Sebagai sunni marilah kita merujuk dalil dari ahlus sunnah wal jamaah sendiri untuk merujuk warisan ahlul bait.
Sikap ini adalah berdasarkan hadis yang dikutip oleh at-Tirmidzi dalam Sahih Sunan at-Tirmidzi; ‘Nashr bin Abdurrahman al-Kufi menceritakan kepada kami, Zaid bin al Hasan – iaitu al Anmathi – menceritakan kepada kami, daripada Ja’far bin Muhammad, daripada ayah Ja’far iaitu Muhammad, daripada Jabir bin Abdullah, ia berkata: Aku pernah melihat Rasulullah saw melaksanakan ibadah haji pada hari Arafah, saat itu beliau sedang berkhutbah di atas untanya; al Qashwa. Aku mendengar beliau bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah meninggalkan (sesuatu) untuk kalian, sepanjang kalian berpegang teguh kepada sesuatu itu nescaya kalian tidak akan pernah tersesat, iaitu kitab Allah dan itrati keluargaku.’ Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, hadis nombor 3786, bab sifat-sifat utama keluarga Nabi saw.
Dalam memahami siapakah yang dimaksudkan dengan ahlul bait, mari merujuk kepada hadis dari kitab yang sama, ‘Qutaibah menceritakan kepada kami, Muhammad bin Sulaiman al Ashbahani menceritakan kepada kami daripada Yahya bin Ubaid, daripada ‘Atha’ bin Abu Rabah, daripada Umar bin AbuSalamah – anak tiri nabi -, ia berkata: Ayat ini diturunkan kepada nabi, ‘Sesungguhnya Allah bermaksud untuk menghilangkan dosa darimu, hai ahlul bait, dan membersihkanmu sebersih-bersihnya,’ (al-Ahzab: 33) tentang keluarga beliau. Beliau kemudian memanggil Fatimah, Hasan dan Hussain, dan menutupi mereka dengan pakaian. Sementara itu, Ali berada di belakang beliau, dan beliau pun menutupinya dengan pakaian. Beliau kemudian berdoa, ‘Ya Allah, sesungguhnya mereka adalah keluargaku. Maka hilangkanlah dosa daripada mereka, dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya.’ Ummu Salamah berkata, ‘(Apakah) Aku bersama mereka ya Nabi Allah.’ Rasulullah menjawab, ‘Engkau tetap pada tempatmu, dan engkau tetap dalam kebaikan.’ Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, hadis nombor 3787, bab sifat-sifat utama keluarga Nabi saw.
Pemilihan ahlul bait sebagai sumber rujukan ini dapat dikira tepat berdasarkan dua hadis di atas memandangkan terdapat hadis Rasulullah saw yang menuntut sahabat baginda dan umat Islam berwaspada kepada ‘kesesatan’ yang terjadi dalam kalangan sahabat selepas kewafatan beliau.
Hadis yang dimaksudkan ialah, ‘Daripada Ibnu ‘Abbas r.a katanya: ‘Pada suatu ketika Rasulullah saw berkhutbah memberi pengajaran kepada kami. Sabda beliau, ‘Hai sekalian manusia! Kamu semuanya akan dikumpulkan ke hadapan Allah tanpa alas kaki, tanpa pakaian, dan tanpa dikhitan. (Bacalah firman Allah): ‘Seperti Kami ciptakan pada awal ciptaan, begitulah Kami kembalikan dia, itulah janji Kami yang pasti Kami tepati.’ (al Anbiya: 104). Ketahuilah! Makhluk yang mula-mula diberi pakaian pada hari kiamat adalah Ibrahim alaihissalam. Dan ketahuilah, bahawa beberapa umatku akan dihadapkan, lalu mereka ditarik ke kiri. Kataku, ‘Wahai Tuhanku! Mereka itu adalah sahabat-sahabatku!’ Lalu dijawab oleh Allah, ‘Engkau tidak tahu apa-apa yang mereka perbuat sepeninggalanmu.’ Maka kujawab seperti jawapan hamba Allah yang saleh (Nabi Isa a.s), ‘Aku menjadi saksi bagi mereka selama aku berada di antara mereka. Maka setelah aku wafat, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau Maha Menyaksikan segala-galanya. Jika Engkau siksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.’ (al Maidah: 117-118). Lalu dikatakan kepadaku, ‘Mereka telah murtad semenjak engkau tinggalkan.’ Lihat Sahih Muslim, hadis nombor 2440, bab orang-orang murtad.
