03 July 2009

Rahsia Ummi

Aneh sekali saya pernah mengarang sebuah novel seperti ini. Memang aneh. Saya cuba mengingat kembali bagaimana novel ini sampai terdampar di tangan saudara. Rahsia Ummi pernah terbit pada tahun 2003. Kali ini dengan sampul dan edisi baharu Rahsia Ummi kembali ‘menghantui’.

Sesetengah kalangan menyifatkan Rahsia Ummi adalah percubaan gagal saya menulis sebuah novel cinta antara manusia. Tidak mengapa, setiap pengarang akan menulis paling kurang sebuah karya gagal. Namun, terdapat pembaca yang amat menyukainya. Tidak sedikit yang terbuai rasa dan menahan air mata. Malah ada lamaran untuk diadaptasi ke layar perak yang hanya saya sambut dengan ketawa.

Rahsia Ummi mungkin tidak dapat menonjol kerana tiada yang riuh tentangnya sedangkan hampir setiap karya saya memiliki formula riuh dan kompleksiti.

Rahsia Ummi ditulis lama dahulu. Sekiranya pembaca meneliti terasa banyak lipatan zaman telah berlalu. Ada isyarat-isyarat ia dikarang di hujung tahun 90an. Saya sendiri memikirkan imej Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang amat segar dipercik pada Rahsia Ummi kerana saya pernah menetap di sana selama setahun. Persekitaran itu ingin saya dokumenkan. Mungkin itu hanya keinginan peribadi kerana saya dapat mengulang-kenang era saya menuntut di Universiti Malaya. Di sini juga terhampar pengalaman menjambatani integrasi dengan mampir sekejap di Sabah dan Sarawak. Juga upaya saya memain-mainkan bahasa puitis.

Sebagai pengarang yang bertatih di permulaan, saya juga mengalami perit penolakan karya oleh penerbit bergengsi. Rahsia Ummi saya tulis demi memenuhi kehendak sebuah penerbitan. Sedang kala itu kedahagaan saya menuntut dan memerlukan ruang, peluang dan tempat untuk mencurah kreativiti yang bertimpaan.

Pengaruh filem terasa menguasai Rahsia Ummi. Mungkin kerana itu ada tawaran untuk diadaptasi ke filem. Gerak dan sudut penceritaan ibarat gerak dan pemilihan sudut sebuah kamera. Mungkin saya terilham filem In The Mood of Love sewaktu menulis Rahsia Ummi. Latar dan mood novel ini kelam, suram, lambat dan melankolia. Ada dakwaan ia cuba menghiris khalayak seperti filem hindi, Mohabbatein. Mungkin juga saya mengarang novel sepedih ini kerana berada di bawah sihir kanun moden Jose Saramago berjudul Balthasar and Blimunda. Ada khalayak yang bahkan memberitahu saya Rahsia Ummi sungguh misteri sepertinya Cinta Fansuri karya Datuk A. Samad Said.

Mengapa Rahsia Ummi diberi pakej baharu?

Hari ini, Alhamdulillah saya telah berkembang sebagai seorang pengarang. Kebanyakan novel saya intinya wacana, naratifnya penuh liku dan sarat ideologi. Untuk pembaca yang pertama kali mengenal Faisal Tehrani, membaca karya-karya mutakhir saya terasa mendera. Saya mendengar keluhan mereka. Sering saya mencadangkan supaya pembaca yang mahu berjinak-jinak dengan karya saya supaya memulai dengan Tunggu Teduh Dulu yang lebih mesra khalayak. Maka, kerana itulah Rahsia Ummi tampil lagi. Supaya dapat memberi ruang pilihan yang lebih buat pembaca yang baru mahu mengenal saya. Setelah berani dengan Rahsia Ummi, logisnya pembaca baharu akan berani dengan karya saya yang lebih berat timbangannya.

