27 February 2009

Mereka Yang Mengkritik PPSMI Bukan Anti Bahasa Inggeris - Dato' Dr Anwar Ridhwan

ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di dalam bahasa Inggeris akan terus dibantah selagi Kementerian Pelajaran tidak mengembalikan semula ke bahasa Melayu.Bantahan terbesar bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Mac oleh beberapa NGO yang mewakili masyarakat dan pejuang bahasa Melayu.Ia ditegaskan oleh Datuk Dr Anwar Ridhwan,Pengerusi Jemaah Pesara, Dewan Bahasa dan Pustaka di dalam temubual dengan wakil Siasah Zain A Ghani di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 16 Februari baru-baru ini.Temubual itu dapat mendedahkan lagi kelemahan hujah mereka yang mempertahankan PPSMI di dalam bahasa Inggeris:

Bagaimana perkembangan mutakhir isu PPSMI ini, kenapa pihak berwajib masih di dalam kekelam-kabutan dan lambat membuat keputusan; sedangkan ia suatu yang amat penting?

Sangat menghairankan bagaimanakah suatu dasar seperti PPSMI ini yang akan melibatkan nasib masa depan ratusan ribu atau jutaan pelajar dan bagaimana sebuah kementerian boleh melaksanakan suatu dasar yang bertentangan dengan Perkara 152(1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga melanggar dan bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550,-Akta Pendidikan 1996. Rakyat tentu musykil bagaimana Kementerian Pelajaran telah memperkosa Akta Pendidikannya sendiri, dan memperkosa Perlembagaan Persekutuan, untuk suatu dasar penuh kontroversial.

Mungkin pada masa itu Perdana Menteri yang ada sangat berkuasa dan tidak ada orang Melayu di kalangan pemerintah yang berani membantah?

Ya, mungkin itu suatu perkara, tetapi pada masa yang sama banyak orang menyoal; kenapa diletakkan pengajaran itu kepada Sains dan Matematik.Jika mahu memahirkan anak-anak pelajar kita di dalam bahasa Inggeris, kenapa tidak baiki sahaja pedagogi pengajaran bahasa itu? Anak-anak kita didedahkan dengan bahasa Inggeris selama sebelas tahun di sekolah; iaitu mulai Tahun Satu sehinggalah ke Tingkatan Lima.Itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena.

Padahal jika pergi keluar negara untuk belajar bahasa itu, tiga atau enam bulan sudah memadai. Jadi kenapa harus menumpang (memparasitkan) bahasa Inggeris ini kepada dua subjek tadi.Ada juga orang kata kerana beberapa sebab yang lain yang di luar daripada itu.

Bercakap tentang dasar kementerian ia tentulah dasar yang dibuatnya melangkaui dari Perlis hingga Long Pasia atau ke hulu-hulu di seluruh Semenanjung.Pada masyarakat bandar atau kepada anak-anak menteri, mungkin mereka tidak bermasalah kerana penggunaan bahasa Inggeris di rumah dan pelbagai kemudahan yang dapat diakses sebagai alat membantu pembelajaran.Tetapi bagaimana dengan anak-anak miskin dan tiada kemudahan di tempat yang sebutkan tadi?

Hasil daripada dasar yang sudah berjalan lebih kurang enam tahun; saya dengar peratus keputusan peperiksaan Sains dan Matematik menurun, tetapi mereka terpaksa memanipulasi nisbah untuk menunjukkan peningkatan-sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi.

Pada pandangan Dr, bilakah tamadun bahasa Melayu bermula di negara kita?

Mengikut tulisan Ismail Raji al-Faruqi, apabila tauhid tiba ke sesebuah negara, maka datanglah bersama tamadun Islam itu.Tetapi jika sesesebuah masyarakat itu mempunyai teknologi yang tinggi, mempunyai bandar-bandar yang besar dan hebat di samping kehidupan yang makmur, namun jika tidak bertauhid ; ia masih tidak dapat dianggap sebagai bangsa yang bertamadun.

Merujuk kepada tamadun kita ia telah bermula pada kurun ke-11 atau ke-12M lagi.Di mana penggunaan tulisan Jawi telah digunakan, dan ia telah dianggap sebagai tamadun Islam.Sejak beratus tahun umpamanya di Aceh, juga di kepulauan Riau, kitab atau buku-buku kita telah membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan falsafah, tasauf dan agama secara mendalam.Di sini jelas menunjukkan bahasa Melayu berkemampuan dan terbukti sebagai bahasa ilmu.

Jadi cara terbaik ialah belajar apa sahaja ilmu termasuk Sains dan Matematik itu harus dengan bahasa ibunda supaya akhirnya memberi kesan besar?

Pakar pendidikan yang jujur menyatakan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah diajar melalui bahasa sendiri. Tetapi Kementerian Pelajaran berlagak 'bodoh-sombong' sehingga tidak mahu mengakui hakikat bahawa pelajar kita harus belajar sesuatu melalui bahasa ibunda.Tampaknya sehingga hari ini, enggan menarik balik dasar PPSMI itu.

Bilakah kedegilan kementerian berkenaan akan menampakkan kesan besar kepada pelajar-pelajar atau anak-anak kita?

Oleh kerana dasar PPMSI melibatkan semua pelajar termasuk majoriti yang berada di luar bandar dan pedalaman, dasar itu akan membuat ratusan ribu atau jutaan pelajar (dalam jangka panjang) tidak menguasai ilmu Sains dan Matematik, padahal jika mendapat penguasaan ilmu itu besar kemungkinan akan dapat mengubah nasib masa depannya.