Hadis lain yang dapat dirujuk ialah, ‘Daripada Uqbah bin Amir r.a katanya: Nabi saw pernah bersabda mengenai para korban perang Uhud. Beliau naik ke mimbar seolah-olah memberi amanat kepada yang masih hidup dan yang telah syahid. Sabda beliau, ‘Aku mendahului kalian ke telaga. Lebar telaga itu sejauh antara Ailah ke Juhfah. Aku tidak menyangsikan bahawa kamu akan kembali musyrik sepeninggalku. Tetapi yang aku takutkan ialah kamu terpengaruh oleh dunia. Kemudian kamu berbunuh-bunuhan, dan akhirnya kalian musnah seperti kemusnahan umat yang sebelum kalian.’ kata Uqbah, ‘Itulah yang terakhir kali aku melihat Rasulullah saw berkhutbah di mimbar.’ Lihat Sahih Muslim, hadis nombor 2133, bab telaga Rasulullah. Hadis ini turut diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dengan versi lain. Lihat Sahih Bukhari hadis nombor 1771, bab syurga dan neraka dan hadis nombor 1856, bab mimpi.
Oleh kerana itu saya berpandangan adalah lebih baik merujuk tradisi ahlul bait untuk mendapatkan sumber hukum selepas al-Quran, dan hadis Rasulullah saw. Saya akan mendatangkan tiga bukti dari sahih Bukhari dan Muslim bahawa belum tentu selamat untuk merujuk selain ahlul bait. Buktinya terdapat dalam Sahih Muslim sendiri.
1. Sahabat meninggalkan Nabi Muhammad ketika baginda sedang memberi khutbah Jumaat di atas mimbar sehingga yang tinggal hanyalah dua belas orang:
Daripada Jabir bin Abdullah r.a, katanya: ‘Pada suatu ketika Nabi saw sedang berdiri mengucapkan khutbah. Sekonyong-konyong tiba satu kafilah dari Syam; maka jamaah berlarian menyambut kedatangan kafilah itu sehingga yang tinggal di masjid hanya dua belas orang saja lagi. Kerana itu maka turunlah ayat: ‘wa idz ra-au tijaratan au lahwanin fadhdhu ilaiha wa tarakuka qaima’ (ayat 11 surah al Jumuah iaitu: Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya, dan mereka tinggalkan kamu berdiri sedang berkhutbah.) Lihat Sahih Muslim hadis nombor 817, bab turunnya ayat sebelas surah al Jumu’ah.
2. Sahabat merubah hukum:
Daripada Abu Sa’id al Khudri r.a katanya: ‘Pada masa Rasulullah masih hidup, kami membayar zakat fitrah untuk setiap orang, baik anak kecil mahupun dewasa, merdeka mahupun hamba, iaitu satu gantang makanan berupa keju, atau gandum, atau kurma, atau anggur kering. Pada masa pemerintahan Mua’wiyah bin Abu Sufyan, dia berpidato di hadapan jemaah haji atau ‘umrah, katanya antara lain: ‘Dua mud gandum negeri Syam sama dengan segantang kurma’. Kerana pidatonya itu maka orang banya membayar zakat fitrahnya sepert itu. Kata Abu Sa’id, “Tetapi aku tetap saja membayar seperti apa yang telah kulakukan sejak zaman Nabi sampai akhir hayatku.” Lihat Sahih Muslim hadis nombor 938, bab waktu membayar zakat fithrah.
Lagi perubahan hukum:
Daripada Ibnu Thawus r.a, daripada bapanya, katanya Abu Shahba’ bertanya kepada Ibnu ‘Abbas r.a, ‘Tahukah anda bahawa talak tiga yang diucapkan sekaligus, pada masa Rasulullah saw dihukumkan hanya jatuh satu kali, begitu pula pada masa pemerintahan Abu Bakar. Kemudian pada masa pemerintahan ‘Umar dinyatakan jatuh tiga kali?’ Jawab ‘Ibnu Abbas r.a: ‘Ya, benar begitu!’ Lihat Sahih Muslim, hadis nombor 1420, bab Talak Tiga.
3. Ada sahabat mudah lupa atau memang tidak tahu:
Daripada Ubaidillah bin Abdullah r.a katanya ‘Umar bin Khattab r.a pernah bertanya kepada Abu Waqid al Laitsi tentang bacaan yang dibaca Rasulullah saw dalam solat idul adha dan idul fitri. Jawab Abu Waqid, ‘Beliau pernah membaca dalam kedua solat eid itu surah Qaf dan surah al Qamar.’ Lihat Sahih Muslim hadis nombor 839, bab surah (ayat) yang dibaca dalam solat eid.
