PADA tahun 1964, sebuah sekolah agama Kristian, St Nicholas di Bronx menerima pelajar kulit hitamnya, yang pertama iaitu Donald Miller. Slogan ‘keadilan untuk semua’ bergema. Yang bertanggunjawab membawa harapan baharu buat masyarakat ini ialah Paderi Flynn yang mahu melakukan reformasi dengan membuka beberapa ruang pada peraturan yang ketat, termasuk melakukan agenda liberalisme dalam amalan agama Kristian Katolik. Flynn popular di mata ramai. Tetapi tuntutan perubahan, dan keinginan merombak sistem tidak mungkin dapat dilakukan dengan mudah.Sister Aloysius Beauvier (orde lama), mempercayai konven tersebut harus dikawal dengan ketegasan undang-undang berupa ‘politik menakut-nakutkan’, dan alasannya selalu - untuk mengawal pelajar dari terjebak dalam kemudaratan. Aloysius merujuk ‘Miller sebagai negro pertama di sekolah kita’. Ketegasan Aloysius digeruni. Begitu bimbangnya paderi lain dengan Sister Aloysius, makan di meja yang sama pun mereka akan senyap tunduk seraya memaksa diri menelan makanan yang tidak enak di tekak.
Di luar gereja, iklim politik berubah pantas. Keterbukaan makin mengganda malah menggoda. Di tengah kemelut politik sekolah yang membawa kepada pertembungan dua jalur paderi, muncul guru muda yang naif, Sister James. Cik James percaya Father Flynn yang karismatik, petah berucap, dan digemari ramai pengunjung gereja itu memberikan perhatian yang berlebihan kepada anak-anak muda rupawan. Malah, fokus mendalam Paderi Flynn buat Donald Miller menimbulkan teka-teki dan pertanyaan. James mengadukan kesangsiannya kepada Sister Aloysius, dan berpandukan naluri bahawa Paderi Flynn yang penuh wibawa itu adalah pemangsa kanak-kanak dan remaja, Sister Aloysius melancarkan ‘perang’ untuk membersihkan gereja atas nama moral. Ya, mana tidaknya, Paderi Flynn malah menyimpan kuku panjang yang cantik; nafasnya juga berbau alkohol - nah, paderi apa seperti itu!
Soalnya, adakah dakwaan tanpa saksi dan bukti itu benar-benar berlaku? Bolehkah kita mempercayai Paderi Flynn adalah seorang peliwat berdosa sedang hari-hari siangnya terisi dengan pertemuan demi pertemuan atas dasar keagamaan? Adakah tuduhan Cik James yang muda tanpa pengalaman itu benar-benar dapat diambil kira tambahan pula sumpahnya di dalam gereja telah ditarik kembali.
Begitulah filem Doubt mengemukakan wacana mengenai dosa, moral, liberalisme, konservatisme dan politik fitnah yang bersalut pedoman agama Kristian. Filem ini adalah bentuk bijak karyawan dalam menampilkan wacana liberalisme agama. Ia penuh provokasi tentunya, tetapi yang diacum bukan naluri kita, tetapi benak dan minda. Jadi, percayalah - ia berbeza, lebih matang, bahkan mencetuskan kepintaran khalayak. Berbeza sama sekali dengan naratif cetek yang mengacum penonton, misalnya, dengan beberapa adegan gelabah-bodoh sang bilal memegang anjing dalam perjalanan ke surau.
Justeru Doubt, dapat dilihat dari wacana spiritual. Bagaimana agama menjadi permainan dua paderi berpengaruh untuk terus mengekalkan kuasa. Yang menjadi mangsa ialah murbawan, anak-anak murid di sekolah agama tersebut khususnya Miller, minoriti pertama menerobos dalam sekolah yang penuh aura rasisme itu.
Doubt, penuh sensasi sebagai sebuah karya seni. Asalnya filem keluaran kilang Hollywood ini adalah sebuah drama pentas penuh api karangan John Patrick Shanley. Ketika dipentaskan di broadway, ia mencapai 525 jumlah pementasan. Pelakon-pelakon Doubt di pentas semuanya pernah meraih anugerah Tony (anugerah untuk drama pentas di Amerika Syarikat). Tidak menghairankan apabila naskah pemenang Pulitzer ini diadaptasi ke layar perak, ia juga meraih anugerah dan pencalonan oscar 2008. Dengan mempertaruhkan pelakon ternama seperti Meryl Streep sebagai Sister Aloysius, Philip Seymour Hoffman sebagai Father Flynn, Amy Adam sebagai Cik James dan Viola Davis sebagai ibu Miller, mereka berjaya membuatkan panggung di Amerika dipenuhi pencinta wacana agama (menerusi seni) yang bijaksana.Doubt dibuka dengan provokasi minda, ‘apa yang perlu kita lakukan apabila kita tidak pasti? Bila kita dalam keraguan, dan bila kita mencari kebenaran.’ Dengan khutbah-khutbah di gereja, bersulaman nasihat dari Bible filem ini bergerak lancar malah membawa dambaan yang melarat.