Akibatnya, dasar pelik ini hanya akan melahirkan generasi pekerja kelas dua atau kelas tiga, apabila mereka hanya layak 'makan gaji' (dalam bahasa kasar, sebagai 'kuli'- mungkin selama-lamanya) dalam sektor perkhidmatan; bukan sebagai pekerja kelas pertama yang berilmu dan dapat memanfaatkan ilmunya.

Pada jangka panjang ia akan memberi kesan besar kerana anak-anak ini akan tercicir di dalam pelbagai aspek kerana ilmu sains dan matematiknya agak dangkal kerana dasar yang kita sebutkan tadi.

Saya pernah berbual-bual dengan buruh, petani dan nelayan yang menyatakan kesukaran mereka untuk membantu 'kerja rumah' anak-anak mereka dalam bahasa Inggeris.

"Dulu masa sains dan ilmu hisab masih dalam bahasa Melayu, dapat juga pak cik tolong sikit-sikit. Sekarang pak cik tak faham apa-apa. Anak pak cik pun tak faham apa benda." Kalau begitu, dasar ini seolah-olah meneruskan dasar pendidikan zaman penjajahan dulu, yang hanya ingin melahirkan pelajar Melayu menjadi buruh. petani dan nelayan yang lebih berpelajaran sedikit daripada bapa mereka.

Saya difahamkan cendekiawan kita yang mendapat pendidikan melalui bahasa Melayu di UKM juga cemerlang dan tiada masalah menguasai Inggeris bahkan bahasa asing lain…

Tanyalah kepada lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baik dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, dan lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi, adakah prestasi mereka terhalang dek bahasa Melayu?

Mereka tiada masalah mendapatkan ilmu-ilmu melalui bahasa Melayu; sementara penguasaan bahasa Inggeris turut berkembang seiring dengan pengajian mereka. Sebab itu ramai lulusan UKM boleh melanjutkan pengajian di seberang laut dan mendapat kejayaan cemerlang di sana.

Kalau sistem dan dasar tersebut berjalan dengan baik, mengapa 'gatal tangan' sangat untuk mengubahnya sesuka hati?

Mereka yang mengkritik PPSMI bukan anti bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain. Jadi untuk memperkuatkan penguasaan sesuatu bahasa, perbaiki pedagogi pengajaran bahasa.

Bukan memparasit subjek sains dan matematik. Kita mahu anak-anak kita mengusai bukan sahaja bahasa Inggeris. Kalau boleh mereka boleh kuasai bahasa Arab, Mandarin, Itali, Sepanyol, Perancis dan sebagainya.

Penguasaan bahasa-bahasa asing kini semakin penting, kerana kerajaan bukan lagi majikan terbesar di negara ini. Justeru itu, pengajaran bahasa-bahasa asing mesti dilakukan dengan kaedah yang lebih sistematik dan berkesan; bukan memparasit subjek lain.

Bagaimana pandangan Dr tentang bahasa kebangsaan di negara-negara maju?

Di mana-mana negara di seluruh dunia, kerajaannya akan mengembangkan bahasa kebangsaan sendiri sebagai bahasa ilmu pengetahuan, bahasa nasional, dan bahasa antarabangsa. Aneh apabila terdapat dasar kerajaan yang dilihat menyekat bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, bahasa nasional, dan lebih jauh lagi menjadi bahasa antarabangsa.

Kecualilah negara-negara kecil seperti Singapura yang tidak mempunyai ‘akar’ sendiri dan hanya mementingkan komersil semata-mata.Tetapi negara-negara yang mempunyai ‘akar’ sendiri seperti Jepun, Korea atau Perancis, mereka mahu memantapkan bahasa kebangsaan sendiri.Itu yang tidak berlaku di negara kita sehingga dianggap ‘pelik dan ajaib.’

Temubual ini telah tersiar di Siasah edisi 22-28 Februari 2009

26 February 2009

Vaksin

Nuklear, roket, kini vaksin - Malaysia harus belajar segera dari Republik Islam Iran. Bagaimana sebuah negara yang dilanda embargo ekonomi dan cuba disudutkan di peringkat internasional boleh sebegini mandiri. Oh, ya perlu dinyatakan di sini bahawa itu semua dilakukan tanpa menukar subjek sains dan matematik dari bahasa Parsi ke bahasa Inggeris.

Semoga hubungan Malaysia dan Republik Islam Iran akan terus kukuh dan erat.

25 Februari, 2009 15:51 PM

Malaysia Boleh Import Vaksin Selesema Burung Dari Iran

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Malaysia akan dapat mengawal penyakit selesema burung dan kuku dan mulut tidak lama lagi dengan vaksin yang diimport dari Iran.

Vaksin itu yang ditawarkan di Malaysia oleh PNPI Group Sdn Bhd, syarikat yang mendapat sokongan kerajaan Iran, telah diuji secara meluas di Iran dan terbukti efektif dalam mencegah penyakit berkenaan.

Pengurus Besar syarikat itu Vahid Tahmasebi berkata syarikat itu akan membawa masuk beberapa ribu dos pelbagai vaksin tidak lama lagi untuk diuji.

"Jika kami dapati pasarannya sesuai, kami akan membina kilang pengeluaran vaksin kami di sini," katanya kepada Bernama semasa ditemui di luar acara rasmi Mesyuarat Pemimpin Perniagaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri D8 mengenai Jaminan Makanan di sini hari ini.

PNPI Group ialah pemegang francis pelbagai vaksin dari institut penyelidikan terbesar di Iran -- Institut Penyelidikan Vaksin & Serum Razi.

Institut Razi, yang mempunyai pengalaman lebih lapan dekad dalam penyelidikan dan pengeluaran biologikal, telah mencipta reputasi cemerlang di peringkat antarabangsa dengan pengeluaran lebih 3.5 bilion dos pelbagai produk termasuk perubatan dan vaksin veterina.

