bijak memberi rasa dalam karya dan tidak sekadar ‘menyumbat’ fakta.

Saya kira wajar untuk FT untuk terjun ke arus perdana seni teater dan hiburan tanah air. Membuat kolaborasi dengan penggiat-penggiat teater adalah langkah terbaik. Barangkali memang banyak halangannya namun saya yakin FT bukan seorang yang mudah mengalah tapi terus bangkit melawan.

Saya mengharapkan Kopitiam Ghadir akan dipertingkatkan mutunya, baik dari segi teknikal dan pemikirannya dan dipentaskan semula kepada khalayak yang lebih ramai.


Saya juga merasakan perlunya lebih ramai generasi muda yang cinta kepada agama Islam ini untuk sama-sama ‘menjerumuskan’ diri dalam ‘gaung seni dan hiburan’ ini dan membawa metod-metod dakwah dan mendidik dalam karya. Ya, sewajarnya untuk kita sama-sama mendirikan ‘masjid-masjid seni’ yang indah dan sentiasa menarik kunjungan para pelawat.

Sumber
di sini.

19 August 2009

Kopitiam Ghadir: Hadir Minimal Tetapi Berkesan

Oleh Zul Fikri Zamir

Sejak zaman Mahenjo Daro & Harappa lagi, teater telah menjadi alat mencatat sejarah. Dalam bahasa Yunani kuno, 'theatron' dikatakan sebagai melihat dan memandang pelbagai jenis hal.

Melihat kembali bagaimana Shakespeare menggunakan teater untuk menghiburkan kaum bangsawan pada abad ke-16, peranan tersebut kekal sehingga kini, eksklusif serta timbul untuk melahirkan sesuatu.

Dalam Dynamics of Drama, Bernard Beckerman mendefinisikan teater sebagai sesuatu yang terjadi ketika manusia terisolasi dalam ruang dan waktu. Untuk tujuan tersebut, teknik ucapan, gestures, mimik muka dan gerak badan perlu sesuai dengan tujuan pementasan.

Menyorot sisi seni pula, Dr Sidi Gazalba menyifatkan seni yang baik, yang memegang nilai moral yang tinggi adalah ciri-ciri seni yang indah.

Kopitiam Ghadir adalah teater paling ringkas yang pernah saya tonton walaupun diarahkan oleh penulis bertaraf selebriti seperti Faisal Tehrani. Cukup dengan bumbung, sebuah pentas dan tempat duduk, seni persembahan ini benar-benar merakyat. Maka masyarakat berpeluang menonton dan menikmati hiburan tersebut dengan suasana anti-protokol.

Dalam skala pentas seni, Malaysia adalah sebuah negara yang meriah dari segi persembahan teater. Negara punya pelbagai jenis persembahan bermusim dengan tema patriotik atau kemerdekaan, ataupun pelbagai jenis persembahan terbuka yang lain, selalunya menumpu di Kuala Lumpur (belum kira Pekan Teater dan sebagainya).

Maka tidak hairan studio canggih seperti Istana Budaya yang lengkap dengan pentas bergeraknya penuh dengan pelbagai aturcara setiap bulan. Paling 'cikai', Stor DBP adalah sebahagian dari pentas pilihan yang dipilih oleh penggiat seni di Malaysia.

Teater konvensional tidak dapat lari dari penataan cahaya, kostum serta set mega yang akan membantu 'mood' pelakon serta membina suasana yang akan dirasai oleh penonton. Menolak hipotesis ini, Faisal Tehrani berjaya membentuk sebuah kumpulan yang berjaya memerangkap penonton dalam kurungan khayalannya lantas membawa penonton menelusuri pemikirannya. Lebih besar dari itu, gaya persembahan yang bersahaja sebegini membincangkan sebuah persoalan yang merentas vakum masa dan inter-mazhab. Hasilnya, dengan teknik provokasi simplistik tetapi mengesankan, watak Ustaz Malaya yang gagap (sinikal) telah direndam ke dalam sebuah debat ilmu yang tinggi makamnya.

Umum mengetahui, dalam seni pementasan, eksplorasi pergerakan, vokal serta penghayatan adalah bumbu utama sebuah naratif. Kopitiam Ghadir telah merendahkan nilai tersebut dengan menolak hipotesis umum mengenai keperluan-keperluan tersebut tanpa merendahkan nilai ilmu yang dijunjungnya. Dalam Kopitiam Ghadir, ilmu adalah sumber kekuatan dan improvisasi mutlak yang akan melorongkan isolasi ruang dan waktu seperti yang dikatakan oleh Bernard Beckerman di atas. Merenjat kebiasaan, Kopitiam Ghadir hadir dengan kekuatan amatur para pelakonnya, set dan kostum yang minimal serta kebergantungan yang hampir tiada kepada bantuan penataan cahaya yang kompleks tetapi bergantung sepenuhnya kepada kekuatan ilmu yang dibawa dan bantuan Revolusi Pembudayaan Salawat yang mendendangkan nasyid sebagai selingan plotnya.

Lakonan para pelakonnya juga ringkas, menjelaskan bahawa dendangan nasyid dan ilmu yang ingin di bawa tidak perlu bergantung keras kepada kekuatan para pelakon, tetapi lebih kepada penghayatan yang diambil oleh para penonton. Maka, aspek naratif dilihat berkesan dengan sisipan lelucon melalui watak gagap oleh Ustaz Malaya dan pelakon yang lain. Teater mana lagi yang mampu hadir sebegini ringkas, minimal dan cukup hanya dengan 4 orang pelakon tetapi mesej ilmu dan provokasi mentalnya jelas?

