24 February 2009

Peduli

Saya rasa awak, tidak peduli.

Pada 30 Oktober 1966, PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) telah menganjurkan Seminar Bahasa Kebangsaan. Ekoran itu satu rapat umum mencabar kejujuran Tunku Abdul Rahman melaksanakan bahasa kebangsaan dalam pemerintahan beliau telah dianjurkan.

Awak pedulikah agaknya yang bahasa Melayu telah menjadi alat perhubungan dan pengucapan bermakna sejak zaman Kesultanan Melayu lagi. Francois Valentyn mencatitkan dalam bukunya Aud en Nieuw II Del V bahawa pada akhir abad 17 dan abad ke 18, bahasa Melayu adalah bahasa yang paling bermartabat di seluruh kota pelabuhan di kepulauan Melayu. Jika seseorang tidak mengetahui bahasa Melayu seolah-olah dia tidak mengerti apa-apa pun.

Ya, tapi awak Melayu memang selalu berasa diri kecil, awak berasa dengan mengucapkan bahasa Inggeris misalnya, awak lebih berdarjat. Awak, tidak peduli. Awak akan buat pelbagai alasan untuk mengenepikan lidah bahasa bangsa.

Bahasa Melayu telah mendapat perhatian luar biasa seawal tahun 1522. Ini bukan fakta main-main. Antonio Pigafetta, seorang pelayar berbangsa Itali dari Vicenta telah menyusun sebuah kamus kecil hasil penjelajahannya di laut Melayu selama tiga tahun. Kamus tersebut bernama Vokabell De Quedti Populi Mori. Pigafetta belayar bersama pelaut Barat yang tersohor si Ferdinand Magellan. Tentu, daftar kata Melayu itu hanya berjumlah 400 patah perkataan tetapi ia membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang agung dan perkasa hingga menggiurkan orang Barat.

Catatan Jan Huyghen Van Linechotten yang pernah tinggal di Indonesia antara tahun-tahun 1586 hingga tahun 1592 pula membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa yang bukan calang dihormati. Umpama yang dibuat untuk mereka yang tidak mengetahui bahasa Melayu pada waktu itu ialah ibarat orang Belanda yang bebal tidak tahu berbahasa Perancis di Eropah.

Duhai agamawan, saya rasa awak tidak peduli bahawa orang Cina memanggil bahasa Melayu sebagai kun lun sementara orang India menggelar bahasa Melayu sebagai dwipantara. Bahasa Melayu adalah bahasa tamadun. Sejak zaman Seriwijaya lagi kedaulatan bahasa Melayu amat utuh tak digugat sama sekali. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa kuliah agama Buddha di sebuah pusat pengajian Seriwijaya zaman abad ketujuh. Ini dirakamkan oleh pendeta Cina I Tsing.

Duhai ustaz dan ustazah yang tdak peduli, Ibnu Batuttah dalam Rihlah Ibnu Batuttah mencatat kesungguhan penghuni Perlak menggunakan bahasa Melayu untuk perkembangan agama Islam. Kedatangan Islam telah mengubah paksi keistimewaan bahasa Melayu dan mengangkatnya ke taraf yang paling wajar. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmu. Sekolah-sekolah pengajian agama yang melata di Pattani sehingga membiaknya pesantren di Jawa atau pondok yang bercambahan di Kedah merata santak ke Acheh dengan pembukaan zawiyah demi zawiyah. Islam telah mengangkat bahasa Melayu dari sebuah bahasa pasar di pelabuhan, sebuah bahasa umum yang tiada kepentingan kepada sebuah bahasa yang menyatukan umat dan bahasa yang cermat digunakan sebagai akar hujah falsafah, debat pengajian dan buah fikiran manusia tamadun alam Melayu. Semua itu dikukuhkan dengan perkembangan tulisan Jawi.

Ustaz kita tidak peduli kerana seingat saya, dahulu para ulama dan tokoh bahasa bahu membahu memperjuangkan bahasa Melayu. Tokoh bahasa termasuklah para ulama telah bertungkus lumus menulis kitab dalam bahasa Melayu lantas membantu penyebaran bahasa ini ke seluruh rantau. Kita perlu berterima kasih dengan Syeikh Abdur-Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Muhammad Zain al-Faqih Jalaluddin, Syeikh Muhammad Khatib, Mohd Yusoff Kenali, Syeikh Daud bin Abdullah dan ramai lagi kerana menolongkan perkembangan bahasa Melayu.

