30 July 2009

Selesema Babi: Jangan Sorok Fakta, Berjujur dan Kerajaan Perlu Lebih Serius Bendung Penyakit Ini Dari Menular

Berita berikut disiarkan di Utusan Malaysia hari ini:

MELAKA 29 Julai - ''Saya ingatkan cuma demam biasa dan tak sangka anak saya dijangkiti wabak selesema babi hingga menemui ajal.

''Kalau saya tahu dia dijangkiti demam sangat serius, saya akan bawa dia ke hospital segera, mungkin masih ada peluang untuk dia hidup,'' kata Ramli Abdul Aziz, 45, dengan nada sedih.

Ramli adalah bapa kepada remaja perempuan, Nur Syazwana, 20, yang meninggal dunia akibat influenza A (H1N1) di Hospital Melaka pagi semalam.

Nur Syazwana yang membantu bapanya berniaga di kedai makan tidak jauh dari rumahnya di Taman Cempaka di sini meninggal dunia kira-kira 8.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Peringgit.

Biarpun diselubungi kesedihan akibat kematian anak sulung daripada empat beradik itu, Ramli tetap tabah dan reda.

Menceritakan detik-detik sedih itu Ramli berkata, anaknya itu mula demam selepas adiknya, Mohd. Shafiq, 19, pulih daripada demam.

''Apabila Mohd. Shafiq pulih, anak sulung saya pula mengadu demam seminggu sebelum dia meninggal dunia.

''Saya tak kisah sangat waktu itu kerana dia masih boleh membantu saya di kedai," katanya.

Pengusaha kedai makan itu menambah, keadaan demam anaknya itu bagaimanapun tidak pulih selepas seminggu.

''Saya ada suruh dia mendapatkan rawatan di klinik swasta dan doktor memberitahu dia hanya menghidap demam biasa," katanya.

Selepas memakan ubat yang diberikan oleh doktor, kata Ramli, demam anaknya masih tidak kebah selain turut mengadu sesak nafas.

''Saya mula rasa gelisah melihat perubahan keadaan anak saya yang tidak bermaya dan lebih mengejutkan apabila seluruh tangannya pula lebam," ujarnya.

Katanya, Nur Syazwana pergi ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut kira-kira pukul 3 petang Ahad lalu.

Ramli berkata, dia terkejut apabila pihak hospital terpaksa menahan Nur Syazwana kerana keadaan anaknya yang semakin serius.

''Saya diberitahu paru-paru anak saya hitam dijangkiti kuman dan menyerah kepada Allah SWT agar dia pulih.

''Ketika itu doktor tidak menyatakan anak saya dijangkiti virus H1N1 tetapi memberitahu keadaan dia semakin kritikal," katanya.

Menurutnya, punca kematian Nur Syazwana akibat H1N1 hanya dimaklumkan hari ini selepas disahkan oleh pihak hospital.

Katanya, beliau dan semua ahli keluarga kini dikuarantin di rumah selama seminggu.

* Saya rasa bukan saya sahaja berasa gelisah. Kebimbangan kita ialah ketidakcekapan pihak berkuasa dalam membendung penularan wabak ini. Semakin banyak institusi pengajian tinggi ditutup, semakin banyak kes ditemui dan semakin ramai yang menemui maut. Kita berharap rakyat diutamakan dalam apa jua hal, jangan menyorok fakta, berjujur, dan hanya dengan kecekapan dan kepantasan bertindak sahaja pencapaian yang diimpi Perdana Menteri tersayang dapat diraih.

29 July 2009

Apa Kata Masjid Kaya Danai 'Kopitiam Ghadir'?

* Komposer, penyanyi dan aktor Kopitiam Ghadir - penasyid dari kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat - akan muncul di Radio Ikim.fm pada 1 Ogos 2009 (Sabtu) pukul 10-12 malam. Pohon dihebahkan. Berikut adalah frekuensi Ikim.fm.

Lembah Klang 91.5 FM
Perlis/Kedah/
Langkawi/ Pulau Pinang 89.0 FM
Ipoh 102.7 FM
Negeri Sembilan 102.7 FM
Melaka 89.5 FM
Johor Bahru 106.2 FM
Kuantan 89.6 FM
Kuala Terengganu 100.2 FM
Kota Bharu 89.8 FM
Kuching 93.6 FM
Kota Kinabalu 93.9 FM

Seminggu dua lalu saya membaca sebuah laporan di Malaysiakini.com yang terdapat masjid kaya lupa akan tanggungjawab sosial hasil sumbangan orang ramai atau institusi tertentu tetapi "sebaliknya berbangga mempunyai simpanan beku di bank-bank." Hal ini didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Ustaz Jamil berucap demikian ketika merasmikan Seminar Pengurusan Masjid Peringkat Asean 2009 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Changlon 23 hari bulan yang lalu. Beliau menambah, institusi masjid tidak hanya perlu menumpukan kepada yang berteraskan keagamaan tetapi perlu juga merangkumi program yang mempunyai nilai keduniaan."

Lama dahulu saya pernah menyebutkan soal memasjidkan institusi seni. Ini bermakna kita membawa agama ke bidang seni tertentu seperti penulisan, teater, filem dan muzik. Justeru, agama tidak sahaja beku kaku di masjid dan diulit oleh sekumpulan muslim semata-mata. Usaha-usaha dakwah dalam bidang seni harus digerakkan dengan lebih kuat lagi. Anak-anak muda yang terpikat dengan budaya hiburan melampau (hedonisme) perlu kita dekati. Jika mereka tidak mahu ke masjid, maka kita yang seharusnya pergi kepada mereka dengan 'membawakan masjid'.

Sehubungan dengan itu saya giat menghimpun sekumpulan anak muda yang pernah menganggotai "band indie", menggerakkan mereka untuk ikut melakukan dakwah seraya menyampaikan pesan-pesan kebenaran dan kesabaran. Anak-anak muda ini kemudiannya menubuhkan kumpulan muzik tersendiri. Namakan apa sahaja, nasyid, atau sebuah lagi kumpulan muzik underground, tetapi kali ini mereka ikut sama untuk menjayakan gagasan memasjidkan seni.

Kehadiran anak-anak muda ini yang mahu dikenali sebagai Faizal al Jin, Amir Hamzah, Hilmi bin Alham, dan Faizal XOD membolehkan saya mengusahakan sebuah pementasan berjudul Kopitiam Ghadir demi merealiasasikan dakwah menerusi seni teater dan muzik. Dalam erti kata lain, 'teater dan muzik dimasjidkan' dan mereka memilih nama 'Revolusi Pembudayaan Selawat'.

Drama satu jam lima belas minit ini akan disisipkan enam buah lagu nasyid di mana antara lagu yang akan dinyanyikan ialah 'Saidina Hamzah', dan 'Kemuliaan Rasulullah SAW'. Mudahnya, ia mengisahkan seorang lelaki yang tersesat ke sebuah kota misteri dan terpaksa singgah di sebuah kafe untuk bertanyakan arah. Di situ beliau bertemu dengan sekumpulan pemuda aneh yang asyik menyanyikan pelbagai rentak lagu nasyid. Lelaki tersebut berbual-bual mengenai Rasulullah saw dan keutamaan baginda sebelum membuat keputusan samada untuk menetap di kota kecil tersebut, atau keluar pulang ke tempat asalnya.

Produksi drama ini terdiri dari saya sendiri selaku pengarah dan penulis teks. Komposer untuk lagu-lagu nasyid dalam pementasan Kopitiam Ghadir ini pula ialah Mohd Iswan Mohd Isa, seorang pelajar UITM yang saya yakini bakal menggegarkan dunia muzik tanahair jika kekal dengan jatidirinya sekarang.

Teater kami ini jika dibandingkan dengan sang Puteri Gunung Ledang, tentulah terperuk melarat hebat. Jika dibandingkan dengan pesta dan pesti teater muzikal Bollywood, tentulah tidak terpandangkan. Tetapi dengan semangat surah al-Asr maka kami gagahkan juga produksi ini meski kurang serba-serbi. Maka saat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menyatakan betapa ada masjid kaya yang tidak tahu bagaimana mahu menyalurkan bantuan kewangan atau dalam erti kata lain tidak cukup kreatif melaksanakan kerja makruf, maka alangkah baiknya teater Kopitiam Ghadir ini saya ini didanai oleh masjid kaya. Ini kerana proses ketibaan anak-anak muda ini dari dunia indie ke dunia 'Kopitiam Ghadir' perlu diberi kredit.

Insya-Allah pementasan Kopitiam Ghadir akan berlangsung antara 8-11 Ogos 2009 bermula pukul 9 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka (Balai Budaya Tun Syed Nasir). Tiket hanyalah RM 10. Tempahan tiket boleh dibuat mulai sekarang melalui pengurus produksi saudara Luqman Hisyam di nombor 012 2335263. Sms sahaja nama, tempahan malam pementasan dan jumlah tiket.

28 July 2009

Tangan Asing dan Penipuan

HAMPIR dua minggu lalu Jakarta, Indonesia sekali lagi digegarkan dengan serangan bom di Hotel JW Marriottd dan Hotel Ritz Carlton. Beberapa orang terkorban dan sejumlah kerosakan menimpa dua buah hotel ternama tersebut. Terdapat segelintir pihak segera menuding jari kepada kumpulan Jemaah Islamiyah atau JI yang pernah dikatakan terlibat dalam siri pengeboman di republik itu. Malah ada yang cepat sahaja mendakwa Nordin Mat Top kembali muncul melakukan ‘kerja-kerja lamanya’.

Dalam hal ini siapakah dan apakah yang boelh kita percayai? Untuk itu saya kira filem Body of Lies dengan tagline – Jangan percayai sesiapa pun, bohongi semua – wajar dijadikan pertimbangan.

Adalah sesuatu yang perlu diperihalkan di sini, sebaik sahaja pengeboman berlaku, dua pakar terorisme segera ‘berketak’. Pertamanya Robert Gunaratna, dari Universiti Nanyang Singapura, yang percaya masih ramai anggota JI aktif di luar meskipun sebahagian besarnya telah merengkuk dalam penjara. Kata Gunaratna lagi, "Jemaah Islamiyah tetap memimpin kelompok-kelompok teroris lain di kawasan ini, dan JI masih merupakan ancaman serius." Kenyataan ‘pakar terorisme’ tersebut turut disahut pihak berkuasa Australia yang percaya pengeboman dilakukan oleh kelompok serpihan JI ‘yang tidak puas hati’ kerana ‘anggota muda JI kini berbeza pendapat dengan para pemimpin senior yang tidak lagi mendokong aksi penggunaan bom’.

Di saat ada pengeboman begini, yang begitu hampir dengan negara kita, filem Body of Lies wajar ditonton kembali, apatah lagi ia memang mengingatkan audien supaya ‘jangan percayai sesiapa pun, bohongi semua’. Filem arahan Ridley Scott ini adalah adaptasi dari sebuah novel karangan David Ignatius. Filem aksi ini dibintangi oleh Leonardo Dicaprio membawa watak ejen CIA bernama Roger Ferris, Russell Crowe sebagai Ed Hoffman iaitu bos Ferris, termasuklah Mark Strong sebagai Hani Salaam, ketua agensi perisikan Jordan dan Golshifteh Farahani (pelakon dari Republik Islam Iran) sebagai Aisha, teman wanita Ferris.

Dekat dengan judulnya Body Of Lies mengupas gerak kerja CIA untuk menumpaskan sebuah sel teroris yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda. Kononnya sel ini dipimpin oleh seorang ulama wahabi bernama Al Saleem. Untuk membolehkan Al Saleem diperangkap, CIA menerusi Ferris telah ‘mencipta seorang teroris pesaing’ iaitu Omar Sadiki, seorang arkitek asal Jordan yang kini bertugas di Dubai. Bagaimana? Caranya ialah dengan Ferris menceroboh masuk hotel kediaman Sadiki di Dubai, mencipta akaun emel dengan IP address pada komputer riba Sadiki dan mulai menghantar pelbagai maklumat serong. Malah dengan bantuan seorang ejen CIA yang lain, Sadiki digambarkan dari jauh sebagai seroang teroris yang sedang bekerja untuk menjatuhkan kuasa besar Amerika Syarikat. Sadiki malah tanpa pengetahuannya sendiri kini adalah seorang pemimpin kumpulan serpihan al-Qaeda yang kurang berpuas hati dengan pemimpin seniornya iaitu Al Saleem. Nah, ada persamaan dengan kes di Jakarta atau tidak?