Sememangnya Kopitiam Ghadir akan direncam vokal oleh para pemerhati yang tidak memahami sisi ilmu yang ingin disampaikan. Lebih besar dari itu, Kopitiam Ghadir saya lihat lebih bersifat futuristik mengambil kira teknik penyampaian muzikal yang dianjurkan serta nilai ilmu yang sengaja disuapkan kepada penonton, mudah melalui buku-buku rujukan masyarakat umum sahaja. Maka secara klinikal, Kopitiam Ghadir diklasifikasi indah kerana keberaniannya 'mem-vokal' dalam isu dan dilema yang belum dapat ditangani oleh masyarakat secara intelektual.

Rugi sememangnya, kepada mana-mana peminat teater yang terlepas peluang menikmati hidangan pementasan ilmu yang dibungkus indah dalam sebuah seni muzikal dan sisipan lelucon mewakili sindiran tajam kepada masyarakat setempat khususnya.

Dalam suasana meriah masyarakat teater mendapat kemudahan studio, pentas dan dana, Kopitiam Ghadir sengaja hadir secara ringkas dengan keterbatasan yang pelbagai di tengah kota Kuala Lumpur.

Kopitiam Ghadir mencipta daerah seni dan tingkat eksklusifnya yang tersendiri, menampung kemelaratan masyarakat yang buta sejarah dan super taklid dalam usaha memastikan seni bukan hak mutlak dunia pop.

Estetika Kopitiam Ghadir tumpah mewah lewat asas perbezaan di antara yang benar dan tidak, seputar persoalan ilmu mengenai wilayah dan kepekaan masyarakat terhadapnya.

Lebih rugi lagi, DBP yang membatalkan ruang kepada Faisal Tehrani kerana kemelaratan Kopitiam Ghadir bukan membayangkan produksinya yang lemah, tetapi kesediaan masyarakat yang belum boleh berhadapan dengan kebenaran ilmu, khasnya.

Kopitiam Ghadir hadir dan wujud untuk mencatat sejarah, bagaimana sebuah peradaban yang kononnya ulung kekal menolak, meminggir dan membakul-sampahkan sebuah daerah remeh bernama Ghadir Kumm.

Sumber di sini.

18 August 2009

"Aqidah and Syariat" According to Dewan Bahasa dan Pustaka


Di luar kamar kerja saya, sengaja ditampal dua poster Kopitiam Ghadir. Satu poster yang bertanda Dewan Bahasa dan Pustaka dan satu lagi yang bertanda Wisma ITNM. Kemudian saya tampal pula petikan dari puisi SN Dato A. Samad Said 'Jenis Kawan' berbunyi begini:

Kawan
setia
sering membantu;
yang derhaka
kawan
palsu.

Dewan Bahasa dan Pustaka mempertikaikan teks Kopitiam Ghadir yang dikatakan menyesatkan akidah umat Islam. Tanyakan kepada Helmy Samad, Dr Zainal Latif, Saudara Zakaria Ariffin, Saudara M. Ezzam Mohd Nor (antara yang datang menonton); setara manakah sesatnya teks Kopitiam Ghadir. Kalau tak ada kelayakan (paling minima) ijazah sarjana muda syariah usah buat fatwa sendiri-sendiri. Teks cerita gay dan anak haram yang main dalam waktu sama di stor Dewan Bahasa dan Pustaka tidak menjejaskan akidah dan syariatkah? Teks pikul kavadi dalam bulan rejab sampai dua kali tidak menjejaskan akidah Islamkah?

Saya ingin ingatkan mereka di Dewan Bahasa dan Pustaka, dunia berputar macam roda. Ada hari nanti kalian di bawah. Saya jenis kenal kawan setia dan kawan palsu. Saya kenal orang yang bermuka-muka. Saya kenal. Kita boleh bermuka-muka depan manusia. Tetapi tidak boleh ada double standard depan Tuhan.

17 August 2009

Menghukum Kopitiam Ghadir

Mencemuh agama tidak semestinya dengan cara melukis kartun Rasulullah saw, tidak juga hanya dengan cara menulis novel memaki hamun baginda. Ada banyak cara memaki agama. Mencemuh agama boleh sahaja dengan berprasangka. Tambah pula yang berprasangka tidak ada kelayakan. Saya belum marah bila diberi 'syarat tambahan' kerana sudah lali dituduh sesat; saya lazim dicekak kolar leher, biasa sudah disergah janji yang dimungkiri, pernah dihakimi. Tetapi, saya boleh menjadi sangat marah apabila mendapat tahu karya semi-batil dengan wacana mengunggulkan kebejatan moral mendapat tempat selamat di lokasi yang sama sedangkan karya kami yang ingin memasjidkan seni dan menselawatkan budaya disusahdiremehdipinggirkan. Jawab dengan Tuhanlah kata saya bila ditanyai orang. Jawab dalam kubur nanti. Jawab kepada Nabi sendiri. Mencemuh agama ada bermacam cara. Langsung dan tidak langsung. Ya, saya masih marah. Masih. Marah saya 'valid'. Pelajar-pelajar Universiti Sains Islam Malaysia yang menghadiri Seminar Islam Liberal sabtu lepas tahu mengapa marah saya kekal valid.

Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ahli UMNO tidak masuk syurga, ahli PAS yang akan masuk syurga. Saya tidak tahu betul tidak kata beliau begitu. Mungkin disalahertikan. Mungkin kerja iblis lagi. Mungkin diserongselewengkan orang fasiq. Tapi jika benar? Jika benar; kalaulah orang tua dan sekian birokrat kerajaan yang berkedut itu boleh menonton Kopitiam Ghadir dan berfikir seperti anak muda ini, bernama Mohd Hazimin Harun (lihat blog beliau di
sini) maka masalah ummah akan dapat diselesaikan. Insya-Allah pemuda ini akan menjadi pendakwah yang berkarisma dan memahami detak nubari masyarakat. Kami di Kopitiam Ghadir mendoakan dan menghadiahkan saudara selawat.

Saya tidak kisah 'dibunuh', karya saya menumbuhkan jiwa yang lain. Yang lebih ramai, yang akan berkata-kata bagi pihak saya. Dan tuan, tuan yang menghukum sebelum menonton, tuan tidak akan dapat 'membunuh' Faisal Tehrani. Maaflah, tuan boleh mencuba. Tuan hanya akan menghidupkan lebih ramai lagi, di merata-rata tempat. 50 tahun lagi selepas saya sudah tiada, tuan akan kembali melawati Kopitiam Ghadir.

Ini tulis pemuda ulul albab tersebut di blog Pena Fakir:

Aku masih ingat, kali terakhir menonton karya teater Faisal Tehrani adalah kira-kira tujuh tahun lalu. Hasil gandingan FT dan Nam Ron, Drama MISI yang dipentaskan di Taman Budaya Kuala Ibai, Terengganu masih mekar dalam ingatan mesej yang tersirat dalam teater tersebut. Ruang latar yang tidak sarat props. Hanya dua watak berperanan, sepanjang pementasan, namun karya tersebut mewah dengan estetika makna, terkandung nilai sosial dan falsafah budaya tersendiri.

Semalam, kesempatan menikmati pementasan teater Kopitiam Ghadir, memberi peluang untuk aku kembali meneroka pemikiran budaya yang melingkari dunia 'misteri' FT. Masih dalam proses memahami idea supra mazhab dalam karya beliau. Bukan kerana obses melulu, tetapi lebih cenderung untuk aku menilai gagasan pemikiran beliau yang diadun secara ilmiah lewat teater tersebut.

Mungkin apa yang boleh dinyatakan, Kopitiam Ghadir merupakan manifestasi sikap sosial untuk merealisasikan kesatuan ummah menerusi medium 'pencerahan' mengikut acuan beliau. Barangkali menginsafi tanggungjawab agama sebagai orang seni, beliau ingin gagasan memasjidkan seni dimulakan mengikut langgam budaya setempat. Secara mudah, usaha itu boleh dikira tajdid menuju pencerahan yang dihidangkan dalam lingkungan ilmiah dan didasari kebenaran.

Satu jam berlangsung dengan kira-kira 80% pementasan diisi dengan nasyid dan selawat, Kopitiam Ghadir memberi evolusi dalam proses islamisasi teater. Tidak lagi gaya mensyarah secara panjang lebar. Juga tiada lagi watak pemberi kuliah atau pembaca khutbah, meski inti utama teater tersebut adalah matan-matan hadis Nabi s.a.w. Diselang-seli dengan unsur humor dan sinikal yang sesekali mengundang tawa khalayak, karya ini segar mengisi benak penonton untuk tangkas memikirkan makna dalam setiap babak persembahan.

Aku cuba mendorong diri untuk berlapang dada sepanjang menonton Kopitiam Ghadir. Jalan yang aman adalah melihat dari sudut seni dan dakwah, bukan kerana mencari titik pertentangan fahaman yang lebih menjurus kepada emosi.

Bila mengenangkan industri seni di negara kita yang miskin dengan produk berunsur Islami, aku kira perlu juga untuk kita merubah persepsi. Berada di lapangan berbeza mendorong kita untuk lebih terbuka memahami bagaimana uslub yang pelbagai perlu digunakan dalam kerja dakwah dan islah.

Sekadar pandangan peribadi, ada kalanya perlu untuk kita meletakkan kepentingan dakwah di hadapan berbanding prinsip diri. Maksudnya, pinggirkan seketika apa yang boleh dikatakan bersifat kepentingan peribadi atau entiti tertentu. Meminjam kata-kata FT dalam pertemuan dengan beliau baru-baru ini, perlu pada suatu ketika untuk kita meliberalisasikan diri, atau lebih tepat, 'liberal dalam lingkungan'.

Setiap permasalahan ummah harus kita fikirkan jalan bagi merungkaikannya. Tidak cukup untuk kita sekadar berbincang dan meninggalkan persoalan begitu sahaja. Jika ada usaha murni ke arah maslahah ummah, wajar untuk kita dahulukan dan berikan ruang.

Masalah tidak akan selesai jika kita hanya pandai mengkritik, melabel orang itu bid'ah, menuduh orang sesat dan menghukum tanpa usul. Itu sikap yang merugikan umat Islam sendiri. Bahkan, menyitir kata-kata Syed Naquib Al-Attas, ketempangan adab (the lost of adaab) yang berlaku dalam ummah menjadi penyebab masalah ummah terus berlarutan.

Tiada salah untuk kita berbeza pendapat dalam konteks pengkajian ilmiah dan kritikal dalam berfikir. Asalkan niat bersih dari sebarang pengkhianatan iktikad, dan panduan kita sentiasa benar menurut asas wahyu. Seperti pesan Dr Siddiq Fadzil, jangan lupa pangkalan.

Selesai sudah cicipan enak secangkir ilmu di Kopitiam Ghadir. Sekembalinya ke Nilai, terdetik satu dua persoalan yang mula berlegar dalam benak. Apakah wujud perdebatan di kalangan ulama' sirah dan para muhaddith dalam peristiwa Ghadir al-Khumm? Dan apakah ucapan Nabi s.a.w. itu memberi titik mula perbahasan mengenai Islam dan kepimpinan umatnya setelah peninggalan baginda?

