30 June 2009

Faisal Tehrani di Berita Harian

Meletakkan artikel ini di sini mungkin akan menimbulkan salah faham ramai. Seakan-akan masuk bakul angkat sendiri pula. Setelah berfikir panjang, artikel pendek tulisan Saudara Salbiah Ani ini tetap saya titipkan di sini memandangkan blog ini juga merupakan satu bentuk dokumentasi untuk merakam pelbagai perkembangan tentang diri saya, tulisan saya dan apa yang orang perkatakan tentang saya. Terima kasih buat Berita Harian.

Oleh Salbiah Ani

SABAN tahun dunia sastera tanah air menyaksikan tokoh veteran negara ini menerima Anugerah Penulisan Sea, hadiah sastera berprestij peringkat rantau Asia Tenggara yang memungkinkan penerimanya mendapat layanan luar biasa dan penginapan lima bintang di negara penganjur, Thailand.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kehadiran Ogos tidak lagi membawa debar yang berpanjangan di kalangan sasterawan Malaysia kerana ia seolah-olah tidak lagi membawa sebarang makna apabila penganugerahan terbabit hanya berkisar di kalangan penganjur, sekretariat dan penerima.

Tiada lagi publisiti meluas seperti pernah dinikmatinya sebelum ini, baik sebelum penobatan melalui ‘teka-teki’ yang diwara-warakan dalam media cetak yang naskhah edarannya mencapai jutaan pembaca di seluruh negara, sehingga ramai pengarang kreatif berasa ‘iri’ dengan penerima anugerah terbabit.

Khabarnya tahun ini, Jawatankuasa Penilai Anugerah Penulisan Sea yang beribu pejabat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya menerima pencalonan kurang daripada sebelah tangan, meskipun hakikatnya Malaysia mempunyai ramai pengarang kreatif yang mengidam anugerah terbabit dan beberapa persatuan penulis masih lagi bergiat cergas.

Apakah sambutan kurang menggalakkan ini berpunca daripada sikap sekretariat yang tidak ada hubungan baik dengan pengamal media atau mereka tidak melihat kepentingan membuat sedikit pelaburan dalam bentuk iklan di media cetak berbanding majalah terbitan sendiri dengan edaran terbatas sehingga maklumat tidak sampai kepada kelompok sasar?

Atau apakah kerana persatuan penulis tidak lagi berminat untuk mengemukakan calon mereka kerana berasa dunia sastera tanah air, tidak lagi membawa sebarang makna atau calon pilihan mereka kurang berkelayakan sehingga ‘segan’ untuk dikemukakan kepada sekretariat?

Atau apakah reaksi ini mewakili protes senyap persatuan penulis dan kalangan sasterawan kerana mereka tidak berpuas hati dengan kaedah pemilihan Jawatankuasa Penilai Anugerah Penulisan Sea yang selama ini memilih calon berdasarkan genre dan mendahulukan sasterawan kelompok veteran.

Suatu hakikat yang diketahui semua bahawa bukan semua karya kelompok veteran tidak mampu ditandingi kumpulan pengarang muda dan bukan semua garapan penulis muda sampah, meskipun kebenaran hujah ini berubah mengikut individu, selain sudah ada sasterawan veteran yang mahu dinobatkan menolaknya.

Sejarah penobatan Anugerah Penulisan Sea negara ini sudah mencatatkan ada sasterawan veteran yang menolak penobatannya, iaitu Dr Fatimah Busu, apabila dimaklumkan pemilihannya pada 2005 sebagai tanda simpatinya kepada pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam Tak Bai yang tidak berdosa.

Tidakkah jawatankuasa terbabit terfikir kepentingan untuk menukar format pemilihan calon penerima berdasarkan kekerapan karya yang dihasilkan tanpa mengabaikan aspek mutu dari segi idea mahupun teknik penulisan memandangkan, Malaysia ada ramai pengarang kreatif berwibawa tanpa mengira usia?

Pendekatan ini sudah lama diamalkan negara tuan rumah, Thailand dan jiran Malaysia, Indonesia, sehingga penulis muda mereka turut dapat ditampilkan pada arena penulisan peringkat rantau selain berlaku persaingan sihat di antara kedua-dua kelompok pengarang kreatif di negara masing-masing, di samping ada yang menerima lebih daripada sekali.