Sadiki dipancing dan diumpan dengan peluang niaga di Istanbul. Beliau berangkat ke Turki dan saat itu berlakulah satu pengeboman di Incirlik yang dilakukan oleh CIA. Beberapa mangsa korban dalam pengeboman tersebut sebenarnya adalah sejumlah mayat tidak dituntut keluarga yang dihimpun dari pelbagai rumah mayat. Dan mayat-mayat itu berfungsi menjadi korban palsu. Kemudian, media memainkan peranan dan membesarkan segala-galanya. Sadiki yang tidak tahu menahu tentang penglibatannya dalam pengeboman tersebut diutusi maklumat dan perutusan tahniah yang mencurah dari sel-sel teroris lain. Al Saleem sendiri berasa iri, tercabar dan terkejut dengan kemunculan Sadiki. Perancangan Ferris ialah untuk melindungi Sadiki yang tidak bersalah. Tetapi Hoffman, majikannya percaya Sadiki wajar dibiarkan sehingga tertangkap oleh Al Saleem supaya sasaran sebenar CIA iaitu Al Saleem dapat diteroka dan ditangkap. Di sinilah bermula konflik moral Ferris, beliau mahu menyelamatkan Sadiki, dan dalam perebutan antara kumpulan teroris Al Saleem, Sadiki terbunuh. Rencana Ferris gagal, malah teman wanitanya Aisha diculik. Untuk membebaskan Aisha, Ferris harus menjadikan dirinya tebusan yang mana membawanya kepada Al Saleem.

Pembohongan demi pembohongan terdedah dengan jayanya dan penonton disogokkan dengan modus operandi CIA untuk menghuru-hara dan mencampuri urusan sesebuah negara. Hanya Timur Tengah dijadikan sebagai ‘kajian kes’. Body of Lies seperti telah dinyatakan sebelumnya adalah sebuah novel sebelum diadaptasi ke filem.

Pengarangnya ialah David Ignatius. Siapakah beliau? Tanpa perlu berbohong, Ignatius sendiri wajar kita telahkan sebagai seorang ejen CIA. Mana tidaknya, beliau berada di semua pos penting sebaik sahaja tamat pengajian. Beliau pernah menjawat kedudukan sebagai editor di Washington Monthly, dan Wall Street Journal yang membolehkan beliau keluar masuk ke bangunan CIA dan Senat Amerika. Pada tahun 1980-1983, Ignatius menjadi koresponden Journal’s Middle East di mana beliau menjadi saksi mata peperangan di Lubnan dan Iran-Iraq.

Pada tahun 2000 pula Ignatius menjawat peranan sebagai editor eksekutif International Herald Tribune di Paris. Untuk itu, beliau pernah mewawancara Bashar al Assad (Presiden Syria) dan Sayyid Hassan Nasrallah (pemimpin Hezbullah). Dan seperti mana slogan filemnya iaitu jangan percaya sesiapa, bohongi semua orang, Ignatius barangkali juga sedang menipu kita dengan Body Of Lies. Beliau bukan Ferris yang mempunyai moral tinggi dan sanggup meninggalkan agensi CIA kerana tidak lagi percaya kepada gerak kejra yang penuh penipuan. Ignatius tidak semurni Ferris watak ciptaannya itu. Ignatius sendiri barangkali besar tidak boleh diyakini. Mengapa? Awal tahun 2009, berlaku insiden Davos apabila Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bangun meninggalkan sebuah forum kerana tidak diberi peluang bercakap sedangkan panel forum yang sama, Presiden negara haram Israel, Shimon Peres diberi masa 25 minit untuk mempertahankan serangan regim zionis ke atas Semenanjung Gaza. David Ignatius berada di pusat tumpuan kerana beliaulah moderator kepada forum berat sebelah tersebut.

Pengalaman Ignatius di Timur Tengah dan kecenderungan Ignatius kepada Zionis memberi petunjuk bahawa novelnya Body Of Lies harus dibaca lebih dari sebuah novel. Apabila ia difilemkan oleh Ridley Scott dan ditayangkan hujung tahun lalu di pawagam seluruh dunia, filem tentang pembohongan CIA ini kurang diperhatikan. Ia tenggelam di sebalik ledakan bom Israel ke atas Gaza. Hari ini Body of Lies wajar ditonton kembali terutama untuk memahami struktur pembohongan dan kaedah kerja CIA dalam mencaturkan kita semua demi memastikan Rumah Putih kekal sebagai majikan dan penguasa dunia. Dan jangan sangka pembohongan CIA itu jauh dari kita, ia mungkin sedang berjalan di Indonesia jiran Malaysia. Seperti mana dalam Body Of Lies, CIA boleh ‘mencipta’ sesiapa sahaja hatta Sadiki yang tidak tahu bahawa dirinya adalah seorang pemimpin kumpulan teror sedangkan beliau hanyalah seroang arkitek gila materi.

Sebagai sebuah filem Body of Lies dapat dikatakan cemerlang. Malah lakonan Leonardo Dicaprio dan Russel Crowe ternyata menggerakkan suspen yang diperlukan untuk sebuah filem aksi. Golshifteh Farahani sebagai Aisha meskipun muncul sekejap tetap berbekas. Dan untuk kerjanya dalam Body Of Lies, Republik Islam Iran mengenakan denda ke atas Farahani kerana ‘bekerja untuk sebuah filem asing’ tanpa memohon kebenaran dari pejabat kementerian dalam negeri republik Islam tersebut terlebih dahulu.

* Dilarang menerbit kembali, artikel telah tersiar di Siasah edisi 26 Julai-1 Ogos.

Ketupat Cinta 2: Tepung Pelita Buat Kenangan

Tidak berapa lama masuklah hulubalang-hulubalang itu dengan keadaan termengah-mengah membawa laporan keadaan Tun Halimah yang ditemui mati dalam keadaan ngeri di pelabuhan Melaka. Maka menangislah di situ juga baginda Parameswara meratap-ratap bertitah, “Aduhai Shakuntala, aduhai Halimah. Dialah yang mengajarkan beta perihal 1Melaka. Sayapnya Limah bernama furkan, tubuhnya indah bersurat Quran, kakinya kiri Hannan dan kanannya Mannan, daim bertengger di tangan Rahman, apa gerangan beta ditinggal sendirian, ada ujian dan petaka tidak sudah-sudah menimpa. Benarlah katamu duhai Halimah, adalah raja itu di syurga kerana kasihkan ia hamba, pembesar dan sekian darwis tetapi adapun pembesar, hamba dan darwis itu di neraka sebab akrab mereka dengan raja.”

Tun Perpatih Tulus menelan liur mendengar kata Parameswara ‘raja itu di syurga kerana kasihkan ia hamba, pembesar dan sekian darwis tetapi adapun pembesar, hamba dan darwis itu di neraka sebab akrab mereka dengan raja’, sekonyong-konyong terasa ia harusseni, seakan-akan ditujukan kepada dirinya.

Parameswara pun segera menitahkan supaya dibatalkan majlis menyambut keputeraan beliau sebaliknya diarahkan pengebumian segera jenazah Tun Halimah dan diadakan acara perkabungan. Sempena mengenang kematian mendadak Tun Halimah itu diarahkan supaya seisi negeri membakar lilin dan pelita untuk mengenang isteri atau gundik terakhir kesayangan baginda Parameswara. Maka teranglah malam di Melaka.

Adapun dalam sebuah majlis mengenang Tun Halimah tidak jauh dari Pelabuhan Melaka muncullah seorang perempuan yang tembun tetapi tidaklah gemuk. Wajah berseri-seri gebu pipinya. Tuan-tuan, tidak lain tidak bukan itulah Rosdah, adik kembar Tun Rosjah yang telah mati tragis beberapa ketika yang lalu. Adapun Rosdah ini datang ke Melaka untuk menuntut bela atas kematian kakaknya. Tiada siapa mengetahui perihal Rosdah ini kerana ia tidak seiras. Kalaupun ada persamaan hanyalah pada punggung. Lebarnya serupa dengan lebar punggung Tun Rosjah. Pada majlis mengenang Tun Halimah itu ramailah rakyat jelata yang datang membakar lilin, tetapi Rosdah seorang sahaja membongkok hampir seperti ruku’ dalam sembahyang pada lukisan Tun Halimah, seraya ia memegang sebatang lilin yang meski cair meleleh panas mengenai tangan dan jari-jemarinya tiada ia peduli. Seakan-akan ia begitu berdukacita akan kematian Tun Halimah. Rosdah membongkok tiga kali seakan-akan amat menyanjung Tun Halimah.

Dapatkan Harakah edisi Jumaat ini mulai hari Khamis, untuk teks penuh!

27 July 2009

Kelab Mangsa Dasar Penghapusan Jawi (MANGSA)

KUALA LUMPUR, 25 Julai - Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Hasni Abas akan melancarkan Kelab Mangsa Dasar Penghapusan Jawi (MANGSA) bersempena Sambutan 35 Tahun PAS Wilayah Persekutuan, di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, dekat sini pada 26 Julai jam 10 pagi.

Menurut Setiausaha PAS Kawasan Batu, Haji Ismail Yahya, seramai 30 anak muda yang menjadi mangsa kepada penafian hak untuk mendapatkan pendidikan jawi setelah Menteri Pelajaran waktu itu, Dato' Mohd Khir Johari menghapuskan tulisan dan bacaan jawi di sekolah-sekolah sekitar tahun 1960an, akan melafazkan ikrar menuntut pihak kerajaan BN memohon maaf kepada seluruh rakyat yang menjadi mangsa akibat dasar itu.

"Secara simbolik, kesemua 30 mangsa akan berikrar dan memakai t-shirt khas berwarna hitam sebagai tanda 'kehancuran' dan di bahagian depan serta belakang t-shirt itu tertulis nama kelab dengan perkataan "mangsa" bersaiz besar.

Katanya lagi, pelancaran kelab ini merupakan antara pengisian program Karnival Keluarga Mesra Jawi anjuran PAS kawasan. Selain itu, terdapat pelbagai acara untuk seisi keluarga seperti pertandingan mewarna, membaca dan menulis jawi, tulisan khat, sukaneka, jualan amal dan jagoton.

Orang ramai seluruh Wilayah digalakkan hadir untuk merayakan karnival yang julung kali diadakan ini. Ia bermula jam 8.00 pagi dan berakhir 2.30 petang. Karnival akan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah, Haji Mohamad Nor Mohd.

* Sumber berita dari sini.

** Foto nyonya Kok hanyalah hiasan.

'Kopitiam Ghadir' di KLpos.com


Antara 8 hingga 11 Ogos ini Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani (penerima Anugerah Seni Negara 2006 dari kerajaan Malaysia) akan kembali mengarah sebuah pementasan yang berjudul Kopitiam Ghadir. Pencapaian Faisal dalam bidang drama, tidak dapat dinafikan memandangkan beliau pernah menghasilkan beberapa naskah bermutu seperti Rintih Chicago (memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97) Angin Madinah (memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia-DBP dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001). Selain teater MISI yang menempatkan namanya dalam dunia pentas Faisal juga pernah dicalonkan untuk Anugerah Cameronian Award 2003 bagi kategori skrip drama Melayu terbaik menerusi drama Monsopiad dan lain-lain Cerita yang dipentaskan pada 5-7 Disember 2003 di Esplanade Singapura. Tahun lalu naskah 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun tulisan beliau menerima perhatian besar dari ramai pengulas dan pengkritik teater tanahair. Majalah Pentas Oktober-Disember 08 terbitan Istana Budaya menamakan pementasan itu sebagai ‘monumental’.

Ketika dihubungi oleh KL POS, Faisal menjelaskan teater Kopitiam Ghadir yang bakal dipentaskan ini akan menampilkan sekumpulan anak muda menerusi grup nasyid Revolusi Pembudayaan Selawat. “Mereka sebenarnya adalah bekas penyanyi "band indie" yang kini turut menyertai saya dalam gagasan ’memasjidkan seni’. Drama ini sepanjang satu jam lima belas minit dan akan disisipkan enam buah lagu tentang Rasulullah saw. Memandangkan kita dalam bulan Syaaban yang mulia, kami kira inilah masanya kita merenungi kembali ketamaan baginda sebagai penghulu segala rasul.”

Drama pentas berjudul ‘Kopitiam Ghadir’ ini mengisahkan seorang lelaki yang tersesat ke sebuah kota misteri dan terpaksa singgah di sebuah kafe untuk bertanyakan arah. Di situ beliau bertemu dengan sekumpulan pemuda aneh yang asyik menyanyikan pelbagai rentak lagu nasyid. Lelaki tersebut berbual-bual mengenai Rasulullah saw dan keutamaan baginda sebelum membuat keputusan samada untuk menetap di kota kecil tersebut, atau keluar pulang ke tempat asalnya.

Sebagai penulis naskah Faisal memberitahu Kopitiam Ghadir terilham ketika beliau menunaikan haji hujung tahun lalu. “Ketika berada di Madinah saya berasakan masih ramai dalam kalangan kita mencari-cari petunjuk dan pedoman. Peristiwa serangan Zionis ke atas Gaza membuatkan saya menggali semakin dalam siapakah pemimpin kita yang sebenar iaitu Rasulullah saw.”