Lain dari itu Rahsia Ummi adalah antara kembara saya dalam bidang penulisan. Perjalanan sejuta batu bermula dengan inci pertama. Rahsia Ummi adalah permulaan saya tersebut. Niat ini ialah supaya karya-karya saya dapat berhimpun sekali. Juga demi memberi kemudahan buat penggemar karya saya mencari novel-novel awal Faisal Tehrani yang amat sukar didapati di pasaran.

Rahsia Ummi harus disikapi seadanya. Ia sebuah karya saya yang paling ‘aneh’ dan kekal ‘aneh’. Keanehan dan keluarlaziman yang ditawarkan berbanding novel saya yang lain itulah yang menjadikan ia ‘aneh’, dan ‘aneh’ sungguh ia masih dicari pembaca sehingga hari ini.

10 comments:

Web Sutera said...

Aneh mungkin, justeru kerana walaupun sudah lama memiliki versi terbitan Zebra, namun masih belum habis membacanya.

Saya telah cuba baca dua kali, tetapi amat payah untuk diteruskan. Mengapakah demikian?

Tahniah dengan desain baru. Cantik!

-- Web Sutera
http://pasalbuku.blogspot.com

Maimi Mat Khairi said...

Assalamualaikum Haji...

hehe.. aneh dan aneh.. masih mencari.. sudah keluar di pasaran kah?? aneh mencari tidak jumpa-jumpa.. :D

ummu firdaus said...

Salam.

Alahai...tak sangka novel Rahsia Ummi ini diterbitkan semula. Saya ingatkan ditulis kembali dalam bentuk naskhah skrip filem Kollywood. Hmm...

Tapi, benar, novel ini dalam kategori novel pop, pada saya. Dan bagi mereka yang teringin melihat novel pop ala-faisal tehrani, silakanlah membaca.

Wassalam.

crixerity said...

wah, akan saya dapat kan sekali dengan maaf dari sorga!!

ada sedikit soalan. adakah saudara akan datang ke teratak hijaz sempena kem sastera anjuran kolej mara banting? harap saudara dapat datang..ingin saya minta autograf sekali dengan novel ketupat cinta yang sudah khatam :)

pencinta bahasa said...

salam,

novel karya FT yang pertama saya baca ialah Bila Tuhan Berbicara dan merupakan novel pertama saya. Kemudian diikuti dengan 1515 sewaktu umur saya 13 tahun dan telah menjadi kegemaran saya.

danke said...

tiada pe yang aneh dgn rahsia ummi,, bg saya stiap novel anda ada isu& istimawanya yang tersendiri.....

pgurlz said...

ngan publisher mana yer.. dah lama cari buku nie..

Joe Han said...

Salam Tn Haji Faisal Tehrani. saya memang salah seorang peminat buku dan karya Tn Haji menjadi pilihan saya. pertama kali membaca karya tuan adalah dari himpunan cerpen pemenang karya sastera utusan, tak ingat yang mana satu. di situ bermulanya minat saya terhadap karya2 tuan haji. paling saya minat untuk membaca berkali-kali adalah 1511 H [Kombat]. memang seronok. penuh fantasi & futurist. fiksi tu saya kira andai ada pengarah filem kita mau menjadikan ia sebuah filem, amat bagus skali.

cuma saya amat payah untuk menghabiskan karya tuan, Karbala. mungkin kerana ia ditulis seolah2 sebuah skrip drama & teater membuatkan saya begitu amat payah untuk menghabiskannya.

fajar said...

Salam,

Barangkali koleksi kisah bersiri Dongeng Kingdom of Flowers yang diterbitkan di majalah Al-Wasilah turut dikeluarkan?

Asyikin Abdul Razak said...

salam alaik..saya lbh menyukai karya saudara yang lbh berwacana, naratifnya penuh liku dan sarat ideologi dan sudah tentu bersifat berat. tak ramai penulis di m'sia brani menulis seberat itu...klu brani menulis pun, tak berpijak di bumi yang nyata..teruskan menulis. saya sentiasa menantikan karya terbaru saudara.