'Bengkok jarum pedoman cita-cita. Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah.' (Arena Wati: Busa Hati, Penerbit UKM, Halaman 349)
Dukacita yang amat mendalam, Sasterawan Negara Arena Wati (Muhammad Abdul Biang) telah berangkat ke alam lain meninggalkan kehidupan dunia dan kita semua, tengah malam tadi.
Cinta saya kepada Allahyarham dan karangannya amatlah mendalam. Novel beliau 'Bunga Dari Kuburan' telah sangat mengilhamkan sehingga saya menulis cerpen berjudul Anastasia (siaran Majalah Muslimah Oktober 1992). Pengaruh bapak terus berbekas dalam karya-karya awal saya.
Semoga, roh bapak akan dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama kekasih-Nya.
al-Fatihah.
Kemas Kini (4.35 Petang):
(Solat jenazah di Masjid Wilayah, antara yang turut hadir Tan Sri Ismail Husein, Dato Dr Anwar Ridhwan, Datuk Kemala, Dato Baha Zain dan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah)
Arena Wati harus saya akui merupakan antara penulis kegemaran sejak dahulu. Bahkan pengaruh beliau lebih kuat dalam karya-karya awal saya berbanding pengaruh A.Samad Said dan Shahnon Ahmad. Antara karya-karya beliau yang saya jadikan tatapan sepanjang membesar tentu sahaja trilogi Bunga Dari Kuburan (dalam siri ini bangsa-bangsa dari Asia bangkit membalas dendam terhadap Amerika dan gempa bumi besar memusnah sebahagian besar negara super power itu), Kuntum Tulip Biru (Eropah memuncakkan kebencian terhadap bangsa Yahudi dan mangsanya Marina, seorang pengkaji dari Amerika Syarikat dan daik tinggi di Belanda runtuh lalu air laut melimpah ke seluruh negara tersebut) dan dalam siri akhir, siri yang paling dikenali dalam trilogi ini ialah Sakura Mengorak Kelopak (dua keluarga besar berperang dan membakar sebahagian besar Tokyo sementara diserapkan perjuangan wanita Jepun untuk membebaskan diri dari dunia yang dominan oleh kuasa patriarki).
Selepas itu saya menyukai Sudara novel beliau yang menelusuri akar jati diri bangsa Melayu. Ia sebesar Roots oleh Alex Healey. Kemudian kerana Arena Wati sering melihat ke dalam diri lampaunya iaitu menyorot kembali kisah-kisah Indonesia, saya jadi terasing membaca karya beliau dan hanya kembali menyertainya menerusi karya Sukma Angin. Novel ini membincangkan mengenai bangsa Melayu sebagai kuasa maritim menerusi sorot mata bahtera itu sendiri - Sukma Angin.
(Suasana di pusara, semua yang ada di situ sebak mendengar kata-kata balu Allahyarham sambil menabur kuntuman bunga, 'Ini sajalah pemberianku untuk kasih sayangmu, tidurlah lena dan nantikan aku di sini sampai kedatanganku.'
Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Makasar, Indonesia.Ya dalam usia hampir 80 tahun, beliau masih menulis. Beliau pernah bersekolah di sebuah sekolah Belanda. Apabila perang dunia meletus, Arena Wati memulakan kariernya sebagai pelaut. Percayalah, tidak ada sasterawan yang dapat menulis hal laut sebaik Arena Wati, jika karya-karyanya diterjemahkan segera ke bahasa lain, tentu sahaja ia akan cepat dikagumi. Kefahaman dan perincian beliau tentang latar laut dalam karya-karyanya sangat hebat sehingga segala ombak yang rinci dan angin yang aneh turut dibentangkan. Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara. Beliau menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. (Nota tambahan: Beliau meninggal dunia pada 25 Januari 2009.)
(Petikan artikel saya di Kakiseni.Com).
Berita 'pemergian' Sasterawan Negara Arena Wati kelihatannya tidak mendapat tempat yang signifikan dalam media utama. Malah media di Indonesia turut 'mengeluh' kelewatan laman berita di Malaysia dalam melaporkan berita kematian beliau (lihat di sini.)



15 comments:
salam.. semoga dicucuri rahmat..
saya pernah baca satu karya bapak arenawati.. pasal bisnes tu.. bisnes monyet la.. apa la.. dah tk igt.. wassalam
Satu kehilangan yang amat besar dalam dunia sastera...Al-Fatihah.
salam,,saudara,sye antara peminat pemikiran saudara faisal,tp berikutan ketidk boleh masukan blog faisal menyebabkan banyk y sye trtinggal ttg dia n karya2 nya, xda cara lainkah y m'blehkn sye trus brhubung dgn dia spt mlalui blog dia dlu?jujurnye sye trkilan krn sye byk mmbsr dgn karya dia s'usia trajedi sept. 98
al-fatihah
Salam,
sayu dan sedih kerana disaat saya mula mengagumi karya Allahyarham, beliau dijemput Allah SWT. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.