Luqman Hisyam Che Mazlan, selaku pengurus produksi drama ini pula menjelaskan komposer untuk lagu-lagu nasyid dalam pementasan Kopitiam Ghadir ini ialah Mohd Iswan Mohd Isa pelajar Fakulti Muzik UITM Shah Alam.

Iswan memberitahu KLPOS beliau teruja dapat membuktikan bakat dan kreativiti beliau dalam persembahan ini. “Lagu-lagu nasyid persembahan Revolusi Pembudayaan Selawat berentak irama tradisional. Saya percaya penonton yang hadir pasti terhibur dan terkesan Insya-Allah.”

Antara pelakon yang akan membintangi Kopitiam Ghadir ini ialah saudara Faizal Jin, saudara Amir Hamzah, saudara Hilmi bin Alham, dan saudara Faizal XOD.

Teater Kopitiam Ghadir akan berlangsung antara 8-11 Ogos 2009 bermula pukul 9 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka (Balai Budaya Tun Syed Nasir: bangunan lama DBP). Tiket HANYA RM 10. Tempahan tiket boleh dibuat mulai sekarang melalui pengurus produksi saudara Luqman Hisyam di nombor 012 2335263 atau 0172922140. Adalah lebih mudah sekiranya mereka yang ingin menempah menghantar sms dengan maklumat tentang jumlah tiket, malam pementasan dan nama pemesan.

Sumber Asal di KLpos.com (klik sini).

* Mereka yang telah menempah tiket dengan menghantar sms kepada pengurus produksi dan tidak mendapat maklum balas daripada beliau, itu maknanya tempahan saudara diterima. Pengurus produksi akan membalas sms saudara HANYA sekiranya tiket untuk malam pementasan yang ditempah telah habis. Harap maklum.

24 July 2009

Produksi 'Kopitiam Ghadir' Giat Jalani Latihan

"Hidayah tak hinggap pada hati semua orang. Ia hinggap dan menghuni pada hati yang terpilih." - Kopitiam Ghadir

Sempena malam dan hari yang mulia ini saya dengan sukacitanya ingin menghebahkan yang saya sedang giat melatih sekumpulan anak muda iaitu kumpulan nasyid Revolusi Pembudayaan Selawat. Anak-anak muda 'punk' ini sebahagian besarnya adalah bekas penyanyi "band indie" yang kini disuntik kesedaran untuk menyampaikan pesan-pesan kebenaran dan kesabaran.

Saya pernah mengatakan agama bukan sahaja milik pengunjung masjid, ia seharusnya menjadi milik penonton di pawagam mahupun di dewan teater. Maka dengan kapasiti kecil dan upaya yang kerdil ini saya mengusahakan sebuah pementasan berjudul Kopitiam Ghadir demi merealiasasikan gagasan memasjidkan seni.

Drama satu jam lima belas minit ini akan disisipkan enam buah lagu nasyid (dijamin tidak membosankan). Dan antara lagu yang akan dinyanyikan ialah 'Saidina Hamzah', dan 'Kemuliaan Rasulullah SAW'.

Produksi drama ini terdiri dari saya sendiri selaku pengarah dan penulis teks. Komposer untuk lagu-lagu nasyid dalam pementasan Kopitiam Ghadir ini ialah Mohd Iswan Mohd Isa (pelajar UITM yang saya yakini bakal menggegarkan dunia muzik tanahair jika berada di jalan yang lurus). Antara pelakon yang akan membintangi Kopitiam Ghadir ini ialah saudara Faizal Jin, saudara Amir Hamzah, saudara Hilmi bin Alham, dan saudara Faizal XOD.

Teater ini tentulah tidak semewah Puteri Gunung Ledang, jauh dari extravaganza teater muzikal Bollywood, tetapi dengan semangat surah al-Asr maka kami gagahkan juga produksi ini meski kurang serba-serbi. Maka bantuan kewangan kita alu-alukan. Ini kerana anak-anak muda ini berhasrat untuk merakam album berdasarkan lagu-lagu dalam teater Kopitiam Ghadir.

Insya-Allah pementasan ini akan berlangsung antara 8-11 Ogos 2009 bermula pukul 9 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka (Balai Budaya Tun Syed Nasir: bangunan lama DBP). Tiket HANYA RM 10. Tempahan tiket boleh dibuat mulai sekarang melalui pengurus produksi saudara Luqman Hisyam di nombor 012 2335263 atau 0172922140. Adalah lebih mudah sekiranya mereka yang ingin menempah menghantar sms dengan maklumat tentang jumlah tiket, malam pementasan dan nama pemesan.

23 July 2009

Doa Untuk Yasmin Ahmad: Belasungkawa

Kemaskini 26 Julai 2009 1.02 pagi: Al-fatihah untuk Kak Min, Allah lebih tahu mengapa arwah dipanggil pulang.

Awal Januari lalu selepas pulang dari menunaikan haji saya sempat berbalas beberapa sms dengan pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Kak Min dalam kalangan rakan-rakan. Kak Min memberitahu rasa irinya kerana saya baru pulang dari menunaikan haji, beliau menceritakan dengan keharuan akan kerinduannya kepada Baitullah dan menyatakan pengalaman menunaikan haji adalah pengalaman yang sukar diungkap dengan kata-kata. Beliau turut menceritakan usaha yang diaturnya untuk menolong penderitaan rakyat Palestin (pada waktu itu Semenanjung Gaza sedang diasak hebat oleh tentera Zionis) bersama-sama Datuk Dr. Jemilah Mahmood dari Mercy Malaysia yang beliau kenali sewaktu menunaikan haji.

Petang ini kita semua dikejutkan berita yang menyedihkan tentang keadaan kesihatan Kak Min yang tiba-tiba rebah di Sri Pentas. Beliau dikhabarkan dalam keadaan koma dan kritikal.

Semoga Kak Min akan segera sembuh dan berjaya melepasi ujian dari Allah ini dengan jayanya. Insya-Allah hasrat Kak Min untuk mengunjungi Baitullah lagi akan terkabul segera.

Marilah kita berdoa untuk kesihatan beliau kerana saya percaya setiap insan berhak mendapat peluang berbuat kebaikan (apatah lagi Kak Min memang budiman) di sisi Tuhan.

* Foto di atas oleh UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN.

Colok Okay Ruku' Tak Okay - Nik Hasenah Nik Musa

23 Julai 09, Ramuan Cina Besar, Melaka:

Seorang ulama hari ini mengecam perbuatan Puan Semah Manis atau lebih dikenali sebagai Mak Mah yang merupakan pengerusi Dindraf (Badan Bertindak Hak-hak Denderam) bersama-sama dengan Puan Azimah Badrin, atau lebih dikenali sebagai Kak Azie Kuih Koci (merupakan naib presiden Peniaga Kuih Koci Rakyat Semalaysia - PKKRS) apabila hadir ke majlis pengebumian dua pupu Lucy Ding (pemimpin Persatuan Pau Demokratik atau PPD) di Ramuan Cina Besar Melaka. Dua pupu Lucy Ding meninggal dunia minggu lalu secara tragis akibat tercucuk (atau dicucuk) chopstick.

Beliau, seorang guru agama yang kurang dikenali tetapi pernah muncul menerusi program 'Mangkuk Perubahan' (disiarkan di Astro Aruna) mengulas , "Saya telah melihat video Kak Azie Kuih Koci dan Mak Mah tertonggeng-tonggeng ruku' memberi hormat kepada keluarga dua pupu Lucy Ding. Saya terkejut. Inilah pengaruh cerita-cerita hantu yang gemar disiarkan oleh saluran televisyen kita. Apakah hukumnya? Kita hanya boleh sujud, ruku' mahupun iktidal dalam solat demi menghadap Tuhan. Ini menjadi bukti perjuangan mereka untuk mengangkat kuih-kuih tradisi ini tidak ikhlas. Seolah-olah anak wayang. Saya syak mereka gila glamour."

Sementara itu pesaing Mak Mah dan Kak Azie Kuih Koci, iaitu Zabedah Tahi Lalat, Pengerusi Bahulu Negara (BaNe), yang dihubungi oleh Buletin Berita Harian menerusi sms memberitahu: 'Memang wayar putus. Sejak puak-puak ni tuduh akak kaki tonggeng di Pulau Pinang dulu akak dah tahu siapa sebenarnya yang kaki tonggeng, dia ke akak. Akak ada cctv lagi untuk membuktikan ketonggengannya itu. Syukur, Tuhan bersama akak. Kali ini dia tonggeng depan publik lagi.'

Dalam masa yang sama ahli jawatankuasa Persatuan Kuih Bom Islam Semalaysia (PKBIS) Nik Hasenah Nik Musa berkata Mak Mah dan Kak Azie Kuih Koci sepatutnya hanya menyalakan colok untuk menghormati roh dua pupu Lucy Ding, mereka tidak sepatutnya ruku'. Kata beliau, "Ruku' dan menyalakan colok lain. Bakar colok okay sebab kita dalam Islam pun ada bakar setanggi, kemenyan dan sebagainya tapi ruku' tak manis sedikitlah. Tapi apa pun saya harap ia tidak menjadi isu. Yang lebih penting ialah kita mahu supaya pihak berkuasa menyiasat bagaimana dua pupu Lucy Ding boleh mati dalam keadaan ngeri akibat tercucuk matanya dengan chopstick."

Kenyataan Nik Hasenah itu bagaimanapun disangkal oleh Farah Taib, seorang ustazah dalam Persatuan Kuih Bom Islam Semalaysia (PKBIS) yang mengatakan Mak Mah tidak sepatutnya hadir ke majlis menghormati mayat mendiang dua pupu Lucy Ding. "Hantar kawat takziah aje tak boleh ke? Nak pergi bakar-bakar colok, bongkok-bongkok ni sungguh meragukan. Well, memang puak-puak ni 'meragukan' pun, so akak nak cakap apa lagi dah..."

Minggu lalu dua pupu Lucy Ding ditemui mati dalam keadaan misteri akibat tercucuk kayu sepit makanan yang tajam. Modus operandi pembunuhan ngeri tersebut hanya biasa ditonton dalam filem-filem karate sadis yang dipenuhi dengan aksi samseng dan gangsterisme. Pihak berkuasa sedang menyiasat apakah kematian dua pupu Lucy Ding itu ada kaitannya dengan ah long, atau kumpulan kongsi gelap underworld.

Penantian Satu Penyeksaan


Dua cawangan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), masing-masing di Permatang Pauh dan Seri Iskandar, ditutup selama seminggu bagi mengawal wabak selesema A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata semua pelajar yang dikesan positif itu sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, lapor Bernama.

"Semua mereka berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan awal manakala, 200 lagi pelajar yang mengalami simptom selesema diarah menjalani kuarantin di asrama dan rumah," katanya pada satu persidangan akhbar hari ini.

Beliau berkata arahan penutupan serta-merta kampus itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pagi ini bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

"Arahan penutupan selama seminggu itu wajar bagi mengelak 5,000 pelajar yang menuntut di UiTM berkenaan dijangkiti wabak H1N1," katanya.

Phee berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana semua langkah pencegahan dan prosedur operasi piawai (SOP) sudah diambil.

Tinjauan agensi berita itu di kampus UiTM cawangan Permatang Pauh tengah hari ini mendapati kebanyakan pelajar sudah mula meninggalkan asrama untuk pulang ke rumah masing-masing.

Kampus UiTM itu antara lima gugusan penularan wabak yang dikesan hari ini.

Dua gugusan melibatkan lapan kes di Kolej Winfield International, dan tujuh kes di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi - kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Dua lagi gugusan melibatkan SMK Seremban 2, Negeri Sembilan dan SMK Kubong, Limbang, Sarawak.

Semuanya 38 kes di lima gugusan kejadian wabak itu termasuk dalam 44 kes terbaru yang disahkan hari ini.

Sementara itu, lewat petang, Kementerian Kesihatan dilapor mengarahkan UiTM Seri Iskandar dekat Ipoh ditutup susulan pertambahan mendadak penuntut yang dijangkiti penyakit seakan-akan influenza (ILI) kepada 280 orang.

Semalam hanya 55 orang dikesan mempunyai tanda-tanda selesema ILI.

Exco kesihatan negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, langkah segera diambil bagi mengelak penyakit itu daripada merebak ke penempatan awam berhampiran kampus berkenaan.

"Walaupun arahan ini serta-merta tetapi pihak UiTM diberikan masa sehingga esok untuk mengosongkan kampus yang kini memuatkan lebih 12,000 penuntut, kakitangan dan pensyarah," katanya kepada pemberita hari ini.

"Selain itu 10 sampel darah diambil secara rawak daripada pelajar kampus itu dan saya berharap akan mendapat keputusan ujian makmal selewat-lewatnya malam ini dan bukan pada hari Jumaat seperti yang dimaklumkan sebelum ini," tambahnya.