Awak agaknya tidak peduli, awak tidak tahu sejarah. Jahil. Bahasa Melayu jangan dinafikan kebolehannya untuk menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan kerana sejarah membuktikan tamadun Greek dan Roman dilanda strok mengejutkan setelah kemalapan bahasanya. Juga ingatan bahawa bahasa Sepanyol, Perancis dan Inggeris tersebar jauh kerana penerokaan dan penaklukan Barat.

Awak mungkin ingat-ingat lupa yang satu dasar kebudayaan kebangsaan telah berhasil digubal untuk negara Malaysia dalam tahun 1971. Begitu berhasilnya perjuangan orang dulu, dari Bahasa Melayu kuno yang terdapat pada prasasti bertulisan Pallawa antara abad ketujuh dan sembilan; kedatangan Islam mencambahkan lagi kecemerlangan bahasa Melayu seperti dinukil oleh Syeikh Abdullah Arif dalam Bahr al-Lahut. Jangan lupa pula Hikayat Raja Pasai yang dipercayai selesai dikarang tahun 1326, ia menunjukkan bahasa Melayu telah diterima pakai sebagai bahasa ilmu dan bahasa medium pendidikan yang gah lagi gagah. Bahasa Melayu telah lama menikmati taraf lingua-franca lama sebelum ketibaan pedagang Arab dan Islam tetapi akidah Islam telah melonjakkan keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan tiga kaedah iaitu melalui kegiatan penulisan, menerusi perintah dan sokongan pemerintah atau istana dan melalui penubuhan institusi pendidikan yang mendokong bahasa Melayu seperti langgar, rangkang, madrasah dan sebagainya.

UMNO tidak peduli. Hari ini institusi pendidikan kita di bawah sebuah parti bernama UMNO, yang selepas pilihanraya lalu berhasrat untuk ingin terus relevan dalam kalangan orang Melayu telah meneruskan dan melakukan onar. Mereka khianat terhadap ulama yang mengembangkan bahasa Melayu. Khianat terhadap tok nenek mereka sendiri. Khianat terhadap sejarah bangsa sendiri. Dan bila khianat terhadap sejarah, mereka juga khianat tehadap masa depan bangsa. Kerana tidak ada masa depan yang terpisah dari masa lalu.

Kalian semua tidak peduli kalau kita sebagai sebuah bangsa terlungkup dan karam. Hilang jati diri. Sedang bangsa-bangsa lain kekal mempertahankan bahasa masing-masing. Tulisan Jawi kita telah hilang. Tetapi tulisan Cina dan India kekal dalam dakapan anak bangsanya.

Awak pedulikah, kalau saya katakan kedatangan penjajah secara tersusun telah mencabar kemuliaan bahasa Melayu. Dasar Inggeris sebelum kemerdekaan ialah pecah dan perintah dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa vernakular dalam sistem pendidikan yang berasaskan kaum. Bahasa Inggeris dimajukan sebagai bahasa pengantar sekolah elit untuk anak bangsawan. Saya tekankan kalimat ‘bangsawan’. Saya ingin mengingatkan anak-anak bangsawan yang akan memerintah UMNO mulai Mac ini supaya sedar diri. Dan menyeru kalian jangan menafikan usaha dan keringat tokoh seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidek, Mahmud Ahmad, Ahmad Bakhtiar dan Ahmad Murad Nasaruddin selain Pak Sako dan Ahmad Boestamam yang mengimpikan kedaulatan bahasa Melayu. Janganlah kita jahanamkan usul Mohd Ariff Ahmad dalam memorandum Asas 50 kepada kerajaan, memorandum yang dipimpini dan ditandatangani oleh Keris Mas dan Usman Awang. Usahlah kita kembali kepada titik hitam sejarah negara dalam tahun 1969 kerana salah satu faktor kejadian keji itu terjadi ialah kerana kegagalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan. Tokoh-tokoh terdahulu telah melakukan terlalu banyak.