Salam ziarah..
al-fatihah..
Takziah buat keluarga Allahyarham.
Saya pernah baca sebuah cerpen karangan Allahyarham yang sekarang ni jadi salah satu teks kajian dalam subjek Kesusasteraan Melayu bertajuk 'Wisata' (Bacalah Dalam Bahasamu Jilid A). Sekali baca memang sukar nak tangkap apa yang beliau nak sampaikan. Jalan ceritanya seronok tapi sinis dengan bermacam-macam pengajaran.
Al-Fatihah.
Assalamualaikum sdr Faisal,
Saya sudah baca Tunggu Teduh Dulu. Nanti saya ulas, insyaAllah.
Saya juga terbitkan entri balasungkawa SN Arena Wati di blog buku saya (http://pasalbuku.blogspot.com). Satu kehilangan yang besar, namun mati itu pasti.
Salam
Inalillah. Al-fatihah buat beliau
Salam..
Arena Wati saya kenal sejak kaki menjejak sekolah menengah.
Sakura Mengorak Kelopak menjadi karya wajib diulit setiap tahun.
Setiap bait saya hadam dan semakin diulang, semakin kuat lekat rasa kagum pada penulis yang amat istimewa ini.
Pertama kali membaca tulisan saudara Faisal (Cinta Hari-hari Rusuhan kalau tak salah), saya berasa amat gembira. Kerana saya seperti melihat gaya Arena Wati dalam nafas muda. Sungguhpun Faisal kini punya gaya dan nada tersendiri, saya lega kerana legasi karya yang indah telah ada kesinambungannya.
Semoga Sastera Melayu kekal selamanya. Amin.
*terkenang lagu Merindu Kepastian oleh Art Fazil masa baca reaksi balu Almarhum di kuburan. Berikut adalah liriknya untuk dikongsikan bersama...
Andai kau menjadi pelangi
Biar ku jadi awannya
Agar kita selalu bersama
Andai kau menjadi sang duyung
Biar ku jadi karangnya
Agar kita sentiasa bersua
Andai kau menjadi merpati
Biar ku menjadi sang bayu
Agar kita sering bertemu
Andai kau menjadi puisi
Biar ku jadi melodi
Bersama kita menyanyi
Andai ku menjadi rembulan
Sudikah kau menjadi kejora
Hingga pagi nanti
Andai esok aku menjadi tanah
Sudikah engkau menjadi bunga
Menghiasi dadaku
Salam Saudara Faisal.
Saya antara insan kerdil yg sgt meminati karya Pak Arena.. Mmg trilogi Bunga Dari Kuburan, Sakura Mengorak Kelopak, dan sayang tidak berjumpa Kuntum Tulip Biru hingga kini.. adalah karya yg membuat saya terus jatuh cinta dgn karya2 Pak Arena.. Moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Dan.. saudara Faisal juga mempunyai karya-karya yg indah.. dan sgt mengujakan dlm lambakan karya2 dewasa ini. Saya sgt berangan2 nak jumpa Pak Arena dan mmg itu sekadar angan2.. dan kini saya juga berangan2 alangkah seronoknya dpt bertemu dan bersembang2 ttg penulisan dgn Saudara Faisal.. kita pernah bertemu dipesta buku diperkenalkan oleh Che Mazlan Al Ameen... my hubby one of the director of Al Amin serve..moga kita bisa ketemu sebagaimana yg saya angan2kan..
Salam...
belum pernah membaca karyanya, selepas ini akan mencari karya Allahyarham...
moga rohnya dicucuri rahmat.
salam.
petikan kata-kata balu allahyarham buat saya tersentuh. ketika kita menangisi kehilangan besar dalam dunia sastera, mungkin ramai yang lupa kehilangan yang lebih besar dirasai oleh balu allahyarham, setelah berdekad mereka hidup bersama. kata-kata yang diucapkan beliau sangat ringkas tapi sampai maknanya, dari seorang isteri yang mencintai suaminya.
Salam..takziah buat Pak Arena Wati..SEMOGA ALLAH PELIHARA BELIAU DI ALAM BAHARUNYA..beliau antara tokoh yang saya minati..saya pernah buat projek tahun akhir berkenaan novelnya yang saya sangat kagumi...BEGAWAN..penuh metafora..
Alfatihah.
Post a Comment