Seorang mantan sarjana sastera yang juga sasterawan ketika ditanya mengenai perkara ini berkata, Bahagian Pengembangan Sastera DBP wajar menimbangkan cadangan terbabit memandangkan Malaysia mempunyai ramai calon yang boleh dikemukakan dengan sesetengahnya hampir kecewa dengan putaran penggiliran mengikut genre.

“Jika pendekatan ini menjadi amalan berterusan saya bimbang akan ada kalangan sasterawan muda berwibawa yang bosan ‘menunggu’ dan akhirnya hanya berasa nikmat pengiktirafan itu selepas mencecah usia jubli emas atau lebih malang hanya sesudah ‘menutup mata’,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara terbabit.

Pada mata pengkaji ini, calon pengarang muda paling layak untuk dipertimbangkan ialah Faisal Tehrani dengan mutu karya tidak boleh dipersoalkan, seiring dengan kepelbagaian genre diceburi daripada cerpen, novel, drama dan esei, di samping teknik penulisan membanggakan sehingga mampu menarik perhatian pengkaji.

Malahan, sesetengah novel garapannya yang menerapkan unsur sejarah dan futuristik sains seperti Detektif Indigo, 1511 Hijrah Combat, Ikan Fugu, Lukisan dan Jinson serta Manikam Kalbu, turut menambat perhatian remaja termasuk kelompok pembaca yang masih di sekolah menengah.

Faisal Tehrani dikatakan mendahului beberapa saingannya di kalangan generasi muda seperti Shamsudin Othman (puisi, cerpen), Rahimidin Zahari (puisi, cerpen), Marsli NO (cerpen, puisi, novel, drama pentas/tv) dan Abdul Hadi Yusof (puisi), tanpa menafikan setiap daripada mereka mempunyai kekuatan mengikut genre masing-masing.
Bagaimanapun, pengkaji ini tidak melihat adanya pengarang kreatif wanita generasi muda negara ini yang wajar dicalonkan untuk dipertimbangkan sebagai penerima Anugerah Penulisan Sea memandangkan karya mereka belum cukup matang dan kepelbagaian genre mereka masih terbatas.

“Saya bukan mahu bersikap male chauvinist dalam hal ini, tetapi saya tidak nampak sebarang calon di kalangan wanita termasuk mereka yang karyanya sedang dijadikan teks Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) layak dicalonkan untuk hadiah ini,” jelasnya.

Negara ini juga dilihat tidak wajar menggunakan format penggiliran mengikut bangsa seperti amalan Singapura dalam menjaga hati semua kaum kesan negara republik itu mengiktiraf empat bahasa rasmi iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, selain dilihat kurang bijak untuk menggilirkannya mengikut negeri.

Malaysia menyaksikan Datuk (Dr) A Samad Said sebagai calon pertama yang menerima anugerah terbabit pada 1979, Datuk Baha Zain (1980), SN Datuk Abdullah Hussein (1981), SN Allahyarham Usman Awang (1982), Adibah Amin (1983), A Latiff Mohidin (1984), SN Allahyarham Arena Wati (1985) dan Datuk Dr Kemala pada 1986.

SN Datuk Noordin Hassan pula menerimanya pada 1987, diikuti Azizi Abdullah (1988), Dr Siti Zainon Ismail (1989), SN Allahyarham S Othman Kelantan (1990), Jihaty Abadi (1991), Ismail Abbas (1992), Allahyarham Kamaruzzaman Abdul Kadir (1993), Prof Dr A Wahab Ali (1994), Suhaimi Muhammad (1995) dan Zaharah Nawawi (1996).

Prof Dr Muhammad Salleh pula tampil sebagai sarjana sastera kelima yang menerima anugerah terbabit pada 1997, disusuli Allahyarham Dr Othman Puteh (1998), Khadijah Hashim (1999), Dr Lim Swee Tin Malaysia (2000), Zakaria Ariffin (2001), Datuk Dr Anwar Ridhwan (2002), Prof Madya Dr Zakaria Ali (2003), Zurinah Hassan (2004), Abdul Ghafar Ibrahim (2005), Jong Chian Lai (2006), Prof Madya Rahman Shaari (2007) dan tahun lalu Prof Dr Hatta Azad Khan.