Tahmasebi berkata PNPI Group Sdn Bhd, yang baru ditubuhkan baru-baru ini, telah mengimport 28 lagi jenis vaksin lain bagi kegunaan sektor pertanian di sini.

Beliau juga berkata vaksin yang diimport oleh syarikat itu adalah lebih murah daripada dari Eropah atau Amerika Syarikat.

Timbalan Menteri Pertanian Iran Dr. J. Khalghani berkata Iran mengeluarkan beberapa vaksin pertanian terbaik, yang memenuhi piawaian antarabangsa.

Khalghani berkata Iran bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk membangunkan pelbagai jenis vaksin di bawah inisiatif D8.

D8 dianggotai Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Iran, Turki, Mesir dan Nigeria.

-- BERNAMA

Foto: Dr Jafar Khalghani, Timbalan Menteri Pertanian Iran.

25 February 2009

'Fatwa'



'Fatwa' Datuk A. Samad Said: Halal Menentang PPSMI -

"Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai bahasa Melayu yang saya perjuangkan, tidak kira di pentas politik mana sekali pun. Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya bahasa Melayu di muka bumi."

(A.Samad Said selepas Majlis Sembang Pagi Bersama Sasterawan Negara di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu 25 Februari 2009.)

Cerita penuh
di sini.

Kemaskini 10.13 PM:

"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram. Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia). Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Laporan lanjut
di sini.

24 February 2009

Peduli

Saya rasa awak, tidak peduli.

Pada 30 Oktober 1966, PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) telah menganjurkan Seminar Bahasa Kebangsaan. Ekoran itu satu rapat umum mencabar kejujuran Tunku Abdul Rahman melaksanakan bahasa kebangsaan dalam pemerintahan beliau telah dianjurkan.

Awak pedulikah agaknya yang bahasa Melayu telah menjadi alat perhubungan dan pengucapan bermakna sejak zaman Kesultanan Melayu lagi. Francois Valentyn mencatitkan dalam bukunya Aud en Nieuw II Del V bahawa pada akhir abad 17 dan abad ke 18, bahasa Melayu adalah bahasa yang paling bermartabat di seluruh kota pelabuhan di kepulauan Melayu. Jika seseorang tidak mengetahui bahasa Melayu seolah-olah dia tidak mengerti apa-apa pun.

Ya, tapi awak Melayu memang selalu berasa diri kecil, awak berasa dengan mengucapkan bahasa Inggeris misalnya, awak lebih berdarjat. Awak, tidak peduli. Awak akan buat pelbagai alasan untuk mengenepikan lidah bahasa bangsa.

Bahasa Melayu telah mendapat perhatian luar biasa seawal tahun 1522. Ini bukan fakta main-main. Antonio Pigafetta, seorang pelayar berbangsa Itali dari Vicenta telah menyusun sebuah kamus kecil hasil penjelajahannya di laut Melayu selama tiga tahun. Kamus tersebut bernama Vokabell De Quedti Populi Mori. Pigafetta belayar bersama pelaut Barat yang tersohor si Ferdinand Magellan. Tentu, daftar kata Melayu itu hanya berjumlah 400 patah perkataan tetapi ia membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang agung dan perkasa hingga menggiurkan orang Barat.

Catatan Jan Huyghen Van Linechotten yang pernah tinggal di Indonesia antara tahun-tahun 1586 hingga tahun 1592 pula membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa yang bukan calang dihormati. Umpama yang dibuat untuk mereka yang tidak mengetahui bahasa Melayu pada waktu itu ialah ibarat orang Belanda yang bebal tidak tahu berbahasa Perancis di Eropah.

Duhai agamawan, saya rasa awak tidak peduli bahawa orang Cina memanggil bahasa Melayu sebagai kun lun sementara orang India menggelar bahasa Melayu sebagai dwipantara. Bahasa Melayu adalah bahasa tamadun. Sejak zaman Seriwijaya lagi kedaulatan bahasa Melayu amat utuh tak digugat sama sekali. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa kuliah agama Buddha di sebuah pusat pengajian Seriwijaya zaman abad ketujuh. Ini dirakamkan oleh pendeta Cina I Tsing.

Duhai ustaz dan ustazah yang tdak peduli, Ibnu Batuttah dalam Rihlah Ibnu Batuttah mencatat kesungguhan penghuni Perlak menggunakan bahasa Melayu untuk perkembangan agama Islam. Kedatangan Islam telah mengubah paksi keistimewaan bahasa Melayu dan mengangkatnya ke taraf yang paling wajar. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu. Sekolah-sekolah pengajian agama yang melata di Pattani sehingga membiaknya pesantren di Jawa atau pondok yang bercambahan di Kedah merata santak ke Acheh dengan pembukaan zawiyah demi zawiyah. Islam telah mengangkat bahasa Melayu dari sebuah bahasa pasar di pelabuhan, sebuah bahasa umum yang tiada kepentingan kepada sebuah bahasa yang menyatukan umat dan bahasa yang cermat digunakan sebagai akar hujah falsafah, debat pengajian dan buah fikiran manusia tamadun alam Melayu. Semua itu dikukuhkan dengan perkembangan tulisan Jawi.

Ustaz kita tidak peduli kerana seingat saya, dahulu para ulama dan tokoh bahasa bahu membahu memperjuangkan bahasa Melayu. Tokoh bahasa termasuklah para ulama telah bertungkus lumus menulis kitab dalam bahasa Melayu lantas membantu penyebaran bahasa ini ke seluruh rantau. Kita perlu berterima kasih dengan Syeikh Abdur-Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Muhammad Zain al-Faqih Jalaluddin, Syeikh Muhammad Khatib, Mohd Yusoff Kenali, Syeikh Daud bin Abdullah dan ramai lagi kerana menolongkan perkembangan bahasa Melayu.

