29 January 2009

Beaufort

PEMIMPIN agung Hezbullah, Sayyid Hassan Nasrallah pernah mengatakan yang regim Zionis lebih lemah dari sarang labah-labah. Benar, di Gaza beberapa minggu lepas kita melihat Zionis mengganas dengan begitu rakus sekali. Mungkin Hamas dan Jihad Islami belum dapat menyelami kekuatan sebenar Hezbullah. Kerana dalam Beaufort, Israel bukan berdepan dengan orang awam yang kontang spiritual. Tidak, tidak di Selatan Lubnan tentera Israel berdepan dengan tentera Husein. Zionis bukan sahaja takut, gerun, menggeletar dengan nama Hezbullah, tetapi kata-kata bahawa lemah dari sarang labah-labah itu ternyata amat benar.

Jika filem ini, Beaufort, adalah bikinan Hezbullah yang diproduksikan oleh TV al-Manar kita tentu merasakan ia tidak lebih dari satu propaganda perang. Namun, filem Beaufort dihasilkan oleh pengarah filem Israel, Josep Cedar. Dan temanya menumpukan perhatian kepada sikap, kebimbangan, kerapuhan dan kekerdilan IDF (tentera Israel) dalam mempertahankan kubu paling akhir di Selatan Lubnan yang dijoloki dengan nama, Beaufort

Selama dua dekad Israel menjajah Selatan Lubnan. Pencerobohan Israel ke atas Lubnan dalam bulan Jun tahun 1982 telah mendapat perhatian Republik Islam Iran yang menghantar bantuan dalam bentuk ketenteraan. Sebuah organisasi dibentuk. Nasrallah meninggalkan Pertubuhan Amal Islami dan bersama-sama dengan gurunya Abbas Musawi membawa sama ramai pengikut. Organisasi baru ini mulai membaja gerakan gerila menentang kehadiran askar Zionis di Lubnan. Pada 16 Februari tahun 1985, sempena majlis memperingati syahidnya Sheikh Raghib Harb di Husainiyyah di al-Shayyah, Hezbullah dengan rasminya wujud dan mulai mengisytiharkan jihad menentang pendudukan Zionis di bumi Lubnan. Motto Hezbullah ternyata memikat sejak awal iaitu menjadi umat yang menghubungkan dan menyatukan Muslim di seluruh dunia. Nasrallah malah diangkat menjadi salah seorang komander militari Hezbullah. Memang, filem ini bukan mengenai Nasrallah, tetapi secara tidak langsung ia adalah mengenai ‘kejayaan’ dan kehebatan beliau.

Beaufort adalah kubu di puncak gunung dengan pelbagai mitos. Ia juga menjadi simbol kemenangan yang penting zaman berzaman. Sebahagian besar plot filem bergerak lembab dengan latar malam. Malah hari siang Beaufort juga diketengahkan dalam kubu yang gelap, kusam, dengan iringan muzik halus yang tegang.

Jika bukan mengenai Hezbullah, Beaufort mengenai apa? Filem ini mengenai sekumpulan tentera zionis yang berkemahiran, tetapi masih muda, tidak matang dan kecut zakar berdepan dengan hujan peluru katyusha Hezbullah. Bahkan hujan peluru itu tidak berhenti sehingga ke saat akhir pasukan tentera tersebut berundur ke batas Israel, menandakan kekalahan Israel kepada Hezbullah. Moral tentera-tentera muda ini runtuh oleh pemergian seorang demi seorang kawan mereka (untuk berundur) dan kematian demi kematian sehingga tujuan peperangan mulai dipertikaikan secara senyap.

Dengan latar tahun 2000 di mana secara unilateral Israel berundur, Beaufort menyorot ‘dunia kecilnya IDF’ dari kaca mata Liraz Liberti, seorang outpost commander yang baru berusia 22 tahun. Beaufort cuba melihat kesan kegagalan zionisme dan dasar apartheid Israel dengan dialog-dialog serta wacana yang disulami nada jengkel, kerusuhan hati, kelucuan, dan sedikit pandangan politik. Lebih menarik, Beaufort bukanlah kisah mengenai perang itu sendiri tetapi ialah kisah mengenai kekalahan IDF di tangan Hezbullah.

Antagonis filem iaitu tentera Hezbullah tidak diperlihatkan dan yang ada hanyalah debur peluru berpandu serta serbuan roket yang menakutkan. Liraz yang dilakonkan dengan baik sekali oleh Oshri Cohen melihat seorang demi seorang teman askarnya terbunuh di tangan musuh yang tidak dikenalinya malah tidak kelihatan. Mereka menentang musuh yang tidak diketahui. Itu menjadikan filem ini lebih menakutkan. Untuk itu, filem ini berjaya membina unsur suspen yang luar biasa, sehinggalah ke saat perintah untuk meletupkan kubu tersebut supaya ia tidak dapat digunakan lagi oleh Hezbullah.

Dari sisi lain, filem ini menunjukkan sisi psikologi perang musuh umat Islam, sebuah filem yang memperakukan kesilapan menakluk Selatan Lubnan sehingga Joseph Cedar pengarahya dinobatkan setaraf dengan pengarah filem Amerika, Oliver Stone (yang berani mengakui kesilapan Amerika di Vietnam) dalam filemnya seperti Platoon dan Born on The Fourth of July.

Di sebalik bacaan ‘ayat-ayat suci’ dari Taurat, filem ini dapat mengenengahkan ketakutan luar biasa tentera Israel setelah musim berganti musim terutama ketika mereka perlu menjaga pos kawalan yang paling genting. Ia mengesahkan kata-kata Sayyid Hassan Nasrallah bahawa zionis lebih lemah dari sarang labah-labah.

Filem ini meraih Silver Berlin Bear di Pesta Filem Berlin pada tahun 2007, dan merupakan calon oskar bagi kategori Filem Asing Terbaik pada tahun 2008. Ia ditayangkan setelah Israel sekali lagi kalah di tangan Hezbullah pada tahun 2006 dalam perang 33 hari. Kekuatan filem ini selain wacana mengenai kebodohan Israel ialah kelebihan sinematografi Ofer Inov yang bijak memainkan sudut dan cahaya dalam terowong kubu dan puncak gunung yang amat suram serta selalunya diselubungi kelam malam. Filem ini dirakam di Istana Nimrud, Bukit Golan (wilayah Syria yang masih ditakluk Israel).

