30 June 2009

Faisal Tehrani di Berita Harian

Meletakkan artikel ini di sini mungkin akan menimbulkan salah faham ramai. Seakan-akan masuk bakul angkat sendiri pula. Setelah berfikir panjang, artikel pendek tulisan Saudara Salbiah Ani ini tetap saya titipkan di sini memandangkan blog ini juga merupakan satu bentuk dokumentasi untuk merakam pelbagai perkembangan tentang diri saya, tulisan saya dan apa yang orang perkatakan tentang saya. Terima kasih buat Berita Harian.

Oleh Salbiah Ani

SABAN tahun dunia sastera tanah air menyaksikan tokoh veteran negara ini menerima Anugerah Penulisan Sea, hadiah sastera berprestij peringkat rantau Asia Tenggara yang memungkinkan penerimanya mendapat layanan luar biasa dan penginapan lima bintang di negara penganjur, Thailand.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kehadiran Ogos tidak lagi membawa debar yang berpanjangan di kalangan sasterawan Malaysia kerana ia seolah-olah tidak lagi membawa sebarang makna apabila penganugerahan terbabit hanya berkisar di kalangan penganjur, sekretariat dan penerima.

Tiada lagi publisiti meluas seperti pernah dinikmatinya sebelum ini, baik sebelum penobatan melalui ‘teka-teki’ yang diwara-warakan dalam media cetak yang naskhah edarannya mencapai jutaan pembaca di seluruh negara, sehingga ramai pengarang kreatif berasa ‘iri’ dengan penerima anugerah terbabit.

Khabarnya tahun ini, Jawatankuasa Penilai Anugerah Penulisan Sea yang beribu pejabat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya menerima pencalonan kurang daripada sebelah tangan, meskipun hakikatnya Malaysia mempunyai ramai pengarang kreatif yang mengidam anugerah terbabit dan beberapa persatuan penulis masih lagi bergiat cergas.

Apakah sambutan kurang menggalakkan ini berpunca daripada sikap sekretariat yang tidak ada hubungan baik dengan pengamal media atau mereka tidak melihat kepentingan membuat sedikit pelaburan dalam bentuk iklan di media cetak berbanding majalah terbitan sendiri dengan edaran terbatas sehingga maklumat tidak sampai kepada kelompok sasar?

Atau apakah kerana persatuan penulis tidak lagi berminat untuk mengemukakan calon mereka kerana berasa dunia sastera tanah air, tidak lagi membawa sebarang makna atau calon pilihan mereka kurang berkelayakan sehingga ‘segan’ untuk dikemukakan kepada sekretariat?

Atau apakah reaksi ini mewakili protes senyap persatuan penulis dan kalangan sasterawan kerana mereka tidak berpuas hati dengan kaedah pemilihan Jawatankuasa Penilai Anugerah Penulisan Sea yang selama ini memilih calon berdasarkan genre dan mendahulukan sasterawan kelompok veteran.

Suatu hakikat yang diketahui semua bahawa bukan semua karya kelompok veteran tidak mampu ditandingi kumpulan pengarang muda dan bukan semua garapan penulis muda sampah, meskipun kebenaran hujah ini berubah mengikut individu, selain sudah ada sasterawan veteran yang mahu dinobatkan menolaknya.

Sejarah penobatan Anugerah Penulisan Sea negara ini sudah mencatatkan ada sasterawan veteran yang menolak penobatannya, iaitu Dr Fatimah Busu, apabila dimaklumkan pemilihannya pada 2005 sebagai tanda simpatinya kepada pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam Tak Bai yang tidak berdosa.

Tidakkah jawatankuasa terbabit terfikir kepentingan untuk menukar format pemilihan calon penerima berdasarkan kekerapan karya yang dihasilkan tanpa mengabaikan aspek mutu dari segi idea mahupun teknik penulisan memandangkan, Malaysia ada ramai pengarang kreatif berwibawa tanpa mengira usia?

Pendekatan ini sudah lama diamalkan negara tuan rumah, Thailand dan jiran Malaysia, Indonesia, sehingga penulis muda mereka turut dapat ditampilkan pada arena penulisan peringkat rantau selain berlaku persaingan sihat di antara kedua-dua kelompok pengarang kreatif di negara masing-masing, di samping ada yang menerima lebih daripada sekali.

Seorang mantan sarjana sastera yang juga sasterawan ketika ditanya mengenai perkara ini berkata, Bahagian Pengembangan Sastera DBP wajar menimbangkan cadangan terbabit memandangkan Malaysia mempunyai ramai calon yang boleh dikemukakan dengan sesetengahnya hampir kecewa dengan putaran penggiliran mengikut genre.

“Jika pendekatan ini menjadi amalan berterusan saya bimbang akan ada kalangan sasterawan muda berwibawa yang bosan ‘menunggu’ dan akhirnya hanya berasa nikmat pengiktirafan itu selepas mencecah usia jubli emas atau lebih malang hanya sesudah ‘menutup mata’,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara terbabit.

Pada mata pengkaji ini, calon pengarang muda paling layak untuk dipertimbangkan ialah Faisal Tehrani dengan mutu karya tidak boleh dipersoalkan, seiring dengan kepelbagaian genre diceburi daripada cerpen, novel, drama dan esei, di samping teknik penulisan membanggakan sehingga mampu menarik perhatian pengkaji.

Malahan, sesetengah novel garapannya yang menerapkan unsur sejarah dan futuristik sains seperti Detektif Indigo, 1511 Hijrah Combat, Ikan Fugu, Lukisan dan Jinson serta Manikam Kalbu, turut menambat perhatian remaja termasuk kelompok pembaca yang masih di sekolah menengah.