Kopitiam Ghadir: Terima Kasih Atas Sambutan Luar Biasa


Alhamdulillah, Kopitiam Ghadir telah pun berakhir semalam. Terima kasih ITNM kerana menyelamatkan kami dari terus menjadi seniman melarat yang tertindas. Terima kasih media yang memberi ruang promosi buat kami khususnya IKIM (Radio Institut Kefahaman Islam). Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang datang menonton; sejauh Pulau Pinang, Singapura, dan Filipina. Walaupun ada penonton yang tersesat untuk tiba ke Wisma ITNM dan sebagainya tetapi mereka ikut tabah, secekal kami. Kami juga berbesar hati didatangi audien yang berkualiti. Ada yang datang menonton lebih dari sekali. Ramai siswa-siswi (termasuk pengajian agama) yang ikut menonton dan memahami wacana hadis yang kami lontarkan. Terima kasih tulus dari hati ini. Kata-kata tidak cukup untuk menampung penghargaan kami. Apa yang kami inginkan ialah untuk terus membudayakan nasyid dan selawat dalam seni. Saya percaya lagu-lagu indah Revolusi Pembudayaan Selawat masih terngiang-ngiang di telinga mereka yang hadir. Kelucuan pelakon masih tergambar-bayang di mata kalian.

* Foto Revolusi Pembudayaan Selawat bersama ahli politik terkenal, Saudara Ezzam Mohd Nor dan Dee-Jay Ikim.fm, Kak Ani di luar tempat pementasan.

15 August 2009

Pementasan Tambahan Kopitiam Ghadir Ahad 3 Petang

Ekoran sambutan menggalakkan terhadap Kopitiam Ghadir, produksi memutuskan untuk mementaskan satu pementasan tambahan pada 16 Ogos pukul 3 petang. Pementasan pada jam 9 malam, tarikh yang sama akan diteruskan seperti biasa. Justeru pada hari ahad ini khalayak berpeluang untuk menonton pada dua waktu berbeza. Kopitiam Ghadir akan kembali malam ini bermula pukul 9 malam di Wisma ITNM. Tiket hanyalah RM 10. Hubungi pengurus produksi - saudara Luqman Hisyam di nombor 012 2335263. Mohon mereka yang kurang sihat tidak hadir atau mengenakan face mask. Mohon jangan dibawa kanak-kanak di bawah usia 12 tahun kerana boleh mengganggu pementasan. Oleh kerana ruang kecil di ITNM, sila patuhi arahan krew pementasan. Seeloknya dibawa baju sejuk kerana suhu penghawa dingin agak menusuk. Terima kasih.

14 August 2009

Selepas Berdepan Halangan, Faisal Tehrani Berjaya Pentaskan Kopitiam Ghadir

Harakahdaily
Fri Aug 14, 09 1:21:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 14 Ogos: Kopitiam Ghadir, karya teater terbaharu sasterawan Faisal Tehrani berjaya dipersembahkan di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Wangsa Maju semalam dengan sambutan sederhana daripada peminat teater.

Karya teater muzikal yang pada asalnya dijadualkan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula 8 Ogos terpaksa dipinda tarikh dan tempat pementasan ekoran apa yang dilihat sebagai halangan yang timbul secara tiba-tiba beberapa hari sebelum pementasan dijadual bermula.

Menurut Faisal, DBP telah bersetuju untuk menyediakan tempat pementasan tetapi kemudian diminta merujuk kepada 'pihak berwajib agama' untuk dinilai terlebih dahulu.

"Pihak DBP telah bersetuju menyediakan tempat pementasan dan ini dijelaskan dalam sepucuk surat bertarikh 24 Julai 2009, ditandatangani oleh ketua Bahagian Pengembangan Sastera DBP," jelas Faisal.

"Tetapi kemudian pada 28 Julai mereka (DBP) telah mengenakan syarat tambahan melalui surat ditandatangani pengarah Jabatan Sastera yang disampaikan melalui faks ketika saya sedang terlibat dalam satu aktiviti sastera di Singapura," katanya lagi.

Menurut Faisal, produksi Kopitam Ghadir diminta mendapat kebenaran daripada pihak berwajib agama disebabkan karya itu mengandungi unsur keagamaan.

Menurutnya lagi, disebabkan kesibukan produksi itu dan kesuntukan masa untuk memenuhi syarat tambahan itu, Kopitiam Ghadir mendapatkan tempat baharu untuk pementasan dan ITNM bersedia memberikan ruang.

Faisal turut menimbulkan persoalan kenapa sekitar masa yang sama karyanya yang berunsur Islami itu dikenakan syarat, pementasan karya yang boleh dianggap tidak bermoral boleh diadakan di DBP.

"Kenapa cerita tentang sejarah umat dan wacana mengenai hadis dikenakan syarat tetapi pada masa sama, cerita mengisahkan anak haram dan bersekedudukan dijalankan di Stor DBP. Kenapa mereka tidak diminta meminta kebenaran daripada Jakim?," soal Faisal.

Kopitiam Ghadir ialah karya terbaharu Faisal yang mengemukakan wacana agama sebagai kandungan utamanya, memfokuskan hadith berkenaan peristiwa di Ghadir Khumm, tempat persinggahan Rasulullah saw dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas mengerjakan Haji Terakhir.