Beliau berkata pihak Kementerian Kesihatan juga akan membuat ujian bagi mengenal pasti punca tiga cawangan UiTM yang terpaksa ditutup disebabkan serangan gugusan wabak ILI berkenaan.

Selain dua cawangan itu, UiTM Lendu, Melaka diarahkan ditutup selama sembilan hari sehingga 24 Julai.

* Gambar-gambar keharmonian kaum ini hanyalah hiasan.

22 July 2009

Lawatan Kerja Faisal Tehrani ke Singapura


1. Bengkel Penulisan Kreatif (untuk para undangan) oleh Faisal Tehrani,
Jumaat, 31/07/2009
Masa: 3 petang hingga 5 petang
Programme Zone, Level 1, Woodlands Regional Library
o Tema sesi: Karya nan indah
o Sesi diadakan dalam bahasa Melayu
o Pendaftaran adalah percuma

2. Bengkel Penulisan Kreatif (khas untuk pelajar remaja) oleh Faisal Tehrani,
Ahad, 02/08/2009,
Masa: 11.00 pagi hingga 12.30 tengahari
The POD, National Library Level 16
o Tema sesi: Karya nan indah
o Sesi diadakan dalam bahasa Melayu
o Pendaftaran adalah percuma

3. Ceramah Sastera oleh 3 penulis (terbuka kepada umum)
Tajuk perbincangan: Fiksyen Melayu semasa
Sabtu, 01/08/2009,
Masa: 10.30 – 1.00 petang
Visitor Briefing Room, National Library Level 1
Acara: Sesi bicara sastera bersama 3 penulis; Cikgu Suratman Markasan, Cikgu Helmelina & Haji Faisal Tehrani
* Sesi diadakan dalam bahasa Melayu
* Pendaftaran adalah percuma

4. Sesi Bicara Buku oleh Faisal Tehrani berjudul “Detektif Indigo”
Sabtu, 01/08/2009,
Masa: 2.00 petang – 3.30 petang
Visitor Briefing Room, National Library Level 1
* Sesi diadakan dalam bahasa Melayu dan akan dikelolakan oleh penulis sendiri.
o Pendaftaran adalah percuma. Bagi 10 pendaftar pertama, novel “Detektif Indigo” akan diberi secara percuma

* Lebih Lanjut Sila Hubungi: Shida
Reading Initiatives Associate
National Library Board
Tel: 63424070

'65 Bawal Goreng Sambal Kedondong'

Fragmen Ketupat Cinta Musim Kedua Siri 2 yang akan diterbitkan dalam Harakah edisi Jumaat ini:

Adapun tuan-tuan, saat Tun Lepat berada di kota Mekah dan Madinah, yakni setelah kematian Tun Rosjah, bendahara Melaka Tun Perpatih Permuka Berjajar yang kuat tidur telah meninggal dunia setelah tercekik kuih koci. Maka anakandanya, Tun Perpatih Tulus pun diangkat menjadi bendahara baharu. Adalah Tun Perpatih Tulus ini tidaklah semulus namanya. Selain ia gagap ia juga jahat tidak terperi. Ia mempunyai hubungan dengan ramai samseng dan lanun di perairan pelabuhan Melaka. Adapun kelakuan celaka Tun Perpatih Tulus gagap ini bukanlah tiada tahu dalam kalangan pembesar. Akan tetapi saat itu pembesar Melaka makan rasuah semuanya. Janganlah tuan-tuan berasa hairan kerana saat itu tiadalah kumpulan seperti gerak mahupun suruhanjaya mencegah rasuah seperti di zaman tuan-tuan nanti. Pernah sekali Tun Halimah mengadu akan perihal Tun Perpatih Tulus, “Kanda, adapun tingkah Dato Bendahara itu musykil sekali kita lakunya, adalah ia mempunyai hubungan dengan ramai penjahat dalam gelap, yang menurut bahasa orang di atas angin sebagai underworld.”

“Janganlahlahlah dinda membuka fadihat orang. Rumah buruk disapu cat, bunga layu semula kembang, orang gagap jangan dicacat, ingat-ingat hari belakang. Sudahlah dinda Limah, adapun Tun Perpatih Tulus itu gagap. Kasihan dia. Berbicara pun ia tiada betul, masakan dapat ia mengatur penjahat? Apa gerangan dinda menuduhnya sedemikian rupa. Lagipun ia cicit kepada Demang Lebar Daun. Bukan calang keturunannya, ia itu benih Nila Utama Seri Teri Buana dan Raden Ratna Cendera Puri.” Parameswara sendawa errkkkk berbau durian tatkala menghabiskan ayat terakhirnya. Maka terdiamlah Tun Halimah kerana bau durian itu membuat kepalanya pusing. Tiada lagi ia membuka bual bicara hal-hal sedemikian di hadapan Parameswara.

Sekonyong-konyong tengah malam buta datanglah Tun Perpatih Tulus diarak dengan tandu ke istana Melaka. Menyumpah seranah ia dalam hati. “Tidak sen…sen…senang kita hendak tidur le…le...lena walau se…se…sekejap. Apa sahaja keperluan ra…ra…raja malam-malam begini.”

Dapatkan Harakah ini mulai 23hb.

19 July 2009

ARTIKEL PENUH: NED dan Campurtangan Asing Dalam Politik

National Endowment for Democracy (NED) mungkin kurang diperhatikan oleh penganalisis politik antarabangsa tempatan. 12 Jun lepas apabila Presiden Mahmoud Ahmadinejad memenangi pilihanraya presiden untuk Republik Islam Iran (menewaskan pencabar terdekatnya Mir Hossein Mousavi), NED menjadi perhatian. Iran mendakwa rusuhan yang meletus di kota Tehran selepas kemenangan Mahmoud didalangi oleh kuasa luar, yang tentu sahaja dinafikan oleh media Barat. Akan tetapi apakah ada kemungkinan dakwaan Iran tersebut benar?

Tentu sahaja, Iran adalah salah sebuah negara yang sering diganggu kuasa Barat. Amerika Syarikat misalnya pernah menjatuhkan Perdana Menteri Iran Mohammed Mossadegh dalam tahun 1953, dan menegakkan rejim Shah Reza Pahlavi untuk menjadi boneka mereka di sana. Hal ini misalnya diakui oleh presiden AS sendiri baru-baru ini, Barack Obama menyebutkan di Kaherah (dalam “ucapan damainya” kepada dunia Islam), bahawa “di tengah Perang Dingin, Amerika Syarikat memainkan peranan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat Iran secara demokratik.’ (Lihat butiran Rumah Putih di di http://www.whitehouse.gov/the_press_office...ersity-6-04-09/). Dan apabila Shah jatuh digulingkan oleh rakyat menerusi Revolusi Islam pimpinan Imam Ruhullah Khomeini, sekali lagi kerja-kerja untuk mencampuri urusan pentadbiran Republik Islam Iran itu pun bermula di belakang tabir. Di sinilah munculnya NED.

NED adalah sebuah agensi separuh kerajaan yang didanai oleh Kongres AS dan beberapa individu yang tujuannya adalah untuk menyokong dan mendokong organisasi di luar AS yang pro polisi luar negara Rumah Putih. Hal ini disebut secara terang dalam laman rasmi NED bahawa penubuhannya sejak 1980 adalah untuk “membantu usaha demokrasi di negara yang dipercayai dapat memberi manfaat kepada Amerika Syarikat, dan kepada pihak yang berhempas pulas memulihkan kebebasan dan hak asasi” (lihat David Lowe, Idea To Reality: A Brief History of the National Endowment for Democracy, http://www.ned.org/about/nedhistory.html).

Idea di belakang NED ialah untuk menjadi organisasi muka hadapan CIA dalam mencampuri urusan negara lain. Perkara ini malah diakui oleh salah seorang penubuh NED, Allen Weinstein, “Apa yang kita lakukan hari ini kebanyakannya dilakukan oleh CIA 25 tahun lalu.” (lihat William Blum, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower, Common Courage Press, Monroe-Maine, 2000, halaman 180.) NED menyalurkan dana secara terus atau melalui badan lain terutama Institut Demokratik Nasional (National Democratic Institute, NDI) dan Institut Republikan Antarabangsa (International Republican Institute, IRI), yang aktif di banyak negara termasuk Malaysia (lihat http://www.iri.org/asia/malaysia.asp dan http://www.ndi.org/malaysia?page=0,1#Funding.)

Apakah cara kerja NED? Barangkali elok kita tinjau modus operandi NED di negara-negara yang pernah mereka dalangi. Kaedah pertama, di Nicaragua dalam tahun-tahun 1980-an, NED melakukan kerja batu api dengan memprovokasi aktiviti kepembangkangan. Apabila pembangkang menjadi kuat dan provokatif, pihak kerajaan akan mengambil tindakan keras terhadap pembangkang dan ini akan membolehkan kepercayaan sebahagian besar rakyat terhadap kerajaan yang telah dipilih menerusi cara demokrasi tergugat (lihat Susan F Rasky, CIA Tied to Nicaragua Provocations, dalam akhbar New York Times, 21 September 1988.)

Kaedah kedua, dalam pilihan raya di Bulgaria pada tahun 1990, NED menabur wang sebanyak AS$1.5 juta kepada parti pembangkang untuk menjatuhkan Parti Sosialis Bulgaria yang memerintah. Media Barat akan membantu usaha ini dengan meuar-uarkan analisis, pungutan suara rawak, dan pelbagai berita bahawa parti-parti pembangkang akan menumpaskan parti kerajaan dan apabila pembangkang gagal dalam pilihan raya tersebut, parti-parti yang didanai NED telah turun ke jalan raya untuk melakukan protes.

Kekacauan berlaku selama berbulan-bulan sehingga perdana menteri dan presiden Bulgaria akhirnya akur lalu meletakkan jawatan (lihat William Blum, halaman 157.) Corak kerja yang sama dilakukan di Albania pada tahun 1991, apabila NED membantu kerajaan komunis dan menaikkan Parti Demokratik yang didanai NED. Dalam tahun 1990 dan 1992, NED turut menjadi sumber kewangan kepada Cuban-American National Foundation, sebuah grup anti Fidel Castro yang berpangkalan di Miami. Cuban-American National Foundation ini pula bertanggungjawab mendanai Luis Posada Carriles, seorang teroris yang pernah melakukan pengeboman terhadap pesawat Cuba dalam tahun 1976 sehingga menyebabkan 73 orang penumpang terbunuh.

Kaedah ketiga, ialah dengan menyatukan beberapa parti pembangkang berlainan ideologi di bawah satu payung. Gabungan pembangkang ini akan didanai menerusi seorang tokoh yang dikenal pasti dengan harapan dapat menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Kaedah ini dilakukan dengan berkesan sekali di Mongolia dalam tahun 1996. NED telah menyatukan beberapa parti pembangkang di bawah nama Pakatan Demokratik Nasional untuk menewaskan parti kerajaan yang berkuasa sejak 1992. Harus diingatkan gabungan pembangkang itu bukanlah parti anti-Barat atau Rumah Putih. Cuma parti tersebut enggan tunduk kepada beberapa polisi ekonomi serantau yang diatur AS.

Sebelum tahun 1996, media sekali lagi berperanan mempromosikan “terapi ekonomi” buat kerajaan Mongolia yang kononnya untuk menyaingi kuasa besar China dari segi perdagangan. Sebenarnya polisi ekonomi yang dimaksudkan adalah untuk membolehkan Mongolia membuka rangkaian bisnes anti-China, dan dalam masa yang sama syarikat-syarikat swasta Barat ini dapat menjadi menjadi perisik dan telinga untuk CIA.

Hal ini didedahkan oleh pengkaji yang sama iaitu William Blum menerusi bukunya, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower. Bentuk yang serupa dilakukan NED di Haiti untuk menggulingkan Presiden Jean-Bertrand Aristide. Dan contoh klasik ialah usaha NED di Venezuela dalam tahun 2002 untuk menggulingkan Presiden Hugo Chavez. Usaha tersebut gagal, malah salah seorang koresponden CNN mengakui ikut menjadi konspirator dalam rampasan kuasa 48 jam tersebut.

Kembali ke Republik Islam Iran, antara tahun 2005 ke 2007, NED misalnya telah memberi AS$345,000 kepada Yayasan Abdorrahman Boroumand, ABF, (perincian dana NED boleh dilihat di laman National Endowment for Democracy http://www.ned.org.) ABF ini pula adalah pengasas kepada gerakan penentangan nasional Iran, sebuah grup yang ditubuhkan untuk menjatuhkan “kerajaan mullah” di Iran. Menurut laman rasmi ABF, pengasas mereka Abdorrahman telah dibunuh secara rahsia oleh ejen kerajaan Iran di Paris dalam tahun 1991 (lihat laman Yayasan Abdorrahman Boroumand melalui http://www.iranrights.org/).