Faisal Tehrani dikatakan mendahului beberapa saingannya di kalangan generasi muda seperti Shamsudin Othman (puisi, cerpen), Rahimidin Zahari (puisi, cerpen), Marsli NO (cerpen, puisi, novel, drama pentas/tv) dan Abdul Hadi Yusof (puisi), tanpa menafikan setiap daripada mereka mempunyai kekuatan mengikut genre masing-masing.
Bagaimanapun, pengkaji ini tidak melihat adanya pengarang kreatif wanita generasi muda negara ini yang wajar dicalonkan untuk dipertimbangkan sebagai penerima Anugerah Penulisan Sea memandangkan karya mereka belum cukup matang dan kepelbagaian genre mereka masih terbatas.

“Saya bukan mahu bersikap male chauvinist dalam hal ini, tetapi saya tidak nampak sebarang calon di kalangan wanita termasuk mereka yang karyanya sedang dijadikan teks Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) layak dicalonkan untuk hadiah ini,” jelasnya.

Negara ini juga dilihat tidak wajar menggunakan format penggiliran mengikut bangsa seperti amalan Singapura dalam menjaga hati semua kaum kesan negara republik itu mengiktiraf empat bahasa rasmi iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, selain dilihat kurang bijak untuk menggilirkannya mengikut negeri.

Malaysia menyaksikan Datuk (Dr) A Samad Said sebagai calon pertama yang menerima anugerah terbabit pada 1979, Datuk Baha Zain (1980), SN Datuk Abdullah Hussein (1981), SN Allahyarham Usman Awang (1982), Adibah Amin (1983), A Latiff Mohidin (1984), SN Allahyarham Arena Wati (1985) dan Datuk Dr Kemala pada 1986.

SN Datuk Noordin Hassan pula menerimanya pada 1987, diikuti Azizi Abdullah (1988), Dr Siti Zainon Ismail (1989), SN Allahyarham S Othman Kelantan (1990), Jihaty Abadi (1991), Ismail Abbas (1992), Allahyarham Kamaruzzaman Abdul Kadir (1993), Prof Dr A Wahab Ali (1994), Suhaimi Muhammad (1995) dan Zaharah Nawawi (1996).

Prof Dr Muhammad Salleh pula tampil sebagai sarjana sastera kelima yang menerima anugerah terbabit pada 1997, disusuli Allahyarham Dr Othman Puteh (1998), Khadijah Hashim (1999), Dr Lim Swee Tin Malaysia (2000), Zakaria Ariffin (2001), Datuk Dr Anwar Ridhwan (2002), Prof Madya Dr Zakaria Ali (2003), Zurinah Hassan (2004), Abdul Ghafar Ibrahim (2005), Jong Chian Lai (2006), Prof Madya Rahman Shaari (2007) dan tahun lalu Prof Dr Hatta Azad Khan.

Sumber Berita Harian 18 Jun 2009.

29 June 2009

Maaf Dari Sorga

PERCAYA atau tidak Maaf Dari Sorga saya tulis sewaktu masih di bangku sekolah. Saya peram bertahun lamanya, dan saat didekati oleh sebuah penerbitan pada tahun 2003, saya kehilangan tenaga untuk mengarang karya baharu. Apa yang ada dalam simpanan saya serahkan. Maka begitulah Maaf Dari Sorga, manuskrip novel pertama saya diterbitkan setelah bertahun-tahun saya dikenal sebagai pengarang.

Kerana itulah novel ini dirasai pucuk dan lancar. Pun sebagai ‘karya pertama’ yang dikarang ketika masih belajar, hari ini saya dapat menghimbau dan belajar banyak menerusinya.

Karya ini mengalami perubahan, lapis-lapis pembaikan setelah itu khususnya saat saya mulai mengenal penulisan kreatif secara teratur menerusi arwah Dr Othman Puteh dan Zaharah Nawawi. Kala itu saya sedang menuntut di matrikulasi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di Nilam Puri. Terima kasih juga buat Khairul Nizam Abdul Raub yang dengan baik hati menawar diri untuk menaip semula manuskrip yang saya tuliskan dengan tangan dan mesin taip ini. Jika tidak, Maaf Dari Sorga akan terbenam berhabuk dalam himpunan manuskrip lama saya yang terlupakan.

Posisi penting Maaf Dari Sorga dalam perjalanan kepengarangan saya ialah terdapatnya percikan wacana meski tidak mendalam. Modal ini telah membawa saya bereksperimen dalam banyak karya saya kemudiannya. Lebih penting di sebalik kisah seram yang cuba ditampilkan, masih ada ideologi berbumbu akhlak dan etika keIslaman menunjangi novel ini. Pengaruh ‘Risalah Usrah’ karya Abu Urwah (YB Saari Sungib) misalnya menjadi satu potongan penting dalam Maaf Dari Sorga.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih buat Maryam Musa yang telah membantu saya membina latar Sydney dengan segar meski saya masih belum berkesempatan menjejakkan lagi di kota selatan tersebut.

Saya berharap penerbitan semula Maaf Dari Sorga dapat menjadi satu rekod dan dokumentasi untuk pengkaji dan pembaca yang ingin memahami proses yang telah saya lalui sebagai seniman.

Semoga pakej baharu karya ini akan memberi lebih banyak keadilan dan kesaksamaan buat saya sebagai pengarang yang sering disalahertikan.

27 June 2009

Anak Wayang dan Pilih Kasih

Maafkan saya, kalau berasa rimas dengan budaya pop murahan; khusus mencari bintang-bintang menerusi rancangan realiti di kaca televisyen. Ada produk rancangan tersebut kini, ajaib sekali, telah menjerat sahabat saya sendiri. Ia memang murah. Ia mendorong penonton menghabiskan masa yang disebut oleh Allah sebagai mereka yang rugi. Kerana tunjang rancangan murahan itu tidak ada keimanan kepada Allah, tidak ada amal soleh, sambil tidak pula berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Adakah saya anti rancangan realiti di televisyen?