Sayyid Hassan Nasrallah ternyata arkitek sebenar yang membolehkan Hezbullah mengusir Israel dari Lubnan. Nasrallah misalnya telah meningkatkan perang psikologi terhadap zionis. Nasrallah mengarahkan anggota Hezbullah yang terpilih misalnya mempelajari bahasa Hebrew. Dengan penuh hati-hati Nasrallah mengumumkan yang perang Hezbullah terhadap Israel tidak berakhir semata-mata kerana pengunduran zionis dari selatan Lubnan. Hassan Nasrallah sering mengingatkan tanggungjawab umat Islam untuk membebaskan Palestina. Dalam tahun 1996, sebagai contoh, stesen televisyen Hezbullah, al-Manar dan stesen radio al-Nur memulakan siaran bahasa Hebrew. Sedikit sebanyak masyarakat Israel terpengaruh dengan perang propaganda Hezbullah, pandangan umum rakyat Israel lebih cenderung supaya kerajaan haram Israel berundur dari selatan Lubnan. Kejayaan strategi psikologi perang oleh Nasrallah ini dipaparkan ketika Liraz dan kawan-kawannya menonton siaran berita Israel yang melaporkan kematian teman mereka di Beaufort.

Pada bulan Mei 1999, Ehud Barak dilantik sebagai Perdana Menteri di atas platform kempen untuk menarik keluar tentera Israel dari selatan Lubnan. Dan pada Februari 2009 nanti, sekali lagi Ehud Barak menggunakan tentera IDF untuk meraih dokongan rakyat Israel bagi memenangi pilihanraya dengan cara mengganyang Gaza sepanjang Januari 2009.

Filem ini mesti ditonton oleh mujahidin yang berhasrat melawan zionisme. Kerana ia bukan sebuah filem mensyarahkan apa kekuatan yang perlu umat Islam ada, tetapi adalah sebuah filem yang memaparkan mengenai kelemahan zionis, sangat dhaeif, lebih lemah dari sarang labah-labah.

Lebih hebat, kelemahan ini diakui sendiri oleh Israel, menerusi Beaufort.

Siasah: 25-31 Januari 09
(FT menulis kolum Sinema Spiritual setiap dua minggu sekali)

26 January 2009

Gerhana







Gerhana matahari antara jam 5 hingga 7 petang 26 Januari 2009.

Nabi s.a.w bersabda :

"إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا ينكسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينكشف ما بكم ". (رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya : “Sesungguhnya matahari dan bulan keduanya menjadi bukti adanya Tuhan dan kekuasaan-Nya. Keduanya gerhana bukan kerana matinya seseorang dan tidak pula kerana hidupnya seseorang, maka apabila kamu mengetahui keduanya gerhana, hendaklah kamu berdoa kepada Allah, dan solat sehingga habis gerhana itu.”




* Foto fantastik daripada Anuar McAfee

25 January 2009

Arena Wati (1925-2009)



'Bengkok jarum pedoman cita-cita. Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah.' (Arena Wati: Busa Hati, Penerbit UKM, Halaman 349)

Dukacita yang amat mendalam, Sasterawan Negara Arena Wati (Muhammad Abdul Biang) telah berangkat ke alam lain meninggalkan kehidupan dunia dan kita semua, tengah malam tadi.

Cinta saya kepada Allahyarham dan karangannya amatlah mendalam. Novel beliau 'Bunga Dari Kuburan' telah sangat mengilhamkan sehingga saya menulis cerpen berjudul Anastasia (siaran Majalah Muslimah Oktober 1992). Pengaruh bapak terus berbekas dalam karya-karya awal saya.

Semoga, roh bapak akan dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama kekasih-Nya.

al-Fatihah.

Kemas Kini (4.35 Petang):




(Solat jenazah di Masjid Wilayah, antara yang turut hadir Tan Sri Ismail Husein, Dato Dr Anwar Ridhwan, Datuk Kemala, Dato Baha Zain dan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah)

Arena Wati harus saya akui merupakan antara penulis kegemaran sejak dahulu. Bahkan pengaruh beliau lebih kuat dalam karya-karya awal saya berbanding pengaruh A.Samad Said dan Shahnon Ahmad. Antara karya-karya beliau yang saya jadikan tatapan sepanjang membesar tentu sahaja trilogi Bunga Dari Kuburan (dalam siri ini bangsa-bangsa dari Asia bangkit membalas dendam terhadap Amerika dan gempa bumi besar memusnah sebahagian besar negara super power itu), Kuntum Tulip Biru (Eropah memuncakkan kebencian terhadap bangsa Yahudi dan mangsanya Marina, seorang pengkaji dari Amerika Syarikat dan daik tinggi di Belanda runtuh lalu air laut melimpah ke seluruh negara tersebut) dan dalam siri akhir, siri yang paling dikenali dalam trilogi ini ialah Sakura Mengorak Kelopak (dua keluarga besar berperang dan membakar sebahagian besar Tokyo sementara diserapkan perjuangan wanita Jepun untuk membebaskan diri dari dunia yang dominan oleh kuasa patriarki).

Selepas itu saya menyukai Sudara novel beliau yang menelusuri akar jati diri bangsa Melayu. Ia sebesar Roots oleh Alex Healey. Kemudian kerana Arena Wati sering melihat ke dalam diri lampaunya iaitu menyorot kembali kisah-kisah Indonesia, saya jadi terasing membaca karya beliau dan hanya kembali menyertainya menerusi karya Sukma Angin. Novel ini membincangkan mengenai bangsa Melayu sebagai kuasa maritim menerusi sorot mata bahtera itu sendiri - Sukma Angin.








(Suasana di pusara, semua yang ada di situ sebak mendengar kata-kata balu Allahyarham sambil menabur kuntuman bunga, 'Ini sajalah pemberianku untuk kasih sayangmu, tidurlah lena dan nantikan aku di sini sampai kedatanganku.'

Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Makasar, Indonesia.Ya dalam usia hampir 80 tahun, beliau masih menulis. Beliau pernah bersekolah di sebuah sekolah Belanda. Apabila perang dunia meletus, Arena Wati memulakan kariernya sebagai pelaut. Percayalah, tidak ada sasterawan yang dapat menulis hal laut sebaik Arena Wati, jika karya-karyanya diterjemahkan segera ke bahasa lain, tentu sahaja ia akan cepat dikagumi. Kefahaman dan perincian beliau tentang latar laut dalam karya-karyanya sangat hebat sehingga segala ombak yang rinci dan angin yang aneh turut dibentangkan. Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara. Beliau menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. (Nota tambahan: Beliau meninggal dunia pada 25 Januari 2009.)

(Petikan artikel saya di
Kakiseni.Com).

Berita 'pemergian' Sasterawan Negara Arena Wati kelihatannya tidak mendapat tempat yang signifikan dalam media utama. Malah media di Indonesia turut 'mengeluh' kelewatan laman berita di Malaysia dalam melaporkan berita kematian beliau (lihat di sini.)

23 January 2009

Pencerahan

Siapa berani melawan pencerahan? Ramai yang berani Insya-Allah. Terutama kalau pencerahan yang dimaksudkan ialah untuk membebaskan manusia Islam dari institusi agama, memerdekakan manusia dari kuasa mutlak, dan memindahkan manusia dari monotheisme ke pluralisme. Kita akan berani menentangnya beramai-ramai. Memang, hujah-hujah di hadapan tadi wajar dihurai. Tetapi ruang perbahasan di blog ini sangat kecil. Mungkin, nanti saya akan menulis sebuah buku tentang ini, Insya-Allah.

Jadi, itu bergantung dengan apa maksud pencerahan yang disogokkan.

Kalau pencerahan itu ialah wilayah Allah, wilayah Rasulullah dan wilayah ulul amri, maka saya angkat tangan. Saya tidak berani. Gila apa melawan Tuhan. Itu sudah ateis. Gila apa melawan Rasulullah saw, itu jejak kebodohan Abu Jahal. Gila apa melawan ulul amri, itu jalur bengkok munafikin.

Sepanjang sejarah kewujudan manusia, ramai yang berani melawan pencerahan.

Kita baca al-Quran, ayat 87 surah al-Baqarah: “Apakah setiap datang kepadamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak sesuai dengan keinginanmu, lalu kamu angkuh maka beberapa orang di antara mereka para Nabi itu kamu dustakan, dan beberapa orang yang lain kamu bunuh.”

Wah, rasul-rasul datang membawa pencerahan, kok masih ada yang berani melawan?

Jawabnya, ya memang ada. Kerana definisi pencerahan mereka lain. Pada mereka menolak agama, atau melonggarkannya di sana sini itu lebih cerah. Mereka yang terlihat tradisionalis adalah gelap. Definisi ini adalah definis Abu Jahal. Kerana itu dia melihat Rasulullah saw sebagai ancaman. Kerana ketibaan baginda Nabi Muhammad saw menggelapkan habuan dunianya.

Dalam sejarah manusia memang banyak yang melawan pencerahan kalau begitu. Yahudi, nah ada juga suku Yahudi yang ingkar, ada juga yang taat. Bukan sahaja al-Quran menegaskan kejahatan mereka melawan pencerahan. Bible atau al-Kitab juga merakam tindak tanduk mereka ini, tindak-tanduk menyanggah pencerahan yang dibawa Nabi Musa a.s:

Lihat al-Kitab: 'Hai bangsa yang tegar tengkuk. Hai kaum ular beludak, hai kaum keturunan ular beludak, hai kamu keturunan ular beludak. Bagaimanakah kamu dapat meluputkan diri dari hukuman neraka. Sebab itu, lihatlah aku mengutus kepadamu nabi-nabi, orang-orang bijak, dan ahli-ahli taurat, separuh di antara mereka kamu bunuh, dan kamu salibkan, yang lain kamu sesak (penjara) di rumah-umah ibadatmu, dan yang lainnya kamu aniaya dari kota ke kota.' (1)

Tidak semua Yahudi perlu diperangi. Hari ini kita melawan zionis. Suku kaum bani Israel ada 12. Suku Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Naftali, Gad, Asyer, Isakhar, Zebulon, Dina, Yusuf, dan Benyamin. Dalam Bible, Kitab Keluaran ia disebut dalam bahagian 23 dan 24 pada ayat 3. Dan ini juga tidak bersalahan dengan ayat suci al-Quran, surah al-A'raf ayat 160:

'Dan mereka Kami bagi menjadi dua belas suku yang masing-masingnya berjumlah besar dan Kami wahyukan kepada Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya: Pukullah batu itu dengan tongkatmu! Maka memancarlah darinya dua belas mata air. Seungguhnya tiap-tiap suku mengetahui tempat minum masing-masing. Dan Kami naungkan awan di atas mereka dan Kami turunkan kepada mereka manna dan salwa. Kami berfirman: Makanlah yang baik-baik dari apa yang telah Kami rezkikan kepadamu. Mereka tidak menganiayai Kami, tapi merekalah yang selalu menganiayai diri mereka sendiri.'

Dalam banyaknya suku itu, hanya Lewi yang diangkat Tuhan. Kerana apa? Kerana mereka tidak melawan pencerahan.

Bahawa Allah juga melantik 12 orang hawariyun iaitu pembantu untuk Nabi Isa a.s, bernama Simon Petrus, Andearas, Yakobos, Yohanes, Filipus, Barthilomios, Thomas, Matius, Barnabas, Tadheus, Semon Zelot dan Yudas Iskareot. Antara ramai-ramai itu Yudas Iskareot dipilih menjadi imam bagi Bani Israel.

Seperti itu jugalah, Nabi Ibrahim dilantik menjadi imam untuk seluruh manusia. Ini difirmankan oleh Allah swt sendiri dalam al-Baqarah ayat 124: ‘Dan ingatlah, ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: ‘Sesungguhnya aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia’. Ibrahim berkata: ‘Dan saya mohon juga dari keturunanku’. Allah berfirman: ‘Janjiku ini tidak mengenai orang yang zalim.’

Seperti itulah, Allah menunaikan permintaan Nabi Ibrahim setelah baginda banyak berkorban untuk agama Tuhan. Dan Allah utuskan nabi terakhir (pencerahan) dalam kalangan zuriatnya. Daripada Nabi Ibrahim, iaitu Nabi Ismail, baginda melahirkan pula 12 orang zuriat. Dan dari salah seorangnya itu, menjadi moyang Nabi Muhammad saw.