Pementasan teater ini bermula di ITNM semalam dan berlangsung setiap malam hingga 16 Ogos nanti. - azm _

Petikan Harakahdaily, klik
di sini.

13 August 2009

Mula!


Kopitiam Ghadir berlangsung antara 13-16 Ogos 2009 bermula pukul 9 malam (Tepat 9!) di Wisma ITNM. Tiket hanyalah RM 10. Pengurus produksi - saudara Luqman Hisyam di nombor 012 2335263. Mohon mereka yang kurang sihat tidak hadir. Mohon jangan dibawa kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Mohon hadir sebelum pukul 9 malam. Pintu tempat pementasan tidak akan dibuka lagi setelah pementasan bermula. Oleh kerana ruang kecil di ITNM, sila patuhi arahan krew pementasan. Seeloknya dibawa baju sejuk kerana suhu penghawa dingin agak menusuk. Terima kasih.

Puitika Aristotle & Kopitiam Ghadir

Petikan KLpos.com, klik di sini untuk sumber asal.

MALAM ini pementasan Kopitiam Ghadir akan bermula, sebagai salah seorang pengamal teater di Malaysia, kedudukan saya tentunya kecil sahaja berbanding gergasi yang sedia ada. Dalam dunia teater - jika ada senarainya, nama Faisal Tehrani selalu tertinggal. Kerana itu poster Kopitiam Ghadir akan selalu diturunkan apabila kami menampalnya di papan notis mengiklankan teater. Seolah-olah sakit sangat mata dan hati mereka melihat poster Kopitiam Ghadir. Dan pastinya Kopitiam Ghadir yang ditunjangi muzik tidak terkalahkan berbanding muzikal Tun Abdul Razak yang bakal dipentaskan oleh Kementerian Kebudayaan, Penerangan dan Komunikasi mulai 16-20 Ogos ini. Muzikal Tun Abdul Razak adalah sebuah pementasan state sponsor yang melimpah ruah wang ringgit berbanding produksi kami yang berlatih di padang bola Petaling Jaya, taman rekreasi Shah Alam dan “diusir keluar” dengan cara paling “melukakan” oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (tempat asal pementasan kami) sehingga “terbuang membawa diri” ke Wisma ITNM di Wangsa Maju.

Dari segi bentuk sebuah ‘drontas’, Kopitiam Ghadir bercita-cita besar untuk mencabar Puitika Aristotle. Saya berpegang kepada mazhab didaktik. Dan itu bukan lagi rahsia dalam kalangan elitis sastera dan pengekor karya saya. Mazhab didaktik memang berniat ‘untuk mengajar’. Dalam perkembangan kesusasteraan dan drama dunia, didaktik pernah mendapat tempat yang kejap dan kukuh. Ambil sahaja naskah Hesiod berjudul Theogony (8 SM) yang menggabungjalinkan puisi dengan ‘kisah’ penciptaan dunia dan hubungannya dengan dewa-dewa. Dalam khazanah sastera Latin, Virgil membawakan Georgics (1 SM) dengan mengkuliahkan prinsip moral dan institusi kekeluargaan. Zaman Pertengahan menyaksikan ‘didaktik’ mendapat tempat di Eropah dan ia mulai meresap dalam prosa. Ia merosot kemudiannya dan kembali dalam kurun ke-18 di mana puisi-puisi tradisi Virgil dihadirkan semula dengan sengaja seperti yang terlihat pada karya Erasmus Darwin berjudul Biotanic Garden (1789-1791).

Sebagai penganut mazhab didaktik dalam berkarya, mencabar puitika Aristotle tentulah dirasakan sedikit gila. Ini kerana asas gubahan ‘epik’ menurut Aristotle adalah peniruan (mimesis) untuk mencapai katarsis (puncak nikmat) dan menyedari hamartia (kesilapan). Tugas saya mendefinisikan semula mimesis, katarsis dan hamartia Aristotle. Ya, dengan cara saya sendiri, mengikut kehendak dan walayat sebenar.

Matlamat seni menurut Aristotle, ada yang memang - kerana bertujuan seni, ada yang sekadar suka-suka dan ada yang meniru kerana ‘habitnya’ begitu. Peniruan dibuat menerusi media irama, ucapan dan melodi. Di sinilah manipulasi lagu, dan muzik didatangkan dan sengaja saya mendapatkan khidmat penyanyi-penyanyi band indie untuk menyampaikan himpunan lagu-lagu dengan lirik didaktis. Tentulah ironi. Tetapi penyanyi band indie juga khalifah Allah di muka bumi. Mereka tidak terlepas dari alam kubur dan kematian tiba-tiba. Kerana itu penyanyi band indie ini mudah dilunakkan, kerana mereka Alhamdulillah memang mengenal asal penciptaan, wilayah kedudukan dan kehendak taklif.

Untuk memberikan kesegaran kepada Kopitiam Ghadir saya memastikan elemen komedi di mana menurut tradisi drama Greek, komedia adalah “peniruan yang memburukkan terhadap orang yang lebih inferior tetapi ia dilakukan bukan sehingga menyakitkan hati orang”.

Aristotle percaya dalam ‘puitikanya’ bahawa tragedi harus menekankan plot di mana ia adalah tunjang. Sebab dan akibat sangat bertalian. Kerana itulah dalam Kopitiam Ghadir apabila seorang agamawan yang sombong sesat ke dalam sebuah kampung ‘terpencil dan kecil’ ia berasa rimas tetapi terhadirnya ia ke wilayah yang penghuninya minoriti, dan aneh di matanya itu, telah mengakibatkan eksplorasi yang luar biasa buatnya. Justeru, untuk memberi sebab dan akibat yang utuh didatangkan empat karektor yang akan mengheret ‘cerita (jika ia satu tragedi!)’ ke alam yang menurut agamawan tersebut ‘ini negeri bunian? Negeri jin? Negeri hantu?’. Dan yang mengheret cerita itu ialah watak-watak seharian kita, strateginya untuk mengungkapkan - penyamaran dan peniruan kepada konflik keagamaan dan isu perpaduan ummah yang berlarutan di luar sana.

