02 November 2009

Lintasan Hati

Lama saya berada di hadapan komputer ini, memikir untuk menulis entri ini. Akhirnya saya memutuskan untuk menulisnya, dan kemudian lama pula saya memikirkan samada perlu untuk menerbitkannya. Dan kerana tuan-tuan dapat membacanya, ia bermakna saya memutuskan untuk menerbitkannya.

Saya manusia biasa. Jadi ada lintasan hati.

Saya masih ingat pada hari seorang penulis muda bernama Khairun Nasriah memberitahu saya yang Mufti Perlis (sekarang bekas), Dr Mohd Asri Zainal Abidin 'menuduh' saya syiah. Bingung sekejap saya. Kerana serta merta nostalgia saya di Kolej Islam Kelang (sekarang KISAS) kembali. Beliau antara naqib yang saya kagumi. Malah saya pernah mengekornya ke Taman Melewar untuk berusrah secara rahsia dengan Ustaz Yahya Othman, Ustaz Yaacob Hussain dan ramai lagi. Dalam hati saya memikir, masakan ustaz Asri serkap jarang seperti ini. Apatah lagi keluarga isterinya mengenal ibu bapa saya selaku aktivis sebuah parti di Melaka.

Akan tetapi bila saya dihubungi oleh 'seorang syed' menerusi telefon yang mengesahkan khabar yang dibawa oleh Khairun Nasriah tersebut, hati saya serta merta berasa kecewa. Syed tersebut memberitahu yang beliau ingin menyaman ustaz Asri kerana ustaz tersebut dikatakan 'menghina' keturunan para syed dan syarifah di negara ini. Saya hanya mendengar. Kemudian, syed yang saya tidak pernah temui itu mengutus emel, berserta klip video, rakaman ceramah Dr Asri menuduh saya syiah di sebuah masjid dalam satu kuliah maghrib di Perlis.

Saya masih menyimpan klip video tersebut sampai sekarang.

Vonnis in absentia. Saya dihukum tanpa dapat membela diri. Dan serta merta tuduhan itu merebak menjadi dakwaan yang diyakini benar ramai orang. Termasuklah ramai teman-teman di Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya bahkan diberitahu yang tuduhan itu bukan sekali, tetapi dibuat berkali-kali di banyak tempat. Bukti-bukti lain dibawa oleh orang. Saya malah dihubungi sekian peguam yang berasa bakal dapat membuat untung besar jika saya memilih untuk menyamannya.

Ia diburukkan apabila Malaysiakini pula ikut memanjangkan perkara.

Waktu itu saya berasa amat keseorangan. Saya memilih untuk mendiamkan diri. Kadang-kala saya terpekik seorang diri di blog ini membela diri.

Saya betul-betul rasa keseorangan.

Ketupat Cinta di Harian Metro dihentikan. Seorang pegawai tinggi Dewan Bahasa dan Pustaka mengumumkan supaya nama saya digam dari semua aktiviti Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tuduhan Dr Asri tersebut merebak menimpa keluarga saya. Dia terlupa saya ada ahli keluarga. Seperti orang lain, saya punya adik beradik dan ibu bapa. Maka bapa saya seorang aktivis parti pembangkang sering menjadi sasaran kecaman teman-temannya. Ibu saya juga begitu. Juga adik saya yang tidak tahu menahu apa-apa.

Lama sebelum Dr Asri menuduh saya seorang syiah. Saya sudah membaca buku-buku karangan Za'ba yang meminta kita membebaskan diri dari mazhab (Insya-Allah dalam sebuah seminar di sebuah IPT awam pertengahan November ini saya akan membentangkan makalah mengenainya). Buku-buku za'ba tersebut terbitan DBP. Dan saya memuliakan Zaba seperti mana saya memuliakan karya-karya Malek Ben Nabi dan Ali Syariati.

Sayang, saya dituduh dan tidak diberi peluang membela diri.

Ketika tuduhan itu dibuat, dan saya menonton klip video Dr Asri menuduh saya secara semberono, terlintas di hati saya, ya; satu lintasan hati supaya satu hari nanti Dr Asri dapat mengecap dan merasai apa yang saya rasai waktu itu. Tetapi ada suara lain memadam lintasan hati tersebut dengan mengatakan, tidak mungkin beliau akan merasa apa yang saya rasa kerana beliau seorang tokoh besar, ada pengikut dan dokongan institusi. Beliau dipuncak populariti dan kuasa.

Tidak pernah dalam sejarah kesusasteraan tanahair seorang mufti menuduh karya seorang sasterawan sebagai 'sesat'. Saya merasa itu semua. Jika saudara tidak merasa ia tidak serius tidak apa. Tetapi saya sempat merasa hidup dipandang serong oleh orang kerana yang "menfatwakan saya sesat" bukan calang-calang orang. Ada karya saya yang menang hadiah ditarik balik kerana tuduhan ini. Dan saya seorang diri. Tiada Pena. Tiada Gapena. Tiada Kelab MPR. Tiada kawan-kawan di DBP, termasuk yang mengaku kawan sampai mati di Bahagian Majalah. Tiada. Nihil.

Hari ini, ketika saya bangun pagi, setelah pulang dari bercuti melangsungkan perkahwinan; saya membaca berita-berita Dr Asri mempertahankan dirinya bukan wahabi, isu perlantikannya di YADIM, dan paling menggemparkan berita penahanan beliau oleh pegawai JAIS.

Entah mengapa saya terkenang semula lintasan hati saya lama dulu. Dan saya membuka semula klip video tersebut. Menontonnya beberapa kali. Dan lintasan hati saya yang pernah disertai selawat itu dahulu kembali muncul terjelma dalam benak dan jiwa saya.

Saya tidak mahu mengatakan saya gembira terhadap apa yang menimpa Dr Asri. Beliau pernah menjadi naqib usrah saya di KISAS. Banyak ilmu yang saya perolehi daripada beliau. Tetapi ketidakadilan vonnis in absentia yang menimpa saya kini menjadi kitaran buat beliau.

Saya ingin menegaskan, saya membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia wahabi, salafi, syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori. Setiap sekolah pemikiran tidak boleh diharamkan dan dihalang sedemikian rupa. Ia hanya boleh dilawan dan dibantah dengan teori dan gagasan lain pula. Ia mesti diperdebatkan secara akademia. Jika ia (aliran tersebut) ditakdirkan 'kalah' maka ia akan mati dan luput begitu sahaja seperti yang telah menimpa sekolah pemikiran Muktazilah, Jabariyyah, Qadiriyyah dan Ibadi. Jadi, saya ingin mengatakan saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr Asri hari ini. Ia adalah petanda buruk untuk perbahasan ilmu yang sihat.

Saya keseorangan ketika Dr Asri menuduh saya tanpa bukti satu masa dahulu. Beliau lebih bernasib baik, dibela oleh Perdana Menteri dan sekian ramai ahli politik serta kumpulan NGO (termasuk pendokong Islam Liberal seperti Marina Mahathir: lihat sini).