Seperti mana suku Lewi, seperti mana Yudas Iskareot terdapat juga suku pilihan Allah dalam kalangan Arab, iaitu Bani Hasyim.

Dan kawan-kawan, dari keturunan Rasulullah tersebut dipilih 12 kekasih Allah.

Rasulullah saw dalam sabdanya, ‘Sesungguhnya aku tinggalkan padamu sesuatu, yang apabila kamu berpegang teguh padanya kamu tidak akan tersesat (selamanya) sepeninggalanku, yang satu lebih agung dari yang lain, iaitu kitab Allah, penghubung antara langit dan bumi, dan itrah ahlul baitku, dan keduanya tidak akan terpisah sehingga berjumpa denganku di telaga al khaud. Oleh kerana itu perhatikanlah bagaimana kamu memperlakukannya keduanya.' (2)

Apakah mungkin ini adalah definisi pencerahan? Iaitu Allah, Rasulullah dan para imam, yang terjelma dalam angka 12. Kerana, ia muncul berkali-kali dalam sejarah manusia. Seolah-olah satu kod yang perlu dirungkaikan!

Siapa berani melawan pencerahan? Atau, soalan yang lebih baik - siapa tidak bersama pencerahan?

Ramai tentunya. Kalau suku Lewi dijadikan himbauan; ada 11 menentang, hanya satu yang menerima pencerahan!

Ya, tapi itu bergantung kepada apa definisi pencerahan pegangan kawan-kawan sekalian. Mungkin, ada yang berakidah pencerahan itu macam nur atau cahaya. Cahaya yang banyak menjadi anwar. Bersangatan dan berbondong-bondonglah manusia mengikut cahaya yang terlalu cerah itu, sehingga larut dalam kesilauan cahaya.

Mungkin juga ada yang lebih nanar, pencerahan itu terlihat pada keupayaan mentakhtakan anarki. Kerana itu tidak hairan, ramai yang merasakan Osama Bin Laden, tersangat mencerahkan. Dia juga percaya dirinya begitu. Sedang lawannya, Amerika (George Bush) pula merasakan dirinyalah cahaya dan Bin Ladenlah kegelapan (evil).

Ada juga yang menemui pencerahan menerusi Shakespeare dan menjadikannya 'imam'. Ada yang menjadikan Ayah Pin sebagai 'imam' malah 'tuhan'.

Betapa celarunya!

Ya Allah Ya Rasul, apakah saya dalam 11, atau dalam yang satu itu. Alangkah takutnya kita berada dalam yang 11. Menjadi penentang pencerahan, menjadi manusia yang berani melawan pencerahan; menyebabkan kita membaca ayat 'tunjukkan kami jalan yang lurus' dalam al-fatihah, dalam setiap solat kita.

Bagaimanakah kita dapat memastikan kita bukan penentang pencerahan? Atau kita memang benar-benar mengikut petunjuk atau jalan yang lurus iaitu pencerahan.

Nah, ayat-ayat suci dari al-Quran, Bible dan hadis sahih tersebut wajar dijadikan pertimbangan. Tidakkah kita diwajibkan membaca sejarah kawan-kawan?

NOTA HUJUNG

1. Mathius, 23 ayat 33-34.

2. Sahih Muslim, Juzuk 2, halaman 362.

** Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina. Gong Xi Fa Cai.

'Menanti'

“Aku ingin berbuat baik untuk anak gadis lelaki yang mula-mula mempercayaiku setelah aku mengirimi surat kepada Ali Sastroamidjojo.” Begitu pujuk Teungku Hasan di Tiro. Khadijah menurutkan kehendak pemimpin besar Aceh itu. Tuhan, mengapa dia harus menolak jika yang menawarkan kebaikan tersebut ialah wali Nanggroe sendiri?

Dalam pesawat menuju ke Damsyik, Khadijah menggamit kembali segala cinta, dan cita-cita yang ditempuhnya. Dan bagaimana bapanya kurang bersetuju dia mengahwini Ali Taqi.

“Dia bukan orang Aceh.” Begitu kata putus bapanya.

“Jadi kalau bukan Aceh kenapa? Dia juga bukan Jawa.”

Tidak lama kemudian, ayahnya terkorban di medan perang. Pembantaian Jawa ke atas Aceh memang petakamala yang celaka. Seluruh Aceh melaknat dan menyumpah Ali Sastroamidjojo kala angkatan udara menggugur bom ke atas bumbung rumah di desa-desa yang dikuasai oleh Tentera Islam Indonesia. Saat itu bagai asa sudah putus.

Tetapi Teungku Hasan di Tiro datang menyelamatkan.

Dengan tegas dia memimpin orang Aceh yang sedang nanar. Darah orang berjuang tidak dapat ditawarkan. Hasan di Tiro datang dari famili besar di Tiro yang melawan kolonial Belanda. Empat generasi keluarga di Tiro semuanya terbunuh kecuali cucu Teungku Chik di Tiro bernama Pocut Fatimah. Itulah tangan yang menghayun buaian, anak yang didodoikannya membesar sebagai Teungku Hasan di Tiro. Buat Khadijah, dia ingin menjadi sosok Pocut Fatimah yang wibawa.

Teungku Hasan sang pemimpin adalah umpama Nasrallah untuk minoriti syiah Lubnan.

Cuma umat Islam Lubnan mendapat kelebihan kerana bukan Nasallah sahaja yang ada, terdapat juga Musa l-Sadr, dan Abbas Musawi. Khadijah tahu persamaan mereka. Tengku Hasan di Tiro juga penanti. Sama seperti Nasrallah.

Khadijah tahu hubungannya dengan Ali Taqi asalnya kurang disenangi oleh keluarga besar Beureueh. Begitulah kini, hidup berulang untuk Fatimah dan Mustafa.

Tadi, dia dalam pesawat untuk menyelamatkan anaknya, Siti Fatimah. Hari lain dia akan mengenang dan mengingat semula kisah cintanya dengan Ali Taqi yang bergelora di awal, tetapi berakhir dengan perkahwinan bahagia yang didorong oleh Teungku Hasan Muhammad di Tiro. Dia pasti akan mengenang masa itu. Nanti, cerita itu akan diungkap semua.