Sumber Berita Harian 18 Jun 2009.

15 comments:

enigma said...

tiada apa yg perlu dijengkelkan atau dihairankan di sini krn kehadiran saudara dlm dunia sastera sepatutnya disedari dan diberi pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya sedari dulu lg. Di antara karya2 hebat yg penah sy bc, karya saudara adalah antara yg paling berbekas dan dkt di hati. ya, membesar dgn karya2 saudara.
Ingin sekali sy mengambil kesempatan ini untuk merakam tahniah di atas pencapaian saudarayg amat membanggakan selama ini..tahniah kerana menjadi ikon utk generasi muda....dan jutaan terima kasih secara peribadi krn karya2 saudara byk membentuk jati diri sy..dan doa sy semoga saudara terus berjaya dan mencapai al-falah..amin...

Amal Mina said...

saya merasakan saudara faisal memang sangat berpotensi..
bagi penggemar sastera tanah air, saya memang merasakan saudara membawa gelombang baru dalam dunia sastera..
sama ada dalam bentuk idea, pemikiran mahupun 'kerajinan' dalam berkarya..
Saya doakan saudara terus ikhlas dalam perjuangan saudara...
Selamat berjaya..

Namaku Munirah said...

kekadang masuk bakul ni penting juga, sebagai motivasi diri...betul tak?

Jeffry said...

SALAM BRO..WELLDONE!..KIPIDAP BRO

Nisah Haji Haron said...

Hal ini sudah aku buat 'bising' depan KP DBP, Dato' Baha dan segala VIP sewaktu Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009. Kertas kerjanya sudah aku jadi entri di blog.

masni qisrine said...

tuan mmg layak
teruskan perjuangan!!

H_SYIDAH said...

'belle de boskop' memperkenalkan sy kepada anda semasa sy.lantas menarik sy untuk mngikuti pkmbangan anda. ruangan emel dr faisal tehrani (dlm dewan siswa atau fokus spm.maaf sy xingat yg mana satu sbb kedua2 majalah ini mnjadi teman sy saat dibangku sekolah)mnjadi ruangan kegemaran. menginjak tamat persekolahan, nukilan kembara anda dlm majalah i karangkraf pula tidak ketinggalan setiap bulan.juga novel bersiri anda tggu teduh dulu dalam akhbar utusan (mnyebabkan sy mnjadi pmbeli setia akhbr tersebut smata2 mahu mbaca sambungan kisah salsabila dan betik2nya). tamat pengajian, seorang rakan menghadiahi sy novel tersebut yg telah dibukukn.sudh lma sy mcarinya, akhirnya dpt jgk. karbala, 1515 jgk tlh sy baca.sy tiada sbb yg kukuh knapa sy meminati karya anda. mungkin latar blkg pendidikan anda menarik minat sy untuk menggali pemikiran anda. seorang yg berpendidikan agama mnulis untuk masayarakat. mungkin dunia islam ketandusan penulis yg berfikiran sperti anda. selamat maju jaya.

izyan insyirah said...

biarlah apa dikata orang. FT teruskan perjuangan anda. saya antara orang yang sentiasa menyokong FT.

Abqariat said...

alhamdulillah, saya bangga. tahniah! org hebat akan buatkan kita juga berasa hebat...

aslina_bidadari said...

Salam,

Ok je, jadi penulis bukan seperti jadi artis.. Siapa lagi nak angkat bakul...

adi_fimiyun said...

sokong

Mawar said...

Teh,
peribadi, awak memang layak untuk mendobrak konvensi itu...

Zaid Akhtar said...

Insya-Allah.
Bro Haj,
Kalau dah rezeki takkan ke mana.
Kapan mau berkunjung ke teratakku?
Moga tidak kaulupa jalannya, ya.
:-)

Oghang Ba Ado said...

orang sekarang lebih mengangkat artis2 duniaan berbanding pejuang dan bijakpandai.. tanda-tanda kemusnahan tamadun.. mungkin lepas 500 ke 700 tahun FT meninggal baru diorang nak terima kot? hehehe... jangan marah aaaa....

linakama said...

Malaysia begitu rajin menyimpan "pahlawan yang tidak didendang"