Terdapat juga sahabat yang bermulut celupar terhadap Rasulullah saw:
Daripada ‘Aisyah r.a katanya: ‘Abu Bakar datang ke rumahku dan ketika itu di rumahku ada dua orang gadis Ansar sedang menyanyikan lagu yang pernah dinyanyikan orang dalam peperangan Bu’ats. Dan keduanya bukanlah gadis penyanyi yang sesungguhnya. Maka berkata Abu Bakar, ‘Kenapa sampai ada suling setan di rumah Rasulullah saw?’ Hari itu adalah hari eid. Maka bersabda Rasulullah saw, ‘Hai Abu Bakar! Setiap kaum mempunyai hari raya. Dan hari ini adalah hari raya kita.’ Lihat Sahih Muslim hadis nombor 840 bab boleh bergembira ria.
Sekiranya saya menziarahi Rasulullah saw saya tidak akan tergamak mengaitkan isi rumah baginda dengan syaitan.
Hal-hal di atas mungkin sahaja berlaku kerana tatkala Nabi Muhammad sedang berkhutbah Jumaat pun ada sahabat yang keluar berlari-larian mendapatkan barang dagangan, meninggalkan baginda terkontang-kanting di atas mimbar. Mujur ada dua belas orang sahabat yang setia.
Sekali lagi, adalah lebih baik merujuk ahlul bait dalam persoalan apa pun di dunia hari ini. Kembali kepada beberapa sahabat yang merubah hukum, secara dasarnya seseorang muslim tidak boleh mencipta hukum syariat sendiri. Alasan perubahan sosial tidak dapat diterima. Allah berfirman pada ayat 1 surah al-Hujurat: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mendahului Allah dan Rasul-Nya (dalam masalah syariat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Akhir sekali, marilah kita berselawat untuk baginda dan ahli keluarga baginda Rasulullah saw. Dalil untuk berselawat kepada ahli keluarga baginda ini datang dari Sahih Bukhari sendiri:
Daripada Abu Humaid Assa’idi r.a: Sahabat-sahabat bertanya: ‘Hai Rasulullah! Bagaimanakah caranya kami selawat kepada tuan?’ Rasulullah saw bersabda : ‘Bacalah yang ertinya: ‘Wahai Tuhan! Berilah rahmat atas Muhammad, keluarganya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberikan rahmat atas keluarga Ibrahim. Berilah keberkatan atas Muhammad, keluarganya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.’ Lihat Sahih Bukhari, hadis nombor 1476, dan 1477, bab Nabi Ibrahim dan Ismail.
Nah, kalau rahmat dan berkat diberikan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya, dan Rasulullah saw dan keluarganya maka mengapa masih berdegil menyusahkan diri mencari sumber yang belum terjamin kesahihannya malah dinyatakan berisiko untuk dinilai 'sesat' oleh Rasulullah saw sendiri. Malah, kalau Rasulullah masih segar di atas mimbar pun boleh ditinggalkan (rujuk surah al Jumuah ayat 11), hairan apa setelah kewafatan baginda berlaku perubahan agama?
Berdasarkan sumber sahih Bukhari, sahih Muslim dan Sunan Tirmidzi adalah penting untuk umat Melayu kembali kepada ahlul bait. Umat Islam harus kembali kepada ahlul bait. Susah apanya? Degil kenapa? Kembali kepada nasionalisme Melayu salah. Kembali kepada ketuanan rakyat pun salah. Kembali kepada Rumah Putih terlalu salah. Kembali kepada 'nakhoda kapal' pun belum tentu selamat. Kerana apa salah? Kerana Rasulullah tidak jamin itu semua. Kalau sahabat belum selamat, tok guru lebih lagi tidak tentu selamat.
Tidak perlu menjadi syiah untuk merujuk ahlul bait. Ahlul bait bukan milik syiah sahaja. Kita sunni juga berhak ke atas ahlul bait. Kita juga beriman kepada Allah dan Rasulullah saw seperti mereka. Mereka (syiah) tidak berhak membolot seorang ahlul bait. Kita (sunni) pun hendak juga.
Yang kalian takut kenapa?
Kita akan selamat. Kita akan lebih dari selamat kalau kembali kepada ahlul bait!
Salah saya di mana menyeru perpaduan mazhab atas nama ahlul bait Rasulullah saw?