Saya cuma ingin mengatakan dalam entri ini tentang lintasan hati. Saya tidak pernah terfikir lintasan hati diiring selawat tersebut akan menjadi kenyataan. Dan saat itu jugalah saya kian percaya, buat kesekian kalinya; bahawa Allah Maha Adil.

92 comments:

kembara said...

Bersabarlah FT

Faiz As-Syirazi said...

" Setiap insap itu pasti akan dibalas terhadap apa yang dikerjakan" Allah itu Maha Adil.

Khairi said...

Salam,

Anda berdua mengagumkan saya. Mengetahui anda berdua 'berkelahi' rasa tak sedap juga kalau terpalit pada tulisan anda berdua niat untuk mengata buruk antara satu sama lain. Tapi alhamdulillah, 'berkelahi' dengan hujah amat saya suka.

Sejauh mana pun terpisahnya teori akal fikiran anda berdua, insyaAllah, saya cuma pegang bahawa Allah itu satu, Islam itu satu. Berbezanya pendapat anda berdua adalah satu bukti kekuasaan Allah mencipta manusia yang punyai sebaik ilmu untuk berdiri sendiri.

Semoga ganjaran yang terbaik untuk Saudara Faisal dan Saudara Asri.

Nizam Mahmud said...

Apakah perlunya saya meninggalkan 'komen yang menggelikan hati' sekali lagi saudara?

Hari ini Dr Asri entah ke sana pun tidak, ke sini pun tidak. Kalau esok dia mengisytiharkan sokongan tak berbelah bahagi pada kerajaan yang ada sekarang macam mana? Entah-entah, ada jawatan baru yakni jawatan Mufti Utama diwujudkan semata-semata untuk beliau.

Semuanya serba mungkin!

Alasan memorandum menentang perlantikan beliau di YADIM tidak lain tidak bukan adalah dituduh menyebarkan fahaman yang mengelirukan, yang memecah belahkan masyarakat Islam, yang bertentangan dengan fahaman majoriti yakni Mazhab Syafi'e.

Titik noktahnya, atas nama 'kesatuan' dan 'perpaduan' umat Islam, maka suara yang berlainan harus dipadamkan seberapa segera!

Cuba saudara teka, jika hari esok Dr Asri berperanan pula menjadi orang tengah 'perpaduan' UMNO dan PAS dan fahaman Wahabi dihalalkan atas jasa beliau, siapa pula yang akan menjadi mangsa Jabatan-jabatan agama. Siapa pula yang akan di gari dan di dakwa di bawah akta sekian-sekian. Siapa pula yang akan menjadi sasaran tuduhan menyebarkan fahaman yang 'mengelirukan' dan 'memecah belahkan' masyarakat Islam setempat.

Siarkan lah komen yang 'menggelikan hati' ini kalau saudara mahu. Tapi bagi saya adalah jelas, perimbangan kuasa harus ada, kebebasan mengeluarkan pendapat yang walaupun di kira bertentangan dengan pegangan majoriti harus diberikan, hujah bukan dibalas dengan gari dan akta tetapi oleh hujah juga.

Dan saya secara terus terang mengatakan bahawa bagi saya saudara berhak mengeluarkan apa saja hujah saudara, tanpa rasa takut, tanpa perlu berselindung, dan saudara tidak lah boleh sama sekali dihukum dalam apa cara hanya kerana pendapat saudara yang berlainan.

Wallahualam.

denaihati said...

Guru saya pernah berkata doa yang paling HEBAT adalah lintasan hati kerana lintasan hati adalah DOA antara hambanya kepada ALLAH tanpa HIJAP.

fatamorgana said...

dan lintasan hati saya hari ini jadi kenyataan, pasti ada tulisan baru dalam blog FT hari ini..dalam berjuang jangan pernah rasa keseorangan, nanti nampak jalan tu sempit sangat dan dada tu rasa macam nak pecah.
dah bernikah ye? Tahniah dan selamat berjuang :)

mxypltk said...

Hari ini, ketika saya bangun pagi, setelah pulang dari bercuti melangsungkan perkahwinan;...(daripada entri Tn Hj)

Benar-benar keliru ni, adakah Tn Hj FT sudah berkahwin? Tahniah daripada saya jika benar...:)

wnorhaslina said...

Salam

Teringat kembali , saat itu saya sangat mengikuti ketupat cinta bersiri dalam metro.
Sungguh saya jadi geram dengan orang itu.
Allah itu Maha Adil. Tak perlu kita doakan yang tak baik utk org yg menganiaya kita pun. Orang itu akan tetap dapat pembalasannya.

NorziatiMR said...

Moga-moga ada kebenaran yang terserlah disebalik apa yang berlaku.

Kami simpati

Sham al-Johori said...

Salam sdr FT,
Begitulah perjalanan hidup kita. Jauh dari sudut hati kecil saya melihat semuanya sebagai satu sandiwara. Hati kecil saya juga sudah lama menebak sedemikian rupa. Manusia seIslam jugalah yang meruntuhkan tembok Islam itu sendiri. Dan itulah yang paling dibimbang. Moga Allah sentiasa bersama-sama dakwah kita yang terasa kecil berbanding perjuangan para aulia.
Selamat pengantin baharu (maaf sebab baru tahu daripada blog ini).
Salam menuju kebenaran.

cicitHJHASSANu said...

salam tuan...
itulah perjuangan dari berbagai sudut,dan rintangan dari setiap penjuru...

mari kita bermuhasabah...

Anak Bumi said...

terkedu saya membacanya.

(maaf kerana tak dapat hadir pada hari istimewa cikgu).

Zaid Akhtar said...

pulang dari cuti perkahwinan?
apa saudara sudah bernikah?
urm...

innerinspiration said...

Salam Faisal. Saya membaca entri Faisal perlahan-perlahan agar tidak salah faham. Begitu berat perjalanan hidup Faisal. Hidup dalam situasi dipandang serong begitu tetekan lebih-lebih lagi bila kita tiada ruang untuk membela diri.

muqay said...

Allah Maha Adil dan doa insan-insan teranaiya juga dimakbulkan.