Awak agaknya tidak peduli, awak tidak tahu sejarah. Jahil. Bahasa Melayu jangan dinafikan kebolehannya untuk menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan kerana sejarah membuktikan tamadun Greek dan Roman dilanda strok mengejutkan setelah kemalapan bahasanya. Juga ingatan bahawa bahasa Sepanyol, Perancis dan Inggeris tersebar jauh kerana penerokaan dan penaklukan Barat.

Awak mungkin ingat-ingat lupa yang satu dasar kebudayaan kebangsaan telah berhasil digubal untuk negara Malaysia dalam tahun 1971. Begitu berhasilnya perjuangan orang dulu, dari Bahasa Melayu kuno yang terdapat pada prasasti bertulisan Pallawa antara abad ketujuh dan sembilan; kedatangan Islam mencambahkan lagi kecemerlangan bahasa Melayu seperti dinukil oleh Syeikh Abdullah Arif dalam Bahr al-Lahut. Jangan lupa pula Hikayat Raja Pasai yang dipercayai selesai dikarang tahun 1326, ia menunjukkan bahasa Melayu telah diterima pakai sebagai bahasa ilmu dan bahasa medium pendidikan yang gah lagi gagah. Bahasa Melayu telah lama menikmati taraf lingua-franca lama sebelum ketibaan pedagang Arab dan Islam tetapi akidah Islam telah melonjakkan keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan tiga kaedah iaitu melalui kegiatan penulisan, menerusi perintah dan sokongan pemerintah atau istana dan melalui penubuhan institusi pendidikan yang mendokong bahasa Melayu seperti langgar, rangkang, madrasah dan sebagainya.

UMNO tidak peduli. Hari ini institusi pendidikan kita di bawah sebuah parti bernama UMNO, yang selepas pilihanraya lalu berhasrat untuk ingin terus relevan dalam kalangan orang Melayu telah meneruskan dan melakukan onar. Mereka khianat terhadap ulama yang mengembangkan bahasa Melayu. Khianat terhadap tok nenek mereka sendiri. Khianat terhadap sejarah bangsa sendiri. Dan bila khianat terhadap sejarah, mereka juga khianat tehadap masa depan bangsa. Kerana tidak ada masa depan yang terpisah dari masa lalu.

Kalian semua tidak peduli kalau kita sebagai sebuah bangsa terlungkup dan karam. Hilang jati diri. Sedang bangsa-bangsa lain kekal mempertahankan bahasa masing-masing. Tulisan Jawi kita telah hilang. Tetapi tulisan Cina dan India kekal dalam dakapan anak bangsanya.

Awak pedulikah, kalau saya katakan kedatangan penjajah secara tersusun telah mencabar kemuliaan bahasa Melayu. Dasar Inggeris sebelum kemerdekaan ialah pecah dan perintah dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa vernakular dalam sistem pendidikan yang berasaskan kaum. Bahasa Inggeris dimajukan sebagai bahasa pengantar sekolah elit untuk anak bangsawan. Saya tekankan kalimat ‘bangsawan’. Saya ingin mengingatkan anak-anak bangsawan yang akan memerintah UMNO mulai Mac ini supaya sedar diri. Dan menyeru kalian jangan menafikan usaha dan keringat tokoh seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidek, Mahmud Ahmad, Ahmad Bakhtiar dan Ahmad Murad Nasaruddin selain Pak Sako dan Ahmad Boestamam yang mengimpikan kedaulatan bahasa Melayu. Janganlah kita jahanamkan usul Mohd Ariff Ahmad dalam memorandum Asas 50 kepada kerajaan, memorandum yang dipimpini dan ditandatangani oleh Keris Mas dan Usman Awang. Usahlah kita kembali kepada titik hitam sejarah negara dalam tahun 1969 kerana salah satu faktor kejadian keji itu terjadi ialah kerana kegagalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan. Tokoh-tokoh terdahulu telah melakukan terlalu banyak.

Jangan jahil menjadikan Singapura sebagai contoh, kerana adalah amat tidak wajar kita merujuk sebuah negeri kecil yang masih mencari identiti serta tidak bertemu jati diri.

Tamadun Parsi, India, Mesopotamia, Cina, Jepun malahan tamadun Melayu sendiri berjaya dan telah membuktikan keupayaannya dengan menjadikan paksi keunggulan tamadun menerusi bahasa ibunda sebagai tunjang.

Berhenti tidak peduli. Jangan biar bahasa Melayu pudar dan hilang seperti tulisan Jawi. Jangan. Saya merayu supaya jangan tidak peduli.

Marilah kita peduli.

Bak kata Allahyarham Usman Awang: 'Anak Melayu, namamu telah diseru, jawablah sebelum lidahmu jadi bisu.'

22 February 2009

Karangan


Bahana mengejar kemantapan bahasa Inggeris di 'Tanah Melayu' dengan harapan untuk maju; mungkin sahaja memalapkan peluang generasi baharu menjadi sebuah bangsa dan umat yang besar dan matang.

Ditokok dengan kemahiran berbahasa yang memang terpinggir ialah budaya hedonisme, ketidakpedulian, mengadap televisyen 24 jam dengan pengaruh rancangan tidak bermutu, permainan video; dan segala macam ragam sosial (termasuklah ibu-bapa tiada di rumah, dan pembantu negara seberang yang menghadap Astro Aruna).

Karangan pelajar yang menduduki UPSR ini sungguh mengejutkan. Sebagai pembimbing Minggu Penulis Remaja hampir sedekad, sesungguhnya saya tidak terkejut. Ia mungkin lucu, tetapi ia juga menakutkan kita. Terima kasih kepada adik saya yang bertugas di Jabatan Nazir Sekolah yang menyerahkan salinan karangan ini:

Kemalangan Ngeri Yang Pernah Saya Alami

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip. Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu.

Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya. Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang.

Dia melanggar emak saya. Emak saya tercampak ke dalam gaung. Dia menjerit "Adoi!". Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya. Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri. Feri itu terbelah dua.

Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati. Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori. Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..lori itu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara. Emak saya tidak puas hati. Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu.

Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah. Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter. Pemandu lori itu menjerit "Apaan Lu!" dan jatuh ke bumi. Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris.

"You better watcha up. Ten times more plus ten times, twentytimes i beat you always."

Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati. Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat lapuran ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati. Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara, "Semua butuh minggir". Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.

Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati. Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati. Magic sungguh. Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati.

Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.

20 February 2009

Politik Biawak

Orang Melayu ada mencipta sebuah pepatah yang luar biasa bagus. Bagai memikul biawak hidup.

Biawak dalam tradisi Melayu-Islam tentu sesuatu yang cemar. Justeru menanggung biawak hidup memang suatu perbuatan bodoh, dan keji.

Tidak sukar untuk mengerti mereka yang memikul biawak hidup ini.

Hari ini, kita melihat politik biawak dengan penuh rasa tergamam. Kita manusia biasa yang tidak terlibat dengan politik merasakan 'wah betapa bodohnya!'

Fenomena politik biawak pertama - Katakan sebuah parti yang dipandu oleh pemimpin lembab, parti itu dapat sahaja musnah kerana ada biawak hidup yang lembab. Parti itu tidak dapat dibawa ke mana pun. Malah usaha untuk membangunkannya mungkin sahaja tidak berhasil kerana bubur tak dapat bertukar kembali menjadi nasi.

Fenomena politik biawak kedua - Mungkin juga dalam satu keadaan lain, sebuah parti yang asalnya suci murni telah terlanjur bersekongkol dan berpakatan dengan sebuah parti yang penuh biawak korup, biawak buas maksiat, biawak penipu, biawak ejen, biawak membantah, biawak baling batu sembunyi tangan, arghhhhh macam-macam biawak kerana sebagai biawak sumpah-sumpah ia dapat menukar warna, imej, gaya dan muka mengikut keadaan dan persekitaran.

Lebih sedih yang memikul biawak ini terpaksa membersihkan buntut biawak yang biasa terberak merata-rata ini. Si pemikul biawak pun mengadakan p.c dengan menyatakan: "Apa nak buat, ini konsensus". Terpaksa ia mempertahankan onar dan kemunafikan biawak yang ditanggungnya sehingga perlahan-lahan sudah tidak ada bezanya antara si penanggung biawak dengan biawak yang dipikulnya.

Apakah ada formula untuk menolong si pemikul biawak?

Kerana kita kasihan dengan si penanggung biawak ini. Mungkin dia bebal bangang tidak sedar yang dia menanggung biawak. Kena tegurlah supaya dia tersedar dari pukau. Yang hanya Maha Kuasa di langit sahaja sebenar-benar memukau. Biawak tak ada kuasa memukau ilahiyyah.

Formula pertolongan mungkin pertamanya, katuk biawak hidup sampai mampus. Kita tabuh beramai-ramai. Tidak dinafikan biawak ini liat nak mampus. Tetapi kalau kita kembali kepada Tuhan, dan berhenti menjadikan setan atau haiwan sebagai kawan pakatan maka kerja mengatuk biawak akan lebih mudah,Insya-Allah.

Kedua, mungkin si pemikul biawak itu sendiri harus sedar dan berhenti memikul biawak. Humbankan biawak dan bersihkan diri. Mandi sampai bersih untuk memulihkan imej yang kian tercemar kerana selama ini berlumuran najis biawak.

Tetapi formula pertama dan kedua di atas nampaknya sukar berlaku. Sebab sampai hari ini, kita lihat si pemikul biawak hidup tetap buat-buat bahagia secara olok-olok.

Demikianlah malangnya kita umat Melayu-Islam, salah mengharap kepada biawak, dan sang pemikul biawak.

Kita mesti kembali kepada penyelamat sebenar. Tsaqalain. Keselamatan yang ditawarkan bahtera Nabi Nuh. Keselamatan yang ditawarkan Rasulullah saw dan ahlul baitnya. Kerana mereka semua suci dari kemunafikan, dan kemaksiatan.

Argh pandainya orang Melayu mencipta peribahasa tersebut:

Bagai memikul biawak hidup.

18 February 2009

Ramalan


Saya baru pulang dari berpergian (kembara), maka terlalu banyak emel yang masuk bertanyakan macam-macam.

Masihkah sudara ingat 'teguran' ikhlas saya ini? Artikel ini bertarikh 15 April 2008, tersiar di sini. Waktu itu ramai yang mengecam ramalan saya. Ramai yang terlupa, saat ulama kalian mabuk, seniman selalu menjadi pengimbang.

Saya ulangi seperenggan dari 'makalah' tersebut:

"Memang jijik bahasa politik ini. Macam Presiden PAS, dua kali sudah saya dengar beliau mengajak ahli-ahli parlimen BN masuk Pakatan Rakyat. Katanya, mereka yang akan jadi katak lompat ini tidak akan dibayar. Fuhh, sudah pandai bahasa politik Machiavelli rupanya. Lompat parti samada berbayar atau tidak berbayar adalah keji, adalah satu korupsi. Ia salah. Yang bermaruah, beretika dan tidak keji ialah letak jawatan dan bertanding sekali lagi. Baru jantan. Aneh, ada ulama mengulang bahasa politik begini."