Penerima dana NED yang lain ialah Majlis Iran Amerika Nasional (NIAC), menerima AS$25,000 dalam tahun 2002, AS$64,000 dalam tahun 2005, dan AS$107,000 dalam tahun 2006. Di sinilah datangnya kaedah keempat NED iaitu “media training workshop” kononnya untuk melatih peserta mewakili masyarakat dalam bidang komunikasi awam. NIAC aktif menganjurkan bengkel dan seminar untuk tujuan “mengukuhkan kapasiti pertubuhan sivil di Iran.” Antara slogan bengkel anjuran NIAC adalah seperti merangsang pertumbuhan masyarakat madani, atau ke arah hak asasi dan lain-lain lagi (lihat http://www.ned.org/grants/06programs/grants-mena06.html#iran.)

Gerakan ini tentu sahaja telah dikesani oleh Iran. November 2008, lama sebelum pilihan raya presiden Iran berlangsung, duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohammad-Javad Zarif menuduh AS sedang merancang revolusi warna di Iran. Menurut beliau, kaedah yang diatur NED ialah dengan cara mengundang sarjana dari universiti-universiti di Iran untuk menghadiri konferens akademik di Barat, akan tetapi apabila mereka menyertai sesi undangan itu, sarjana ini akan menyedari mereka sedang berhimpun untuk membincangkan mekanisme menjatuhkan kerajaan Iran (lihat US Plotting Velvet Revolution in Iran?, Press TV, 18 November 2008 menerusi laman http://www.presstv.ir/detail.aspx?id=75784...ionid=351020101)

Hal ini tidaklah mengejutkan kerana dalam bulan Februari 2006, Setiausaha Negara AS Condoleezza Rice telah memohon dana mengejut dari Kongres sebanyak AS$75 juta dengan AS$10 juta akan diperuntukkan untuk “merangsang kempen propaganda menentang Tehran.” Wang sebesar itu akan disalurkan untuk “siaran radio dan televisyen bahasa Parsi dari AS, memberi biasiswa kepada pelajar yang ingin menuntut di AS dan untuk mendanai gerakan prodemokrasi di Iran. Menurut Rice, “dana itu penting untuk menunjukkan AS menyokong aspirasi kebebasan dan demokrasi yang menjadi hak rakyat Iran” (lihat Ewen MacAskill dan Julian Borger, Bush Plans Huge Propaganda Campaign in Iran, Guardian, 16 Februari 2006http://www.guardian.co.uk/media/2006/feb/16/usnews.iran)

Kaedah kelima NED, ialah dengan menjejaskan ekonomi sesebuah negara yang disasarkan seraya melakukan penyebaran propaganda menerusi semua media (untuk menyelewengkan maklumat dan berita) bahawa negara tersebut sedang disalah urus. Buktinya, laporan ABC News dan Telegraph yang menyebutkan Presiden George Bush telah memberi izin kepada CIA untuk melancarkan operasi hitam untuk menjatuhkan kerajaan Iran yang ada sekarang. Caranya dengan “menjalankan kempen maklumat salah bertujuan menjejaskan kestabilan dan akhirnya, pemerintahan teokratik para mullah.”

Pelan asal tersebut yang digerakkan oleh NED ialah dengan memanipulasi matawang Iran supaya kedudukan ekonomi republik tersebut terjejas (lihat Bush Authorizes New Covert Action Against Iran, ABC News The Blotter, 22 Mei 2007 http://blogs.abcnews.com/theblotter/2007/0...authorizes.html dan laporan Tim Shipman, Bush sanctions “black ops” against Iran, Telegraph 27 Mei, 2007 http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/...ainst-Iran.html)

Kaedah keenam, NED cekap menggunakan media baharu (termasuk blog, Facebook, Friendster, Youtube, dan Twitter) untuk mencetuskan keadaan huru-hara di sesebuah negara. Dua bulan sebelum pilihan raya presiden Iran berlangsung, Iran menerusi apa yang dikenali di Barat sebagai Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah mendedahkan upaya dari luar untuk menjatuhkan kerajaan. Badan tersebut menyebut Belanda, AS dan Inggeris sedang mendanai gerakan anti kerajaan untuk mendorong revolusi kecil (lihat Iran uncovers cyber plot to topple government, Press TV, 11 April 2009http://www.presstv.ir/detail.aspx?id=91129...ionid=351020101).

Seperti yang telah dimaklumi perarakan dan bantahan dari kumpulan pembangkang menyusul sebaik sahaja kemenangan besar Presiden Mahmoud Ahmadinejad diumumkan. Rusuhan dan protes malah menjadi buruk dengan kemudahan awam seperti bas dan telefon publik dimusnahkan oleh penyokong Mir Houssein Mousavi. Pihak berkuasa terpaksa bertindak. Para militari Basij yang setia kepada Imam Ali Khamenei dituduh menyerbu Universiti Tehran dan membunuh perusuh yang membantah keputusan pilihan raya tersebut. Antara demonstran yang terbunuh ialah Neda Agha Soltan. Kematian Neda malah dirakam dalam video dan tersebar meluas di Youtube (lihat Michael Weissenstein and Anna Johnson, Amateur Video Turns Woman Into Icon of Iran Unrest, Associated Press, 23 Jun 2009 http://www.google.com/hostednews/ap/articl...aesBPAD9902QK00)

Di tengah-tengah huru-hara ini, kerajaan Iran yang menyedari peranan internet dalam merosakkan keamanan telah menutup sistem internet dan melarang jurnalis asing dari membuat apa-apa laporan. Twitter muncul sebagai medium komunikasi parti pembangkang dan agensi berita asing. Apakah itu twitter? Twitter adalah satu bentuk maklumat ringkas yang dapat dicapai menerusi web browser atau sistem pesanan ringkas di telefon bimbit. Pengguna boleh mendaftar untuk mendapatkan maklumat terkini tentang sesuatu kejadian. Meskipun menutup semua sistem sms, Twitter bagaimanapun tidak dapat ditutup oleh kerajaan Iran. Di sinilah timbul tanda tanya kerana Washington Post sendiri mengesahkan bahawa kebanyakan maklumat dari Twitter ini bukannya datang dari Iran sendiri, “It is hard to say how much twittering is actually going on inside Iran” (lihat Mike Musgrove, Twitter Is a Player In Iran’s Drama, Washington Post, 17 Jun 2009 http://www.washingtonpost.com/wp-dyn/conte...9061603391.html).

Perkara ini disahkan oleh laporan New York Times yang mengatakan maklumat menerusi Twitter kebanyakannya tidak boleh dipercayai, “Just as Twitter has helped get out first-hand reports from Tehran, it has also spread inaccurate information, perhaps even disinformation.” Akhbar itu menyebutkan antara berita terkini yang tidak benar ialah 3 juta penyokong Mir Hussein keluar membantah, dan beliau ditahan dalam rumah, “that three millon protested in Tehran last weekend (more like a few hundred thousand); that the opposition candidate Mir Hussein Moussavi was under house arrest he was being watched” (lihat Noam Cohen, Twitter on the Barricades: Six Lessons Learned, New York Times, 20 Jun 2009 http://www.nytimes.com/2009/06/21/weekinre...21cohenweb.html)

Maklumat tidak benar (perarakan tiga ribu menjadi 3 juta) menerusi Twitter itu kemudiannya dilaporkan oleh penulis blog terkenal Andrew Sullivan menerusi blognya The Daily Dish (lihat Andrew Sullivan, Follow-Up On Earlier Posts, The Atlantic, The Daily Dish, 13 Jun 2009 http://andrewsullivan.theatlantic.com/the_...lier-posts.html) Laporan penuh penyelewengan tersebut kemudiannya dipetik pula kebanyakan agensi berita seperti CNN dan AP. Peranan CIA dan NED dalam Twitter wajar diragui kerana apabila firma yang menguruskan Twitter iaitu Twitter Inc perlu melakukan kemaskini berjadualnya seperti biasa, kerajaan AS telah meminta supaya Twitter Inc menangguhkan “scheduled maintenance” tersebut.

Ini kerana Jabatan Negara berpandangan yang Twitter sangat berguna untuk orang ramai di Iran mendapatkan maklumat yang diperlukan. Seorang staf Jabatan Negara telah mengatakan, “one of the areas where people are able to get out the word is through Twitter. They announced they were going to shut down their system for maintenance and we asked them not to” (lihat Mike Musgrove, Twitter Is a Player In Iran’s Drama, Washington Post, 17 Jun 2009 http://www.washingtonpost.com/wp-dyn/conte...9061603391.html). Mengapakah Rumah Putih mencampuri jadual kemaskini Twitter tentu sahaja menimbulkan teka-teki.

Kaedah-kaedah yang digunakan NED di Iran dan negara lain munasabah untuk direnungi oleh Parti Islam Se-Malaysia selaku sebuah gerakan Islam. Sudah tiba masanya PAS mempunyai mekanisme sendiri untuk menebat dan mengekang kemaraan musuh yang semakin sofistikated dan bijak dalam menyucuk jarum. PAS perlu menyediakan satu pelan khusus untuk memantau gerakan musuh dalam selimut, mengenalpasti mereka dan menyingkirkan mereka tanpa rasa bersalah. Untuk itu PAS perlu menganalisis strategi politik mereka supaya tidak terjerumus dalam jerangkap musuh ummah.

Semua kaedah NED di atas telah pun diamalkan dan dikemukakan di Malaysia. Kita sudah menyaksikan gerakan massa berasaskan warna, Bersih yang dikenali dengan warna kuning. Bersih, menurut NDI, “was started by the Joint Action Committee on Electoral Reform (JACER) that emerged from a July 2005 workshop organized by NDI and attended by the three main opposition political parties,” (lihat http://www.ndi.org/malaysia?page=0,1#Funding.)

Parti-parti politik tempatan termasuk PAS sendiri pernah terlibat dengan bengkel dan latihan dikendalikan NDI dan IRI yang didanai NED (lihat http://www.iri.org/asia/malaysia/2006-08-06-Malaysia.asp.) Merdeka Center, sebuah badan kajian pendapat yang ada kalanya boleh dipersoalkan hasil kajiannya juga mendapat dana daripada IRI (lihat http://www.merdeka.org/pages/08_links.html.)

Sudah tiba masanya PAS mengurangkan syahwat terhadap kuasa dan kerusi lantas kembali kepada fungsi asalnya iaitu untuk menjadi juara kepada umat Muslim. Untuk itu agenda perpaduan ummah mesti didahulukan berbanding agenda-agenda lain yang mungkin sahaja telah “disediakan” musuh umat seperti AS. Pimpinan PAS perlu rajin meneliti perkembangan politik antarabangsa, dengan memperkuatkan lajnah antarabangsa dan menghasilkan bahan-bahan latihan dan usrah baharu yang lebih membina kefahaman tentang dunia kontemporari. Tidak ada salahnya juga untuk PAS belajar dari negara-negara yang pernah diganggu AS.

Yang paling dekat dengan PAS tentunya Republik Islam Iran.

* Untuk tujuan kesedaran ramai dibenarkan untuk disebarkan artikel ini tetapi sila kreditkan Siasah edisi 19-25 Julai 09 bilangan 0158 yang menyiarkannya; dan pautkan kembali ke blog ini. Terima Kasih.

PPSMI Satu Kesilapan - Profesor Ungku Aziz

Setelah enam tahun menjalani “tempoh percubaan” akhirnya dasar Pengajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan baru-baru ini. Selepas Kementerian Pelajaran mengambil tindakan berani itu, masih ada lagi pihak yang mahu mengembalikan PPSMI dalam sistem pendidikan di negara ini.

Selepas kajian secara ilmiah telah dilakukan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (pembina) menunjukkan lebih banyak kesan buruk daripada baiknya PPSMI, kerajaan diminta supaya jangan berpatah balik sekalipun ada desakan daripada pihak tertentu.

Tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keputusan memansuhkan PPSMI adalah suatu yang sangat tepat dan memuaskan hati semua pihak. Malah langkah ini juga ke arah mewujudkan perpaduan menerusi penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai hubungan antara kaum.

“PPSMI sebenarnya adalah satu kesilapan kerana kita mampu mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang dengan menggunakan bahasa Melayu,” tegas Ungku Aziz ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID di kediamannya di Petaling Jaya Jumaat lalu.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini juga membayangkan sekiranya PPSMI diteruskan pelajar-pelajar Melayu di desa akan terpinggir dan berhenti sekolah.

“Kalau PPSMI tidak dimansuhkan, pelajar-pelajar Melayu terutama di desa akhirnya menjadi pekerja kelas bawahan, itu pun mungkin susah,” kata Ungku Aziz lagi.


MINGGUAN: Apa pandangan Pak Ungku mengenai keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar?