Terima kasih Tuan Faisal berkongsi entri ini, dapat juga merasa lapang dada.

fadzlina said...

bersabarlah wahai saudara FT.

orang2 yang menang adalah terdiri dari org2 yg sabar.
:D

خير الأنوار بن قمر الدين said...

kalau tuan FT bukan berfahaman syiah, kenapa komen saya berkaitan syiah tuan tidak siarkan?

putrifarish87 said...

salam, saya mahu berkongsi satu cerita bersama encik Faisal, suatu hari saya mengikuti bengkel penulisan yang dianjurkan oleh universiti saya, di akhir bengkel, saya bertemu dengan penceramah berkenaan untuk bertanyakan perihal encik Faisal, kebetulan penceramah ini merupakan antara orang DBP, jawapan yang saya terima pencermah ini tersenyum sumbing sambil mengatakan encik orang yang 'bahaya sikit'. Mungkin orang tersebut memberi kenyataan berhubung dengan kontroversi Dr. Maza mengatakan encik Faisal sebagai syiah melalui siaran ketupan cinta lama dulu. Allah berserta orang-orang yang bersabar. Saya teringat kata-kata pensyarah saya beberapa hari yang lepas; 'untuk menjadi penulis, kau jangan buka aib orang, kau jangan malu kan orang, kau jangan fitnah orang.Kalau kau ingkar, Allah sudah janji, Allah akan buka aib kau' itulah antara nasihat pensyarah yang saya panggil cikgu. Untuk mengatakan gembira atas kejadian yang menimpa Dr. Maza saya juga tidak gembira, tetapi saya berharap penceramah yang memberi gambaran negetif berkenaan encik akan membaca berita hari ini. saya tidak tahu kenapa saya terlalu berminta untuk membaca karya encik, tetapi jika saya dalam kesedihan saya gemar mengulit novel-novel tulisan encik. Semacam memberi motivasi. Kerana itu saya mengambil keputusan lama dulu untuk tidak memberi perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh pencermah terbabit. Semoga Encik Faisal dan keluarga dirahmati Allah selalu. Kuatlah berdiri untuk sebuah kebenaran.

kyo_9 said...

benar=
Allah Maha Adil~
moga sekalian umat Islam di Malaysia dapat pengajaran dari kisah nih~

Khairulhak H. said...

Sdr FT bercuti kerana perkahwinan? Oh, tahniah. Semoga mendapat keberkatan dan kekal ke akhir hayat. Moga mendapat keberkatan dalam perjuangan juga, insyaAllah.

khairolkhalid said...

Barang lalu usah dikenang..

FdausAmad said...

What goes around comes around..

Imran Malik said...

Faisal Tehrani dah berkahwin ? Tahniah, moga-moga berbahagia sehingga ke anak cucu.

~albazrah~ said...

Jemput baca ni: http://alwakalah.blogspot.com/2009/11/i-am-former-muftiso.html

Tuan Dr. Faisal bercuti kahwin ke? Selamat pengantin baru semoga dikurnia usrah sakinah, zuriat yang soleh solehah.

محمد الهاشمي said...

، تحيتي إلى الأخ فيصل حفظه الله

وفّقكم الله تعالى و سدّد خطاكم،

سلام عليكم

Mr. Z said...

Janganlah disimpan dendam dan janganlah membuka aib yang telah Allah tutupi dan maafkanlah sesama umat Islam kerana itu lebih baik dari mengungkit kembali kisah yang sudah lepas..janganlah rasa begitu banyak piala didunia bahawa kita benar tetapi ingatlah bahawa banyaknya piala didunia kerana kita cuba untuk berjaya

Groom said...

Saudara Faisal...

Baru-baru ini apabila Sumatra dilanda gempa bumi yang dahsyat, maka sewenang-wenangnya ramai berkata bahawa gempa itu sebagai bala dan balasan Allah yang maha adil kepada Indonesia kerana sebelum itu pemerintah Indonesia menembak mati Nordin Mat Top.Tulisan saudara ini kelihatannya serupa dengan tuduhan-tuduhan dalam kes di Indonesia tadi. Cuma satu nasihat saya, dalam tulisan lintasan hati saudara itu, menampakkan betapa hati saudara selama ini penuh dengan dendam kesumat terhadap Dr. Asri yang kata kata saudara telah lama menyusahkan saudara. Maka apa yang berlaku kepada Dr. Asri baru-baru ini saudara dengan mudahnya menjustifikasikannya sebagai 'balasan Allah atau bala Allah' terhadap beliau.Janganlah letakkan diri saudara sama dengan orang-orang di Indonesia itu yang sayangnya tidak rasional dalam 'menghukum' mangsa-mangsa di Padang.Siapalah kita hendak menghukum sesama manusia?

Mr Priceless said...

Salam.

Saham Dr Asri dah naik bak artis.

Pei Pan said...

Aku juga merasai tempias apabila di katakan Syiah - hanya kerana aku baca novel FT. Dasyat manusia menghukum.

Faisal Tehrani said...

Groom
Kalau saya menyimpan dendam mengapa saya tulis begini: 'Jadi, saya ingin mengatakan saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr Asri hari ini. Ia adalah petanda buruk untuk perbahasan ilmu yang sihat.'
Jika saya menyimpan dendam saya boleh membuka 'hal-hal silam' beliau di KISAS tetapi saya tidak melakukannya.
Wassalam

Riesna Zasly said...

salam...

di negara ini, politik bergaum di mana-mana... baik dalam sistem pembelajaran mahupun dunia kerjaya... semuanya ada 'mainan politiknya' tersendiri... dan ini dikira sudah menjadi sudah terlalu biasa...

sampai orang meniaga belacan pun kena karena politik yang sama...

bagi saya yang bertugas berbelas tahun dalam kerjaya kosmetik & herba, turut tak dapat lari dari kemelut yang sama... jika kita hindarkan berpolitik, kita pula dihumban ke dalam kancahnya oleh orang lain... memang sukar untuk jujur...

jalan terbaik kerana terlalu muak berpolitik ialah, bersara dari dunia itu lantas buat apa yan g kita kehendaki dari sudut hati kita... seperti saya... hehehe

wah! dah berkahwin... aduh meranalah...

dr.EISmaAdiba.. said...

mungkin saudara jadi seperti fansuri seketika...

TINTA eMAZ said...

saya masih keliru dengan polemik ini..ternyata dangkal ilmu ini..

TINTA eMAZ said...

saya agak keliru dengan situasi yg panasn ni...mungkin dangkal ilmu di dada...maka tiada tuntas kesimpulan yang terakam di sanubari..
yang nyata saya adalah pembaca setia kolumnis Dr.Asri banyak juga reformasi budaya hidup kita yang digagaskan..berbau reformis..sewajarnya saya di sebelah mane..minta pandangan saudara FT

Tinta Mustika said...

Assalamualaikum,

Tidak mudah mengatakan kebenaran kerana kebenaran selalunya bersari kepahitan.

Apa-apa pun, berlapang dadalah. Islam itu indah, kejahilan dan keegoan manusialah yang menjadikan ia comot.

Buat semua,

Seandainya terasa diri sudah mantap dalam aqidah, rajin-rajinlah pula bajai diri dengan tasawuf. Moga-moga segala racun yang menjadi perosak ukhwah islamiah dapat 'ditawarkan'. Insya Allah.