(Baca penuh novel bersiri Perempuan di Wajah Langit Pagi, Milenia Muslim edisi Februari 2009.)

21 January 2009

Boikot

(Siasah 18-24 Jan 09)

KALA ada cadangan supaya umat Islam negara ini memulaukan produk dari Amerika dan Israel, bayangan yang terlintas di hadapan mata saya bukanlah Colgate atau Nestle, jauh sekali Starbucks Coffee. Bayangan dalam kepala saya ialah bagaimana meyakinkan umat Islam dan sekian umat yang prihatin terhadap tragedi kemanusiaan di Gaza untuk turut memboikot misalnya siri televisyen popular Heroes, 24, Prison Break, Desperate Housewives, American Idol, Survivor dan aduh, senarainya panjang sekali.

Ambil lagenda Hollywood, Marlon Brando yang merungut kepada perantara CNN terkenal dalam rancangan Larry King Live pada 5 April 1996 yang, "Hollywood dikuasai Yahudi – ia dimiliki Yahudi." Kemudian Brando menambah bahawa Yahudi menghina semua bangsa lain di dunia tetapi sangat berhati-hati supaya tidak ada sebarang imej negatif dipalitkan kepada mereka. Marlon Brando yang cukup berpengaruh dalam industri hiburan dunia lekas dikecam hebat, dan dilabel "anti-Semitic" dan didesak serta dipaksa memohon maaf kepada seluruh bangsa Yahudi menerusi Simon Wiesenthal Holocaust Tourist Center di Los Angeles.

Yahudi menyusup masuk dalam dunia hiburan Amerika Syarikat lalu terus bertapak kukuh di situ menjelang tahun-tahun 1930an dan 40an saat filem bisu sedang meletup diterima ramai. Los Angeles, California sebagai perkampungan filem Amerika sendiri waktu itu sudah diramaikan oleh jumlah Yahudi yang besar. Ini menumbuhkan dengan sengaja kumpulan seni yang terdiri dari pengarah filem, artis, juru teknikal dan sekian ramai insan seni lain. Dan imigran Yahudi menyedari kepesatan bisnes hiburan, dengan cepat menyediakan studio filem. Antara tuan punya studio terawal di Hollywood yang berbangsa yahudi ialah William Selig, Jesse Lasky, Samuel Goldwyn dan Adolph Zukor.

Pada tahun 1921, Rabbi Samuel Hecht muncul memimpin kempen di Los Angels City Council of Greater California untuk menentang sensor yang memungkinkan ramai penggiat seni berbangsa Yahudi kehilangan medan menampilkan bakat. Tika itu juga, Carmel Myers, aktres Yahudi dari Israel, anak perempuan Rabbi Isidore Myers di Los Angeles meledak sebagai bintang kesayangan. Carmel bukan sahaja berlakon tetapi terkenal sebagai penyumbang dan filantropis (dermawan) membiayai projek-projek filem yang memberi keuntungan masyarakat Yahudi di California, dan Amerika umumnya.

Terkebelakang, kita diperkenalkan dengan gergasi-gergasi seni perfileman Amerika antara lain Woody Allen, Mel Brooks, Billy Crystal, Robert De Niro, Richard Dreyfuss, Bob Dylan, Harrison Ford, Richard Gere dan Jeff Goldblum. Oh ya, bapa media massa Rupert Murdoch juga seorang Yahudi dari Israel.

Hari ini, Presiden News Corp. Peter Chernin adalah Yahudi; Presiden Paramount Pictures, Brad Grey adalah Yahudi; Eksekutif Walt Disney Co. Robert Iger adalah Yahudi; Pengerusi Sony Pictures iaitu Michael Lynton adalah Yahudi dari Belanda; Pengerusi Warner Bros. Barry Meyer adalah Yahudi, Ketua Eksekutif CBS Corp. Leslie Moonves adalah Yahudi, malah mendiang bapa saudaranya adalah bekas perdana menteri Israel yang pertama; bos MGM Harry Sloan adalah Yahudi dan Ketua Eksekutif NBC Universal iaitu Jeff Zucker juga seorang Yahudi. ‘Weinstein brothers’ yang terkenal di Hollywood juga Yahudi. Studio di atas adalah pengeluar siri televisyen juga filem yang terkenal di Amerika, malah dunia.

Presiden Persatuan Pelakon Hollywood, Alan Rosenberg (argh Yahudi juga). Ejen pelakon paling berbobot di Amerika ialah Ari Emanuel (ibu-bapanya rakyat Israel) pendek kata seperti yang disebutkan oleh Brando, ia adalah dunia Yahudi yang melemaskan. Sangat-sangat merimaskan sehingga Mel Gibson seorang ultra Katolik yang mabuk sempat memaki Yahudi di jalanan dipaksa memohon maaf dan dipinggirkan sama sekali dari dunia perfileman.

Jika anda bercakap tentang hasrat untuk memboikot Amerika dan Yahudi, anda harus bermula dengan televisyen di rumah anda. Atau pilihan sinema anda. Mungkin, anda tergiur dengan plot filem Hollywood yang penuh aksi, atau terkesima dengan Kate Winslet melondehkan kembannya, barangkali ada gadis di luar sana terkecur liur dengan Brad Pitt, argh di belakang mereka ada Yahudi.

Bagaimana menikmat hasil seni dari Hollywood dengan wajah anak Gaza kepalanya putus dibom Israel, atau bagaimana berasa seronok menyaksikan American Idol jika terkenangkan kanak-kanak di Jabilya yang disembur fosforus putih yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa.

Kerana itu semua usaha boikot Amerika dan zionis meskipun amat kita sanjungi dan hormati hasratnya adalah diketahui merepek dan menjadi bahan ketawa. Malah, ada seorang tokoh gerakan Islam kita mengakui dalam lidah rasmi partinya yang beliau amat menggemari menonton wrestling, lebih bedebub mereka berlawan lebih berdebab jantungnya yang lemah itu berdegup.