Adakah kita akan terus mencari, adakah kita akan terus bertanya? Krisis keimanan menurut Flynn, membuatkan pencarian semakin menarik. Malah, menurut Flynn keraguan sama kuatnya dengan kebenaran; tetapi perlu diuruskan dengan baik. Nah, bayangkan jika pengarah filem kita menjadi lebih cendekia, meneroka persoalan sesensitif mazhab, membuka pintu-pintu yang tidak berani ditanyakan; maka tidakkah filem tersebut akan menjadi pencetus wacana spiritual yang memukau?
Saya kira filem ini wajar ditayang dan ditonton oleh pelajar-pelajar agama kita, dibakar semangat mereka supaya menggandingkan disiplin syariah/usuluddin mereka dengan seni filem supaya mereka tidak keluar dari universiti dengan hanya memikir untuk menjadi penceramah RM1000 di surau dan masjid; sebaliknya menyebarkan dakwah dan keyakinan beragama melalui filem.
Wajar untuk pengamal filem kita juga mencabar kebolehan benak mereka bekerja, menekuni wacana spiritual seperti yang disarankan oleh Doubt. Yakni persoalan seputar keinginan mencari kebenaran di tengah kemusykilan, dan ketakutan melakukan kesalahan. Terdapat beberapa adegan menggiurkan dari Doubt untuk diperhatikan. Antara yang paling membekas ialah kemuncak pertengkaran Sister Aloysius dan Father Flynn untuk mempertahankan kebenaran. Aloysius berikrar mendedahkan kemunafikan Flynn, sedang Flynn dalam keadaan defensif mengingatkan agama dan moral sedang dijadikan alat pelancar kepentingan kuasa.
Seluruh Doubt mengemukakan wacana pertembungan yang unik, kiub gula untuk diisi dalam cangkir teh turut menjadi metafora kuat. Analogi kekabu bantal berterbangan dijadikan kias kepada khabar angin dan gosip. Sinematografi menjadi jawapan malah ikut menjadi alat berwacana. Kompleksiti wacana Doubt tidak menjejaskan sedikit pun debaran sinematiknya.
Keistimewaan lain Doubt ialah kekuatan adaptasinya. Sekali lagi pengarah filem kita ketinggalan. Selalunya pengarah filem kita merasakan naratif yang mereka bina itu lebih baik dari karya sastera yang telah teruji dek zaman dan kritikan. Mereka menonong menggubah filem yang cetek dan menjengkelkan. Mereka perasan bagus dan syok sendiri. Mereka berangan akan menjejak Hollywood atau Cannes, sedang di Barat; tradisi adaptasi memberi kekuatan dalam naratif filem.
Benar, adaptasi dari karya sastera ke filem bukanlah mudah. Etienne Souriau seorang ahli estetika Perancis pernah berpandangan yang perpindahan karya sastera ke bahasa sinematik amat rumit dan memerlukan kecekapan masa, tempo, ruang dan sudut pandangan.
Tetapi sejak Alan Rosenthal berdiplomatik menerusi bukunya Writing Dokudrama: Dramatizing Reality for Film and TV, adaptasi sastera ke filem diberi pengiktirafan tinggi oleh masyarakat. Adaptasi malah dilonggarkan sebagai ‘proses merubah, membetulkan, membentuk, memotong, memudahkan, malah mencipta sesuatu yang baru dengan syarat berjujur dengan semangat dan emosi karya asal.’
Sudah tiba masanya keraguan untuk bersikap berani dan mencari kebenaran di dalam filem diterokai. Hanya dengan itu sahaja filem kita akan menjadikan masyarakat kita bertambah pandai, dan kaya ilmu.
Artikel ini telah tersiar di Siasah edisi 26April-2Mei 2009. Dilarang mengambil, mengutip dan mencuplik tanpa izin kerana hak penerbitan adalah milik Siasah.













