Jangan jahil menjadikan Singapura sebagai contoh, kerana adalah amat tidak wajar kita merujuk sebuah negeri kecil yang masih mencari identiti serta tidak bertemu jati diri.

Tamadun Parsi, India, Mesopotamia, Cina, Jepun malahan tamadun Melayu sendiri berjaya dan telah membuktikan keupayaannya dengan menjadikan paksi keunggulan tamadun menerusi bahasa ibunda sebagai tunjang.

Berhenti tidak peduli. Jangan biar bahasa Melayu pudar dan hilang seperti tulisan Jawi. Jangan. Saya merayu supaya jangan tidak peduli.

Marilah kita peduli.

Bak kata Allahyarham Usman Awang: 'Anak Melayu, namamu telah diseru, jawablah sebelum lidahmu jadi bisu.'

26 comments:

Faizal said...

Salam Tuan Hj Faisal..
Mohon izin untuk saya link kan entri blog tuan di blog saya..

Terima kasih

SyaFia said...

saya hanya seorang blogger biasa.
soeorang pelajar sains komputer
yang mempunyai blog biasa
menggunakan bahasa yang biasa
bahasa melayu

sedaya upaya bahasa melayu
walau perkataan sukar dibentuk
kerana kurang rujukan..

patutnya.. DBP atau sesiapa sahaja patut menolong orang seperti kami,
pengguna bahasa melayu didalam blog-blog internet dan komputer kerana perkataan sukar dibentuk jika tiada siapa yang melenturkan.

tiada rujukkan atas talian yang sesuai untuk digunakan sebagai rujukan. atau mungkin kami yang tidak menjumpainya

alien said...

mereka x peduli semua tue..
apa yg boleh diubah..ubah..
yg boleh dipinda..dipinda..
janji drg leh dapat nama dan disanjung katanya.
utk mereka sendiri, bukan utk melayu.

fital said...

Melayu hampir hilang segalanya. Tanah, jati diri, bahasa, budi bahasa,politik dan ekonomi.

Kekuatan ekonomi? jauh sekali.

Kekuatan politik? dihimpit oleh tekanan kiri dan kanan.

kekuatan bahasa? makin hari makin teraba.Siapa yang nak perjuangkan Bahasa Melayu? hanya segelintir cendiakawan dan pecinta bahasa yang tak pernah putus asa.

Sedih mengenangkan nasib bangsa.Takut hilangnya segalanya.

FJ said...

sekadar berkongsi: beberapa bulan lalu sewaktu saya mengikuti kursus wajib untuk pee.tee.dee., kami diminta menyediakan sampel minit mesyuarat. kebetulan kumpulan saya dapat tajuk yang berkait dgn penggunaan bahasa inggeris dalam pengajaran m3 dan sains ni. ironinya, pensyarah kelas modul bm kami tu asyik bercakap dengan banyak bersulam bahasa inggeris. ironinya lagi, dalam 10 ahli kumpulan saya cuma saya seorang saja yang tidak setuju dgn dasar PPSMI. maka terpaksalah saya bertukar kepada suis robot dan sama-sama menderaf minit tersebut ikut kata majoriti (namun dalam hati saya kecewa!)

amirul nazri said...

Salam Tuan Haji, terkenang semasa di UKM dulu, bila diajak mempertahankan Bahasa saja, ustaz-ustaz FPI selalunya akan kata, cinta bahasa x pa, kalau perjuang x boleh, itu dah sekular dah tu..., Memang mereka x peduli pun...

suara saudara said...

Assalamualaikum..

Saudara, sesungguhnya pengkhianat bahasa tidak faham, bukankah Allah s.w.t. turunkan tiap-tiap bangsa bahasanya sendiri, untuk kita tutur seharian dan menjaganya..

Ayuh pejuang bahasa!
mara selamatkan Bahasa Melayu,
sebelum tiba masa kecewa,
pudar bahasa dari bangsanya.

a.afandi said...

bahasa bangsaku
tenaganya hilang
jasadnya terbang
kerana pudarnya tidak dibendung
bahasa penjajah yang diagung-agung

NiQk said...
This comment has been removed by the author.
Salbie S said...