Saya kira belum ada negara yang berjaya memboikot industri hiburan pencinta Yahudi ini melainkan Republik Islam Iran. Hanya negara syiah sesat kafir bid’ah pemuja kubur (menurut segelintir ulama ekstrim) bernama Iran ini sahaja yang berkemampuan memboikot dunia hiburan Amerika. Bukan sahaja mereka berdaya memboikot Hollywood, mereka malah mengeluarkan filem-filem bermutu tinggi mengisi sinema spiritual sambil memaksa Hollywood kembali mengiktiraf kejituan hasil kerja seni mereka. Arab Saudi sendiri tidak berkemampuan melakukan seperti mereka, kerana kita tahu peti televisyen di Mekah dan Madinah sekalipun (dengan menggunakan satelit dan ceper parabola) boleh membawa Britney Spears menari separuh bogel bergeser-geselan dengan Madonna. Serius, anda boleh tanya pak haji yang pulang dari Mekah dan Madinah jika anda tidak percaya.

Anda mahu boikot Amerika? Argh kelakar, rokok terkepit antara bibir pun tak dapat dilepas. Saya ulang – dalam soal sinema, hanya Iran sahaja yang berkemampuan untuk melakukannya.

20 January 2009

Hina

Tahukah anda di Thailand, adalah satu kesalahan yang amat serius jika anda menghina rajanya, Raja Bhumibol Adulyadej. Anda boleh dipenjara. Misalnya, Harry Nicolaides, seorang rakyat Australia yang menulis sebuah novel berjudul 'Verisimilitude'. Novel tersebut dijual hanya tujuh naskah (produk Sindiket Soljah jauh lebih laris).

Undang-undang lese majeste ini digubal demi mempertahankan kemuliaan raja dan keluarganya, demi mengukuh dan menguatkan sistem monarki di Thailand.

Pengarang novel ini, yang khabarnya tidak mengetahui kesalahannya itu telah ditahan ketika 'cuba' pulang ke negara asalnya. Dengan deraian air mata beliau memberitahu kepada jurnalis: "I would like to apologise. This can't be real. It feels like a bad dream."

Perdana Menteri Thailand yang baharu, kelihatannya mempertahankan undang-undang yang sedia ada ini kerana menurut Abhisit Vejjajiva, 'the monarchy had to be protected because it has immense benefits to the country as a stabilising force'.

Apakah novel lelaki Australia ini dapat dikira kebebasan bersuara? Tentu ya menurut hukum Barat, tetapi tidak tidak tidak menurut hukum Thailand. Maka Harry Nicolaides pun dihukum dan Abhisit yang dianggap liberalis itu sekalipun tidak berani mengatakan Nicolaided sebagai 'pengarang profound'.

Saya ingin menarik perhatian kawan-kawan sekalian, setiap negara berhak menetapkan undang-undang dan mengkategorikan satu-satu perbuatan itu sebagai jenayah. Islam menetapkan adalah satu jenayah dan penderhakaan yang perlu dihukum (maksimum: seberat hukuman mati) buat mereka yang murtad, buat mereka yang menghina Rasulullah saw (dan ajaran baginda).

Mungkin menurut sesetengah orang, itu tidak menepati kehendak kebebasan bersuara. Tentu, kita malas bertengkar dengan orang jahil begini.

Dalam hal ini, kalau anda berdepan dengan orang yang mencari pasal atau tetap berkehendak memuji pencaci Rasulullah saw sebagai profound maka lojika mudah Abhisit dapat dipakai. Kita ulang lojikanya dengan sedikit perubahan bahawa menghina Allah, Rasul dan keluarganya tentu sekali merupakan satu kesalahan dan jenayah kerana Allah, Rasul dan ahli keluarganya adalah dasar atau central force untuk umat Islam seluruhnya. Maka penghina Nabi Muhammad saw mesti dihukum dan kita tidak dapat mempertahankan siapa sahaja pencemuh baginda sebagai 'pengarang profound'.

Berita mengenai pengarang jahil ini, sila lawati laman
ini.

Starbucks





Tentu, ada beza besar antara boikot dan vandalisme.

19 January 2009

Terlepas






Apakah penjenayah perang akan terlepas di Gaza? 'Kebangkitan dan kemarahan kita' masih perlu dinyatakan secara berkekalan.

Surat

Berikut adalah surat yang dikirimkan oleh pemimpin Revolusi Islam, Sayyed Ali Khamenei kepada pemimpin Hamas, Ismail Haniya yang memuji keberanian para pejuang penentang di Semenanjung Gaza.

Salam ke atas anda berserta dengan rahmat dan keberkatan Allah.

Keteguhan yang telah anda tunjukkan, bersama-sama dengan para pejuang penentang yang berani serta para penduduk Gaza disepanjang 20 hari yang lepas ke atas sebuah jenayah perang yang terkejam dalam sejarah dunia ini telah menjadi lambang keagungan ke atas semua umat-umat Islam. Anda telah buktikan bahawa jiwa umat Islam yang dinaungi dengan keyakinan yang tinggi kepada Allah serta hari akhirat, yang sama-sekali tidak akan tunduk kepada kezaliman, mampu mewujudkan sebuah kekuatan untuk menentang kuasa-kuasa dunia yang bongkak beserta tentera-tentera mereka yang dilengkapi peralatan moden sehingga jatuh tersembam ke bumi.

Tentera tersebut, yang telah mampu kamu kekang kemaraan mereka setakat di luar bandar Gaza disepanjang 20 hari yang lalu melalui keteguhan di dalam jiwa-jiwa kamu itu, adalah merupakan bala tentera sama yang telah merampas sebahagian besar wilayah-wilayah di tiga buah negara Arab dalam masa hanya enam hari sahaja (Perang 6 hari pada 1967 antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan).

Anda harus berbangga dengan keyakinan anda itu yang tidak pernah goyah dengan Allah SWT serta janji-janjiNYA, disamping keberanian, kesabaran dan pengorbanan yang telah anda tunjukkan, dalam keadaan seluruh dunia Islam pada hari ini amat berbangga dengannya. Penentangan anda telah berjaya memalukan Amerika, rejim Zionis dan para penyokong mereka di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta di beberapa negara Islam.

Hari ini, bukan sahaja negara-negara Islam, malah banyak negara lain di benua Eropah dan Amerika telah mengiktiraf kesahihan perjuangan kamu. Di mata kami semua, anda telah mencapai kemenangan pada ketika ini dan dengan penentangan yang berterusan, anda akan terus mampu memalukan pihak musuh.