Sehubungan dengan itu, saya meminjam puitika Aristotle sekali lagi yang mana beliau juga menjelaskan drama harus mengungkapkan pemikiran, menyampaikan isu dan hujah penting berkaitan satu-satu isu supaya di hujung akan terbukti ‘sesuatu itu sesuatu’ atau ‘sesuatu itu bukan sesuatu’. Di sini datangnya ilham Kopitiam Ghadir iaitu makalah ilmiah Dr Engku Ibrahim Ismail, graduan doktorat Jabatan Pengajian Islam UM yang bertajuk 'Kesahihan dan Kemutawaritan Hadith Al-Ghadir’. Untuk tujuan ini, saya mengambil kira ‘verbal expression’ yang menjadi kenderaan kepada pemikiran, maka untuk tujuan ‘peniruan komedia’; watak gagap akan bertembung dengan watak-watak lancar dan fasih yang menguasai topik dan hujah bagi meleraikan isu kepimpinan umat Islam. Meski Aristotle menganggap lagu hanya sekadar memberi rasa sensasi dan visual pula memberikan emosi, saya mengeksploitasi lagu dan visual untuk mengenengahkan pegangan didaktik saya tersebut. Oleh kerana itu lagu dan lirik sendiri menjadi ‘kenderaan pemikiran’ watak-watak yang dihantar menerusi Kopitiam Ghadir.

Sekali lagi memperalatkan ‘puitika Aristotle’ sebagai ‘pencipta’ plot, saya menujah peripety, di mana ia merupakan kejutan yang juga ‘didaktis’. Jika Oedipus mengutus kejutan yang penuh kecelaan, saya menghantar kejutan yang tentu sahaja murni berpaksikan moral dan akhlak Islami. Peripety ini tentulah satu recognition seperti yang dituntut Aristotle lama dahulu dalam ‘puitikanya’ di mana berlaku atau terdapatnya perubahan dari ketidakpedulian kepada kepedulian, yakni dari tidak tahu menjadi tahu. Cuma saya mengabaikan elemen pathos dalam recognition Aristotle tersebut. Pun Insya-Allah, ia masih merangsang penonton di mana masih ada tujahan elemen fearful dan pitiable.

Namun, memain-mainkan tragedi milik Aristotle dengan menerbalikkan tragedi itu menjadi ‘keberuntungan’ buat agamawan tentu sahaja sesuatu yang mencabar kerana hero tidak membuat pilihan yang salah, dan di sebalik kedunguannya; ia ternyata menjadi lebih pandai dan bijak, dan setelah mengalami kekeliruan oleh apa yang ia lihat (appearance) ia menjadi lebih kenal ‘real’ dan bukti konkrit berdasar al-Quran dan sunnah. Mungkin di sini anutan didaktis saya memainkan peran yang penting kerana ia muncul dalam drama sebagai parabasis bersulam exodus. Keinginan mencabar bentuk puitika Aristotle saya itu akan diterjemahkan dengan Kopitiam Ghadir dipentaskan antara 13 Ogos sehingga 16 Ogos di Wisma ITNM, Institut Terjemahan Negara, Wangsa Maju. Seperti kata saya di awal, kami ‘pencabar puitika Aristotle’ yang miskin tetapi kalau sudah namanya mencabar; kami memang garang mencabar, dan seribu kali diusir pun kami tidak akan lelah!

12 August 2009

Siapa di Sebalik Kopitiam Ghadir?

AXodD14:


Pernah merakamkan beberapa buah album dengan beberapa band indie. Beliau pernah tercalon di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2004 bagi kategori Album Baru Inggeris Terbaik (Young, Loud and Proud).

Amir Abdul Kahar:


Pemuzik dengan beberapa buah band indie. Kini muncul semula dengan Revolusi Pembudayaan Selawat.

Charles Faizal Sharifuddin:


Pernah menubuhkan sebuah band irama soul-reggae - 'Faces'. Pada tahun 2004 beliau menubuhkan Seekers bersama Makin Abadi Sdn Bhd, yakni sebuah kumpulan kegiatan perubatan paranormal.

Hilmi Alham:


Bekas pramugara di awan biru ini pernah terlibat dengan sebuah band indie 'The Section' dari tahun-tahun 1997-2007.

Mohd Iswan Isa:


Pelajar muzik UiTM Shah Alam ini merupakan ahli utama Revolusi Pembudayaan Selawat dan pencipta lagu untuk Kopitiam Ghadir.

Pengarah Kopitiam Ghadir:

Kopitiam Ghadir bakal dipentaskan di Wisma ITNM, Wangsa Maju, KL pada 13-16 Ogos 2009 (mula jam 8.45mlm). Tiket : RM10.

Ketupat Cinta (2): Wan Tempoyak Wan Tempeyek

Sebenarnya adalah bahtera atau dhow Yaman yang ditumpangi Tun Lepat tersebut terus ia berlabuh di pelabuhan, akan tetapi Tun Lepat memilih untuk terjun ke dalam air sebaik kapal mendekati pesisir pantai. Lantas ia berenang ke tepian. Bijak sekali Tun Lepat, tiada ia mahu tiba di Melaka dalam keadaan dikenal orang. Maka penatlah Tun Lepat berenang ke pantai sehingga terdampar ia di atas pasir lantaran kelelahan.