Selamat Pengantin Baru Buat FT dan Isteri. Semoga Berjaya Mendirikan Mahligai Yang Penuh Sakinah, Mawaddah wa Rahmah. Amin.

sha said...

salam, termenung sejenak membaca entri ini..
inilah kali pertama sy melawati semula blog FT setelah tersebarnya 'fitnah syiah'...
sedangkan sblm ini di blog inilah sy suka membaca dan berfikir..agaknya sy ingin mencari kebenaran dgn cara sy sendiri tanpa dipengaruhi oleh FT....tentu lebih adil kan..
tetapi apabila FT mengatakan melalui keadaan itu berseorangan sy benar2 sedih...
kiranya entri ini merungkaikan beberapa persoalan dalam minda saya selama ini...
saya kagum bagaimana FT menerima 'putaran hidup' tanpa rasa ammarah...
Sesungguhnya hanya Allah saja yang maha mengetahui....

Abi Qalam said...

Salam,

Komen ni khusus untuk FT, dan mungkin orang lain dapat manfaat jugak. Jika nak siar, siarlah.. nak delete, butang delete tu depan mata..

FT, manusia dilahirkan dalam pelbagai kemampuan. Saya faham (husnul zhon) jika FT nak lihat melalui kacamata yang lebih besar terhadap Islam. Jadi kelihatan seperti.. aliran mazhabnya, aqidahnya dan sufinya adalah satu bab akademik yang boleh didebatkan secara terbuka?
Saya kata dan tegaskan, yang ini hanya akan menghancurkan masyarakat. Kenapa?..

Masyarakat awam bukan medan dan pihak yang layak (dari sudut ilmu dan disiplin) untuk membicarakan hal ini. Ini hanya akan menimbulkan penafsiran bebas dan tersasar dari tujuan asal konsep 'kesatuan Islam'.
Gagasan yang FT bawa, hanya khas dan khusus untuk dibicara dan didebat oleh mereka yang ahli, bukan untuk umum.

Tetapi, sebagai founder (kononnya) gagasan ini datangnya juga bersyarat. Orang yang berkeriau teriak pasal Gagasan 1 ummah ni jangan pulak bias, seperti yang FT buat. Ini baru betul, baru mengotakan apa yang dikata. Bukannya sebelah kanan kata gagasan 1 ummah, sebelah kiri kata syiah.. syiah.. syiah..

Banyak-banyaklah kita selawat, sollu 'ala hadratin Nabi wa Alihi wa Ashaabatih

afif said...

"Kebanyakan tidak menyadari adanya wilayah, sebahagian melihat dari satu kutub
Dan, aku menghimpunkannya dalam diriku..

Kebanyakan manusia tidak meyadari penderitaan, sebahagian lari dari penderitaan
Dan, aku berada pada keduanya..

Aku peribadi yang terbebas dari siklus, dan aku jua yang berada di dalamnya
Di luar atau di dalam, untuk aku jalani, untuk aku sadari..

Kehidupan ada pada keduanya. Dalam dan luar, atas dan bawah, zahir dan batin
Keseluruhan...

Kebanyakan orang melihat keluar, sebahagian melihat ke dalam dan aku kembali melihat keluar tanpa meninggalkan yang dalam
Aku melihat pada keduanya dalam satu.."

Alisha Mardhiyah said...

salam...
mmg sy tahu ttg tuduhan dr maza tu... sy terkejut pd mulanya... tp, sy x percaya...

"sesungguhnya Allah bersama org2 yg sabar"

tahniah atas perkahwinan saudara!!!

Umar Sadiq said...

"SELAMAT PENGANTIN BARU"

dari : Para Pencinta Rasulullah s.a.w. di Malaysia.

-umar sadiq-

Wassalam.

House PK said...

Salam Tuan FT, saya faham perasaan saudara, saya selalu percaya "what goes around comes around"

Maka tuan sudah melihatnya dengan mata kepala sendiri sekarang ini..

masri said...

sy tertarik dgn ini - kerana jarang jumpa.

..lintasan hati diiringi salawat..

Badruddin Syah Abdul Wahab said...

Saya tidak dapat mengesan dendam di dalam tulisan ini, dan ya, saya kurang selesa dengan tulisan menghentam indon yang sebelumnya, kerana banyak baur-baur patriotisme. Kesimpulan saya, entri ini penting di mana ia menentang perbahasan ilmu yang sihat. Ruang perbahasan ilmu di Malaysia sudah sedia sempit, kegiatan menahan pemikir menghantar kita jauh ke belakang.

Faizah Roslaini said...

Salam.

Perbezaan pendapat itu satu nikmat. And sometimes some people tend to forget that.

P/s: Saya ingat kan FT dah kahwin! Cet. I learnt my lessons. With you I cannot assume anything.

Tahniah dari kami sekeluarga, ya!

P/p/s: Saya cadangkan FT buat satu sessi membelanja makan peminat-peminatnya sempena berita yang sangat baik ini..!!

fahana_ann said...

Kalau tak mahu irang lain buat pada kita macam tu jangan kita buat pada orang lain..sungguh kita tak buat dan redha dengan apa yang menimpa. ada keadilan Tuhan untuk hamba2NYA..
saya tak menyebelah mana2 pihak sebab banyak perkara lagi yang saya tak tahu pokok pangkalnya, cuma melihat situasi2 ini mungkin menyelongkar banyak perkara..

MODERATOR indie said...

Selamat Pengantin Baru

Selamat Membina Masjid

Selamat Kena Leter...heh!


Daripada Komuniti Islam Independen
aka. Saba Islamic Family


Pesta Buku tahun depan jangan lupa ajak bini hang sekali sign autofraf kat buku. hehe...

Sampai ati ko tak jemput aku.

MKriza said...

Perbahasan ilmu tanpa kepentingan politik adalah wajar.

SELAMAT PENGANTIN BARU BUAT SAUDARA.

Peminatmu, mkriza dan yalin

sinaganaga said...

Zaid,
Anta tak dapat undangan ke? He he.

Kafur said...

di kala kalian berdua duduk bertentangan bola mata dalam bicara fenomena seni suatu masa lalu, sayalah org yg paling gembira...

punyai 2 watak yg berbeza, tetapi keduanya amat sya kagumi.

moga trdpt titik persamaan di antara kalian berdua..

Faisal Tehrani said...

Abi Qalam,
Janganlah sdr mengulangi kesilapan tersebut dengan membuat tuduhan sekali lagi.
Sudahkah sdr membaca habis 'semua' karya saya?
Dalam karya-karya saya ada wacana uluhiyyah-rububiyyah (salafi), ada wacana futuwwah (sufisme), ada wacana kepimpinan (syiah) dan bermacam-macam lagi.
Saya tidak pernah mengaku pencetus gagasan 1ummah ini. Malah elok sdr mulai membaca tulisan Za'ba, Malik Ben Nabi dan Ali Syariati.
Jangan ulang menuduh semberono.
Wassalam.

me,myself n all around da world said...

