02 July 2009

Mana Setangginya? Mana Fitrahnya?

MASIH baru sahaja pementasan Mana Setangginya berakhir di Istana Budaya. Naskah Mana Setangginya adalah karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan. Menurut cakap-cakap di belakang ia sepatutnya dipentaskan sepuluh tahun lalu oleh Istana Budaya tetapi ditolak 'pihak atasan' Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan waktu itu kerana dianggap keras dalam kritikan politiknya. Saya tidak berminat dengan kritikan politik Noordin Hassan dan tidak penting menghujahkan berani atau tidaknya beliau sebagai pengamal teater. Era politik yang dikritik beliau tersebut telah pun berakhir meskipun ada yang akan menghujahkan ia kekal relevan pada bila-bila masa. Keras lembut kritikannya tidak lagi penting kini. Yang ingin saya perkatakan di sini ialah aspek teks Mana Setangginya dan pementasan yang diarahkan oleh Zaifri Husin itu.

Noordin adalah aktivis teater yang terkenal dengan drama seperti Anak Tanjung, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Jangan Bunuh Rama-Rama atau Bukan Lalang Ditiup Angin? Sebelum memperkatakan mengenai pementasan tersebut wajar untuk kita menghimbau konsep teater Islam yang dipelopori Noordin Hassan. Pada hujung tahun 70 an setelah gagasan sastera Islam menjadi fenomena, obsesi sastera Islam turut mendapat tempat dalam genre drama dan pementasan. Sasterawan Negara Noordin Hassan mengemukakan konsep ‘teater fitrah’.

Rahmah Bujang salah seorang pengkaji drama di Malaysia, menyatakan Noordin Hassan pertama kali membawa ciri keislaman menerusi dramanya Bukan Lalang Ditiup Angin pada tahun 1969. Gaya ‘dramatik Islam’ Noordin Hassan menjadi lebih ketara apabila seterusnya terbit pula drama beliau yang antara lain berjudul Jangan Bunuh Rama-rama, 1400 dan Anak Tanjung. Noordin Hassan menjelaskan tentang teater fitrah dalam esei ‘Intipati falsafah teater fitrah’ (lihat Teater Fitrah dan Esei Pilihan 2002) sebagai; “Suatu pegangan falsafah hidup manusia yang boleh dijadikan jiwa teater kita ialah keyakinan kepada hakikat Islam bahawa fitrah manusia berkehendakkan mereka beriman kepada Allah. Sekiranya manusia telah beriman kepada Allah mengikut lunas-lunas Islam, maka timbullah secara automatik soal akidah, syariat dan pegangan hidup dan mati kita adalah kerana Allah. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa fitrah manusia berkehendakkan iman terhadap Allah kerana keimanan merupakan kunci kepada satu pegangan hidup; dan saya percaya ini boleh dijadikan jiwa kepada falsafah teater kita”.

Noordin seterusnya menyandarkan falsafah ‘teater fitrah’ beliau itu kepada ayat 172 dari surah al A’raf yang menunjukkan bahawa manusia sejak di alam roh telah pun berikrar mengakui keesaan dan kebesaran Allah, manusia meskipun ateis akhirnya akan terpaksa kembali kepada fitrah ini iaitu kewujudan Tuhan (Allah). Menurut Noordin lagi terdapat enam prinsip asas ‘teater fitrah’. Enam prinsip tersebut adalah pertamanya mempercayai bahawa beriman kepada Allah itu ialah fitrah manusia. Cara penyelesaian drama haruslah memihak kepada protagonis dan tidak dibenarkan tergantung. Kedua, pengarang menyedari matlamat dirinya dijadikan Allah iaitu untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Justeru pada drama, watak ‘jahat’ atau antagonis tidak boleh dihukum tanpa kesedaran sebaliknya ‘dijadikan insaf’. Prinsip ketiga ‘teater fitrah’ ialah akidah murni dan syariat menjadi asas kepada niat dan amal di dalam berkarya dan aspek-aspek tersebut mesti dipaparkan pada watak dan perwatakan sehingga ‘penonton merasa tergugah dan berfikir’. Seterusnya yang keempat, ‘teater fitrah’ menuntut dramatis dan penonton untuk beriman kepada Allah di mana drama haruslah mendatangkan kesan rohaniah. Kelima, Noordin Hassan mengatakan melalui ‘teater fitrah’ pembaca atau penonton ‘drama fitrah’ yang beragama Islam bakal mendapat kesan dari prinsip keempat tetapi pembaca atau penonton bukan Islam akan ‘mendapat kesan moral baik darinya’. Keenam atau yang terakhir ‘teater fitrah’ mesti dapat menyentuh perasaan misalnya adengan berjihad mempertahankan negara haruslah meninggalkan kesan patriotik serta kasihkan agama.

Pada pandangan saya, Mana Setangginya yang dipentaskan baru-baru ini menjauhi beberapa prinsip yang digariskan oleh Noordin tersebut. Kerana itulah jika ramai pengkritik memuji (dari pelbagai sudut), saya akan mengatakan pementasan ini sama sekali gagal mencapai satu maksud yang diingini pengarangnya iaitu fitrah. Sebagai sebuah teks suku sureal, suku realisme, suku post moden, suku muzikal yang bersulam intertekstualiti dengan al-Quran dan real politik sepuluh tahun lalu, apa yang digariskan oleh beliau sendiri kelihatan tidak tercapai. Bukankah Noordin menggariskan teater fitrah haruslah menghantar akidah murni sambil syariat menjadi asas kepada niat dan amal ketika pementasan? Menurut beliau, sekadar mengulang, penerapan hakikat keimanan ini supaya ‘penonton merasa tergugah dan berfikir’.