Sekonyong-konyong tika Tun Lepat sedang melepas letih dalam keadaan bajunya basah-basah lembab dek air masin melintaslah dua orang nenek kembar. Yang kanda bernama Wan Tempoyak yang adinda bernama Wan Tempeyek. Adalah di zaman tuan-tuan kerana ramai orang menggilai angka satu, nama nenek-nenek tersebut dieja begini 1Tempoyak dan 1Tempeyek.

Ternampaklah 1Tempoyak akan seorang anak muda yang wajahnya suci tidak bernoda, bersih dafi ia mengenakan cepiau. Dalam hati ia berbisik, “Satu, dua, tiga, enam; enam dan satu jadi tujuh, buah delima yang ditanam, buah berangan yang tumbuh.”

Segeralah 1Tempoyak menjerit melaung memanggil adindanya 1Tempeyek yang terbongkok-bongkok bertongkat mengutip siput sedut di gigi air. “Dinda Peyek ke marilah, ada anak muda barangkali jatuh dari cerucuh. Ia terbaring di atas pasir camnilah camnilah. Risau hati kita melihatnya. Entah ia hidup entah ia sudah mati.”

Maka bergegaslah 1Tempeyek mendatangi kekandanya seraya menyeru menyahut panggilan tersebut, “Kanda Poyak inilah kita datang segera.” Sebaik sahaja 1Tempeyek melihat anak muda mulus tersebut, terdetik di hatinya bahasa indah halus, ‘Satu tangan bilangan lima; dua tangan bilangan sepuluh; saya bertanam biji delima, apa sebab peria tumbuh.’

Kedua-duanya pun merenung Tun Lepat. Maka berkatalah 1Tempoyak. “Harus kita membawa pulang anak muda ini.”

Dapatkan Ketupat Cinta (2) dalam Harakah edisi Jumaat ini.

10 August 2009

Pre Produksi Kopitiam Ghadir




Tidak pernah saya membikin teater sebegini melarat. Kadang terasa sayu. Teater tentang anak haram dipentaskan tidak pula dikenakan syarat tambahan. Teater tentang pencarian dan mesej perpaduan ummah dipangkas dengan syarat mengada-ada. Melarat tetapi tidak bangsat. Bukankah saya penerima anugerah seni negara? Latihan di taman-taman terbuka, ada nyamuk, semut dan pengunjung mengganggu. Tetapi tak apa. Tak pandang pun tak apa. Bahagia itu penting dan bermakna. Insya-Allah kami tulus belaka.

Kami cekal untuk meneruskan Kopitiam Ghadir.

08 August 2009

2 Cerpen Ogos FT

Buat penggemar genre cerpen, Ogos ini Faisal Tehrani muncul di dua majalah. Sebuah cerpen sejarah dan sebuah lagi cerpen Islami.

Petikan cerpen "Dangai Pau dan Maruku" di Majalah Dewan Siswa Ogos 2009 keluaran DBP:

“Mari, Mahmud Badak tadi beritahu Tunku akan mengambil kereta di luar pintu belakang. Dekat sekolah Inggeris sana.” Khatijah menarik tangan Priyanka. Chai Yin terkedek di belakang. Di luar stadium askar dan polis berkawal di setiap penjuru. Penjaja dan orang ramai yang memang tidak masuk ke stadium dari awal bersidaian di setiap bucu. Barisan kereta kenamaan sudah siap dan semakin ramai orang mengerumuni pembesar yang sedang mengambil langkah untuk beredar.

Mencungap mereka. Khatijah melihat tampang Tunku Abdul Rahman dan kereta Nash Rambler Custom Covertible yang sedia menunggunya untuk dibawa entah ke mana.

“Cepat Yin. Nanti kita terlepas Tunku!” Sergah Priyanka keras.

Dalam kemengahan, mereka nekad tolak menolak dan menyusup antara gerombolan manusia yang ramai. Mereka tertahan oleh barisan yang dibuat oleh askar dan polis. Namun ketiga-tiganya dapat melihat wajah Tunku Abdul Rahman agak dekat. Tdak jauh dari mereka. Priyanka memandang Khatijah. Chai Yin yang masih semput nafasnya juga menoleh kepada Khatijah.

“Jah, tugas kaulah Jah.” Begitu kata Priyanka seolah-olah mereka telah merencanakan dari awal.

Tunku Abdul Rahman kelihatan sedang bersalaman dengan beberapa orang asing yang tampak penting. Sardon Haji Jubir berada tidak jauh dari Perdana Menteri. Isteri Tunku, Sharifah Rodziah juga sedang melayan beberapa wanita kenamaan.

Khatijah mengumpul tenaga dan menghimpun suara, “Tunku, kami ada kuih nak beri Tunku!”

Orang semakin berpusu-pusu dan riuh ingin melihat pemimpin mereka dari dekat. Suara Khatijah tenggelam dalam keriuhan.

Sekali lagi Khatijah mengeraskan suara, “Tunku! Tunku! Kami ada kuih nak beri Tunku! Kuih Perikatan!”