Askm,

Sudah walimah? mengapa tidak digembar-gemburkan.....=(

farahadibahaziz said...

alhamdulillah...semoga bahagia dengan ujian tersebut...saya juga pernah alami situasi yang seakan-akan demikian...memang sulit ketika melaluinya, tapi cuba tanya hati...sebenarnya, saat itu paling bahagia...cuba tanya betul-betul pada hati...beruntung jadi orang islam kerana dengan iman dan takwa,hati selalu bahagia walau sesulit mana ujian melanda...semoga dirakmati allah selalu...

nurul said...

tahniah atas perkahwinan saudara..

'ILMU'

kalau tidak dibahaskan; sepi....

kalau dibahaskan orang bukan ahli;

mati...

ladyfloppy said...

"Hari ini, ketika saya bangun pagi, setelah pulang dari bercuti melangsungkan perkahwinan;"

- thank u for telling us without really telling.

Selamat Pengantin Baru, semoga dimurahkan rezki dan berbahagia ke akhir hayat.
Tak mahu kenalkan kepada kami semua kah? ;)
- CP

syidah - xiao hong said...

selamat pengantin baru semoga kekal bahagia selamanya, tahniah

Kay Azhar said...

Assalaamu'alaikum.

Sebagai belia yang dahagakan bimbingan yang baik dan menarik, mengapa sehingga kini saya lihat para dewasa sendiri terhijab untuk memandang sesuatu itu dengan sesuatu yang positif?

Berdasarkan komen di blog ini dan lain-lain (sesiapa sahaja), komen yang dibalas pastinya ada yang memandang serong dengan topik yang dibicarakan.

Yang pakar dengan hujah-hujahnya. Yang biasa sokong semberono sahaja.

(Komen saya berkenaan isu ini, saya sokong dengan FT dan Dr. Asri. Saya tidak nampak isu dendam kerana kisah ini diceritakan apabila kisah lama terlintas kembali, bukannya kisah lama diingat sentiasa setiap hari.)

alif.fa.ya.qof.ha said...

Alhamdulillah. Tahniah atas perkahwinan saudara.

Moga bertambah ilham dalam berkarya.

hadi said...

kalau bahasa generasi ppsmi sebut "I have tasted my own medicine & it is bitter"

Oh Me said...

Ah lupakanlah itu semua...ini hari perkhawinan hari gembira...

Postlah gambar wife kat sini...nak jugak tgk gadis yang bertuah ituew...

Zaid Akhtar said...

SinagaNaga,
memang mengejutkan!

Maksud saya, berita FT sudah melangsungkan perkahwinan.

muhaimin sulam said...

Saudara, pernah sekali saya bersembang dengan Dr. Asri sewaktu di Lampeter, UK. Kami satu universiti tapi hanya dua kali saja bertemu dalam tempoh hampir setahun. Antara topiknya adalah karya saudara yang dikatakan menggunakan hadis-hadis palsu dan dongengan klasik. Oleh kerana beliau memang pakar dalam ilmu hadis berbanding saya, saya diam. Tapi pada keseluruhannya, Dr.Asri amat menghargai pengkaryaan dan karya saudara. Itulah yang diungkapkan oleh sahabat saya, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang kebetulan satu universiti yang sama dengan kami.

Memang ada yang Dr. Asri tidak setuju dan jangan lupa ada perkara yang beliau setuju dengan saudara.

Kali pertama saya bertemu dengan Dr. Asri, dia tibai habis tentang PAS. Kebetulan saya memang dari karung parti itu sendiri. Saya percaya, dia memulakan sembang saya dengan persepsi orang tentang saya. Kesalahan dan kesilapan PAS seolah-oleh kesalahan saya!

Sebaliknya apabila bersembang kali kedua, dia tidak lagi membuat andaian daripada sumber lain.

Samada saudara atau Dr. Asri, kalian kena berjumpa, sembang, minum kopi kalau tidak Kopiam saudara, di mana-manapun tidak mengapa.

Ego seseorang yang boleh ditundukkan dengan satu senyuman. Ye ke?

sitinurulhawa said...

semasa tonotn berita tentang Dr Asri saya terdetik - Dr Asri kata FT terpesong, tp dia pulak kena tangkap?

FT tak pernah sendirian. Karya2 FT dah beri bnyk inspirasi pada bnyk org.

Tahniah & Selamat Pengantin Baru ;)

Ibn Yusuf said...

salam.begini saudare ft.kalolah syiah itu 1 aliran yg tidak bermasalah,mengape saudare ft seperti 'dikelar' apabile dr maza membuat sangkaan yg saudare ft seorang syiah?

mengape tidak dgn tenang saudare ft mengiyekn,atau kalo tidakpon bereaksi yg tidak longlai atau keseorangan,memandangkn mengikut pandangan saudare ft syiah itu baik?

pade pandangan saye,apabile saudare ft mndapati sangkaan dr maza itu sbg tuduhan,yakni saudare sbg syiah,saudare ft bereaksi seolah2 saudare ft dituduh trlibat dgn anasir buruk!

disini,reaksi tersebut amat bertentangan dgn pandangan asas saudare terhadap syiah,yakni saudare amat positif dan memuliekn syiah.

jadi,persoalannye,mengape harus sedih,keseorangan dan rase difitnah apabile dr maza mengcop saudare ft sbg syiah?burukkh syiah itu?

adekh saudare keliru atau ade seusatu?

sekadar memohon penjelasan..

ainyusof said...

Salam akhi FT. ramai juga yang tak tahu akhi dah bernikah rupanya. gara- gara hal ini ada rating yang naik.

dan saya terkenangkan Hizairi. kalau dia masih ada, pasti dia juga sudah bernikah

behlul said...

assalamualaikum..

emm..

terkadang saya tertanya-tanya, apakah ilmu itu perlu disembunyikan
atau perlu di hebohkan? islam mempunyai banyak cabang.. namun cabang asas masih tercari, seperti tersembunyi padahal tidak. Kerana ada yang kumpulan hanya pembaca novel sahaja, ada yang memahami konteks ilmu yang terbatas dalam kehidupan dan satu lagi mereka yang membaca adalah juga penulis tentang sesuatu untuk meransang minda, agama, mazhab dan macam-macam lagi..

bagi saya (secara peribadi) lintasan hati adalah biasa, dimana jiwanya fokus kepada sesuatu perkara.. ini kerana disebabkan ilmunya, saya melihat kejujuran dalam karya FT menjurus ke arah itu terlalu banyak sekali..

biarlah Dr Asri dengan agenda yang beragam, dan saya percaya FT sendiri tidak pernah bimbang akan segala hunjaman yang diterima.. kerana al-quran telah menjelaskan..

'Sesungguhnya orang-orang munafiq itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik'

sabarlah FT.. banyak mereka mengenal dengan riwayat, sedikit yang kenal dengan 'dirayah'..

bpboyz said...

terlebih dahulu saya ingin minta maaf kepada saudara Faisal sebab saya pernah terperangkap dengan pihak-pihak tertentu yang menuduh saudara yang bukan-bukan.tapi lepas saya baca novel saudara dan juga komen saudara sendiri baru saya tahu saya dah tertipu dengan hasutan orang lain.harap-harap saudara maafkan la saya ye.

dan teruskan menulis.saya suka karya-karya saudara yang penuh dengan ilmu.sangat menyegarkan otak.

test ZAF said...

salam,

Faisal, Pegang kata-kata Dr. MAZA nih.

