14 July 2009

Ketupat Cinta Musim Kedua: Ayam Tumis Serai Buka Bicara

Fragmen Ketupat Cinta Musim Kedua yang bakal disirikan di sebuah akhbar terkemuka minggu ini:

Adalah setelah kematian bapa saudaranya bernama Musa al Kadzim dibunuh kejam oleh orang-orang jahat, Tun Lepat itu dihantar jauh sampai ke kota suci Mekah dan Madinah. Arakian Tun Halimah pun mengutus warkah mengajak dan merayu berbiji-biji supaya Tun Lepat pulang ke negeri Melaka kerana tiada pewaris menjaga halal haram makan minum orang Melayu. Jika tiada Tun Lepat itu kembali ke kota Melaka nescaya ramailah yang terkena demam hingus babi. Terlalu ramailah yang menjamu-bedal selera makanan haram kerana tiada lagi bimbingan menu makan minum halal seperti kala hidupnya as-syahid Musa al Kadzim itu. Janganlah tuan-tuan hairankan kerana terlalu banyak orang Islam yang Islamnya ada had dan ada hari, yakni bukan ia sehari-harian Islam seperti dituntut al-Quran dan Nabi di negeri Melaka itu. Malah sejak baginda Parameswara kehilangan isterinya Cik Lo Ganish dan Kamarul Ajaib lantaran dendam Tun Rosjah penuh puaka, tiadalah baginda menjaga lagi mentadbir negeri. Semacam ia orang high lagaknya. Kerjanya menghidu bau-bauan yang harum sehingga tergolek pengsan. Hendak ia makan daun ketum dan mengunyah bunga popi semata. Nyaris baginda tidak terkena massive cardiac arrest. Lebih aneh diikutkan sahaja apa kehendak orang ramai. Baginda sampai bertitah, “Apa yang rakyat mahu dan hendak, sukacitalah beta tunaikan. Tiada beta larang kerana beta percaya rakyat didahulukan pencapaian Melaka diutamakan. Moga tercapai angan-angan beta yang mengimpikan kota Melaka menjadi kota pelabuhan bertaraf dunia.”

Tiadalah siapa yang dapat melarang gila-gila baginda Parameswara. Seratus hari selepas kematian Tun Rosjah, sebagai tanda kesyukuran Parameswara pun mengumumkan sepuluh tambah satu hadiah untuk rakyat Melaka. Antara lain, tiada dijangka orang ialah baginda menitahkan supaya sesiapa rindu dan ingin menjamah daging celeng seperti di zaman jahiliah dulu maka silakanlah. Baginda bertitah berpantun,

“Kayu mumuk uratnya mumuk,

Jangan dipetik buah di batang;

Berjalan gemuk sama gemuk,

Bagai babi pulang petang.”

Arakian pelajar-pelajar Madrasah Makan yang kini berpengetuakan Tengku Tembam atau Ku Bam pun sibuklah memilih kasih memasak lauk-pauk berasaskan daging celeng untuk santapan Parameswara. Kerana jelas sudah isyarat titah baginda itu teringin ia menjadi gemuk seperti babi jua. Tun Halimah pun datanglah susah di hati, perihal apa Parameswara itu bukan lagaknya seperti raja tetapi seperti anak wayang terkena renjatan kilat sahaja. Lekaslah ia membuka sebuah kitab bertulis tangan peninggalan Dato Musa al-Kadzim. Tercatat di situ bunyinya begini:

“Adapun dalam kitab Kethupat Chinta berkata sekalian pekerjaan di dunia ini berdiri di atas dua perkara juga. Satu makan, kedua minum. Bermula pada segala pekerjaan manusia ini terlebih berlaku pekerjaan makan kerana segala pekerjaan makan itu menjadi darah dan daging. Jika baik ia makan maka baik perilaku ia. Jika buruk ia makan maka seperti bangkai juga perilakunya. Adapun barang siapa mengetahui segala perintah alam ini, maka ia tiada dapat terlepas dari halal dan haram makan minumnya.”

10 comments:

ummu firdaus said...

Salam.

He eh, terujalah kita membaca pembuka ceritera. Akhbar apa gerangan ceritera ditaruhkan, khabarkanlah segera supaya bolehlah kita mencari esok lusa...

Wassalam.

Ali Akhbar said...

Ai, lain macam sahaja bunyinya.... "beta percaya rakyat didahulukan pencapaian Melaka diutamakan" macam pernah dengarja......
ya, mengapa tidak di khabarkan gerangan akhbar yang terkemuka itu? Apa suatu rahsiakah?? Bikin suspen.....

Mr Final said...

Terima kasih FT... sebab beri pembaca blog FT membaca dahulu sebelum keluar diakhbar.. :)

ainyusof said...

nak tahu la juga akhbar mana?
metro juga kah macam tahun lepas?

sitinurulhawa said...

pagi2 dapat santapan lazat, saya akan bermood baik sepanjang hari ini :D

naza said...

Salam,

Boleh tak saya dapatkan Ketupat Cinta Musim Kedua ni dalam bentuk buku? Saya rasa lemah sikit kalau kena beli paper utk baca novel ni. Tambahan pula kalau paper tu saya tak beli dan tak selera nak baca. Contoh : Harian Metro.

TQ.

Zaid Akhtar said...

Bro,
siasah atau harakah?
atau sinar harian?
takkan suara keadilan kot?
:-)

Maimi Mat Khairi said...

salam tuan haji...

akhbar apakah disiarkn cerita itu??? :D beritahu kami kelak... peminat setia karyamu...

cinTA GiLA said...

kethupat chenta
musim kedua sudah pun terbit,
maka tiada sabar di hati beta..untuk menyuruh mak inang zaspalela untuk ke toko kitab kinokuniya untuk mendapatkannya,segera,ohh lupa pula kita,ia terbit dalam akhbar,tak mengapalah,kita tunggu ya!

yang benar,
puteri cik siti payung,
:)

Nisha said...

Assalamualaikum, apa khabar semua.
Semuanya hebat bermain kata-kata.

Cuma saya ni makcik tua,
nak menompang sekaki aje,
bukannya nak apa-apa,
cuma minat penulisannya.

izinkan saya linkkan blog ini ke blog saya.

Terima kasih.
Wassalam.