Tidak. Kalau ia berguna.

Mari saya beri cadangan yang lebih bermaruah dan mendatangkan manfaat buat ummah.

Pernahkah anda mendengar Star of Science (Bintang Sains: klik
sini)?

Ia adalah sebuah rancangan realiti televisyen anjuran Qatar Foundation for Education, Science and Community Development. Ia dihoskan oleh Khalid Al-Jumaily, dari Qatar. Program ini berlangsung dari 29 Mei sehingga 26 Jun lalu. Terdapat 5 episod waktu perdana dengan durasi masa 90 minit. 20 episod harian, dari hari ahad ke hari khamis. Rancangan ini dirakam di Doha, Tunis, Kaherah dan Beirut. Ia ditayangkan di 15 buah negara khusus negara yang bertutur dalam bahasa Arab.

Ia tentang apa?

Setiap hari penonton akan menyaksikan 16 peserta berusia antara 21 hingga 31 tahun (dari 11 negara) menerokai pelbagai bidang sains untuk mencipta pelbagai alatan yang berguna bagi kegunaan orang awam. Bidang sains tersebut melibatkan bidang fizik, kimia, kejuruteraan dan lain-lain. Mereka diberi kemudahan makmal dan bengkel. Dibantu dengan krew yang tangkas. Peserta kebanyakannya adalah pelajar sains. Mereka akan memberi penjelasan saintifik dan menunjukkan bagaimana alat yang mereka cipta itu dapat digunakan. Dalam masa yang sama, syarikat yang berminat boleh membida produk sains tersebut. Justeru mereka berpeluang memasarkan hasil ciptaan ke dunia luar. Terdapat beberapa wanita dalam kalangan peserta. Ini begitu membanggakan. Pemenang yang berjaya mendapat USD 300,000 dan barangannya tentu akan diberi perhatian oleh pelbagai firma atau syarikat yang berkenaan dengan bidang sains yang mereka terokai.

Penonton bukan sahaja bertambah pandai, peserta juga didedahkan dengan interaksi bersama saintis terkemuka yang akan menjadi juri. Antaranya ialah Dr. Sadeg M. Faris (dari Libya), Dr William Sawaya (dari Lubnan), dan tokoh pemasaran produk, iaitu Dr. Mona Zaki (dari Mesir).

Di akhir penonton akan memilih menerusi sms, di mana penonton akan memilih barangan manakah yang paling munasabah dan praktis mereka gunakan dalam kehidupan seharian. Jadi, pemilihan sms bukan berdasarkan nafsu kerana muka si peserta itu jelita atau jambu.

Dua peserta terakhir ialah Bassam Jel'a berumur 22 tahun, seorang pelajar kejuruteraan robotik dari Lubnan yang mencipa alat elektronik yang berguna memainkan semua instrumen muzik Arab. Ciptaan atau inovasi kedua datang daripada Mohammad Othman Farah berusia 26 tahun, dan berasal dari Sudan. Beliau mencipta sejenis alat memeriksa kualiti minyak masak dengan menggunakan laser. Alat tersebut tentu sahaja murah dan boleh digunakan oleh tukang masak atau chef di restoran.

Pemenangnya ialah Bassam.

Mengapakah kita masih mencari lagi bintang-bintang murahan untuk memeriahi dunia pop dan hedonisme kita yang sudah cukup bobrok? Mengapakah kita kekal bangkrap idea, dan muflis kreativiti? Bagaimana ilmuan kita boleh terheret sama?

Tidakkah boleh kita mencari bintang yang membawa hasil untuk masyarakat? Dengan rancangan seperti 'Bintang Sains' tadi adik Nik Nur Madiha yang bijak misalnya dapat menunjukkan kebolehan mencipta sesuatu.

Argh, mengapakah kita yang mahu mengejar wawasan 2020 (ada sedekad lagi), masih mencari bakat anak wayang dan pilih kasih untuk membintangi filem murahan tentang mat rempit, pelacur, bohsia dan samseng?

Tidakkah menyedihkan nilai masyarakat kita hari ini?

26 June 2009

Michael Jackson

Teman saya menghantar sms: 'Michael Jackson dah mati kejap tadi. Patutkah aku baca al-Fatihah untuknya?'

Saya menyangkakan ia lawak kerana teman saya itu memang suka berjenaka yang bukan-bukan. Tetapi benar Michael Jackson sudah meninggal dunia. Saya bukanlah peminat Michael Jackson. Ketika menuntut di Universiti Malaya, saya ingat Michael pernah menyanyi di Kuala Lumpur dan membeli-belah di One Utama, Damansara. Itu saja ingatan saya tentang Michael Jackson.

Lain dari itu kita juga selalu jengkel dengan berita dan khabar pelik tentangnya. Salah satu yang menuntut rasa skeptis ialah adanya berita sensasi Michael Jackson menganut Islam dan menukar namanya kepada Mikaeel (sini).

Majlis memeluk Islam pada tahun 2007 itu dikatakan dianjurkan di rumah pemain keybord band Toto dan komposer musik pada album Thriller, Steve Porcaro (51), Hollywood Hill, Los Angeles. Turut hadir komposer dari Kanada, David Warnsby (Daud Warnsby Ali) dan produser album Phillip Bubbal (Idris Phillips). Abang Michael Jackson, Jermaine Friday yang kini menetap di Dubai, memeluk Islam pada tahun 1989.

Apa yang menyenangkan hati saya saat ini, tatkala membuka saluran berita CNN dan BBC, tiada lagi berita palsu dari Tehran masuk. Mereka kini disibukkan dengan Michael Jackson, ya, sekurang-kurangnya, untuk beberapa hari lagi.