Tidakkah apa yang diramal menjadi benar? Maklum, sedang ghairah; maka tuntutan supaya bermuhasabah tak mahu dilunasi. Alangkah benarnya kata-kata al-Marhum Imam Khomeini, politik tanpa ahlul bait hanya ada dua, politik syaitani (seperti Amerika Syarikat dan Zionis); dan politik haiwani (politik yang kita lihat sekarang ini). Hanya politik dengan bumbu sebenar iaitu kembali kepada ahlul bait kita akan memetarai politik Ilahi. Politik bersih suci ini diperlihatkan oleh Rasulullah saw dan ahlul bait; Saidina Ali, dan Saidina Hassan dan kerana ia semua diingkari (sehingga menjadi semakin hewan dan setan) oleh Muawiyah dan Yazid, Saidina Hussein harus bangkit melakukan nahi mungkar yang agung. Ia menjadi simbol kekuatan Islam hingga hari ini.

Pernahkah sudara mendengar pepatah: senjata makan tuan? Soalan saya yang sudah tidak kuasa lagi menegur; eh sampai bila 'kalian' mahu bergelumang dengan politik syaitan dan haiwan?

17 February 2009

Animasi


Artikel ini telah tersiar di akhbar Siasah 8-14 Februari 2009 di bawah judul Animasi Perkabungan. Sebarang salinan harus memberi kredit.

OLEH FAISAL TEHRANI


SEBAHAGIAN besar kita mengetahui secara benar slogan Hezbullah setiap kali maju ke medan perang; slogan jihad mereka itu berbunyi begini: setiap tanah adalah Karbala, setiap hari adalah asyura. Dan untuk tujuan meraikan kejituan semangat jihad tersebut, maka lahirlah animasi Ard al-Taff yang penuh warna mengenai kesyahidan Saidina Husein. Tidaklah mengejutkan, animasi ini sebaik sahaja mencecah panggung di Lubnan menerima sambutan pecah panggung. Yang mengejutkan ialah kehalusan pembikinannya yang tampak menyamai animasi dari kilang Disney.

Memang, peristiwa Karbala yang berlaku ribuan tahun lalu menjadi satu titik penting kekuatan masyarakat syiah. Kita tidak perlu terjebak dalam perkelahian. Justeru artikel ini tanpa mempedulikan perselisihan mazhab dan sebagainya, ingin merakam kesungguhan usaha kumpulan produksi ini dalam menerjemahkan kejadian menyayat hati di Karbala dalam bentuk animasi. Demi untuk terus mengenang penindasan ke atas baginda Saidina Husein produksi ini ternyata memberi sumbangan positif dalam perkembangan sinema Islami.

Tujuan pembikinan animasi ini adalah untuk menyatakan perkabungan atas peristiwa berat untuk seluruh umat Islam tersebut. Timbul tanda tanya mengapakah sejarah pahit tersebut dipilih untuk diketengahkan. Apakah kewajarannya untuk mengenang malapetaka pilu tersebut. Salah satu alasan yang kuat selain untuk mengungkap kekuatan semangat masyarakat Selatan Lubnan, Ard al-Taff dihasilkan sebagai satu bentuk perkabungan.

Dalam tradisi syiah, penganutnya dianjurkan untuk mengenang peristiwa pembunuhan Saidina Husein sebagai satu ibadah. Umat Islam dari mazhab ahlul bait ini mempercayai agama Islam harus tegak dengan tangisan berpandukan ketegaran Nabi Yaakub menangis setelah terpisah dari anaknya Nabi Yusuf. Malah Nabi Yaakub menangis dan meratapi kehilangan Yusuf a.s sehingga buta, dan itu pun tidak dilarangi Ilahi. Justeru, mereka mempercayai tangisan Yaakub adalah sebagai satu protes kepada kezaliman yang dilakukan oleh anak-anak derhakanya. Tangisan dan perkabungan Nabi Yaakub tersebut juga merupakan satu ikrar untuk tidak bersekongkol dengan kezaliman dan kejahatan anak-anaknya sebagai ‘penguasa’.

Untuk itu, musibah Karbala yang menimpa Saidina Husein dan 72 orang sahabat dan ahli keluarganya sehingga terbunuh tragis; menjadi satu isyarat ia merupakan perkabungan yang dapat menjadi simbol protes terhadap kezaliman dan ikrar menentangnya. Mereka juga meyakini dalam hal ini perkabungan adalah satu ibadah. Kerana bagi mereka sekiranya agama tegak dengan tangisan duka Siti Hajar yang berlarian untuk mencarikan air bagi Nabi Ismail yang menangis kehausan dapat dikenang menjadi ibadah saei; dan peristiwa penyembelihan Nabi Ismail kemudian dikenang menjadi hari raya haji maka perkabungan terhadap penyembelihan Saidina Husein jauh lebih wajib dihimbau. Ini adalah kerana kesyahidan Saidina Husein adalah demi memperjuangkan keadilan dan revivalisme akidah dan syariat yang dicemari oleh Bani Umaiyah waktu itu. Dalam kata lain, pengorbanan Saidina Husein adalah menyerupai pengorbanan Nabi Ismail iaitu demi menegakkan agama Islam, dan ia harus dikenang sebagai satu ibadah.

Sentralnya perkabungan terhadap peristiwa Karbala melahirkan syair, puisi, drama ta’ziyah dan kali ini, produksi asal Beirut ini memilih untuk meneruskan tradisi tersebut menerusi animasi. Untuk itu, mereka tidak tangkap muat. Ard al-Taff dibina halus dengan menggunakan pendekatan 3-D animated movie.