Anda harus ingat bahawa Allah tidak pernah mengabaikan anda, ataupun tidak redha dengan perjuangan ini, dan kelak Allah akan mengurniakan sesuatu kepada kamu yang kamu akan redha dengannya, dengan izin Allah.


Namun begitu, malapetaka yang sedang menimpa Gaza beserta dengan pembunuhan rakyat-rakyat Palestin yang tidak bersalah, terutamanya kanak-kanak, benar-benar menyedihkan kami. Keseluruhan negara kami sedang berkabung akibat daripada jenayah yang telah dilakukan oleh penjajah bumi Palestin yang disiarkan setiap hari di dalam siaran televisyen negara kami.

Saya memohon pada Allah agar kamu segera dikurniakan dengan kemenangan. Allah tidak pernah berpaling daripada janjinya di mana firmannya, “Dan sudah pasti Allah akan membantu sesiapa yang membantu misiNYA; susungguhnya Allah adalah Maha Perkasa, Maha Agung dan sesiapa yang berusaha, mereka berusaha untuk kebaikan mereka sendiri”….

Mereka di kalangan dunia Arab yang telah melakukan pengkhianatan harus menyedari bahawa nasib yang bakal menimpa mereka adalah tidak ubah seperti nasib kaum-kaum Yahudi yang pernah terlibat di dalam peperangan sesama suku mereka, memandangkan Allah telah berfirman, “DIA juga telah menjatuhkan sekutu-sekutu mereka di kalangan ‘Ahli-Ahli Kitab’ (Yahudi dan Nasrani) daripada kedudukan mereka.”

Penduduk seluruh dunia berdiri sebaris dengan para penduduk dan pejuang penentang di Gaza. Mana-mana kerajaan yang mengambil pendirian berbeza dengan rakyat mereka sendiri di dalam isu ini akan dipinggiri oleh rakyat mereka sendiri dan nasib yang bakal menimpa mereka nanti adalah jelas sekali.

Mereka harus ingat bahawa ‘Amirul Mukminin’ Ali bin Abi Talib pernah berkata, “Hidup dalam kekalahan adalah sebenarnya kematian dan kematian dalam keadaan penuh penghormatan adalah sebenarnya kehidupan.”

Saya memberikan tabik hormat saya kepada anda dan para pejuang penentang Gaza serta para penduduknya yang bersifat penentang walaupun terus dizalimi.

Selain daripada usaha Republik Islam Iran untuk membantu anda, yang kami anggap sebagai menjadi kewajipan kami, saya akan sentiasa mendoakan anda siang dan malam. Saya memohon agar anda dikurniakan kesabaran serta kemenangan daripada Allah SWT.

Salam ke atas anda dan ke atas setiap orang yang bertaqwa dan semoga Allah memberikan rahmat dan keberkatannya.

Seyyed Ali Khamenei

Foto Paling Atas: Ayatullah Muhammad Emamikashani, Ayatullah Rafsanjani, Ayatullah al Uzma Ali Khamenei dalam satu mesyuarat membincangkan perkembangan di Palestina.

Sumber asal: http://www.presstv.ir

17 January 2009

Kufah

Karbala adalah medan untuk membezakan muslimin, mukminin dan munafikin. Gaza adalah medan untuk membezakan muslimin, mukminin dan munafikin.

Jangan terjebak dengan kumpulan Kufah.

Kufah, nama tempat di Iraq.

Kufah juga menyimpan satu sejarah yang celaka dan menjengkelkan.

Kufah dan penghuninya berkali-kali mengkhianati keturunan Nabi Muhammad saw.




Ahli Kufah misalnya mengkhianati Saidina Hasan. Perang antara Saidina Hasan dan pasukan Mu’awiyyah berakhir dengan perjanjian damai. Itu berlaku setelah orang Kufah berkhianat dan memihak kepada Mu’awiyyah. Demi mencegah pertumpahan darah yang semakin besar; Saidina Hasan 'terdesak' untuk menandatangani perjanjian damai dan membai’at Muawiyyah sebagai khalifah. Dalam perjanjian damai tersebut terdapat permintaan supaya Mu’awiyyah berhenti mencaci-maki Saidina Ali.

Mu’awiyyah menyanggupinya. Akan tetapi setelah perjanjian itu, Mu’awiyyah mencabul perjanjian damai dan terus-menerus menyebarkan fitnah dan mencaci Saidina Ali. Janji Mu’awiyyah kepada Saidina Hasan tidak pernah dikotai. Bahkan tidak kurang dari 70 000 mimbar di bawah kekuasaan Mu’awiyyah melakukan perintah mencaci Ali. Kerana itulah hari ini, ramai ulama dan umat Islam tidak dapat membezakan hak dan batil lagi. Itu semua berlaku kesan dari propaganda mimbar tersebut.

Bukan sekali orang Kufah melakukan pengkhianatan.




Setelah Muawiyah mati, Yazid menaiki takhta (sekali lagi pencabulan perjanjian damai berlaku), Saidina Husein mengirimi Muslim bin Aqil ke Kufah, mulanya ia disambut dengan baik oleh penduduk Kufah. Mulanya! Hal ini mendorong Muslim mengirimi surat kepada Saidina Husein agar datang ke Kufah segera.

Gabenor Kufah yang mewakili Yazid bin Mu’awiyyah telah melakukan peras ugut, teror sehingga orang Kufah berbalik, mendokong Yazid. Muslim dibiar sendiri terkontang-kanting. Ditangkap dan dijatuhi hukuman penggal.

Surat yang disampaikan Muslim tiba kepada Saidina Husein. Saat itu belum ada al-Jazeera atau internet, mahupun sms. Berita kesyahidan Muslim belum terdengar. Berangkatlah rombongan Saidina Husein menuju kufah. Hanya kala tiba di Tsa’labiyah barulah Saidina Husein mendengar kematian Muslim.


Tetapi untuk berpaling dan berpatah balik tentunya tidak.

Perjalanan baginda tetap berlanjut.