Foto Michael Jackson menyarung abaya (pakaian tradisi wanita negara Teluk) di Manama, Bahrain.

25 June 2009

NED, Chavez, dan Ahmadinejad dalam Siasah Edisi Ahad Ini

Sinema Spiritual dalam Siasah minggu ini akan menyorot dokumentari arahan John Pilger (foto di atas) berjudul 'The War On Democracy'. Dalam dokumentari ini beliau membongkar modus operandi CIA dalam menjatuhkan kerajaan yang ada, termasuk usaha kudeta melengserkan Hugo Chavez lapan tahun lalu. Saya kemudian mengaitkannya dengan apa yang berlaku di Tehran hari ini. Dapatkan Siasah ahad nanti.

Petikan artikel:

"Selapis demi selapis John Pilger membongkar kudeta yang sebenarnya dirancang oleh CIA. Bertahun-tahun Amerika Syarikat mengerahkan seluruh jentera yang ada khususnya media untuk menyediakan basis konspirasi dahsyat ini. Salah satu jentera di bawah CIA tersebut ialah NED. Apakah NED? NED ialah National Endowment for Democracy. NED berfungsi untuk menyalurkan dana bagi menjatuhkan kerajaan di negara yang tidak memihak kepada Amerika Syarikat. Atau di negara yang Amerika Syarikat percaya tokoh buah hatinya akan lebih ‘berfungsi’. Di Venezuela, lebih dua juta dolar disalurkan kepada pembangkang untuk menjatuhkan Chavez.

Dokumentari ini sangat penting untuk ditonton. Kita akan memahami anatomi penipuan, helah, cara kerja Rumah Putih dalam menyediakan boneka Amerika di negara yang mereka sasarkan. Sejak 1945, menurut kajian Pilger, Amerika Syarikat telah berusaha menjatuhkan lebih 50 buah kerajaan yang demokratik supaya ia pro Washington.

Inilah yang sedang dilakukan oleh NED di Malaysia dan Republik Islam Iran. Adalah tidak mengejutkan Kenneth Timmerman, salah seorang pemikir NED terlanjur mengatakan dalam ucapannya di sebuah majlis di Washington beberapa hari sebelum pengundian di Iran, berbunyi begini: “There’s the talk of a ‘green revolution’ in Tehran.” Gerakan hijau yang beliau maksudkan tidak lain tidak bukan ialah gerakan pembangkang atau reformis yang diketuai Mir Houssein Mousavi. Kempen Mousavi menggunakan warna hijau. Dan kita semua tahu betapa media selama bertahun-tahun menggambarkan Presiden Ahmadinejad sebagai fasis anti Zionis yang tidak cekap mengurus ekonomi.

Tidakkah ada persamaan apa yang menimpa Chavez hampir sepuluh tahun lalu dengan apa yang dilalui Ahmadinejad hari ini? Siapakah pembunuh sebenar Neda Agha-Soltan, remaja yang ditembak mati oleh penembak hendap dari atas bumbung di Tehran? CNN mendakwa Neda dibunuh oleh Basiji (kumpulan para militari yang setia kepada Ayatullah Ali Khamanei). Tetapi tidak pernah ada pembuktian. Malah video pembunuhan Neda yang kini boleh dimuat turun dari youtube dan dihebahkan menerusi twitter di seluruh dunia kononnya menjadi ikon untuk menjatuhkan Imam Ali Khamenei."

24 June 2009

Sang Bedebah Separa Negro


Bedebah muka tidak tahu malu berkulit hitam dari Rumah Putih memberi amaran kepada Republik Islam Iran konon pihak berkuasa Iran terlalu ganas menangani samseng yang membakar bas, merosakkan tiang lampu, menjahanamkan telefon awam dan membaling batu ke masjid di Tehran utara. Menurut Obama, samseng-samseng ini, yang menghalang orang keluar bekerja adalah pejuang hak asasi, pemprotes kebebasan dan pencinta keadilan. Kata bedebah berkulit hitam itu: "I strongly condemn these unjust actions, and I join with the American people in mourning each and every innocent life that is lost. We deplore the violence against innocent civilians anywhere that it takes place. Those who stand up for justice are always on the right side of history."

Macam sial, dalam masa yang sama dia mengucapkan kata-kata hipokrit itu drone Amerika Syarikat sedang mengebom Selatan Waziristan di Afghanistan, konon, untuk mensasarkan pengganas Taliban. Tetapi yang menjadi mangsa dan terbunuh ialah 45 orang kampung (lihat
sini dan sini).

Kalau ada ahli politik dari Malaysia khusus dari parti pembangkang yang menjilat punggung Obama ini maka kita tahu dengan jelas siapa pula ejen bedebah ini di sini. Tambah-tambah kalau dia ada hubungan dengan Reza Aslan dan Ibrahim Yazdi. Jaga-jaga; Dr Harun Din pun sudah berpesan, musuh Islam sedang menyusup masuk. Dalam zaman di hujung dan dajjal mulai mengintai untuk keluar - berhati-hatilah dengan setiap 'berita' dan 'si pujuk rayu' yang datang kepada kita. Kerana saat dajjal menggoda, ayatullah dan tok guru pun ada yang kesasar nanar.

* Klik foto di atas untuk melihat sendiri bagaimana sekeping gambar menjelaskan seribu kata-kata. Sesungguhnya Amerika sedang kecewa kerana gagal menjatuhkan kepimpinan Wilayatul Faqih di Iran sama seperti kecewanya Amerika ketika gagal menjatuhkan Hugo Chavez lebih lapan tahun lalu dalam satu kudeta keji selama 48 jam.