Menurut Ahmed Homani, pengarah yang bertanggungjawab, animasi tersebut dihasilkan dengan niat untuk mengenang Saidina Husin. Tambah beliau lagi, “Kami juga menerima tempahan dan pertanyaan dari Indonesia dan Malaysia untuk mengedarkan animasi ini di pawagam.”

Ahmed Homani menegaskan skrip Ard al-Taff dihasilkan menerusi sumber-sumber sarjana klasik ahlus sunnah wal jamaah dan sejarawan.

Dalam memastikan kesucian protagonis utama, pelukis yang terlibat dalam Ard al-Taff melindungi wajah Saidina Husein dengan tumpukan cahaya. Suara Saidina Husein dipinjamkan oleh seorang pelakon Lubnan, dengan pegangan Druze bernama Jihad al-Atrash. Jihad, mengakui peranan tersebut amat mencabar kerana sosok Saidina Husein adalah peribadi yang mencetuskan revolusi, tepu keimanan, kekuatan dan keberanian yang luar biasa.

Adalah sukar mencari kelemahan Ard al-Taff sebagai sebuah animasi. Memandangkan naratifnya berbumbukan sejarah benar yang amat duka, animasi ini telah pun mendapat markah penuh dari sisi dramaturgi. Dengan pembinaan karektor sejarah yang amat hidup, penonton pasti merasa belas dan menangisi kesyahidan Saidina Husein seraya memahami sebab musabab pengorbanan baginda.

Ard al-Taff jika benar sedang diusahakan untuk ditayangkan di Malaysia, harus disahut dan disambut dengan segera. Ini kerana peristiwa Karbala bukanlah sesuatu yang asing untuk umat Islam di tanahair kita. Jika kita berkesempatan mengkaji karya-karya klasik seperti Hikayat Muhammad Hanafiah akan terserlah Karbala dikenang sebagai satu bentuk perkabungan dalam hasil seni yang tinggi nilai dan krafnya.
Sarjana Liau Yock Fang dari Jurusan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura, menyatakan hikayat asal Muhammad Hanafiyyah ini sudah lama tersimpan di Perpustakaan Universiti Cambridge, iaitu sejak tahun 1604. Selain itu di Perpustakaan Nasional Republik Indonesia (PNRI), naskah tertua Hikayat Muhammad Hanafiyyah tertulis tahunnya iaitu tahun 1191 H, bertepatan dengan 1771 M. Ini bermakna seawal itu jugalah umat Melayu sudah pun mengenang Karbala dan berkabung. Malah hikayat ini dibaca setiap kali Muharam tiba selama empat puluh hari mulai 10 Muharam.

Kesungguhan pembikin filem animasi ini harus dipuji kerana ia dapat menjadi satu dokumen untuk memahami kekuatan masyarakat syiah di Selatan Lubnan selain mengingatkan kita kepada penggal-penggal sejarah yang telah tercerai dari jasad kehidupan kita hari ini. Semuanya kerana disembelih oleh mesin propaganda pemerintah dahulu, serta pengkhianatan ulama yang tidak ikhlas.

Dengan kebolehan animasi kita, tidak mustahil satu hari nanti, naskah Hikayat Muhammad Hanafiyyah dapat diangkat sebagai sebuah animasi. Mungkin, setelah itu kita dapat berbangga, bukan umat Arab sahaja berkabung mengenang Karbala; kita juga pernah dan akan tetap mengingati peristiwa paling malang dalam sejarah umat Islam tersebut.

11 February 2009

Perubahan

Dari Rumah 'Putih' ke Rumah 'Hitam'


Percayakah anda?

08 February 2009

Pelampau



Saiful Izzuan Sebagai Diwan.


Aljunid Sebagai Sadiq.


Shah Sebagai Nik Aziz (Mursyidul Am).


Alfaizal Sebagai Jurnalis.


dan memperkenalkan Ling Ling.

Sehari Bersama Pelampau Anti Kebun Binatang.

05 February 2009

Kehilangan

OLEH FAISAL TEHRANI

(Terbit di Siasah, 31 Januari 2009)

PENGARANG muda dalam sastera Melayu rata-rata menyifatkan pemergian Sasterawan Negara Arena Wati pada 25 Januari lalu sebagai satu kehilangan yang besar. Penyair dan aktivis teater terkenal Rahimidin Zahari menyifatkan Arena Wati sebagai pengarang hebat yang menyamai ketokohan Pramoedya Ananta Toer di Indonesia.

“Membaca Sandera, dan Armageddon misalnya kita akan terpukau dengan ketelitian Allahyarham menuangkan segala pengalaman dan ilmunya. Novel Sukma Angin misalnya adalah sebuah korpus Melayu tentang laut yang luar biasa sekali sehingga tiada pengarang dapat menyaingi pengetahuan arwah tentang samudera Melayu.”

Nama sebenar Arena Wati ialah Muhammad Dahlan bin Abdul Biang dan dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Makasar, Indonesia. Allahyarham mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda sebelum menjadi pelaut pada tahun 1943. Ini membawa beliau belayar ke seluruh jagat Nusantara. Dalam tempoh ini juga beliau mulai berjinak-jinak dengan dunia penulisan dan bertugas di pelbgai syarikat penerbitan di Singapura, Brunei dan Johor Bharu. Ketika beliau bertugas di Pustaka Antara antara tahun 1962 sehingga 1974, beliau menjadi warganegara Malaysia. Allahyarham dipilih menerima anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1988. Antara karya Arena Wati yang mendapat tempat di hati pembaca ialah Sandera (1971), Bunga Dari Kuburan (1987), Kuntum Tulip Biru (1987) , Sakura Mengorak Kelopak (1987) , Panrita (1993), Sudara (1994) dan Sukma Angin (1999). Untuk mereka yang mengambil subjek sastera di skeolah pada tahun 80 an, novel Sandera terpilih menjadi teks kajian.