UNGKU AZIZ: Bagi saya ini adalah satu keputusan yang amat tepat dan mampu memuaskan hati semua pihak di negara ini. Sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat. Sebelum ini saya telah memberikan beberapa ceramah tentang perkara ini dan paling terbaru di Bankers Club. Apa kesan dan implikasinya terhadap sosial politik negara ini. Pada pandangan saya bagi mengukuhkan perpaduan kita perlu kembali pada satu bahasa yang boleh digunakan semua warganegara.

Selepas ceramah saya di Bankers Club di Bukit Bintang, saya keluar dari bangunan itu kita boleh dengar pelbagai bahasa yang diucapkan termasuklah bahasa Hokkien, Mandarin dan sebagainya termasuklah bahasa Melayu. Tapi kalau kita perhatikan di kawasan Bukit Bintang, mereka yang bercakap dalam bahasa Melayu ini tidak ramai, belum lagi di Jalan Petaling.

Mereka ini menggunakan bahasa Mandarin tetapi dalam banyak dialek dan kalau cakap Melayu pun dalam bentuk rojak dan bercampur-campur. Jadi bagi saya perkara utama yang saya ingin tekankan ialah perpaduan negara ini masih belum wujud dengan memuaskan. Maka definisi perpaduan negara ini cukup susah. Saya sendiri rasa kurang jelas. Apa yang dimaksudkan dengan perpaduan negara?

Kalau semua orang boleh bercakap bahasa Melayu, itu akan membantu usaha mewujudkan perpaduan negara. Tapi setakat ini ia belum menuju ke arah itu. Secara asasnya perpaduan negara ini hanya sekitar kita, misalnya tidak melihat pergaduhan antara kaum dan hidup dalam aman damai. Setakat ini toleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu tinggi berbanding kaum-kaum lain. Namun sama ada ia baik untuk orang Melayu menunjukkan toleransi sebegini ia masih menjadi persoalan. Jika tahap toleransi itu naik terlalu tinggi ia akan meletup. Kita kena ingat perkara ini sebagai orang Melayu dan ini yang berlaku ketika peristiwa 13 Mei.

Namun Alhamdulillah, toleransi orang Melayu sangat tinggi jika tidak ada banyak masalah. Kalau ada masalah terutama membabitkan politik orang akan menuding kepada pihak tertentu seperti MCA dan PKR. Orang kata kita tidak boleh cakap tentang kaum-kaum tetapi jika kita lihat senario sebenar kita akan nampak. Saya berpandangan Malaysia merupakan satu contoh baik negara yang wujud toleransi tetapi toleransi ini perlu wujud dalam bentuk yang kuat dan tidak hanya membabitkan satu kaum sahaja.

Kita ambil contoh di sekolah-sekolah matapelajaran diajar dalam bahasa Mandarin seperti yang diterima oleh Menteri Pelajaran. Namun mereka juga perlu bertutur dan bertukar-tukar fikiran dalam bahasa Melayu tanpa ada pilihan lain untuk asas perpaduan. Namun untuk memperoleh pengetahuan dan ilmu banyak yang kita boleh pelajari dengan menggunakan bahasa Melayu.

Universiti Malaya pernah melakukannya pada tahun 1974-1975 para pelajar boleh belajar dalam bahasa Melayu termasuklah pelajar jurusan kejuruteraan dan kedoktoran. Semua ini dilakukan dalam bahasa Melayu dan contoh lain kita boleh ambil Pusat Asasi Sains dan ia terbukti berjaya. Namun datang pula kelompok lain 10 tahun kemudian menukar sistem pembelajaran kepada bahasa Inggeris.

Setelah kita memberi masa enam tahun PPSMI berjalan, kepada Pak Ungku apa kelemahan ketara dasar ini?

UNGKU AZIZ: Sebenarnya semua ini bermula apabila arahan dikeluarkan supaya matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris oleh kepimpinan sebelum ini. Bagi saya ini seolah-olah ada satu magic untuk membolehkan pelajar-pelajar berbahasa Inggeris dengan lebih lancar dan mudah. Ketika itu semua orang akur dengan arahan dan tidak ada sesiapapun yang berani menolaknya termasuklah para menteri. Ramai yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini tetapi tidak ada yang berani melawan.

Saya telah diberikan satu kajian yang dijalankan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) mengenai PPSMI. Tujuh universiti terlibat dalam kajian ini dan kajian ini telah diberikan kepada Menteri Pelajaran sendiri. Segala butiran yang dikeluarkan adalah berdasarkan fakta. Kajian ini mendedahkan semua kelemahan yang berlaku akibat dari pelaksanaan PPSMI selama enam tahun termasuklah kekurangan guru, serta kelemahan pelajar di desa.

Kita ambil contoh matapelajaran Matematik, ia merupakan satu bahasa simbolik. Ia hanya membabitkan simbol sahaja dan tidak banyak menggunakan perkataan. Kita tidak gunakan perkataan tambah tapi simbol seperti juga simbol bahagi, Algebra dan sebagainya. Orang boleh membuat penilaian hanya berdasarkan simbol namun bagi mereka yang tidak tahu tentang simbol ini mereka tidak boleh membuat perkiraan Matematik. Oleh itu pelajar kena belajar tentang simbol dan bukan belajar bahasa dalam matapelajaran Matematik.

Bagaimana pelajar yang menggunakan bahasa simbol dalam Matematik boleh pandai bahasa Inggeris? Kita lihat orang Cina mahir dalam Matematik, ini kerana dalam penggunaan bahasa dan tulisan mereka banyak simbol daripada huruf. Maka jika para pelajar Melayu dipaksa belajar dalam bahasa Inggeris mereka ini akan lebih terbeban. Mereka perlu belajar Matematik misalnya tetapi pada masa yang sama mereka perlu belajar bahasa Inggeris.

Semasa saya menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dahulu saya pilih budak kampung untuk ambil kursus Asasi Sains kerana tidak ramai yang hendak mengambil kursus ini. Mereka diajar selama dua tahun dalam bahasa Melayu dan selepas itu masuk ke fakulti. Dan terbukti mereka ini boleh belajar kursus seperti kejuruteraan dan sebagainya. Tidak ada masalah malah ramai kalangan mereka kini menjadi profesor dan mengajar anak-anak Melayu kita.

Apa pula masalah yang perlu ditangani segera selepas pengajaran dua mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu?

UNGKU AZIZ: Dari segi kelengkapan tidak banyak masalah. Ini kerana banyak buku telah diterbit dan diterjemah ke bahasa Melayu. Ini termasuklah kamus-kamus seperti kamus biologi, kejuruteraan dan sebagainya. Bagi saya yang perlu ditekankan adalah pengajaran bahasa dan bukan mengajar bahasa dalam matapelajaran seperti Matematik dan Sains.

Kita ambil contoh kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah, penguasaan kosa kata mereka tidak banyak. Tetapi mereka akan belajar lebih banyak dan mampu menulis ayat setelah bersekolah untuk beberapa tahun. Selepas itu mereka ini sudah berkeupayaan untuk bercakap dan selepas masuk sekolah menengah mereka sudah boleh bercakap tentang perkara- perkara yang abstrak. Ini kerana mereka telah belajar perkara-perkara ini secara beransur-ansur dan keupayaan mereka semakin berkembang setelah belajar. Pelajar ini perlu didedahkan dari awal penggunaan bahasa Melayu tidak kira mereka ini orang Cina, Melayu atau kaum lain.

Kita perlu faham bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah dua bahasa yang sangat berlainan. Tatabahasa Inggeris banyak diceduk dari bahasa Perancis, Jerman dan bahasa Scandinavia. Dan kemudiannya ia banyak diperbetulkan oleh pujangga agung mereka William Shakespeare kemudiannya barulah ada bahasa Inggeris yang sebenar. Shakespeare merupakan bapa kepada bahasa Inggeris moden dan ia berlaku sekitar kurun ke-17. Tetapi bahasa Melayu sudah ada pada masa itu. Bahasa Melayu sudah digunakan oleh orang Melayu di rantau ini serta di Fiji dan Madagascar. Saya sudah melawat tempat-tempat ini serta melihat buku mengenai nahu mereka dan banyak perkataan Melayu digunakan. Mengikut kajian saya bahasa Melayu sudah wujud lebih dari 1,000 tahun.

Jika kita lihat Angkor Wat di Kemboja, penduduk mereka telah menggunakan bahasa Melayu yang kebanyakannya diambil dari bahasa Sanskrit. Jadi, saya tidak nampak kenapa dengan menggunakan bahasa Melayu kita tidak boleh maju. Saya hairan kenapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama pendidikan.

Apa akan jadi jika PPSMI ini diteruskan? Adakah sekadar pelajar kita bijak berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu mereka teruk atau pelajar Melayu sendiri yang akan hancur?

UNGKU AZIZ: Jika diteruskan orang Melayu akan hancur. Dalam kajian yang dilakukan oleh Pembina, kumpulan anak Melayu di kawasan desa (luar bandar) akan terus terpinggir dan ramai mereka akan berhenti sekolah dan mungkin berakhir hanya sebagai pemandu dan pekerja kelas bawahan. Itu pun mungkin susah. Ini kerana mereka tidak mampu untuk mengikut rentak perubahan yang ingin dilakukan melalui PPSMI. Mereka ini tidak berupaya untuk belajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan cepat seperti pelajar di kota apatah lagi dengan masalah-masalah lain seperti kekurangan guru dan peralatan. Maka bagi saya keputusan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu keputusan yang berani dan tepat. Para pelajar akan tetap menggunakan kedua-dua bahasa cumanya ia akan diperbaharui.

Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kajian yang mendalam tapi ini tidak bermakna kita berundur ke belakang. Keputusan itu menunjukkan ada keseimbangan iaitu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama kita memperkukuhkan bahasa Inggeris. Bagi saya PPSMI banyak merugikan anak-anak Melayu terutama yang tinggal di desa.


Kalau begitu, benarlah PPSMI adalah satu kesilapan besar yang pernah kita lakukan?

UNGKU AZIZ: PPSMI adalah satu kesilapan. Kita sebenarnya mampu dan boleh mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang yang kemudiannya mengajar di universiti lain dalam bahasa Melayu. Tidak ada masalah pun. Pengajaran PPSMI sebelum ini dilakukan dalam pelbagai masalah seperti kurang guru, peralatan dan sebagainya. Masalah juga berlaku akibat dari penambahan pelajar yang ketara berbanding guru yang berkemampuan mengajar dalam bahasa Inggeris. Maka dengan itu kualiti pelajaran dan pengajaran pastinya menurun.

Pelaksanaan bahasa Melayu ini tidak menyeluruh kerana di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina, pengajaran Sains dan Matematik digunakan dalam bahasa ibunda. Apa pandangan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Kita kena faham tentang dialek dari orang Cina dan India tentang perkara ini. Pelajar Cina yang belajar di sekolah rendah mengikut sistem yang sedia ada sekarang belajar mengikut bahasa ibunda. Tapi saya ingin bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “bahasa ibunda”? Bagi orang Cina bahasa mereka ialah Mandarin. Apakah bahasa Mandarin itu bahasa Cina? Sebenarnya tidak. Ia (istilah ‘Mandarin’) berasal dari bahasa Melayu.

Saya telah membuat kajian tentang perkara ini. Asalnya bila orang Portugis mahu ke China mereka mahu berjumpa dengan pegawai tinggi dan bertanya apakah status mereka. Jadi orang Portugis di Melaka menyatakan “menteri”. Tapi orang Portugis ketika itu tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik.

Jadi perkataan menteri itu disebut kepada “menterin” dan apabila mereka pergi ke negeri China untuk berjumpa dengan pegawai tinggi akhirnya perkataan “menterin” tadi bertukar kepada “Mandarin”. Saya telah menulis tentang perkara ini di dalam majalah Economist di London jadi tidak ada sebarang masalah tentang perkara ini.

Tetapi carilah dalam kamus Cina atau kamus apa sekalipun tentang maksud perkataan Mandarin. Maksud yang tertulis adalah limau mandarin, tidak ada makna lain. Oleh itu tidak ada bahasa Mandarin yang ada hanya bahasa Cina. Para pelajar Cina ini hanya belajar bahasa Mandarin di sekolah tetapi apabila balik ke rumah mereka akan bercakap dalam dialek lain dengan keluarga mereka seperti dialek Kantonis, Hokkien, Teochew.

Cuba kita tanya orang Cina apa bahasa ibunda mereka? Mungkin ada yang kata Kantonis dan sebagainya. Sekarang ini tidak ramai orang muda Cina yang boleh berbahasa Cina dialek Beijing. Begitu juga orang India ada pelbagai dialek seperti Tamil, Urdu, Punjab dan sebagainya. Jadi di mana bahasa ibundanya?

Yang bercakap bahasa ibunda yang betul ialah orang Melayu kerana mereka bercakap Melayu. Ini kerana ibu bapa, nenek dan ahli keluarga mereka semua bercakap bahasa Melayu.