Terima Kasih Abang Khairy

Argh betapa berbulunya membaca tajuk di atas. Berbulu atau togel rasa di hati anda tidak penting. Abang Khairy, Ketua Pemuda Umno ternyata berbeza dengan Ketua Pemuda sebelumnya (argh anda pun tahu siapa. Yang pukul gendang perang ke atas along itulah!) dan abang Khairy juga berbeza dengan Tun (bukan Tun bapa mertuanya). Walaupun penyataan sikap ini agak lewat, kita terima juga. Kerana ia tidak liwat. Memang murid dan pelajar di sekolah jangan dimangsai sebagai bahan ujian dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Sekiranya Kerajaan yakin dengan beberapa kajian yang telah dibuat, maka buatlah keputusan demi kebaikan masa depan anak bangsa kita," Begitu kata abang Khairy Jamaluddin dalam blognya.

Abang Khairy mengulas laporan Tan Sri Muhyiddin, 'Timbalan Perdana Menteri rakyat kita' yang mengakui bahawa setakat ini, pencapaian dasar tersebut - yang dimulakan sejak 2003 - adalah nominal, yakni tidak memberi impak yang besar dalam penguasaan bahasa Inggeris mahupun pencapaian Sains dan Matematik.

Baru inilah abang Khairy berani menyatakan tentang kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) yang dengan kerjasama lapan institusi pengajian tinggi tempatan Februari lalu telah menyatakan dasar PPSMI gagal total. Sampel PEMBINA adalah 553 orang guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli.

Abang Khairy menukil lagi meskipun agak terlambat kerana kita telah pun tahu lama - "Dari aspek keupayaan perlaksanaan dasar, kajian itu mendapati ramai lagi guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di mana 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris.

PEMBINA, menurut abang Khairy mendapati di sekolah rendah, sumbangan PPSMI adalah rendah khusus bagi mata pelajaran Sains. Ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja. Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan bahasa Inggeris. Di Sekolah Menengah Aliran Sastera pula bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya juga dikatakan rendah. Bagi Matematik ia hanya berjaya menyumbang peningkatan bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains. Di Sekolah Menengah Aliran Sains pula hanya dua mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan. Hai, kalaulah UMNO dari dulu mendengar suara intelektual Melayu tidaklah begini jadinya.

Syukurlah ada orang pandai macam abang Khairy dalam UMNO. Kita mengalu-alukanlah sikap abang Khairy itu meski ya, dapat disorot sebagai terhegeh sedikit. Sebenarnya, lebih cantik kalau waktu Pak Samad kena sembur gas pemedih mata dulu abang Khairy mengeluh begini. Lagi tinggi darjat abang Khairy. Tapi tak apalah. Kira okay juga dari tiada. Sebab kalau abang Khairy langsung diam, kami puak-puak anti PPSMI ini akan berarak lagi sambil menjerit slogan pontianak harum sundal malam: 'Pulangkan...Pulangkan.'

Sekali fikir, mujur juga abang Khairy yang jadi Ketua Pemuda, kalau orang lain yang naik hari itu tak tahulah. Makin terlungkup agaknya lagi bahasa Melayu. Wajarlah 'Perdana Menteri Rakyat' kita menimbang untuk melantik abang Khairy jadi timbalan menteri (paling kuranglah) kerana dalam ramai-ramai pemimpin UMNO yang tidak peduli nasib bangsa, paling tidak abang Khairy menyerlah dan bersikap. Hebatnya, itu abang Khairy lakukan tanpa perlu mencium keris kontot pun. Sukalah hati kita. Untuk jasa baik abang Khairy meski terlambat itu kita ucap terima kasih.

Dalam bahasa PPSMI, untuk membuktikan kami bukan anti bahasa Inggeris, mungkin wajar diucapkan. "Thank you bro, we love you bro."

23 June 2009

Latah

Tahukah anda latah adalah ucapan atau perbuatan yang terungkap atau kaget tidak terkawal (starled reaction). Apabila seseorang melatah apa yang muncul atau terlafaz ialah alam bawah sedar (subconcious).

Menurut pakar psikiatri ada beberapa sebab terjadinya latah ini; salah satu yang sering dirujuk orang ialah 'latah lingkungan',latah jenis ini dikatakan merupakan satu bentuk mencari perhatian. Latah jenis ini selalunya terjadi kerana si penderita tertekan gara-gara stres.

Terdapat sekurang-kurangnya empat jenis latah. Pertama, ekolalia; ini berlaku apabila si penderita mengulangi perkataan orang lain. Misalnya anda menyucuk belakang seseorang sambil menjerkah 'oh lembu', si penderita dengan spontan akan terpancut dari mulutnya 'oh lembu lembu lembu lembu itulah bapak kau'. Kedua, ekopraksia; iaitu meniru gerakan orang lain. Misalnya anda menyergah seseorang sambil menari, si penderita dengan spontan juga akan mengepakkan tangannya seakan mengulangi tarian si pengganggu. Ketiga, koprolalia; ini berlaku apabila si penderita mengucapkan kata-kata yang dianggap kotor atau kurang ajar apabila diacah. Misalnya seseorang yang disergah akan melatah seperti 'oh sampah' atau 'oh boneka'. Terakhir, latah yang jarang berlaku ialah automatic obedience; di mana seseorang melaksanakan perintah secara spontan pada saat terkejut. Misalnya; kala penderita dikejutkan dengan seruan perintah seperti ”tonggeng” atau ”terlentang”, ia akan segera melakukan perintah itu.

Menurut pakar psikiatri latah mengekang kreativiti dan idea orang lain. Malah si penderita pula selalunya kehilangan daya untuk ‘mencipta’ hal-hal yang baharu, yang lebih segar dan tertakluk kepada kejumudan.