Sasterawan Negara Arena Wati kurang dikenali oleh generasi muda kerana tema karya beliau yang menyarankan bangsa Melayu supaya kembali mencari leluhur sambil merupakan satu refleksi sejarah bangsa Melayu seluruh Nusantara.

Novelis Nisah Haron pula menyifatkan Arena Wati sebagai antara Sasterawan Negara elitis. “Pembaca yang memilih karya beliau adalah pembaca yang hebat. Dan kalau ditanyakan kepada saya apa pandangan peribadi saya tentang beliau, saya ingin menjadi seperti arwah. Pak Arena bukan sekadar memasukkan fakta sejarah tetapi mencerna semula dan menggaulkannya dengan fiksi, mengkayakannya dengan pengalaman khususnya pengalaman beliau sebagai pelaut.”

Penulis muda yang sedang meningkat naik, Khairul Nizam Abdul Raub pula mengkagumi karya beliau kerana kebolehan arwah menyampaikan persoalan politik global dalam novel-novelnya. “Kebobrokan zionis dan Amerika misalnya telah lama ditonjolkan dalam karya beliau khusus Bunga dari Kuburan. Beliau mungkin kurang dikenali kerana arwah jarang keluar menyertai aktiviti baca puisi, tidak menjaja kisahnya di akhbar dan lebih kepada menulis karya-karya yang mengungkapkan kehebatan dan survival bangsa Melayu.”

Khairul Nizam juga menambah, “Sekiranya saya pengarah filem yang hebat seperti Ang Lee, saya pasti mengadaptasi karya beliau seperti Sakura Mengorak Kelopak dan Sukma Angin kerana ia memberi kepuasan yang luar biasa. Panrita juga elok difilemkan.”

Pemergian Arena Wati setelah dunia sastera kehilangan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan menyediakan satu vakum yang ketara.

“Perlu ada gelombang Sasterawan Negara kedua.” Ujar Rahimidin Zahari, “Ada beberapa nama sudah lebih dari layak. Dalam bidang puisi nama seperti Latiff Mohidin, Kemala harus dipertimbangkan. Saya juga melihat kekuatan Azizi Haji Abdullah. Pihak birokrat sastera harus melihat beliau bukan dari sisi ahlu politik tetapi menilai kekuatan karyanya seperti Seorang Tua di Kaki Gunung, Sangeetha dan satira politik Kawin-Kawin.”

Nisah Haron turut menyetujui pandangan Rahimidin, “Sasterawan Negara yang sedia ada juga sudah uzur dan tidak lagi dapat aktif dalam kalangan masyarakat. Jurang antara pemilihan Sasterawan Negara sangat jauh, dan masyarakat sudah mulai menghindari sastera. Saya secara peribadi mahu melihat Siti Zainon Ismail dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.”

Khairul Nizam Abdul Raub pula melihat Dato Dr Anwar Ridhwan sebagai cukup berkelayakan untuk dipilih sebagai Sasterawan Negara seterusnya, “Saya keliru, bingung, rasa dahaga dan kosong melihat seorang demi seorang Sasterawan Negara kita pergi. Sudah tiba masanya, usah, jangan bertangguh lagi dalam memilih Sasterawan Negara yang baharu.”

Jenazah Allahyarham Arena Wati dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. Beliau meninggal dunia setelah dirawat lebih empat bulan di Hospital HUKM Bandar Tun Razak kerana barah paru-paru. Khabarnya ketika terlantar di katil hospital beliau masih sempat menyiapkan sebuah novel, dengan subjek jati diri Melayu Nusantara sebagai buah tangan untuk generasi mendatang.

01 February 2009

Cembung

Jiran saya yang budiman, Mak Cik Musalmah Lebar bertanya: "Zal, kau rasa akak ni gemook ke Zal?"

Saya yang sedang menggarit 'karibab' sedap pemberian Mak Cik Musalmah Lebar sedikit tersangkak. Apakah saya harus berjujur? Atau berbohong demi menjaga hati? Tapi saya sudah naik haji, kata Belinda Munira (anak Mak Cik Musalmah Lebar), berdosa cakap bohong.

Maka setelah berkira-kira saya pun memberi jawapan diplomasi.

"Bergantung jugalah. Kalau cermin rumah Kak Sal itu kanta cembung maka nampaklah berisi siiikiiitttt; tapi kalau macam rumah saya pakai cermin kanta cekung maka akan kelihatan slim selalu lah."

Mak Cik Musalmah Lebar, "Akak tak gemook macam Kak Mah kan?"

"Eh tak lah. Akak kira okay apa. Di Mekah tu mak cik-mak cik Turki, mak cik-mak cik Arab lagi lah. Kita orang Malaysia kira kecil lagi apa." Saya telan 'karibab sedab.'

Mak Cik Musalmah Lebar memandang saya lagi, menyeluruhi: "Macam mana nak tahu cermin rumah kita itu cembung atau cekung?"

"Emmm, kalau nampak lebar semacam dalam cermin itu cembung lah. Kalau nampak memuaskan hati sendiri dalam cermin kira cekung lah."

Mak Cik Musalmah Lebar tersenyum.

"Kenapa baru sekarang tanya?" Saya menduga.

"Tak adalah, tak lama lagi nak pemilihan parti. Ada kawan akak tu sibuk pergi sedut lemak." Mak Cik Musalmah Lebar semacam 'tertekan'.

"Tak apa, pergi sahaja perhimpunan agung tu. Ramai lagi yang gemook. Akak kira okay. Percayalah cakap saya. Akak kira boleh berjalan macam biasa."

"Terima kasih Zal, kau saja yang jujur dengan akak."

Saya telan 'karibab'. 'Sedab'.