Takkan melayu hilang di dunia.Bergunakah lagi ia di zaman sekarang ini di mana hak melayu hampir hilang segalanya?.
Ya saya peduli dan cukup bimbang andai bahasa melayu hilang terus.
Hanya yang peduli sahaja akan merasakan kehilangannya.
Apa nak jadi agaknya?.

Ayat Al-Akhras said...

salam. bahasa jiwa bangsa. memahamkan agama, mendaulat negara

Faisal Tehrani said...

NiQk
Kasihan lojika saudara. Kalau saya kata bangsa Jepun makan biawak untuk maju, maka sdr akan makan biawakkah?
Tiada siapa melarang sdr atau kita semua untuk menguasai pelbagai bahasa. Ada inti pati artikel di atas melarang sesiapa untuk menguasai bahasa Inggeris atau bahasa lain?
Isunya ialah kemahiran berbahasa tidak dapat ditegakkan dengan penggunaan bahasa inggeris dalam sains dan matematik.
Sdr rasa sdr benar kerana sdr dah pergi Jepun beberapa kali melihat sendiri? Bagaimana sdr ingin menjelaskan Profesor Ungku Aziz yang merupakan graduan universiti terulung di Jepun, dan merupakan penutur dan pembaca bahasa Jepun (juga Inggeris) yang fasih turut menolak dasar beku ini?
Sdr Niqk, kalau sdr nak makan biawak seorang, makanlah. Jangan tuduh kami yang tak makan biawak yang haram itu sebagi mundur dan ketinggalan zaman!

khairul anuar said...

saya tidak setuju dengan kata sestengah blogger yang mengatakan susah untuk mencari perkataan dalam BI untuk BM. leaps tu, salahkan DBP. nak kata bodoh tak juga sebab rata-rata semua ada kamus.

penggunaan perkataan dalam bahasa inggeris adalah bertujuan supaya penulisan mereka tidak dikatakan terlalu "skema"

dan akan nampak buruk bila terlalu MELAYU.

salam ziarah...

kz ahmad said...

Salam,

Saya bersama perjuangan Bahasa Melayu!

pembaca perlu melihat bahasa melayu, bahasa bangsa dan kepenggunaan bahasa inggeris dalam konteks hari ini - dua perkara yang berlainan. Juga kepenggunaan bahasa-bahasa lain bersesuaian.

Aku said...

Bismillah

Assalamualaikum

Kalaulah Bahasa Inggerisnya ditukar ke bahasa arab, apa pulak semua nak cakap?

Nama saja orang islam, tapi baca quran tak faham apa apa. Di dalam solat pun tak tahu apa yang dibacanya. Kenapa benda ni tak diberi penekanan juga? sepatutnya sebagai orang islam, apa yang dikatakan di dalam solat harus difahami dan dimengertikan demi memperkasakan Iman kerana apabila kita memahami makna solat di dalam sanubari kita maka kita akan tunduk dan patuh pada kebaikkan.

apabila ditanya ,

a: 'are you a muslim?

b: yes i am a muslim

a: do you understand quranic language?

d: no i dont understand"

kalaulah tiba-tiba Sains dan Matematik hendak di ajar dalam bahasa buku yang ditulis oleh ibn sina dan alrazi, adakah kita akan kata, "tentang bahasa arab sebab ia akan mencabar kedudukan bahasa melayu?"

Sedangkan Bahasa Melayu yang digunakan sekarang ini adalah hasil pencantuman banyak bahasa termasuk persia, arab, india , portugal, inggeris etc.

Huruf huruf jawi pun bukan melayu punya.
Arab yang punya.

Sanskrit? itu dicedok dari Kitab Hindu. Bumi, Syurga itu semua bahasa Hindu.

Jadi di mana keaslian bahasa melayu itu sendiri?


Bahasa melayu bukan kukuh kerana keasliannya tetapi kerana keistimewaannya yang datang dari hasil pencantuman pelbagai bahasa. Itulah bahasa melayu bahasa yang membuktikan ayat Allah;

"Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal.""