"Jika mana-mana pandangan, pendapat atau ilmu saya tidak sama dengan pendapat serta kehendak sesetengah pihak, janganlah saya dengan sewenang-wenangnya dituduh menyesatkan.

"Dan lagi, jangan guna akta dan kuasa yang ada untuk menghalang masyarakat untuk mendapatkan ilmu yang baik," kata Dr Asri.

sumber : http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/11/3/mstar_berita/20091103144709&sec=mstar_berita


Harap selepas ini Dr Asri berlaku ADIL dengan semua sekolah mazhab.

Pokjak a.k.a. Aizat said...

Salam,
lega hati saya setelah membaca penafian daripada saudara. Dapatlah nanti saya terus membaca novel nukilan saudara tanpa rasa gusar, risau dan bimbang. Alhamdulillah.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi said...

Tahniah atas perkahwinan,
Yang baik-baik harus dihebahkan. Elok di'entri'kan walaupun majlis sudah berlalu.

Selamat jadi suami yang mithali!

Faisal Tehrani said...

Sdr Ibnu Yusuf
Untuk mengesahkan khayalan sdr maka sdr pun memutar belitkan perkara. Sesuatu yang Hindraf pun masih gagal melakukannya. Cuba tanya soalan yang sama kepada Dr Maza,
cuma ubah syiah kepada kata wahabi.

Sdr Muhaimin Sulam,
Ustaz Zaharuddin makan setalam dengan saya selama dua tahun sepanjang pengajian kami di Nilam Puri, Kelantan.

Jadi, kedua-duanya kenal saya secara peribadi. Susah sangatkah mencari nombor telefon saya dan menegur saya bahawa hadis yang saya gunakan dhaeif dsbnya? Saya ada ijazah syariah dari UM (ia tidak dipalsukan dan saya dapat second class upper) sama seperti ust Zaharuddin juga.

Bila seorang ustaz, terutama mufti menuduh (saya masih simpan klip videonya sampai sekarang) maka ia adalah sesuatu yang berat. Tempias bahananya turut dirasai adik perempuan saya. Dia ada buat salah apa pada ust Asri dan pengikutnya?

Tidak. Senyum tidak dapat melunaskan semua perkara. Saya menunggu juga bila bertentang mata dengan ust Asri untuk menegur saya tentang sumber2 rujukan saya bila kami muncul di Fenomena Seni dahulu. Tapi tak ada. Jadi saya pun diamlah. Hebatnya, ust Asri sudah berhenti mendakwa2 saya tetapi anak muridnya seperti Mat Malaya, budak hingusan yang belum habis pengajian syariahnya di UM membuat siri ceramah mengata karya saya.

Saya cuma ingin mengatakan yang saya tertindas. Dan sdr pun tahu, saya tidak seperti Dr Asri. Saya tidak dapat dokongan Najib Tun Razak, Abu Urwah, YB Zuraida, Marina Mahathir dan Hishamuddin Rais.

Wassalam.

AsyMok_ambo said...

ini persoalan ilmu tuan...
syiah atau sunni
kita adalah ISLAM
Both ACKNOWLEDGE ALLAH SWT itu ESA dan MUHAMMAD SAW itu PESURUH-NYA.
Itu ASAS AKIDAH.
sekali lagi, INI PERSOALAN ILMU.
tempoh hari, para pendakwah iran datang BERSUA MUKA dengan WALI ALLAH SWT TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT. Dengan penuh HIKMAH, Tuan Guru tak HINA SYIAH sebaliknya menyuruh mereka balik ke iran kerana BUDAYA ILMU di Malaysia amat LEMAH.
Orang kita penuh PERASAAN HASAD DENGKI (PHD)
ambo sendiri dikatakan SESAT.
apa yang ada hari ini, adalh FITNAH
mereka bercakap tentang SYIAH, adakah mereka mengerti SYIAH itu apa?
Wahabi itu apa?
tak apa, ALLAH SWT ada.
MUHAMMAD SAW, roh perjuangan baginda menyinari kita.

Naim said...

Saya baca dlm entri saifulislam yang mengatakan Dr.MAZA pun kaji kitab2 syiah juga.

-:)

ridzuan said...

assalamualaikum..tahniah saudara atas tajuk lintasan hati...moga sesiapa yg mmbacanyA akan lebih berfikiran terbuka dgn pengkajian ilmiah...

"Law of Attraction" said...

Salam,

Ustaz, jangan disiarkan ulasan saya ini.

Saya suka membaca pendapat kedua-dua ustaz Faisal dan ustaz Asri, tapi tak suka perselisihan antara kalian.

Bebaskan dari mazhab memang boleh, tapi jangan ambil yang mudah-mudah untuk semata-mata menyenangkan kita sahaja bimbang jadi amalan yang tidak dihitung Allah S.W.T.

Lagi .... memang kecil hati ustaz tak menjemput ke majlis perkahwinan ustaz (sudah buat majliskah?).

Kat Melaka buat kenduri tak? Aminah nak datang kenduri ustaz kalau belum buat di Melaka. Mesti jemput Aminah dan suami tau. Kalau tak ada kenduri pun nak datang jugak.

Aminah berhijrah ke Melaka ni antara sebabnya ialah nak menginjak di bumi yang sama dengan ustaz tau. He he he. Teringin sangat nak ke rumah keluarga ustaz di Melaka.

Sampaikan salam buat isteri ustaz, ya. Moga berbahagia hingga ke akhir hayat dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah!

- aminahjazilahabubakar
- armanmatshah

roza_1102 said...

sy sokong statemant terakhir ewntri ini...kerana setiap agama ada cabang fahamannya.

Anuar Manshor said...

Hmm biasalah... Buah mangga yang masak lagi ranum, orang akan jolok punya!

Ibn Yusuf said...

khayalan?maaf sedare ft.to be honest,dr maza bukan sahaja tidak mengaku wahabi,malah beliau dlm siri ceramah beliau beberapa kali mengupas isu ini.

lupekn hal beliau.sy brtanye sedare.mudahnye,mengape reaksi sedare bile dikaitkn dgn syiah nmpk bgitu stress,sedih dan frust umpame dikaitkn dgn bnde salah?sy x mmfitnah.posting 'lintasan hati' jadi sandaran sy..

tp,di waktu2 lain sedare agk intim dgn syiah..sy cume perlu pnjelasan,sbb kekeliruan tntg sedare berputar pade hal ini.

kalau brpandu pade reaksi sedare semase dikaitkn dgn syiah oleh dr maza,seolah2 syiah itu buruk dimate sedare.tp pd dasarnye,sedare sering mnjadikn syiah itu rujukn dlm perjuangan penulisan sedare.

jd,ade2 penilaian yg sgt contra trhadap syiah oleh sedare ft..itu yg sy ingin bangkitkn dan mohon penjelasan.

t.kasih.