Kalau begitu apa perlunya sekolah jenis kebangsaan kalau mereka juga bukan diajar dalam bahasa ibunda?

UNGKU AZIZ: Jawapannya mudah, ini kerana politik. Tetapi bagi saya untuk mengukuhkan perpaduan, yang perlu ada ialah satu bahasa. Ini kerana hanya dengan cara inilah akan menggalakkan lagi persefahaman dan memudahkan pergaulan antara semua kaum. Kerana itu untuk mengajar dan mencampuri bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris bagi saya ia sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Bagaimana pula sikap sesetengah pihak yang terus mendesak supaya PPSMI dikembalikan? Adakah kemungkinan PPSMI dikembalikan?

UNGKU AZIZ: Saya sangat berharap tidak akan berlaku dolak dalih bagi memungkinkan pelaksanaan PPSMI dikembalikan. Maksudnya setelah keputusan ini diambil kerajaan tidak akan berundur ke belakang. Saya faham kerajaan mungkin menerima banyak tekanan dari pelbagai pihak supaya PPSMI ini dilaksanakan semula termasuklah dari orang Melayu sendiri. Saya tidak kata kita menolak penggunaan bahasa Inggeris sebab bahasa itu perlu untuk menjadikan negara ini maju. Tetapi saya mahu bahasa Melayu terus unggul di negara sendiri. Kita tidak perlu pinggirkan bahasa Melayu sebaliknya kedua-dua bahasa ini sama-sama naik.

Namun cabaran ini pastinya sangat hebat kerana ada di kalangan kaum lain dan juga sesetengah orang Melayu sendiri yang hanya mahukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Kalau kita lihat contoh seperti mereka di Jamaica dan negara-negara di kepulauan Caribbean, mereka tidak ada bahasa kebangsaan. Adakah kita mahu jadi seperti itu? Orang Melayu mesti menghidupkan bahasa Melayu dan berbangga bertutur dalam bahasa Melayu. Namun pada masa yang sama demi kemajuan negara kita mesti mampu berbahasa Inggeris.

Sumber Mingguan Malaysia 19 Julai 09 (klik sini).

17 July 2009

Apakah Itu NED: Wajib Dibaca Ahli PAS

Berikut ialah beberapa petikan dari artikel 'NED dan Campurtangan Asing Dalam Politik' tulisan saya yang tersiar di Siasah edisi terkini (19-25 Julai 09) bilangan 0158. Untuk artikel PENUH dapatkan Siasah segera.

NED adalah sebuah agensi separuh kerajaan yang didanai oleh Kongres Amerika Syarikat dan beberapa individu yang tujuannya adalah untuk menyokong dan mendokong organisasi di luar Amerika yang pro polisi luar negara Rumah Putih. Hal ini disebut secara terang dalam laman rasmi NED bahawa penubuhannya sejak 1980 adalah untuk “membantu usaha demokrasi di negara yang dipercayai dapat memberi manfaat kepada Amerika Syarikat, dan kepada pihak yang berhempas pulas memulihkan kebebasan dan hak asasi” (lihat David Lowe, ‘Idea To Reality: A Brief History of the National Endowment for Democracy”, National Endowment for Democracy, http://www.ned.org/about/nedhistory.html). Idea di belakang NED ialah untuk menjadi organisasi muka hadapan CIA dalam mencampuri urusan negara lain. Perkara ini malah diakui oleh salah seorang penubuh NED, Allen Weinstein, “apa yang kita lakukan hari ini kebanyakannya dilakukan oleh CIA 25 tahun lalu.” (lihat William Blum, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower, Common Courage Press, Monroe-Maine, 2000, hlm. 180)...


Kaedah ketiga, ialah dengan menyatukan beberapa parti pembangkang berlainan ideologi di bawah satu payung. Gabungan pembangkang ini akan didanai menerusi seorang tokoh yang dikenalpasti dengan harapan dapat menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Kaedah ini dilakukan dengan berkesan sekali di Mongolia dalam tahun 1996. NED telah menyatukan beberapa parti pembangkang di bawah nama National Democratic Union (Pakatan Demokratik Nasional) untuk menewaskan parti kerajaan Mongolian People’s Revolutionary Party yang berkuasa sejak 1992. Harus diingatkan Mongolian People’s Revolutionary Party bukanlah sebuah parti anti Barat atau Rumah Putih. Cuma parti tersebut enggan tunduk kepada beberapa polisi ekonomi serantau yang diatur Amerika Syarikat. Sebelum tahun 1996, media sekali lagi berperanan mempromosikan “terapi ekonomi” buat kerajaan Mongolia yang kononnya untuk menyaingi kuasa besar China dari segi perdagangan. Sebenarnya polisi ekonomi yang dimaksudkan adalah untuk membolehkan Mongolia membuka rangkaian bisnes anti China, dan dalam masa yang sama syarikat-syarikat swasta Barat ini dapat menjadi menjadi perisik dan telinga untuk CIA. Hal ini didedahkan oleh pengkaji yang sama iaitu William Blum menerusi bukunya, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower. Bentuk yang serupa dilakukan NED di Haiti untuk menggulingkan President Jean-Bertrand Aristide. Dan contoh klasik ialah usaha NED di Venezuela dalam tahun 2002 untuk menggulingkan Presiden Hugo Chavez. Usaha tersebut gagal, malah salah seorang koresponden CNN mengakui ikut menjadi konspirator dalam rampasan kuasa 48 jam tersebut...

Penerima dana NED yang lain ialah National Iranian American Council (NIAC), menerima USD 25,000 dalam tahun 2002, USD 64,000 dalam tahun 2005, dan USD 107,000 dalam tahun 2006. Di sinilah datangnya kaedah keempat NED iaitu “media training workshop” kononnya untuk melatih peserta mewakili masyarakat dalam bidang komunikasi awam. National Iranian American Council (NIAC) aktif menganjurkan bengkel dan seminar untuk tujuan “strengthen the capacity of civic organizations in Iran”. Antara slogan bengkel anjuran NIAC adalah seperti merangsang pertumbuhan masyarakat madani, atau ke arah hak asasi dan lain-lain lagi (lihat National Endowment for Democracy http://www.ned.org/grants/06programs/grants-mena06.html#iran). Gerakan ini tentu sahaja telah dikesani oleh Iran. November 2008, lama sebelum pilihanraya Presiden Iran berlangsung, duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Mohammad-Javad Zarif menuduh Amerika sedang merancang revolusi warna di Iran. Menurut beliau, kaedah yang diatur NED ialah dengan cara mengundang sarjana dari universiti-universiti di Iran untuk menghadiri konferens akademik di Barat, akan tetapi apabila mereka menyertai sesi undangan itu, sarjana ini akan menyedari mereka sedang berhimpun untuk membincangkan mekanisme menjatuhkan kerajaan Iran (lihat “US plotting Velvet Revolution in Iran?”, Press TV, 18 November 2008 menerusi laman http://www.presstv.ir/detail.aspx?id=75784...ionid=351020101)...

Hal ini tidaklah mengejutkan kerana dalam bulan Februari 2006, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Condoleezza Rice telah memohon dana mengejut dari Kongres sebanyak USD 75 juta di mana USD 10 juta akan diperuntukkan untuk ‘merangsang kempen propaganda menentang Tehran’. Wang sebesar itu akan disalurkan untuk “siaran radio dan televisyen bahasa Parsi dari Amerika, memberi biasiswa kepada pelajar yang ingin menuntut di Amerika dan untuk mendanai gerakan pro demokrasi di Iran. Menurut Rice, “dana itu penting untuk menunjukkan Amerika menyokong aspirasi kebebasan dan demokrasi yang menjadi hak rakyat Iran” (lihat Ewen MacAskill and Julian Borger, “Bush plans huge propaganda campaign in Iran”, The Guardian, 16 Februari 2006 http://www.guardian.co.uk/media/2006/feb/16/usnews.iran)...

Kaedah-kaedah yang digunakan NED di Iran dan negara lain munasabah untuk direnungi oleh Parti Islam Semalaysia selaku sebuah gerakan Islam. Sudah tiba masanya PAS mempunyai mekanisme sendiri untuk menebat dan mengekang kemaraan musuh yang semakin sofistikated dan bijak dalam menyucuk jarum. PAS perlu menyediakan satu pelan khusus untuk memantau gerakan musuh dalam selimut, mengenalpasti mereka dan menyingkirkan mereka tanpa rasa bersalah. Untuk itu PAS perlu menganalisis strategi politik mereka supaya tidak terjerumus dalam jerangkap musuh ummah. Semua kaedah NED di atas telah pun diamalkan dan dikemukakan di Malaysia. Sudah tiba masanya PAS mengurangkan syahwat terhadap kuasa dan kerusi lantas kembali kepada fungsi asalnya iaitu untuk menjadi juara kepada umat Islam. Untuk itu agenda perpaduan ummah mesti didahulukan berbanding agenda-agenda lain yang mungkin sahaja telah ‘disediakan musuh’ umat seperti Amerika Syarikat. Pimpinan PAS perlu rajin meneliti perkembangan politik antarabangsa dan tidak ada salahnya belajar dari negara-negara yang pernah diganggu Amerika...

16 July 2009

Ketupat Cinta Musim Kedua Mula Disirikan di Harakah

Dapatkan Harakah bilangan 1456 (dengan judul 'Rasuah Politik Ditolak'), edisi Jumaat ini, 24-26 Rejab (17-19 Julai 2009). Novel 'Ketupat Cinta' disirikan di 'Sisipan Fikrah' halaman 17.

Oleh kerana Harakah adalah hanya untuk ahli PAS, saya menasihatkan pembaca yang ingin membeli akhbar tersebut - supaya mengisi borang keahlian PAS terlebih dahulu - sebelum menjamu selera Ketupat Cinta Musim Kedua dengan judul siri pertamanya Ayam Tumis Serai Buka Bicara.


Beberapa insiden politik di Melaka membuatkan Tun Lepat memilih untuk pulang. Tun Rosjah telah meninggal dunia. Parameswara melancarkan slogan politik baharu. Dan Tengku Tembam kini adalah pengetua Madrasah Makanan. Keterujaan untuk kembali mencanak, tambahan pula Tun Lepat diundang oleh Tun Halimah. Dalam pelayaran yang panjang ke kota Melaka, Tun Lepat telah mempelajari cara-cara memasak ayam tumis serai daripada seorang bunian perempuan bernama Cik Memey Odelia.

Dapatkan Harakah dan Ketupat Cinta II.

14 July 2009

Ketupat Cinta Musim Kedua: Ayam Tumis Serai Buka Bicara

Fragmen Ketupat Cinta Musim Kedua yang bakal disirikan di sebuah akhbar terkemuka minggu ini:

Adalah setelah kematian bapa saudaranya bernama Musa al Kadzim dibunuh kejam oleh orang-orang jahat, Tun Lepat itu dihantar jauh sampai ke kota suci Mekah dan Madinah. Arakian Tun Halimah pun mengutus warkah mengajak dan merayu berbiji-biji supaya Tun Lepat pulang ke negeri Melaka kerana tiada pewaris menjaga halal haram makan minum orang Melayu. Jika tiada Tun Lepat itu kembali ke kota Melaka nescaya ramailah yang terkena demam hingus babi. Terlalu ramailah yang menjamu-bedal selera makanan haram kerana tiada lagi bimbingan menu makan minum halal seperti kala hidupnya as-syahid Musa al Kadzim itu. Janganlah tuan-tuan hairankan kerana terlalu banyak orang Islam yang Islamnya ada had dan ada hari, yakni bukan ia sehari-harian Islam seperti dituntut al-Quran dan Nabi di negeri Melaka itu. Malah sejak baginda Parameswara kehilangan isterinya Cik Lo Ganish dan Kamarul Ajaib lantaran dendam Tun Rosjah penuh puaka, tiadalah baginda menjaga lagi mentadbir negeri. Semacam ia orang high lagaknya. Kerjanya menghidu bau-bauan yang harum sehingga tergolek pengsan. Hendak ia makan daun ketum dan mengunyah bunga popi semata. Nyaris baginda tidak terkena massive cardiac arrest. Lebih aneh diikutkan sahaja apa kehendak orang ramai. Baginda sampai bertitah, “Apa yang rakyat mahu dan hendak, sukacitalah beta tunaikan. Tiada beta larang kerana beta percaya rakyat didahulukan pencapaian Melaka diutamakan. Moga tercapai angan-angan beta yang mengimpikan kota Melaka menjadi kota pelabuhan bertaraf dunia.”

Tiadalah siapa yang dapat melarang gila-gila baginda Parameswara. Seratus hari selepas kematian Tun Rosjah, sebagai tanda kesyukuran Parameswara pun mengumumkan sepuluh tambah satu hadiah untuk rakyat Melaka. Antara lain, tiada dijangka orang ialah baginda menitahkan supaya sesiapa rindu dan ingin menjamah daging celeng seperti di zaman jahiliah dulu maka silakanlah. Baginda bertitah berpantun,

“Kayu mumuk uratnya mumuk,

Jangan dipetik buah di batang;

Berjalan gemuk sama gemuk,

Bagai babi pulang petang.”