Latah sukar disembuhkan. Hari ini misalnya si pelatah berjanji tidak akan buat lagi. Sekiranya ia berlaku dalam kalangan pemimpin ia dapat menjadikan organisasi yang diketuai lemah. Meski sudah berjanji tak nak buat lagi, esok lusa biasanya mereka tetap mengulang latah yang hampir sama. Oleh kerana latah berlaku kerana adanya keterkejutan maka cara untuk merawatnya ialah dengan mencari ketenangan dalam hidup seperti bersara, berehat panjang atau menukar bidang pekerjaan terutama jika pekerjaannya itu membuatkan stres. Dalam masa yang sama orang yang suka menyucuk, mengganggu dan mengacah itu juga harus dipanggil dan diberi sesi kaunseling supaya jangan menyucuk si penderita. Kebiasaannya mereka yang mengacau ini adalah anak-anak yang nakal dan tidak matang. Kita boleh menasihatkan, misalnya, 'Mu tok sah lagi lah buat keje menyucuk ni'.

Rujukan soal latah ini dapat diperolehi menerusi laman berikut:

http://www.pikiran-rakyat.com/cetak/0603/08/1001.htm
http://www.pikiran-rakyat.com/cetak/2006/102006/05/syiar06.htm
http://kafka.web.id/depan_130.html
http://andalasdejava.wordpress.com/2007/09/05/mental-latah-kita/
http://blog.dakota23.com/archives/2005/04/12/latah/

Adakah sesiapa dalam kalangan anda pelatah? Tahukah anda sesiapa dalam kalangan kita yang melatah?

22 June 2009

Bicara di MHI TV3



Faisal Tehrani berbicara berkenaan dirinya dan hasil karyanya, khususnya The Prau With The Silent Soul, terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang merupakan terjemahan kepada 'Bedar Sukma Bisu'.

Mogok Lapar (Bukan Si Wayar Putus)

MOGOK lapar telah lama menjadi senjata politik yang berkesan untuk menyatakan sikap. Sebuah filem hebat Inggeris tahun lalu berjudul Hunger misalnya telah merakam peristiwa mogok lapar tahanan politik IRA di blok H penjara Maze pada tahun 1981.

Mogok lapar hebat dalam sejarah ini juga dirujuk sebagai protes kotor kerana tahanan politik menggunakan najis, dan mensengajakan untuk tidak membersihkan diri.

Hunger bukanlah sebuah filem komersil, ia menuntut kesabaran untuk menontonnya. Pengarah Hunger, Steve McQueen menitik beratkan hal-hal kecil menjadikan kerja kameranya amat unik tetapi mengeri-jengkelkan. Lalat dalam sel penjara, bulu burung, luka yang bernanah, tahi yang dilumur di dinding, air kencing yang sengaja dicurahkan melalui kaki pintu yang renggang menunjukkan protes mendalam para tahanan.

Latar audio filem pula penuh dengan penyataan politik; suara Margaret Thatcher misalnya berulang-ulang menafikan tahanan IRA yang dikurung dalam penjara sebagai mangsa politik, sebaliknya melabel mereka sebagai penjenayah. Bunyi derap sepatu dan pukulan cota di dinding penjara membangkitkan perasaan seram-bingung. Filem ini malah menjadi penyataan sikap politik apabila banyak menggunakan bahasa gaelic (bahasa asal orang Ireland).

Apakah latar belakang Hunger? Mungkin nama Bobby Sands memberi makna buat pengamat politik antarabangsa. Pada tahun 1981 mogok lapar kedua dilancarkan dalam penjara Maze di Ireland. Ia menjadi drama politik antarabangsa yang mengejutkan antara tahanan IRA dan Perdana Menteri Britain pada waktu itu, Margaret Thatcher. Campur tangan Kesatuan Eropah, dan Pope John Paul II menjadikan perjuangan IRA berada di pusat.

Bobby Sands, salah seorang tahanan malah telah memenangi pilihanraya, dilantik menjadi ahli parlimen Fermanagh dan South Tyrone sewaktu dipenjarakan. Mogok lapar tersebut berakhir dengan tragedi tentunya. 10 orang tahanan IRA meninggal dunia termasuk Sands. Pengkebumian Sands dihadiri oleh seratus ribu orang dan menukar Sinn Fein (sayap politik IRA) menjadi parti radikal-patriotik di peringkat nasional. Thatcher dan parti konservatif dituduh membunuh seorang wakil rakyat.

Hunger bukanlah filem yang mudah. Ia bukan untuk tontonan mereka yang tidak kuat hati. Ketabahan diperlukan untuk menonton filem politik seberani ini. Adegan penyeksaan, belasah, pukul, hamun, pijak memijak, dilemaskan, dilatam dilutu dengan cota, ditelanjangkan, dijolok dubur dengan alat tajam, dipulas ditendang sentiasa diketengahkan sepanjang naratif filem yang sadistik. Ia disulami adegan kepiluan keluarga mangsa yang sentiasa berkabung. IRA malah membunuh warden penjara yang ganas apabila warden tersebut cuba menunjuk budiman mengunjungi majlis pengkebumian salah seorang tahanan.

Apa yang hebat ialah bagaimana karyawan filem membina ‘tension’ sepanjang naratif. Filem dimulakan dengan banyak imejan dan ditampilkan lembab. Tidak banyak dialog dilontarkan. Hanya muzik cemas menjentik jiwa atau bisu yang disengajakan. Tetapi semakin naratif bergerak, 30 minit seterusnya dialog dan manifesto politik memuncak dan saling balas membalas.

Namun, kekuatan filem ini tidak sepenuhnya bergantung kepada latar sejarah yang menakutkan dan menyakitkan itu. Filem masih memenuhi tuntutan biasa sebuah seni visual. Adegan kelam kamar penjara misalnya menuntut permainan cahaya yang bijak. Pada sesetengah keadaan cahaya memberikan pemaknaan politik terutama ketika permainan close up pada ruang penjara dan anggota badan tahanan.

