31 October 2009

Sikap Sosial Dalam Persuratan

Merujuk kepada persoalan sikap sosial di atas, persuratan hari ini wajar menjadi medan menawarkan pelbagai kaedah penyelesaian untuk masalah ummah. Menerusi karya persuratan pengarang muslim tidak sahaja menghantarkan pesan dakwah atau menunjukkan kebolehan kreativiti tetapi harus juga memugar segala kerencaman umat Islam supra mazhab yang boleh diadaptasi dan dimanipulasi kepelbagaiannya sebagai satu bentuk formula dan kekuatan baharu dalam menyelesaikan masalah ummah1. Sastera Islam yang hanya menawarkan persoalan cinta, dan menjejerkan masalah tanpa mengungkapkan formula penyelesaian adalah karya sastera Islam atau persuratan yang kurang manfaatnya untuk mendepani penjajahan budaya.

Berhubung rapat dengan hujah di atas adalah adanya kajian yang menunjukkan karya-karya puncak (produk hasil Sasterawan Negara) dalam sastera Malaysia tertumpu kepada aspek membikin-cerita. Ungku Maimunah Mohd Tahir (2009: 50-51) dalam kajiannya mencatatkan:

...penilaian Anugerah Sastera Negara menumpukan perhatian kepada cerita, isian cerita dan cara cerita dibina atau dibangunkan, yang semuanya diperikan sebagai wajar dalam penilaian sesebuah karya kreatif, khususnya yang berbentuk cereka. Seterusnya, tumpuan kepada cerita ini sekali gus memperlihatkan kesenangan dengan beberapa ciri utama pemikiran realisme, seperti yang pernah dikejapkan dengan utuhnya pada gandingan warisan Barat abad ke-19 itu.

...tidak dinafikan ada rujukan kepada ilmu, falsafah dan amanat tetapi rata-rata rujukan tersebut lebih bersifat kenyataan-kenyataan umum, yang tidak pula membincangkan ilmu atau falsafah yang diperkatakan itu. Begitu juga, sering yang dimaksudkan dengan falsafah atau amanat itu ialah isu, permasalahan atau persoalan yang digarap oleh novel atau cerpen yang diperkatakan itu.


Dalam hal ini, sekiranya karya-karya tokoh sastera negara dijadikan contoh pedoman, pengisian sastera yang diinginkan untuk menjadi benteng penjajahan budaya belum terjelma secara benar. Ini kerana jelas, unsur cerita yang mendominasi karya sastera tanahair adalah warisan Barat itu sendiri (penjajah). Sementara pengisian berbentuk falsafah dan pemikiran yang dapat menjadi pemangkin penyelesaian masalah ummah (sikap sosial) tidak kelihatan dalam bentuk yang signifikan.

Seperti yang telah ditegaskan sebelum ini, ICT dan segala macam produk yang berkaitan adalah bahagian peradaban Barat yang dapat dimanfaatkan oleh kita umat Islam untuk tujuan dakwah. Dalam hal ini persuratan atau sastera Islam yang mengandungi sikap sosial, formula atau solusi penyelesaian supra mazhab mestilah menjadi pengisian sekian macam produk ICT yang sedia ada (dan yang bakal bertunas) supaya ia tidak dimuatkan dengan isian budaya Barat yang tidak dapat menjadi penawar buat kita.

Dalam hal ini kekuatan ICT yang dapat menjadi bala bencana (kerana muatan penjajahan budaya) iaitu ‘sumber terbuka2’ dapat menjadi keuntungan sekiranya bijak dimanipulasi. Namun, adalah mendukacitakan ICT sebagai ’sumber terbuka’ kurang menjadi medan untuk berinteraksi, berdialog dan merumuskan ’sikap sosial’. Sebaliknya ’sumber terbuka’ ini digunakan oleh para dhaei untuk memasakkan kebenaran sendiri secara angkuh sambil menelangkup dan menggunjing pendakwah lain yang berbeza pendekatan. Kemunculan ICT sebagai ’sumber terbuka’ telah dijadikan medan vonnis in absentia yang dapat menyalakan perseteruan antara ummah. Kurangnya rasa tanggungjawab daripada tokoh-tokoh agama dalam mengurusi pengikut masing-masing mengakibatkan ICT yang dapat menjadi pusat kekuatan dan manfaat dakwah tercebur kepada pusat fitnah dan dakyah.

Petikan kertas kerja Zaman ICT: Sastera Sebagai Wahana Dakwah oleh Faisal Tehrani yang dikemukakan di Seminar Memperkasa Peranan Tekno-Dha’ei: Cabaran Dalam Pembangunan dan Penggunaan ICT anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia atau IKIM pada 27-28 Oktober 2009 lalu. Kertas ini dapat diakses di suaramalaysia.net.

2 comments:

CIKGU ZAM said...

ramai insan hari ini lupa bahawa ilmu yang bermanfaat adalah apabila kita mempraktikkan dalam kehidupan seharian

AsyMok_ambo said...

wa caya sama lu beb.