Arakian pelajar-pelajar Madrasah Makan yang kini berpengetuakan Tengku Tembam atau Ku Bam pun sibuklah memilih kasih memasak lauk-pauk berasaskan daging celeng untuk santapan Parameswara. Kerana jelas sudah isyarat titah baginda itu teringin ia menjadi gemuk seperti babi jua. Tun Halimah pun datanglah susah di hati, perihal apa Parameswara itu bukan lagaknya seperti raja tetapi seperti anak wayang terkena renjatan kilat sahaja. Lekaslah ia membuka sebuah kitab bertulis tangan peninggalan Dato Musa al-Kadzim. Tercatat di situ bunyinya begini:

“Adapun dalam kitab Kethupat Chinta berkata sekalian pekerjaan di dunia ini berdiri di atas dua perkara juga. Satu makan, kedua minum. Bermula pada segala pekerjaan manusia ini terlebih berlaku pekerjaan makan kerana segala pekerjaan makan itu menjadi darah dan daging. Jika baik ia makan maka baik perilaku ia. Jika buruk ia makan maka seperti bangkai juga perilakunya. Adapun barang siapa mengetahui segala perintah alam ini, maka ia tiada dapat terlepas dari halal dan haram makan minumnya.”

'Selamat Tinggal' Bahasa Inggeris

David Graddol yang menulis sebuah laporan berjudul English Next untuk British Council memberitahu bahasa Inggeris sedang berdepan dengan 'serious economic and political disadvantages.'

Bahasa-bahasa yang sedang mendominasi pasaran masa hadapan menurut Graddol ialah bahasa Sepanyol, Mandarin dan Arab.

Itulah, bahasa turun dan naik. Tidak mahu jadi Red Indian, maka bahasa ibunda/kebangsaan tetap kita pertahankan; sementara bahasa lain kita kuasai.

Maklumat ini dapat dilayari di BBC News, klik sini ya!

Intan 'Tak' Tercanai


AKHIRNYA saya kira konsep 1Malaysia mendarat juga di Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi pementasan Intan Yang Tercanai, karya Sasterawan Negara Dato’ Noordin Hassan. Malah uniknya, gagasan tersebut tercanai bersama gagasan Islam Hadhari. Dato Noordin amat beruntung kerana dua karya beliau dipentaskan dalam tempoh waktu yang tidak jauh untuk tahun 2009 ini. Sebelum ini drama beliau Mana Setangginya diangkat besar-besaran di Istana Budaya. Intan Yang Tercanai adalah karya pentas beliau yang paling terkini. Pementasan yang berlangsung antara 8-12 Julai lalu wajar diperhatikan menerusi dua aspek. Pertama, aspek naskah Intan Yang Tercanai sebagai hasil kerja Noordin itu sendiri. Kedua, aspek pementasan Intan Yang Tercanai di tangan pengarahnya, Abdul Wahab Hamzah.

Ada beberapa gangguan yang sungguh menjolok mata pada naskah ini. Naratif berlegar sekitar tragedi di terowong Muasseim, Mekah tahun 1990 apabila Ungku Intan Anis dirempuh jamaah haji yang bersesakan dalam terowong tersebut. Terangkat dari peristiwa malang itu, Noordin membawa penonton ke latar sejarah Ungku Intan Anis, dan hubungan kasih-sahabatnya dengan seorang jejaka India bernama Danial Sundaram. Kedua-dua watak ini, Ungku Intan dan Danial adalah golongan terpelajar yang pernah menuntut di kota London.

Sekarang, andaikan drama pentas ini sebagai sebuah gelas kosong yang kita namakan ruang naratif atau ‘gelas naratif’. Apakah yang boleh diisi dalam gelas kosong ini? Sekadar cerita suka duka jamaah haji atau mungkinkah ‘gelas naratif’ ini dituang dengan wacana falsafah ibadah haji yang kurang diketahui oleh umat Islam itu sendiri. Ternyata, Intan Yang Tercanai hanya terpesona dengan cerita 1426 jemaah haji yang terkorban dalam terowong Muasseim. Naratif Noordin tepu cerita tetapi kosong dan sia-sia dari segi pemikiran. Premis ibadah haji dan watak yang terpelajar ini tidak dimanfaatkan oleh Noordin sebagai kekuatan teater fitrahnya Kesempatan untuk memuatkan drama ini dengan intan sebenar iaitu falsafah ibadah melontar dan pemakaian ihram misalnya diabaikan. Cerita dimenangkan dan inti falsafah ibadah diredam. Jika alasan wacana dan falsafah akan membosankan penonton kerana menuntut pengkhutbahan, anehnya, struktur teks ini sudah sedia digubah dalam bentuk khutbah di mana hampir setiap watak utama seperti Ungku Intan, Danial Sundaram, Sandha Sundaram dan Haji Fadzil muncul untuk berleter (atau sekadar bercerita). Justeru, kekuatan watak yang ‘terpelajar’ itu dikesampingkan. Di sinilah datangnya pilihan untuk mengisi ‘gelas naratif’ yang Noordin abaikan.

Pengabaian ‘gelas naratif’ ini menjadi lebih mendukacitakan kerana ibadah melontar yang merupakan antara puncak pengerjaan ibadah haji, iaitu sebagai satu manifestasi pembebasan dan kemerdekaan manusia dari kongkongan iblis dan gejala anti-tauhid; tidak dicanai dengan baik oleh Noordin. Sedangkan, cita-cita Noordin menerusi gagasan teater fitrah yang beliau kemukakan (lihat Harakah 29 Jun-2 Julai di mana saya mengulas teater Mana Setangginya karya Noordin Hassan) adalah antara lain untuk membawa manusia kepada tauhid. Sebaliknya, ibadah melontar yang hebat dan merupakan episod spiritual paling tinggi itu terlontar sebagai sebuah cerita yang mengerikan. ‘Gelas naratif’ diisi dengan pemerian haji sebagai satu ibadah yang menyusahkan, penuh tangisan, tiada toleran, pijak memijak, rempuh merempuh sehingga kain ihram tertanggal dan jemaah bertelanjangan. Ia ditokok dengan tangis pelakon, dan kareografi tari yang semuanya terpusat kepada ‘kekacauan’. Yang tersirat dan tersurat, ibadah haji terasa mengerikan dalam ‘gelas naratif’ di tangan Noordin. Bahkan dialog pelakon melafazkan kata-kata, ‘jemaah berada dalam sejenis neraka.’ Ia bukan satu nikmat penemuan al-Khalik. Bukan sama sekali nikmat manusia menemui fitrah sejati sebagai khalifah Allah.

Kesangsian kita kepada ‘gelas naratif’ Noordin menjadi lebih menyegat apabila, ibadah haji yang menggerunkan itu digandingkan dengan upacara keagamaan Danial (yang ketika itu masih belum Islam) di mana beliau memikul kavadi untuk upacara Hindu Thaipusam. Upacara membawa kavadi tersebut (yang ditampilkan Wahab sebanyak dua kali) sebagai satu nazar Danial kepada ibunya diberi suntikan keriangan, pesta spiritual berwarna-warni ala Kollywood, penuh toleran, foto menfoto, dan saling kasih-mengasihi. Gandingan sebegitu kontras dalam ‘gelas naratif’ Noordin menjadi kemusykilan berlarutan apabila Haji Fadzil menyoal’ di mana Allah di Muasseim’ sedang untuk adegan memikul kavadi pula digambarkan betapa Dewa Murugan memberi limpahan mistik buat pengkhusyuknya. Lebih serius, emosi dan jerit soal Haji Fadzil tentang tauhid hanya menjadi gema pertanyaan dan tidak dijawab langsung dalam teks. Malah terdapat dialog Haji Fadzil kemudian menegaskan, ‘usah bertanya.’ Noordin meninggalkan sama sekali pemerian falsafah melontar dalam ibadah haji untuk ‘gelas naratifnya’ tetapi sempat pula menyinggung pertarungan devas dan asuras yang melahirkan dewa Murugan pada acara kavadi.

Kesilapan pengisian ‘gelas naratif’ tidak terhenti di situ. Watak ibu tiri Ungku Intan yang dihimbau, iaitu Mak Cik Yong Sutinah ditunjukkan mati dalam keadaan kejang di celah asap bomoh setelah susuknya nyaris tidak berjaya dikeluarkan. Adegan ini menyalahi gagasan teater fitrah kelolaan Noordin sendiri yang menuntut watak diberikan kesempatan untuk bertaubat. Sedangkan Mak Cik Yong Sutinah bukan sahaja tidak diberi peluang itu, ia malah digambarkan sejak awal sebagai sejenis perempuan yang oportunis.

Sekiranya kita merenung naskah ini dari segi strukturnya terdapat kelemahan di peringkat asas lagi. Entah di mana lojikanya Ungku Intan dibayangkan belajar tasawuf sejak muda menerusi panduan bapanya, sedang bapanya yang mungkin seorang ahli sufi, dalam masa yang sama memperisterikan Mak Cik Yong Sutinah: anak wayang-penari joget yang menanam susuk di muka. Naskah ini juga gagal meyakinkan penonton sebab-musabab Danial memeluk Islam. Sebagai sebuah plot ia amat lemah. Tidak ada sebab akibat yang utuh buat Danial memilih jalan tauhid. Hanya diberitahu tiga bulan selepas mengangkat kavadi, Danial kini menjadi Danial Mubarak Abdullah. Sekadar diperikan sambil lalu bahawa Danial sempat mempelajari ilmu perbandingan dan psikologi agama (sekali lagi kesempatan ‘gelas naratif’ tidak digunakan untuk memuatkan wacana perbandingan agama) di kota London. Ini bererti, aspek mengapa dan bagaimana dalam plot tidak dijelaskan. Juga, salah satu aspek yang melemahkan karya penulisan kreatif ialah unsur kebetulan. Meskipun unsur kebetulan tidak salah tetapi unsur kebetulan sering ditanggapi oleh sarjana penulisan kreatif sebagai satu kekurangan. Unsur kebetulan ini terlihat pada pertemuan tidak sengaja Haji Fadzil (pembantu Ungku Intan dalam terowong Muasseim) dengan Danial di Madinah.

Sebagai sebuah pementasan pula, Wahab memilih jalan untuk mendramatikkan adegan yang sepatutnya dibiar sederhana. Meskipun ia berguna untuk menunjukkan pegangan pengarang yang menolak tahyul dan khurafat, adegan perbomohan untuk mengeluarkan susuk Mak Cik Yong Sutinah serasa berlebihan dan mendorong kelucuan. Adegan imbas kembali Danial dan Ungku Intan ketika kecil juga tidak ada keperluan untuk ditonjolkan. Lakonan Arwindran Kalaivanan sebagai Danial Sundaram kurang bermaya. Malah pada narasi panjang Sandha Sundaram (lakonan Geethanjali Gausillia Kathirvalu), Arwindran terasa tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Beliau malah kadang-kala memberi ekspresi ria pada dialog Sandha yang sepatutnya mengharukan beliau. Lakonan Mardiana Alwi sebagai Ungku Intan Anis juga dapat dikatakan sebagai ‘mudah dilupakan’. Penampilan Norzizi Zulkifli, Juhara Ayub dan Ogy Ahmad Daud sebagai lembaga suci 1, 2, dan 3 serasa tidak bertenaga, tidak signifikan dan dengan kostum ala makhluk asing dalam filem Fifth Element, kemunculan pelakon-pelakon handalan ini menjadi hambaran. Kareografi tari (adegan senggol menyenggol waktu tawaf, dan rempuhan ngeri di Muasseim) oleh Sharip Zainal amat kreatif cuma ia serasa tidak kena pada pementasan ini kerana ketempangan naskah itu sendiri. Apa yang disesalkan, tanggapan bahawa sebuah ‘drama Islam’ bakal membosankan menjadi kenyataan menerusi Intan Yang Tercanai. Tidak ada yang tersirat dan tersurat untuk direnung malah Dewan Sastera April 2009 sendiri menegaskan naskah ini ‘telus dan berterus terang’, kerana itu saya tidak dapat mengandaikan yang lain; dan memilih untuk bersikap telus dan berterus terang juga menerusi kritikan ini.

Sebagai sebuah teater, ia menepati gagasan integrasi kaum 1Malaysia dan meraikan pluralisme agama dalam Islam Hadhari. Apakah ia menepati gagasan teater fitrah kelolaan Noordin sendiri? Maaf Cikgu, saya fikir, tidak sama sekali.

Artikel ini telah tersiar di Harakah edisi 13-16 Julai 2009. Dilarang menerbit kembali.