Farah Adibah said...

alhamdulillah...tahniah atas pernikahan sdr faisal dan isteri...semoga bahagia selalu hingga je jannah allah...tulislah lagi ya novel-novel baru...saya sedang jadikan koleksi di pusat sumber sekolah saya.pengetua juga setuju...semoga dapat mendidik pemikiran anak-anak didik saya...

Faisal Tehrani said...

ibnu yusuf

"tp pd dasarnye,sedare sering mnjadikn syiah itu rujukn dlm perjuangan penulisan sedare."

ini contoh ketara pukul rata atau dalam istilah akademik 'sweeping statement'. di sinilah pusat kekeliruan sdr dan dr asri terhadap saya.

syafiqq1991 said...

Bicara dari bekas penduduk Bumi Waqafan:

emm.. entahle... Pabila saya membaca, terlintas di hati saya kenangan di Kolej Islam... Kami diajar erti Ukwah. itu antara mutiara yang berkilau di hati saya.. Rasa sayang dan cinta antara senior dengan junior dan rakan seumur masih menghijau di dalam hati.. Tapi, kini, kedengaran antara kalangan usrah bercakaran............. entahlah.. masa bagai terhenti. rasa edih jauh di dasar hati kencang mengganas..
Jelas kelihatan dilema antara 'career' , rasa diri, dan tali dipegang.
entahlah..

Ibn Yusuf said...

t.kasih ats respon.beginilh,sy secare peribadi tdk prnh menganggap sedare sbg pengamal aliran syiah,dan sy berdoa agr sy btol.

kalo benar sy ade kekeliruan,ats dasar itulh comment sy brsifat pertanyaan.btul x?

sy hairan dgn respon sedare byk dlm keadaan 'menangkis' bkn menerangkn..oleh sbb itu sy msh trus mengajukn comment.

sy simpulkn dgn mudah tntg ape yg sy pohon pnjelasan.mngpe respon ats tanggapan dr asri itu sedare hadapi dgn pnuh kepayahan?umpame dr asri telah mengaitkn sedare dgn aliran yg bermasalah?

tetapi dlm mase same,tnpe menafikn pendekatan sedare yg menyanjung unsur baik walau drpd ape sumber sekalipon trmasuk syiah, sedare adelah seorg yg +ve pd aliran syiah.

sy tdk jump to comclusion yg sedare ini pengamal aliran syiah,tp sy percaye tntg wujudnye pengaruh syiah dlm karye sedare.

jwpn pertame sedare kpd sy dgn mngatekn sy memutar belit utk merealitikn khayalan sy adelh amat kebudak2an.

sedare seorg public figure n cnderung brbicare hal ehwal agame dlm hujjah mahupon karya2 sedare.oleh yg demikian,sy mmrlukn pnjelasan ini.

jgn mngandai yg bkn2.t.kasih.

barakallahufikum.

Daud Mili said...

Tuan Faisal Tehrani, setelah saya amati beberapa tulisan tuan melalui naluri lemah saya sebagai insan biasa,..memang mendapati tuan meletakkan syiah sama dengan aliran sunnah sedangkan tuan sendiri tahu bahawa kedua aliran ini sungguh berbeza... Saya tidak pasti bahawa tuan sedang bertaqi'ah atau pun memang tuan benar-benar tidak syiah..Isu Dr Asri datang ini adalah isu peribadi beliau,..Beliau punyai musuh didalam gerakan-gerakan agama seluruh Malaysia ini....apa-apa pun saya ingin meminta maaf jika saya tersilap dalam mengenali tuan Faisal,...Oleh itu tuan faisal, jika tuan benar-banar bukan syiah, kenapa tuan masih bersikap terbuka kepada sejarah yang direka oleh penulis-penulis berbahasa Parsi itu?..Muhammad itu Rasul Allah, Abubakar,Umar,uthman,Ali mahupun Muawiyah adalah sahabat beliau...mereka semua sudah tiada.jadi untuk apa kita terus bertengkar...Semua manusia sama sahaja....ada kelebihan dan kekurangan masing2...Semoga kita diberi petunjuknya...

Faisal Tehrani said...

"tp sy percaye tntg wujudnye pengaruh syiah dlm karye sedare."

Ibnu Yusuf yang baik
Apakah pengaruh syiah dalam karya saya? Dan datangkan bukti? Saya tak ada masalah kalau datang dengan bukti. Orang akademik bercakap dengan bukti sebagai alas kesarjanaan. Oleh kerana tiada bukti maka ia adalah khayalan, tanggapan, dakwaan. Jadi di mana kebudak-budakannya?

Ramai yang belum menonton Kopitiam Ghadir contohnya menyangka (macam sdr mereka juga berkhayal) ia mengenai peristiwa Ghadir Khum dan segera menyimpulkan ini tentulah propa syiah. Betul, ia mengenai peristiwa itu; tetapi rujukan saya, malah ditunjukkan dalam pementasan itu; adalah dari Musnad Imam Ahmad yang tahqiq nya Albani. di akhir pementasan saya mengatakan: yang nak pegang kebenaran ghadir khum silakan, yang nak tolak silakan...tapi kita sama-sama Islam biarlah tolak atau terima sekalipun. itu mesej saya.

tapi ramai yang tak tengok terus jump to the conclusion. macam sdr.

Kerana itu saya kata datangkan bukti.

Untuk mengangkat gagasan 1ummah saya memang merujuk pelbagai sumber yang tidak bertentangan dengan al-Quran, sunnah dan sejarah Islam, biar ia aliran apa pun. Jangan bertentangan dengan al-Quran, sunnah dan sejarah yang benar sudahlah. itu saja landasan saya.

Kerana itu bila tiada bukti didatangkan, tanggapan itu tidak bersifat akademik dan ia adalah khayal. orang yang khayal kebudak-budakan. Dan bila ia datang dari orang yang ada PhD macam ust Asri tentulah ia mendatangkan kekecewaan saya. tambah pula beliau kenalan lama.

kerana itu apabila perkara yang sama menimpa beliau, saya bersimpati. dan saya teringat lintasan hati saya satu masa dahulu.

Sdr, yang saya dapati berdasarkan kajian saya; terdapat beberapa perkara pokok perselisihan antara dua mazhab besar ini ialah - apa yang diterima syiah, juga ada diterima ahlus sunnah. saya putuskan itu dengan bukti.

nama-nama imam syiah misalnya ada dalam kitab sunni yang diajarkan oleh pondok kita sendiri! kitab dalam tulisan jawi lama itu ada dijual di jalan Tunku abdul rahman sendiri. dan saya pernah tunjukkan bukti di blog ini. saya scan halamannya dan letakkan di blog ini. ada judul dan halamannya. saya malas nak mengulang2. sebab orang yang berkhayal dan tak mahu terima kebenaran, dicakap apa pun tetap dalam khayalan.

sebab itu saya kesal dengan orang seperti sdr. berkhayal.