Salah satu adegan yang penuh makna ialah apabila tahanan dihimpunkan di sebuah chapel. Paderi katolik berusaha memberi khutbah agama, tetapi itulah satu-satunya masa yang diperolehi oleh para tahanan utnuk bertemu menjadikan mereka melambakkan bual bicara sekaligus. Semua dialog politik, keluhan pedih perit dan khutbah agama bergumul sekaligus menjadi mesej simbolik perjuangan IRA itu sendiri.

Adegan lain ialah apabila Bobby Sands meluahkan mesej politik kepada pengurus politiknya selaku ahli parlimen. Dengan kamera kaku dan pencahayaan kelam, kedudukan watak Sands di kiri skrin menonjolkan kedudukan politik beliau yang utuh. Bobby Sands yang dilakonkan oleh Michael Fassbender hanya muncul setelah filem berjalan 96 minit. Tahanan yang diselang-selikan kemunculannya di awal ini diberi ruang berhujah secara politik hampir dua puluh minit dengan watak Father Moran, lakonan Liam Cunningham.

Babak kematian Sands ditunjukkan dengan penuh ketenangan tetapi berjaya memberi kesan jiwa yang hebat. Mata hijau Fassbender yang tidak berkelip seraya menolak makanan, dan menolak rawatan sehingga menemui maut sangat segar sehingga Hunger menjadi sebuah filem yang begitu membekas. Pada satu bahagian, mata Fassbender yang bercahaya untuk menitis air mata tetapi telah kering kerana tidak cukup air menjadi igau yang mengesankan. Fassbender malah menguruskan dirinya demi menjayakan watak tersebut.

McQueen selaku pengarah tidak berwacana dengan susur galur sejarah perjuangan IRA. Ia berminat kepada sisi keperwiraan 6 minggu terakhir Bobby Sands yang memperjuangkan hak asasi tahanan politik. Ia berminat kepada wacana politik kiri dan kanan, makna terorisme, nilai kemanusiaan, keinginan untuk mencipta sejarah dalam peta politik, dan kehendak bangsa Irish dalam perlawanan terhadap bangsa Inggeris.

Hunger yang luar biasa permainan kameranya meraih perhatian dalam kategori Camera d’Or di Pesta Filem berbobot Cannes, pada tahun 2008. Ia juga disambut hangat di Venice dan Sarajevo. Filem ini mengembalikan nostalgia pedih perjuangan IRA, dan masyarakat Irish bagi menentang pendudukan dan penindasan Inggeris di tanahair mereka.

Bobby Sands atau nama gaelic nya Roibeard Gearóid Ó Seachnasaigh mungkin kurang dikenali di Malaysia. Politik dan perjuangan IRA terasa jauh dari kita. Tetapi tidak buat Imam Khomeini. Pada tahun 1981, Bobby Sands meninggal dunia setelah 66 hari mogok lapar. Margaret Thatcher dengan angkuh mengherdik Sands sebagai penjenayah yang membunuh diri secara keji untuk meraih publisiti dunia. Pada tahun tersebut juga, nama Bobby Sands segera diabadikan di sebuah jalan raya di Tehran. Buat Imam Khomeini (yang ulang tahun kemangkatannya pada 4 Jun lalu) perjuangan Bobby Sands tersebut bernilai di sisi Islam. Presiden Bani Sadr waktu itu atas arahan Imam Khomeini mengangkat nama Sands di Iran dan meletakkan agenda Islam untuk membela golongan tertindas, baik ia di Ireland, Afrika Selatan mahupun Palestina.

Ini kerana Islam sentiasa bersama golongan tertindas dan teraniaya. Inilah inti perjuangan Rasulullah saw iaitu memberikan hak kepada mereka yang dizalimi sehingga Islam menjadi agama yang disambut para hamba dan mustadh’afin pada waktu baginda Nabi Muhammad saw diutuskan Allah. Tindakan bijak Imam Khomeini itu juga memberi malu besar kepada kerajaan British yang kedutaannya terletak di jalan tersebut. Sehingga hari ini, pihak berkuasa British terpaksa menahan marah menelan aib kerana kedutaannya ditempatkan di jalan bernama Bobby Sands, seorang mangsa politik yang pernah diseksa kerajaannya. Ia menjadi satu ingatan bahawa perjuangan menentang kejahatan penguasa akan kekal menghantui mereka.

IRA sering disalahertikan sebagai perjuangan sekumpulan ekstrimis katolik sedangkan ia adalah pejuang nasionalis yang menghimpun anggotanya dalam kalangan katolik mahupun protestan.

Hari ini kumpulan puisi An Phoblacht karangan Sands (ditulis 17 hari pertama mogok laparnya) dijual laris. Hunger pula meski baru setahun hayatnya sejak diterbitkan sudah disebut-sebut sebagai antara kanun hebat dunia sinematik antarabangsa.

Artikel ini tersiar di Siasah edisi 14-20 Jun 09. Dilarang menerbitkan kembali. Hak Cipta Terpelihara.

20 June 2009

Bila Britain (BBC) Itu Setan!

Mengapa, pemimpin agung Republik Islam Iran - Ayatullah Ali Khamenei - memanggil Britain "setan dalam menyalakan api rusuhan di utara Tehran" sepanjang minggu lalu. Imam Ali Khamenei membuat 'dakwaan' itu di dalam khutbah Jumaatnya semalam; yang dihadiri jutaan manusia dan merupakan petunjuk siapakah yang benar-benar mendapat dokongan sebagai Presiden di Republik Islam Iran.