Petikan cerpen "Susuk Susu" di Majalah Visi Ogos 2009 keluaran IKIM:

Kamu mengepal-ngepal buku lima. Meledak baran tetapi kamu tahan-tahan. Susu yang pada mulanya sedih dan berharap daripadamu pertolongan; kini dilanda bimbang kalau-kalau kamu melayangkan penampar Batak. Kamu kecewa kerana sesudah kedatangan Islam yang membawa pembaharuan dalam pemikiran dan kesenian dengan menyuntik logik, ilmu, dan akhlak tiba-tiba masih ada karya seni yang mengangkat hal khurafat. Dan lihatlah Susu yang datang mengaku kepadamu tanpa segan silu; betapa dia pernah satu masa dahulu menyucuk susuk pada sosok dan kini diburu Mengawan, pawang bangang yang dikatakan berkuasa dan memelihara hantu jembalang. Mengapakah kamu sebodoh itu Susu mempercayai susuk dan kuasa Mengawan.

Padahal setelah kedatangan Islam semuanya telah berubah. Mengapa masih ada yang mahu berpatah balik mengangkat tahyul, kejahatan, khurafat dan hal magis tidak logik begini? Kenapa patah balik? Padahal Taufik Abdullah ada menulis sebuah esei berjudul ‘Islam dan Pembentukan Tradisi di Asia Tenggara: Sebuah Perspektif Perbandingan’ yang dimuatkan dalam buku ‘Tradisi dan kebangkitan Islam di Asia Tenggara’, terbitan Lembaga Penelitian, Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial Jakarta pada tahun 1989. Taufik merumuskan yang kekuatan ekonomi umat Islam pada abad ke 13 dengan pembentukan negara birokrasi serta kebijaksanaan fiskal dan pola penyelenggaraan negara gaya Parsia menjadi antara sebab Islam diterima dengan cepat di rantau ini. Selain itu salah satu tunjang akhlak, ukhuwwah Islamiyyah yang mendasari agama ini secara langsung telah membantu menguatkan umat Islam di rantau Nusantara.

Kamu rasa seolah-olah mahu meleteri Susu. Kamu mahu membangkitkan persoalan, mengapa Islam telah diterima sebagai ganti kepercayaan karut yang kamu sebutkan di awal cerpen ini tadi? Susu faham ke tidak?

******

Dalam perkembangan lain, terima kasih buat pembaca sekalian, Tunggu Teduh Dulu kini telah diulangcetak. Dapatkan senaskah novel ini untuk dihadiahkan kepada orang tersayang.



07 August 2009

Sesi Latihan Kopitiam Ghadir (1)


Mohd Hilmi bin Alham sebagai Pak Seman: "Kalau pun kami tinggal di kota kecil yang terpencil, dan tidak diiktiraf itu tak bermakna kami ni pelik, atau bukan manusia. Kami pun ada hak juga. Kami tak boleh ditindas dan dinafikan hak-hak sewenang-wenangnya."

Pementasan Kopitiam Ghadir: tarikh baharu - 13-16hb Ogos di tempat baharu: Institut Terjemahan Negara Malaysia, Wisma ITNM, No 2, Jalan 2/27E, Seksyen 10,Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur.

Pengangkutan awam berhampiran ITNM ialah LRT Putra (turun di stesen Wangsa Maju) dan dapatkan teksi atau bas yang banyak beroperasi. Pementasan hanyalah satu jam tiga puluh minit, justeru masih banyak masa setelah tamat pementasan untuk mengejar tren atau bas akhir.

Sila telefon Luqman Hisyam, selaku pengurus produksi untuk sebarang pertanyaan dan tempahan tiket. Kopitiam Ghadir akan berlangsung antara 13-16 Ogos 2009 bermula pukul 9 malam di Wisma ITNM (peta di atas) Tiket hanyalah RM 10. Pengurus produksi - saudara Luqman Hisyam di nombor 012 2335263. Sms sahaja nama, tempahan malam pementasan dan jumlah tiket.

Doa Untuk SN Shahnon Ahmad

Pagi ini saya sempat bercakap dengan saudara Asrul (anakanda Dato Shahnon Ahmad) bahawa SN Dato Shahnon Ahmad sedang berada di unit rawatan rapi HUKM. Marilah kita mendoakan kesihatan cikgu supaya beliau segera sembuh. Saya difahamkan bahawa cikgu kini sedang dirawat dan tidak dibenarkan menerima pelawat kecuali keluarga terdekat.

Harimau Luka

Dalam tradisi Cina, harimau luka adalah harimau yang berbahaya. Semakin harimau dilukai dan semakin ia dipastikan tidak mengaum; semakin kuat tenaganya untuk mengerkah tengkuk. Harimau mungkin tidak berdendam, tetapi harimau mengingat sampai mati. Yang munafik disimpan di bawah kuku, dirakam dalam hati, dan ditulis dalam buku. Yang berjujur dan berbudi disimpan di bawah dada, bergema dalam sukma, dan ditulis pada lembar hari depan.

Dunia berputar. Masa akan tiba. Orang Melayu percaya, jarang harimau melepas tangkapan.

Lain dari kias di atas, Alhamdulillah usia meningkat, dan semua cabaran-ujian bakal menjadi kekuatan.

Seniman yang melawan bahagian dari masyarakat adalah seniman yang akan membadang dan sukar direbahkan.

Terbuang di sini, tumbuh merata-rata.

** Jom cicip sedikit dari keterbuangan diri saya, ayuh merealisasikan gagasan perpaduan ummah yang dicemburui, mari tonton Kopitiam Ghadir.

## Foto rakaman album Kopitiam Ghadir.

*** 2 foto sambutan hari lahir (disambut lebih awal) secara kejutan di Perpustakaan Nasional Singapura ahad lepas. Terima kasih buat teman-teman yang hangat Shida, Zul, Herman, abang Manaf, ahh ramai lagi...di republik tersebut.