Pada tanggal 2 Muharram rombongan Saidina Husein sampai di sebuah lapangan yang bernama Karbala. Tarikh 3 Muharram, Ibnu Ziyad mengirimkan 4000 tentera sementara 500 tentara berkuda diperintahkan untuk menutup saluran air dengan maksud agar pengikut Saidina Husein kehausan.

Persis Gaza hari ini, Karbala dikepung. Bekalan air dan makanan ditahan. Dan syahid nampak hanya jalan. Mungkin, bezanya dengan Gaza ialah ahli Karbala tidak bersembunyi tetapi memilih jalan untuk melawan. Kalau berlindung pun mati, mengapa tidak mati melawan?

72 orang sahabat dan saudara Saidina Husein terpaksa menentang sepuluh ribu pasukan musuh.

Satu kejadian yang paling tragis adalah ketika seorang bayi kecil yang menangis kehausan, mendorong Saidina Husein menunjukkan kepada musuh, dengan harapan simpati akan diberikan, dan air minum akan dihulurkan. Yang terjadi adalah bayi itu dipanah oleh salah seorang anggota pasukan Umar bin Saad dan tepat mengenai perut bayi itu.

Tidakkah ia menyerupai Gaza?

Pertempuran yang sangat tidak seimbang terus berlangsung sehingga Saidina Husein pun gugur sebagai syahid pada tanggal 10 Muharram 61 H setelah kepalanya diceraikan oleh Syimir Zul Tawisyan.

Berakhirlah perang tersebut, dalam tempoh sekejap.


Pada tanggal 11 Muharram 61 H, sebanyak 72 kepala ahlul bait dan pengikut mereka ditancapkan di hujung tombak. Sementara dibelakangnya diseret para wanita dan anak-anak.

Kepala mereka, dan tawanan digiring ke kota Kufah untuk menjadi tontonan.

Katakan Gaza itu Karbala, meskipun orang di Gaza lebih ramai yang tidak berani melawan. Katakan...

Nah, siapakah antara kita tergamak menyebelahi ahli Kufah ini? Kerana itu tidak menghairankan, di sesetengah negara; dalam demonstrasi mengecam kejahatan zionis, bukan Kedutaan Israel dan Amerika sahaja yang menjadi sasaran tetapi bahkan Kedutaan Mesir dan Arab Saudi.

* Foto, ahli Kufah zaman moden? Dari atas Abdullah Gul (Turki), Mahmoud Abbas (Fatah-Palestin), Recep Tayyip Erdogan (Turki), Raja Abdullah (Penakluk Dua Tanah Suci), Hosni Mubarak (Mesir), Raja Abdullah (Jordan).

Bantuan


Kenalilah siapa kawan dan siapa lawan.

Sejak krisis di Gaza memburuk, banyak pihak di negara kita sedang mengutip derma dan bantuan untuk diserahkan kepada rakyat Palestina. Sengaja, sebagai satu ingatan; pejuang dan mereka yang terlibat dalam perlawanan untuk membebaskan Palestina hari ini hanyalah terdiri dari kumpulan Hamas, Khaled Mashaal, (di tengah), Ramadan Shallah, dari kumpulan Jihad Islami, (kanan), dan Ahmad Jebril, Setiausaha Barisan Pembebasan Palestina. Foto diambil ketika pertemuan di Doha, Qatar, 16 Januari 2009. Negara sekutu Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Maghribi dan Arab Saudi memboikot pertemuan ini. Negara bukan Arab yang menyertai pertemuan ini ialah Iran dan Turki.

Presiden Palestina dari kumpulan (Fatah) yang dinamai PA iaitu Mahmoud Abbas yang menguasai Tebing Barat, adalah sekutu rapat Israel dan Amerika. Dia sudah cukup mewah melimpah dan kaya raya kerana persekongkolan tersebut.

Jika saudara ingin memberi bantuan, pada pandangan saya, menyerahkan bantuan dan derma kepada kumpulan munafikin adalah satu kesilapan besar dan hanya menjauhkan lagi Baitul Maqdis dari kita semua. Malah hasrat kita untuk berbuat kebajikan dengan menderma itu akan menjadi satu amal kejahatan pula tanpa kita sedari.

Jadi, pastikan bantuan anda di pihak yang benar. Jangan bantu tukang sembelih.

16 January 2009

Paderi

Beginilah kita umat Islam, pemimpin Arab tidak dapat bertindak apa-apa. Mesir membantu Israel menyembelih penghuni Gaza. Arab Saudi, ya Tuhan berilah hidayah kepada khadam dua tanah suci untuk paling sedikit, mengerti. Turki, ya sebuah negara yang setelah berjaya mendapatkan kontrak berjuta dan menyelamatkan bekalan airnya, barulah berani bersuara. Janganlah berteriak dengan kepura-puraan Recep Tayyip Erdogan; hatta Venezuela dan Bolivia sendiri telah memutuskan hubungan dengan negara haram Israel.

Jika tidak kerana Republik Islam Iran, dan Hezbullah, Palestina akan menjadi seperti Andalusia; tinggal dalam lipatan sejarah. Kelmarin, Iran mendesak Paderi Brockmann untuk memanggil sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (lihat sini) dan ekoran dari itulah saya terpaku mendengar suara lembut, penuh hati-hati tuan paderi ini, membaca kenyataan keras mencela dan menghamun kebiadaban zionis.

Hari ini, saat saya mendengar ucapan Presiden Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Paderi Miguel d'Escoto Brockmann hati berasa amat sayu. Jika anda membaca latar belakang beliau, terserlah keberaniannya sebagai seorang diplomat; khusus dalam menyuarakan jerit-perih orang tertindas di mana sahaja (lihat
di sini).

Di mana pemimpin negara umat Islam? Di mana?

Mengapakah suara paderi katolik yang baik dan budiman ini lebih keras dari suara penjaga dua tanah suci? Lebih menyengat dari suara ulama kita?

Katanya, antara lain: "Gaza is ablaze. It has been turned into a burning hell, the violations of international law inherent in the Gaza assault have been well documented: collective punishment, disproportionate military force. Attacks on civilian targets, including homes, mosques, universities, schools."


* Foto Paderi Miguel d’Escoto Brockmann memeluk Presiden Iran pada 23 September 2008 di Ibu Pejabat PBB, New York.

** Ucapan penuh Paderi Brockmann akan dinaikkan di
http://pedulipalestina.blogspot.com