BBC, sebuah badan berita Britain adalah satu-satunya agensi berita di Iran yang begitu rancak melaporkan siri demonstrasi pembangkang di utara Tehran. Selasa lepas BBC memutar belit berita (seperti biasa) dan menggambarkan penyokong Presiden Mahmoud Ahmadinejad sebagai penyokong jalur moderat, Mir Houssein Mousavi. BBC mungkin tidak menyedari bahawa mereka juga dipantau.

Lihat foto-foto di bawah sebagai bukti. Klik untuk besarkan.



Foto yang kononnya adalah kumpulan penyokong Mir Houssein Mousavi yang telah diedit (sosok Ahmadinejad dibuang) tersebut, telah dipanjangkan pula di akhbar LA Times di Amerika Syarikat. Begitulah pembohongan ditali dan dilanjutkan.


Maka, untuk memberi amaran - wajarlah Britain dan BBC diingatkan supaya berhenti menjadi setan.

17 June 2009

Selepas Malaysia Hari Ini

Pagi tadi saya berbicara mengenai The Prau with the Silent Soul di TV3. Pukul 6 pagi saya sudah menyusur jalanraya menuju Damansara Utama. Selepas muncul di rancangan MHI bersama teman saya, Ahmad Fetri Yahya dan Wardina Safiyyah, saya pun bergegas pulang ke rumah.

Jiran saya, Musalmah Lebar sudah menanti di hadapan muka pintu dengan sengih yang menyamankan.

"Bukak tv nampak muka kau pagi tadi. Belinda jerit-jerit: pak cik faisal pak cik faisal..."

Saya membalas dengan senyuman sahaja. Pagi-pagi jarang ada mood.

"Akak dah lama cari nama glamour untuk kuih karibab akak." Musalmah Lebar terus menceceh.

"Nama glamour?" Saya menggumam.

"Karibab Sukma Bisu, dalam bahasa Inggerisnya The Curry Puff of the Silent Soul. Okay tak?" Makin besar sengih Musalmah Lebar.

"Eh hak cipta terpelihara tu!"

Musalmah Lebar ketawa kecil, "Boleh la...boleh la."

16 June 2009

'Hardliner' Menurut Media Barat

* Faisal Tehrani akan muncul di rancangan MHI, TV3 jam 7.15 pagi 17 Jun 2009.

Kepada peminat politik di Republik Islam Iran sila baca makalah menarik ini 'Ahmadinejad Won. Get Over It' (klik sini) di mana dua sarjana Amerika Syarikat, Flynt Leverett dari Pennsylvania State University dan isterinya Hillary Mann Leverett secara akademik meyakini ketelusan pilihanraya Presiden Iran minggu lepas. Baca juga artikel-artikel lain di pedulipalestina.blogspot.com.

Selama tiga hari media Barat berusaha menggambarkan rusuhan di Utara Tehran sebagai mewakili seluruh Iran. Lebih menjengkelkan, selama ini media Barat telah berjaya membina propaganda dan tanggapan bahawa Mahmoud Ahmadinejad adalah seorang hardliner yang mengekang kebebasan wanita dan memaksa mereka mengenakan hijab atau cadur. Seolah-olah di bawah pemerintahan Mahmoud Ahmadinejad hak-hak wanita tidak pernah terbela. Foto di atas, iaitu tiga penyokong wanita Presiden Ahmadinejad yang muncul dalam sebuah rapat umum (hari ini) kelihatannya 'membuktikan' sesuatu yang berbeza. Mereka membawa sama bendera Iran bertulis 'Ahmadi'. Apa yang tidak dijelaskan oleh media Barat ialah betapa Mahmoud Ahmadinejad disanjung tinggi oleh masyarakat pekerja, kelas miskin dan rakyat di pedalaman.

Wajah-wajah Penyokong Presiden Mahmoud Ahmadinejad

Sehari dua ini media Barat memberikan gambaran yang pilihanraya Presiden Republik Islam Iran penuh dengan penipuan dan penyelewengan. Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (yang pernah menyatakan kerisauannya ekoran seorang politikus tempatan dituduh meliwat oleh mangsanya) kali ini dengan penuh yakin menyatakan ada yang tidak kena pada pilihanraya Presiden di Republik Islam Iran. Gambar-gambar rusuhan oleh pengikut pencabar terdekat Presiden Mahmoud Ahmadinejad iaitu Mir Houssein Mousavi muncul merata-rata (lihat di blog http://pedulipalestina.blogspot.com). CNN, BBC malah al-Jazeera dan al-Arabiya membayangkan keadaan di Tehran adalah di luar kawalan dengan pihak berkuasa mengganas di mana-mana. Semalam petang di Damansara, di hadapan Wisma UN rakyat Iran di Malaysia turut melakukan protes (lihat foto di atas). Terdapat banyak faksi (fakta-fiksi) dan khabar angin tersebar sehingga mengelirukan pemerhati politik antarabangsa.

Benarkah Mahmoud Ahmadinejad seorang hardliner yang langsung tidak mendapat dokongan rakyat kelas pertengahan dan terpelajar? Benarkah pula wanita Iran yang 'moderat' (berskarf dan bukannya bercadur sebagai mana wanita 'konservatif') menolak Ahmadinejad misalnya? Benarkah agaknya golongan muda menolak Mahmoud Ahmadinejad? Benarkah Mahmoud Ahmadinejad tiada pengikut? Benarkah Ayatullah Ali Khamenei pundak 'sistem teokrasi' di Iran telah ditolak rakyat Iran?

Inilah helah media antarabangsa yang pintar memanipulasi berita.

Buktinya, lihat foto-foto (30 keping semuanya) di bawah. Wajah penyokong-penyokong 'singa umat Islam' - Mahmoud Ahmadinejad - yang keluar ke jalan raya menunjukkan sokongan mereka. Dan kemeriahan keraian tersebut menjadi lebih istimewa di hari ulang tahun kelahiran Saidatina Fatimah Zahra, belahan jiwa Rasulullah saw.