IkanStim said...

masya allah
xtau pun dr asri pernah buat statement tu kat FT

pegangan dr asri tak salah pada hemat saya. cuma penjelasan yg crystal clear sangat-sangat penting untuk elak majority jadi bingung

nmz said...

salam buat Faisal Tehrani
tahniah atas perkahwinan
semoga kuat untuk hari hari seterusnya dan menghasilkan karya untuk semmua

Nafastari said...

Saya sangat lega membaca entry saudara yang ini. Kerana saya menyukai anda dan juga Asri, kedua-duanya. Dari awal2 lagi saya sudah bersikap positif terhadap anda dan juga dia, setiap kali saya membaca tuduhan yang dilemparkan kepada anda atau dia hati saya cepat2 menafikannya.

Anarif_88 said...

salamalaik.

pertama kalinya sy singgah di blog milik hj ft dan secara peribadinya, sy gembira dgn penemuan ini.

sy berminat dgn n3 ini, krn ada tempiasnya, wlupun cuma setitis tempias itu mengenai sy.

br2 ini, adik sy mengkhabarkan tentang sebuah video di youtube berkenaan pakcik sy, dr badrul amin bahron, di mana pakcik sy itu menggelar dr asri sbg 'bapak setan' dan setelah dikaji selidik, hal itu terjadi kerana beberapa statement dr asri mengenai ceramah2 parti pembangkang, yg disifatkan dr asri sbg sesuatu yang tidak baik, (ada istilahnya tp sy tidak dpt ingat, jd tidak berani sy mengandai). mgkn hj sndiri maklum tentang hal ini krn isu ini sbnrnya sudah lama dan sy juga br saja membuka mata dgn hal2 ini.

video itu menyifatkan dan mengecam pakcik sy, yg katanya "kononnya ustaz tp berbicara dgn bahasa yang tidak baik di dpn org, ustazkah namanya? ulamakah? wajarkah org begini disanjung2?"

dan ketika sy diberitahu tentang video itu, barulah sy kenal ataupun lebih tepat lg, br sy tahu akan kewujudan dr asri, dan siapa dia di mata umum, rentetan penangkapan dia oleh JAIS tempoh hari.

begitu ketinggalannya sy.

apa yg nk sy katakan di sini, bukanlah pendapat sy mengenai komen atau gelaran pakcik sy terhadap dr asri, dan bukan juga komen dr asri yg mencetuskan kemarahan pakcik sy itu.

tp sy cuma ingin katakan, selagi saudara sedar dan tahu apa juga yg saudara buat adalah semata2 krn Allah, abaikanlah mata2 jahat yg memandang, kata2 buruk yg menampar, krn sesungguhnya pasti saudara sedar, bahawa Allah takkan menguji seseorang itu di luar kemampuannya.

dan sehingga kini saudara masih berdiri, dan itu bererti saudara layak diuji. mungkin jika sy di tempat saudara, sy x sekuat itu.sy juga tidak pasti krn setakat ini, krn sy hidup di luar populariti dan mata dunia, mk sy boleh diibaratkan spt di dlm comfort zone.wlu kdg2 tempias pakcik sy mengena juga pd sy.

walau seorang itu bergelar sahabat, mgkn krn dunia yg menjadi taruhan kala ini (wallahua'lam), saudara kandung sendiri pun boleh dipertaruhkan, dan sy yg naif ini sedar pasti ramai yg maklum tentang hal ini.

oleh itu, doa dan hrpn sy, utk dr sy sndiri, saudara ft, pakcik sy, dan semua umat Islam yg memegang Islam yg sbnr2nya tanpa mengira parti, pemahaman, dan bangsa, semoga indahnya Syurga di sana, milik kita, selamanya, amiin...

wallahua'lam..

jazakallahu khairan kathira..

Ruhul Jadid (روح الجديد) said...

bicara hamba yang hina disisi-Nya..

saya antara yang agak terpengaruh ketika munculnya kontroversi men'syiah'kan tuan dahulu...namun untuk memastikan semua itu saya ada juga bertanya orang yang mungkin mengenali tuan..jadi sumber saya adalah ibu bapa saya yang katanya kenal juga dengan tuan kerana mereka juga belajar di UM suatu ketika dulu..secara jujurnya saya amat mengagumi pemikiran tuan dan dr. Asri..

jadi bila datang pula berita menuduh dr.Asri sebagai wahabi, agak terkejut juga saya sebenarnya..jadi saya hanya mampu bersangka baik terhadap tuan dan dr.Asri sebab saya tahu ini adalah ujian dari Allah kepada anda berdua..

Saya juga pernah ditaklifkan sebagai penyambung rantai perjuangan di KISAS suatu ketika dahulu..jadi bila terdengar kisah dr.Asri dan tuan..timbul juga kesedihan di hati..

tapi apa2 pun semoga tabah dalam menerima ujian yang disediakan Allah kepada tuan..

Ruhul Jadid (روح الجديد) said...

bicara hamba yang hina disisi-Nya..

saya antara yang agak terpengaruh ketika munculnya kontroversi men'syiah'kan tuan dahulu...namun untuk memastikan semua itu saya ada juga bertanya orang yang mungkin mengenali tuan..jadi sumber saya adalah ibu bapa saya yang katanya kenal juga dengan tuan kerana mereka juga belajar di UM suatu ketika dulu..secara jujurnya saya amat mengagumi pemikiran tuan dan dr. Asri..

jadi bila datang pula berita menuduh dr.Asri sebagai wahabi, agak terkejut juga saya sebenarnya..jadi saya hanya mampu bersangka baik terhadap tuan dan dr.Asri sebab saya tahu ini adalah ujian dari Allah kepada anda berdua..

Saya juga pernah ditaklifkan sebagai penyambung rantai perjuangan di KISAS suatu ketika dahulu..jadi bila terdengar kisah dr.Asri dan tuan..timbul juga kesedihan di hati..

tapi apa2 pun semoga tabah dalam menerima ujian yang disediakan Allah kepada tuan..

Abu Muhammad said...

Salam. biasalah fiqh puak tu, tuduh orang lain sesat tak pa. kalu orang tuduh depa sesat, depa wahabi, meracau pulak depa bagai nak rak.

siput_oink2 said...

kebenaran itu tidak pernah tidur..selagi kita dipihak yg benar..usah gentar..ALLAH SWT sentiasa ada..

Nieys Manja said...

sila baca ini... petikan ke 14 :"Saya amat dukacita, jika golongan agama itu suka menjadikan senjata kafir mengkafir, sesat menyesat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan diri, akhirnya umat yang musnah.".....
http://drmaza.com/home/?p=811#more-811