Bagi saya, tak ada masalah dengan Ppsmi. Yang perlu ditekankan ialah kemantapan bahasa Melayu yang di ajar di sekolah dan di penekanan oleh dewan bahasa dan pustaka sendiri terhadap masyarakat.
Jadikan aliran sastera melayu pelajaran wajib di sekolah. Adakan program program khusus dan wajib memantapkan sistem bahasa melayu di kalangan anak-anak Malaysia di sekolah mahupun peringkat menara gading dan ianya harus menjadi kemestian kepada setiap individu di Malaysia tak kira Melayu, Cina atau India mesti fasih di dalam bahasa Melayu contohnya sebagai syarat-syarat mendapatkan pekerjaan.

Di Iran sendiri walaupun pemimpinnya tidak mahu langsung bercakap bahasa Inggeris tetapi pihak kerajaan mereka kini telah menyedari kepentingan Bahasa Inggeris diperingkat global yang dewasakini memaksa individu dari pelbagai negara untuk berkomunikasi dan bertukar pandangan demi kepentingan dan kemajuan masing-masing. Mereka mula membuka kelas kelas Bahasa Inggeris untuk rakyat termasuk pelajar-pelajar agama mereka di Qom juga sudah mula mempelajari Bahasa Inggeris. Tapi pada masa yang sama mereka terus mengukuhkan bahasa Parsi dengan cara mereka tersendiri.

Sumber untuk umat melayu dalam bidang sains dan teknologi masih jauh berbanding sumber yang sudah ada pada Umat jepun atau Parsi sejak dahulu lagi. Disebabkan itu kita harus menghampiri Bahasa Inggeris untuk mencapai ilmu-ilmu tersebut yang kini luas di pelopori bangsa yang menggunakan Bahasa Inggeris.

Jangan kita berlaku sombong pada yang tempat yang tidak sesuai. Sebelum ini, tanpa menggunakan Bahasa Inggeris di dalam Matematik dan Sains pun masih ramai individu-individu di Malaysia yang bukan berbangsa Melayu tidak fasih dalam berbahasa Melayu atau tidak tahu menahu lansung akan bahasa Melayu malah mereka lebih suka pada bahasa Inggeris. Di mana penekanan BahasaMelayu pada bangsa Malaysia sendiri sebelum ini?

Jika di katakan UMNO sahaja yang tidak memperdulikan Bahasa Melayu, bagaimana pula ramai umat melayu yang tidak pandai berbahasa Inggeris berbanding orang2 cina dan india? Permainan apakah yang sedang kita hadapi?

Isu ini amat berguna kepada Mat Jenin perdana menteri(anvar) untuk memperkuda rakyat2 yang tidak tahu menahu tentang betapa program ini dapat membuka minda rakyat tentang penipuan orang-orang yang suka mengambil kesempatan di atas sindrom "lack of awareness" yang di hadapi umat islam dan umat melayu khususnya bahawa ada sekam di dalam api yang sedang memusnahkan kedudukan bangsa Melayu.

Ilmu meninggikan darjat manusia. Di dalam konteks Ilmu tidak ada sempadan. Iman yang memainkan peranaan dalam mengekalkan identiti sesuatu bangsa apabila bangsa itu bersyukur menjadi diri mereka sendiri.Tagih ilmu walau di mana ia berada kerana ilmu agama,bangsa dan negara menjadi mulia ..

FdausAhmad said...

"Opinion is like an asshole..everybody has one"

Dalam Bahasa ibunda..

"Pendapat itu ibarat lubang dubur.. setiap seorang ada satu"

Dyat said...

Salam abang faisal.

Saya setuju PPSMI dimansuhkan.

Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa ibunda sepatutnya dimajukan ke peringkat IPT.

Langkah mengetepikan Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah adalah satu langkah ke belakang.

Saya peduli!

singamaraja said...

Salam

Singamaraja melawat blog anda

Benrauf said...

Salam sejahtera kak zal. Aku rasa bangsa dan bahasa melayu sudah lama mampus seperti mampusnya utusan dibeli bangsawan-bangsawan itu.

fatamorgana @ tok_laki said...

KOmen ini untuk @AKU

Baik Tekankan Bahasa Arab. Afdal, banyak pahala didapati. 1 huruf dapat pahala. Tapi kalau memaki atau mencarut guna bahasa arab dapat pahala juga? Tp, mmg patut kita faham bahasa Arab pun...

