24 June 2009

Terima Kasih Abang Khairy

Argh betapa berbulunya membaca tajuk di atas. Berbulu atau togel rasa di hati anda tidak penting. Abang Khairy, Ketua Pemuda Umno ternyata berbeza dengan Ketua Pemuda sebelumnya (argh anda pun tahu siapa. Yang pukul gendang perang ke atas along itulah!) dan abang Khairy juga berbeza dengan Tun (bukan Tun bapa mertuanya). Walaupun penyataan sikap ini agak lewat, kita terima juga. Kerana ia tidak liwat. Memang murid dan pelajar di sekolah jangan dimangsai sebagai bahan ujian dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Sekiranya Kerajaan yakin dengan beberapa kajian yang telah dibuat, maka buatlah keputusan demi kebaikan masa depan anak bangsa kita," Begitu kata abang Khairy Jamaluddin dalam blognya.

Abang Khairy mengulas laporan Tan Sri Muhyiddin, 'Timbalan Perdana Menteri rakyat kita' yang mengakui bahawa setakat ini, pencapaian dasar tersebut - yang dimulakan sejak 2003 - adalah nominal, yakni tidak memberi impak yang besar dalam penguasaan bahasa Inggeris mahupun pencapaian Sains dan Matematik.

Baru inilah abang Khairy berani menyatakan tentang kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) yang dengan kerjasama lapan institusi pengajian tinggi tempatan Februari lalu telah menyatakan dasar PPSMI gagal total. Sampel PEMBINA adalah 553 orang guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli.

Abang Khairy menukil lagi meskipun agak terlambat kerana kita telah pun tahu lama - "Dari aspek keupayaan perlaksanaan dasar, kajian itu mendapati ramai lagi guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di mana 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris.

PEMBINA, menurut abang Khairy mendapati di sekolah rendah, sumbangan PPSMI adalah rendah khusus bagi mata pelajaran Sains. Ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja. Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan bahasa Inggeris. Di Sekolah Menengah Aliran Sastera pula bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya juga dikatakan rendah. Bagi Matematik ia hanya berjaya menyumbang peningkatan bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains. Di Sekolah Menengah Aliran Sains pula hanya dua mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan. Hai, kalaulah UMNO dari dulu mendengar suara intelektual Melayu tidaklah begini jadinya.

Syukurlah ada orang pandai macam abang Khairy dalam UMNO. Kita mengalu-alukanlah sikap abang Khairy itu meski ya, dapat disorot sebagai terhegeh sedikit. Sebenarnya, lebih cantik kalau waktu Pak Samad kena sembur gas pemedih mata dulu abang Khairy mengeluh begini. Lagi tinggi darjat abang Khairy. Tapi tak apalah. Kira okay juga dari tiada. Sebab kalau abang Khairy langsung diam, kami puak-puak anti PPSMI ini akan berarak lagi sambil menjerit slogan pontianak harum sundal malam: 'Pulangkan...Pulangkan.'

Sekali fikir, mujur juga abang Khairy yang jadi Ketua Pemuda, kalau orang lain yang naik hari itu tak tahulah. Makin terlungkup agaknya lagi bahasa Melayu. Wajarlah 'Perdana Menteri Rakyat' kita menimbang untuk melantik abang Khairy jadi timbalan menteri (paling kuranglah) kerana dalam ramai-ramai pemimpin UMNO yang tidak peduli nasib bangsa, paling tidak abang Khairy menyerlah dan bersikap. Hebatnya, itu abang Khairy lakukan tanpa perlu mencium keris kontot pun. Sukalah hati kita. Untuk jasa baik abang Khairy meski terlambat itu kita ucap terima kasih.

Dalam bahasa PPSMI, untuk membuktikan kami bukan anti bahasa Inggeris, mungkin wajar diucapkan. "Thank you bro, we love you bro."

16 comments:

cinTA GiLA said...

well said brother!
well said!

MKriza said...

Terima kasih abang khairi kerana menjadi lebih berani he he

Atan said...

Salam, Zal;

Memang wajar benarlah pendirian KP UMNO terkini itu dipuji (nak diapakan KP UMNO dulu yang berdolak-dalik tu?)

Saya ada mengikuti hujah ketiga-tiga calon KP UMNO sebelum bertanding dulu - Mukhriz, Khir, dan Khairy sendiri - yang tampak berpendirian murni (menyanggah PPSMI) itu Khairy sahaja. Mukhriz usah cakaplah sebab itu idea ayahandanya. Khir main jalan selamat. Seperti kata, Sdr Faisal, mujurlah yang dua tu tak menang.

Cuma kita masih ternanti-nanti penuh debar. Kajian dibuat, tapi hasilnya tak kunjung diketahui. Sewaktu dilaksanakan dulu, cepat benar, untuk menarik balik, lambat pula. Macam penyakit, "datang macam ribut, pergi macam semut/siput".

Semoga usia Dato' Samad Said, Prof Abdullah Hassan, Dato' Baha Zain, dan pejuang bahasa lain dipanjangkan Allah supaya sempat melihat hasilnya. Amin!

SuaraPena said...

tu lah orang politik.. bile dh terlajak..bru nk sedar.. sepatutnya KJ kena buat statement ucap terima kasih ke pak samad n mintak maaf kerana terpaksa pak samad turun ke jalan raya kerana ketuanan bahasa melayu!! hihup melayu!eh,silap... hidup islam!!he..

BingBong said...

seperti mengajar anak kecil menjaringkan gol tanpa mengajar mereka menyepak bola terlebih dahulu.

Oh Me said...

Aku dah cakap...ada bagusnya jugak Khairy ni

me,myself n all around da world said...

sewaktu debat antara calon pemuda UMNO, khairi nilah yang dilihat mempunyai pendirian. Dan yg plg dilihat sedikit keterbukaan berbanding yg 2 tu. Begitu juga pandangannay ttg ISA.

emam said...

abang khairy hemsem

ziwasi_asi said...

Manusia kot lagu mana pun akan kembali kepada fitrahnya juga...cintakan bahasa bangsa sendiri nih fitrah...lisan bisa fasih melontarkan bahasa orang lain...hati di dalam guna bahasa bangsa sendiri maaa...Tahniah Khairy... moga diterjemahkan dalam perbuatan pula.

hijauoren said...

lame dh x ngan komen... kehkehkeh.. memule bace mmg ase bukan stakat berbulu, mlh ber berkutu pun ade.. tp pas2 bc ayat2 gramatis en FT neh, entahlah.. betul kah khairy begitu concern?

sorry to be too long winded...

Amermeftah said...

saya memang lebih suka melihat Khairy menjadi Menteri Pendidikan

Indrasakty said...

Tiba-tiba rasa sayang pula pada Abang Khairy.

RaveHeartz said...

Terima kasih...

Sahaniza said...

Salam, kepada tuan penulis,

Apa yang penting, sifat mencintai ilmu pengetahuan mesti dipupuk di kalangan anak-anak kita sejak mereka kecil lagi. Bila rasa cinta ni dah utuh, mereka akan berusaha sedaya upaya demi untuk menuntut ilmu walau dalam apa bahasa sekalipun.
Hanyalah pendapat daripada saya dengan rasa rendah diri.

Abqariat said...

beautiful...alrite...eh betul ke ejaan... tenkyu...

Amermeftah said...

Yay! FT lepas komen aku~ FT memang kelakor...