Pada hemat saya, teater fitrah telah terganggu dengan amat serius apabila watak Mira (lakonan Azizah Mahzan) mengucapkan: ’Cahaya, dari mana datang cahaya? Daripada Krishna. Lord Krishna.’ Sayugia diingatkan dialog Mira tersebut adalah intipati ajaran Wilfred Cantwell Smith dalam Towards a World Theology dan The Meaning and End of Religion (terbit tahun 1962). Smith telah menolak kebenaran agama dan menggantikan istilah agama dengan culmulative tradition (tradisi-tradisi manusia dalam sejarah yang dihimpun secara bersama termasuklah mitos, acara keagamaan yang melibatkan tradisi Hindu, Buddha, Islam dan Kristian misalnya). Itulah yang sebenarnya terpancar pada teks Mana Setangginya, himpunan tradisi Hindu, Yahudi, Kristian, Islam digaul dengan mitos, absurdisme, pendekatan korus dan tragedi ala teater Greek berbungkus kritikan politik. Untuk melegakan kekeliruan penonton dan bingung khalayak, disogok pula nyanyian demi nyanyian.

Adalah menghairankan asas pertama teater fitrah iaitu keimanan kepada Allah (dalam hal ini kemutlakan) telah dihantar dalam acuan teks dan pementasan dari tradisi luar Islam (dalam hal ini kenisbian). Adalah tidak mungkin menyuguhkan akidah yang murni dan fitrah manusia untuk mengingatkan kembali taklif (tanggungjawab dasar) khalifah Allah di muka bumi dengan ‘kerancuan’ seumpama itu.

Malah, dalam pementasan, watak-watak ‘jahat’ atau antagonis telah dihukum tanpa sempat bertaubat yang menunjukkan sekali lagi pencabulan konsep fitrah itu sendiri.

Dari segi pementasan, simbol dan lambang yang dimainkan Noordin amat kusut dan tidak diberi kod penafsiran oleh Zaifri sehingga penonton dalam keletihan untuk menerjemah dan memahami naratif. Ini mengakibatkan kesan yang diharapkan oleh Noordin menerusi fitrahnya drama Mana Setangginya bukannya kesan tergugah dan berfikir; tetapi kesan letih dan penat. Sebagai misalan, pembukaan teater amat terasa ‘liarnya’. Buah butir cerita dan dialog sukar ditangkap. Pada ketika tertentu, pasukan korus amat mengacau sehingga tampak watak Juda lakonan Tony Eusoff terganggu tumpuan. Artikulasi pelakon dan pengucapan dialog amat lemah. Dalam kekaburan teks dan kekacauan persembahan (yang terlalu bergantung kepada efek khas seperti letupan, ular gergasi, meteor, gempa bumi dan bidadari terbang) khalayak yang tidak pernah membaca Mana Setangginya ditinggalkan meraba-raba bergantung kepada watak Mira. Ini menjadikan Azizah Mahzan yang peranannya kecil terasa menonjol.

Pengarah, Zaifri Husin juga kurang kemas menangani interteks yang Noordin ambil dari al-Quran iaitu kisah kedegilan masyarakat Yahudi untuk tetap ke laut pada hari sabtu. Tumpuan pementasan adalah kepada hal-hal kecil yang sensasi seperti watak gay, pondan, watak perempuan-perempuan jalang dan adegan ‘sesat moral’. Justeru, sekali lagi fitrah Mana Setangginya terbenam di sebalik semua itu.

Pada bahagian tertentu, pementasan seakan-akan sebuah pementasan teater kanak-kanak. Seakan-akan menonton Siti di Alam Fantasi. Pelakon-pelakon tambahan bukan memainkan watak tetapi serasa ‘bermain-main’. Ini diburukkan oleh kemunculan watak pondan. Juga watak gay yang dikahwini oleh Hawar lakonan Shaharuddin Thamby. Meski mereka muncul sekejap, dan hanya berfungsi untuk menghibur estetika rendah khalayak ia sangat menyelewengkan fitrah yang mendasari Mana Setangginya. Juga menyedihkan, watak ‘penyelamat umat’ Iriam yang dilakonkan Sabrina Ali adalah watak yang latar belakangnya tidak jelas. Apa yang tertangkap pada penonton dan kekal di ingatan mereka ialah Iriam adalah anak hanyut.

Mana Setangginya ternyata adalah kebalikan dari gagasan teater fitrah yang dikemukakan oleh Noordin Hassan. Pementasannya pula menjadikan fitrah Mana Setangginya lebur entah di mana. Sepuluh tahun lalu atau sepuluh tahun akan datang sekalipun, saya kira pementasan Mana Setangginya telah mengguris-calarkan gagasan fitrah indah yang pernah dianjurkan oleh Noordin Hassan sendiri.

Tersiar di Harakah edisi - 29 Jun- 2 Julai 09. Dilarang menerbit kembali artikel ini. Hak cipta terpelihara.

3 comments:

Abqariat said...

EM, SAYA KIRA PENGARAHNYA JUA HARUS DIISLAMKAN...BUKAN KE SAUDARA FAISAL SENDIRI KATA ... UTK MENJADI PENULIS YG BAIK KITA DULU HARUS BAIK... PIKIRAN PENGARAH HARUS DIJERNIHKAN DARI PENGARUH SOSIAL YG BEJAT ITU... WALLAHUALAM, SEMOGA SAUDARA AKAN DAPAT MENGARAHKAN SATU MASA NANTI.

ZaHeaD said...

salam..
ini url forum perbincangan tentang karya saudara:

http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=18&thread_id=8115&rowstart=0

Farani Mustafa said...

saya kira fitrahnya tersekat dicelah2 keberantakan pemahaman.