*Memula baca komen @AKU cam bagus tp rupanya pandainyeee..... banyak minum susu dalam tin eek...

@AKU! jadilah orang pertama la ye... yang perjuangkan bahasa Arab (bahasa Syurga) di Malaysia ni. Tp, x lah berharap. Sokongan tu ada la.

Rob Bunny said...

Bahasa Melayu adalah bahasa agung buat kita..aku mmg peduli...aku takut,20 tahun akan datang generasi kita sendiri tidak tahu utk bertutur dlm bahasa agung ini..

Renung2 kan lah....

Aku said...

salam,

to fatamorgana,

sebab itu saya cakap kenapa tak tekankan bahasa arab jugak?itu amat penting.. sebab itu sistem islam hadhari sedang berusaha untuk memasukkan subjek bahasa arab di dalam semua peringkat sistem sekolah.tapi malangnya orang yang membenci kerajaan memandang semua yang dibuat kerajaan adalah busuk!


islam juga tak larang untuk kita belajar bahasa lain untuk mencedok ilmu mereka.. Imam Imam dari kalangan ahlulbait merupakan antara orang orang yang selalu menekankan aspek ilmu ke atas pengikut mereka dan mereka juga boleh berbahasa dalam banyak bahasa..
Pada zaman keagungan Islam, bangsa Arab misalnya, terpaksa belajar bahasa Yunani, Ibrani, Sanskrit dan Parsi kuno kerana kebanyakan teks-teks ilmiah sains tabi'i dan matematik adalah ditulis dalam bahasa-bahasa tersebut.

bagaimana pada waktu zaman Ibn Sina, Alrazi, etc? Mereka itu berbangsa Parsi tetapi mengapa bahasa ilmu yang ditulis ke dalam lidah arab? sebab zaman itu bahasa arab pula menjadi pelopor bahasa ilmu di serata dunia.hatta orang-orang di eropah juga datang mempelajari bahasa arab untuk memahami ilmu ilmu yang telah dikembangkan di dalam lidah arab.


PPsmi akan membantu ramai anak anak melayu menguasai ilmu sains dan matematik yang setiap hari berkembang dengan pesat tanpa buang masa .Ini akan menyebabkan anak anak melayu lebih mudah mendalami ilmu-ilmu tersebut tanpa terpaksa menanti buku2 untuk diterjemah dengan cepat sekaligus mengembangkan lagi ilmu yang dipelajari dan kemudian menterjemahkannya pula ke dalam bahasa melayu.Budak-budak kampung yang saya tanya sendiri, mereka amat suka dan selesa belajar sains dan Matematik dalam bahasa inggeris.


kenapa mula-mula sedap? sebab kedengaran seperti saya menentang ppsmi? selepas sedara ketahui saya menyokong ppsmi, jadi saya diangap seperti 'banyak minum susu dalam tin'?

Saya sejak di bangku sekolah memang diwajibkan belajar bahasa arab .Pergi sekolah arab..Agama saya islam dan Quran sebagai panduan pun dalam bahasa arab..arab juga keturunan saya,Jadi tanpa saudara syorkan, memang bahasa arab menjadi perjuangan saya juga.

Sebagai penyokong ppsmi, saya juga meletakkan syarat. Contohnya kerajaan hendaklah mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Melayu dengan mewajibkan aliran sastera dan program program terlibat yang khusus berkaitan bahasa melayu ke atas semua pelajar baik melayu cina atau India.

FdausAhmad said...

Skali lagi aku ulang..

Pendapat2 ni ibarat lobang2 j***r..semua org ada Lobang j***r masing2..so apa nk heran lobang sapa lagi besar atau kecil,atau sumpit sempit...

Why bother?
Why?

apa2 pun yg dibuat..Kalu ASASnya BAIK..HASILnya PASTI baik..

dapat? ke xdapat?

fatamorgana @ tok_laki said...

X perlu tekankan juga. Tekankan terus kepada bahasa arab :). Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.. (saya nak simpan sebagai "senjata rahsia" je) Syukran & Sabirin.. je la @AKU.

orang kampong said...

mane nak dapat buku keranda 152 2 ek??
pleaz2

thaliana_damia said...

mereka tidak pernah peduli ...